2 Mac 2009

Masalahnya UMNO-BN Perak Buta Undang-undang

Semakin jelas, pemimpin UMNO dari peringkat yang setinggi-tinggi hingalah yang serendah-rendahnya - mereka buta undang-undang!

Terbaru: Barisan Nasional (BN) Perak yang bermenteri besarkan Zambry Abdul Kadir memohon Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan deklarasi pengisytiharan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan exconya daripada menghadiri sidang DUN tergempar esok adalah menyalahi Undang-undang Tubuh negeri Perak.

Tidak ada pula sebarang permohonan deklarasi sidang DUN tergempar esok sebagai batal kerana diketahui bahawa beliau tidak boleh membuat permohonan tersebut di mahkamah.

Ini bererti tidak ada apa yang boleh menghalang sidang tergempar DUN diadakan esok sekalipun Polis digunakan untuk menghalang persidangan tersebut daripada dilansung hanya bersandarkan kepada kenyataan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Perak yang telah memaklumkan kepada Ketua Polis berkenaan bahawa sidang tergempar esok tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri sebagai penjawat awam tidak ada kuasa walau sebesar kuman untuk membuat sebarang perisytiharan tersebut.

Dan Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah juga tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sidang tergempar esok untuk dijalankan.

EXCO Kerajaan Negeri Ngeh Koo Ham dari Pakatan Rakyat berkata langkah menutup Bangunan Darul Ridzuan adalah tindakan pentadbiran dan tidak menjejas proses legislatif untuk mengadakan sidang tergempar DUN.

Tiba-tiba saja Ketua Polis Perak memberi amaran, bahawa polis akan bertindak tegas terhadap pihak yang cuba berkumpul di Bangunan Perak Daruk Ridzuan. FRU tiba-tiba saja digunakan untuk mengepung kawasan bangunan SUK. Polis sudah hilang kewarasan atau apa? Anda nak berperang untuk apa? Nak tangkap siapa?

Kedua-dua mereka sebagai penjawat awam boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana menghalang tugas legislatif untuk berperanan.

Corak pemerintahan di Malaysia telah ditentukan menerusi Perlembagaan Persekutuan dengan mengasingkan tiga badan yang terlibat dalam pemerintahan negara, iaitu badan perundangan (legislatif), badan pentadbiran (eksekutif) dan badan kehakiman (judiciary). Pengasingan ketiga-tiga badan dalam pemerintahan negara disebut sebagai doktrin pengasingan kuasa.

Maka itu ada peruntukan di dalam Perlembagaan pihak mahkamah tidak berhak untuk mencampuri kuasa legislatif

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan :-

Fasal 72. Keistimewaan Dewan Negeri.
1.Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.


Seorang pengunjung Kelab GB di dalam komennya menyatakan :

Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri selaku seorang Penjawat Awam jelas telah melanggar peraturan Perintah-Perintah Am (General Order), apabila beliau telah membuat kenyataan rasmi dan kenyataan tersebut juga telah dikeluarkan melalui media.

Menurut Perintah2 Am (General Order)
BAB D - Peraturan2 Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993

Peraturan 19 (Membuat Pernyataan Awam)


(1) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain

(a) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu;

(b) membuat apa-apa pernyataan awam yang boleh memalukan atau memburukkan nama Kerajaan ;

(c) membuat apa-apa ulasan tentang kelemahan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan ;

(d) mengedarkan apa-apa pernyataan atau ulasan, sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain.

(2) Seseorang pegawai tidak boleh, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain—

(a) membuat apa-apa ulasan tentang kelebihan apa-apa dasar, rancangan atau keputusan Kerajaan ;

(b) memberikan apa-apa maklumat berdasarkan fakta berhubung dengan perjalanan fungsi Kerajaan;

(c) memberikan apa-apa penjelasan berkenaan dengan apa-apa peristiwa atau laporan yang melibatkan Kerajaan ; atau

(d) menyebarkan apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan sedemikian sama ada yang dibuat olehnya atau mana-mana orang lain,

melainkan jika kebenaran bertulis, sama ada secara am atau khusus, telah diperoleh terlebih dahulu daripada Menteri.

(3) Subperaturan (2) tidaklah terpakai bagi apa-apa ulasan, maklumat atau penjelasan yang dibuat, diberikan atau disebarkan jika kandungan ulasan, maklumat atau penjelasan itu telah diluluskan oleh Menteri.

(4) Bagi maksud peraturan ini, “pernyataan awam” termasuklah apa-apa pernyataan atau ulasan yang dibuat kepada pihak akhbar atau orang ramai atau semasa memberikan apa-apa syarahan atau ucapan awam atau dalam apa-apa penyiaran atau penerbitan, tanpa mengambil kira caranya.

Episod yang ada menampakkan sangat tahap mentaliti dan ilmu pengetahuan undnag-undang UMNO-BN serta penjawat-penjawat awamnya di perak khususnya berada di tahap paling rendah, tapi cuba menampakkan mereka telah cukup gah untuk menunjukkan kuasa yang sebenarnya telah disalahguna.





Kemelut Perak: Di mana Anwar, Hadi dan Lim?

Berita terkini mengenai Perak: Ketua Polis Perak telah mengeluarkan amaran kepada orang awam agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan haram esok, Ketua Polis Negeri, juga menjelaskan bahawa Sidang Tergempar esok adalah tidak SAH.

Apa hak Ketua Polis Negeri mengeluarkan arahan itu? Ia diluar bidangkuasanya untuk menyatakan Sidang tergempar esok tidak sah, sedangkan mahkamah sendiri tidak boleh mempersoalkan tindakan Speaker inikan pula Ketua Polis Negeri.

UMNO-BN kini menggunakan "segala cara" bagi menghalang sidang tersebut dari diadakan.

Pintu ke Dewan Undangan Negeri Perak akan ditutup esok bagi menghalang sidang tergempar yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak dapat dijalankan.

Arahan untuk kesemua kakitangan DUN membatalkan temu janji masing-masing esok memandangkan pintu ke DUN akan ditutup dipercayai dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Demikian mentaliti lembu petugas-petugas Bahagian Khidmat Pengurusan, Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Bukit Gantang Wahab kerana mematuhi pemimpin kerajaan haram UMNO-BN yang buta undang-undang dan tidak mahu tunduk setelah satu demi satu usaha mereka menggagalkan sidang tergempar itu menemui jalan buntu.

Notis dua perenggan itu meminta warga bangunan Perak Darul Ridzuan supaya membatalkan semua temujanji pada 3 Mac (esok) di premis tersebut.

Tindakan tersebut jelas membelakangkan kuasa Speaker yang mana ianya boleh diambil tindakan kerana ia boleh didakwa sebagai menghina Dewan.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pihaknya masih boleh mengadakan persidangan di kedai kopi ataupun kantin Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pintu masuk ke dewan ditutup. Undang-undang tubuh negeri tidak pernah mensyaratkan persidangan DUN mesti diadakan di dalam bilik khusus sepertimana lazim diadakan.

Episod ini mendedahkan tentang kerajaan haram UMNO-BN yang dibentuk Najib Razak begitu desperado apabila satu demi satu usaha mereka semakin menampakkan golongan ini jenis buta undang-undang dan perlembagaan.

Saya ingin mencadangkan supaya satu Jawatankuasa dibentuk oleh kerajaan sah Mohd Nizar dan Sivakumar supaya tindakan undang-undang diambil keatas semua pihak yang terlibat menghalang sidang tergempar DUN Perak dari dijalankan kerana yang jelas persidangan tergempar itu tidak boleh dipertikaikan atau dihalang oleh sesiapa.

Sudah sampai masanya kerajaan sah yang dipimpin oleh Nizar untuk tidak lagi bersikap defensif malah sudah sepatutnya kini mereka mengambil langkah-langkah offensif demi meletakkan kebenaran itu pada tempatnya yang lebih abadi.

Sekali lagi kita meminta supaya pemimpin Pakatan Rakyat untuk turun membantu Nizar dan Sivakumar dalam mempertahankan hak dan kerajaannya yang dirampas secara biadab oleh UMNO.

Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kemelut Perak tertamanya bahagian Undang-undang untuk menghimpunkan para peguam Pakatan Rakyat dan kemudian mengheret semua pihak yang selama ini membelakangi dan tidak mematuhi undang-undang di serte ke muka pengadilan.

Kebebalan pimpinan UMNO terhadap undang-undang amat jelas dilihat bermula daripada tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta Menteri Besar Perak lantikan UMNO serta para exconya membuat laporan polis dan SPRM apabila diputuskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak merangkap Speaker, V.Sivakumar yang menggantung Zambry Abdul Kadir dari menghadiri sidang DUN Perak selama 18 bulan dan para exconya 12 bulan.

Ini diikuti pula dengan alasan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan persidangan tergempar yang dipangggil oleh Speaker tidak boleh diadakan berikutan krisis di Perak menjadi kes mahkamah.

Samada PM ataupun TPM, kedua-duanya jelas buta mengenai undang-undang kerana mungkin telah terbiasa meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka untuk disalahgunakan malah menjadikan institusi polis dan SPRM sebagai lembu-lembu untuk mereka tarik hidungnya sehingga terlupa bahawa tindakan mereka berdua mendedahkan sangat mengenai tahap pengetahuan mereka yang terllau minimal mengenai undang-undang dan perlembagaan negara.

Inilah keadaan yang berlaku apabila pimpinan negara terdiri dari orang yang rakus dan mabuk kuasa tetapi tidak lansung memperdulikan undang-undang negara sehingga merasakan mereka boleh melakukan apa saja semata-mata kerana menjadi PM / TPM.

Beberapa siri pencabulan undang-undang oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO tidaklah sepatutnya dibiarkan berlalu tanpa diambil sebarang tindakan terhadapnya.

Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Abd Hadi dan Lim Kit Siang sepatutnya menjadi tunggak utama di dalam membantu Nizar dan Sivakumar di dalam perjuangan mereka merebut semula kuasa yang dirampas. Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat perlu dilihat pro-aktif dan mampu untuk menyelamatkan kerajaan negeri jika mereka benar-benar ingin membawa PR ke Putra Jaya.

Jika kerajaan negeri yang dipimpin oleh pemimpin Pakatan Rakyat seperti Perak inipun tak mampu untuk diperjuangkan oleh ketiga-tiga tokoh pemimpin PR, apakah mungkin kerajaan Pusat kelak mampu untuk dipertahankan oleh mereka tatkala PR sudah mula berkuasa nanti jika berlaku episod rampasan kuasa seperti di Perak ini?

Harapan rakyat kepada pemimpin Pakatan Rakyat ini tidak boleh dihampakan. Jika Pak Lah dan Najib sentiasa berfikir bagaimana untuk mempertahankan kerajaan haram UMNO-BN di Perak, apakah yang dilakukan Anwar, Hadi dan Lim pula waktu ini?

Kerajaan Haram UMNO Semakin Kelam Kabut

Para peguam Zambry Kadir dan para exconya diberitakan akan memfailkan injunksi hari ini di Mahkamah Tinggi Ipoh di dalam usaha untuk menghalang larangan mereka daripada menghadiri sidang tergempar dewan undangan negeri yang akan diadakan esok.

Saman tersebut dikatakan akan dikemukakan kepada Speaker V Sivakumar.

Namun para peguam melihat tindakan tersebut tidak pernah dilakukan kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mempersoalkan atau campurtangan apa-apa keputusan dan perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri kerana ia akan mencabar dontrin pengasingan kuasa yang yang dijamin oleh Perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan :-

Fasal 72. Keistimewaan Dewan Negeri.
1.Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah.


Dalam meneruskan usaha terdesak mereka, seorang exco kerajaan BN Perak mahu Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dewan itu dengan alasan V Sivakumar menyalahgunakan kuasanya.

Mohd Zahir Abdul Khalid merujuk tindakan Sivakumar menggantung beliau, Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan lima lagi exco pertengahan bulan lepas.

Sebenarnya permohonan injunksi itu sendiri jelas membuktikan bahawa tindakan Speaker memanggil sidang tergempar DUN Perak pada hari esok diakui sah dan kerajaan UMNO-BN sudah dilihat berada di dalam "kelam-kabut" apabila usaha untuk menggunakan nama Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri bagi menghalang sidang tergempar DUN diatas alasan tidak memperolehi perkenan Sultan tidak boleh dikuatkuasakan kerana Abdullah selaku seorang Penjawat Awam jelas telah melanggar peraturan Perintah-Perintah Am (General Order), apabila beliau telah membuat kenyataan rasmi dan kenyataan tersebut juga telah dikeluarkan melalui media.

Sementara itu Bekas Timbalan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak esok sah kerana ia tidak memerlukan perkenan sultan dan tanpa notis 14 hari sebagaimana persidangan biasa.

Beliau menambah amalan yang serupa juga berlaku di parlimen sebelum ini di mana Perdana Menteri mencadangkan persidangan diadakan bagi membincangkan isu pencerobohan Yahudi ke atas bumi Palestin.

"Persidangan parlimen tersebut berlangsung dengan hanya empat hari notis bukan 14 hari sebagaimana kelaziman yang menjadi amalan bagi persidangan biasa," katanya sebagai mengulas tindakan Speaker Dun Perak, V Sivakumar mengeluar notis diadakan persidangan tergempar Dun Perak 3 Mac ini.

Beliau yang juga Adun Melor berkata, tidak ada alasan konkrit sebagaimana disebut pihak tertentu kononnya Sivakumar menyalahgunakan kuasa.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak sebelum ini pula menganggap persidangan tersebut tidak boleh diadakan berikutan krisis di Perak menjadi kes mahkamah.

Wan Ismail berkata, sekiranya kenyataan Timbalan Presiden Umno itu diambil kira tentunya pelantikan Menteri Besar baru di Perak juga tidak boleh diterima kerana ia membabitkan kes mahkamah.

Mantan Speaker Dun Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, persidangan pertama Dun sahaja yang memerlukan perkenan sultan, manakala persidangan Dun berikutnya tidak perlu lagi.

"Menjadi amalan di Kelantan pihak Dewan mengemukakan tiga tarikh persidangan Dun bagi tempoh setahun. Dan setiap tarikh yang kita kemukakan kepada pihak istana, baginda menyetujui.

"Persidangan Dun perlu diadakan dalam tempoh enam bulan. Di Kelantan persidangan Dun diadakan tiga kali dalam tempoh setahun," katanya di sini.

Wan Ismail yang juga bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan berkata, Umno kini sudah benar-benar ketandusan isu apabila sengaja membangkitkan isu derhaka kepada raja, sedangkan mereka lupa pemimpin Umno menjuarai penderhakaan kepada raja Melayu.



Antara Kematangan Politik dan Rakus Kuasa

Setelah lebih dari 51 tahun berkuasa di Malaysia, UMNO/BN berjaya menjadikan kerakusan kuasa sebagai satu strategi politik yang berisiko, tetapi boleh dilakukan dengan berjaya jika mempunyai cukup wang untuk dibelanjakan bagi maksud itu. Tetapi mereka gagal memperlihatkan kematangan politik. Mereka bercakap tentang tamadun, adab, sikap demokratik, kejujuran berpolitik dan sebagainya, tetapi perbuatan mereka di Perak memperlihatkan sebaliknya.

Paling ketara ialah sikap anti-rakyat yang mereka perlihatkan dengan menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menyerahkan kepada rakyat membuat pilihan mereka setelah berlaku kebuntuan yang merugikan rakyat seluruhnya, akibat perbuatan UMNO sendiri. Apa yang berlaku di Perak sekarang diceritakan dengan terperinci oleh Sejarah Melayu dalam berpuluh episod yang menunjukkan kesalahan raja-raja Melaka membuat keputusan, sehingga menimbulkan kesusahan kepada rakyat di samping menyerlahkan kezaliman raja-raja Melaka yang menjadi teras sistem beraja Melayu moden.

Mujurlah muncul seorang tokoh besar Melayu dalam diri Tun Perak yang sabar dan bijaksana itu. Banyak kali raja-raja Melayu diselamatkan oleh tindakan berhemah dan bijaksana Tun Perak. Anak-anak muda sekarang, termasuk ahli politik yang bercita-cita tinggi, harus membaca kembali kitab penting ini. Perkara ini disebut di sini untuk menyedarkan orang Melayu bahawa raja-raja Melaka, yang menjadi teras kesultanan Melayu, adalah manusia biasa yang mewariskan kelemahan mereka kepada raja-raja Melayu yang kemudian, sebagai manusia yang sentiasa membuat silap betapa pun tingginya daulat mereka.

Raja dan rakyat yang menerima hakikat ini adalah golongan beriman yang menerima ajaran para nabi dan para sahabat baginda. Ucapan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar ketika menerima perlantikan sebagai Khalifah menjadi teras prinsip kepemimpinan dalam Islam dan dalam tamadun Melayu sebelum dikotorkan oleh pengaruh Barat. Hal ini pun disebut dalam Sejarah Melayu dan perlu dicari sendiri oleh orang muda dan pemimpin politik untuk dijadikan teladan.

Para pemimpin UMNO/BN banyak sekali membuat laporan polis tentang kejahatan ketua-ketua parti pembangkang. Hampir semua laporan itu tidak memperlihatkan kematangan berpolitik kumpulan yang telah berkuasa lebih dari 51 tahun. Banyak daripada laporan itu hanya untuk melepas geram dan menunjukkan perasaan benci meluat yang amat sangat, kerana kuasa dan peluang yang selama ini dinikmati oleh puak ini menjadi semakin nipis setelah golongan ini menerima kekalahan dalam PRU 12, April 2008.

Dengan muka bengis seorang samsing, para pelapor ini menyeranah lawan politik mereka sebagai penderhaka, biadab, kurang ajar dan segala makian yang tidak pantas keluar dari mulut pemimpin yang sudah berkuasa lebih dari 51 tahun yang sedia kala mengaku paling sopan, beradab, jujur dan bersih. Semua ini terjadi kerana sifat kerakusan kuasa itu sudah menjadi darah daging, tidak boleh lagi bertolak ansur untuk menerima kekalahan dalam pilihan raya secara gentleman. Mereka akan menjadi lebih bengis dan merbahaya jika dibenarkan berkuasa selama 50 tahun lagi.

Seperti yang dibayangkan dalam amaran seorang Bendahara Melaka, orang yang biasa makan daging tidak teragak-agak untuk membunuh sesiapa saja yang tidak disenanginya. Dan pembunuhan politik di zaman moden boleh berlaku dalam 100 cara. Barangkali di situlah tersembunyi kematangan politik para political animals. Kemuncak kerakusan itu diperlihatkan dalam tempik sorak penuh makian di luar Dewan Rakyat oleh sekumpulan pemuda UMNO yang marahkan YB Karpal Singh yang dituduh telah menghina raja-raja Melayu dan pemuda UMNO.

Beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat, seolah-olah Dewan Rakyat itu rumah pemuda UMNO yang tidak boleh dimasuki tanpa izin tuan rumah. Dalam dunia politik yang matang, lebih banyak digunakan perbahasan dan perdebatan yang diucapkan dengan wibawa, iaitu wibawa dari segi kelakuan dan berwibawa dari segi ilmu. Nampaknya orang UMNO kehilangan punca bila berdepan dengan lawan mereka yang jauh lebih pintar berhujah dan pandai bermain dengan kata-kata yang boleh membuat pihak sebelah lagi menjadi gila.

Itulah yang terjadi di halaman Dewan Rakyat pada hari Khamis 26 Februari 2009, satu tarikh dan kejadian yang sangat penting dalam perkembangan demokrasi di Malaysia. Siapakah yang akan menghukum mereka? Dalam politik demokrasi di Malaysia, yang akan dihukum seringkali pihak yang berkata benar, bukan yang bertindak liar dan biadab.


Mohd Affandi Hassan

Bukit Gantang Tolak Kehadiran Khairy

Beberapa cawangan UMNO di Parlimen Bukit Gantang mengingatkan pimpinan negeri Perak tak membawa Khairy Jamaluddin berkempen dalam pilihanraya kecil di kawasan itu, sekalipun beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Menurut sumber, Khairy adalah ‘beban’ kepada UMNO Bukit Gantang yang menyebabkan UMNO gagal merebut semula kerusi Parlimen di situ. Justeru, menurut sumber itu lagi cawangan-cawangan terbabit mahukan Ahli Parlimen Jerlun Dato’ Mukhriz Mahathir di bawa berkempen. “Kami sudah mengirim SMS kepada Dato’ Mukhriz menyampaikan pendirian itu,” beritahu sumber berkenaan.

Cawangan-cawangan terbabit menurut sumber itu, menganggap Khairy adalah beban kepada UMNO yang sukar untuk memulihkan semula krisis keyakinan di kalangan ahli-ahli parti. Ketika menghubungi sekretariat Warga Prihatin Malaysia (PRIMA), cawangan-cawangan UMNO di Bukit Gantang tak akan berkompromi dengan isu Khairy sebagai ‘beban’ kepada parti.

Bagi menjamin kemenangan UMNO di Bukit Gantang, mereka mahukan pimpinan negeri Perak membawa Dato’ Mukhriz berkempen ke Bukit Gantang. “Sekalipun Dato’ Mukhriz kalah bagi jawatan Ketua Pemuda, beliau perlu dibawa berkempen ke Bukit Gantang,” menurut sumber itu lagi.

prima