21 Feb 2009

Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Zahidi Dibidas

PPAS menyelar kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Dato' Wan Zahidi Wan Teh yang berkata perbuatan menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar berdasarkan dalil daripada Al Quran dan Sunnah, demikian harakahdaily melaporkan.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar mempertikaikan tindakan mufti tersebut yang membuat kenyataan kerana mahu menjaga periuk nasi dan tidak berlaku adil.

Beliau juga menegaskan mufti tersebut sepatutnya mempertahankan Yang Dipetuan Agung ketika baginda dihina oleh penyokong Umno semasa krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas Pilihanraya Umum ke 12 Mac 2008.

"Kenapa ketika pemimpin dan penyokong Umno menghina Sultan yang juga Yang Dipertuan Agong, Wan zahidi berdiam diri?

"Apakah beliau hanya nampak apa yang dilakukan oleh sebelah pihak sahaja tetapi 'buta' bila pemimpin dan penyokong Umno lakukan?" soal Kamaruddin.

Beliau seterusnya menegaskan, apa yang dilakukan oleh rakyat Perak adalah semata-mata kerana mempertahankan perlembagaan Perak dan mereka tidak menulis 'banner' memaki Sultan sebaliknya mahu Sultan Perak bertindak mengikut perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Perak.

Bandingkan bagaimana UMNO dan Pakatan Rakyat
berbahasa kepada Sultan-sultan


UMNO membinatangkan DYMM Yang Dipetuan Agong
Pakatan Rakyat memohon kepada Sultan Perak

Jelas Kamaruddin lagi, apa yang dilakukan oleh Sultan Terengganu ketika memilih Menteri Besar adalah mengikut perlembagaan tetapi pemimpin dan penyokong Umno enggan menerima sesuatu keputusan yang dibuat berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.

"Kerana itu seharusnya Wan Zahidi selaku mufti melihat perkara ini dengan jelas dan membuat kenyataan dengan bijak bukan kenyataan kerana mengikut telunjuk pemimpin tertentu," tegas Kamaruddin.

Mufti Wilayah itu dalam satu kenyataan yang disiarkan Bernama baru-baru ini berkata, perbuatan menderhaka kepada pemerintah adalah satu dosa besar berdasarkan dalil daripada Al Quran dan Sunnah.

Ekoran daripada kenyataan tersebut ramai pihak yang meminta agar Wan zahidi berlaku adil ketika menaqalkan hukum dari kitab Allah dan kitab-kitab yang muktabar, jangan terlalu hendak menjaga kedudukan sehingga sanggup mengenepikan beberapa prinsip asas dalam Islam.

Khir Toyo Akan Terus Terlondeh

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan tiga penyelewengan Datuk Seri Khir Toyo ketika memimpin negeri itu sebelum pilihanraya umum 8 Mac lalu, demikian dilaporkan oleh Tvantara.

Penyelewengan berkenaan membabitkan tindakan cuba mengelak cukai, menukar sistem perakaunan anak syarikat kerajaan negeri, dan pembelian apatmen di Makkah “untuk tujuan yang meragukan”.

Tan Sri Khalid berkata, Khir semasa menjadi Menteri Besar mempengerusikan tiga syarikat negeri dan mendapat imbuhan tiga buah kereta tetapi ini tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Salahguna kuasa kedua yang dilakukan Khir Toyo ialah menerima hadiah jam tangan bernilai RM 150,000 daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad atau PNSB,” katanya.

Beliau berkata, apabila menyedari menerima habuan seperti itu adalah satu kesalahan, Khir cuba membayar balik secara memasukkan wang tunai RM150,000 ke dalam akaun syarikat.

Selain itu, kata Tan Sri Khalid, Khir Toyo juga membuat pembelian apatmen di Makkah untuk “kegunaan beberapa anak Selangor yang terpilih sahaja” dengan perbelanjaan lebih RM 9 juta.

Menteri Besar Selangor menegaskan siri pendedahan mengenai penyelewengan dan salahguna kuasa Khir Toyo dibuat bukan kerana hendak “menutup mulut” Ketua Pembangkang Selangor itu tetapi hendak mengingatkan beliau supaya “menjaga mulutnya”.

Beliau juga menyifatkan Khir Toyo sebagai “pengacau” kepada program pembangunan rakyat dan beliau yang sebelum ini hanya mempertahankan diri daripada segala tomahan Khir Toyo kini bertindak kerana “kesabarannya ada hadnya.”

Terbitan Semula : 20 Kes Rasuah Khir Toyo

1. Meluluskan projek pembina jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5 km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings.

Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta. Subkontraktor yang menjalan semua projek berkenaan, Cabaran Wangsa, di miliki Pua Kim An, 27 tahun, tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang memberi keuntungan minimum RM20 juta.

2. Meluluskan tanah 400 ekar di Shah Alam, pada 20 Disember 2000 kepada empat syarikat berbeza (Layar Kekal/ Tirai Gemilang, Samasys, Usahasewa Sdn Bhd), tetapi seorang nama pengarahnya (Samsuri Rahmat) hadir dalam semua syarikat tersebut, iaitu seolah-olah Khir meluluskan tanah berpontensi tinggi itu kepada seorang sahaja.

Nilai tanah di kawasan berkenaan boleh mencapai RM1 juta untuk satu ekar. Samsuri boleh untung minimum RM300 juta dari tanah tersebut.

3. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20 Nov. 2000 dan 4 Julai 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan yang mendapat 100 ekar setiap orang, Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

4. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun (Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah, Azril Yusri). Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum Exco meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

5. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu.Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

6. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat, 50%. Khir berbohong di Dun Selangor pada 31 Oktober 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

7. Khir memberi sumbangan peribadinya, berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi di kawasannya, di Sungai Panjang pada 25 Disember 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau, melalui akhbar Malay Mail pada 15 Januari 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn Bhd sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. Tinjauan menunjukkan bukan ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

8. Pada 17-18 April 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd, seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.

9.Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km, bernilai RM82,385,182.. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal, yang tidak boleh melebihi RM40 juta. Dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

10. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua Umno Tanjong Karang, JAKS Sdn Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa untung JAKS?

11. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat, seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua Kim Seng, bekas tuan rumah yang pernah disewa Khir di Sekinchan. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km)merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.

12. Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk selesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.

13. Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat dipadam jika timbul kontroversi kelak), agar menyerahkan projek yang membawa keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.

14. Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek kerajaan negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Majulia Sdn. Bhd. Ini bercanggah dengan surat akujanji yang ditandatanganinya di depan Sultan Selangor.

15. Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn Bhd melalui perjanjian konsesi pada 27 September 2001. Untung lumayan dapat dipungut secara mudah kerana tugas Nobel Nexus hanya menghantar notis saman dan 30% kutipan menjadi miliknya.

16. Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat Exco ke 25/2001 pada 26 September 2001, tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan. Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan tempoh Khir menjadi MB baru setahun iaitu tidak sampai lima tahun seperti sepatutnya. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan Ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana kereta rasminya Merc S320L, no. plat BGF7337 ditawar untuk dijual kepadanya, Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytihar kepentingannya.

17. Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat exco dikutip semula selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat Exco yang dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh Exco lain. Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota Exco sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya diserahkan selepas setiap Exco duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, “Exco Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlenggang.”

18. Meluluskan hampir 11 ekar tanah di Bandar Baru Bangi, yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn Bhd. Masyarakat setempat membuat bantahan kerana setakat ini banyak kawasan hijau dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan. Bestarama boleh untung segera lebih RM14 juta. Menariknya, pemegang syer Bestarama juga pemegang syer Noble Nexus. Kedua-dua wanita itu hanya penama bagi suku-sakat Khir.

19. Menggunakan ratusan ribu ringgit wang kerajaan negeri untuk membeli iklan dua muka penuh berwarna dalam Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada 1 Feb, 16 Mac 2002, bagi menjawab serangan Lutfi Othman yang mendakwa Khir mengagihkan tanah (yang luas dan mahal), pelbagai projek besar, balak, buat kroni dan suku-sakatnya.

20. Mengeksploit mesyuarat Majlis Tindakan ekonomi Selangor (MTES), untuk meluluskan segala tanah & projek kepada sesiapa yang disukainya tanpa kehadiran Exco lain. Mesyuarat Exco esoknya (pada setiap Rabu) hanya mengesahkan saja. MTES, menurut bekas penasihat undang-undang negeri, adalah tidak sah dari segi legal kerana ia merampas kuasa mesyuarat Exco.

Cabar Khir Toyo kalau berani buka mana - mana pentas terbuka akan terlondeh bersama bukti...


SPRM - Lembu Yang Dicucuk Hidung

Peguam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim amat kesal dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan berkata terdapat bukti kukuh menunjukkan menteri besar Selangor itu menyalahguna kuasanya berhubung penyelenggaran kereta peribadinya serta pembelian 46 lembu korban.

Mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan pagi ini, Sankara Nair berkata, menjadi amalan suruhanjaya tersebut selama ini tidak mendedahkan pada umum hasil siasatan yang dijalankannya.

Katanya, dalam kes ini bagaimanapun SPRM telah menyimpang daripada amalan tersebut dan dengan jelas mengamalkan sikap dwi-standard.

Sankara menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar di bangunan pentadbiran negeri di Shah Alam petang tadi. Turut hadir, exco kanan kerajaan negeri Teresa Kok.

Sehubungan itu, Sankaran bertanya mengapa Ahmad Said tidak membuat perkara yang sama apabila siasatan terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail selesai.

Tindakan SPRM itu, katanya, harus dipandang berat kerana anak guamnya - seorang ahli politik pembangkang - telah ditonjolkan agar kelihatan bersalah "di mata umum sebelum beliau didakwa dan didapati bersalah oleh mahkamah".

Sementara itu Pengerusi DAP kebangsaan, Karpal Singh membidas Ahmad Said kerana secara terbuka mendedahkan terdapat "bukti dan keterangan kukuh" terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum mendapat kebenaran Peguam Negara.

Beliau yang juga seorang peguam kanan dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor menyifatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebagai tidak kompeten untuk menyiasat kes itu.

Katanya, beliau akan merujuk Ahmad Said kepada Seksyen 58 Akta SPRM 2009 yang menyatakan pendakwaan bagi kesalahan di bawah akta itu tidak boleh dilaksanakan, kecuali melalui atau dengan kebenaran pendakwa raya.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Green Hall di sini hari ini, Karpal berkata, Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa.

Disember lepas, Abdul Khalid dituduh menyalahgunakan dana kerajaan negeri bagi penyelenggaraan kereta utiliti sukan (SUV) jenis Lexus milik peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu untuk ibadah korban bernilai RM110,400.

Semalam Ahmad Said berkata, pihaknya mendapati ada "bukti dan keterangan kukuh" menunjukkan Abdul Khalid telah menyalahgunakan kuasanya bagi penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkata, SPRM tiada kuasa untuk mendakwa Khalid kerana bidang kuasa pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.

Justeru, menurut Azmin, SPRM tidak berhak membuat kenyataan terbuka berhubung penyiasatan dalam isu yang belum dimuktamadkan oleh JPN.

"Kenyataan SPRM adalah di luar peraturan biasa dan boleh mempengaruhi budi bicara Peguam Negara yang bertanggungjawab secara bebas dan adil

"Kami juga melihat ini adalah usaha jahat yang dirancang oleh Umno dan Barisan Nasional untuk menggugat pentadbiran kerajaan Pakatan di Selangor dengan memperalatkan institusi-institusi seperti SPRM dan JPN,” katanya selepas menghadiri Retreat ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan di Selangor di Shah Alam hari ini.

Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak menegaskan, Pakatan Rakyat akan mempertahankan prinsip-prinsip keluhuran perlembagaan dan mendokong penuh kepimpinan Khalid untuk terus memimpin Selangor.

Ditanya apakah tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mengatasi masalah tersebut, Azmin berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri yang akan bermula pada 10 Mac depan.

"Barisan peguam kami juga sedang meneliti langkah-langkah yang wajar diambil untuk berhadapan dengan tuduhan yang dikenakan ke atas Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kami yakin Tan Sri Khalid tidak bersalah dalam perkara ini. Walau bagaimanapun kami menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas secara telus dan bebas," ujarnya.

Sementara itu, Exco kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok menyifatkan SPRM telah bersekongkol dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Khir Toyo dalam isu tersebut.

“Peguam Tan Sri Khalid baru fail saman namun selepas itu SPRM dah buat tuduhan ke atasnya. Ini seolah-olah menunjukkan ia menyokong Khir Toyo untuk pertandingan pemilihan Umno.

“Kami amat kesal kerana tuduhan ke atas Tan Sri Khalid melibatkan isu remeh-temeh sedangkan ia melibatkan kepentingan orang awam bukan untuk kegunaan sendiri. Ini memberi satu gambaran SPRM merupakan alat BN untuk mendiskriminasi pemimpin-pemimpin Pakatan,” ujarnya.