29 Jan 2013

[BONGKAR] Petugas JPN Terima RM1juta Benarkan Pendatang Mengundi

Bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjual 16,000 resit JPN dengan RM1juta, yang membenarkan pendatang mengundi di Sabah, Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) berkenaan pendatang haram diberitahu hari ini.

Pegawai polis cawangan khas (SB) DSP Badaruddin Ismail yang bekerja di Kelantan memberi keterangan hari ini Ramli Kamaruddin menjual setiap resit dengan harga RM250 setiap satu sekitar 1993 dan 1995 kepada pendatang haram dari Filipina, India, Pakistan dan negara-negara lain.

"Beliau (Ramli) beritahu dia melakukan perkara tersebut kerana wang," kata Badaruddin kepada RCI hari ini.

Badaruddin yang pernah menyoal siasat Ramli, menegaskan Ramli memberitahunya, beliau melakukan perkara tersebut untuk keuntungan peribadi tanpa menerima arahan daripada pihak atasan.

Ramli walau bagaimanapun, memberitahu RCI baru-baru ini, arwah Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, bekas timbalan menteri dalam negeri telah memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan resit JPN, yang mempunyai nama dan nombor kad pengenalan sama dengan pengundi berdaftar, kepada pendatang.

Ramli telah memberitahu sejumlah 200 resit JPN dikeluarkan bagi lima atau enam kerusi dewan undangan negeri, dimana kerajaan merasakan sukar untuk menang, sebelum pilihan raya negeri 1994.

Pilihan raya negeri 1994 menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 25 daripada 48 kerusi dewan undangan negeri.

Akan tetapi beberapa ahli dewan undangan negeri (Adun) PBS melompat menyertai Barisan Nasional (BN), tidak berapa lama selepas itu, menyebabkan kerajaan PBS jatuh.

Ramli berkata bahawa beliau telah menggunakan sejumlah daripada RM1 juta untuk perkara-perkara peribadi dan memberikan baki kepada pegawainya dan untuk menganjurkan festival sukan di Pulau Pinang untuk pekerja bawahannya, menurut Badaruddin.

Pegawai SB itu menambah bahawa Ramli mengedarkan 14,000 resit JPN kalangan pekerja bawahan untuk dikeluarkan kepada pendatang, manakala 2,000 resit peribadi dikeluarkan oleh Ramli kepada orang-orang tertentu.

Seorang lagi bekas pengarah JPN bernama Datuk Abdul Rauf Sani telah menjual 6,305 kepada pendatang Filipina dan Indonesia, termsuk kepada orang tempatan dengan RM167,300 kata ketua SB sabah Datuk Ibrahim Zakaria kepada RCI awal hari ini.

Ibrahim menambah, 94 orang termasuk 24 pegawai JPN ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1994 hingga 2000 kerana mengeluarkan kad pengenalan di Sabah secara haram.

"Tidak, dia (Rauf) tidak mengatakan dia bertindak atas arahan, tetapi dia bertindak sendiri," kata Ibrahim.

"Dari risikan yang saya kumpul, ia lebih kepada untuk mendapatkan ganjaran, keuntungan," kata Ibrahim, yang memakai sut hitam dan tali leher merah.

Ditanya jika Ibrahim percaya bahawa Rauf telah bertindak sendiri, Ibrahim berkata: "Beliau adalah orang pintar, berpendidikan luar negara, sangat komunikatif, mempunyai kedudukan dalam perkhidmatan kerajaan, saya terima apa yang beliau katakan sebagai kebenaran.

" Rauf, bagaimanapun memberitahu RCI baru-baru ini kad pengenalan biru juga dikeluarkan untuk meningkatkan bilangan pengundi Islam di Sabah.

Beliau mengatakan sedar bahawa pendatang di Sabah telah diajar untuk mengundi dalam pilihan raya, jika tidak kad pengenalan mereka akan dibatalkan.

Bekas penolong pendaftar JPN Sabah Kee Dzulkifly Kee Abd Jalil memberi keterangan baru-baru ini 100,000 kad pengenalan biru telah diberikan kepada pendatang Filipina, Indonesia dan Pakistan di Sabah pada tahun 1993.

Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dari 1981-2003, telah dituduh menerajui "Projek IC", di mana kewarganegaraan didakwa diberikan kepada pendatang sebagai ganti kepada undi mereka.

Akan tetapi bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh, yang mentadbir negeri dari 1976 ke 1985, menafikan kewujudan "Projek IC" tersebut.

Dr Mahathir memberitahu sidang media baru-baru ini pendatang asing di Sabah memang menerima kerakyatan, tetapi menegaskan ianya "mengikut undang-undang".

Inkuiri dihadapan bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong akan bersambung esok. -TMI

SAMM Dakwa Syarikat Menteri Monopoli Kontrak Petronas Punca Syarikat Bumi Mati?

Kontraktor pengangkutan kepada syarikat Petronas Dagang Berhad (PDB) memberitahu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) perniagaan mereka terjejas teruk disebabkan kontrak pengangkutan syarikat itu kini dimonopoli oleh syarikat Shaziman Transport Sdn Bhd.

Shaziman Transport Sdn Bhd (STSB) yang didakwa milik seorang Menteri Kabinet dikatakan memonopoli lebih 90 peratus kontrak pengangkutan di sesetengah tempat menyebabkan beberapa syarikat bumiputra lain gulung tikar dan menanggung kerugian.

Menurut pengusaha pengangkutan lori yang ditemui Penyelaras SMMM, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, semua syarikat kontraktor lori lain tidak diberikan ‘trip’ perjalanan tanpa notis awal dengan alasan kononnya untuk menguji kemampuan STSB.

Justeru, Chegu Bard dalam sepucuk suratnya yang dihantar kepada PDB, 26 Januari lalu, menuntut agar PDB dapat menjelaskan isu ini.

“Sebuah syarikat di Melaka yang berurusan dengan PDB sebelum ini memiliki 12 buah lori, menjadi 3 lori sahaja kerana lorinya ada yang dijual dan ada ditarik bank kerana masalah kewangan ekoran penurunan ‘trip’ mendadak oleh PDB yang memberi laluan kepada STSB.

“Ini menyebabkan rata-rata syarikat bumiputra lain di Melaka bukan sahaja hilang pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian RM50,000 ke RM60,000 bulan lepas untuk membayar gaji pokok pemandu lori dan kos berkaitan.

“Di Johor dilaporkan monopoli syarikat STSB yang diberikan oleh PDB hampir 90 peratus menyebabkan banyak syarikat bumiputera lain gulung tikar,” menurut kandungan surat itu.

Menurut Chegu Bard, surat tersebut dihantar melalui faks dan emel dan beliau akan menyerahkan salinan asalnya kepada pejabat PDB di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) minggu ini.

Chegu Bard ketika mengulas isu sama berkata kontraktor terlibat yang beroperasi di Melaka juga ada memberitahu beliau bahawa monopoli kontrak PDB akan berlaku ekoran mereka mungkin dikehendaki mengambil sub-kontrak pengangkutan PDB melalui STSB.

“STSB ini naik dengan cepat sekali, sekali dari cuma beberapa buah lori kini dikatakan sudah memiliki 80 buah lori sehingga STSB disenaraikan sebagai antara peneraju dalam syarikat pengangkutan negara,” ujar beliau kepada TV Selangor.

Menurut beliau dasar monopoli yang diamalkan ini mampu mengundang risiko bahaya kepada ekonomi negara sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap syarikat yang menguasai pasaran.

“Dasar monopoli ini juga punya risiko keselamatan, bayangkan setahun dua ini jika ini berterusan, syarikat lain pasti mati dan 100 peratus PDB bergantung kepada satu syarikat sahaja.

“Bayangkan jika sesuatu berlaku seperti syarikat mogok, menyebabkan berapa banyak stesen minyak akan putus bekalan minyak dan beberapa sektor dalam negara pasti lumpuh,” katanya lagi.

STSB yang dikaitkan dengan Menteri Kabinet ini bukan sahaja mendapat kontrak dari PDB tetapi juga dari Proton, Perodua dan banyak syarikat berkepentingan kerajaan lagi.

Chegu Bard yang enggan menyebut nama menteri yang dimaksudkan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan isu ini melibatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Pemimpin Rasuah Dihumban Ke Penjara Bila PR Memerintah

Pakatan Rakyat bakal menghumban mana-mana pemimpin terlibat rasuah ke penjara sebagai balasan ke atas jenayah dilakukannya, tegas Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, hukuman setimpal itu wajar dilaksana tanpa mengira latar politik dan ia disepakati pimpinan Pakatan untuk membersihkan sistem pentadbiran negara.

“Jika ada pemimpin di mana-mana peringkat yang mengamalkan rasuah, kita akan pastikan mereka bakal menerima hukuman penjara,” katanya di depan 10,000 hadirin pada Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Pekan Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Beliau menempelak kerajaan Umno BN menggunakan isu agama Islam dan nasib orang Melayu menjadi bahan kempen bagi menghalang pemimpin Pakatan.

Anwar berkata, barisan kepimpinan Pakatan dengan dibantu penyokong perlu melengkapkan diri dengan persiapan mental dan emosi sebagai menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

“Kita kena muafakat, kita ambil keputusan, kita berhimpun ikhtiar. Kita kukuhkan jentera ikhtiar, kita pakat KEADILAN, PAS, DAP kita ikhtiar. Akhirnya kita bertawakal kepada Allah. Mudah-mudahan Allah beri kita ukhwah,” katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh mesyuarat Pakatan sebelum ini, tidak pernah terdengar suara dari Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk membalas dendam jika gabungan itu menang PRU13.

“Kita tidak pernah menyuarakan sekiranya kita menang untuk membalas dendam. Tetapi semuanya sepakat sekiranya kita menang, kita akan pimpin dengan adil dan membela nasib masyarakat,” katanya dipetik Sinar Harian.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani; Pengerusi DAP Negeri, Anthony Loke dan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Lajim Ukin. -KD

[ISU NASHA] Pengguguran Nasya Tepat Pada Masanya


Isu Nasha tidak rugikan parti

Tindakan Majlis Syura menggugurkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dilihat tidak merugikan parti walaupun ada pemimpin bimbang dengan keputusan itu, sebaliknya dilihat usaha terbaik untuk mengelak tindak tanduknya diikuti pemimpin Pas yang lain.

Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun berkata, tindakan tersebut juga dianggap tepat pada masanya, melihatkan kepada banyak tindakan Nasharudin yang dianggap mengguris hati pemimpin parti itu.

Katanya, beliau melihat keputusan ini tidak akan menjejaskan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak lama lagi, memandangkan perbincangan sudah dibuat berhubung kesan tindakan ke atas pemimpin tersebut.

Menurutnya, Majlis Syura Ulama telah mengambil kira perkara itu, kerana jika dibiarkan lebih banyak perkara bakal dilakukan Nasharudin seperti mengiringi kepimpinan parti pembangkang ke luar negara tanpa memaklumkan kepada kepimpinan parti.

“Sepatutnya sudah lama beliau dipecat disebabkan tindakan yang dilakukannya selama ini mampu merugikan parti.

“Sebagai contohnya, kita tidak mengalang beliau untuk mengiringi pemimpin parti lain ke luar negara, tetapi beliau perlu terlebih dahulu memaklumkan perkara itu kepada kepimpinan parti untuk mengelak timbulnya fitnah.

“Tindakan itu hanya disedari pemimpin parti Pas, setelah melihatnya gambar beliau bersama pemimpin berkenaan,” katanya, semalam.

Abdul Fatah berkata, Nasarudin agak rapat dengan pemimpin Umno dan itu dianggap bahaya kerana bimbang segala ‘mesyuarat rahsia’ akan dibocorkan kepada mereka.

Menurutnya, Majlis Syura tidak beremosi dalam membuat keputusan, malah dilaksanakan secara matang bagi mengelak dianggap membuat keputusan mengikut perasaan.

Ketika ditanya Sinar Harian kemungkinan Nasharudin akan menukar parti berikutan keputusan tersebut Abdul Fatah berkata, itu tidak mustahil kerana baginya segala kemungkinan boleh terjadi terutama menjelang musim pilihan raya.

Menurutnya, kemungkinan tersebut bukan akan berlaku terhadap Nasharudin sahaja, sebaliknya pemimpin yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti kebiasaannya menggunakan waktu sebegini untuk menunjukkan perasaan sebenar mereka.

“Pada ketika ini mereka ‘berharga mahal’ semuanya bernilai, apatah lagi jika seseorang itu berjawatan tinggi dalam parti.

“Ketika ini tidak mustahil mereka akan lompat parti kerana akan diterima parti pembangkang, termasuk Nasharudin sudah semestinya Umno akan menerimanya jika berbuat demikian,” katanya.

Abdul Fatah berkata, Nasharudin akan diterima Umno kerana dia tidak lantang bersuara seperti Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dianggapnya sukar diterima Umno berikutan kelantangan beliau.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh mengesahkan keputusan pengguguran Nasharudin dari Majlis Syura dan memaklumkan keputusan itu diambil pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

JASA Salah Guna Kuasa, Dana Awam Berkempen Untuk UMNO/BN

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi lebih gementar menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berikutan angin perubahan di rantau ini bertiup kencang termasuk kemenangan Lee Li Lan dari Parti Buruh yang mengalahkan PAP pada Pilihan Raya Kecil Punggol East, Singapura dengan majoriti 3,182 undi.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Najib menjadi lebih gementar kerana sebuah agensi kerajaan menyalahgunakan dana awam dengan menjelajah seluruh negara untuk menyebarkan maklumat bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mendapat dua pertiga majoriti pada PRU-13.

Katanya, Bernama dalam laporannya menyatakan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, Fuad Hassan ketika menjawab satu soalan daripada peserta Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor bahawa BN mampu memenangi dua pertiga pada PRU-13 jika bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan.

“Fuad menjelaskan bagi memperoleh majoriti dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

“Fuad yakin sokongan orang Melayu untuk BN di Johor mampu melebihi 80 peratus manakala sokongan orang India juga telah pulih sepenuhnya daripada kejatuhan PRU 2008, dan begitu juga sokongan masyarakat Cina.

“Fuad secara peribadinya sebagai rakyat Malaysia berhak untuk percaya dan berusaha bagi memenuhi matlamat BN mendapatkan semula majorti dua pertiga pada PRU-13, tetapi bukan urusan beliau untuk mengetuai JASA yang didanai oleh dana awam, berkempen untuk UMNO/BN.

“Ini adalah penyalahgunaan dana awam dan kemudahan kerajaan, penyelewengan kerajaan yang semakin menjadi-jadi, terang-terangan dan berleluasa selepas 55 tahun pemerintahan UMNO /BN,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 74 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman dapat membezakan kepentingan kerajaan, parti politik yang berkuasa dan kapasiti peribadi, yang menjadi sebab penting mengapa rasuah dan penyalahgunaan kuasa diperhatikan dengan tegas pada tahun awal Merdeka tidak seperti tiga dekad lalu yang melampau melakukan penyalahgunaan kuasa dan dana awam.

Katanya, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan Perdana Menteri pada April 1959, kerana merasakan beliau perlu ke serata negara untuk mengukuhkan sokongan terhadap Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum 1959, ketika berdepan cabaran hebat oposisi.

“Tunku meletakkan jawatan untuk sementara waktu antara April hingga Ogos 1959 supaya tidak dituduh menyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai Perdana Menteri apabila mengetuai kempen untuk meraih sokongan umum kepada Perikatan, dan menyambung semula jawatan itu selepas Perikatan memenangi PRU 1959.

“Tindakan Tunku itu tidak dapat dibayangkan hari ini apabila ada jabatan dan Kementerian yang matlamatnya hanya satu iaitu menyalahgunakan kuasa dan dana awam secara terang-terangan dan tidak tahu malu berkempen meraih undi untuk UMNO/BN bagi PRU-13.

“Fuad sepatutnya dipecat daripada Ketua Pengarah JASA, kerana menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya sebagai kakitangan awam dan dana awam. Selain itu, Fuad sepatutnya meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam dan Jabatan Hal Ehwal Khas di bawah Kementerian Penerangan dibubarkan.

“Fuad sepatutnya menyertai UMNO sebagai pegawai khas untuk mempromosikan capaian media sosial untuk UMNO/BN menjelangnya PRU-13, dan gajinya dibayar oleh dana parti, bukannya dana awam kerana itu terang-terangan merupakan matlamat parti politik,” katanya.

Menurut Kit Siang, jelas Fuad dan JASA hanya sebahagian daripada penyalahgunaan jentera awam dan dana awam untuk memenuhi matlamat dan objektif pemimpin UMNO/BN. Ini satu lagi sebab mengapa perlunya UBAH pada PRU-13 untuk mengakhiri secara sistematik penyalahgunaan kuasa kerajaan dan dana awam yang semakin menjadi-jadi dan punca berleluasanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam negara. – Roketkini

Rafizi Gempur Parlimen Zahid Hamidi, Dedah Penyelewengan LTAT


Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli bakal gempur Bagan Datoh, Parlimen Datuk Zahid Hamidi Februari ini bagi menerangkan isu salahguna dan penyelewengan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di bawah pentadbiran Menteri Pertahanan itu.

“Saya bersetuju beberapa tarikh untuk turun ke Bagan Datoh dalam bulan Februari.

“Saya juga masih menunggu saman Zahid Hamidi yang belum dihantar kepada saya. Tapi saya dah setuju turun habis-habisan gempur Bagan Datoh,” tulis Rafizi pada twitternya hari ini.

Zahid 25 Januari lalu memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung satu artikel di dalam laman blognya.

Tegas Rafizi, saman Zahid akan dijawab di mahkamah kerana isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota tentera yang diabai tidak boleh dipadam dengan tipu helah teknologi.

Rafizi semalam turut menolak keras laporan mendakwa beliau memohon maaf kepada Zahid dalam laman facebooknya.

“Kenyataan palsu dan berniat jahat itu dirancang laman pro-Umno dengan tujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat.

“Saya menafikan sepenuhnya kenyataan maaf dan tetap dengan pendirian membawa perkara ini ke mahkamah.

“Saya tidak akan berganjak membawa isu salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia,” katanya pada kenyataan.

Rafizi berkata, tindakan menggodam akaun dan laman pro-Pakatan Rakyat, termasuk laman web dan facebook pimpinan Pakatan berpunca kegagalan Umno BN berdepan pendedahan memalukan.

“Ini kejadian kedua dalam tempoh dua hari selepas laman facebook Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.

“Saya mengutuk muslihat dan tipu helah yang digunakan cybertrooper Umno kerana tidak beretika,” tegasnya.