21 Okt 2010

[Bergambar] Tok Guru Diarak Dengan Menaiki Motor Besar

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.

Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.

“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.

Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.

Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai. -petikan harakahdaily


Dana Pemuda Pas Kelantan diguna beli bangunan UMNO Kota Bharu

KOTA BHARU 20 Okt. - Dewan Pemuda Pas Kelantan menjelaskan wang sebanyak RM4.5 juta yang digunakan untuk membeli Bangunan UMNO Kota Bharu daripada Datuk Zaid Ibrahim adalah hasil kutipan dana yang dilakukan sejak 10 tahun lalu di samping pinjaman bank.

Ketuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, kutipan dana untuk memiliki bangunan tersebut dilakukan sejak Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menerajui kepemimpinan dewan tersebut dan ia diteruskan secara konsisten sehingga sekarang.

Beliau berkata, pemilikan bangunan tersebut juga merupakan satu kemenangan moral kepada Pas apabila berjaya menawan bangunan UMNO selepas genap 20 tahun memerintah Kelantan hari ini.

"Tiga sebab kita membeli bangunan ini, pertama, lokasinya yang strategik, kedua, tawaran yang baik diberikan oleh Zaid dan ketiga, menawan bangunan UMNO adalah kemenangan moral yang besar kepada jentera Pas.

"Proses pembelian bangunan ini bermula sejak setahun lalu selepas Zaid menawarkannya kepada kami, kita juga terpaksa naik turun mahkamah beberapa kali bagi menyelesaikan masalah perundangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Bangunan Asy Syabab Point di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sebagai simbolik, Nik Abdul Aziz telah menaikkan bendera parti tersebut di hadapan bangunan yang baharu saja 'ditawan' daripada parti lawan itu. - petikan UM


foto ehsan Topeng Perak Unmasked



























Mengapa PR Lupakan Peranan Media Reformasi?

Media Reformasi Semakin Dilupakan?

Oleh Shaharul Shafie.

Penulis tiba-tiba terkenang zaman bermulanya gerakan reformasi di negara kita hampir 12 tahun lalu apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) daripada kerajaan Malaysia. Sebelum pemecatan itu, portal-portal berita di internet yang ada hanyalah milik akhbar-akhbar terkemuka di Malaysia seperti Utusan Online, The Star Online, Harian Metro dan beberapa portal lagi.

Namun begitu, selepas pemecatan Anwar dan tidak sampai seminggu selepas itu, muncul beberapa laman web reformasi yang bertindak pemangkin berita alternatif di internet yang dihoskan menggunakan ruang maya yang percuma seperti Tripod.com, Geocities.com, Xoom.com dan sebagainya. Rakyat Malaysia ketika itu banyak bergantung kepada World Wide Web yang majoritinya untuk memeriksa emel sahaja dan pencarian maklumat masih di peringkat minimum. Setelah kejadian pemecatan itu, orang ramai terutamanya golongan muda dan celik IT mula merujuk bahan berita di dalam Internet untuk berita-berita dan maklumat mengenai ’sebelah bukan kerajaan’ untuk aktiviti-aktiviti reformasi di seluruh negara terutamanya di ibu kota. Terima kasih kepada kerajaan ketika Tun Mahathir kerana mengawal laporan berita di dalam media massa kepunyaannya yang menyebabkan laman-laman reformasi wujud

Antara laman-laman web reformasi yang banyak berjasa kepada pertubuhan-pertubuhan berkaitan reformasi antara tahun 1998 ke 2000 adalah seperti ADIL, PKN dan seterusnya berkembang menjadi PKR pada hari ini ialah Laman Mahazalim, Laman Reformasi Nasional (RN), Doi Moi, Laman Marhaen, Mahafiraun 2020, Komentar, Keadilan Dot Org, Anwar Online, Tranungkite, Reformasi Ummah dan Wartawan Rasmi Laman Reformasi yang mula mengambil tempat di hati pencari maklumat reformasi di internet ketika itu. Hanya Laman Wartawan Reformasi dan Tranungkite sahaja yang masih kekal sehingga hari ini dan boleh dikatakan paling lama bertahan hampir 10 tahun.

Penulis masih ingat lagi pada tahun 1999 apabila ada pihak mengambil kesempatan mencetak berita-berita dari Laman RN setiap pagi di Kuala Lumpur untuk dijual dengan harga RM1 senaskah untuk mereka yang kurang celik IT dan mereka yang tidak mempunyai kemampuan memiliki sambungan Internet. Harga sewaan Internet yang lembap ketika itu menggunakan sistem Dial Up Connection dan harga sebuah komputer yang agak mahal menyebabkan golongan tersebut mengambil kesempatan mencetak dan menjual berita reformasi di Internet. Ketika itu, laman-laman Malaysiakini, The Malaysian Insider, Merdeka Review, Malaysia Today dan Free Malaysia Today belum wujud sepenuhnya lagi dan hanya wujud selepas tahun 2001. Namun begitu disebabkan dengan jumlah dana yang mampu dikumpul mereka telah membolehkan laman mereka kini berkembang maju dan semakin ‘mahal’ pada hari ini.

Sekarang, golongan pencetak ini tidak mampu membuat urusniaga seperti 11 tahun lalu. Ini kerana sudah ramai rakyat Malaysia mampu milik komputer dan mempunyai sambungan Internet yang berkelajuan tinggi dengan Jalur Lebar sekurang-kurangnya. Bukan itu sahaja, semua orang sudah mula kenal dengan blog apabila banyak syarikat blog antarabangsa menyediakan perkhidmatan blog percuma seperti Blogspot dan Wordpress di samping dengan pengenalan laman-laman kenalan seperti Facebook dan Myspace yang mula digilai oleh rakyat Malaysia sejak tahun 2005.

Tujuan penulis menceritakan sejarah lama media reformasi bukannya sekadar ingin mengenangkan masa-masa yang lalu yang penuh dengan nostalgia dan semangat perjuangan. Laman-laman yang disebut di atas (perenggan ketiga) banyak menyumbang peluang kepada pejuang-pejuang politik yang kita kenal hari ini untuk menulis buah bicara, maklumat, berita dan manifesto perjuangan mereka untuk diketahui oleh umum. Dahulunya mereka hanyalah pejuang di jalanan yang berlari bertempiaran disembur gas pemedih mata dan air gatal dari meriam air FRU dan kini mereka sudah memegang jawatan penting sebagai wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.

Malah, ada yang turut memegang jawatan Exco kerajaan negeri dan pemimpin kanan beberapa kerajaan negeri. Penulis masih ingat lagi, laman-laman web reformasi digunakan untuk tujuan mengumpulkan para pendemo jalanan untuk turun ke jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan dengan hasil kerjasama laman-laman web reformasi inilah menyampaikan maklumat kepada umum, program-program demo menentang kerajaan berjalan dengan baik dan mendapat sambutan ramai. Malah penulis atau pengendali Laman Malaysia Today iaitu Raja Petra Kamaruddin dan penulis-penulis seperti Mohd Sayuti Omar, Badrul Amin Bahron, Hishamudin Rais, Allahyarham Rustam Sani, Saifuddin Nasution, mendiang M.G Pillai, Aziz Bari, Chandra Muzaffar (ketika itu bersama gerakan reformasi) dan ramai lagi pernah memberi sokongan dengan menyebarkan bahan penulisan mereka di laman-laman reformasi lama yang popular seperti RN, Mahazalim, Laman Marhaen dan banyak lagi.

Itu adalah kisah hampir sedekad lalu yang tidak akan dilupakan oleh penulis yang berada seangkatan dengan mereka di zaman awal reformasi bermula. Kini, wujud pula laman-laman web ’reformasi’ yang bergerak secara profesional dari segi laporan berita dan artikelnya sebagai portal berita seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, Malaysian Digest, Malaysian Chronicle dan banyak lagi. Gaya penulisannya yang dilihat professional mampu menarik banyak pembaca terutamanya mereka yang tergolong di kalangan warga kota. Laman-laman ini adalah hasil usaha oleh bekas wartawan dan penyunting berita berbangsa bukan Melayu. Hanya baru-baru ini pula, Laman KL-Today.com mula memasuki pasaran dan laman ini yang bersifat pertengahan mengenai politik negara merupakan laman portal berita bersifat professional milik Melayu yang pertama setakat ini.

Meskipun begitu, laman-laman web reformasi yang kini masih dianggap ’jalanan’ sedangkan bekas-bekas penulis dan penyumbang artikelnya kini selesa memegang tampuk kuasa di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) dan menjadi ahli-ahli Parlimen. Laman-laman reformasi ’jalanan’ ini masih lagi cuba merelevankan perjuangan mereka walaupun digugat oleh laman-laman portal professional pro-reformasi seperti Malaysiakini. Memang sukar untuk mereka mengekalkan kewujudan mereka sejak tsunami politik yang melanda negara ini pada pilihanraya umum tahun 2008. Kini, mereka seolah-olah sukar mendapat perhatian daripada ’mereka’ yang pernah ’terhutang budi’ kepada perjuangan laman-laman reformasi yang menaikkan mereka ke tahap sekarang.

Bila mereka menang dan membentuk kerajaan, laman-laman reformasi ini dilupa dan disisihkan. Mereka lupa bahawa keadaan mereka yang ada hari ini yang mentadbir banyak negeri disebabkan kesan fenomena maklumat berterusan yang disalurkan oleh laman-laman reformasi yang didirikan dengan sukarela dan penat lelah tidak berbayar kerana ikhlas di dalam perjuangan. Kini, laman-laman pro reformasi mengharapkan berita yang dikutip dari laman web professional seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan lain-lain lagi untuk disiarkan. Namun begitu, laman pro reformasi jalanan ini masih mendapat pujaan rakyat Malaysia untuk menyampaikan berita setempat dan pandangan mereka. Hanya selepas PRU 2008, kini laman reformasi boleh dilihat bukan sahaja menyajikan berita dan pandangan yang berbeza mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi juga ada yang mula menyajikan pandangan rakyat marhaen mengenai ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan-kerajaan negeri PR sendiri.

Biarlah saya berterus-terang di sini. Dalam ayat yang mudah, saya kira kecewa dengan sikap pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lupa akan jasa baik laman-laman reformasi yang telah membawa mereka sehingga ke tahap ini. Apabila mereka memiliki kuasa pentadbiran, mereka sudah lupa akan tanggungjawab mereka untuk meneruskan hubungan baik yang penuh simbiosis dengan laman-laman pro-reformasi. Kini, setelah bergelar ahli Parlimen dan Exco kerajaan negeri terutamanya di negeri Selangor, mereka mengorak langkah menggunakan sumber baru penyampai maklumat seperti TVSelangor, Selangorkini dan media-media portal berita yang terkemuka sahaja seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Merdeka Review sebagai wadah komunikasi mereka dengan rakyat. Laman-laman portal ini seringkali mudah mendapat jemputan untuk ditemuramah, menerima kenyataan akhbar untuk penyiaran, maklumat serta berita aktiviti parti dan kerajaan bagi menyiarkan bahan-bahan maklumat mereka. Jika dahulunya, apabila mereka mengadakan program dengan rakyat, mereka tidak akan lupa untuk emelkan kepada laman reformasi bagi menyiarkan bahan mereka secara terus. Tetapi kini para webmaster laman reformasi kena mencari sendiri bahan dan mengharapkan ihsan orang ramai yang mengirim berita dan gambar program yang dilakukan.

Kenapa saya kata PKR dan bukannya DAP dan PAS? Setakat ini, hubungan laman pro reformasi masih dihargai oleh PAS dan DAP. Pemimpin PAS terutamanya naib-naib presidennya selalu mengadakan sidang media dengan menjemput wakil-wakil dari media reformasi. Pemunya laman web pro reformasi juga dijemput untuk makan malam penghargaan dan program-program kerajaan di negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah. DAP walaupun dilihat sebagai parti majoriti Cina juga terus menghargai laman-laman web pro reformasi milik Melayu dan selalu meraikan mereka di program-program parti dan masyarakat. Untuk PAS pula, walaupun mereka sudah mempunyai jentera komunikasi yang berkesan melalui HarakahDaily.com, mereka tetap menghargai pejuang laman reformasi.

Tetapi bagi pemimpin-pemimpin PKR yang mungkin mabuk kuasa dan hanya mahu mencapai kedudukan jawatan di dalam kerajaan, dalam tempoh dua tahun ini, kebanyakan laman web reformasi seakan-akan dilupakan apabila mereka mempunyai jentera media baru terutamanya di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bukan itu sahaja, pemimpin PKR negeri mempunyai masalah komunikasi bagi menerangkan isu-isu parti dan nasional melalui media-media alternatif kepada rakyat. Media-media alternatif di sini bukan sahaja media internet yang pro reformasi tetapi juga media bercetak yang pro reformasi seperti yang ada di pasaran hari ini seperti Siasah dan Kabar.

Saya mendapat maklumat yang meyakinkan mengenai ada beberapa pegawai atau setiausaha akhbar kepada para pemimpin PKR yang menjawat jawatan di dalam kerajaan negeri gagal memainkan peranan di dalam penyebaran maklumat selain dari masalah sukar dihubungi. Jika ditinjau siapa pegawai-pegawai ini, kebanyakan setiausaha akhbar ini adalah bekas pemimpin mahasiswa yang kebanyakannya berumur di pertengahan ke lewat 20an. Mereka ini bukan sahaja tidak berpengalaman atau lemah di dalam mengatur program komunikasi dengan para wartawan tetapi juga angkuh dan pilih bulu bila berhadapan dengan para wartawan media reformasi.

Bagi saya, tidak hairanlah ’budak-budak muda’ ini angkuh atau lemah di dalam peranan mereka sebagai pegawai akhbar. Jika diikutkan umur mereka, saya yakin ketika awal bibit reformasi bermula 1998, mereka mungkin masih berada di awal sekolah menengah dan di akhir sekolah rendah. Kejiwaan mereka sebagai generasi reformasi adalah kurang dan ini menyebabkan mereka tidak menghayati sejarah reformasi sendiri dan akur akan peranan media alternatif di dalam membawa parti dokongan mereka ke tahap yang ada pada hari ini.

Saya tidak berkata semua pemimpin PKR sedemikian rupa tetapi berani saya katakan majoriti daripada mereka sudah lupa jasa media alternatif. Mungkinkah jika mereka kalah dalam pilihanraya umum akan datang dan kehilangan negeri Selangor akan menyebabkan mereka kembali ke ’jalanan’ dengan media-media alternatif ’jalanan’ sebagai wadah komunikasi dengan rakyat? Itu satu persoalan yang saya mahukan pemimpin PKR Selangor rungkai sendiri. Saya juga diberitahu pemimpin-pemimpin yang pernah berjuang di jalanan yang dulunya mudah didekati tetapi kini sudah sukar pula dihubungi. Malah, pegawai-pegawai akhbarnya juga mengalahkan ketuanya yang ’Yang Berhormat’ juga sukar ditemui atau dihubungi oleh pihak media alternatif jalanan. Mengalahkan bapa menteri kerajaan BN untuk ditemui walaupun hanya memegang jawatan ahli Parlimen dan pemimpin kerajaan negeri. Bagi wartawan jalan ini, jika bernasib baik bolehlah dijumpai di lobi Parlimen sahaja kalaulah dapat bolos pengawal Parlimen.

Saya menulis di sini atas kapasiti individu dan tidak mewakili mana-mana pengendali atau wartawan media ’jalanan’ di negara ini. Namun begitu, saya yakin ramai daripada mereka mungkin bersetuju dengan saya mengenai sikap beberapa pemimpin PKR yang mula menjauhi media web reformasi. Malah, setiap kali mesyuarat agung PKR selepas era tsunami 2008, ramai daripada mereka ini sebenarnya merasakan dipinggirkan dan berita-berita semasa perhimpunan itu pun dikutip dari laman web portal alternatif yang terkemuka ataupun dari laman Suara Keadilan dengan ikhlas menyiarkan bagi tatapan umum.

Walaupun PAS sudah cukup baik memiliki HarakahDaily sebagai sumber maklumat internet dan akhbar tetapi mereka masih membuka ruang kepada pengendali laman web reformasi untuk hadir untuk membuat liputan Muktamar mereka. Program-program rakyat dengan DAP di Pulau Pinang terutamanya dengan orang Melayu Pulau Pinang juga dapat dihadiri oleh wartawan jalanan ini kerana dijemput. Boleh dikatakan, sejak tahun 2008, liputan-liputan laman web reformasi lebih banyak yang melaporkan berita-berita berkaitan pemimpin DAP seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng dan pemimpin PAS jika dibandingkan dengan pemimpin PKR sendiri.

Kita tidak tahu di mana silapnya di dalam PKR itu sendiri. Siapa yang silap? Sama ada kelemahan jentera penerangan PKR sendiri ataupun sikap pemimpin PKR yang sudah berangan-angan besar menjadi pemimpin negara yang hanya memandang tinggi portal berita profesional seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider yang mereka yakin mempunyai pengaruh yang lebih besar. Saya kiranya tidak menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya yakin beliau amat menghargai peranan media reformasi yang banyak membantu membangunkan imejnya yang runtuh pada tahun 1998.

Anwar adalah manusia biasa dan kini mempunyai banyak perkara lain yang perlu dihadapinya sebagai pemimpin utama pembangkang dan juga isu dakwaan Liwat II. Beliau hargai peranan media reformasi yang berjaya menangkis imej dan persepsi buruk yang cuba diterapkan oleh kerajaan melalui media kerajaan tetapi kini apabila PKR melangkah satu lagi langkah selepas PRU 2008, media reformasi kini makin dilupakan. Andaikata, Anwar ada membaca artikel ini, moga-moga beliau menasihati pemimpin-pemimpin di bawahnya di dalam PKR supaya mengenang semula masa lampau perjuangan bersama media-media reformasi jalanan.

Meskipun laman web reformasi jalanan kini tidak lagi ’diiktiraf’ oleh kebanyakan pemimpin PKR pada hari ini, perlu diingatkan rakyat masih berpusu-pusu masuk ke dalam laman web reformasi pada hari ini walaupun portal professional seperti Malaysiakini terus digemari. Laman-laman reformasi seperti Perisik Rakyat, Kerajaan Rakyat, Tranungkite dan lain-lain lagi yang masih kekal pada hari ini akan terus dilihat sebagai pasak kepada perjuangan reformasi di negara ini. Tidak kira sama ada PR mampu menawan Putrajaya atau tidak, laman-laman ini akan terus kekal hidup dalam masyarakat reformasi hari ini dan di masa akan datang. -kl-today

Ulasan GB

Terima kasih kepada sdra Shaharul Shafie di atas tulisannya di atas yang menunjukkan masih ada yang simpati dan mengerti kepada kami, para reformis jalanan.

Soalnya, mereka melupakan kami? Merekalah yang bakal terima bahananya. Kami, insyaAllah macam biasa meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, bukan menegakkan Anwar atau TG Hadi Awang atau mana-mana batang tubuh seseorang.

Waktu PR menang besar pada 1999 dan 2008, YB-YB ini kebanyakan tidak menyedari siapa yang menyebabkan mereka memperolehi kemenangan. Maka sebab itu mereka tidak pedulikan nasib kami lagi. Mereka tiba-tiba menjadi takbur dan menyombong diri.

Selain itu timbul pula tukang ampu tukang bodek YB-YB ini. GB pula jadi sasaran caci maki, kononnya tak ikhlas diri. Mereka ini reformis palsu malah tukang komen dan kritik di blog-blog seperti blog GB ini. Pantang lambat atau tidak menyiarkan komentar mereka, terus mereka melenting kata GB ni gitu gini. Mereka ini sebenarnya tidak pernah pun menjadi reformis, hanya tukang perhati tukang caci. Tak pernah kena belantan FRU di demontrasi, tak pernah masuk lokap dan tak pernah masuk ICU macam yang telah GB alami. Mereka ini penakut sebenarnya, tak penah dedah identiti hanya berani membalun belakang GB.

GB pernah mengulas isu ini di SINI dan SINI

Dulu GB pernah berpesan:

Blogger telah membuktikan kemampuan mereka memberi kemenangan kepada Anwar, Wan Azizah, Nurul Izzah atau mana-mana juga pemimpin PKR. Namun blogger juga mampu membawa kekalahan kepada sesiapa yang dilihat sudah lari dari perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. InsyaAllah.


Pencak Terakhir Najib Sebelum UMNO BN Disemadikan

Najib: Pertahan Putrajaya walau apa terjadi, 2011 tahun ‘unik’

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Meskipun Datuk Seri Najib Razak tidak membayangkan tahun depan sebagai tahun pilihan raya umum tergempar, tetapi memberitahu ahli-ahli Umno hari ini bahawa “tahun 2011 bukanlah sembarangan” tahun.

“Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka.

“Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka.

“Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis,” kata beliau yang merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan 2010 dengan acara perbarisan dan menaikkan bendera Umno di Dataran Putra sebelum itu.

Banyak pihak membuat spekulasi pilihan raya umum ke-13 tergempar kemungkinan diadakan selepas suku kedua tahun depan walaupun mandat semasa hanya akan berakhir Mei 2013.

Dalam ucapannya bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran”, Najib berpesan bahawa walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti dipertahakan.

“Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan.

“Berpasaklah kepada parti Umno. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional.

“Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!” kata Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN. petikan dari TMI

Ulasan GB

Menarik ucapan Najib, Presiden UMNO diperhimpunan kali ini. Ia mendedahkan satu pengakuan dari hati kecil Najib sendiri bahawa UMNO BN kini berada di dalam situasi amat kritikal. Lalu beliau terpaksa menyuarakan setulus hatinya

"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa"...

yang menunjukkan bahawa UMNO BN kini sudah berada di tubir jurang keruntuhan.

Roda kehidupan berputar. Sememangnya itu adalah satu ungkapan akhir dalam mana-mana perjuangan dan rasanya Najib akan menutup tirai pemerintahan UMNO BN selepas pilihanraya kali ini.

Kuasa Tuhan - siapakah yang mampu menandingiNya?
Di situlah dimana pemimpin-pemimpin UMNO lupa.


Sikap Double Standard UMNO Dikecam. Pelajar UKM Terlibat Dalam Perhimpunan UMNO.

Siswa berpolitik: Umno memang double standard

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ahli parlimen muda Pakatan Rakyat mendakwa kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyokong hak mahasiswa berpolitik dalam Perhimpunan Agung Umno lalu sebagai kenyataan populis politik.

Biarpun Khairy dilihat lantang dalam isu tersebut, namun kerajaan Umno BN sebenarnya tidak mempunyai hasrat untuk membuka ruang tersebut kepada mahasiswa negara ini.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, mereka berkata, jika Umno mahu memberi ruang sekalipun, tentunya ianya sangat double standard seperti apa yang berlaku pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, kementerian juga menunjukkan sikap double standard jika mahasiswa jurusan sains politik terbabit dalam kajian politik sempena kempen pilihan raya akan dikenakan tindakan.

Ini, katanya seperti apa yang berlaku kepada empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Auku.

"Tetapi pada masa yang sama, dua mahasiswa UKM didapati terbabit dengan perbarisan Perhimpunan Agung Umno. Adakah mereka ini akan dikenakan tindakan?" soal beliau yang juga Ketua Pemuda Dapsy.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula membidas tindakan Umno yang ‘mengusung’ pelajar luar negara menghadiri perhimpunan Umno.

Menurutnya, jika benar mahasiswa tidak boleh berpolitik, kenapa Umno sendiri melibatkan mahasiswa tersebut dengan politik mereka.

"Kerajaan Umno BN bertindak zalim terhadap 4 mahasiswa UKM yang terlibat (membuat kajian politik) dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor sedangkan ramai pelajar di luar negara yang menganggotai kelab Umno dibiarkan begitu sahaja," tegasnya.

Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar pula berkata, tindakan Umno melarang mahasiswa terlibat dengan politik khususnya pembangkang, adalah kerana mereka takut kepada golongan cerdik pandai.

"Umno ini tak mahu orang bijak pandai ini menyertai politik, dia mahu orang tua-tua di ceruk kampung sahaja sebab senang dia nak tipu," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.


Siswa UKM sertai raptai perhimpunan Umno?



Dua mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) didakwa turut mengambil bahagian dalam raptai penuh perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Oktober lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai Kesatuan Mahasiswa Mahasiswa Sedar (KEMAS) mendakwa ia dapat mengecam kedua-dua mahasiswa UKM itu di dalam foto yang disiarkan akhbar Berita Harian pada hari berikutnya.

Perasmian perhimpunan agung Umno tahun ini akan disempurnakan oleh Presiden Umnno, Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC esok.

KEMAS mendakwa mahasiswa terbabit adalah daripada Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Kejuruteraan UKM.

"Kehadiran mereka ini juga berkaitan rapat dengan pernglibatan pentadbiran universiti dengan parti Umno," kata jurucakap KEMAS, Fathi Hisham (dua dari kiri) yang membaca satu kenyataan hari ini.

Katanya, KEMAS juga yakin penglibatan mahasiswa UKM dalam perhimpunan agung Umno kali ini melebihi dua orang.

Fathi yang juga pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata gambar tersebut menunjukkan mahasiswa terlibat memakai baju Melayu Putih, bersongkok dan bersampin yang mempunyai logo Umno.

Kejadian itu, katanya, adalah sama sepertimana kes mahasiswa yang telah dikenakan hukuman di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) - Saudara Soh Sok Hua - yang dihukum kerana gambarnya tersiar di akhbar dengan memakai pakaian yang mempunyai logo parti politik beberapa tahun lalu.

Sementara itu, setiausaha KEMAS Syamir Zulkefli (Foto atas: yang pegang mikrofon) - dalam kenyataannya - menggesa pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti berkenaan supaya segera menyiasat perkara ini mengikut undang-undang dan prosedur seharusnya.

Beliau juga mendesak agar Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin supaya menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penglibatan pentadbiran universiti dan mahasiswa dalam perhimpunan agung Umno itu.

Sementara dalam sidang media selepas itu, Fathi berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara tersebut melalui sumber yang dipercayainya.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti dan jumlah individu sebenar yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

"Mungkin satu pasukan diarahkan (menyertai perhimpunan)....Saya tidak mahu menyatakan (jumlahnya) pada hari ini," katanya.

Sementara itu, Malaysiakini telah cuba menghubungi ketua penolong pendaftar kanan hal ehwal pelajar UKM, Musa Zainal Abidin Othman.

Bagaimanpun, Malaysiakini dimaklumkan oleh pejabatnya bahawa beliau sedang menghadiri bengkel di Sabah dan dijadualkan pulang esok. -mk


[Bergambar] Galas - Semboyan Telah Dibunyikan, Gendang Sudah Dipalu

PAS dahului Umno gerak kerja di Galas

GUA MUSANG, 20 Okt: PAS terus mendahului Umno dalam melaksanakan gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas apabila melancarkan jentera pilihan rayanya malam tadi.
Sedangkan Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua nahkoda di Galas.

Pertembungan team Tengku Razaleigh Hamzah dengan Pemuda dan Wanita Umno Bahagian mulai kelihatan sekarang.

Selain itu kehadiran ribuan penduduk tempatan pula memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan veteran parti itu, Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas kelihatan ramai masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pelancaran jentera pilihan raya PAS dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, kepimpinan PAS negeri dan wakil-wakil rakyat.

Permulaan yang baik itu disifatkan kalangan petugas media memberi kelebihan kepada PAS berbanding dengan Umno yang hanya mengharapkan bantuan sepenuhnya jentera kerajaan persekutuan.

Datuk Nasuruddin Daud menyifatkan kehadiran begitu ramai malam tadi membayangkan kehendak rakyat Galas bagi mengekalkan momentum Mac 2008.

Katanya dari awal lagi sudah kelihatan semangat pengundi di Galas bagi meneruskan perjuangan yang ditinggalkan Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Husam pula menyifatkan tiada rungutan ditimbulkan penduduk bukan Islam di Galas terhadap kerajaan negeri di mana ia menggambarkan penerimaan mereka terhadap kerajaan PAS.

“Orang Cina dan Orang Asli nampaknya berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan kerajaan negeri. Masalah pemilikan tanah di kalangan masyarakat Orang Asli diselesaikan.

“Biar pun masyarakat Orang Asli berada di bawah pengurusan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, namun kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah tersebut,”
katanya pada ceramah sempena pelancaran jentera pilihan raya PAS Dun Galas.

Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, kehidupan masyarakat di Dun Galas, Gua Musang mencerminkan keadaan sebenar rakyat Malaysia kerana mempunyai komposisi pelbagai kaum dan budaya.

Katanya, penduduk di Galas terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta rakyat yang mengundi Allahyarham Chek Hashim pada pilihan raya umum lalu terus kekal mengundi PAS bagi membolehkan perjuangan ditinggalkan wakil rakyat terbabit dapat diteruskan.

“Teruskan apa yang telah kita lakukan pada pilihan raya umum lalu, manakala bagi yang belum mengundi PAS hendaklah sama membantu bagi mengekalkan kemenangan pada pilihan raya lepas,” katanya.

Timbalan Presiden PAS pula membayangkan pilhan raya umum ke-13 diadakan lebih awal memandangkan usaha menggula-gulakan rakyat dilakukan perdana menteri ketika membentang Bajet 2011 pada persidangan parlimen Jumaat lalu. -harakahdaily


Calon PAS: Dr Zulkefli atau Pandak Panjang Ey?

Timbalan yang dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad atau ketua perhubungan Orang Asli DUN Galas, Pandak Panjang Ey.

Salah seorang daripada mereka disebut-sebut akan dipilih sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil DUN Galas 4 November ini.

Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat akan mengumumkan calon PAS jam 9 malam ini di Dataran Ilmu yang terletak bersebelahan dengan Masjid Faiz di Gua Musang.

PAS akan mengumumkan malam calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Galas dan dua nama yang disebut-sebut ialah:

Dr Zulkefli adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008, manakala Pandak Panjang Ey adalah seorang jurutera.

Menurut sumber-sumber PAS, kedua-dua calon tersebut adalah antara sepuluh calon yang diserahkan oleh PAS Kelantan kepada PAS Pusat untuk pertimbangan.

Kata sumber lagi, mereka juga merupakan calon yang mengisi dua tempat teratas dalam senarai calon itu dan disebut-sebut mewakili PAS dalam pilihan raya kecil 4 November ini.
Malaysiakini difahamkan tiga lagi nama yang turut disenaraikan ialah naib yang dipertua PAS Gua Musang, Husin Embong; setiausaha PAS Gua Musang, Azman Ahmad; dan ketua Dewan Pemuda PAS Gua Musang, Abdullah Husein.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim, 48, akibat barah usus pada 27 September lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim, berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, dengan mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Chek Hashim mendapat 4,399 undi, menewaskan penyandang dari BN, Mohd Saufi Deraman 3,753 undi.

Selain Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP Lim Kit Siang juga dijadual hadir dalam majlis pengisytiharan calon malam ini. -mk



PAS tampil calon terbaik untuk masyarakat Galas

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ahli Parlimen PAS Kelantan yakin, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas yang akan diumum malam ini adalah terbaik untuk rakyat di Dun itu.

Bagi Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli, beliau yakin segala pertimbangan sudah dibuat kepimpinan parti bagi memastikan calon PAS yang akan mewakili Pakatan Rakyat pada PRK itu bukan sahaja mampu menjadi wakil rakyat, malah juga mampu meneruskan legasi khidmat cemerlang Adun sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, kaedah pemilihan calon yang bermula dengan PAS negeri membuat saringan di peringkat PAS kawasan, kemudian dibawa ke PAS pusat dan seterusnya kepada Majlis Syura PAS, sudah cukup untuk memastikan calon yang bakal diketengahkan adalah calon terbaik dari segala aspek.

"Saya yakin, siapa juga calon yang akan diumum malam ini adalah yang terbaik kerana telah melalui saringan di peringkat akar umbi.

"Tentunya calon tersebut seorang yang dikenali rakyat Galas dan sumbangannya juga diketahui umum masyarakat di situ,"
katanya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Seorang lagi Ahli Parlimen PAS, Datuk Kamarudin Jaffar juga mempunyai pandangan serupa.

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat berkata, calon yang akan diumum malam ini tentunya sesuai dengan kondisi masyarakat Galas yang rencam.

"Galas ini kawasannya luas, ada penduduk bandar dan ada luar bandar. Tentunya calon yang dipilih adalah calon yang menguasai keadaan di Galas ini," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Selain itu jelasnya, calon yang akan dipilih PAS juga sudah tentu calon yang memahami kepelbagaian kaum di Galas yang terdiri daripada Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli.

"Saya yakin calon itu nanti akan mempermudah kempen kita bagi mengekalkan Dun Galas," katanya.

Dalam pada itu, PAS akan mengumumkan calon mereka malam ini bertempat di perkarangan Markas Besar PAS di Bandar Lama bersebelahan pejabat pos Gua Musang.

Ketiga-tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah mengesahkan kehadiran malam ini.

Pengumuman malam ini juga adalah bersempena ceramah perdana sambutan 20 tahun pemerintahan PAS di Kelantan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - harakahdaily


Foto ehsan Topeng Perak Unmasked














[Bergambar] Tawan Bangunan UMNO Simbolik Tawan Putrajaya

Tawan’ bangunan Umno simbolik tawan Putrajaya

KOTA BHARU, 20 Okt: Dengan ‘tertawan’nya bangunan Umno Bahagian Kota Bharu yang kini menjadi hak milik Dewan Pemuda PAS Kelantan, diharap ia menjadi simbolik untuk ‘menawan’ Putrajaya nanti.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sekiranya bangunan milik Umno Bahagian Kota Bharu itu dapat ‘ditawan’ Pemuda PAS semoga ianya dijadikan perangsang untuk menawan negara pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan bangunan baru Dewan Pemuda PAS yang bernilai RM4.5 juta, pagi tadi.

Katanya, kejayaan itu hasil kemenangan perjuangan yang didokong semua pihak khususnya golongan pemuda dalam menggalas tanggungjawab menyebarkan dakwah Islam.

“Kalau kita dapat menawan Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan, diharap pada masa akan datang kita dapat menawan Putrajaya,” ujarnya.

Majlis perasmian bangunan yang dinamakan Asy-Syabab Point itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang apabila Tuan Guru diarak ke pejabat berkenaan dari JKR 10 dengan menaiki motosikal yang diiringi 20 orang pemuda.

Tarikh 20 Oktober dipilih tarikh perasmian dan 20 orang pemuda mengiringi Tuan Guru menaiki motosikal klasik diketuai Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa sebagai simbolik sempena 20 tahun pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, pada sidang media berkata dana pembelian bangunan tersebut diperolehi dari sumbangan orang ramai.

Katanya, ianya telah dikumpul menerusi empat kepimpinan Dewan Pemuda bermula Datuk Takiyuddin Hassan lagi.

“Namun yang lebih penting kita juga turut membuat pinjaman bank,” ujarnya. -harakahdaily


Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

“Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

“Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk’ Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat. -harakahdaily


Foto ehsan Topeng Perak Unmasked