22 Dis 2014

[BENGONG] PAS Selangor Wajibkan PKR Sokong Hudud Di K'tan, Negeri Sendiri Tak Payah


PKR wajib sokong hudud di Kelantan, kata PAS Selangor

PKR wajib menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud, memandangkan pemimpin tertingginya beragama Islam, kata PAS Selangor.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zaidy Abdul Taalib berkata PKR ‎tidak sewajarnya mengikut jejak langkah DAP yang menolak hudud kerana parti itu majoriti ahlinya bukan beragama Islam.

"Kepada orang bukan Islam, kita tidak boleh nak paksa.

"Tetapi bagi orang Islam, kita ada kewajipan untuk menerimanya. Kita mesti percaya, ada akidah. Kalau tolak, kita berdosa dan sebagainya.

"Justeru, dari sudut orang beragama Islam, PKR mesti menyokong," katanya kepada pemberita di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) di Gombak, Selangor, hari ini.

PKR Pusat akan bermesyuarat hari ini di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor pada jaml 3 petang ini untuk memutuskan pendirian parti itu mengenai hudud.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan undang-undang yang akan dibawa PAS dalam Dewan Rakyat itu sebagai “bermasalah”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer itu berkata, perjuangan PAS sejak awal jelas bertegas mahukan hudud, selaras dengan perlembagaan parti itu yang mahu wujudkan pemerintahan Islam.

Katanya, PAS kini perlu menjalankan peranan berdakwah untuk memberi kefahaman kepada rakyat termasuk mendapatkan sokongan daripada bukan Islam bagaimana hukum hudud itu mampu mengurangkan jenayah.

"PAS dalam perlembagaan jelas menyatakan ingin mewujudkan masyarakat dan pemerintahan yang ada nilai Islam selaras dengan ajaran agama.

"Sekarang ini tanggungjawab PAS untuk memberi kefahaman. DAP dari sudut kefahamannya, dia kita tak boleh memaksa mereka," katanya.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor itu bagaimanapun optimis pergeseran isu hudud tidak akan menjejaskan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, (PR).

Tidak seperti Barisan Nasional (BN), Zaidy berkata keterbukaan setiap parti PR menyatakan pendirian masing-masing menjadikan proses hubungan antara tiga parti semakin matang.

"Keterbukaan inilah kekuatan kita. Kalau tidak setuju, daripada situ kita berbincang. Kita nak kecilkan (perbezaan) ketidaksetujuan dan itulah kekuatan PR," katanya.

Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya minggu lalu dalam satu resolusi bertegas menolak hudud dilaksanakan di negeri atau pusat dan dipersetujui sebulat suara 938 perwakilan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata PR mesti jelas dengan kedudukannya jika mahu menawan Putrajaya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Itu mesti jelas kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana, bukan pengundi ekstrem," katanya.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam responsnya menyifatkan tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan hak PAS memperjuangkan hudud di Kelantan amat tidak wajar.

"Ia satu percubaan meretakkan hubungan di kalangan PR," katanya. -TMI


Selangor belum sedia laksana hudud, kata exco agama PAS

Pelaksanaan hukum hudud belum sesuai dijalankan di Selangor berdasarkan komposisi kaum dan keadaan semasa negeri ini, kata Exco Selangor dari PAS, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, lapor Selangorkini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu berkata, berbeza dengan Kelantan, pelaksanaan hudud di Selangor memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

Katanya, pemahaman dalam perkara berkaitan termasuk penerangan dan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan supaya ianya difahami sepenuhnya dan tidak disalah ertikan.

“Di Selangor, saya kira kita masih lagi belum bersedia kerana yang penting untuk melaksanakannya ialah memahami sepenuhnya berhubung perkara ini.

“Pendidikan kepada masyarakat bukan sahaja kepada orang bukan Islam tetapi orang Islam itu sendiri. Mereka perlu faham kenapa kita (PAS) hendak bawa syariat Islam ini,” katanya yang juga Bendahari PAS Selangor sebagaimana dilaporkan lidah rasmi kerajaan negeri, Selangorkini.

Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun Jenayah Syariah II bagi membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.

Ia dibuat selepas Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk di peringkat negeri dan Persekutuan sudah lapan kali bermesyuarat, lima di peringkat negeri dan tiga di peringkat pusat.

Cadangan Kelantan ini sekali lagi menimbulkan konflik dalam Pakatan Rakyat di mana DAP menentangnya manakala Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap cadangan ini 'bermasalah'.

Bagi DAP, hudud akan menghalang PR untuk ke Putrajaya. Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah menjawab, tanpa hudud pada Pilihan Raya ke-13 (PRU13), ia juga tidak membawa Pakatan ke Putrajaya.

Dalam pada itu, Dr Ahmad yakin tidak berbangkit soal PR berpecah ekoran isu hudud ini.

"Saya tidak nampak begitu (pecah), ia tidak selari dalam beberapa isu sahaja tetapi kena lihat persamaaan antara parti itu dan banyak benda-benda yang boleh dibincangkan untuk kefahaman," katanya.

Antaranya, hudud ini hendak dilaksanakan kepada orang Islam sahaja tetapi persepsinya seolah-olah orang bukan Islam juga terkesan dengannya.

"Hudud ini pun lebih kepada pengajaran bukan hukuman, kena lihat aspek ini," kata beliau kepada wartawan.

Beliau juga menjelaskan, "Dalam PAS, hudud inilah satu perjuangan parti Islam itu. Saya yakin, semua umat Islam tidak menolak hudud, cuma perlukan agenda untuk memberikan kefahaman mengenainya."

"Jika rakyat tidak sedia, agenda untuk menjelaskan undang-undang perlu dibuat," kata beliau.
-TMI


ULASAN GB

Bukankah bengong namanya tu?

Di Selangor, bagi alasan belum bersedia untuk laksanakan hudud dengan alasan memerlukan perancangan terperinci dari pelbagai aspek sebelum boleh dipraktikkan.

Tetapi PAS Selangor ingin pula mewajibkan PKR menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hudud kerana katanya pemimpin tertingginya beragama Islam. Habis tu, pemimpin tertinggi PAS beragama apa? Pemimpin tertinggi PAS Selangor juga beragama apa? Jika beragama Islam kenapa tidak usul dan cadangkan hudud di negeri kamu sendiri?

Inilah dia yang dikatakan "dualisma" para pemimpin PAS Selangor yang dikuasai oleh golongan UG. Bercelaru dan bersilang-sengketa di dalam isu hudud. Hukum kebenaran dan keadilan berjalan, tembelang mereka terdedah di dalam isu hudud menjelaskan bahawa UG ini golongan yang tidak boleh dipercayai dan hanya golongan yang mementingkan diri, mementingkan kerusi mereka.

Bukankah Presiden PAS sendiri pernah menyatakan hudud bukan agenda utama PAS? Jadi mengapa sampai keluar perkataan "WAJIB" kepada rakan lain di dalam Pakatan Rakyat?


Ilmu tak setarang mana, tapi saja nak mencari publisiti murahan!

[VIDEO & GAMBAR] Laporan Banjir Terengganu: Siren Amaran Dibunyikan


Bahagian Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu hari ini mengeluarkan amaran kenaikan air sungai bermula pukul 7 malam ini di sekitar Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

Menurut Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah, setakat pukul 6 petang, rekod data taburan hujan menunjukkan bacaan yang sangat lebat di tiga daerah tersebut, terutama di bahagian pedalaman.

"Terdapat enam stesen data hujan yang mencatat bacaan sangat lebat melebihi 80 milimeter iaitu Pasir Raja (188 mm) dan Kuala Jengai di Dungun (162 mm); Kuala Ping (118 mm) dan Kampung Sekayu di Hulu Terengganu (84 mm); Hulu Angga di Besut (87 mm).

"Manakala di Kemaman, tiga stesen data yang menunjukkan taburan hujan sangat lebat ialah di Air Putih (196 mm), Tebak (237 mm) dan di JPS Kemaman (237 mm)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat dari hujan lebat itu, paras air Sungai Kemaman dan Sungai Dungun kembali menunjukkan trend meningkat di mana Sungai Dungun di Pasir Raja telah mencatat bacaan setinggi 37.6 meter mengatasi paras bahaya 36 meter pada pukul enam petang.

Roslina berkata, beberapa kampung di pedalaman Hulu Dungun dijangka mengalami banjir akibat limpahan Sungai Dungun.

"Ramalan pertembungan air laut pasang bermula esok hingga Sabtu (27 Disember) akan menyebabkan beberapa kawasan yang berisiko banjir semula sekiranya hujan masih berterusan pada malam ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan mengikut arahan jabatan dan agensi penyelamat dalam operasi banjir demi keselamatan mereka.

Sementara itu sehingga pukul 10 malam ini, sebanyak 44 pusat pemindahan masih dibuka di seluruh Terengganu yang menempatkan 4,287 mangsa berbanding 4,375 orang pada 7 malam tadi, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Daripada jumlah itu, Dungun mencatatkan paling ramai mangsa sebanyak 2,029 orang ditempatkan di 16 pusat pemindahan, diikuti Kemaman 1047 orang (11 pusat) dan Besut 421 orang (7 pusat).

Sementara di Hulu Terengganu kekal sebanyak 211 orang (3 pusat), Kuala Terengganu 521 orang (4 pusat), Marang 36 orang (sebuah pusat) serta Setiu 22 orang (2 pusat). - Bernama









Tambang Bas Sekolah Bakal Naik 30%-50% Jan 2015


Kadar tambang bas sekolah pada sesi persekolahan yang akan dibuka semula pada Januari ini dijangka meningkat antara 30 hingga 50 peratus.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat berkata, beliau tidak menolak akan ada pengusaha bas sekolah yang akan berbuat demikian akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung.

"Jangan terkejut jika berlaku kenaikan antara 30 hingga 50 peratus. Ini kerana peratusan kenaikan akan diputuskan oleh pengusaha bas sendiri selepas kadar tambang asas bas sekolah yang diwarta di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 2009 sudah tidak relevan lagi," katanya kepada mStar Online.

Sambil mempertahankan pengusaha bas sekolah, beliau berkata, jika situasi itu berlaku, pengusaha bas tidak patut dipersalahkan kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dilihat tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengatasi masalah tersebut.

"Macam mana kita nak tetapkan satu kadar tambang yang memuaskan hati semua pihak jika tiada harga asas? Jadi jangan salahkan kami jika berlaku kenaikan tambang nanti," katanya.

Dakwa beliau, sehingga hari ini, SPAD dilihat cuba 'lepas tangan' bagi mengelak dipersalahkan oleh ibu bapa seandainya tambang bas sekolah dinaikkan.

"Mereka dilihat seolah-olah mahu 'lepas tangan'. Kami dibiarkan terkapai-kapai. Bila tiada harga asas yang baharu, SPAD jangan sebut tindakan akan diambil jika tambang berlebihan. Sepatutnya mereka lakukan sesuatu untuk mengelakkan kemelut ini berlarutan," katanya.

Amali Munif ketika menghadiri majlis bersama Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Malah, Amali berkata, sekiranya pengusaha bas dan PIBG bersepakat menetapkan kadar tambang bas sekolah, ia menjadi satu kesalahanan serius di bawah Akta Persaingan 2010.

"Kita sudahpun diberi amaran oleh MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia) supaya tidak melakukan penetapan harga secara kolektif. Jadi kami tersepit antara MyCC dan SPAD. Apa yang patut kami lakukan," katanya.

Pada Oktober lalu, MyCC memberi amaran kepada ahli persatuan itu yang didapati mengambil bahagian serta bersetuju dalam penetapan harga secara kolektif, boleh dikenakan denda sehingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan mereka.

Malah, perlakuan penetapan harga adalah bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dan semua operator bas diminta supaya menentukan struktur tambang bas mereka secara bebas dan tidak menetapkan struktur tambang bas bersama operator yang lain.

Pada Selasa lalu, pengusaha bas sekolah menegaskan tetap menaikkan tambang bermula Januari ini dengan struktur tambang bas masing-masing ditentukan secara individu dan bebas.

Kata-kata itu dicapai dalam satu resolusi yang dicapai menerusi mesyuarat yang dihadiri seramai 105 perwakilan PPBSM di ibu negara pada Selasa lalu.

Amali menyifatkan kenaikan itu sebagai satu keperluan selepas lebih lima tahun tambang bas sekolah tidak pernah dikaji semula, selain peningkatan kos operasi termasuk alat ganti.

Malah, beliau berkata, kenaikan juga pasti berlaku sekiranya harga runcit diesel melebihi 50 sen daripada harga sedia ada.

SPAD pada awal Oktober lalu menetapkan pengendali bas sekolah tidak akan terikat kepada satu struktur tambang tetap lagi tetapi bebas menentukan anggaran tambang masing-masing berdasarkan rundingan bersama pihak sekolah dan ibu bapa.

Namun, sejak itu, keputusan tersebut mendapat bantahan daripada beberapa pengusaha bas yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mustahil dan sukar untuk dilaksanakan kerana tiada garis panduan disediakan dalam penetapan harga baharu berkenaan. -mstar

ULASAN GB

Bayangkan jika keluarga berkenaan mempunyai 3 atau 4 orang anak yang menaiki bas sekolah untuk ke sekolah. Impak kenaikan harga tambang bas sekolah sehingga 50% sudah pasti menjejaskan kehidupan mereka.

Apakah ini yang dinamakan kerajaan prihatin terhadap rakyatnya?

TUKAR!

[VIDEO] Rentap Kain Rentang Krismas: KDN Perlu Bertindak Ke Atas PERKASA


Perkasa salah rentap kain rentang Krismas'

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi mengkritik tindakan anggota PERKASA yang merentap jatuh kain rentang ucapan Krismas dan tahun baru di hadapan ibu pejabat DAP Perak, pada Jumaat.

"Kita harus menghormati agama lain. Saya berpendapat bahawa jika kita mahu agama kita dihormati, kita juga mesti menghormati orang lain.

"Saya yakin sekiranya ada orang yang melakukan perkara itu kepada kita, kita juga akan marah," kata Zahid, seperti dilaporkan The Star.

Jumaat lalu, PERKASA mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat DAP Perak ekoran kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng yang berkata orang bukan Islam di Pulau Pinang boleh menggunakan kalimah ‘Allah’.

Dalam demonstrasi itu, NGO Melayu tersebut merentap jatuh kain rentang itu dan cuba menarik lengan ADUN Tebing Tinggi Ong Boon Piow.

Selain dari demonstrasi di Perak, mereka turut membuat bantahan sama di Pulau Pinang.

Di negeri Pulau Mutiara itu, penunjuk perasaan menggelar Lim sebagai "babi hutan". -mk




ULASAN GB

KDN sepatutnya mengambil tindakan ke atas PERKASA dan kumpulan yang menyerang serta mengoyakkan kain rentang Krismas di ibu pejabat DAP beberapa hari lalu.

Adalah tidak wajar tindakan liar itu dibiarkan dengan mereka meletak undang-undang di dalam tangan mereka sendiri.

Jikalah kesalahan itu dilakukan oleh PR, kerajaan begitu pantas bertindak, tetapi oleh kerana ia dilakukan oleh NGO mesra UMNO, pihak polis dan KDN membiarkannya saja.

Mengapa ada double standard di dalam penguatkuasaan undang-undang? Ketua Polis Negara perlu bertanggungjawab menjelaskan hal ini.