20 Jul 2015

[VIDEO & GAMBAR] Sambutan Luar Dugaan Himpunan GHB Di Kota Bharu & Kangar


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib melahirkan rasa gembiranya dan mengucapkan tahniah dengan sambutan yang sangat baik rakyat terhadap majlis Hari Raya Gerakan Harapan Baru yang diadakan serentak di dua negeri malam tadi iaitu di Perlis dan Kelantan.

Di dalam satu kenyataannya, Muhammad berkata GHB nyata lahir tatkala rakyat Malaysia umumnya ternanti-nanti dan tertanya-tanya bilakah suatu wadah baru akan wujud agar mahu diberi mandat untuk memimpin negara supaya negara dapat keluar dari kemelut serta gejala tidak keyakinan rakyat kepada pimpinan Umno dan BN sekarang.

Beliau mengamnggap ombak telah ppun bermula dan ombak berkenaan kian membesar.

"Kepimpinan Mat Sabu dan seluruh pendukungnya dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) dilihat bergerak sebagai satu pasukan dan tahu membaca gerak hati rakyat Malaysia yg kini amat dahaga kepada kepimpinan yg baik serta beramanah sesuai dengan ajaran Islam," tambah kenyataan itu lagi.

Muhammad Taib telah menyertai PAS pada April 2013 dan merupakan bekas Menteri Besar Selangor ke-11 dan menggalas jawatan itu selama hampir 12 tahun sejak 1986.

Tetapi telah beberapa kali meluahkan perasaan kecewanya pernah menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan meninggalkan Pas. Katanya, tindakan itu berpunca daripada rasa kecewanya kepada Pas, yang mana parti itu dilihat seolah-olah tidak lagi mempedulikan penyokong bukan Islam di negara ini

Namun beliau merasa gembira dengan sambutan rakyat terhadap GHB dan beliau telah turut serta menghadiri perhimpunan "Perjuangan Baru Bermula" oleh kumpulan progresif PAS di Bakri Muar beberapa bulan lalu.

GHB sama pegangan dengan Nik Aziz, ganti kerajaan sedia ada, kata Husam

Datuk Husam Musa melihat tiada salahnya puak profesional PAS yang tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dilihat selari dengan pegangan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, Nik Aziz selama ini berharap agar agenda islah bernegara dan berkerajaan dapat diteruskan dengan keyakinan kerajaan sedia ada wajib digantikan secara total.

"Kerajaan sedia ada perlu dan wajib digantikan secara total dengan pasukan baru yang mempunyai komitmen tinggi, idealisme murni, cita-cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Ini satu usaha 'al-birri' (kebajikan) dan agama kita menganjurkan kita tolong menolong atas kebaikan.

"Sekalipun saya pemimpin kecil PAS, saya melihat telur GHB ini perlu disantuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama yang kita tekuni sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

Husam berkata, hasrat ramai rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk melihat perubahan bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa dan penindasan ke atas rakyat jelata, hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman, serta segala macam kemungkaran politik, ekonomi dan agama, tidak harus dikecewakan.

"Derita rakyat adalah derita kita bersama. Harapan rakyat adalah harapan kita bersama.

"Saya mendoakan sebuah gerakan untuk membantu meneruskan agenda rakyat belayar di alam nyata politik Malaysia menjadi kenyataan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor di Kelantan itu berkata, menjadi harapannya untuk hadir ke ceramah GHB di Kangar, Perlis pada malam tadi, namun kesihatannya belum pulih sepenuhnya.

Katanya, tiada sebab baginya untuk tidak menghadirkan diri malam tadi kerana Aidilfitri itu sendiri menuntut untuk memperkukuhkan silaturahim.

"Saya dijemput untuk hadir dalam perjumpaan Hari Raya pada malam ini. Saya memang bercadang untuk hadir, sekalipun penganjurnya atas nama GHB, satu nama bagi gerakan masih di alam rahim.

"Apa salahnya kita memperkukuh silaturahim sesama umat?" soalnya.

Malam tadi, dua majlis perhimpunan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) diadakan - satu di Kota Baru, Kelantan dan satu lagi di Kangar, Perlis - selepas ia dibentuk dengan rasminya Isnin 13 Julai lalu.

Kehadiran di Dewan Himpunan Cina Kota Bharu, diketuai Dr Mohd Hatta Ramli dan Khalid Samad, melimpah hingga keluar. Begitu juga keadaannya di Dataran Paduka Sena, Kangar yang dipimpin pengerusinya, Mohamad Sabu. -TMI


KEKENYATAAN PENUH DATO HUSAM MUSA

ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya [al-Mâidah/5;2]

Saya dijemput untuk hadhir dalam perjumpaan Hari Raya pada malam ini. Saya memang bercadang untuk hadhir, sekalipun penganjurnya atas nama Gerakan Harapan Baru, satu nama bagi gerakan masih di alam rahim.

Atas dua sebab,

Pertama : Idil fitri itu sendiri adalah untuk menyambung silaturrahim. Apa salahnya kita memperkukuh silaturrahim sesama ummat?

Kedua : Saya melihat Harapan Baru sama pegangan dengan saya, juga rasanya sama pegangan dengan guru kita semua - al Marhum Tok Guru Nik Aziz - meneruskan agenda Islah bernegara dan berkerajaan dengan keyakinan kerajaan sedia ada perlu dan wajib di gantikan secara total dengan pasukan baru yang mempunyai komitmen tinggi, idealisma murni, cita cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ini adalah satu usaha al 'birri' dan agama kita menganjurkan kita tolong menolong atas kebaikan.

Apa lagi ada pepatah, musuh kepada musuh kita seharusnya menjadi kawan kita, kecuali kita mencari sebab menjadikan mereka musuh kita.

Sekalipun saya adalah pemimpin kecil Pas, saya melihat telur GHB ini perlu di santuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama yang kita tekuni sejak sekian lama, kecuali kuasa yang dulu di anggap taghut sudah di harap menjadi kawan.

Malangnya, saya masih belum sembuh sepenuhnya sehingga saya terhalang untuk bersama.

Hasrat teramai rakyat Malaysia khususnya anak anak muda untuk melihat perubahan bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa, penindasan dan beban ke atas rakyat jelata hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman, dan segala macam kemungkaran politik, ekonomi, agama dll, tidak harus dikecewakan. Derita rakyat adalah derita kita bersama.

Harapan rakyat adalah harapan kita bersama.

Saya mendoakan sebuah gerakan untuk membantu meneruskan agenda rakyat belayar di alam nyata politik Malaysia menjadi kenyataan. 'Berlumba lah kamu untuk melaksanakan kebaikan kebaikan....'

Sekian.

Husam Musa
3 Syawal 1436H






Mujahid anggap sertai GHB keputusan paling sukar dalam hidup

Ahli Parlimen PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganggap keputusannya melancarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) bersama pemimpin progresif lain dari parti itu awal minggu ini sebagai paling sukar dalam hidupnya.

Titik perubahan dalam dunia politiknya itu mungkin menyaksikan beliau meninggalkan parti Islam itu dan menjadi anggota pengasas sebuah pertubuhan politik baharu bersama rakan-rakan yang "dipinggirkan".

"Ia keputusan yang paling sukar dalam hidup saya. Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam politik PAS. Ibu saya mengandungkan saya apabila bapa saya berkempen di Perlis pada tahun 1964.

"Apabila saya dilahirkan pada 25 Oktober tahun itu, bapa saya terpaksa mencari nama yang mencerminkan cabaran yang beliau lalui. Sebab itu saya dinamakan Mujahid, maksudnya seorang pejuang yang tidak berputus asa.

"Saya mesti menghidupkan nama saya dengan kesukaran yang saya hadapi. Ia membentuk diri saya sekarang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mujahid, 50, dan pemimpin PAS progresif lain disingkirkan kumpulan konservatif dalam pemilihan parti awal bulan lalu.

Penyingkiran itu, katanya, membuatkan mereka sedar, parti itu tidak berpegang teguh kepada prinsip Islam dan menerima pakai kefahaman agama yang jumud, menjauhkan mereka yang ingin mengetahui Islam dengan lebih mendalam.

"Hari ini, di dunia sekarang, Islam dianggap pengganas, agama yang mundur dan konservatif, seperti apa yang Isis (Negara Islam Syria dan Iraq) lakukan.

"Menjadi tanggungjawab kita membetulkan persepsi dan realiti. Itulah yang kami cuba lakukan dengan Harapan Baru ini," katanya, merujuk kepada parti baharu yang beliau dan rakan-rakan progresif sedang pertimbangkan.

Mereka berharap parti baharu itu akan menjadi parti Islam alternatif kepada PAS dan seterusnya membawa kepada penubuhan pakatan pembangkang baharu menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang terkubur selepas PAS putus hubungan dengan DAP pada muktamar lalu.

Mujahid berkata, mereka mahu membawa imej Islam yang berlainan melalui parti baharu itu bagi menunjukkan ia agama keamanan, kasih sayang dan belas kasihan, serta meraikan kepelbagaian.

"Ia satu perjuangan yang besar, bukan hanya mengenai sekumpulan pemimpin yang hilang kedudukan mereka.

"Jika anda tanya sama ada saya akan memilih parti atau menyelamatkan Islam, maka saya memilih menyelamatkan Islam. Parti politik datang dan pergi tetapi Islam itu kekal."

Mujahid berkata, keluarganya menyokong tindakannya kerana mereka juga melihat PAS kini berubah.

"Ketika arwah bapa masih ada, dia memberitahu abang dan kakak saya supaya sentiasa menyokong saya kerana saya satu-satunya yang mengikuti jejaknya dalam politik.

"Salah seorang kakak saya menyertai sayap Muslimat PAS... Tentunya, dia juga digulingkan pada muktamar lalu.

"Itulah yang paling menggembirakan... mempunyai keluarga di belakang kita, mereka yang menyokong kita dan mempercayai kita. Adik-beradik saya percaya adik lelaki mereka ini tidak akan melakukan perkara yang bodoh," katanya mengenai 10 abang dan kakaknya.

Arwah bapa Mujahid, Yusof Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yusof Rawa, merupakan bekas timbalan menteri, bekas duta ke Afghanistan, Turki dan Iran, bekas presiden PAS dan mursyidul am pertama parti itu.

Mujahid menyertai PAS pada 1992 selepas pulang ke Pulau Pinang dari Mesir. Beliau kemudian berpindah ke Melaka, di mana beliau menjadi seorang pensyarah, dan tidak lama kemudian mula berminat secara serius dengan parti.

Beliau meninggalkan dunia akademik untuk menjadi ahli politik sepenuh masa pada 1999, bertanding kerusi Parlimen Jasin. Beliau kalah sekali lagi pada pilihan raya umum 2004 apabila bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Tetapi, beliau berusaha sendiri dari bawah. Beliau berkata, bantuan yang diberikan ayahnya hanya dalam bentuk kata-kata nasihat – satu-satunya cara untuk naik ialah dengan membuktikan kemampuan dirinya, jangan meminta apa-apa dari parti dan serahkan segalanya kepada Tuhan.

Mujahid tidak lama kemudian berjaya ke peringkat jawatankuasa kebangsaan Pemuda PAS sebelum menganggotai jawatankuasa kerja PAS Pusat pada 2005 dan ditugaskan mengendalikan biro perpaduan negara.

Beliau menubuhkan Kongres Penyokong bukan Islam PAS dan terus mempromosikan parti dan menggalakkan orang ramai lebih memahami Islam dalam sebuah negara berbilang kaum.

Mujahid juga membentuk slogan "PAS Untuk Semua" bagi parti itu pada pilihan raya umum 2013, yang melembutkan imej keras parti Islam itu dan mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Mujahid juga dikenali dengan kerja-kerja antara agama, terutama kejayaannya berbincang dengan gereja dan orang Kristian walaupun terdapat ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam berhubung isu kalimah "Allah".

"Parti mendapat manfaat daripada usaha itu tetapi akhirnya, PAS berhenti menghala ke jalan yang betul.

"Saya cuba menggalakkan amalan yang melibatkan agama lain melalui dialog dan saling menghormati antara semua agama, tetapi bagi PAS, ia seolah-olah idea yang pelik.

"Tidak ramai yang menyokong dan terdapat cakap-cakap yang kami menjadi sebahagian agenda Kristian, yang kami berkawan dengan musuh Allah. Semua ini teori konspirasi.

"Ia menyukarkan kerja saya tetapi saya teruskan juga dan oleh kerana itu, saya dilabel liberal dan seorang yang pro-Kristian."

Mujahid berkata beliau tidak akan membuat keputusan drastik menerajui GHB jika tidak ada satu pasukan pemimpin PAS yang berfikiran serupa dengannya dan ahli akar umbi yang tidak berkenan dengan apa yang terjadi dengan PAS kini.

Jelajah seluruh negara mereka, katanya, dibincangkan di kalangan ahli PAS dan ada yang bertanya bagaimana bekas timbalan presiden parti seperti Mohamad Sabu boleh ditendang keluar selepas begitu banyak pengorbanan yang dilakukannya.

"Di Johor, 80% daripada akar umbi bersama kami kerana mereka tidak suka dengan keadaan sekarang. Kongres Penyokong PAS, yang merupakan idea saya, akan menyertai kami. Banyak lagi akan turut serta."

Di tengah-tengah perkembangan ini, Mujahid berkata, kehidupan diteruskan seperti biasa di kawasan Parlimennya, Parit Buntar, di mana pengundi lebih mementingkan sama ada beliau akan dapat meluangkan masa untuk mereka atau tidak.

"Mereka tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku, selagi mereka lihat anda sebagai seorang yang baik dan wakil rakyat yang boleh memenuhi permintaan mereka. Mereka hanya akan risau dan sedih kalau kita tak hadir jemputan mereka untuk puasa berbuka atau kenduri."

Seperti pemimpin progresif lain, Mujahid juga sibuk bercakap dengan orang ramai di seluruh negara mengenai Gerakan Harapan Baru dan tidak dapat mengadakan sebarang acara antara agama mutakhir ini.

Katanya, selepas beliau tewas pada pemilihan parti, Biskop Pulau Pinang Sebastian Francis memberitahu beliau dalam mesej teks yang beliau akan mendoakannya dan Mujahid harus meneruskan kehidupan.

"Hubungan (antara kami) masih aktif," katanya, sambil berjanji kerja-kerja antara agamanya akan diteruskan dan ia seharusnya menjadi lebih mudah dalam parti baru mereka itu dengan rekodnya sebelum ini bersama komuniti berlainan agama. – TMI


HARAPAN BARU DI PERLIS