10 Jun 2011

Jururawat Diculik Nyaris Dijual

Seorang jururawat berusia 22 tahun kini trauma selepas diculik sebelum dipukul sekumpulan tiga lelaki tidak dikenali ketika berada di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Difahamkan, selepas menculik wanita itu, kumpulan terbabit membawa mangsa ke lokasi tidak diketahui dan mahu menjualnya kepada individu lain yang sedia menunggu.

Namun, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, urusan tiga suspek terkubur apabila mangsa berjaya melarikan diri.

Biarpun jururawat itu dikejar ketiga-tiga penjenayah terbabit, dia menyembunyikan diri di dalam stor sebuah kedai makan di kawasan berkenaan selama tiga jam dan sebaik merasakan selamat, dia keluar dan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, kira-kira jam 4.30 petang.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber polis berkata, mangsa yang berjalan sendirian di kawasan LRT berkenaan mendakwa dihampiri sebuah kereta BMW biru gelap dinaiki tiga lelaki sebelum pemandu kenderaan itu menegur mangsa. -hm

Ulasan GB

Negara sudah menjadi semacam sudah tidak selamat.. simbahan asid, culik menjadi-jadi, polis rembak remaja dan lain-lain.

Tetapi kita dikejutkan dnegan statistik palsu menyatakan kadar jenayah menurun, semata-mata untuk mewangikan NKRA.

Allah Maha Berkuasa, kebenaran itu di tanganNya dan Dia akan menyerlahkan samada kadar jenayah itu sebenarnya turunkah atau naikkah.

Rakytat tak perlu ditipu.


[Video] Mat Sabu Siap Sedia Hadapi Sasaran UMNO

Mat Sabu Sedia Jadi Sasaran Fitnah Umno

SHAH ALAM 10 JUN : Mohamad Sabu berkata beliau tidak gusar jika menjadi sasaran terbaru kecaman dan fitnah Umno, berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Presiden baru PAS minggu lalu.

"Saya tidak mahulah diuji kerana umur pun sudah semakin meningkat, tetapi sekirannya datang ujian saya akan sabar menghadapi," kata Mohamad Sabu kepadaTVselangor.

Mohamad Sabu kerap dipandang oleh Umno sebagai penceramah utama parti Islam itu yang berupaya mempengaruhi pengundi Melayu dan bukan Melayu dengan sikap kesederhanaan beliau.

Ucapan-ucapan Mohamad Sabu mengenai rasuah dan penyelewengan kuasa dan kepemimpinan talam dua muka yang penuh sinis bukan sahaja mencuit hati hadirin diceramah tetapi turut menghantar mesej yang tajam kepada pemimpin-pemimpin Umno.

Pelantikan beliau sebagai orang kedua tertinggi dalam Jawatankuasa Pusat Parti awal bulan ini menjadikan Mohamad Sabu sebagai tonggak utama PAS, sekaligus menjadikan beliau sasaran utama Umno.

Mohamad Sabu berkata beliau sudah lali dengan budaya fitnah yang diamalkan pemimpin-pemimpin Umno demi kelangsungan jangkahayat politik mereka.

Ditanya kemungkinan beliau diserang oleh Umno secara lebih hebat, seperti mana yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu berkata Umno akan membuat kesilapan besar jika Anwar diheret ke penjara sekali lagi.

"Saya yakin mereka tidak mampu mengulangi perkara seperti itu, sebab pilihanraya yang bakal berlangsung ini. Mungkin mereka akan kehilangan kuasa kerana rakyat akan membuat perhitungan,"kata beliau.

Anwar dipenjarakan enam tahun setelah dipecat dari kerajaan dan Umno dan dibebaskan pada tahun 2005 setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan beliau telah disabit di atas tuduhan liwat dengan keterangan-keterangan rapuh dan dipaksa.

Kini beliau sekali lagi menghadapi pertuduhan liwat dengan keterangan-keterangan mencurigakan daripada saksi dan pengadu sendiri.

Anwar juga diaibkan dengan pengedaran video lucah dengan dakwaan-dakwaan Umno kononnya Ketua Pembangkang itu adalah pelaku dalam rakaman berkenaan.

Mengenai pemilihan PAS yang lalu, Mohamad Sabu berkata dakwaan Utusan Malaysia dan juak-juak Umno kononnya wujud perbalahan dalaman di PAS bersabit perjuangan Negara Berkebajikan menyerlahkan budaya fitnah Umno.

Mohamad Sabu berkata dakwaan itu tidak logik dan hanya cubaan berterusan Umno untuk memburukkan PAS tanpa sebarang bukti atau hujah bernas.

"Macam mana mahu berbalah, bermesyuarat pun belum, selepas bermuktamar ada yang balik ke kampung masing-masing, ada yang mengambil cuti kerana letih, macam saya tiap-tiap hari dihubungi pihak wartawan, jadi bila masa kami berjumpa dan berbalah, bertemu pun belum," kata Mohamad Sabu kepada TvSelangor.

Beliau mengulas laporan-laporan Utusan Malaysia yang cuba memberi gambaran kononnya PAS diambang perpecahan berikutan perjuangan parti itu menegakkan Negara
Berkebajikan yang turut didokong oleh parti komponen Pakatan Rakyat.

Utusan dan pemimpin Umno mendakwa langkah itu menunjukkan PAS mengabaikan perjuangan menubuhkan Negara Islam dan parti itu tidak lagi didokong oleh pimpinan ulama.

"Media kawalan Umno ini kami cukup pelik, tiba-tiba mereka menunjukkan mereka begitu sayang kepada kepimpinan ulama, sedangkan mereka menyerang hebat dan mencerca para ulama PAS dan kenapa mereka tiba-tiba sayang, ini semua rakyat boleh baca iaitu mereka hanya mahu melaga-lagakan sahaja bukan mereka sayangkepada ulama," kata Mohamad Sabu.

Semalam Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan konsep Negara Berkebajikan adalah selari dengan Islam dan tidak timbul soal parti itu luntur dalam
perjuangan demi Islam.

Mohamad Sabu juga berkata Umno semakin terdesak dalam reaksinya terhadap pemilihan barisan kepimpinan Pusat PAS. Barisan depan parti Islam itu dilihat akan memberi kesan kepada peluang Umno untuk menawan semula kerusi-kerusi yang hilang kepada PAS pada pilihanraya umum akan datang.

Utusan semalam mencadangkan Umno mewujudkan sayap Ulama dan menjemput ulama-ulama yang tewas pada pemilihan PAS menyertai Umno.

"Kalau Umno tergerak mahu mencadangkan untuk adakan majlis ulama sendiri, kami akan melihatlah bagaimana mereka mahu laksanakan dan peranannya serta termasuk dasar parti mereka, jangan hanya bercakap di peringkat cadangan sahaja," kata Mohamad Sabu.

Tambah Mohamed Sabu lagi, kenyataan sedemikian diada-adakan Utusan solah-olah menggambarkan parti kerajaan itu semakin akur bahawa riwayat hidupnya bakal beralih kepada menjadi pembangkang selepas pilihanraya umum ke 13.

"Dan barang kali mereka tahu yang mereka bakal menjadi pembangkang maka mereka bersedia seperti apa yang ada dalam pembangkang hari ini." katanya. -tvsnews



Jadi Loya Dengar Najib Kata PAS Mahu Ciplak Negara Kebajikan UMNO BN!

Najib minta PAS jangan ‘ciplak’ model negara kebajikan BN

PUTRAJAYA, 10 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa PAS “menciplak” model kejayaan Barisan Nasional (BN) sambil berkata Malaysia sentiasa berperanan sebagai negara berkebajikan.

Najib berkata konsep negara berkebajikan yang diketengahkan oleh PAS minggu lalu bukan sesuatu yang baru dan sentiasa menjadi matlamat pentadbiran semasa.

“Kerajaan sentiasa berjuang ke arah negara berkebajikan.

“Oleh itu, saya merasakan sesuatu janggal dan ganjil, mereka mahu mengadakan negara kebajikan,” kata Najib (gambar) sambil menambah, apa yang diketengahkan oleh PAS sebagai baru sudah lama dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional.

“Tidak perlu bagi mereka mengambil model kerajaan semasa,” kata beliau pada Konvensyen Wasatiyah di sini hari ini.

Najib juga menekankan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi bersatu seperti dulu kerana sesetengah pihak mahu mempolitikkan agama demi kepentingan mereka.

Katanya, dalam negara pelbagai kaum, debat agama seharusnya diurus dengan cermat sebab perbincangan sedemikian boleh membawa kepada persekitaran benci-membenci di kalangan semua kaum.

Kata Najib, institusi-institusi seperti Felda, Felcra, Bank Islam dan Bank Rakyat menunjukkan bahawa negara mempertahankan konsep kebajikan awam.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyampaikan ucapan dasar yang bertemakan “Membangun Negaar Berkebajikan” -TMI

Ulasan GB

Bagus sangat ker negara kebajikan UMNO BN sampai dihalang untuk menciplak? Dan PAS pun rasa geli dan loya untuk meniru negara kebajikan UMNO BN - lihat sahaja kes-kes terbaru di negara kita, kesemuanya dijumpai di dalam "negara kebajikan" tajaan UMNO BN seperti kes rasuah Khir Toyo, kes pembunuhan rakyat seperti Ahmad Sarbani dan Teoh Beng Hock di pejabat SPRM, kes polis bertindak berat sebelah, kes penipuan dan ketidak-telusan SPR menjalankan pilihanraya, kes video seks fitnah semata-mata untuk menjatuhkan musuh politik, kes hakim yang durjana dan ikut telunjuk Peguam Negara dan pelbagai lagi...

Sedangkan negara kebajikan yang diperjuangkan oleh PAS adalah berpandukan kepada Al-Quran dan Sunnah bagi memenuhi tuntutan baldatun taybatun wa rabbun ghaffur.

Ia seperti apa yang disuarakan oleh Mursyidul Am PAS iaitu konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Jadi usahlah UMNO BN terutama Najib rasa perasan sangat yang PAS nak ciplak konsep negara kebajikan mereka. Jauh bezanya umpama langit dan bumi.


Video Seks Mat Sabu Pula Diedarkan?

Ketua Wanita PKR terima rakaman video seks didedah ‘Datuk T’

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menerima rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” mendakwa si pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi pos semalam.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata satu salinan DVD dihantar ke rumahnya semalam.

Sehubungan itu kata beliau, DVD rakaman video seks yang memfitnah Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, diedarkan di seluruh negara.

“Polis seharusnya boleh mengesan dalang (melakukan perkara ini). Tetapi sehingga kini tiada hasil siasatan terhadap laporan polis mengenai pengedaran VCD lucah ini,” kata Zuraida dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Lebih buruk, saya sendiri menerima DVD dan risalah berbaur fitnah yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang mengandungi surat yang menggunakan kepala surat PAS yang palsu, dan satu VCD bertajuk ‘Skandal Seks Mat Sabu’ dan risalah-risalah yang menggambarkan beberapa sedutan DVD lucah, yang didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau sambil menegaskan, budaya politik kotor sudah muncul di bahagian yang diwakilinya.

Rakaman video itu buat pertama kali dipertontonkan kepada umum pada 21 Mac lalu oleh “Datuk T” di hotel Carcosa Seri Negara di sini.

Dua hari kemudian tiga “Datuk T” iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim muncul di khalayak sambil mengaku mereka yang bertanggungjawab atas pengedarannya.

Beberapa hari kemudian mereka menyerahkan salinan asal rakaman video itu kepada polis.

“Susulan laporan polis saya hari ini, saya meminta polis segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku sekarang adalah jelas bermotifkan politik dan mungkin disebabkan arahan dan pembabitan penguruasan atasan,” kata wakil rakyat penggal pertama itu. -TMI


Kes video seks: Tiada perkembangan, tangkapan

Polis masih belum mempunyai sebarang petunjuk baru atau membuat tangkapan berhubung pengedaran VCD lucah yang memaparkan aksi seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang seperti yang dipertontonkan oleh trio 'Datuk' kepada wartawan.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

"Tiada perkembangan baru atau tangkapan berhubung perkara itu.

"Kami memang sedari bahawa video itu sedang diedarkan di negeri ini dan mengklasifikasikan kes itu mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan barangan lucah,” katanya.

Sejak bulan lalu, semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks berkenaan.

Antara mereka termasuk ketua kampung di kebanyakan tempat di Selangor sebelum menular ke negeri-negeri lain.

Selain kampung-kampung Melayu, turut menjadi sasaran adalah kampung Cina dan India.

VCD lucah yang diposkan ke rumah mereka dikatakan berasal dari Shah Alam dan ada yang dari Melaka. Ini berdasarkan setem dan cop pos di sampul surat yang dihantar itu.

Awal hari ini, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis di ibu pejabat daerah polis Ampang Jaya setelah menerima VCD di peti suratnya bersama surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu, dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Skandal Seks Mat Sabu

“Sebaran VCD lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berleluasa ke seluruh negara. Sepatutnya pihak polis sudah boleh mengesan siapa dalangnya. Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini.

“Lebih melampau, saya sendiri telah menerima VCD dan risalah fitnah ini yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang dihantar mengandungi surat palsu yang menggunakan kepala surat PAS, VCD bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu' dan risalah yang memaparkan beberapa adegan dari VCD lucah...mula dicemarkan sehingga ke Ampang pula,” katanya.

Zuraida mendakwa penyebaran rakaman seks itu kerja Umno sebagai usaha mereka bagi memecah-belakan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

“Susulan dari laporan polis saya hari ini juga, saya meminta agar Unit Siasatan PDRM segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku jelas bermotifkan politik dan berkemungkinan turut melibatkan arahan dan penglibatan pihak atasan,” kata Zuraida. -mk



'Skandal' seks: Tak apa, kisah lama, kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu masih enggan mengulas berhubung penyebaran video seks sekitar kawasan Ampang yang dikaitkan dengan dirinya.

Ini kerana, katanya, beliau masih tidak tahu menahu dan mahu mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang membuat laporan polis berhubung perkara itu terlebih dahulu.

"Bagi saya tanya Zuraida dulu. Nanti baru saya boleh komen," katanya ketika ketika diminta mengulas berhubung penyebaran VCD itu.

Ditanya sama ada beliau selesa kontroversi kisah silamnya diungkit semula, Mohamad menjawab: "Bagi saya tidak mengapa, (ia) kisah lama."

Awal pagi ini, Zuraida membuat aduan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Ampang Jaya setelah menemui VCD bersama surat palsu dalam peti surat rumahnya yang kononnya dikeluarkan PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej Mohamad - yang baru dipilih sebagai timbalan presiden PAS yang baru - dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Zuraida mendakwa terdapat penglibatan Umno dalam kerja itu dalam rangka untuk memecah-belahkan kerjasama parti gabungan Pakatan Rakyat.

'Bagi saya tanya dulu'

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Mohamad bagaimanapun memberitahu beliau bersedia mengulas perkara itu selepas menghubungi Zuraida yang juga ketua wanita PKR.

"Boleh, boleh (minta komen). Bagi saya tanya Zuraida dulu," katanya ringkas.

Sementara itu, Zuraida (kanan, tuduh cerah) dalam kenyataannya berkata, "tindakan melampau" itu membuktikan bahawa "budaya politik kotor sudah mula dicemarkan sehingga ke Ampang".

Sambil mengaitkan dengan penyebaran video yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, Zuraida mempertikaikan tindakan polis yang masih belum berjaya mengesan dalangnya.

"Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini," katanya.

Beliau juga menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak terus berpeluk tubuh dan segera menjelaskan pendiriannya berkenaan perkara itu.

Menurut Zuraida, "penyebaran melampau" VCD sebegitu mencemarkan nilai dan semangat keharmonian kekeluargaan di negara ini.

"Institusi keluarga yang dibina seharusnya suci dari anasir dan budaya lucah sebegini agar masyarakat yang dibina tidak terus cetek dek kerana budaya lucah ini," katanya. -mk


Ulasan GB

Rupa-rupanya tajuk saja menggunakan nama Mat Sabu, isi dalamnya orang lain.

Kita jadi hairan dimana yang dikatakan polis Malaysia ini cekap sehingga kini banyak kes jenayah tidak berjaya diselesaikan?

Sehinggakan pengedaran video lucah itu pun tak tahu siapa yang mengedarkannya. Susah sangat ke nak kesan atau, memang sengaja tak mahu tangkap di atas sebab-sebab yang hanya polis sahaja mengetahuinya?

Tembak Mati Remaja : Ibu Bapa Mangsa Kesal Tindakan Terburu-buru Polis

Hancur luluh hati seorang ibu apabila membayangkan saat terakhir anaknya sedang melutut dan merayu meminta nyawa sebelum ditembak dari jarak dekat di kepala dan dada begitu sahaja.

Apatah lagi si penembak merupakan mereka yang sepatutnya menjaga keamanan, keselamatan dan keadilan rakyat dan orang awam.

Dengan esak tangis, Norhafizah Mohd Ghazali menyatakan kekesalan dan hilang keyakinan terhadap Polis Di Raja Malaysia(PDRM) yang seolah cuba menyembunyikan hal sebenar berkaitan kematian anak beliau, Muhammad Syamil Hafiz bin Shafiei yang ditembak mati oleh anggota polis seminggu hari jadi ke 16 nya November tahun lalu.

"Selama hampir 7 bulan saya menunggu apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Anak saya memang dibunuh. Kenapa dia dibunuh? Anak saya bukannya pembunuh. Dia cuba berumur 15 tahun. Di mana keadilan untuk anak saya? Saya hilang kenyakinan pada pihak polis. Saya nak tegakkan keadilan untuk anak saya. Saya nak orang yang bunuh anak saya dihadapkan ke mahkamah dan terima balasan setimpal,"

Malah katanya, beliau tidak faham mengapa Polis yang lengkap bersenjata tidak menangkap dan menghadapkan anaknya ke mahkamah jika ia benar-benar melakukan kesalahan tanpa perlu bertindak sedemikian rupa.

"Kenapa tidak dia ditangkap sahaja, kenapa dia harus dibunuh. Mereka tidak merasakan apa yang saya rasa, sebagai ibu saya tak dapat membayangkan anak saya merayu agar nyawanya tidak diambil," ujarnya.

Muhammad Hanafi Omar, 22, Muhammad Shamil Hafiz Shapiei, 15, dan Hairul Nizam Tuah, 20, mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi pada 13 Disember lalu.

Pihak polis sebelum ini turut mendakwa ketiga-tiga remaja berkenaan telah menyerbu anggatonya dengan bersenjatakan parang dan bagi mempertahankan diri mereka pihaknya terpaksa melepaskan beberapa das tembakan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan sebelum ini, ketiga-tiga remaja terbabit juga baru sahaja selesai merompak sebuah stesen minyak di Jalan U1/1, Glenmarie dan bertembung dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan mencegah jenayah di kawasan itu.

Bagaimanapun laporan bedah siasat yang dikeluarkan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Jabatan Kimia Malaysia didapati ia bercanggah dengan kenyataan Thaiveegan itu.

Menurut laporan bedah siasat Hairul dan Syamil dan berdasarkan penemuan keluarga pada badan mangsa, Hanafi masing-masing mempunyai dua kesan tembakan iaitu di kepala dan dada.

Kata beliau, kesemua tembakan dilepaskan pada bahagian kepala dan dada manakala peluru-peluru pula keluar rendah dan badan mereka mengalami lebam dipercayai akibat dipukul.

Ia menunjukkan trajektori peluru pada badan Hairul juga menunjukkan penembak mangsa itu melepaskan peluru dari kedudukan yang tinggi.

Laporan kimia pula menunjukkan ketiga-tiga mereka ditembak dari jarak dekat berdasarkan kesan serbuk pistol di badan mangsa.

Justeru bapa Hanafi, Omar Abu Bakar mempertikai kenyataan Polis yang seolah cuba menyembunyikan apa yang berlaku.

"Saya nak pertikaikan kenapa Polis tembak anak saya dari sebelah kanan. Dua butir di kepala dan dibahu. Pihak polis keluarkan laporan lain. Hospital keluarkan laporan betul. Dan kalau polis kata serang dari depan, kenapa tembakan dari kanan? soalnya.

"Saya tak puas hati dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor itu. Mengaburi mata rakyat untuk melindungi anggotanya. Apa standing orders untuk menenbak penjenayah bersenjata? Yang bersenjata api tembak, yang pakai parang pun tembak juga? Pistol boleh tembak dari jauh," tambahnya lagi. -tvsnews




[Bergambar] Mamat, Si Monyet Yang Pakai Pampers

George Town - PENYAYANG.....Mamat cuba merasai "Teh Tarik"..., begitulah reaksi yang ditunjukkan oleh seekor monyet peliharaan Mazlan Abdullah, 52.

Monyet yang berusia empat bulan itu cuba menyedok "Teh Tarik" yang diminum oleh Mazlan di sebuah kedai makanan di Jalan Perak.

Menurut Mazlan, beliau mula memelihara monyet berkenaan sejak usianya seminggu.

Tambahnya lagi, monyet berkenaan mula dipelihara apabila ibu monyet itu mati dilanggar oleh sekumpulan mat rempit di Jalan Kebun Bunga.

"Saya belanja sebanyak RM4 setiap hari untuk membeli makanan dan pampers bagi Mamat", kata Mazlan.

Setiap kali beliau keluar minum, monyet kesayangan akan menemaninya. - foto BERNAMA




Ulasan GB

Sikap penyayang terhadap binatang yang ditunjukkan oleh Mazlan amat dipuji.

Definisi Arak & Bir Kabur Dan Mengelirukan

Definisi arak kabur

KUALA LUMPUR: Penetapan definisi arak di negara ini perlu dibuat selari mengikut hukum syarak supaya tidak mengelirukan umat Islam, kata Timbalan Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin.

Beliau berkata, terdapat perbezaan penetapan peratusan alkohol untuk diklasifikasikan sebagai arak antara agensi penguat kuasa dengan hukum syarak hingga menyukarkan tindakan penguatkuasaan.

Dari segi syariah, ditetapkan minuman melebihi 0.01 peratus kandungan alkohol sebagai arak, sebaliknya di bawah Akta Kastam Diraja Malaysia (KDRM) pula menetapkan minuman itu sebagai arak jika melebihi dua peratus kandungan alkohol.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan seperti rampasan tidak boleh dilakukan bagi minuman kurang daripada dua peratus kandungan alkohol di pasaran sedangkan jumlah itu sudah melebihi apa yang ditetapkan dalam syarak dan kita bimbang ia mengelirukan umat Islam,” katanya pada sidang media selepas sesi Persidangan Meja Bulat ‘Arak dan Pencegahannya : Pengalaman Agensi Berkaitan’ di Ikim di sini, semalam.

Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan pendedahan Harian Metro mengenai ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai ‘bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.

Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ untuk dianalisis bagi mendapatkan kepastian.

Malah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman dibenarkan syariat Islam tidak melebihi 0.01 peratus.

Persidangan itu dihadiri empat panel jemputan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Ia bagi mengenal pasti langkah pencegahan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan agensi berkaitan selain mengenal pasti cadangan berkesan bagi mengemas kini langkah pencegahan sedia ada serta membantu merangka dasar kerajaan berkaitan kesihatan mental dan penyelesaian isu arak.

Hasil perbincangan dan penyelidikan berkaitan isu terbabit akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk tindakan selanjutnya.

Zaleha berkata, definisi arak di negara ini dilihat masih samar dan perlu dibincangkan lebih terperinci selain mencari jalan penyelesaian segera untuk mengelak umat Islam terjebak dengan pengambilan arak yang semakin berleluasa.

“Selain itu, sudah sampai masanya kerajaan memberikan tumpuan lebih terhadap pencegahan arak kerana ia memberi kesan lebih buruk daripada dadah dan rokok terhadap rakyat negara ini.


“Kita juga akan berbincang Jabatan Peguam Negara mengenai penetapan undang-undang berkaitan arak supaya memenuhi kehendak syariah,” katanya.

43 Pelatih PUSPEN Larikan Diri Selepas Merusuh

Muar: Polis mengesahkan 43 daripada 377 pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir dekat Ledang melarikan diri semasa rusuhan di pusat itu semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, DSP Salleh Abdul Razak, berkata pihaknya bersama Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Agensi Dadah Kebangsaan kini berusaha menjejaki mereka yang meloloskan diri.

"Kami juga masih menyiasat punca sebenar rusuhan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Gambar: ANTARA kenderaan yang rosak teruk selepas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Sengkang, Bukit Gambir merusuh dan melarikan diri dari pusat itu malam tadi. Dalam kejadian itu, mereka turut membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat berkenaan. - Foto NSTP

Dalam kejadian yang dipercayai bermula kira-kira 8.40 malam itu, sekumpulan pelatih bertindak merusuh dan membakar bangunan pentadbiran dan dewan makan di pusat tersebut.

Mereka juga bertindak memecahkan cermin tujuh buah kereta kepunyaan pegawai dan petugas pusat itu.

Ini adalah kejadian rusuhan kedua pernah berlaku di pusat tersebut selepas kejadian pertama pada 1999. - BERNAMA

Syukur, Bernikah Juga Mereka Akhirnya..

Akhirnya kasih bertaut

KANGAR: “Jika sudah jodoh tidak akan ke mana...saya bersyukur apabila semua (kemelut) sudah selesai dan tidak mahu lagi perbalahan antara keluarga saya dengan keluarga isteri berpanjangan.”

Begitu kata jurujual kereta, Rohaizat Abdullah Sani, 37, yang pernikahannya dibatalkan pada saat akhir pada Ahad lalu, akhirnya selamat diijab kabul dengan isterinya, Yuni Amira Jab, 20, di Masjid Simpang Empat, dekat sini, malam kelmarin.

Majlis pernikahan Rohaizat dan Yuni Amira disempurnakan Penolong Pendaftar Nikah, Salim Shari, dengan dihadiri keluarga terdekat, kira-kira jam 9.45 malam. Seorang abang Yuni Amira dikenali sebagai Jusri, 42, bertindak sebagai wali.

Persetujuan pernikahan pasangan itu tercapai apabila baki bayaran wang hantaran berjumlah RM4,000 akan dijelaskan secara ansuran dalam tempoh enam bulan oleh Rohaizat.

Rohaizat berkata, dia bersyukur apabila majlis pernikahannya berjalan lancar walaupun sebelum ini berdepan dengan masalah dan akan berusaha membimbing Yuni Amira menjadi isteri yang baik. Menurutnya, susulan pernikahan tu, dia dan keluarga akan mengadakan majlis kenduri di kampung halamannya di Perak dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya saya mengalami masalah kewangan dan pada waktu sama pengantin perempuan mendesak perkahwinan kami disegerakan menyebabkan saya gagal mengumpul wang secukupnya untuk menjelaskan bayaran wang hantaran seperti ditetapkan.

“Masalah itu menyebabkan saya menjadi buntu bagi mencari wang dalam tempoh singkat sehingga timbul salah faham menyebabkan keadaan menjadi kusut, tapi kini saya boleh menarik nafas lega apabila perkara ini sudah diselesaikan dengan baik.

“Justeru, saya akan menarik semula laporan polis berhubung pembatalan akad nikah yang dibuat di Balai Polis Kangar dan berharap keluarga isteri juga berbuat demikian terhadap laporan polis mereka,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas majlis akad nikah itu,.

Turut hadir, ibu Rohaizat, Mariam Mohamed, 63.

Difahamkan, Rohaizat memandu kereta untuk mengambil Yuni Amira bersama ibu mentuanya di Kampung Kepala 10, Sungai Baru, untuk hadir ke majlis akad nikah itu.

Sementara itu, sebelum diijab kabulkan, Salim turut bertanya mengenai wang hantaran RM4,000 daripada RM7,662 yang ditetapkan pihak perempuan.

Bagaimanapun, Rohaizat memberi jaminan akan menjelaskan baki bayaran wang hantaran dalam tempoh enam bulan dan ia dipersetujui pihak keluarga pengantin perempuan.

Dia turut menjelaskan membelanjakan lebih RM1,400 untuk membeli barangan kemas termasuk cincin dan gelang tangan untuk isterinya bagi majlis pernikahan itu.

Pengantin lelaki menyediakan lima dulang hantaran, termasuk cincin, kain telekung, al-Quran, sejadah, buah-buahan dan kek.

Muka depan Harian Metro pada Isnin lalu, melaporkan kekecewaan Rohaizat apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Yuni Amira yang mahu majlis akad nikah dibatalkan kira-kira 11 jam sebelum dilangsungkan berikutan keengganan seorang abangnya menjadi wali.

Berikutan itu, dia membuat laporan polis dan bercadang memfailkan saman terhadap keluarga pengantin perempuan kerana didakwa memalu dan mencemarkan maruah keluarganya, manakala keluarga pengantin perempuan tetap meneruskan majlis kenduri perkahwinan.

Bagaimanapun, sehari selepas laporan didedahkan di akhbar, pihak keluarga pengantin perempuan bersetuju supaya pernikahan pasangan itu segera dilangsungkan.

Sementara itu, Yuni Amira ketika ditemui enggan mengulas lanjut tetapi berterima kasih kepada seorang abangnya yang bersetuju mewalikan pernikahannya.

“Saya amat menyayangi Rohaizat dan tidak menghadapi sebarang masalah dengannya. Sebelum ini, saya menyerahkan kepada keluarga untuk menentukan masa depan saya,” katanya. -HM

Peniaga Bangkrap Kerana Himpunan Bersih? Karut!

Bersih : Laporan Polis Karut dan Khurafat, Kata Mat Sabu

SHAH ALAM 9 JUN : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyifatkan sebagai “karut dan khurafat” laporan polis oleh Pemuda Umno yang mahukan perhimpunan Bersih pada bulan depan dibatalkan.

Dalam laporan polis yang dibuat petang tadi, Pemuda Umno dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong Umno mendakwa Himpunan Bersih di Kuala Lumour pada 9 Julai akan menjejaskan keamanan dan mata pencarian peniaga.

Mohamad atau Mat Sabu berkata hujah yang diberikan oleh Pemuda Umno dan NGO berkenaan tidak masuk akal kerana hakikat adalah sebaliknya. Penyertaan orang ramai pada perhimpunan aman itu, akan merancakkan perniagaan penjaja dan peniaga, kata beliau kepada TvSelangor.

“Laporan polis ini satu perkara yang paling pelik, saya rasa ini cubaan UMNO menghasut,” kata beliau.

“Secara rasionalnya, apabila ramai yang hadir menyertai perhimpunan aman BERSIh sudah tentu mereka akan menggunakan perkhidmatan awam, makan, minum, jadi apa isu menjejaskan pendapatan, bukankah ia akan menambah pendapatan peniaga." kata beliau.

"Jadi yang dikatakan Umno bahawa perhimpunan ini boleh menjejaskan pendapatan jelas satu kepercayaan karut dan khurafat." tegas beliau.

Laporan polis itu dibuat oleh Exco hal ehwal bandar Pemuda Umno, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.

Beliau menuntut polis supaya mengambil tindakan awal memastikan perhimpunan itu tidak dijalankan.

Naib Presiden PKR Tian Chua semalam dipetik berkata 60,000 perserta akan terlibat dalam perhimpunan itu pada 9 Julai.

Mengulas lanjut Mat Sabu menegaskan perhimpunan BERSIH akan berjalan secara aman.

Beliau berkata perhimpunan itu akan menzahirkan tuntutan rakyat untuk sebuah sistem demokrasi tuntas demi menjamin sebuah pilihanraya umum yang adil.

Mohamad Sabu menegaskan peserta perhimpunan itu tidak akan menjadi mangsa provokasi polis seperti masa-masa lalu.

"Kalau penjaja tidak mampu menjual air tebu misalnya, ia bukan kerana kebanjiran orang ramai, ia kerana FRU menembah gas dan termasuk kedalam air jualannya," katanya. -tvsnews



PAS: Tiada yang bankrap selepas demo

Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyelar tindakan Pemuda Umno yang meminta polis bertindak awal terhadap penganjur demonstrasi BERSIH kerana alasan yang diberikan didakwa tidak berasas.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad (kiri) sebaliknya mendakwa tindakan musuh politik mereka itu didorong "ketakutan" menghadapi gelombang kebangkitan rakyat pada 9 Julai ini.

"Ketika Himpunan BERSIH 2007, mereka juga membuat dakwaan yang serupa. Namun sehingga ke hari ini dakwaan itu gagal dibuktikan. Para peniaga sekitar Kuala Lumpur khususnya di Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abd Rahman masih dapat meneruskan perniagaan.

"Tidak ada yang diistihar bankrap kerana himpunan BERSIH. Tiada kedai-kedai yang dipecah masuk, tiada peniaga yang cedera, tiada harta awam yang rosak," katanya.

Malah, Kamaruzaman juga menegaskan, sebelum dan selepas himpunan itu, peniaga menerima kunjungan pelanggan yang begitu ramai.

Bimbangkan keamanan tergugat dan mata pencarian penjaja terjejas, Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis meminta pihak berkuasa mengambil tindakan awal terhadap demonstrasi BERSIH.

Seru Pemuda Umno berkawal

Exco hal ehwal bandar pergerakan itu Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, tindakan itu mesti diambil sekarang sebelum terlambat.

Dalam kenyataannya petang ini, beliau juga mendakwa Pemuda Umno sebenarnya takut jika perhimpunan pada bulan depan berjaya, rakyat akan membuka mata dan tampil membuat perubahan lebih besar dalam pilihan raya umum ke-13.

"Matlamat himpunan BERSIH adalah untuk mengajak rakyat menuntut hak demokrasi mereka dan menyelar pihak BN yang jelas memperkudakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyeru agar pihak polis memberikan permit kepada penganjur himpunan BERSIH dan memberikan kerjasama bagi memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Menurut Kamaruzaman, hingga ke hari ini, semua himpunan yang disertai PAS berjalan aman tanpa sebarang masalah walaupun pihak polis enggan mengeluarkan permit.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru agar pemuda Umno turun sendiri membuat kawalan keselamatan, jika mereka merasakan perhimpunan ini mengancam mereka," sindirnya. -mk



Terima Kasih Asri: Asri Sifatkan UMNO Perlihat Sikap Hipokrit Terhadap Pendirian PAS

Asri: Umno nampak hipokrit kecam konsep negara kebajikan PAS

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.

Sehubungan itu kata Asri (gambar), Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.

Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.

“Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul
,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS,” kata beliau.

Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.

Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.

Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.

Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.

Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.

Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.

Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.

Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.

Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa “keadaan sudah terbalik” memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.

“PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan,” kata Asri lagi.

“Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun ti

Ulasan GB

GB ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Dr. Asri kerana telah perasan kemunafikan UMNO dan mendedahkannya demi kebaikan umat Islam.

PAS di era kepimpinan apa yang dikatakan golongan professional ini akan lebih ke depan dan diyakini akan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dari masyarakat negara ini termasuk dari kalangan bukan-Islam, maka sebab itu ia amat menggusarkan UMNO.

Lebih hipokrit lagi, dalam waktu mereka menghentam negara kebajikan yang digagaskan oleh PAS, mereka laungkan pula mengajak PAS untuk menjayakan semula Kerajaan Perpaduan.

Sungguh terdesak dan nazaknya UMNO kini. Semakin banyak UMNO bersuara semakin jelas sikap hipokritnya.

Pencuri Sorok Dalam Beg Besar Sebelum Kebas Barang Berharga

Barcelona: Seorang pencuri sanggup mengerekot dalam beg pakaian yang besar untuk mencuri barangan berharga dalam beg lain ketika berada dalam ruang bagasi bas lapangan terbang Sepanyol.

Menurut polis, pencuri itu mempunyai rakan yang akan membeli tiket bas dan meletakkan beg pakaian berkenaan dalam bas dari lapangan terbang Girona ke Barcelona di timur laut Sepanyol.

“Sebaik perjalanan bermula dia akan keluar dari beg pakaian itu dan mennyelongkar beg lain untuk mencari barangan berharga serta menyorokkannya di dalam beg kecil yang dibawanya,” kata polis daerah Catalan dalam satu kenyataan.

Pencuri itu kemudian masuk semula ke dalam beg pakaian tadi yang akan diambil rakannya pada akhir perjalanan.

Berikutan kes kecurian yang berlaku berulang kali, polis mengesyaki satu beg mencurigakan di atas bas pada 3 Jun lalu dan membukanya.

“Mereka lihat seorang lelaki mengerekot dalam beg itu bagaikan ahli jimnastik,” kata kenyataan itu. - AFP

Bagaimana Khir Miliki Wang Sebegitu Banyak Boleh Bayar Tunai RM6.5 Juta Ubahsuai Rumah?

Saksi: Ubah-suai rumah RM6.5 juta dibayar tunai

Mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo membelanjakan RM6.5 juta bagi mengubah-suai rumahnya daripada rekabentuk asal Itali tropikal kepada konsep Bali, kata pereka lanskap yang dipertanggungjawab membuat pengubah-suaian itu, Nasir Ismail, di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Jumlah itu, katanya pada hari ketiga perbicaraan rasuah Khir dibuat dalam bayaran ansuran sebanyak lima kali dan dibayar dengan tunai.

Nasir berkata beliau menerima bayarannya sebanyak RM500,000 dalam bentuk tunai daripada Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd Datuk Shamsuddin Hayroni dan Khir, yang ketika itu adalah menteri besar Selangor di kediaman rasminya.

"Saya terima bayaran pendahuluan sebanyak RM250,000 pada Mac 2006 dan kemudian saya ke pejabat pemegang harta (kini insolvensi) untuk uruskan pasport ke Bali untuk membeli barang.

"Pembayaran seterusnya saya terima kira-kira RM500,000... setiap kali pembayaran di mana empat atau lima kali pembayaran diserahkan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni manakala tujuh atau lapan kali pembayaran diserahkan oleh Dr Khir Toyo sendiri,"
katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud.

Nasir memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes Dr Mohamad Khir, 45, yang didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd melalui Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Nasir yang diperkenalkan kepada Dr Mohamad Khir oleh ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr Karim Mansor, berkata Shamsuddin dilantik oleh bekas Menteri Besar itu sebagai pengurus dalam urusan kerja-kerja pengubahsuaian banglo tersebut.

Ditanya mengenai siapa pemilik sebenar banglo itu, saksi itu menjawab: "Saya keliru sebab yang beri arahan Dr Mohamad Khir tetapi bila dapat pelan ada nama Ditamas Sdn Bhd. Pelan itu telah diluluskan."

"Semasa awak terima wang, awak tiada akaun bank, jadi bagaimana awak uruskan wang?" soal Masri dan Nasir menjawab: "Saya bayar pada supplier (pembekal) dan sebahagian wang itu saya simpan untuk beri kepada pekerja yang diupah.

"Ada atau tidak pada bila-bila masa awak kemuka sebarang sebut harga pada Dr Mohamad Khir?" soal Masri dan saksi itu menjawab: "Ya. Pada Dr Mohamad Khir sendiri dan bila dirujuk (sebut harga) Dr Mohamad Khir minta kurang sikit."

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam M Athimulan yang mewakili Dr Mohamad Khir berhubung status muflisnya, Nasir berkata beliau muflis sejak 1998 dan kemudiannya bebas daripada status muflis pada 2008.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohtarudin Baki. -mk

Ulasan GB

Bukankah sepatutnya satu siasatan baru perlu dilakukan: Bagaimana Khir Toyo dapat mengumpulkan wang sebegitu banyak sewaktu beliau menjadi MB Selangor?

RM6.5 juta itu yang didedahkan untuk renovasi rumah. Sepastinyalah wang yang dimilikinya lebih besar dari jumlah itu.

p/s Ini macam kes seorang pegawai bank dahulu bernama Aman Shah tiba-tiba menjadi jutawan mampu membeli kereta-kereta mahal seperti Porsche dan sebagainya. Rupa-rupanya kebas duit pelanggan bank secara diam-diam. Benda yang salah akhirnya akan terdedah juga.


Mangsa Simbahan Asid Hilang Penglihatan

Seremban – Seorang ibu muda terpaksa menerima hakikat bahawa dia mengalami kecacatan kekal akibat menjadi mangsa simbahan asid oleh lelaki tidak dikenali, Mac lalu.

Zuhaina Tengkis, 27, ibu kepada dua orang anak yang tinggal di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini terpaksa menanggung keperitan sepanjang hayatnya apabila selu­ruh wajah dan sebahagian dadanya melecur.

Lebih memilukan, Zuhaina hilang penglihatan apabila kedua-dua matanya buta akibat kejadian itu.

Menceritakan detik kejadian, Zuhaina berkata, kejadian berlaku pertengahan bulan Mac lalu, bagaimanapun dia tidak ingat tarikh kejadian.

“Pada malam kejadian, saya bersama adik saudara keluar rumah menaiki motosikal untuk bertemu dengan seorang rakan di sebuah kedai makan di pekan Mantin.

“Kira-kira 9.30 malam, saya bersama adik saudara menunggang motosikal bergerak pulang ke rumah selepas bertemu kawan,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di satu kawasan berhampiran Lapang Sasar Mantin di sini, kelihatan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 20-an ingin memotong motosikal mereka.

“Semasa motosikal itu menghampiri motosikal kami, terdengar seorang suspek menyebut ‘hai’. Saya segera menoleh ke arah mereka sebelum seorang daripada mereka menyimbah air tepat kepada wajah saya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Orang Asli Belihoi, Mantin, di sini, semalam.

Zuhaina berkata, simbahan air yang dipercayai asid itu turut terkena pada bahagian belakang badan adik saudaranya itu.

“Dalam keadaan kesakitan, kami terus pulang rumah dan suami segera membasuh wajah saya sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini.

“Saya mendapat rawa­tan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama dua bulan dan dibenarkan pulang ke rumah, 27 Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, doktor memberitahu kedua-dua matanya tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan teruk akibat simbahan asid.

“Sehingga kini, saya tidak dapat tidur kerana kelopak mata saya tidak boleh tutup. Sakit di muka dan dada masih terasa sehingga kini,” katanya.

Menurutnya, nasib menimpanya juga menyebabkan perasaannya adakala terganggu sehingga menitiskan air mata, lebih-lebih lagi tidak dapat melihat anak-anaknya membesar.

“Saya tidak berdendam dengan orang, saya tidak pernah dengki dengan orang tetapi kenapa orang buat saya begini,” katanya.

Sementara itu, suami, Nor Azman Jani, 30, berkata, sehingga kini dua lelaki tidak bertanggungjawab itu gagal dikesan pihak berkuasa.

“Polis turut memaklumkan kes tersebut kemungkinan berkaitan dengan kes simbahan asid di Kuala Lumpur,” katanya.

Nor Azman yang bekerja sebagai penoreh getah bagaimanapun bersyukur isterinya masih selamat.

“Meskipun keadaan isteri saya seperti ini, saya tetap menyayangi dia.

“Cuma saya sentiasa berharap masih ada peluang untuk isteri saya melihat semula,” katanya.

Dalam pada itu, nasib menimpa Zuhaina mendapat perhatian Pengerusi MCA negeri, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam yang melawat mangsa serta menghulurkan sumbangan, semalam.

Chai Thiam berkata, dia akan memastikan mangsa mendapat bantuan sewajarnya dari segi kewangan serta kos rawatan.

“Saya akan memanjangkan masalah ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mangsa mendapat bantuan bulanan berikutan pendapatan suami bawah RM500 sebulan,” katanya. -SH