6 Apr 2010

UMNO Kena Ajar PERKASA Pula.

Perkasa mahu ‘ajar’ pemimpin MCA, Gerakan

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu “mengajar” Ketua Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nam dan Timbalan Setiausaha MCA, Low Chew June mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Perkasa memberikan tempoh 48 jam berkuat kuasa Jumaat lalu kepada mereka untuk memohon maaf berhubung kenyataan dibuat susulan mesyuarat agung tahunannya.

Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah berkata, tindakan itu diambil kerana kedua-dua pemimpin tersebut mengatakan perkara-perkara tida sepatutnya dan melabelkan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan rasis dan haluan kanan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan akan dihadiahkan senaskhah Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mengambil tindakan ini kerana kedua-dua individu ini seolah-olah ‘buta perlembagaan’ dengan mendakwa Perkasa sebagai perkauman.

“Sebagai warganegara Malaysia adakah mempertahankan hak, maruah dan martabat Perlembagaan serta fasal-fasal dalam Perlembagaan negara dianggap rasis, perkauman dan haluan kanan?

“Dalam erti kata lain menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk memahami Perlembagaan dan mempertahannya tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di ibu negara.

Menurutnya, Perkasa hanya bertindak mempertahankan Perlembagaan yang menjadi teras utama perjuangan pertubuhan tersebut.

“Dalam erti kata lain adalah mempertahankan dalam Perlembagan yang mempunyai hak-hak istimewa pribumi negara dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

“Adakah ini dikatakan pertubuhan rasis, perkauman dan haluan kanan? Sila nilai dan kaji perkara ini secara matang terutama kepada kedua-dua pemimpin itu.

“Jadi kepada pihak-pihak yang sebelum tidak memahami perjuangan Perkasa harus membuka mata dengan jelas,” katanya lagi.

Arman Azha berkata, Perkasa mahu kedua-dua pemimpin tersebut memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya turut diberikan label yang sama.

“Sebagai pemimpin mereka sepatutnya mempertahankan Perlembagaan kerana itu tanggungjawab kita semua sebagai rakyat.

“Sebelum ini kita lihat mereka turut melabelkan beberapa pemimpin Umno sebegitu juga kerana mempertahankan Perlembagan.

“Kini ingin saya tegaskan jika mereka warganegara Malaysia yang seharusnya menghormati Perlembagaan mereka perlu meminta maaf atau kami akan mengambil tindakan kerana tidak menghormati Perlembagaan Negara,” katanya. -MI

Ulasan GB

Tak der beban batu digalas. Itulah nasib UMNO bila terima PERKASA sebagai NGO yg mesra BN kononnya.

PERKASA semakin rasis, semenjak menjulang keris kita keris dihalakan kepada mereka yang bukan Melayu - sesuatu yang pastinya meletakkan UMNO dalam keadaan serba tak kena.

UMNO ada tugas besar, untuk mengajar PERKASA pula. Apalah malang nasibmu UMNO.


Agen Perisik Israel Terlibat Dalam Projek IT Polis

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan sekali lagi apabila mendedahkan penglibatan dua bekas anggota perisikan tentera Israel dalam Projek Sistem Maklumat Polis DiRaja Malaysia.

Projek yang dikenali dengan nama kod APCO P25 diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menelan belanja RM999 juta di bawah kelolaan APCO International.

"Kebimbangan saya adalah kerana ia ada kaitan dengan syarikat sama yang diberikan kontrak bernilai RM900 juta untuk mengusahakan 1,100 ekar Taman Teknologi Sungkai oleh Kementerian Pertahanan dan perkara ini telah didedahkan pada Julai 2008 dan disahkan melalui kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Ada dua orang yang bertugas di bilik server Bukit Aman di tingkat 2 dan 3. Tugas mereka meneliti bagi pihak APCO dan perkara ini telah disebut oleh Ketua Polis Negara. Pada bulan Julai 2008, Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Tan Sri Robert Phang menyerahkan sebahagian dokumen berkenaan projek tersebut kepada Badan Pencegahan Rasuah dan pada bulan Oktober berikut, Ahli Parlimen Ipoh Timur membangkitkan isu ini di Parlimen dengan beberapa maklumat tetapi pencdedahan beliau terus diketepi dan dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri.

"Pada November dan Disember 2008 pula, laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis dan perkara ini telah disiasat oleh ASP Saerah tetapi dan pegawai tersebut dipindahkan ke Taiping dan tiada kemajuan tentang siasatan itu.

"Pada 23 November 2008, Menteri Dalam Negeri ketika itu mendapat taklimat khas pada jam 4.00 petang di Bilik VIP KLIA kerana Jabatan Logistik, Ketua Polis Negara dan Cawangan Khas membangkitkan isu tentang kehadiran Perisikan Israel di Bahagian Teknologi Maklumat PDRM.

"Pada 1 Disember 2008, Pengarah Jabatan Logistik Datuk Mahsuri Zainal menulis kepada BPR mengenai projek APCO 425 yang dikenali sebagai "Police Reporting System" Fasa Ketiga Pembekalan dan Penyelenggaraan 123 kepada syarikat Masterplan Consulting Sdn Bhd (MPC). Dalam surat tersebut bertarikh Mei 2008 Pengarah Logistik menerima laporan daripada Pengarah Cawangan Khas berkenaan penglibatan dua bekas Perisikan Tentera Israel di dalam projek PRS-PDRM oleh MPC.

"Dalam surat bertarikh Ogos 2008, Cawangan Khas mengesahkan penglibatan Israel melalui syarikat Asiasoft Malaysia sebagai subkontraktor dan mempunyai dua pemegang saham iaitu B System Sdn Bhd dan Asiasoft PLC. Asiasoft PLC didaftar di Singapura dan dikuasai oleh Asiasoft Global PLC yang berpengkalan di Israel," dedah Anwar lagi semasa membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini. -SK

Pemimpin UMNO Sedang Sibuk Tebalkan Poket

Pemimpin UMNO di negeri ini didakwa sedang berlumba mengumpulkan harta kekayaan masing-masing setelah menyedari Barisan Na-sional (BN) tidak berpeluang untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia terbukti apabila majoriti tender projek yang dikeluarkan kerajaan dimonopoli pemimpin UMNO, sekali gus membuktikan hakikat bahawa parti itu mengutamakan kroni.

“Cerita pemimpin UMNO sedang ‘besarkan perut supaya kenyang’ sudah menjadi buah mulut rakyat khususnya di kedai kopi dan lebih mengejutkan, penyokong kerajaan sendiri turut bercakap mengenainya.

“Ini berlaku kerana mereka tahu rakyat tidak akan memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum nanti kerana mengalami krisis kepimpinan yang begitu serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mengumpulkan harta dilihat sebagai perkara penting kepada orang UMNO dan atas sebab itu kebajikan rakyat bukan lagi fokus utama melainkan usaha memperoleh projek yang mampu ‘menebalkan’ poket.

Beliau berkata, memang benar penubuhan UMNO satu ketika dahulu khususnya zaman pemerintahan Tun Razak Husein adalah berjuang membasmi kemiskinan dan membantu rakyat namun sekarang matlamatnya jauh tersasar.

Malah katanya, sikap mencari kemewahan bukan sahaja berlaku di negeri ini, sebaliknya turut berleluasa di negeri pimpinan BN lain termasuk kepimpinan Kerajaan Pusat sendiri.

“Perjuangan UMNO sudah jauh tersimpang dan Pas bersama pakatan pembangkang akan berusaha mengembalikan semula hak rakyat.

“Rakyat sudah bosan sebenarnya dengan sikap pemimpin UMNO dan mereka akan jatuhkan kerajaan BN pada pilihan raya umum nanti,” katanya. -SH

Bank Islam Diperintah Serah Dokumen Kpd Khalid Ibrahim Dalam Masa 14 Hari

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) diberi tempoh 14 hari untuk menyerahkan semua dokumen yang dipohon oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung saman membabitkan saham Guthrie Berhad.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf dalam kamarnya hari ini seperti permohonan mendapatkan dokumen dikemukakan Abdul Khalid ke atas bank tersebut.

Menurut peguam Abdul Khalid Malik Imtiaz Sarwar, jika bank berkenaan gagal berbuat demikian saman balas yang dikemukakan terhadap Abdul Khalid boleh ditolak.

Tambah Malik Imtiaz berkata anak guamnya memerlukan semua dokumen berkenaan bagi memahami dan mengenal pasti perkara- perkara yang berkaitan dengan lebih jelas menjelang perbicaraan pada 4 Mei ini.

Kes ini melibatkan dua saman antara Abdul Khalid ke atas bank itu, dan juga saman balas bank terhadap Menteri Besar terbabit.

Abdul Khalid menyaman BIMB pada 18 Mei 2007 kerana mendakwa bank itu telah melakukan kesalahan melupuskan saham beliau dalam Guthrie yang diperoleh menerusi pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) pada 30 April 2001.

Beliau memohon perintah bahawa terdapat kontrak cagaran antara beliau dan bank itu berhubung pinjaman berkenaan.

Abdul Khalid, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB.

Bank itu pula mengemukakan saman balas pada 24 Mei 2007 bagi mendapatkan balik RM66.67 juta kerana mendakwa Abdul Khalid melanggar perjanjian kerana tidak membayar balik pinjaman itu.

Pada Ogos 2009, Abdul Khalid diperintah oleh mahkamah membayar balik RM66.67 juta itu kepada BIMB tetapi Mahkamah Rayuan pada 3 Mac lepas memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

1Malaysia Tidak Lebih Dari Sekadar Slogan Kosong

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan tidak menarik perhatian rakyat di negara ini, Kata Pengerusi Dewan Perhimpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw.

Menurutnya, Gagasan 1Malaysia hanyalah berkisar kepada nama yang gah, sebaliknya tiada pembaharuan melalui pemerintahan yang diterapkan Perdana Menteri.

“Tiada apa yang baru, ia hanyalah sekadar nama yang sedap tetapi tiada pengisian yang jelas,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Najib selepas genap setahun mengambil alih kepimpinan negara.

Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembentukan gagasan tersebut mendapat nasihat daripada syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pembentukan slogan 1Israel pada tahun 1999.

Phang Chaw turut mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep itu sedangkan ia sepatutnya ia sudah menjadi teras kepada mana-mana pemimpin yang menjadi ketua negara.

Dalam pada itu, ditanya adakah konsep itu akan diuji dalam pilihan raya Hulu Selangor, beliau berkata, rakyat memberi undi berdasarkan kepada parti yang menjaga kebajikan rakyat.

“Saya tidak nampak ia menjadi kelebihan kepada BN, malah jika Perdana Menteri mahu konsep 1Malaysia, sudah tentu beliau tidak perlu berfikir panjang untuk meletakkan calon MIC,” katanya.

Badrul Muhayat Mengaku Tak Bersalah Cederakan Isteri

Pelakon filem dan drama, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mencederakan isterinya dua minggu lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Badrul Muhayat, 42, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia Daud, 29, dengan menumbuknya di muka dan menendang di perut di rumahnya di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, Hulu Langat pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia dengan memukulnya menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki pada waktu dan di tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin RM2,500 bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pelakon berkenaan melantik peguam bela.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Dr A.Vasu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM3,000 ke atas Badrul Muhayat bagi dua pertuduhan itu kerana ia berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

Badrul Muhayat kemudiannya merayu kepada mahkamah agar mengurangkan wang jaminan kepada RM500 atas alasan dia kurang mendapat tawaran kerja ekoran laporan media berhubung kes itu. — Bernama

Soo Nee Ada Bukti ZulKulim Minta Duit

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Lim Soo Nee menyifatkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin seorang yang gemar memutar belit fakta.

Katanya, Zulkifli sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya, walaupun terpaksa mempergunakan nama pihak ketiga.

“Saya dedahkan perkara ini kerana tidak sanggup lagi melihat rakyat ditipu dengan mudah oleh Zulkifli. Dengan penampilan dirinya itu saya yakin ramai yang sudah terpedaya,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Soo Nee, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim berkata, beliau terpanggil untuk mendedahkan rahsia Zulkifli kerana tidak sanggup lagi bersubahat dengan Ahli Parlimen bebas itu, terutama apabila Zulkifli mendakwa beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Jika benar beliau ikhlas dan profesional, sepatutnya ketika menerima tawaran itu beliau membuat laporan polis atau mendedahkannya kepada umum. Tetapi kenapa baru sekarang, setelah hampir empat tahun berlalu?” katanya.

Soo Nee berkata, ketika sama-sama berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Zulkifli pernah mengaku menyimpan bukti kes pembunuhan itu, ketika mewakili tertuduh dalam kes terbabit, Cif Inspektor Azilah Hadri, tetapi menarik diri kerana didakwa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam persediaannya membuat pembelaan.

Mengulas mengenai insiden yang dianggapnya menganiayai rakan separti, Soo Nee berkata, Zulkifli pernah menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya pada PRU-12, untuk meminta wang bagi digunakan ketika berkempen dengan menggunakan nama pihak ketiga.

“Mengikut rekod SMS itu, katanya, jentera Pas meminta RM21,000 untuk berkempen dan jika tidak dipenuhi, jentera Pas akan memboikot kempen itu. Katanya, saya hanya perlu tanggung sebahagian kos, iaitu RM7,000,” katanya.

Soo Nee berkata, memandangkan beliau tidak memberi maklum balas kepada SMS itu dengan segera, Zulkifli menghantar SMS kedua, memaklumkan kemarahan pihak terbabit dan meminta beliau memberi sejumlah yang mampu.

“Setelah Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya itu, kebetulan saya terjumpa Yang Dipertua Pas Kulim Bandar Baharu ketika itu, Yaakub Husin dan bertanya mengenai hal itu, tetapi beliau menafikan meminta wang untuk berkempen. Sejak itu, saya tertanya-tanya bagi tujuan apa duit itu diambil oleh Zulkifli?” katanya.:

Dengan pendedahannya itu, Soo Nee mencabar Zulkifli membuat kenyataan balas terhadap semua tindakannya, atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan untuk menegakkan kebenaran.

“Eloklah buat pilihan raya kecil (PRK). Selepas itu kita lihat sama ada penduduk Kulim Bandar Baharu masih menyokong beliau atau sebaliknya,” katanya.

Soo Nee berkata, beliau berani membuat tuduhan ini kerana sehingga kini beliau masih menyimpan bukti, termasuk SMS yang dihantar Zulkifli dua tahun lalu, bertarikh 5 Mac dan 6 Mac.

Sementara itu:, Zulkifli, ketika dihubungi berkata, beliau tidak berminat berbalas kenyataan secara terbuka.

Menurutnya, apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepadanya “tidak perlu diperbesarkan” dan beliau “tidak kisah dengan tuduhan itu”, walaupun tuduhan itu sedikit sebanyak akan mencalar imejnya sebagai seorang pemimpin.

“Saya tidak minat untuk menjawab semua pertuduhan itu secara terbuka.

“Saya tak minat langsung nak komen isu ini. Apa yang saya boleh katakan ialah saya kenal Soo Nee sebagai seorang rakan dan ucapkan selamat maju jaya kepadanya.:

”Saya minta dia jaga kawasan dia dengan elok supaya dapat jadi calon pada masa akan datang.

“Biarlah apa dia nak kata. Saya tetap dengan pendirian saya, tak mahu berbalas kenyataan tentang isu yang dibangkitkan,” katanya. -SH

PRK Hulu Selangor: Calon PR Calon Berwibawa

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu terburu-buru dalam menamakan bakal calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita mempunyai ramai ahli berbakat untuk dijadikan calon,” katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bahawa Barisan Nasional akan mengumumkan nama bakal calonnya pda 15 April ini, dua hari sebelum hari penamaan calon.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat kanser otak.

Dalam pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan Datuk G.Palanivel daripada BN dengan kelebihan 198 undi. Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi.

Abdul Khalid berkata memandangkan PKR mempunyai ramai bakal calon, parti itu memerlukan masa untuk menilai mereka.

“Kita masih dalam proses. Saya sendiri tak tahu bila kita akan umumkan,” kata Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata setakat ini, jawatankuasa pilihan raya Pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan oleh peringkat akar umbi.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, Fuziah yang juga anggota Parlimen Kuantan, berkata PKR tidak menetapkan faktor kaum sebagai antara kriteria sebaliknya memastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan.

Katanya pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon minggu hadapan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April untuk penamaan calon.

Datuk Zaid Ibrahim, ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin adalah dua nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai tokoh yang layak untuk bertanding di Parlimen Hulu Selangor.



Pendedahan Untuk Rakyat, Anwar Rela Terima Hukuman

Datuk Seri Anwar Ibrahim rela digantung dari menghadiri sidang Parlimen berhubung pendedahan yang mengaitkan kerajaan Umno-Barisan Nasional dengan Apco Worldwide yang didalangi Yahudi berfahaman Zionis.

Ahli Parlimen Umno-BN dijangka mengemukakan usul untuk menghadapkan Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi menggantung Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu untuk tempoh yang tidak diketahui.

Anwar membuat kenyataan berani itu semasa berucap depan kira-kira 3,000 pengundi Hulu Selangor pada Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Desa Maju, Sungai Tengi.

Beliau mencabar Datuk Seri Najib Razak supaya menjawab persoalan yang ditimbulkan khususnya kaitan APCO dengan bahagian perisikan Israel, Shin Bet serta butiran perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dengan firma itu.

Anwar turut membidas Pemuda Umno yang lantang menuduh beliau mengkhianati Melayu tetapi menjahit mulut apabila isu APCO yang jelas ada kaitan dengan Yahudi Zionis, dibangkitkan.

Ucapan beliau juga menyentuh isu calon yang bakal membawa cabaran PKR. Anwar memberi jamiman calon PKR memiliki kewibawaan dan kredibiliti dalam memperjuangan nasib rakyat di Hulu Selangor.

Ketua Pembangkang itu juga berjanji betapa karenah segelintir calon PKR pada pilihan raya umum lalu hingga menimbulkan masalah kepada perjuangan rakyat, tidak akan berulang.