17 Mac 2010

Umno-BN Hipokrit Guna Khidmat Yahudi-Zionis

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas keras sikap hipokrit Umno dan Barisan Nasional yang menuduh beliau menjadi ejen Yahudi dan Cina tetapi pada masa yang sama secara senyap-senyap mengunapakai khidmat syarikat perunding imej pro-Zionis, APCO International.

Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan titah Yang Dipertuan Agong, Anwar mendedahkan semasa pentadbiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Umno-BN juga telah membayar sejumlah wang kepada pelobi Yahudi yang pro-Zionis dan neo-konservatif ektremis, Jack Abramoff.

Kerajaan Malaysia telah membayar yuran perundingan sebanyak AS$1.2 juta (RM4.6 juta) kepada Abramoff bagi khidmat menguruskan pertemuan antara Dr Mahathir dan Presiden Amerika ketika itu George W. Bush di White House, Washington pada Mei 2002.

Apabila perkara itu dibongkarkan oleh pembangkang Dr Mahathir menafikan bahawa bayaran tersebut adalah daripada dana kerajaan.

Ahli Parlimen itu mendedahkan Abramoff bukan sahaja berfahaman ektremis Zionis tetapi juga telah didakwa serta dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah di Amerika dan kini dipenjara kerana mengumpul bayaran melampau dan cara salah sebagai pelobi dan dalam fakta kes beliau di mahkamah tercatat dalam nota kongres Amerika.

"Saya nak tanya ustaz, ustazah dan Menteri Agama Umno apa pandangan mereka Najib guna pelobi yahudi yang bukan sahaja tauke judi tetapi juga didapati menipu kaum Red Indian di Amerika dengan tujuan merampas tanah mereka untuk membina kasino.

"Tentang konsep 1Malaysia yang di bawa oleh Perdana Menteri kita tak payah pertikailah tetapi saya ingin ingatkan bahawa APCO yang diguna oleh Datuk Seri Najib ditunjangi oleh dua bekas pemimpin Israeli iaitu satu bekas duta ke Amerika Syarikat dan satu legi bekas duta ke Jerman.

"Ini wakil rakyat Umno semua sokong dan amin kepada semua tindakan pemimpin mereka.

"Bagaimana kerajaan Umno-BN boleh menyokong syarikat ini yang mendokong fahaman Zionis yang dunia ketahui menindas dan membunuh rakyat Palestin.

"Bagaimana Perdana Menteri boleh mengguna khidmat APCO yang menasihati Perdana Menteri Israel, Ehud Barak pada 1999 dengan slogan 1Israel dan sepuluh tahun kemudian syarikat yang sama menasihati Najib dengan gagasan 1Malaysia," kata Anwar dalam nada yang tegas.

Anwar secara tegas mengkritik 1Malaysia kerana menunjukkan sikap dwi standar dalam perlaksaan walaupun secara luaran konsep itu mengkagumkan.

"Cakap pasal 1Malaysia tapi kes kematian Kugan tak selesai, bila tanya Kugan mati sendiri, begitu juga dengan Teoh Beng Hock, bila tanya dia terjun sendiri dan mati, Altantuya pun begitu, kenapa mati Altantuya sendiri letupkan diri dan saya pula mengapa mata lebam, sendiri pukul!

"Lihat sahaja kes saya untuk menggugurkan hakim, bila buat rayuan hakim dah tetapkan tarikh awal-awal lagi. Tapi kes rayuan Azilah dan Sirul sudah setahun fail rayuan tetapi sampai sekarang tarikh belum ditetapkan. Inikah 1Malaysia?

"Dalam hal bidang kuasa Raja, apabila undang-undang itu berpihak kepada Umno maka Raja tidak ada kuasa tetapi di Perak Sultan ada kuasa mutlak. Hukum mana dan perlembagaan mana yang Umno pakai?

"Semua ceramah dan kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat disiasat polis sampai YB Bukit Gelugor ada 130 laporan polis terhadap dirinya dan saya pun ada empat. Kenyataan perkauman melampau Umno satu pun tak siasat. Apa jenis 1Malaysia ni - satu hukum untuk penguasa dan satu hukum lain untuk pembangkang," kata Ketua Pembangkang lagi.

Beliau berkata sekiranya 1Malaysia mahu berlaku adil sistem pentadbiran mestilah bertunjangkan kepada negara hukum dan bukannya membeza-bezakan tindakan mengikut agenda politik.

Anwar seterusnya mempersoalkan "conscience" pemimpin Umno dan BN yang sanggup mendokong sebuah pentadbiran korup yang membiarkan komisyen RM540 diambil oleh beberapa kerat kroni individu yang berkepentingan tetapi pada masa yang sama membiarkan rakyat menderita tanpa pembelaan.

Zambry Digesa Henti 'Perbodohkan' Kaum Cina

Ahli parlimen Beruas yang juga ketua DAP Perak, Datuk Seri Ngeh Koo Ham mencabar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan ahli exconya supaya menghentikan 'sandiwara' mereka 'memperbodohkan' masyarakat Cina.

Beliau membuat bidasan itu hari ini dan mendakwa Barisan Nasional tidak cekap dalam mentadbirkan Perak.

"Jika mereka ingin kembali ke sekolah, sila kembali ke sekolah dan biarkan orang lain yang cekap mentadbirkan negeri,” katanya di Parlimen lobi, hari ini.

Ngeh mengulas laporan di akhbar harian Sin Chew Jit Poh yang memaparkan gambar Zambry dan anggota exconya menghadiri kelas bahasa Mandarin.

"Peristiwa itu diberikan liputan meluas oleh Sin Chew tetapi ia hanya membuktikan bahawa exco BN adalah orang yang tidak cekap,” katanya.

Beliau juga mahukan Zambry supaya menghentikan lakonan kononnya BN mengutamakan bahasa Mandarin dan Inggeris, sedangkan hakikatnya tindakan itu hanya 'sandiwara' dan tidak ikhlas.

Ngeh berharap masyarakat Cina tidak akan terpedaya dengan helah BN kerana sebelum ini beliau mendakwa ada arahan kerajaan negeri supaya tidak diambil pegawai yang mahir berbahasa Mandarin tetapi sebaliknya menghantar pegawai Melayu ke kelas bahasa Mandarin.

"Mempelajari sesuatu bahasa memakan masa yang lama. Kenapa tidak menghargai masyarakat Cina dengan menyerap mereka yang mahir dalam bahasa Mandarin ke dalam perkhidmatan awam?

“Masyarakat Cina juga kini menguasai bahasa Melayu dengan baik. Mengapa tidak kita memaksimumkan sumber berkenaan?” soalnya.

Siva : Saya Sanggup Mati Mempertahankan Perjuangan PAS

Tengahhari tadi, beberapa ahli parlimen PAS terdiri daripada Dr Mujahid (gambar), Nasir Zakaria Ahli Parlimen Padang Terap, Kedah, Dato’ Wan Abd Rahim, Ahli Parlimen Kota Bharu, Kelantan, Ust Mohd Nasir, Khairil Faizi, LPN DPP Pusat bersama beberapa Pemimpin PAS Perak dan ahli Kelab Penyokong PAS Perak telah datang berkumpul di rumah mendiang Siva (34 tahun), yang mati ditembak oleh dua orang yang tidak dikenali petang kelmarin.


Para pengunjung berkumpul di pejabat Kelab Penyokong PAS
berdekatan sebelum beramai-ramai ke rumah mendiang Siva


“Berita kematian Siva ditembak kami terima semasa kami di Parlimen kelmarin dan pada tengahari ini, kami dari ahli parlimen PAS datang sebagai menunjukan solidariti kami dan kesedihan kami diatas pemergian saudara Siva, seoprang yang cukup aktif dan komited dengan perjuangan parti,” jelas Dr Mujahid yang mewakili Lujnah Perpaduan Nasional dan PAS Pusat.

Balu mendiang begitu hiba sambil cuba
ditenangkan oleh beberapa Muslimat PAS


“Mendiang pernah berkata , bahawa dia sanggup mati kerana mempertahankan PAS.Ini adalah kenyataan, dimana mendiang tidak pernah ketinggalan menyertai mana-mana demonstrasi , baik di Kuala Lumpur atau di Perak, katanya lagi.

Anak sulung mendiang (baju hitam)ada bersama sewaktu
tragedi hitam itu berlaku

“Malah, kata Mujahid, mendiang sedang berusaha untuk menubuhkan PASTI untuk kaum India.”


Dr Mujahid turut mengangkat keranda Siva yang baru sampai


Mujahid menyifatkan pemergian saudara Siva itu sebagai satu kehilangan yang besar , khususnya bagi Kelab Penyokong PAS.

PAS Pusat telah dimaklumkan dimana Tuan Guru Nik Aziz dan juga Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang telah mengucapkan takziah diatas pemergian mendiang Siva atau nama sebenarnya Panthiyan a/l Patchamuthu.


Kehadiran yang jelas menyatakan solidariti tanpa mengira kaum atau ugama


Ahli-ahli PAS ramai yang turut hadir sebagai menunjukan rasa sedih dan simpati mereka diatas tragedi yang berlaku petang kelmarin itu.Mendiang meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.


Sanak saudara dan sahabat handai menatap wajah
mendiang Siva buat kali terakhir


Mujahid juga menjelaskan bahawa PAS Pusat akan memberikan sedikait bantuan sebagai sumbangan kebajikan kepada keluarga mendiang Siva. - alhussyen

SMS Dedah PM, TPM Restu Ong Ka Ting Bertanding Jawatan Presiden MCA

Nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini dikaitkan dengan pertandingan jawatan presiden MCA pada 28 Mac ini.

Pendedahan itu dibuat oleh bekas Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (kiri) pada satu majlis di Alor Star.

Laporan Bernama memetik beliau sebagai berkata khidmat pesanan ringkas (SMS) kini tersebar luas di seluruh negara yang mengaitkan keputusan Tan Sri Ong Ka Ting untuk bertanding jawatan presiden MCA mendapat restu perdana menteri dan timbalannya.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Chua mendakwa SMS itu tidak benar dan hanya mencemarkan nama baik Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Sejak semalam ramai perwakilan mendakwa menerima SMS, Ka Ting bertanding kerana direstui Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ini tidak benar. Saya telah berjumpa Najib dan Muhyiddin selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang menyatakan mereka sayangkan MCA dan tidak akan campur tangan tangan dalam pemilihan parti," kata Chua.

Beliau seterusnya menggesa Ka Ting (bawah, kanan) yang juga bekas presiden MCA agar membuat penafian secara terbuka berhubung dakwaan sms berkenaan.

Kemelut dalam MCA hanya boleh diselesaikan dengan pemilihan yang bersih, katanya.

MCA akan berpecah

Chua juga melihat hasrat bekas presiden MCA itu untuk bertanding pada pemilihan parti 28 Mac ini akan menyebabkan perpecahan dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya, Chua berkata beliau belum membuat keputusan.

"Saya belum buat keputusan muktamad untuk bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden atau tidak sehingga selepas mendapat maklumbalas perwakilan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas setiausaha agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga merupakan abang kepada Ka Ting berkata nama Perdana Menteri tidak harus diheret.

Ini kerana katanya, Najib bukan ahli MCA.

Ka Chuan yang bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan 2008 juga berkata beliau tidak akan bertanding jawatan tertinggi parti itu kali ini untuk mengelakkan berlakunya masalah 'sensitif'.

Bukan salah kami adik beradik

"Bukan salah saya kerana kami adalah adik-beradik,” katanya sambil bergurau dengan pemberita di lobi parlimen hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga didakwa 'campurtangan' bagi menentukan kepimpinan MCA, tidak mahu mengulas lanjut mengenai hasrat Ka Ting untuk kembali ke arena politik dan saga MCA.

“Jangan heret saya dalam situasi ini. Saya berpendapat tidak adil bagi timbalan presiden BN untuk campurtangan dan membuat ulasan yang akan merumitkan lagi keadaan,” katanya.

“Saya fikir adalah lebih baik, bagi saya untuk tidak mengeluarkan kenyataan kerana ia mungkin ditafsirkan dalam bentuk yang berlainan.”

Beliau mengulangi keyakinannya bahawa MCA mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan yang terbaik bagi parti Cina itu.

Sebelum EGM parti itu tempoh hari, Muhyiddin pernah bertindak sebagai orang tengah bagi mencari jalan keluar di kalangan pemimpin MCA yang bertelagah. -mk



Datuk Zahrain Baca Skrip UMNO BN, Reka Cerita 16 September

Datuk Seri Zahrain Hashim didakwa telah bercakap bohong di Parlimen semasa berucap buat pertama kali sebagai Ahli Parlimen Bebas Bayan Baru berhubung isu 16 September 2008.

Zahrain dalam ucapan perbahasan titah Yang DiPertuan Agong berkata kononnya beliau kesal dengan tindakan yang diambil oleh Pakatan Rakyat pada 16 September dua tahun lalu untuk menubuhkan kerajaan persekutuan melalui tindakan lompat parti oleh anggota Parlimen Barisan Nasional.

Beliau juga mendakwa Pakatan Rakyat menghantar wakilnya ke Taiwan untuk bagi merayu Ahli Parlimen Barisan Nasional supaya menyokong usaha merampas Putrajaya.

Zahrain berkata Pakatan Rakyat ketika itu yakin ahli-ahli BN yang mahu melompat parti sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat selain memberitahu bahawa Yang DiPertuan Agong sudah menunggu di Istana Negara bagi memberi perkenan bagi membentuk kerajaan selain merestui Anwar sebagai Perdana Menteri Keenam.

Ketua Pembangkang dalam respons beliau terhadap "cerita" Zahrain sebelum meninggalkan Dewan berkata apa yang dicakapkan oleh Zahrain adalah pembohongan semata-mata.

"Dia keluar parti kerana tidak puas hati beliau terhadap kes pemecatan beliau sebagai Pengerusi Island Golf Properties Bhd (IGP).

"Saya tegaskan di sini apa yang dia cakap semuanya tidak betul, kita tidak pernah mengeluar kenyataan seperti apa yang dia katakan itu. Tidak ada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang berhimpun di Parlimen pada 16 September tersebut.

"Ini adalah draf ucapan yang dibuat oleh Umno, Umno tak berani dan mereka mengambil kesempatan menggunakan orang lain dalam kepentingan mereka," tegas Anwar.

Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu disokong Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang menyifatkan teks ucapan Zahrain disediakan oleh Umno-BN.

"Bagi saya kenyataan yang diperkatakan oleh Zahrain adalah mengikut teks yang diberikan Barisan Nasional kepadanya, ini dapat dibuktikan jika disebabkan 16 September beliau hilang keyakinan kepada PKR kenapa baru sekarang beliau mengambil tindakan keluar parti."Saya tidak nampak apa yang diperkatakan itu betul dan boleh terima, kita beranggapan beliau menurut perintah pihak sebelah sana (BN).

"Kita tahu sebab apa beliau tidak puashati sebelum ini. Kenyataan yang diperkatakan hari ini tidak pernah diluahkan oleh beliau selain kenyataan media selepas beliau keluar parti," komen beliau.

Tindakan Zahrain tersebut telah membangkitkan kemarahan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menuduh Zahrain berbohong sedangkan masalah sebenar semasa beliau bersama KEADILAN cuba ditutup. -SK



TNB Dihalang Dirikan Menara Oleh Penduduk Sg. Terentang

Lebih 200 orang sedang berhimpun di jalan masuk menuju Kampung Sg Terentang, Rawang dalam usaha terakhir mereka menghalang Tenaga Nasional Bhd (TNB) daripada menyambung semula kerja-kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) di kampung mereka.

Penduduk dilapor mengepung semua tiga jalan utama ke kampung itu sejak jam 7.30 pagi sambil menyanyikan lagu-lagu untuk menaikkan semangat mereka.

Mereka juga membawa sepanduk yang tertera tulisan “TNB zalim” dan TNB keluar dari sini”.

Turut berada di tapak bantahan itu adalah ahli dewan undangan negeri Rawang, Gan Pai Nei, ahli parlimen Selayang William Leong dan pengarah strategi PKR, Tian Chua.

Sebuah lori TNB juga dilihat berada di kawasan itu tetapi tiada kehadiran polis yang dikesan.

Menurut Leong, wakil penduduk kampung baru itu mengadakan mesyuarat dengan pihak TNB petang semalam tetapi ia berakhir dalam keadaan buntu.

Penasihat penduduk kampung, Tan Ah Cai yang berucap pagi tadi berkata TNB mungkin memilih kaedah pembinaan menara yang lain yang didakwa lebih selamat dan digunakan secara meluas di Jepun.

Kaedah menara 'tiang tinggi' itu juga dikatakan digunakan sekitar Istana Negara di Kuala Lumpur.

Isnin lalu, Bernama melaporkan bahawa pasukan kejuruteraan TNB akan memasuki kampung itu bagi memulakan projek yang terbelangkai sejak lima tahun lalu.

Penduduk sebelum ini melahirkan kebimbangan mereka kerana khuatir rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara berkenaan yang sekali gus juga menyebabkan kampung itu terbahagi dua.

Mereka membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu tetapi mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu.

Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan.

Bagaimanapun bantahan berkenaan berakhir pada tengah hari selepas penduduk mendapat jaminan daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin bahawa tidak ada kerja-kerja merobohkan akan diadakan sehingga mesyuarat antara TNB dan wakil penduduk diadakan Jumaat ini.

Apabila siap kelak, projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer jaraknya dari Kampung Sg Terentang itu akan menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Projek CAR akan meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik daripada 33kV kepada 275kV dan membantu mengatasi kekurangan kuasa di Lembah Klang. -malaysiakini



PKFZ Dan Janji Manis Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal melaksanakan retorik 1Malaysia, 'Pencapaian Diutamakan' kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap 'jerung-jerung' yang terlibat dengan skandal PKFZ.

Menurut Ahli Parlimen Tony Pua sudah hampir 5 bulan sejak Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) membentangkan laporan mengenai skandal RM12.5 bilion itu di Parlimen pada 4 November tahun lalu yang melibatkan salahguna kuasa, pecah amanah dan salahlaku melibatkan tokoh politik berprofil tinggi termasuk bekas Menteri Pengangkutan.

Namun sehingga kini tida ada sebarang tindakan konkrit atau pendakwaan dibuat terhadap individu berpengaruh tersebut.

Sebelum itu Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berjanji akan mendakwa individu lain yang terlibat dalam skandal ini selepas 4 orang termasuk seorang bekas penjawat awam, Datuk Paduka O.C. Phang dihadapkan ke mahkamah pada 17 Disember tahun lepas.

Polis juga telah bertindak membekukan aset yang bernilai ratusan juta ringgit milik Kuala Dimensi Sdn Bhd kepunyaan Datuk Seri Tiong King Sing yang merupakan jutawan dan ahli politik Barisan Nasional Sarawak.

Pada masa yang sama Kabinet telah mengarahkan satu pasukan khas diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat kes tersebut dari semua aspek termasuk mengenalpasti salah laku, melaksanakan 'good corporate governance' dan juga menilai operasi dan perniagaan pada September 2009.

"Tindakan awal yang diambil oleh kerajaan dengan mengheret hanya ikan bilis ini untuk menjustifikasikan kerajaan kononnya mempunyai komitmen yang tegas untuk memerangi rasuah.

"Pentadbiran Datuk Seri Najib dengan tema "Program Transformasi Kerajaan" dengan tunjang kempen "basmi rasuah" ternyata menuju kehancuran," tegas Tony Pua.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah berjanji kepada rakyat kononnya kerajaan akan mengambil tindakan yang terhadap mana-mana individu yang terbabit dan tidak akan ada seorang akan terlepas dari hukuman.

"Dan yang paling teruknya, kerajaan pula dilihat cuba melindungi skandal PKFZ dengan laporan positif media yang bercanggah.

"Datuk Seri Ong Tee Keat dengan bangganya mengumumkan pada Januari tahun ini, PKFZ telah mencatatkan keuntungan bersih RM15 juta dan sebanyak RM5.2 juta keuntungan operasi syarikat tersebut. Beliau bagaimanapun tidak dapat menjelaskan fakta mengenai pinjaman mudah berjumlah RM4.632 bilion dengan kadar faedah 4 peratus yang diberikan oleh kerajaan untuk menyelamat kos projek PKFZ sebanyak RM185 juta setahun.

"Ini bermakna PKFZ sebenarnya masih belum pulih lagi bahkan hutangnya sahaja bertambah ratusan juta ringgit dari tahun ke tahun.

"Sepatutnya adalah lebih baik kerajaan mengawal belanjawan defisit dengan melupuskan projek tersebut daripada meneruskan pelaburan yang tidak menguntungkan ini," kata beliau sidang media di lobi Parlimen hari ini. -SK

Zulkifli Noordin Ikut Konvensyen Mana?

Zul Noordin, kita ikut konvensyen mana? Oleh Zukri Aksah

Saya terbaca kenyataan Zulkifli Noordin, salah seorang Ahli Parlimen bebas, bahkan dia satu-satunya Ahli Parlimen bebas yang menjadi bebas kerana dipecat, bukan keluar parti! Dalam kenyataannya dia menasihati Anwar Ibrahim supaya berundur dari jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Alasannya mudah, parti yang diwakili Anwar, PKR (juga parti Zul Noordin sebelum ini) tidak lagi menjadi parti terbesar di kalangan parti-parti bukan dalam kerajaan di Dewan Rakyat.

Zul Noordin selaku pengamal undang-undang, cuba merasionalkan kenyataannya ini menggunakan hujah perlembagaan, hujah undang-undang. Dalam bahasa undang-undangnya dia menggunakan istilah konvensyen. Sefaham saya konvensyen yang disebutnya adalah konvensyen berperlembagaan (constitutional convention) kerajaan berparlimen gaya Westminster yang sepatutnya menjadi amalan negara kita sebagai bekas sebuah koloni British, dan juga sebagai salah sebuah negara anggota Komanwel.

Sesuai dengan Sidang Dewan Rakyat ke-12 penggal ketiga yang baru bermula dan dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung, moleklah rasanya saya berusaha mencerahkan sedikit pemikiran pembaca dengan isu berkaitan demokrasi berparlimen di negara kita ini.

Ketua Pembangkang Parlimen

Saya sedar tentang wujudnya konvensyen ini, iaitu mengikut kebiasaannya, jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen disandang oleh pemimpin dari parti terbesar dari kalangan parti-parti yang bukan dalam kerajaan. Tetapi saya amat-amat berharap supaya Zul Noordin tidak menyalahguna ilmu undang-undangnya untuk menyatakan sebahagian dari kebenaran, sedang pada masa yang sama menyorokkan pula sebahagian darinya. Janganlah biarkan kebencian politik saudara sampai memusnahkan terus intelektualiti yang kita ada.

Bukankah kenyataan tentang konvensyen dalam perlantikan Ketua Pembangkang itu ada sambungannya, bukan setakat itu sahaja? Bukankah berdasarkan konvensyen berperlembagaan kerajaan berparlimen mengikut gaya Westminster ini juga, Ketua Pembangkang selalunya adalah pemimpin yang dilihat sebagai Perdana Menteri alternatif kepada pemegang jawatan sedia-ada, sebagai ketua kepada kerajaan alternatif yang dikenal sebagai kabinet bayangan? Saudara sendiri semasa dalam PKR pernah mendokong citra Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri seterusnya, bukan? Apakah saudara merasa Haji Hadi atau Lim Kit Siang boleh menggantikan tempatnya?

Kalaupun Zul Noordin merasa boleh, jika kalangan pimpinan PAS dan DAP masih menerima ketokohan Anwar sebagai Perdana Menteri alternatif, sebagai ketua kepada kerajaan alternatif yang dinamakan sebagai kabinet bayangan itu, maka mereka pun mengikut konvensyen.

Masalahnya, selaku pengamal undang-undang, ada soalan yang Zul Noordin perlu jawab, sebenarnya konvensyen mana yang kita ikut? Sebab konvensyen yang disebutnya ini tidak pula diikuti bila Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dalam kes MB lawan MB, Nizar Jamaluddin lawan Zambry Kadir.

Kes MB kembar Perak

Mengikut konvensyen berperlembagaan kerajaan berparlimen gaya Westminster, usul undi tidak percaya hanya boleh berlaku di dalam Dewan, tidak boleh di mana-mana tempat lain, wa’ima di dalam istana sekalipun. Hakim yang membaca teks penghakiman dalam kes MB lawan MB ini ternyata melanggar konvensyen bila mana mengesahkan kedudukan Zambry dengan alasan bahawa tiada peruntukan usul undi tidak percaya dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Memang ia tiada kerana ia berdasarkan konvensyen (kebiasaan)!

Hakim ketika itu membuat keputusan dengan mengenepikan konvensyen berperlembagaan kerajaan berparlimen gaya Westminster, tetapi mengikut perlembagaan negara-negara seperti Jerman dan Sepanyol. Mengapa Zul Noordin waktu itu tidak pula sibuk-sibuk mahu mencari populariti, menggunakan latar belakang undang-undangnya bercakap tentang konvensyen? Jangan jadi munafik ketika berkopiah dan bercakap berjela-jela tentang Islam. Sebagai seorang profesional, jangan saudara Zul merendahkan diri saudara setaraf Ibrahim Ali, hanya kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi.

Saya tidak mengatakan Zul Noordin salah, tetapi saya mengatakannya tidak berapa betul. Tambah lagi, berdasarkan kata-kata dan tindakannya sebelum dia dipecat dari PKR, Zul Noordin juga ternyata seorang yang tidak mengikut konvensyen (kebiasaan). Bagaimana pandangan seorang yang ternyata melanggar konvensyen (kebiasaan) boleh menjadi kredibel bila bercakap tentang konvensyen (kebiasaan)?

Lembaga Disiplin Parti

Kepada Zul Noordin, ingin saya mengingatkan bahawa bukanlah satu konvensyen (kebiasaan) untuk seorang ahli parti (ketika saudara masih menjadi ahli PKR) untuk bertindak tidak mengiktiraf Majlis Pimpinan Parti sendiri bila saudara mempertikaikan pilihan Majlis Pimpinan Parti saudara dalam melantik anggota lembaga disiplin parti yang membicarakan kes saudara, seterusnya tidak mengiktiraf pula lembaga disiplin yang dilantik itu. Bukanlah juga satu konvensyen (kebiasaan) mana-mana parti politik sekalipun, ahli yang dihadapkan ke lembaga disiplin pula yang punya kuasa untuk memilih keanggotaan lembaga disiplin tersebut. Konvensyen mana yang saudara pakai?

Ingatan saya lagi buat Zul Noordin, jangan salah langkah dalam usaha saudara untuk memotretkan diri saudara sebagai pejuang Islam di khalayak politik Malaysia. Saudara mahu menjadi hero Islam di negara ini dengan bersuara lantang menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Adalah satu konvensyen (kebiasaan) juga, Islam di era Nabi Muhammad s.a.w, orang bukan Islam dibenar untuk menggunakan kalimah Allah. Habis, saudara mahu menjadi hero Islam menggunakan konvensyen Islam yang mana? Konvensyen Islam Nabi Muhammad s.a.w atau konvensyen Islam Umno?

Saya menulis tentang ini bukan kerana saya ahli PKR, bukan kerana saya memuja Anwar, kerana saya bukan kedua-duanya! Zul Noordin pun tahu tentang ini. Jika mahu bercakap tentang demokrasi, seseorang itu mestilah dilihat hidup berlandaskan demokrasi, jika mahu bercakap tentang iman, seseorang itu mestilah hidup didasari iman. Lalu, jika mahu bercakap soal konvensyen (kebiasaan), maka kita mestilah pula dilihat sebagai orang yang sentiasa patuh dan akur kepada konvensyen (kebiasaan). Zul Noordin patuh kepada konvensyen mana? Konvensyen berperlembagaan, konvensyen Islam, konvensyen Pakatan, atau konvensyen Barisan, atau bukan kesemuanya? Atau bercelaru sampai gagal ditentukan?

Mentang-mentanglah Zul Noordin sekarang ini sudah menjadi Ahli Parlimen bebas, katanya akan wujud blok bebas di Parlimen sebagai kuasa ketiga dan konon khabarnya akan diketuai oleh Ibrahim Ali, maka Zul Noordin si peguam pun turut sama terheret menjadi seperti Ibrahim Ali? Bodoh tidak boleh diajar, cerdik tidak boleh ditegur…

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Skandal Scorpene: Keengganan Kerajaan Dedahkan Kertas Putih Diselar

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyelar tindakan kerajaan yang enggan membentangkan kertas putih berhubung skandal kapal selam negara KD Tuanku Abd. Rahman.

Beliau berkata kerajaan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan kononnya tiada keperluan untuk mengeluarkan kertas putih mengenai isu berkenaan.

Shamsul kesal kerana kerajaan Umno-BN yang tidak memberi penjelasan penuh kepada rakyat sebaliknya cuma mendakwa kapal selam itu hanya mengalami masalah teknikal.

“Saya rasa mudah sebenarnya, apa ruginya kepada negara sekiranya kertas putih disediakan untuk menjawap isu masalah kapal selam ini yang dibeli dengan menggunakan wang rakyat.

“Kerajaan tidak akan menanggung sebarang rugi sekiranya kalau melakukan siasatan menyeluruh dengan kaedah kertas putih dan saya percaya cadangan yang diberikan itu menunjukkan bahawa ahli-ahli parlimen dan wakil-wakil rakyat memandang serius terhadap masalah yang dihadapi.”

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berpendirian tiada keperluan untuk mendapatkan khidmat penilai bebas antarabangsa bagi menjamin keselamatan kapal selam negara.

Sedangkan, beliau mengakui wujud masalah teknikal terhadap kapal selam pertama Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman yang baru dibeli tetapi sudah dibaiki.

“Kerana pertamanya ianya bukan sekadar permasalahan teknikal tetapi ia melibatkan dua keadaan, satunya berkaitan dengan sistem pertahanan negara yang mana merupakan satu perkara yang cukup penting dalam memastikan kedaulatan negara.

“Keduanya sudah tentulah melibatkan pelaburan wang rakyat yang mencecah setengah bilion ringgit dengan pelbagai masalah dari segi komisyen dan tentulah melibatkan wang rakyat yang jauh begitu besar jumlahnya.”

Kerosakan mekanikal itu dikesan pada 17 Januari lalu ketika kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah.

Panglima Tentera Laut, Jen. Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan terdapat kerosakan teknikal pada kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman yang menyebabkan ia tidak boleh menyelam.


Scorpene: Penilai Bebas Antarabangsa Perlu

Kenyataan Menteri Pertahanan bahawa negara tidak memerlukan penilai bebas antarabangsa bagi memastikan perjalanan dan ujian yang dilakukan terhadap kapal selam tersebut mengikut piawaian yang betul disangkal oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang menyifatkan pandangan penilai bebas antarabangsa itu amat perlu.

"Penilai ini sangat perlu kerana mereka lebih dahulu menggunakan kapal selam, jika kita menggunakan penilai dalam negeri pengetahuan kepakaran dalam kapal selam terlalu sedikit, sebab itu perlunya penilai antarabangsa.

"Kos proses pembaikan yang tidak sama antara RM270 juta dengan RM600 juta dan kita lihat kepada jawapan yang diberikan Menteri terbabit menyata RM270 juta adalah unjuran manakala RM600 juta adalah had maksimum harga tersebut, jadi itu perlunya penilai antarabangsa," kata Mahfuz.

Perbahasan yang tertumpu kepada masalah teknikal yang dihadapi kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman yang tidak boleh menyelam di bawah air disifatkan kegagalan Kerajaan dalam memastikan keupayaan sebenar kapal selam tersebut sebelum sebarang urusan dilakukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tiada keperluan untuk kerajaan mendapatkan khidmat penilai bebas antarabangsa bagi menjamin keselamatan kapal selam negara.

Katanya, masalah teknikal yang dialami kapal selam pertama Malaysia KD Tunku Abdul Rahman telah diatasi dan ujian keselamatan telah dilaksanakan.Mahfuz menyifatkan jawapan yang diberikan Menteri terbabit bahawa kos bagi menyelenggara kenderaan lama adalah lebih tinggi berbanding dengan kenderaan baru adalah tidak masuk akal.

"Kapal selam yang kita beli itu adalah yang baru mengapa perlu kos yang tinggi jadi sebab itu perlu penilaian antarabangsa bagi memastikan nilai tersebut adalah munasabah

"Proses penilai harus di lihat bagaimana barang yang dibekal mengikut harga yang sepatutnya dan kalau kos terlalu tinggi siasatan perlu dilakukan bagi mendapat jawapan yang sebenar tanpa ada sebarang penyelewengan. Apa yang penting perlu penyiasatan bebas dalam hal tersebut," tegas beliau.

Sebelum itu Ahmad Zahid memberitahu anggaran kos penyelenggaraan kedua-dua kapal selam tersebut berjumlah RM270 juta setahun tetapi tidak menyatakan jumlah kos pembaikan sebenar sebaliknya menyifatkannya sebagai jumlah kecil.

Namun Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata jumlah kontrak yang ditawarkan kerajaan kepada kontraktor adalah RM600 juta.

Menjawab persoalan ini, Ahmad Zahid berkata ia merupakan jumlah maksimun di mana kemungkinan kos anggaran yang dibuat kerajaan akan meningkat bersesuaian dengan usia kapal itu, kerajaan juga masih belum melantik kontraktor berkenaan kerana ia masih diperingkat rundingan.

Selain itu Ahmad Zahid menyatakan kerajaan sudah mempunyai perjanjian penyelenggaraan antara pembekal dan tidak mempunyai masalah jika timbul masalah teknikal terhadap kapal tersebut.

"Kita bersetuju dengan kenyataan tersebut tetapi kita perlu menilai apa yang terkandung di dalam perjanjian tersebut adakan ia menguntungkan kita atau tidak, disinilah perlunya kepakaran dan penilai bebas dalam memastikan kita tidak tertipu dengan perjanjian tersebut," katanya lagi. -SK




200 Penduduk Kampung Demo Bantah CAR

Lebih 200 penduduk Kampung Sungai Terentak, Rawang hari ini berhimpun di jalan masuk menuju kampung itu bagi menghalang Tenaga Nasional Bhd (TNB) daripada meneruskan kerja pembinaan dalam projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR).

Penduduk dikatakan mengepung semua dua jalan utama ke kampung itu seawal jam 7.30 pagi sambil bernyanyi dan membawa pelbagai sepanduk membantah projek TNB.

Kekecohan berlaku kira-kira jam 12 tengah hari apabila dua kakitangan TNB berpakaian biasa memasuki kampung itu untuk mengambil gambar lokasi pemasangan kabel.

Mereka membantah pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 59km, kira-kira satu kilometer dari Kampung Sg Terentang yang menyaksikan pembinaan lima menara satu tiang.

Turut berada di lokasi bantahan itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Rawang, Gan Pai Nei, Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Pengarah Strategi PKR, Tian Chua.



Tindakan Najib Masuk Bakul, Puji Diri Sendiri & Rosmah Dalam Titah Agong Diselar

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar Perdana Menteri kerana memperalatkan Yang DiPertuan Agong untuk memasukkan pujian terhadap beliau dan isteri di dalam titah diraja semasa perasmian sidang Parlimen ke-12 Isnin lalu.

Anwar berkata perkara ini tidak pernah berlaku sepanjang 50 tahun Parlimen Malaysia bersidang dan inilah kali pertama seorang Perdana Menteri menggunakan institusi raja untuk kepentingan peribadi.

"Perdana Menteri sepatutnya berasa malu, selalulnya tahniah dia atas kemenangan pilihan raya itu perkara biasa tetapi YAB Pekan masukkan sendiri dalam titah Agong,'para pemimpim hendaklah mencontohi memanda Perdana Menteri' tanpa rasa malu atau segan silu.

"Perbuatan ini janggal bukan setakat itu dimasukkan juga pujian khusus kepada inisiatif yang dibuat isteri Perdana Menteri,'...berikutan kejayaan program Permata Negara; Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan'. Permata inim memang menjadi projek istimewa si isteri yang jelita. Ini yang ingin saya nyatakan suoaya jangan ulangi perbuatan ini.

"Maknanya ada satu percubaan merosakkan tradisi ulung kita mempertahankan insitisi diraja dan kita menuntut titah diraja itu menjadi satu titah walaupun mewakili pandangan kerajaan yang ada tetapi jangan dilihat begitu partisan, mengundang pujian kepada kerajaan pun saya tidak hairan sangat tapi bukan untuk puji peribadi Perdana Menteri," tegas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam Dewan rakyat hari ini.

Anwar juga menyanggah kritikan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Datuk Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa Pakatan Rakyat tidak menghormati institusi diraja.

"Macam mana jadi Ahli Parlimen, peraturan pun tak tau. Saya faham dia (Abdul Rahman) tak pernah jadi menteri jadi tak tau prosedur.

"Mengikut sistem raja perlembagaan titah itu adalah dari raja, ini lazim sistem Westminster tapi tak semestinya diikuti sepenuhnya. Takpa lah kalau Agong nak pinda satu dua perkata tapi takkan draf dari saya nak suruh puji saya dan isteri saya.

"Menyatakan pandangan tidak pernah dianggap tak taat setia, janganlah begitu dangkal sekali pemikiran sehingga tak tau peraturan. Titah diraja boleh dibahaskan sebahagiannya boleh dipersetuju sebahagiannya boleh ditegur malah boleh diminta pindaan bukannya makna titah diraja ini titah yang tak boleh ditegur langsung.

"Saya tak faham macam mana boleh jadi Ahli Parlimen. Inilah cara Umno, bila kita tegur ini anti-raja bila sebut sikit kita anti Melayu, tapi rompak harta Melayu takpe, bukan setakat itu saja Umno guna MCA dan dua tiga orang lagi untuk cakap bagi pihak dia," bidas Ketua Umumn KEADILAN itu. -SK


Pemimpin Diminta Contohi PM Turun Padang Bertemu Rakyat : Agong

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru semua pemimpin di negara ini supaya mencontohi sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup turun ke padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami masalah mereka.

Seri Paduka bertitah, sejak tampuk pemerintahan diambil alih oleh Najib, beliau telah berjaya melaksanakaan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menterinya kerana sejak 11 bulan yang lalu, kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah berjaya melaksanakan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Para pemimpin hendaklah mencontohi Mamanda Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami dengan lebih dekat akan masalah mereka dan jalinkan hubungan yang rapat dengan rakyat di semua peringkat," titah baginda semasa merasmikan penggal ketiga Parlimen ke-12 di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.Ini merupakan kali pertama Tuanku Mizan menyampaikan titah sejak Najib menjadi Perdana Menteri keenam. Seri Paduka bertitah baginda menyambut baik gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Beta telah menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA yang perlu dicapai iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," titah baginda.

Tuanku Mizan turut menyifatkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada 28 Januari lepas sebagai satu program yang berani.

"Beta sukacita rakyat menyambut baik akan komitmen-komitmen kerajaan tersebut.

"Rakyat hendaklah berganding bahu bersama-sama kerajaan Beta agar Program Transformasi Kerajaan berjaya dilaksanakan," titah baginda. - BERNAMA


BN Bawa Agenda Lapuk, PR Lebih Wibawa

Ketika Ahli Parlimen Bagan Serai, Nibong Tebal dan Bayan Baru, belot meninggalkan amanah rakyat, beliau nekad menyertai perjuangan rakyat dengan menyertai KEADILAN. Datuk Kalakau Untol bekas Timbalan Menteri Buroh boleh dilabelkan sebagai tanda aras peralihan rakyat Sabah yang sekian lama menyokong Barisan Nasional. Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berpeluang mewawancara beliau bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang tekadnya bersama Pakatan Rakyat dan alasan mengapa rakyat Sabah harus mengubah pilihan politik mereka.

S:Apakah reaksi rakyat Sabah mengenai Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri?

Apabila Perdana Menteri mengutarakan Gagasan 1Malaysia, rakyat Sabah melihat ia agenda yang lapuk sebab perkara ini telah berlaku lebih awal di Sabah. Mereka boleh duduk dalam satu meja sama ada di khalayak atau di rumah.

Kedua, di setiap keluarga, perkahwinan campur adalah satu perkara biasa di Sabah. Macam saya, keluarga saya mempunyai 13 adik-beradik, separuh daripada mereka berkahwin dengan orang Islam. Saya kira adalah satu acuan masyarakat kepercayaan, yang kita boleh terima kepelbagaian kepercayaan, budaya dan sebagainya.

Mengutarakan 1Malaysia ialah satu kelapukan agenda, lebih daripada itu, ia diisi oleh satu kesongsangan pengisian di mana satu set peraturan di semenanjung, satu set peraturan di Sabah.

Tidak ada realiti yang dibawa Najib sebab pengisian itu mempunyai kesongsangan. Saya rasa ia gagal.

S: Sabah sebuah negeri yang amat kaya tetapi selepas lebih empat dekad, kenapa Sabah masih lagi berada pada tahap antara negeri yang termiskin dalam Gagasan Malaysia?

Pertama ialah, apa yang direncanakan lebih awal, tidak dijalankan dan didukung Kerajaan Persekutuan sepenuhnya. Sebab itu rakyat Sabah kini melihat dan berharap perjanjian asal penubuhan negara ini disemak semula. Konvensyen Pakatan Rakyat yang terbaru pada tahun lepas antara lain dalam resolusinya ialah, bersetuju untuk menyemak semula perjanjian penubuhan Malaysia dan ini hanya dapat direalisasikan sekiranya rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, menubuhkan kerajaan baru di peringkat Persekutuan.

S: Kenapa Datuk menekan bahawa perlunya Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan Kerajaan Pusat?

Cuba lihat antara perkara yang begitu parah dan bermasalah ialah, kehadiran pendatang tanpa izin (PATI), di mana bilangannya sama ramai dengan penduduk asal di Sabah. Bagaimana boleh perkara ini berlarutan selamanya sedangkan rakyat Sabah mengharapkan perkara ini diselesaikan.

Seperti yang dilaporkan dalam Suara Keadilan, 70,000 rakyat Rohingya diberi kerakyatan dan keistimewaan dan hak yang sama di negeri ini. Jika ini berlaku, bagaimana kami mengharapkan masalah PATI ini dapat diselesaikan.

Hanya dengan penubuhan Kerajaan Persekutuan dapat menyelesaikan masalah itu. Perkara kerakyatan ini berlaku di Amerika, dan bahagian lain di dunia. Tetapi kita pergi kepada prosedur yang betul, bukan tangkap muat untuk mengekalkan kedudukan dalam koridor kuasa. Ini wajar diperbetulkan demi masa depan generasi muda di negara kita.

S: Apakah itu sebabnya menyertai KEADILAN dan aspek lain yang menarik perhatian Datuk?

Satu persetujuan dalam resolusi mengkaji dasar penubuhan negara Malaysia pada tahun 1963, Ingat apabila Allahyarham Tun Donald Stephen mengutarakan perkara ini bersama pimpinan beliau pada tahun 1965.Apa yang terjadi? Beliau dipecat daripada Kerajaan Persekutuan. Tun Datuk Mustapha Harun pada 1970an mengutarakan perkara ini, meminta supaya dikaji perjanjian sama ada rakyat Sabah mendapat keistimewaan sepertimana yang dijanjikan dalam perjanjian asal. Apa yang terjadi? Beliau juga dipecat daripada kerajaan.

Kemudian apabila generasi muda mahu menimbulkan perkara 20 perjanjian ini, yang selalu dijawab, jangan sentuh perkara ini, sensitif. Tetapi itulah dasar BN.

Pakatan Rakyat tahun lepas dalam konvensyennya telah bersetuju mengkaji perkara ini dan memberikan autonomi di negeri ini seperti yang dijanjikan. Inilah perkara yang akan saya tawarkan untuk menjelajah di seluruh negeri bagi merakyatkan dasar yang dibuat Pakatan Rakyat. Saya berharap ada penerimaan, ada keterbukaan untuk mengangkat agenda ini.

S: Adakah itu bermaksud kerajaan BN selama ini bersikap keras dan hanya mengeksploitasi kekayaan Negeri Sabah?

Saya rasa ya. Saya tidak akan menuduh secara melulu tetapi ruang perkara itu perlu diperbesarkan. Ruang yang terbaik adalah dalam platform PR kerana dasarnya itu sanggup membincangkan perjanjian asal.
S: Apakah benar dakwaan dan harapan Najib mengatakan bahawa Sabah ialah 'simpanan tetap' kepada BN. Sejauh mana kebenarannya?

Saya rasa Najib tidak akan terkejut apabila keputusan rakyat nanti dan dia harus lihat antara negeri di seluruh Malaysia yang kerap menukar kerajaan ialah Sabah-empat kali.

Tanggapan bahawa fixed deposit ini tanggapan beliau. Dulu Parti Bersatu Sabah (PBS) hanya melawan kerajaan negeri dan seluruh negara datang membantu, juga BN tewas. Sekarang, hampir separuh negeri di semenanjung menerima Pakatan Rakyat. Saya rasa rakyat Sabah dahulu dihambat oleh sindrom kesetiaan membuta dan membisu, tetapi sekarang keadaannya sudah berubah.

S: Apa pandangan Datuk setelah kemenangan besar Pakatan Rakyat di Semenanjung, kini BN seolah-olah mahu menumpukan perhatian di Sabah dan Sarawak?

Rakyat di Sabah telah membuat keputusan, pada pilihan raya akan datang mereka akan mengundi Pakatan Rakyat kerana mereka melihat dasar Pakatan Rakyat yang mahu melihat semula perjanjian asal dan pemberian autonomi kepada Sabah dan Sarawak.

S: Apakah kesan jika melihat PM yang kerap kali datang ke Sabah dan Sarawak?

Kita telah menunggu selama 4 atau lima tahun, tetapi dia tidak melakukan apa pun. Lihat, ia mengambil masa 46 tahun untuk Kerajaan Pusat bersetuju mengatakan 16 September ialah penubuhan negara Malaysia.

Saya sendiri apabila menganjurkan sambutan hari Malaysia, dikerumuni helikopter polis di mana-mana, di rumah saya. Mereka tidak memberikan permit. Datuk Awang Adek mengatakan Sabah masuk Malaysia. Itu kenyataan yang salah. Sabah, Sarawak dan Tanah Besar Semenanjung sama bersetuju menubuh Malaysia.

Inilah yang harus dirakyatkan, merakyatkan fakta sejarah supaya generasi muda Malaysia benar-benar memahami budaya, sejarah dan sosial kontrak masa depan negara.

S: Apakah harapan yang Datuk letakkan di atas bahu Pakatan Rakyat, sama ada untuk menubuhkan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan? Apa pula perubahan besar sejurus selepas penubuhan kerajaan baru?

Saya merasakan pada PRU-13 ini, Pakatan Rakyat mampu merubah keadaan, menuju ke sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru.

Pertama, menstrukturkan semula 'separation of power', kedua, benar-benar melahirkan dasar yang melihat kepada semua kaum bukan hanya pada kaum-kaum tertentu yang mewujudkan satu lakaran dasar yang adil.

Kita mahu peguam prihatin mengenai keadilan, doktor prihatin tentang kesihatan awam. Kerasukan di kalangan pimpinan mesti dihapuskan. Kita mahu menarik pelabur, sistem kehakiman kita perlu diletak pada tahap yang lebih baik. Saya rasa Pakatan Rakyat ialah landasan yang betul.

S: Apakah masa depan BN sebagai tonggak kuasa di negara ini?

Saya melihat BN ini harimau yang sedang nazak dan dia akan bertindak semacam bomba, ada api, ada air, dia padam. Saya yakin pada PRU-13 nanti, banyak parti komponen akan keluar untuk bersama Pakatan Rakyat ke arah penubuhan Kerajaan Persekutuan yang baru.-SK

Banyak Isu Gerakan Tak Sehaluan Dengan UMNO - ADUN Pantai Jerejak

Desakan Ketua Pemuda Gerakan Lim Si Pin supaya parti itu keluar dari Barisan Nasional menzahirkan anggapan ramai bahawa Gerakan dan parti komponen lain hanya sekadar kuda tunggangan Umno.

Si Pin sebelum ini berkata, maruah Gerakan hanya boleh diselamatkan sekiranya parti itu membuat keputusan keluar dari Barisan Nasional.

"Seandainya Gerakan (keluar BN) selepas PRU, atau ketika gambar Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan) dikoyak, maka akan dituduh sebagai tindakan yang didorong emosi, atau bagaikan kacang lupakan kulit. Saat-saat itu bukanlah masa terbaik untuk meninggalkan BN," ujarnya.

Mengulas isu ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak Sim Tze Tzin berkata, sudah menjadi persepsi umum bahawa wujud perbalahan antara pemimpin Gerakan dan Umno yang memimpin Barisan Nasional sejak sekian lama.

"Banyak isu yang tidak sehaluan antara Gerakan dan Umno.

Contohnya pilihan raya kerajaan tempatan yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang turut disokong Gerakan.

"Tetapi apa yang berlaku mereka tidak berani untuk menyatakan pendirian mereka kerana Najib Razak selaku Presiden Umno membantah inisiatif tersebut," ujarnya.

Menurutnya, perkara yang sama berlaku berhubung pendirian Gerakan yang mahukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan dan bukan dipinda seperti yang dicadangkan Umno.

"Dalam isu ini, adakah Gerakan berani membantah atau menolak rang undang-undang yang mahu dibentangkan supaya ISA hanya dipinda dan bukan di mansuhkan serta bersama Pakatan Rakyat menolak akta itu di Parlimen?," soalnya.

Kata Tze Tzin, gesaan supaya Gerakan keluar dari BN bukan pertama kali disuarakan pemimpin parti itu terutama sekali sayap pemudanya.

Namun katanya, beliau tidak melihat ada tokoh pemimpin dalam Gerakan yang berani bersuara dan tegas mempertahan prinsip serta pendirian mereka.

"Isu ini menunjukkan Gerakan menjadi kuda tunggangan Umno dan BN. Kalau Pemuda Gerakan yang berprinsip dan mahukan perubahan berlaku dalam parti itu, mereka harus meneruskan desakan supaya Gerakan keluar dari BN. Ini cabaran saya," tegas beliau. -SK

Pelajar Cuba Terjun Dari Tingkat 25 Kondominium

Polis terpaksa mengambil masa kira-kira empat jam untuk memujuk seorang lelaki warga Iran berusia 25 tahun yang cuba terjun dari tingkat 25 kondominium Villa Putri di sini, semalam.

Lebih mendebarkan apabila mangsa yang tidak mampu bertutur dalam bahasa asing berkeras untuk terjun kondominium berkenaan selepas kematian bapanya baru-baru ini.

Berikutan itu, polis terpaksa menghubungi pihak Kedutaan Iran di sini, untuk menghantar penterjemah bagi berunding dan memujuk mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa yang juga seorang pelajar di sebuah kolej swasta di sini hilang pertimbangan sebelum mengugut akan terjun dari balkoni kondominium berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata mangsa yang baru seminggu berada di negara ini tertekan kerana kematian bapanya.

“Kami mengambil masa lama kerana mengalami masalah berkomunikasi. Apapun, selepas mendapat bantuan seorang penterjemah dari Kedutaan Iran, kami berjaya memujuknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. -hmetro


Harrussani, Bekas Seorang Pegawai Cawangan Khas (SB) Gnati Asri Sebagai Kolumnis

Utusan Malaysia mengugurkan Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai kolumnis penerbitan Mingguan Malaysia dan menggantikannya dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Penulisan terakhir beliau disiarkan dalam Mingguan Malaysia pada 28 Feb lalu.

Memetik Wikipedia, Harussani pernah menjawat jawatan sebagai anggota polis Cawangan Khas, Bukit Aman sebelum menjadi Kadi Besar Pulau Pinang dari tahun 1966-1984.

Harussani kemudian dilantik menjadi mufti Perak sehingga kini.

Melalui penguguran ini menunjukkan pemerintah berpatah arang dengan bekas mufti Perlis tersebut yang mutakhir ini kritikal dengan perkembangan sosio-politik tanahair.

Kolum dimuka surat sembilan yang sebelum ini memuatkan Minda Dr Maza bakal diganti pula dengan penulisan Harussani.

Beberapa blog juga mendakwa Harussani berpegang kepada fahaman politik Melayu maka ia jelas menunjukkan pemilihan Harussani adalah selaras dengan ideologi akhbar naungan Umno-Barisan Nasional itu.

Contoh paling jelas beliau mendakwa tidak berpolitik atau tidak memihak kepada mana-mana parti politik, tapi bersungguh-sungguh mengajak PAS bergabung dengan Umno di Perak namun ternyata usaha tersebut gagal.

Dalam pada itu Dr Mohd Asri juga sudah menyimpan hasrat untuk berhenti memandangkan wujudnya perbezaan dengan akhbar tersebut.

"Ya, saya pun memang ingin berhenti dan Mingguan Malaysia pun nampaknya sudah keberatan. Banyak pandangan saya kebelakangan ini berbeza dengan mereka, bagaimanapun saya berterima kasih kepada ruangan yang diberikan sebelum ini." katanya

Dr Mohd Asri menambah beliau akan menulis dalam beberapa media lain yang lebih bebas. - SK

Gopoh, Semua Ditunda, Tanda BN Tak Wibawa Lagi Tadbir Negara

Umno-Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hilang kewibawaan untuk mentadbir negara ini kerana membebankan rakyat dengan pelbagai cukai baru dan kenaikan harga keperluan asas dalam tempoh masa yang begitu singkat.

Dalam usaha untuk meredakan kemarahan rakyat itu, Najib menunda beberapa keputusan termasuk yang bersabit dengan kenaikan tarif elektrik, harga minyak, kadar tol di lebuh raya dan yang terbaru, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Namun segala penangguhan itu hanya akan bertahan untuk tempoh pilihan raya dan kenaikan semua keperluan asas itu dan GST akan diperkenalkan selepas pilihan raya umum ke-13, dengan syarat Umno-BN di beri semula mandat untuk mengekalkan Putrajaya.

Beberapa pihak yang ditemui bersetuju bahawa dalam persiapan untuk menghadapi pilihan raya itu, Najib bersama Umno-BN akan menghidangkan pelbagai retorik mengenai dasar dan program yang merupakan lebih 'indah khabar dari rupa.'

Ini termasuklah Model Ekonomi Baru yang dicanang sebagai jawapan untuk segala permasalahan yang menghimpit negara selama ini.

Hakikatnya ialah Malaysia kini tercorot dalam menggamit Pelaburan Langsung Asing (FDI) berbanding negara lain di rantau Asia Tenggara akibat kelemahan dalam urustadbirnya.

Penguncupan ekonomi sebanyak 1.7 peratus tahun lalu membuktikan ekonomi Malaysia, yang mengalami bajet defisit selama 13 tahun berturut-turut, belum dapat dipulihkan oleh kerajaan.

Manakala kos kenaikan sara hidup pula semakin tinggi dan membebankan rakyat.

Pada masa yang sama kerajaan mahu melaksanakan GST, penstrukturan semula subsidi minyak, meningkatkan kadar tol lebuhraya utama seluruh negara serta menaikkan tarif elektrik.

Dalam sektor pendidikan, dasar pengajian Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah menelan belanja RM5 bilion dan sepatutnya dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 ditangguhkan pemansuhannya sehingga 2014.

Manakala dari segi sosial, indeks rasuah dan jenayah mencatat kenaikan tinggi sedangkan perpaduan kaum dan agama pula dilihat semakin renggang.

Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata, banyak dalil menunjukkan BN tidak layak mentadbir negara yang boleh diukur melalui enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang dilaksanakan kerajaan.

"Pertama NKRA yang dikatakan bertujuan untuk meningkatkan tahap pendidikan. Tetapi kita melihat kos pendidikan semakin tinggi dan kos peruntukan untuk sekolah-sekolah dipotong. Negara tidak mampu lagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi, sedangkan 300,000 graduan yang mempunyai kepakaran dan tenaga mahir berhijrah ke luar negara kerana tawaran gaji yang lebih lumayan," katanya.

Tambah beliau, keputusan kerajaan yang berubah-ubah dalam menyelesaikan masalah ekonomi seperti dalam isu GST mewujudkan sentimen buruk kepada pelabur.

"Matlamat NKRA juga dikatakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat miskin tetapi relatif pendapatan rakyat tidak meningkat sedangkan ekonomi jatuh merudum. Kerajaan pula gagal mengurus sumber dengan baik seperti penggunaan sumber minyak dan balak.

"Isu keselamatan negara juga membimbangkan rakyat seperti dalam kes kehilangan enjin pesawat pejuang TUDM dan rahsia tentera yang bocor ke negara asing. Dari segi kadar jenayah, kes yang besar dan berprofil tinggi seperti kes pembunuhan dan penderaan bayi berlaku secara berleluasa dan menggambarkan kemusnahan institusi kekeluargaan yang teruk di negara ini," kata beliau. -SK

Kedai Jual Gajet Seks, Tiada Undang-undang Halang Aktiviti Itu?

Sebanyak sembilan premis seks di sini, Subang Jaya dan Johor Bahru diserbu semalam atas dakwaan menjual gajet-gajet seks. Operasi itu berakhir dengan tiga buah kedai diarah tutup serta-merta, Kosmo dipetik.

Hasil rampasan daripada ketiga-tiga premis itu melebihi RM120,000.

Tindakan itu membuktikan anggapan sesetengah pegawai kerajaan khususnya daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kononnya mereka tidak dapat bertindak atas alasan pengusaha premis terbabit tidak melakukan kesalahan kerana menjual cenderamata, adalah salah.

Sementara di Johor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri menyerbu sebuah kedai menjual ubat perangsang dan gajet seks di Jalan Wong Ah Fook di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Supritendan Zainal Baharom berkata, serbuan pukul 4 petang bersama itu dijalankan bersama Jabatan Kesihatan dan Farmasi negeri selepas pihaknya menerima aduan orang awam.

Menurutnya, turut dirampas adalah ratusan pil perangsang seks disyaki tiruan yang membabitkan jumlah rampasan keseluruhan bernilai hampir RM100,000.

"Gajet seks yang dirampas itu akan dirujuk kepada pihak KPDNKK bagi tindakan selanjutnya sama ada ia boleh dijual ataupun tidak.

"Sementara pil-pil perangsang seks tiruan yang dirampas akan dibawa ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainal berkata, tiga lelaki berusia 20-an yang dipercayai pekerja kedai terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, pihaknya menyiasat kes berkaitan pil-pil perangsang seks di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Akta Racun 1952.

Menurutnya, antara barangan yang dijual adalah alat getar, kondom bergerigi, cincin berbulu ayam dan cecair pelincir aroma lemon dipercayai diseludup dari Taiwan, China dan Indonesia.

Ulasan GB

Persoalan kini, mengapa dan bagaimana Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Majlis Kerajaan Tempatan boleh meluluskan lesen perniagaan sedemikian?

Mungkin alasannya tiada undang-undang menghalang perniagaan seumpama itu dijalankan. Namun ridak adakan rasa kebetaggungjawaban kedua-dua agensi berkenaaan di dalam mengenalpasti aktiviti perniagaan yang boleh dikategorikan lucah dan jelas sangat hina itu?


MCA Umpama Gelas Pecah, 57% Tidak Yakin Ka Ting Mampu Kembalikan Kestabilan MCA

Sebanyak 57% responden Undian SMS Edisi 7 malam tadi menyatakan bahawa sekalipun Tan Sri Ong Ka Ting telah menyatakan pendirian untuk bertanding jawatan Presiden MCA, namun beliau dilihat tidak akan berdaya untuk mengembalikan kestabilan di dalam MCA

Krisis kepimpinan MCA kini sudah sampai ke tahap kritikal dan tidak boleh diselamatkan lagi walaupun beberapa pemimpin veteran MCA, termasuk bekas Presiden Tan Sri Ong Ka Ting dan bekas Timbalan parti itu Datuk Donald Lim Siang Chai dilaporkan akan kembali semula bagi merebut jawatan tertinggi dalam parti itu, lapor Suara Keadilan.

Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia Profesor Madya Dr Abu Hassan Abdullah berkata, strategi itu sama sekali tidak akan mampu memulihkan imej MCA mahupun mengembalikan semula keyakinan pengundi Cina selepas mengalami kekalahan teruk semasa pilihan raya umum pada Mac 2008.

Malah, kemasukan semula pemimpin veteran tersebut dijangka hanya akan menambahkan lagi perpecahan dan kronisme akibat kemunculan beberapa kumpulan penyokong baru yang berbeza.

"Walaupun kemasukan veteran MCA dijangka dapat membawa harapan untuk menyatukan pimpinan MCA, saya rasa jika gelas yang sudah pecah itu dicantum semula dengan gam sekali pun, kesan keretakan itu tetap jelas kelihatan, malah mungkin hancur lebih teruk jika gelas itu gagal dicantum dengan baik," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Dr Abu Hassan berkata, MCA kini sudah tiada jalan lain melainkan mengambil pendekatan membentuk pelapis baru bagi menerajui parti itu melalui 'proses kelahiran semula'.

"Bagi meredakan ketegangan kronisme, langkah terbaik yang diperlukan adalah MCA perlu menghapuskan generasi lama dan lantik generasi baru dalam pimpinan tertinggi parti itu.

"Walaupun proses ini akan mengambil masa, namun ini adalah langkah paling wajar. Mereka perlu akui hakikat bahawa MCA sudah melalui krisis berpanjangan dan tidak mampu diubati lagi," katanya.