28 Jun 2011

Baca Fatihah & 3 Qul Rahsia Umur Panjang & Sihat Tubuh Badan

Kampung Gong Halt - Seorang warga emas hanya mengamalkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran seperti surah al-Fatihah dan tiga ‘Qul’ sepanjang hayatnya merupakan rahsia umur panjang dan diberikan kesihatan yang baik.

Isa Dollah, 110 tahun, berkata, dia tidak ada rahsia lain untuk memohon dipanjangkan usia melainkan amalan surah-surah tersebut yang diamalkannya daripada usia muda hingga kini.

Menurutnya, dia juga tidak ada pantang dalam pemakanan dan makan semua makanan yang digemarinya, namun dia bersyukur kerana tidak menghidapi sebarang penyakit berbahaya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan usia yang panjang untuk terus melaksanakan ibadat di muka bumi ini.

“Saya tidak ada rahsia atau petua melainkan yakin dengan kelebihan yang dianugerahi Allah dalam surah al-Fatihah yang merupakan ‘ibu’ kepada al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam majlis ‘Walkabout’ Ahli Parlimen Kuala Krau turun padang melawat dan menyampaikan sumbangan kepada warga emas, sakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU), di sini, kelmarin.

Turut serta dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar, Pegawai Penerangan Temerloh, Hamdzah Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Samrah Hassan.

Isa yang mempunyai lima cahaya mata berkata, setiap kali selepas solat pasti dia akan mengamalkan bacaan surah-surah itu dan menjadikannya zikir sepanjang hari.

Menurutnya, selain surah-surah itu dia juga menggalakkan umat Islam membaca al-Quran setiap hari dan memohon kepada Allah kesihatan, kemurahan rezeki dan usia yang panjang.


“Saya bersyukur kerana dalam usia sebegini saya mampu melihat cucu-cucu saya membesar di depan mata. Walaupun saya sudah tidak berdaya untuk bekerja keras seperti zaman muda, namun saya bersyukur dengan rezeki dan anugerah Allah kepada diri saya.

“Ini bermakna saya merupakan insan paling tua di kampung ini,” katanya sambil bergurau dan tersenyum lebar. -SH

Tarif Elektrik Naik Untuk Rakyat Bayarkan Bil PM & TPM?

Bil elektrik PM, TPM RM160,000 sebulan

Kerajaan diminta menjelaskan kos tinggi penyelenggaraan kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya ketika rakyat diseru berjimat ekoran pengurangan subsidi barangan keperluan.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Mariah Mahmud (kiri) berkata, ini perlu kerana rakyat diminta mengubah cara hidup mereka bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi sekarang.

"Apabila mendidik orang ramai supaya berjimat, ia sepatutnya bermula dengan pemimpin,” kata Siti Maria Mahmud kepada wartawan di lobi parlimen hari ini.

Siti Maria mengulas jawapan bertulis di Dewan Rakyat berhubung soalan yang diajukan oleh ahli parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga ketua Dewan Muslimat PAS yang ingin tahu penyelenggaran kediaman rasmi perdana menteri dan timbalannya.

Mengikut jawapan bertulis, RM48 juta dibelanjakan antara tahun 2006 hingga 2010 bagi penyelenggaran kediaman kedua-dua pemimpin negara itu.

"Begitu tinggi perbelanjaannya sedangkan kediaman itu tidak digunakan sepenuh masa,” kata Siti Zailah, yang hadir bersama.

Menurut jawapan itu, hampir RM33 juta dibelanjakan untuk menyewa kediaman lain semasa tempoh itu. Sewa dibayar kepada Perbadanan Putrajaya.

RM3.5 juta lagi dibelanjakan untuk kerja baik pulih, RM10.2 juta bagi bil elektrik dan RM1.9 juta untuk bil air.

"Kami tidak tahu sebesar mana keluarga perdana menteri dan timbalannya sehingga hari ini,” kata ketua pemuda DAP Anthony Loke, yang turut hadir da;am sidang media itu.

Menurut beliau jika jumlah itu dibahagikan sepanjang lima tahun dan dikira mengikut bulan, kerajaan membelanjakan RM160,000 untuk bil elektrik dan RM33,000 untuk bil air bagi kedua-dua kediaman rasmi.

"Ini cukup untuk bayar bil elektrik saya untuk selama 100 tahun dan air pula cukup untuk 6,000 orang,” katanya. -mk

Ulasan GB

RM160,000 sebulan? Ada kilang apa di kediaman PM dan TPM?

Rakyat ada yang hidup papa kedana, sedang pemimpin negara hidup mewah membazirkan wang negara.

Itu petanda kehancuran negara.

Ulangsiar: Himpunan Bersih - Haram Bagi Sesiapa Termasuk Polis Cetuskan Provokasi

Adalah haram bagi mana-mana pihak, tidak kira peserta demonstrasi ataupun polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa yang mahu menyertai demonstrasi seperti Bersih 2.0 hendaklah berazam tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, mencederakan sesiapa, dan memaki hamun.

Sebaliknya, kata Dr Asri, mereka harus melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati dengan cara yang aman.

“Pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan, katanya.

Dr Asri berkata, sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.

“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan,” katanya.

Beliau berhujah demikian dalam kolumnya di portal Malaysiakini hari ini berhubung isu perhimpunan rakyat yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai depan.

“Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh
Perlembagaan.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya,’ kata Dr Asri lagi.

Bagaimanapun beliau bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkan perhimpunan itu dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum, “sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya”.

“Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.

“Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Asri berkata, SPR hendaklah menunaikan tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turun ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman,”
kata beliau.

Bagaimanapun beliau menegaskan memelihara keamanan adalah syarat utama keharusan mengadakan demonstrasi, “jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak”.

Beliau mengemukakan hujah bahawa demonstrasi jalanan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, Nabi Mohammad s.a.w. pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya membuat bantahan di jalan.

“Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

“Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”.

“Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

“Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.


Hadis berkenaan, kata Dr Asri, diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih.

Ulasan GB

GB ulangsiar entri terdahulu ini untuk mereka yang lupa terutama apabila sudah mula wujud provokasi ekoran ugutan dan ancaman Pemuda UMNO untuk bakar bangunan PKR malam tadi.

Frotilla II Gaza: Israel Isytihar Perang, Ada Hikmah PR Tak Hantar Wakil

Israel isytihar perang

TEL AVIV - Kerajaan Israel semalam mengarahkan pasukan tentera negara itu bertindak tegas bagi memastikan konvoi kemanusiaan ke Gaza, Freedom Flotilla 2 tidak mencapai matlamat untuk memecahkan sekatan haram rejim Zionis ke atas wilayah Palestin itu.

Israel sebelum ini mengeluarkan beberapa amaran terhadap percubaan itu dan cuba mengugut peserta konvoi bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah diarah untuk tidak membenarkan konvoi itu tiba di Gaza.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan pertemuan dengan anggota Kabinet dan pegawai kanan tentera laut rejim itu bagi membincangkan mengenai rancangan menyekat kemaraan konvoi kemanusiaan ke Gaza, semalam.

Dalam mesyuarat itu, Kabinet Israel turut dimaklumkan tiada maklumat mengenai individu atau kumpulan pengganas akan menyertai konvoi itu, namun Israel dijangka akan tetap menyekat penghantaran bantuan itu.

“Kami bersedia berhadapan pelbagai senario, daripada tiada keganasan kepada sangat ganas,” menurut sumber tentera Israel.

Kelmarin, rejim Israel mengugut wartawan asing supaya tidak menyertai konvoi itu yang dituduhnya cuba mencabuli undang-undang Israel dan akan menghalang peserta memasuki negara Zionis itu selama 10 tahun.

Tindakan Tel Aviv mengeluarkan amaran biadap itu membuktikan Israel tidak menghormati kebebasan media seperti yang didakwa rejim itu selama ini.

Selain itu, Kementerian Luar Israel juga diarah menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada 1.5 juta penduduk Palestin yang menderita akibat sekatan tidak berperikemanusiaan rejim itu dengan mengadakan beberapa mesyuarat dengan pemimpin Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurut penganjur, beberapa kapal termasuk kapal dari Amerika Syarikat (AS), The Audacity of Hope dijadual mula berlayar dari Greece, hari ini dan akan bertemu dengan kapal lain dari Perancis dan Ireland di satu titik pertemuan di Laut Mediterranean.

Pegawai kerajaan Greece kelmarin, dilaporkan cuba menghalang beberapa kapal daripada berlayar ke Gaza dipercayai selepas menerima tekanan AS dan Israel.

“Kami melantik peguam untuk menentang perintah tahanan ke atas kapal ini dan akan berusaha memastikan kapal-kapal ini dibenarkan berlayar, hari ini,” menurut penganjur.

Konvoi Freedom Flotilla 2 disertai 10 kapal dan 500 penumpang dari lebih 30 negara negara dan dijadual mula berlayar ke Genting Gaza, hari ini.

Cabul Gadis Dalam Bilik Air

Dungun – Seorang ustaz sanggup membelakangkan hukum agama apabila tergamak menodai kesucian seorang pelajar ketika memberi rawatan kepada gadis belasan tahun yang difahamkan pernah mengalami gangguan makhluk halus itu.

Kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Bukit Besi, dekat sini antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari 25 Jun lalu, ketika pelajar Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah di Bukit Besi itu sedang menerima rawatan daripada suspek, yang juga difahamkan seorang bekas guru al-Quran di kampungnya.

Sebelumnya, suspek diundang oleh bapa mangsa untuk melakukan proses pemulihan setelah anak gadisnya itu dikatakan terkena gangguan makhluk halus.

Ustaz terbabit yang kononnya tahu bab-bab agama dan ilmu halus difahamkan telah memulakan rawatan di ruang tamu.

Detik hitam itu bagaimanapun bermula apabila suspek mengarahkan mangsa ke bilik air untuk melakukan proses mandian, kononnya untuk membuang bala.

Bapa mangsa yang turut berada di situ mulai rasa sangsi setelah suspek dikatakan mengambil masa yang agak lama untuk merawat mangsa di dalam bilik air.

Bagaimanapun ketika berada di bilik air, mangsa yang diarahkan mandi dalam keadaan berkemban itu dikatakan telah dinodai oleh suspek yang berlagak alim itu dengan mencabul kehormatannya.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan separuh sedar kerana difahamkan masih belum pulih daripada terkena gangguan makhluk halus.

Sebaik selesai rawatan, mangsa terus keluar dari bilik air dan menyendiri di bilik tidur, manakala suspek pulang ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari rumah mangsa.

Tembelang suspek yang difahamkan sering menjadi imam di salah sebuah surau di kampung berdekatan bandar Bukit Besi itu mulai terbongkar setelah mangsa menceritakan perbuatan terkutuk suspek kepada ibu bapanya.

Mangsa diiringi bapanya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Besi keesokan hari, sebelum suspek ditahan kira-kira jam 10 malam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit dan suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan sebelum dihadapkan ke mahkamah. -SH

Banyak Pihak Kesal Polis Heret Sasterawan Negara, A.Samad Said Bawah Akta Hasutan

Teras: Tindakan polis siasat Samad Said keterlaluan

Teras Keupayaan Melayu (Teras) kesal dengan tindakan polis apabila Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said turut diheret di bawah Akta Hasutan, berkaitan dengan perhimpunan 9 Julai anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Pada majlis tersebut A. Samad Said (gambar) menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih” di ibu negara 19 Jun lalu.

Pengerusi Teras Keupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid berkata, beliau kesal dengan tindakan polis yang menyiasat Sasterawan Negara itu semata-mata kerana membaca puisi sahaja.

“Saya kesal polis menyiasat beliau atas puisi yang dibacanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan semalam, A Samad Said dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

Jelas Azmi, pihak polis nampaknya beria-ia untuk menghalang Bersih 2.0 sehingga tokoh yang dihormati rakyat menjadi mangsa untuk disiasat hanya kerana puisi .

“Adakah ini menunjukkan pihak berkuasa sekarang sudah menganggap puisi yang murni dan bersifat teguran dan menyatakan kebenaran itu termasuk suatu kesalahan yang boleh mengancam negara?” katanya.

Dalam pada itu, Azmi beranggapan tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan sebagai suatu yang agak keterlaluan.

“Sasterawan negara itu terkenal sebagai seorang yang mampu mengungkap realiti dengan kata-kata yang sangat indah dan tepat pada makna dan kandungan untuk masyarakat tahu erti nilai murni seperti menegakkan kebenaran dan keadilan. Niat beliau juga adalah untuk meluruskan keadaan yang dilihatnya sebagai pincang.

“Ini termasuk soal pemerintahan dan hak demokrasi yang perlu diperbetulkan,” ujarnya.

Azmi tegas berkata, pihak plis perlu belajar bahasa sastera sebelum menganggap puisi Samad Said sebagai ancaman dan hasutan.

Katanya, mereka perlu jujur melihat mesej Sasterawan Negara itu dengan niat menghargai dan bukan mencurigai.

“Namun begitu, kami mendokong semangat beliau yang nampaknya tidak gentar dengan tekanan yang dianggap polis boleh menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa,” katanya.

Selain itu, beliau juga berasa kesal apabila turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya. -TMI



Sasterawan Negara Sedih, Karyanya Jadi Senjata Politik

Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said melahirkan kesedihan beliau kerana siasatan polis yang dijalankan ke atasnya dikategorikan dibawah akta hasutan, sedangkan beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Sasterawan dalam membaiki sistem masyarakat.

Beliau mempersoalkan motif pihak berwajib yang mencurigai tujuan dan niat murni beliau dalam memberi komen mengenai situasi negara tatkala ini.

"Mengapa ini harus berlaku? Mengapa seorang sasterawan yang melalui puisinya merakam keadaan yang buruk diterima dengan penuh prasangka, itu menyedihkan saya.

"Akta hasutan? Apakah saya menghasut? Tidak. Saya ke sana untuk melahirkan situasi yang lebih murni, bukannya menghasut," kata beliau ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Ketika mengulas mengenai siasatan keatas dirinya, A. Samad yang lebih mesra sebagai Pak Samad menyatakan betapa 'puisi' kini menjadi satu senjata dan diambil perhatian serius Kerajaan dan bukan seperti dulu.

"Saya fikir puisi sekarang sudah menjadi sebagai alat senjata. Dulu puisi untuk hiburan sekarang puisi dapat perhatian luar biasa.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk merakam peristiwa untuk membaiki sistem sedia ada. Dalam puisi daya kata perlu perlu mempersuci demokrasi bukan untuk keruhkan. Dalam puisi itu saranan yang harus dihargai, bukan dicurigai," kata beliau.

Pak Samad disiasat bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967berhubung pengucapan puisinya di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas sasterawan negara itu, selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Tanpa menunjukkan rasa gentar, A. Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka mengenai perkembangan semasa.

"Barangkali memberi amaran, tapi bagi seorang sasterawan ini lebih mendorongnya kerana (beliau) tahu kesusasteraan mempunyai kuasa," katanya.

Beliau tetap mendukung agenda himpunan BERSIH 2.0 yang menuntut agar pilihan raya dan sistem politik yang berteraskan keadilan dan ketelusan untuk membawa kebaikan kepada semua rakyat negara ini.

Beliau turut menolak sebarang sentimen bangsa yang dimainkan pihak tertentu dalam percubaan menafikan hak rakyat ini.

"Saya tak mahu cakap soal bangsa. Kita semua orang Malaysia. Kalau seorang cakap Melayu, seorang cakap India, Seorang cakap Cina, itu tak membantu. (Bersih) ini untuk kebaikan kita semua," tegas beliau. -tvsnews



Waspada: Ada Musang Menghendap Di Tandas Kilang

Kilang gempar kerana musang

MELAKA - Kehadiran ‘tanpa undang’ seekor musang menyebabkan suasana di sebuah kilang dekat Telok Mas, di sini kecoh seketika, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, kelibat musang itu disedari seorang pekerja kilang semasa hendak membuang air apabila terkejut melihat haiwan berkenaan di bahagian atas saluran paip air tandas kilang berkenaan.

Mohd Shamil Sharif, 20, berkata, semasa kejadian, dia baru hendak memulakan tugasnya, sebelum pergi ke tandas.

Menurutnya, semasa berada dalam tandas, tiba-tiba dia terlihat seekor haiwan seakan-akan kucing berbulu kehitaman dan berekor panjang di bahagian atas paip air berkenaan.

Terkejut dengan penemuan itu, dia terpaksa beralih ke tandas lain kerana bimbang haiwan berkenaan akan mengancamnya.

“Bila saya lihat ekornya agak panjang, terfikir di hati saya ia adalah seekor musang sehinggakan saya terpaksa membatalkan niat untuk membuang air di tandas berkenaan.

“Bimbang akan ancaman haiwan berkenaan, saya terus menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mendapatkan bantuan untuk menangkapnya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Mohd Shamil juga tidak menolak kemungkinan haiwan itu masuk menerusi bahagian siling yang pecah.

Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Lt. Muda Rosli Hasaim berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira 9 pagi.

Menurutnya, usaha menangkap musang berkenaan sukar kerana kedudukan haiwan itu terlalu tinggi menghampiri bumbung, di samping saiz bilik air sempit.

“Pelbagai usaha kami lakukan untuk menangkap musang berkenaan kerana ketinggiannya pada paras kira-kira 10 meter menghampiri bumbung.

“Selain menggunakan tangga, kami turut menggunakan tali pencerut bagi memudahkan usaha menangkapnya. Tetapi selepas setengah jam berusaha, kami hampir menangkapnya tetapi ia meronta-ronta sehingga terlepas ke kawasan semak berhampiran,” katanya.

Rosli berkata, haiwan berkenaan adalah dari jenis musang pandan dan boleh menggigit. -SH

Bersih Ajak Himpunan Aman, Pemuda UMNO Ajak Bakar Bangunan

Pemuda Umno ancam bakar ibu pejabat PKR

Dalam demonstrasi yang diadakan dalam keadaan hingar bingar, kira-kira 300 orang menurut anggaran PKR datang dengan bermotosikal dan menuntut PKR agar menarik balik sokongan mereka ke atas perhimpunan BERSIH 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai.

Setiausha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang bekejar ke ibu pejabat parti setelah dimaklumkan oleh ahli-ahli parti berkata beliau tiba pada jam 11 malam semalam dan memantau dari jarak jauh.

"Macam mana saya tahu mereka ahli Umno? Pertama, mereka bawa bendera Umno dan mereka memakai baju T mejah yang tertulis Patriot,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

“Saya juga nampak mereka (exco Pemuda Umno Lukman Adam dan bekas Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah) mengetuai kumpulan itu,” katanya.Katanya, beberapa ahli PKR juga sempat merakamkan ucapan berap-api Lukman yang berbaur hasutan.

"Sudah tentu, dia ada kata yang dia mahu bakar ibu pejabat kami. Dia boleh nafikan semua itu tetapi kami ada rakamannya,” kata Saifuddin.

Timbalan Ketua Penerangan AMK Rozan Azen Mat Rasip yang juga berada di lokasi ketika kejadian itu berkata Lukman secara terangan mengugut untuk membakar ibu pejabat PKR jika parti itu terus menyertai perhimpunan pada 9 Julai ini.

"Dia juga mengugut (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan (Pengerusi Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 Datuk) S Ambiga tentang perhimpunan itu," katanya sambil menambah kira-kira 50 ahli AMK memantau kejadian malam semalam itu.

Katanya, berdasarkan maklumat tang diperolehi dari blog pro-Umno, kumpulan Pemuda Umno itu berkumpul di dua lokasi. Pertama di sebuah stesen minyak di Shah Alam dan kedua di tol Batu Tiga, Lebuhraya Persekutuan sebelum menunju ke ibu pejabat PKR.

Rozan membuat laporan polis pada kira-kira jam 11.40 malam selepas kumpulan berkenaan bersurai.

Katanya, beliau juga menyaksikan kira-kira 20 anggota polis yang lengkap bersenjata dalam keadaan bersiap sedia tetapi mereka tidak melakukan sebarang tangkapan.

"Sebab itu kita juga tertanya-tanya,” katanya sambil meminta polis menyiasat kes itu.

Sementara itu, usaha Malaysiakini bagi menghubungi Lukman dan Arman masih belum berjaya. -mk

Ulasan GB

Masing-masing (termasuk Polis) kini boleh menilai perbezaan di antara perhimpunan BERSIH dengan lain-lain perhimpunan.

BERSIH tidak pernah malah tidak akan mengajak dan menyeru ke arah keadaan yang huru-hara, tetapi Pemuda UMNO telah membuktikan perhimpunan mereka, walau sekecil mana pun mengajak ahlinya bersikap ektrim dan mencetuskan provokasi bagi menimbulkan kekacauan.

Tetapi yang malangnya, polis hanya mencari dan mereka-reka kesalahan di pihak orang yang tidak bersalah sedangkan pihak yang nyata bersalah lansung tidak disentuh apatah lagi dikenakan tindakan.

Peristiwa malam semalam membuktikan sudah siapa sebenarnya yang ingin timbulkan kekecohan, ketegangan dan huru-hara. KEBENARAN itu akan tetap terserlah juga akhirnya.

Pemuda UMNO Letak Undang-undang Dalam Tangan Sendiri. Polis Masih Diam Sajakah?

Jangan main-main dengan kami’, Pemuda Umno beri PKR amaran

KUALA LUMPUR, 28 Jun — Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar mempertahankan tindakan ‘ganas’ sekitar 600 ahli sayap itu di luar ibu pejabat PKR dekat sini malam tadi atas alasan ia satu-satunya cara untuk memastikan pesaing politik menerima mesej bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ancaman ke atas pemimpin mereka.

“Kami tahu pemimpin-pemimpin PKR di belakang ugutan bunuh ke atas Ketua Pemuda kami. Itu sebabnya kami mahu menghantar mesej. Jangan cuba main-main dengan kami,” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi pagi ini.

Rakaman gelagat mereka mengepung ibu pejabat PKR lewat malam tadi boleh diikuti di YouTube.

Sesetengah pihak menyamakan tindakan mereka itu seolah-olah aksi ‘mat rempit’.

Rizalman tidak menafikan label itu selepas sayap tersebut berjanji akan mengadakan perhimpunan balas dengan aman pada 9 Julai ini.

Bersih merancang untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada tarikh tersebut.

“Kami tidak melihat adanya cara lain. Jika kami melakukan dengan cara yang baik, kumpulan macam ini, sangat sukar untuk bercakap dengan mereka. Mereka selalu mempolitikkan isu-isu semasa,” katanya yang merujuk kepada PKR.

“Ini adalah tahap maksimum untuk menunjukkan kami ini serius,” kata beliau. -TMI

Ulasan GB

Pemuda-pemuda UMNO ini jelas membelakangkan undang-undang malah mereka meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka sendiri dengan membuat ugutan dan ancaman yang boleh menimbulkan kekacauan dan huru-hara.

Apakah benar SMS Ugutan yang diterima oleh Ketua Pemuda itu datang dari PKR? Jika benar, mengapa tidak buat laporan polis dan biar polis menahannya? Mengapa perlu berhimpun untuk menimbulkan ketegangan dan kekecohan disamping ugutan untuk membakar bangunan? Apa hak mereka berbuat demikian? Apakah di Malaysia ini undang-undang hanya dikenakan untuk rakyat yang menyokong PR tetapi Pemuda UMNO/BN bebas melakukan apa saja?

Polis perlu menyiasat dan mendedahkan semua SMS ugutan bunuh yang tersebar. Sebelum ini pemimpin BERSIH seperti Ambiga turut menerima ugutan bunuh. Tidak sukar untuk mengesan penghantar SMS itu kerana nombor telefon yang menghantarnya terpapar jelas.

Dan pemuda-pemuda UMNO yang mencabuli undang-undang dan bertindak mengancam, mengugut serta mengambil tindakan sendiri hendaklah dikenakan tindakan sewajarnya. Kami juga serius di dalam hal ini.

Polis perlu professional dan bertindak adil jika mahu dihormati rakyat.

Menjelang PRU13 - UMNO BN Lebih Tertekan Di Perak

PRU-13: Tiada dua pertiga di Perak

BN merupakan pihak yang menanggung risiko terbesar dalam PRU-13 nanti akibat daripada peristiwa yang dianggap PR sebagai rampasan kuasa yang tidak sah itu.

Setelah negara dilanda tsunami politik dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) lalu, tidak mudah untuk mencongak percaturan pengundi negara ini dalam PRU-13 nanti lebih-lebih lagi bagi sebuah kerajaan negeri yang begitu cepat bertukar tangan seperti yang berlaku di Perak Darul Ridzuan.

Kejutan tsunami PRU-12 lalu tidak berhenti setakat itu sahaja, malah ia turut membawa kepada satu lagi kejutan; kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Perak kehilangan kuasa kepada Barisan Nasional (BN) setelah hanya 10 bulan berkuasa tentunya memberi kesan terhadap keputusan PRU-13 nanti.

Ketika parti-parti politik sedang giat mempersiapkan jentera pilihan raya mereka bagi menghadapi pilihan raya nanti, BN merupakan pihak yang menanggung risiko terbesar dalam PRU-13 nanti akibat daripada peristiwa yang dianggap PR sebagai rampasan kuasa yang tidak sah itu.

Kegagalan BN mempertahankan tampuk kuasa negeri Perak dalam PRU-13 nanti bukan sahaja merupakan satu tamparan buat BN malahan turut menjejaskan imej pihak-pihak bertanggungjawab dalam membuat beberapa keputusan ketika mengendalikan isu yang dianggap krisis perlembagaan negeri itu.

Kegagalan BN dalam PRU-13 nanti bakal mencerminkan tindakan merampas kuasa dan keputusan pihak bertanggungjawab ketika itu sebagai membelakangkan aspirasi rakyat Perak khususnya kegagalan mengembalikan mandat memilih kepada rakyat negeri itu seperti mana yang telah dituntut oleh PR.

Apatah lagi proses ‘rampasan kuasa’ yang berlaku ketika itu tidak ‘solid’ – mempunyai banyak ruang-ruang lompong yang boleh diperdebatkan oleh mana-mana pihak dari golongan petani hinggalah kepada ahli akademik yang dianggap pakar perlembagaan.

Sebaliknya, meskipun kejayaan PR dalam PRU-12 lalu hanyalah melalui kemenangan tipis, nyata ianya satu kemenangan yang sah, tidak mampu dipertikaikan oleh pihak lawan mahupun pakar perundangan dalam negara ini dan ianya adalah fakta.

Umumnya juga lebih gemar menilai kontroversi ‘rampasan kuasa’ yang berlaku tersebut akhirnya lebih menonjolkan PR sebagai pihak yang dianiaya oleh satu lagi di pihak yang lain.

Prestasi jadi ukuran

Ketika bakal pengundi dalam PRU-13 nanti menilai semula prestasi kedua-dua parti menerajui kerajaan negeri, tentulah tidak adil bagi mempertikaikan kemampuan PR ketika 10 bulan lapan hari meneraju kerajaan negeri untuk dibandingkan dengan lebih setengah abad BN.

Sebaliknya kemampuan BN dengan rekod 53 tahun pengalaman mentadbir kerajaan boleh dianggap memalukan sekiranya kemampuan mereka mampu disaingi dengan 10 bulan pentadbiran PR lebih-lebih lagi kemampuan mereka menangani isu-isu lama peninggalan BN.

Setelah lebih dua tahun menerajui kerajaan negeri, prestasi Menteri Besar (MB) BN, Dato’ Dr Zambry Abd Kadir juga kelihatan sedikit ditenggelami oleh aura MB PR sebelumnya, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin ketika menerajui kerajaan negeri.

Meskipun BN Perak dibungkuskan oleh PR dalam PRU-12 lalu, tidak banyak tindakan drastik yang diambil oleh BN negeri apabila kembali menguasai tampuk kuasa kerajaan negeri hingga ke hari ini.

Beberapa tindakan kerajaan negeri di bawah Nizar termasuk memberi geran tanah kepada penduduk Cina di kampung baru, masyarakat Melayu di kampung tersusun dan masyarakat India sedikit sebanyak menyukarkan kerja pemutihan oleh BN.

Bagaimanapun isu pemberian geran tanah ini juga bakal dijadikan modal politik BN sekaligus melabelkan Nizar sebagai boneka kepada DAP bagi meraih sokongan pengundi Melayu.

Harapan terbaik BN Perak pada masa ini ialah mengharapkan corak pengundian masyarakat Melayu kembali kepada mereka seperti yang berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Sekalipun BN Perak kembali beroleh kemenangan dalam PRU-13 nanti, peluang mereka untuk menang selesa dengan menguasai majoriti dua pertiga di Dun negeri ini amatlah tipis.

Undi masyarakat Cina

Kemampuan BN untuk meraih sokongan majoriti masyarakat Cina negeri itu dalam PRU-13 nanti juga diragui memandangkan tiada usaha konkrit yang dijalankan BN negeri bagi ‘memujuk’ golongan masyarakat tersebut.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan beberapa pemimpin Umno yang dilihat kurang bijak mengambil hati masyarakat Cina termasuk sikap beberapa pemimpin Umno dan MCA yang lebih gemar bercakaran sesama sendiri lebih-lebih lagi di peringkat pusat.

Selain itu, dengan cuma mengharapkan kejayaan BN Terengganu merampas semula pentadbiran kerajaan negeri itu dalam PRU-11 setelah tewas dalam PRU sebelumnya berulang di Perak masih tidak memadai untuk menjamin kemenangan BN Perak.

Walaupun kekuatan BN Perak tidaklah sekuat ketika PRU-11, ia belum cukup untuk memberi laluan mudah bagi PR negeri itu dalam PRU-13 nanti.

PAS dan PKR juga tidak boleh terlalu mengharapkan kekuatan DAP yang dilihat sebagai parti paling dominan dalam blok pembangkang negeri itu.

Sekali lagi kesilapan memilih calon pilihan raya yang tidak mempunyai integriti dan kredibiliti bakal memberi padah kepada PR bukan sahaja di peringkat negeri bahkan di peringkat pusat.

Mengenal pasti pemimpin ‘musang berbulu ayam’ khususnya di kalangan ahli PKR yang sedang memasang angan-angan agar terpilih sebagai calon pilihan raya harus dititik beratkan pada masa ini.

Sekurang-kurangnya senario yang ada pada hari ini, mana-mana pihak yang menjadi ‘johan’ di Dun Perak dalam PRU-13 nanti dikatakan hampir pasti gagal memperolehi dua pertiga majoriti kerusi, tidak kira samada BN mahupun PR. -FMT

BERSIH Nak Guling Kerajaan? UMNO Takut Dengan Bayang-bayang

Bahang perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal berlangsung 9 Julai nanti semakin dirasai oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hingga wujud tanggapan bahawa rakyat berhasrat menggulingkan kerajaan menerusi demostrasi jalanan.

Ini berikutan hampir 81 orang aktivis- aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan ahli badan bukan kerajaan (NGO) yang dilaporkan kini telah ditangkap dengan pelbagai alasan kurang munasabah.

Sehubungan dengan itu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak merasakan seolah-olah ditentang oleh rakyat walhal isu yang disuarakan semata- mata bersabit tuntutan perubahan dalam sistem demokrasi negara.

"Saya fikir pihak media juga perlu menilai justifikasi penahanan dan saya juga ada risalah yang dianggap membahaya oleh kerajaan memperincikan tuntutan Bersih 2.0. Antaranya saya fikir membahaya untuk BN iaitu untuk mengukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

"Jadi sekali lagi perkara ini langsung tidak boleh diterima akal," ujar beliau di lobi parlimen pagi tadi.

Tiga puluh orang aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Micheal Jayakumar yang ditahan polis ketika mengedarkan risalah "Udahlah... Bersaralah" di Pulau Pinang semalam didakwa atas alasan berhasrat untuk menentang Yang di-Pertuan Agong dan menghidupkan fahaman komunis.

Mereka kini masih ditahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan.

Nurul Izzah kemudian berkata, kerajaan Umno-BN khuatir akan maklumat yang dimuatkan di dalam risalah "Udahlah... Bersaralah" berhubung indeks persepsi rasuah termasuk indeks demokrasi dunia sampai ke pengetahuan rakyat.

Jelas beliau, sekiranya rakyat terdedah akan kepincangan yang berlaku dalam sistem demokrasi negara maka reputasi kerajaan Umno-BN akan terjejas lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Sehubungan dengan itu Nurul Izzah bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain mendesak agar polis membebaskan aktivis-aktivis yang ditahan dengan kadar segera kerana ianya bertentangan dengan prinsip demokrasi negara. -tvsnews



Adakan Kenduri Tahlil Isytihar Mati Untuk Elak Dikejar Along

Saya tak sanggup lagi hidup begini, tapi saya terpaksa kerana ini saja cara untuk saya melepaskan diri daripada mereka,” kata seorang peniaga wanita yang berpakat dengan keluarga mengisytiharkan kononnya dirinya sudah mati semata-mata untuk mengelak daripada gangguan ceti haram atau along. - Gambar fail.

Wanita berusia 59 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah berkata, untuk meyakinkan pelbagai pihak mengenai ‘kematiannya’ satu majlis kenduri tahlil diadakan dengan dihadiri saudara-mara, jiran dan rakan.

“Semua mereka menyangka saya sudah mati, hanya beberapa anggota keluarga yang tahu kisah sebenar. Bukan saya berniat menipu mereka, tapi saya lakukan ini kerana terpaksa.

“Saya amat rindukan kehidupan seperti dulu, gembira bersama keluarga dan menguruskan perniagaan seperti biasa yang kini hanya tinggal kenangan,” katanya.

Halimah ditemui Harian Metro ketika membuat aduan dan meminta khidmat nasihat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai masalahnya itu, baru-baru ini.

Wanita itu berkata, dia terpaksa mengisytiharkan kematian palsu apabila keluarganya tidak tahan diancam along termasuk menerima ugutan menerusi SMS yang menyatakan rumahnya akan dipecah masuk dan semua barangan akan diambil.

Katanya, masalah bermula apabila dia membuat pinjaman RM10,000 daripada seorang along untuk menampung kos perniagaannya dan membayar gaji pekerja serta kos lain September tahun lalu.

“Pinjaman RM10,000 itu sudah saya bayar dalam masa ditetapkan. Namun, selepas itu, saya menerima panggilan daripada along menyatakan sejumlah wang sudah dimasukkan ke dalam akaun saya dan perlu membuat bayaran dalam masa 10 hari.

“Sebaik selesai bayaran berkenaan, saya dihubungi lagi, kali ini individu lain pula yang mendakwa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun tanpa saya minta dan mereka mendesak saya membuat bayaran dalam tempoh tertentu.

“Sejak itu, hidup saya dihimpit masalah kerana terus menerima wang RM3,000 hingga RM7,000 pada satu-satu masa yang dimasukkan terus ke dalam akaun beberapa kali menyebabkan saya berurusan dengan 14 along serentak,” katanya.

Halimah berkata, setakat ini dia sudah membuat bayaran RM140,000 kepada 14 along terbabit, namun jumlah itu dikatakan belum mencukupi menyebabkan dia diganggu dan keselamatan keluarganya diancam.

Berikutan itu, Halimah menyembunyikan diri di beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan Melaka bagi mengelak diapa-apakan kumpulan terbabit yang menunggu di hadapan rumahnya setiap hari.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, anak saya memberitahu along terbabit saya sudah mati sedangkan saya masih hidup. Saya kasihankan anak kerana terpaksa berdepan along dan pada masa sama, menguruskan perniagaan kami yang terjejas akibat kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya menerima aduan terbabit dan berusaha mencari jalan bagi membantu Halimah.

Katanya, seperti kes lain, PPIM akan bertindak sebagai orang tengah dengan mengaturkan perbincangan dengan along terbabit dan menetapkan satu kadar munasabah yang perlu dijelaskan.

“Kami dapati aktiviti ‘along berantai’ ini dijalankan oleh individu sama, malah modus operandi yang digunakan juga serupa iaitu memasukkan wang ke dalam akaun mangsa hanya selepas bayaran pinjaman terdahulu dilunaskan.

“Justeru, kami meminta orang ramai berhati-hati apabila berurusan dengan orang lain terutama yang membabitkan wang ringgit bagi mengelakkan ditipu,” katanya. -HM

Pemuda UMNO Sudah Memulakan Kerja Samseng, Nak Bakar Ibu Pejabat PKR

Pemuda UMNO ugut bakar ibu pejabat jika PKR tetap sertai BERSIH 2.0

Sekumpulan pemuda yang diketuai Lokman Noor Adam, AJK Pemuda UMNO, berkonvoi dengan kereta dan motorsikal di depan bangunan ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengugut untuk membakarnya seandainya PKR tetap menyertai perhimpunan anjuran BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011.

Kira-kira 100 pemuda yang berpakaian merah "Patriot" ini dikatakan berhimpun di depan bangunan Merchant Square Tropicana, Petaling Jaya, pada jam 11 malam tadi. Malah, tidak kurang antara mereka yang membawa bendera UMNO.

Dalam twitternya, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menyifatkan kumpulan pemuda tersebut sebagai "samseng upahan UMNO", malah memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tadi.

EXCO kerajaan negeri Selangor, merangkap ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong juga membidas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam twitternya, kerana membiarkan anak buahnya memasuki sempadan kawasan Bukit Lanjan dan mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat PKR.

Ketika dihubungi MerdekaReview, Elizabeth Wong berkata Pemuda UMNO yang berada di situ mencemuh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim, dan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Ambiga Sreenevasan, menurut anggota PKR yang berada di situ, malah mereka mengugut untuk membakar bangunan ibu pejabat PKR seandainya PKR tetap menyertai BERSIH 2.0.

Bagaimanapun, Elizabeth menganggap tindak-tanduk Pemuda UMNO tersebut sekadar untuk menakut-nakutkan rakyat, tapi PKR tidak akan berganjak dan akan terus dengan perjuangan mereka.

Satu klip video yang merakamkan sebahagian kejadian tadi telah dimuatnaikkan ke Youtube.

Patriot ditubuhkan oleh Pemuda UMNO dan Kelab Putra 1Malaysia, mendakwa dirinya mewakili suara orang ramai dalam menentang perhimpunan haram yang akan dianjurkan kumpulan pengacau pada 9 Julai. Lokman Adam, bekas tahanan ISA yang melompat dari Parti Keadilan ke UMNO.

*Chan Wei See ialah Ketua Pengarang MerdekaReview, disedut, sunting dan diterjemah dari teks asal.



Ulasan GB

Yang nyata, tindakan pemuda UMNO itu adalah lambang ketakutan UMNO BN terhadap perhimpunan aman BERSIH. Takut dengan dengan bayang-bayang terhadap tuntutan BERSIH untuk menuntut pilihanraya yang bersih, telus dan adil.

Seperti biasa, tindakan Pemuda UMNO tersebut YANG JELAS bertentangan dengan undang-undang yang mengancam dan membuat ugutan tidak pula disekat dan diambil tindakan oleh pihak polis.


Mengapa Polis Panggil Anwar, Tidak Panggil Pengerusi SUHAKAM? Takut?

Bersih: Polis panggil Anwar beri keterangan esok

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil memberi kenyataan esok dipercayai berhubung seruan kepada rakyat agar menyertai himpunan BERSIH 2.0 dalam satu ceramah di Brickfield.

Menurut satu kenyataan Biro Komunikasi PKR lewat malam ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu diminta hadir jam 5 petang di IPD Dang Wangi.

"Notis 111 itu juga ada menyebut siasatan dibuat di bawah Akta Polis dan Akta Hasutan",kenyataan itu dipetik.

Dalam perkembangan sama, turut dipanggil untuk disiasat esok adalah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan anggota Lawyers for Liberty, Latheefa Koya dan Ahli parlimen PKR Subang, R Sivarasa Rasiah.

Petang tadi, polis turut merekod keterangan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dipercayai berhubung puisi 'hasutan' di majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan juga Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya dalam majlis berkenaan.

Selain A Samad, turut disiasat adalah pengerusi jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreevenasan. -HD


Bersih 2.0: Suhakam mahu Putrajaya benar himpunan aman 9 Julai

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Di sebalik tindakan keras pihak berkuasa yang dilihat semakin meningkat, Suhakam mahu pentadbiran Najib membenarkan perhimpunan-perhimpunan aman termasuk anjuran Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Pada masa yang sama, Suhakam berkata pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab.

“Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu (dengan) sewajarnya,” kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini merujuk kepada perhimpunan aman yang dirancang oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai dan juga perhimpunan-perhimpunan yang dilaporkan dirancang oleh Pemuda Umno dan Perkasa.

Pemuda Umno dan Perkasa mahu mengadakan perhimpunan balas membantah Himpunan Bersih 2.0 pada tarikh dan masa yang sama.

Bersih 2.0 mendakwa pihaknya hanya mengadakan perhimpunan aman bagi menuntut sistem pilihan raya yang bebas dan adil dengan diletakkan lapan tuntutan.

Hasmy berkata Suhakam mengulangi pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub ddalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Kata beliau, Suhakam mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun seperti yang terkandung dalam, antara lain laporan tahunannya kepada Parlimen serta permintaan bagi pemansuhan Subseksyen (2), (2A) hingga (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967.

“Dan, mengesyorkan agar pihak polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan,” katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pihak polis tidak akan mengeluarkan permit kepada mana-mana kumpulan yang mahu mengadakan perhimpunan pada tarikh tersebut.

Pihak polis sudah mula memanggil pihak penganjur ketiga-tiga perhimpunan itu.

Malah pihak polis juga sudah mula menahan mereka yang memakai kemeja-T Bersih 2.0. -TMI


Ulasan GB

Kenapa Anwar Ibrahim dan lain-lain yang dipanggil tetapi tidak Pengerusi Suruhanjaya SUHAKAM yang terang-ternag menyatakan " orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub ddalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat."

Panggillah SUHAKAM! Ambil kenyataan mereka. Jangan hanya berani mengugut dan tunjuk kuasa kepada rakyat terbanyak tetapi menikus terhadap Suruhanjaya yang dilantik Agong.

Polis perlu bertindak adil. Perlu jalankan amanah tanpa diskriminasi dan pilihkasih. Tanpa perlu mengikut telunjuk UMNO BN. Tetapi apa yang berlaku kini semua terbalik. Polis hanya menjadi pak turut kepada UMNO BN. Kredibiliti dan integriti polis keseluruhannya terjejas lantaran itu.

Tak mengapa. Teruskan. Rakyat juga "ada kuasa" menukar kerajaan nanti sewaktu pilihanraya. Dan salah satu faktor UMNO BN kalah nanti adalah kerana polis yang bertindak berat sebelah dan menyalahgunakan kuasanya.

Jantan Tak Jantan, Laksanakan Dahulu Tuntutan BERSIH!

Laksana Dahulu Tuntutan Bersih, Baru "Anak Jantan" - Dr. Nasir

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak perlu ada keberanian terlebih dahulu untuk menunaikan segala tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0, jika mahu mencabar Pakatan Rakyat bersaing di arena itu pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim yang juga bekas tahanan Bersih 1 pada 2007, Najib sepatutnya hanya mencabar Pakatan Rakyat bertanding selepas beliau melaksanakan gesaan rakyat di bawah gabungan pertubuhan badan bukan kerajaan di negara ini yang mahukan pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

" Kalau kita lihat semua tuntutan Bersih, ia adalah tuntutan yang memang semua orang mahukan untuk dapatkan pilihan raya yang adil.

" Kalau ini dapat kita laksanakan, lepas itu kita boleh berlawan (secara adil). Sekarang ini kalau pilihan raya memang berat sebelah. Cuba kita lihat tuntutan Bersih itu, boleh mereka kata tidak mahu.. Kalau mereka tak mahu, maknanya mereka tak mahu pilihan raya yang bersih," kata Dr Nasir merujuk kepada pendirian Najib dan rakan-rakannya dalam Umno-Barisan Nasional(BN).

Semalam Najib mencabar Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 sebagai "anak jantan" dan bukan turun di jalanan untuk mengadakan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Dakwa Najib, himpunan Bersih 2.0 bukan bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tetapi bertujuan mahu menimbulkan huru-hara dalam negara.

“Waktu pilihan raya, kalau anak jantan yang sebenar bila pilihan raya, bertandinglah . . . kalau berani, kalau bukan anak jantan buatlah di jalanan dan berdepan dengan undang-undang,” Najib dipetik sebagai berkata ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk di Kuala Lumpur, semalam.

Najib juga turut memberi amaran bahawa beliau akan mempertanggungjawabkan segala insiden pada hari berkenaan kepada Pakatan Rakyat dan mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan akan menerima "akibat" dari perbuatan itu.

Melihat kepada pendirian Najib dan tindakan polis mutakhir ini menahan sesiapa sahaja yang memakai pakaian berwarna kuning terutamanya yang mempunyai logo Bersih jelas mencerminkan ketakutan yang begitu memuncak dalam jiwa pemimpin negara itu.

" Najib sekarang ini memang paranoid, takut pada bayang-bayang sendiri. Nampak orang baju kuning pun tak boleh.

" Oleh kerana 2008, rakyat sudah berubah. Ramai orang yang mengundi kita... tetapi oleh kerana penyelewengan, kemenangan kita itu nampak kecil kita menang (majoriti undi)," katanya.

Oleh itu katanya, segala bentuk perundangan hatta nama Yang di-Pertuan Agong akan digunakan bagi mengekang kemaraan rakyat kerana mereka tahu tuntutan yang dibawakan oleh Bersih 2.0 akan meranapkan impian mereka mempertahankan Putrajaya.

" Sekarang ini kalau kita berentap, memang berat sebelah kepada dia (Umno-BN). Sebab itu mereka tak mahu ikut Bersih, mereka akan bermasalah, mungkin mereka akan jatuh.

" (Trend pengundian) ini yang mereka takutkan sebab kalau tidak ada penyelewengan, mereka tidak akan lepas (menang pilihan raya). Sebab itu tuntutan Bersih yang sememangnya adil, tidak ada satu pun yang boleh dipertikaikan kepada sesiapa yang mahukan pilihan raya adil, inilah yang harus diikuti.. tetapi mereka tak mahu itu. Jadi kalau kata nak bertanding secara saksama, tapi tak mahu ikut cara yang betul macam mana?," kata Dr Nasir. -tvsnews