27 Apr 2009

Najib Altanyu - KDN Dicabar Ambil Tindakan Ke atas Media Asing

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop menyatakan media tempatan berdepan dengan tindakan tegas jika didapati menyiarkan semula laporan media asing berunsur tohmahan yang dipercayai untuk menjatuhkan Perdana Menteri Najib Razak, demikian laporan Berita Harian.

Ramai penganalisis politik berpendapat ancaman timbalan menteri itu kesasar kerana sepatutnya pihak keselamatan dalam negeri (KDN) mengambil tindakan ke atas media asing dan bukan media tempatan.

Malah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sebelum ini ada menasihatkan Najib supaya membersihkan namanya di mata rakyat Malaysia berhubung gerakan bersepadu media barat memburukkan imejnya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Dalam blognya, Dr Mahathir menulis bahawa Najib perlu menerima hakikat yang serangan media asing terhadap peribadinya akan berterusan dan mengingatkan beliau perkara yang penting ialah ”apakah pandangan rakyat” Malaysia terhadap kempen itu.

Beliau berkata, agak sukar baginya menerima hakikat bahawa kegiatan media barat untuk memburukkan-burukkan Najib itu satu kebetulan kerana ia dilakukan secara beramai-ramai dan serentak.

”Dari Perancis ke Britain hingga ke Australia, laporan-laporan yang disiarkan adalah seiras dan membawa mesej yang sama – Perdana Menteri baru Malaysia adalah seorang yang rasuah dan terbabit dalam satu kes pembunuhan,” kata Dr Mahathir.

Abu Seman yang menyamakan kandungan media asing yang memburukkan Najib dengan langkah media asing menyiarkan katun menghina Nabi Mohd s.a.w. satu ketika dulu jelas KDN cuba meletakkan Najib setaraf Nabi yang tidak boleh dikritik dan disentuh, malah membuat rumusan bahawa apa yang disiarkan oleh media asing itu bersifar "tohmahan" semata-mata.

"Jika tohaman atau fitnah, kenapa sampai sekarang KDN tidak mengambil tindakan yang tegas ke atas media asing tersebut?" kata seorang penganalis politik tanahair.

"Kenapa hanya berani mengungut rakyat di dalam negara ini sebaliknya membiarkan media asing melemparkan tohmahan yang mana ia lebih besar mudharatnya kerana penyebaran media asing itu lebih meluas dan lebih efektif kesannya?" tambahnya lagi.

Justeru itu, banyak pihak kini sedang menunggu KDN untuk mengambil tindakan ke atas media asing kerana tidak mungkin sama sekali di dalam dunia penyebaran maklumat kini, kita boleh mengenepikan laporan-laporan sedemikian dari disiarkan di media tempatan.






Penanti : Penamaan 23 Mei, Mengundi 31 Mei. Pondok Panas Dilarang!

Seperti yang kami jangkakan sebelum ini Suruhanjaya Pilihanraya tiada pilihan lain kecuali mengadakan pilihanraya untuk DUN Penanti setelah penyandangnya Mohd fairus Khairuddin gagal untuk digoyangkan pendiriannya oleh UMNO samada untuk menarik balik peletakan jawatannya atau dipujuk melompat sebagai ADUN Bebas.

Menurut Bernama, SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri N.12 Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh keluar writ ditetapkan pada hari ini manakala tarikh notis dikeluarkan pada Khamis ini.

Mohammad Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Khamis lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Namun di pilihanraya kecil DUN Penanti nanti, SPR melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi.

Ia dilihat oleh banyak pihak sebagai satu usaha dari SPR lagi bagi mengenakan tekanan kepada parti-parti selain BN untuk tidak dapat mengetahui dan mengesani arah aliran pengundi-pengundi dan sepastinya SPR melakukannya bagi tujuan-tujuan tertentu yang sebenarnya ada kaitan dengan percubaan mereka sekali lagi cuba untuk membantu calon BN memenangi pilihanraya kecil nanti, jelas seorang penganalisis politik di sebuah ipt di sini hari ini.

Ditanya sebab suruhanjaya itu melewatkan pengumuman tarikh-tarikh tersebut walaupun bermesyuarat Rabu lalu, beliau berkata ia tidak kena-mengena dengan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno, Jumaat lepas. Satu hujjah tipikal SPR yang sering diberikan apabila ada pihak cuba mendedahkan usaha terancang SPR tersebut yang bertindak secara jelas berpihak kepada parti pemerintah.

"Pakatan Rakyat perlu melakukan sesuatu bagi membantah peraturan baru tersebut kerana ia dilakukan tanpa mengambil kira pandangan parti-parti politik bukan-BN disamping ia mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi," tegas seorang penganalisis politik.

"Disamping itu sekalipun tidak dinyatakan jumlah penyokong dihadkan, ada pelbagai kemungkinan provokasi boleh berlaku dihari penamaan calon dan hari mengundi bagi menjustifikasi tindakan mereka untuk melaksanakan peraturan itu dimasa akan datang dan Pakatan rakyat perlu berwaspada mengenainya," tambahnya lagi.


Kerana UMNO, Polis Tak Teruskan Siasatan Lagi

Semua orang tahu bahawa polis selama ini berada di bawah telunjuk kerajaan UMNo-BN. Dan di dalam satu putaran U - polis Terengganu semalam telah membebaskan seorang kerani syarikat swasta yang ditahan berhubung penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan bunuh kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu.

Malah tanpa ada maruah dan harga diri, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan menafikan laporan bahawa polis sedang mencari Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohammad Zubir, Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh walaupun berita pada hari sebelumnya menjelaskan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri memberitahu, Ramzi dicari untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

"Ini semua akibat dari sikap polis yang menjalankan tugas dengan membelakangkan professionalisme tetapi lebih mengutamakan mematuhi arahan pihak-pihak tertentu sehinggakan jika kes itu melibatkan UMNO, ia akan cepat-cepat ditutup dan dianggap selesai," kata seorang pemimpin Pakatan Rakyat hari ini.

"Bagaimana mungkin ada dua kenyataan yang bercanggah dari dua pegawai polis terhdap kes yang sama, satu kata Ramzi dicari dan seorang lagi menafikan," tambahnya.

Pada pada 14 April lalu, Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid; Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan polis selepas menerima SMS ugutan berkenaan.

Tujuh Adun lain yang bersimpati dengan mereka kemudian bersepakat tidak hadir pada hari kedua sidang DUN pada hari itu.

Mereka bagaimanapun hadir semula sidang DUN pada hari berikutnya selepas diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selain mendapat jaminan keselamatan polis.

Manoharan juga dilaporkan telah turut meminta kerjasama pelbagai pihak termasuk orang ramai dan media agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.

"Spekulasi apa lagi jika polis dengan jelas telah mencabul professionalismenya dengan menutup kes berkenaan hanya semata-mata ia melibatkan pemimpin UMNO?

Banyak pihak telah menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan terbaru polis terengganu tersebut dan ia sekaligus telah menjejaskan nama baik polis di mata masyarakat.



Unity Government : Barah UMNO Yang Ada Dalam PAS

Isu "Kerajaan Perpaduan" (KP) - Unity Government yang gagasannya dilontarkan oleh Presiden PAS, Datuk Hj Abdul Hadi Awang sebelum ini nampaknya menjadi sesuatu yang hangat menjelang Muktamar PAS.

Mungkin satu kebetulan bahawa pencanang gagasan UG adalah kumpulan yang sama yang mencadangkan Kerajaan Campuran KC) pada tahun lepas yang mendapat tentangan hebat di Muktamar PAS kali ke 54 di Ipoh Perak. Justeru itu tidak dapat hendak dipersalahkan ahli jika ada yang beranggapan KP itu ialah satu penjenamaan semula terhadap KC yang begitu mencurigakan itu.

Isu kerajaan perpaduan ini bermula apabila Datuk Seri Abdul Hadi dalam wawancara dengan Siasah dan The Malaysian Insider mencadangkan agar semua pihak bersatu untuk menghadapi krisis ekonomi dunia yang bakal dihadapi Malaysia dan krisis politik yang ada.

Beliau mencadangkan kerajaan perpaduan yang tidak ada pembangkang dibentuk bagi membolehkan semua pihak memberikan tumpuan perkhidmatan untuk rakyat di negeri yang dikuasai dan menghentikan sementara kegiatan politik yang melampau.

Namun selepas cadangan itu dilontarkan, Abdul Hadi meninggalkan negara untuk membiarkan para ahli "bercempera" dengan isu gagasan tersebut tanpa sebarang jawapan apabila diminta diperincikan gagasan tersebut supaya ianya lebih difahami oleh sekalian ahli.

Contoh kerajaan perpaduan ala indonesia yang dipelopori BJ Habibie pasca kejatuhan regim Suharto pada 1998 menjadi asas kepada lontaran idea itu sekalipun situasi Habibie masa itu amat berbeza dengan situasi PAS masakini. Habibie melaksanakan KP dalam keadaan beliau yang memegang tampuk kuasa dan dia punya majoriti di dalam Dewan Perundangan. Namun Abdul Hadi mengemukakan KP dalam keadaan Pakatan Rakyat masih berhempas pulas sebagai kelompok gabungan parti pembangkang yang menghadapi pelbagai tekanan dan rintangan di dalam dan luar Dewan Rakyat.

Selepa Najib mengambil alih tampuk pemerintahan negara dan sebelum PAS ingin mengadakan muktamar, Abdul Hadi kemudian menarik balik cadangannya kerana menurutnya situasi telah berbeza dan cadangan gagasan itu "ditangguhkan" - yang bererti gagasan itu hanya distrategikan sewaktu kekuasan masih di tangan Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri tanpa ada opsyen atau alternatif jika negara dibawah kekuasaan orang lain.

Pada hemat saya, gagasan KP itu murni, namun kemurniaan gagasan semata-mata tanpa mempunyai strategi (teknik dan taktik) yang sama murni akan hanya merupakan sebagai satu perbuatan menabur benih di angkasa - satu perbuatan yang sia-sia.

Abd Hadi menyalahkan ahli-ahli kerana "kurang membaca" yang menyebabkan gagasan itu ditolak dan rasanya tuduhan itu agak keterlaluan dimana kita tidak dapat untuk mengukur berapa banyak bacaan yang perlu dilakukan semata-mata untuk memahami gagasan KP berkenaan. Apa tah lagi setiap orang mempunyai bidang dan skop pembacaan yang berbeza, seperti Abdul Hadi sendiri yang mungkin telah banyak membaca mengenai konsep Unity Government BJ Habibie tetapi sebagai seorang ahli parlimen, sya berpendapat beliau tidak banyak mengulangkaji buku-buku mengenai pembentukan Perlembagaan Malaysia serta undang-undang negara yang sepatutnya menjadi bacaan wajib untuk setiap ahli parlimen. Jika tidak masakan beliau mengutarakan gagasan KP di saat dan ketika kekuatan Pakatan Rakyat masih lemah di Parlimen.

Dengan mengharapkan sokongan dari ahli parlimen UMNO untuk menyokong gagasannya itu dan kemudian mengharap pula "ehsan" untuk memperolehi jawatan-jawatan menteri penting di dalam KP tersebut supaya gagasan itu berjaya di dalam misi dan visinya. maka ia seumpama Puteri Gunung Ledang menetapkan syarat kepada Sultan Mahmud supaya dibawa hati nyamuk 7 dulang jika berhasrat meminangnya.

Persoalan utama yang perlu diberikan perhatian ialah tidak dapat terima akal untuk sebuah gagasan yang besar seperti KP hendak dilaksanakan di dalam keadaan Pakatan Rakyat sendiri masih memburu kekuatan di dalam dewan rakyat. Apa tah lagi gagasan itu belum pernah disimposiumkan atau diseminarkan supaya ianya dapat diperincikan segala aspek objektif dan perlaksanaannya disamping membaca riaksi sebenar sekalian kumpulan masyarakat di dalam negara ini jika ianya hendak berjaya.

Serendah-rendah gagasan perlu ada ad-hoc committee untuk penajaman konsep dan mengatur staregi ke arah perlaksanaannya. Berperang tanpa strategi adalah umpama langkah si kurang siuman yang masuk ke gelanggang yang akhirnya akan tertikam dengan senjata sendiri tanpa perlu musuh memulakan pencaknya!

Sepatutnya gagasan KP hendaklah dimulakan dengan gagasan-gagasan kecil seperti mengutuhkan perpaduan di dalam parti sendiri, memperkukuhkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat sendiri sehingga kemudian kejayaan dikecapi untuk mengubah Perlembagaan ke arah KP itu.

Mengharapkan perut penuh berisi untuk menunggu sendawa kekenyangan tanpa berusaha dan mengatur strategi yang ampuh tidak seharusnya menjadi tabiat berfikir mana-mana pemimpin dan gagasan itu kini dilihat laksana mengimport barah orang lain meresap ke dalam tubuh PAS dan PR sehingga PAS dan PR boleh binasa lantarannya.

Oleh sebab tidak mementingkan strategi, maka peranan blogger (sepertimana diluahkan oleh sahabat blogger Perak) dan peranan radio internet seperti TKO.fm :) tidak pernah mendapat pengiktirafan dari PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi. Sedangkan kemenangan parti mesti diakui juga diantaranya adalah jerih payah blogger yang menghadapi risiko serta bersengkang mata dari malam sehingga ke pagi berjuang di alam siber ini menangkis segala serangan musuh sedangkan pemimpin sedang tidur lena dibuai mimpi bersama sang isteri. Itu pun tak reti-reti, inikan pula nak memerintah negeri, jauh sekali nak rebut kerusi Perdana Menteri. Berangan-anganlah lagi dan banyakkan mebaca tentang Habibie, tak payah baca buku tentang "strategi"!

Namun, mujurlah para blogger dan TKO.fm melakukan kerja bukan kerana faktor duniawi walaupun terpaksa meminta sedekah untuk meneruskan perjuangan selama ini. Kalau rasa nak maki kami pun makilah sesuka hati. Kerana Allah Maha Kaya melimpahkan rahmatNya kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah juga tetap melihat dan mengetahui serta akan maha mengadili seperti telah diadiliNya kealpaan mereka sebelum ini. Yang tak ikhlas, akan pergi dengan sendiri. So, siapalah kami :(

Teruskan berjuang sehingga PR menang nanti, kerana ikut firasat GB, dengan izinNya, ketibaannya itu pasti.

Tengku Fakhry dan Manohara Di Majlis Husam

Wanita dan lelaki yang dikatakan berada di tengah kemelut nampaknya tidak sebagaimana yang dilaporkan oleh media Indonesia. Semalam kedua-dua mereka menyertai majlis menerima menantu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, di kampung Kota, Kota Bharu Kelantan.

Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Kelantan bersama isteri baginda, Cik Puan Temenggong, Monahara Odelia Ponit, telah berkenan untuk berangkat ke rumah anggota exco kerajaan negeri itu kira-kira pukul 1.30 petang semalam.

Baginda hadir pada majlis kesyukuran sempena menyambut menantu pertama Husam dan Datin Rohana Abdul Rahman, iaitu isteri kepada Ahmad Syafi’, 21, Indah Purnama Sari, 19.

Anak sulung kepada pasangan suami isteri itu selamat diijab kabulkan di Banten, Tangrang, Jakarta pada Disember 2008.

Indah Purnamasari anak kedua daripada tujuh orang adik beradik itu merupakan anak kepada pegawai kerajaan di Republik Indonesia, Haji Didin Solahuddin Aep Hasbuna, 46 dan isteri Hajjah T. Fatimah Kamaruddin, 42.

Tengku Temengong kelihatan begitu mesra dan sesekali ketawa riang bersama pada majlis itu.

Baginda bersama isteri sempat meraikan pengantin dan beramah mesra dengan Husam dan isteri selama setengah jam.

Husam ketika memberitahu media berharap pihak tertentu yang cuba memburukkan imej istana khususnya Tengku Temenggong dan Cik Puan Temenggong supaya menghentikan segera tindakan itu.

Menurutnya, lagipun apa yang beliau dapati hubungan mesra antara pasangan terbabit sentiasa wujud sejak mereka berkahwin tahun lalu dan bukan hanya pada hari ini.
"Sebelum ini mereka kelihatan bersama keluar turun ke bawah untuk menghadiri program, jadi tidak timbul lagi ianya berlaku sebagimana yang dilaporkan oleh media,”ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak tertentu supaya tidak lagi menyebar berita negative terhadap pasangan terbabit.

Tambahnya, biarkan pasangan itu hidup dengan aman dan melayari bahtera rumah tangga mereka tanpa campurtangan pihak tertentu. - siasahdaily

Rampasan Kerajaan Nizar : Misi Terancang UMNO/BN

Krisis politik Perak yang berlanjutan sejak 5 Februari lalu adalah satu misi terancang yang didalangi dan dicetuskan oleh Umno dan Barisan Nasional menurut pengerusi biro undang-undang DAP Perak, Nga Hock Cheh.

Beliau yang berucap sebagai salah seorang ahli panel Jumaat lalu pada forum bertajuk “Perak and BN Government: Legal or Constitutional Grab” anjuran National Press Club kelmarin memberitahu kemelut politik itu adalah angkara tidak sabar Umno dan BN untuk berkuasa di Perak setelah Pakatan Rakyat dinobatkan sebagai kerajaan mutlak pilihan rakyat menerusi Pilihan Raya Umum ke 12 Mac tahun lalu.

Nga yang merupakan seorang peguam kanan menyifatkan krisis politik Perak sebagai satu tragedi yang menimpa rakyat negeri itu.

Menurut Nga lagi tindakan meletak jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Jamaluddin Mat Radzi, ADUN Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu, kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat, serta ADUN Jelapang daripada DAP, Hee Yit Foong adalah titik tolak kepada rancangan rampasan kuasa Umno dan BN yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Beliau mengandaikan rampasan kuasa itu sebagai seekor lembu yang dilepaskan dari tali pengikatnya.

Peristiwa kudeta haram itu kata beliau lagi tidak berhenti di situ sahaja tetapi dalam masa yang sama turut mengheret institusi raja-raja, bidang legislatif yang diketuai Speaker dan institusi kehakiman.

Jelas Nga pembabitan ketiga-tiga pihak termasuk kuasa eksekutif sebenarnya tidak banyak membantu untuk menyelesaikan kemelut politik secara adil malah ia semakin menyulitkan keadaan sehingga mendedahkan peranan badan kehakiman yang kelihatan tidak lagi berkecuali.

Beliau yang yang menjadi salah seorang anggota panel peguam Speaker, V. Sivakumar menyimpulkan bahawa krisis tersebut itu hanya dapat diselesaikan jika merujuk semula kepada rakyat untuk membuat penentuan mutlak.

Nga berkata hanya pilihan raya mampu menyelesaikan masalah dan jika ini berlaku tidak ada siapa yang akan mempersoal dan mempertikaikannya.

Sehubungan itu beliau menafikan dakwaan seorang anggota panel forum, Datuk Shafee Abdullah yang mengatakan krisis politik bermula sejak 8 Mac tahun iaitu selepas keputusan pilihan raya umum lalu.

Lebih 2,000 orang menghadiri forum yang diadakan di Dewan Bandaran Ipoh.