17 Apr 2013

[VIDEO] Kami Akan Pastikan Calon BN Tewas – Shariff Omar


Tasek Gelugor: Mantan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Shariff Omar mengakui pengumuman muka baru sebagai calon Pilihanraya Umum ke-13 oleh Umno Pulau Pinang semalam boleh membawa kekalahan dan kehancuran Barisan Nasional (BN).

Beliau yang berbaju 'T' belang berseluar hitam ketika berucap di hadapan ribuan penyokong di pekarangan kediamanya di Pokok Machang, di sini malam tadi kelihatan kecewa.

Ini kerana beliau tidak disenaraikan sebagai calon BN menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang digugurkan sebaliknya memberikan mandat kepada Ketua Bahagian Tasek Gelugor, Shabudin Yahya, yang pernah mengalahnya ketika pemilihan Umno beberapa tahun lalu.

Shariff yang juga mantan Timbalan Menteri Pertanian menegaskan, kerusi tersebut sepatutnya menjadi miliknya semula setelah dipinjamkan atas saranan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menamakan Nor Mohamed Yakcop sebagai calon pada Pilihan raya Umum ke-12 lalu.

"Kenapa janji tidak ditepati macam slogan BN. Nampak gayanya dah jadi capati. Apa kata kali ni kita koyak BN yang sengaja memilih individu yang tidak bekerja sebagai calon,” ujarnya.

"Keputusan yang diambil nanti bukan keputusan sendiri tapi atas sokongan hadirin malam ini. Kami akan pastikan calon BN tewas," tambahnya. -HD







Kenapakah Dr Mahathir Masih Tak Ditangkap & Didakwa?


Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail digesa segera menangkap dan mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menghasut dan memfitnah.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Peguam Negara perlu bertindak segera sebelum beliau meminta peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir yang memfitnahnya mengenai dalam blognya 11 April lalu.

Semalam penyandang Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan polis di Kuala Lumpur terhadap Mahathir dan memberi peluang Abdul Gani menangkap dan mendakwa Mahathir kerana menghasut dan memfitnah.

“Saya sendiri juga sudah dua peluang kepada Dr Mahathir untuk menarik balik dan memohon maaf kerana blog cauvinis itu sebelum mengambil tindakan undang-undang.

“Dua hari lalu, “operasi hitam” terbaru pada PRU-13 apabila muncul video seks kononnya membabitkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, membuktikan UMNO cukup terdesak sehingga sanggup berbohong dan memfitnah.

“Taktik kotor seperti itu juga pernah dimainkan UMNO/BN pada 1990 ketika kempen termasuk menuduh Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah yang memakai topi Kadazan dengan simbol salib menjual Islam kepada Kristian di Sabah,” katanya dalam kenyataan media di Gelang Patah, semalam.

Kit Siang penyandang Ahli Parlimen Ipoh Timur juga berkata, bukan setakat Tengku Razaleigh, malah Dr Mahathir sendiri juga pernah memakai topi Kadazan dengan salib ketika melawat Sabah.

Beliau berkata, media tradisional kawalan BN juga menyiarkan iklan untuk mewujudkan rasa takut dan panik di kalangan pengundi seperti akhbar Utusan Malaysia bertajuk “sokong Membawa Rebah” manakala Nanyang Siang Pao dengan “ingatan Sejarah” yang kedua-duanya menggambarkan pertumpahan darah, ganas, kebakaran dan pembunuhan beramai-ramai.

“Saya masih ingat ketika bertanya Dr Mahathir pada perbahasan di Parlimen selepas PRU 1990 samada beliau diberi “lampu hijau” terhadap muslihat kotor UMNO/BN, dan sekarang, saya yakin Mahathir di belakang kedua-dua “muslihat kotor” itu apabila mencipta pembohongan dan fitnah dalam blognya dengan menuduh saya mahu orang Cina di Gelang Patah dan Johor tidak bekerjasama dengan orang Melayu”; menggesa orang Cina di Johor suaya membenci orang Melayu dan mewujudkan konfrontasi tidak sihat antara orang Melayu dan Cina di Johor,” katanya.-Roketkini


Dr Mahathir sedang usaha hancurkan negara - Salahudin


Saranan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa akan berlaku konfrantasi kaum jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah boleh menghancurkan negara ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Jika hancur negara ini kerana tercetusnya konfrontasi kaum akibat hasutan secara tidak langsungnya itu, Dr Mahathirlah yang bertanggungjawab.

"Kalau berulang lagi rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dr Mahathirlah pencetusnya,"
tegas beliau.

Bagi Salahuddin, bekas Presiden Umno itu amat jelas anti-perpaduan dan sangat tidak bertanggungjawab apabila mendakwa kononnya konfrontasi kaum akan menggantikan kerjasama Melayu Cina di negara ini jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah.

Malah, katanya lagi, semakin terbukti dengan amat jelas kepada rakyat bahawa perbuatan mengapi-apikan kebencian antara kaum adalah satu-satunya senjata Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Menulis dalam blognya, Perdana Menteri keempat itu berkata, "Apabila Kit Siang memutuskan untuk bertanding kerusi majoriti Cina di Gelang Patah, ia adalah disebabkan beliau mahu orang-orang Cina di situ dan di Johor menolak untuk berkerjasama dan berkongsi dengan orang-orang Melayu.

"Konfrontasi kaum yang tidak sihat akan menggantikan kerjasama Cina-Melayu yang menyebabkan Malaysia stabil dan makmur. Kerjasama itu akan berakhir jika Kit Siang menang di Gelang Patah".

Salahuddin menyifatkan tulisan Dr Mahathir itu secara tidak langsung menghasut supaya dicetuskan konfrontasi antara kaum jika Kit Siang menang.

"Walaupun beliau tidak menghasut secara langsung, tetapi apa yang ditulisnya jelas merupakan taktik untuk menghasut secara tidak langsung.

"Ia taktik lama yang sudah biasa kita lihat," katanya.

Salahuddin berkata, sukar untuk ditolak kemungkinan mereka yang terpedaya dengan hasutan tidak langsung Dr Mahathir itu akan mengamuk dan mencetuskan konfrontasi antara kaum," katanya.

"Dr Mahathir mungkin memerah otak supaya tulisannya tidak dilihat menghasut tetapi semakin ia cuba untuk tidak kelihatan menghasut semakin terdedah niat yang cuba disembunyikannya itu.

"Kalau Dr Mahathir fikir cara dia menulis itu dapat menyembunyikan niatnya untuk mencetuskan konfrontasi kaum, ia tak ubah seperti menutup bangkai gajah dengan nyiru," katanya.

Bagi Salahuddin, Dr Mahathir hanya tahu melihat apa sahaja yang berlaku dari sudut pandangan perkauman Umno sahaja.

"Saya tidak mahulah kata Dr Mahathir menulis dari sudut pandangan perut busuk Umno tetapi bekas Presiden Umno itu sendiri pernah menulis Umno busuk hingga ke usus atau 'rotten to the core'.

"Dia hanya mampu melihat dari sudut itu sahaja dan tidak tahu apa-apa tentang perpaduan kaum yang semakin berjaya dibina oleh Pakatan Rakyat setelah dimusnahkan oleh sentimen perkauman yang tidak henti-henti diapi-apikan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 2008 lalu," katanya.

Salahuddin menegaskan, tidak ada sebab sesiapa pun hendak berkonfrontasi jika Kit Siang menang di Gelang Patah.

"Kit Siang tidak membawa mesej perkauman sempit seperti Umno
.

"Malah, beliau membawa semangat Datuk Onn Jaafar yang membuka keahlian Umno kepada semua kaum ketika beliau menjadi pemimpin parti itu," katanya.

Kit Siang sebelum ini menyeru semua pihak mencontohi pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dengan bersikap melampaui sentimen perkauman dalam pilihan raya umum di Gelang Patah.

Calon Pakatan bagi Parlimen itu berharap "pertempuran" di kerusi itu merealisasikan "impian Malaysia" Datuk Onn ke arah penyatuan bangsa berbilang kaum, seperti tergambar daripada tindakannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua pada 1951.

"Malah, saya merujuk kepada pengundi Gelang Patah sebagai rakyat Malaysia, bukan pengundi Cina, Melayu atau India demi mencapai 'impian Malaysia' masyarakat bersatu-padu," katanya.
-HD

Ulasan GB

GB hairan kenapakah ucapan-ucapan berbentuk perkauman yang merbahaya daripada mulut para pemimpin UMNO tidak diambil tindakan oleh pihak polis.

Mengapakah ada double standard di dalam penguatkuasaan undang-undang?

Mengapakah pemimpin UMNO begitu bebas mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan sedang ianya jika dikeluarkan oleh pemimpin PR amat segera pula dikenakan tindakan?

Sampai bila PDRM mahu menjadi orang suruhan UMNO?

Tiga Bilik Gerakan Umno Shah Alam Tutup


Sejak semalam lagi, tiga bilik gerakan Umno Shah Alam telah ditutup apabila tersebar khabar Datuk Zulkifli Nordin menjadi calon Barisan Nasional (BN) di situ.

"Orang kuat Umno di sini yang memberitahu bahawa mereka tahu rancangan itu sejak semalam lagi dan setakat semalam sahaja tiga bilik gerakan telah ditutup, mungkin di peringkat cawangan," kata pengerusi salah sebuah masjid di situ yang enggan namanya disiarkan.

Seorang pengurus di salah sebuah kilang di Shah Alam pula memberitahu, beberapa orang kuat Umno Shah Alam yang beliau temui petang tadi dan malam ini merasa sangat malu apabila Zulkifli dicalonkan sebagai calon BN di situ.

"Tadi, masa saya pergi solat berjemaah di masjid, pencalonan Zulkifli jadi bahan gelak ketawa," kata pengurus salah sebuah kilang di Seksyen 16 itu yang juga tidak mahu namanya disiarkan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad yang akan mempertahankan kerusi Shah Alam menyifatkan pemimpin Umno mempunyai persepsi yang unik apabila mencalonkan Zulkifli di situ.

"Terpulang kepada pemimpin BN untuk memilih calon yang terbaik ... Malangnya, mereka merasakan bahawa Zulkifli adalah calon yang terbaik. Mereka mempunyai persepsi yang unik apa yang rakyat Shah Alam mahu," The Malaysian Insider memetik beliau.

Menurut Khalid, kebanyakan orang di Shah Alam adalah lebih matang dan tidak bersifat pelampau, dan Zulkifli yang merupakan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak mewakili nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka.

Beliau juga menyifatkan pencalonan Zulkifli itu sebagai Khalid isyarat jelas bahawa para pemimpin Umno dan BN tidak mempercayai Umno Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang kecewa tidak dicalonkan di kawasan idamannya, Pasir Mas, mempersoalkan mengapa beliau tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli dipilih menjadi calon BN.

Ibrahim berkata, beliau kecewa kerana tidak diberikan alasan mengapa tidak dicalonkan sedangkan Zulkifli yang menjadi Naib Presidennya dalam Perkasa dipilih menjadi calon BN bagi kerusi parlimen Shah Alam.

"Saya tidak disenaraikan maknanya saya tidak diberi peluang, sebab-sebabnya saya tak tahu. Mungkin rupa paras saya tak cantik atau sebagainya," laman Astro Awani memetik beliau berkata. -HD



Pencalonan Zul Nordin Di Shah Alam Percepat Kuburkan UMNO


Zul Kulim bersama dengan simbol seks terkenal Papagomo

Zul Noordin: Inikah transformasi Umno?

Jika muka baru yang dicalonkan Barisan Nasional adalah seperti Datuk Zulkifli Nordin, ia membuktikan Umno semakin buruk dan lebih berbahaya sifatnya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz menyifatkan pencalonan Zulkifli di Shah Alam membuktikan transformasi yang dimegahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hakikatnya adalah transformasi ke arah yang lebih buruk lagi dan malah BN terbukti menjadi mudharat yang semakin membahayakan negara.

"Ambil tokoh puak baling selipar dalam masjid jadi calon adalah keputusan yang memudharatkan negara dan akan mengakibatkan lebih banyak keburukan," kata beliau merujuk kepada laporan dan rakaman video yang mendakwa sekumpulan ahli Perkasa bertindak ganas dan membaling selipar ke dalam Masjid Al-Hussain di Pumpong, Alor Setar pada September lalu.

Beliau yakin, pencalonan orang-orang seperti memberikan wajah yang lebih buruk kepada Umno dan BN.

"Selepas didedahkan video Zulkifli menghina kepercayaan penganut agama Hindu, didedahkan pula videonya memanggil 'keling' kepada orang India.

"Perbuatannya itu memburukkan nama baik Islam malah bertentangan dengan ajaran Islam yang melarang umatnya menghina sembahan penganut agama lain, sebab itu saya kata pencalonan orang seperti itu membuktikan transformasi Najib menuju ke arah keburukan.

"Umno jelas terbukti semakin buruk dan menakutkan dan kalau dibiarkan terus memerintah, bencana besar akan menimpa negara ini," katanya.

Mahfuz seterusnya berkata, tindakan Umno bermegah-megah kononnya mencalonkan lebih banyak muka baru tidak membawa apa-apa kebaikan jika pemikiran dan doktrin yang mereka anuti tidak berubah malah semakin buruk.

"Untuk apa mencalonkan muka baru jika sikap rasis dan perkauman Umno semakin buruk?

"Malah, perbuatan mengapi-apikan perkauman yang semakin menjadi-jadi semakin menjadi satu-satunya senjata Umno untuk terus berkuasa," katanya.

Lebih dari itu, kata Mahfuz, tidak ada sebarang perubahan pada sifat Umno yang disebutkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "parti perasuah".

"Sebab itulah, kalaupun calon muda atau calon baru Umno itu mempunyai sifat yang dilihat baik, mereka bukan sahaja tidak dapat membawa kebaikan kepada Umno malah merekalah yang akan dirosakkan oleh parti yang Dr Mahathir sendiri tulis 'busuk hingga ke usus' itu," katanya.

Mahfuz yakin, rakyat mengundi berdasarkan pendirian parti yang lebih menjanjikan keamanan dan kesejahteraan dan bukannya parti yang menaja keganasan dan pertumpahan darah seperti serangan-serangan berdarah ke atas perhimpunan politik secara aman yang didakwa oleh pelbagai laporan sebagai didalangi oleh pemimpin dan ahli Umno.

Untuk rekod, menjelang pilihan raya umum 2004, mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS telah menolak nama Zulkifli sebagai salah seorang calon parti Islam itu.

Laung Satu Malaysia tapi Najib pilih calon hina India

Perbuatan meletak calon yang terkenal dengan sikap ektrem perkauman mengesahkan Umno mengamal ideologi rasis, kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Beliau merujuk perbuatan Datuk Seri Najib Razak yang mencalonkan Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin yang beberapa kali menghina kaum India dalam ceramah.

“Sudah jelas Zulkifli hina kaum India. Bukan hanya terlepas dari tindakan undang-undang, malah dipilih menjadi calon,” katanya pada kenyataan media, semalam.

Beliau menyifatkan pencalonan Zulkifli Nordin sebagai tidak menjaga sensitiviti kaum India yang dihina secara terang-terangan.

“Ia mengecewakan masyarakat India, seolah-olah tidak mempeduli perasaan pemimpin MIC yang turut mengutuk sikap Zul Noordin,” katanya.

Kata Surendran, pencalonan Zulkifli Nordin di Parlimen Shah Alam mengesahkan ‘kekebalan’ Perkasa dari undang-undang walaupun melakukan pelbagai kenyataan ekstrem.

“Kesalahan bukan kecil, Seksyen 298A adalah jenayah yang boleh heret mereka ke mahkamah tapi sampai hari ini, tak ambil tindakan sedangkan bukti jelas,” katanya.

Beliau juga mempertikai slogan Najib yang melaungkan 1Malaysia tapi memilih calon dari organisasi yang bersifat ekstrem dan perkauman.

“Perkasa pernah ancam bakar Bible. Mereka ekstrem dalam isu perkauman dan agama. Macam mana Najib yang kononnya pejuang 1Malaysia tergamak ambil calon dari organisasi ekstrem itu?” katanya.
-KD

Video Seks: Polis Perlu Tangkap Dan Dakwa Blogger Pro-UMNO


Blogger pro-UMNO diantara penyebar awal video seks "Mustafa Ali"

Masyarakat Anggap Sebar Video Kerja Umno - Prof Ridhuan

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman melihat, penyiaran video lucah akan mengukuhkan tanggapan masyarakat yang ia merupakan “kerja Umno”.

“Video ini dan video-video lucah sebelum ini semuanya mula diterbitkan blog-blog yang pendirian mereka adalah pro-Umno.

“Begitu juga dengan video terbaru ini yang turut mula ditayangkan oleh pengendali blog-blog politik pro-Umno,” katanya merujuk kepada isu terbaru membabitkan seorang pemimpin PAS.

Menurutnya lagi, Umno perlu mengeluarkan kenyataan mengutuk penyiaran video sebegitu untuk menjauhkan diri mereka daripada mereka yang menyiarkannya.

Semalam Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan Umno tidak ada kaitan dengan pembikinan dan penyebaran video lucah Datuk Mustafa Ali.

Peguam Umno, Datuk Hafarizan Harun juga menghantar surat notis meminta Harakahdaily menarik balik penyataan yang mengatakan Umno terlibat dengan video lucah ini.

Ridhuan berkata, berdasarkan kajian beliau sebelum ini juga, hanya sekitar 18 hingga 21 peratus pengundi mempercayai ketulenan video seks lelaki mirip Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu lagi gambar lucah lelaki mirip Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Justeru, beliau menjangkakan kesan yang sama akan turut berlaku kepada penyiaran video lucah mirip Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali itu. -HD

Amaran polis jangan sebar video seks dikait pemimpin Pas

KOTA BHARU – Polis Diraja Malaysia (PRDM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terbabit dalam penyebaran video seks didakwa mirip pemimpin kanan Pas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sama ada penyebaran itu dibuat melalui laman sosial mahupun dalam bentuk fizikal, kesemuanya akan berdepan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Katanya, setakat ini tidak ada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya mengeluarkan amaran keras kepada semua termasuk blogger, pemilik akaun facebook dan pengguna telefon bimbit yang memiliki, menyimpan ataupun menyebarkan video itu.

“Kita tidak mengambil kira pelaku di dalam video itu, yang menjadi kesalahan di sisi undang-undang ialah penyebar video berkenaan.

“Di Kelantan, ada kes video itu dijumpai di Kuala Krai, tetapi kami masih cuba mengesan dan belum berjaya menahan mereka yang mengedar video ini,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini.

Video didakwa mirip pemimpin kanan parti itu dikesan tersebar sejak seminggu lalu di laman-laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada golongan pemimpin dan masyarakat.
-SH


Ulasan GB

Jika polis jujur dengan kenyataannya di atas, pihak polis perlu menangkap dan mendakwa blobber-blogger pro UMNO yang menyiar dan menyebarkan video seks berkenaan.

Walaupun mereka menuduh yang melakukan ialah AMK PKR, tetapi mereka TIDAK DAPAT MEMBUKTIKAN dakwaan itu, sementelah lagi PKR sudah membuat penafiannya.

Begitu juga, tidak ada sebuah blog PKR pun yang menyebarkannya.

Malah sehingga ke saat ini, beberapa blog pro-UMNOlah yang masih terus menyiar dan menyebarkan klip video berkenaan tanpa sebarang halangan dan sekatan.

Demi memelihara integriti pasukan polis, wajib bagi polis menangkap blogger-blogger pro-UMNO tersebut dan mengheret mereka ke muka pengadilan.

TERKINI: Maaf Bukan Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh, Tetapi ....


Laporan GB sebelum ini menyatakan Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh menyertai PAS rupanya tidak benar.

Walaupun terkaan GB mengenai "ciri" hirarki tertinggi di parlimen seperti yang disebut oleh Naib Presiden PAS, Salehuddin Ayub itu benar iaitu bekas Speaker Dewan Negara, tetapi orangnya tersilap.

Hasil siasatan GB, rupa-rupanya laporan akhbar yang menyatakan orang berkenaan adalah bekas MB dari utara itu adalah tidak betul.

Dan setelah membuat beberapa penyelidikan lanjut, sebenarnya orang yang dimaksudkan itu ialah Tan Sri Adam Kadir.

Beliau merupakan presiden pertama Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (Pakku) yang ditubuhkan pada Mac 2010. Beliau merupakan bekas Yang Dipertua Dewan Negara (13 Jun 1995 - 30 November 1996) .

Adam Kadir menerima ijazah Undang-Undang Perdagangan dan Korporat dari Universiti London.

Beliau pernah dilantik sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam Kumpulan Pernas, Ahli Dewan Rakyat, Setiausaha Parlimen dan sebelum itu sebagai pegawai di Bank Negara dan akhirnya mencapai kemuncak sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Beliau juga menjadi ahli Jawatankuasa Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

GB lebih yakin jawapan kali ini adalah betul.

Apa-apa hal pun kita tunggu nanti 22 April ini untuk pengesahan penyertaannya ke dalam PAS seperti yang disebutkan sebelum ini:
Kedua-dua Tan Sri ini akan menyerahkan borang keahlian pada 22 April depan secara serentak, dua hari selepas penamaan calon. Menurutnya, satu sidang media khas akan diadakan memandangkan kedua-dua Tan Sri tersebut akan turut turun padang membantu PR dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). “Kami menerima dengan tangan terbuka. Penyerahan borang akan diserahkan di sini (di pejabat Pas Pusat). “Tetapi, pengumuman besar-besaran akan dibuat di Shah Alam (Selangor) pada sebelah malamnya, iaitu semasa ceramah Pas di sana,” katanya kepada Sinar Harian di pejabat Pas Pusat, di sini, semalam.

Kepada semua GB meminta maaf di atas kesilapan tersebut yang berpunca dari kesilapan laporan akhbar terbabit dan maaf juga kepada Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh.

Kepada Tan Sri Muhammad Taib dan Tan Sri Adam Kadir, kami menga-alukan penyertan Tan Sri-Tan Sri berdua bersama-sama rakyat di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan.

Tan Sri Abd Hamid Pawanteh Sertai PAS Selepas Muhammad Taib?


Penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Taib ke dalam PAS sudah pun diketahui umum dan hanya menunggu penguman rasmi dari parti. Persoalan kini, siapa lagi seorang Tan Sri yang dinyatakan oleh Naib Presiden PAS yang turut sama telah mengisi borang menyertai PAS?

Salehuddin telah pun memberikan klunya lebh kurang begini:
“Seorang daripada mereka adalah bekas pegawai kerajaan yang mempunyai kaitan dengan Parlimen Malaysia. Orang ini menduduki hierarki tertinggi dalam pentadbiran Parlimen."


Di dalam satu laporan lain Salehuddin menyatakan:

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mengesahkan seorang bekas menteri besar - dari utara Semenanjung, akan menyertai parti itu dalam masa terdekat ini.


Sekarang mudah untuk mendapat tahu jawapannya.

Siapakah bekas Menteri Besar dari negeri sebelah utara yang ada Tan Sri?

Ada dua orang, Pertama Tan Sri Ramli Ngah Talib, bekas MB Perak dan kedua, Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh, bekas MB Perlis.

Apabila melihat pula kenyataan Salehuddin bahawa beliau menduduki hirarki tertinggi di dalam pentadbiran parlimen, maka jawapan yang jelas ialah yang kedua itu, iaitu Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh.

Meskipun Tan Sri Ramli Ngah Talib pernah menjadi Speaker Dewan Rakyat, tetapi apabila dinyatakan hirarki tertinggi di parlimen, maka sya lebih cenderung untuk menjangkakan Tan Sri Abdul Hamid kerana Berikut ialah petikan biografi Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh yang dipetik dari laman wikipedia:

Beliau berkhidmat sebagai ahli Majlis Perbandaran Kangar pada 1981. Pada 1982 beliau menang bertanding di Parlimen Arau, Perlis dalam Pilihan raya umum Malaysia 1982 . Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dari tahun 1983 hingga 1986.

1986 beliau menang bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1986 .Pada Ogos 1986 Perdana Menteri Malaysia ketika itu,Tun Dr Mahathir Mohamad melantik beliau menjadi Menteri Besar Perlis. Kemudian beliau diganti oleh Dato' Seri Shahidan Kassim (1995-2008)

Dalam Pilihan raya umum Malaysia 1999 beliau bertanding semula di parlimen Kangar.

Beliau menjadi menjadi Yang Dipertua Dewan Negara sejak 7 Julai 2003 dan disambung lagi pada 19 Julai 2006 untuk penggal kedua. Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengemukakan cadangan itu dan disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas dan disokong oleh Senator Datuk Abdul Rahman Suliman, di Dewan Negara.

Pada 6 Julai 2009, beliau menamatkan perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.Tempat beliau akan diambil alih timbalannya, Wong Foon Meng, 55, yang juga Setiausaha Agung MCA mulai 7 Julai 2009.


Menurut Salehuddin lagi:

Kedua-dua Tan Sri ini akan menyerahkan borang keahlian pada 22 April depan secara serentak, dua hari selepas penamaan calon.

Menurutnya, satu sidang media khas akan diadakan memandangkan kedua-dua Tan Sri tersebut akan turut turun padang membantu PR dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Kami menerima dengan tangan terbuka. Penyerahan borang akan diserahkan di sini (di pejabat Pas Pusat).

“Tetapi, pengumuman besar-besaran akan dibuat di Shah Alam (Selangor) pada sebelah malamnya, iaitu semasa ceramah Pas di sana,” katanya kepada Sinar Harian di pejabat Pas Pusat, di sini, semalam.


Kepada kedua-dua bekas MB tersebut, kita mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam PAS dengan ucapan ahlan wa sahlan dan kita berdoa agar tuan-tuan berdua dikurniakan kekuatan serta istiqamah untuk terus bersama di dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan!

PEMBETULAN:

TERKINI: Maaf Bukan Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh, Tetapi ....