26 Mac 2011

Kredibiliti Polis Terjejas Mengenai Berita Tangkapan Konspirator

Video seks: Ada tangkapan atau tidak?

Walaupun polis telah bertindak bagi menyiasat saga pita video lucah yang didakwa membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang, namun kekeliruan terus berlegar sama ada, ada pihak yang ditangkap.

Bukan satu rahsia lagi, bekas ketua pemuda Umno yang juga bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah telah memberikan kenyataan mereka kepada polis selama lima jam pada malam Khamis yang lalu.

Bendahari PERKASA, Datuk Shuaib Lazim - anggota ketiga kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai 'Datuk T' yang mendalangi pendedahan video seks itu kepada wartawan memberi keterangannya, semalam.

Mereka disiasat selepas menayangkan video seks yang menyaksikan seorang lelaki sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah bilik kepada wartawan terpilih di hotel Carcosa Seri Negara di Kuala Lumpur, Isnin lalu

Bagaimanapun, portal berita the Star melaporkan adalah dipercayai dua lelaki ditahan berhubung siasatan seks itu dan beberapa jam kemudian mengemaskini berita tersebut dengan menamakan Rahim dan Eskay sebagi mereka yang ditahan itu.

Dalam perkhidmtan SMS, mereka kemudian melaporkan pula kedua-dua mereka kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis.

Akhbar harian Inggeris milik MCA itu kemudiannya memetik Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Ghazali Md Amin bahawa tiga orang telah ditangkap, pada versi sebelam malamnya. Akhbar harian Cina, Sin Chew menjejaki berita itu dan menyiarkannya di halaman utama.

Bagaimanapun edisi cetak the Star hari ini pula melaporkan hanya dua orang ditangkap tetapi mereka bukan Rahim mahupun Shazryl Eskay.

Tiada tangkapan?

Kedua-dua Rahim and Shazryl Eskay, semalam telah menafikan bahawa mereka ditangkap polis sambil berkata mereka tidak menandatangani sebarang dokumen kecuali kenyataan yang dirakamkan.

Kedua-dua mereka juga melahirkan rasa terkejut apabila diberitahu the Star melaporkan bahawa mereka ditangkap sambil berkata pihak polis langsung tidak menyebut perkara itu kepada mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga gelak berhubung laporan bahawa Rahim dan Shazryl Eskay telah ditangkap.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya kepada Bernama.

Sehingga berita ini ditulis, tiada pengesahan mengenai sebarang tangkapan.

Malah ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul yang juga ditunjukkan video lucah berkenaan berkata dia tidak ditangkap.

Kes video seks itu kini diklasifikasikan polis untuk disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengedar bahan pornografi atau lucah.

Anwar: Apa tangkapan?

Pada ceramahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur, malam semalam, Anwar membidas sikap dwi standard yang diamalkan oleh polis.

"The Star kata ada tangkapan. Semua ini tipu. Apa tangkapan? Mereka dibawa sekejap, kemudian dibebaskan.

"Saya salahkan Najib dan Rosmah kerana tidak berhadapan dengan saya. Orang rasuah dan penjenayah diangkat.

“Kita mahu sistem yang demokratik. Mereka mahu alih pandangan kita. Kita bukan bodoh. Sebab apa dia (Datuk T) tidak tangkap, sebab dia pencacai Umno," kata Anwar kepada lebih 1,500 hadirin.

Anwar bagaimanapun terpaksa meringkaskan ucapannya itu kerana campurtangan polis menyuraikan majlis ceramah berkenaan. -mk



Ulasan GB

Rahim Tamby Chik dan Eskay yang terang-terang memiliki dan menyiarkan video lucah yang ternyata menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan mengedar bahan pornografi atau lucah tidak ditahan dan didakwa.

1) Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Ghazali Md Amin menyatakan bahawa tiga orang telah ditangkap.

2) Rahim and Shazryl Eskay, semalam telah menafikan bahawa mereka ditangkap polis sambil berkata mereka tidak menandatangani sebarang dokumen kecuali kenyataan yang dirakamkan

3) Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar juga gelak berhubung laporan bahawa Rahim dan Shazryl Eskay telah ditangkap.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya kepada Bernama.

Mengapa wujud percanggahan di atas mengenai hal tangkapan?

Apakah rakyat terus hendak ditipu?

TERKINI: Anwar Akan Ditangkap Malam Ini?

Maklumat dari blog sharpshooter

Setelah selesai solat Maghrib, solat hajat dan solat Isyak, Ustaz Mutalib Maa'rof sedang memberi tazkirah di Masjid Perda Bukit Mertajam.

Anwar juga berada di sini dari solat Maghrib hingga sekarang mendengar tazkirah.

Namun begitu berita yang sharpshooter terima bahawa polis apco dan fru telah mengepong tempat ceramah.

Memang benar apa yang sharpshooter duga Anwar akan ditangkap malam ini.

Namun begitu kita telah bersedia dengan segala kemungkinan.



Ulasan GB

Kita tunggu sebentar lagi.


Video Seks: Konspirasi Yang Bakal Menyebabkan UMNO Tersungkur

Video seks: Konspirasi atau...

Khamis lalu, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Datuk Shazryl Eskay memberi kenyataan kepada polis Bukit Aman dan juga menyerahkan rakaman video seks dan jam tangan yang didakwa milik lelaki yang beraksi dengan seorang pelacur dalam video berkenaan.
Keseluruhan proses bagi siasatan berhubung video lucah yang cuba dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya mengambil masa kira-kira lima jam.

Secara perbandingan, kes video lucah yang dibawa oleh dua daripada tiga “Datuk T” ini amat berat kerana membabitkan ketua pembangkang dan seperti kata Rahim (tentunya secara sinis), orang yang boleh menjadi perdana menteri Malaysia.

Namun, lima jam sahaja… berbanding dengan soal siasat ke atas pembantu politik DAP Teoh Beng Hock yang berlangsung 10 jam dan tamat kira-kira jam 3.30 pagi di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kes Teoh hanya membabitkan dakawaan salah guna dana kira-kira RM2,000. Kita maklum apa yang berlaku kepada Teoh susulan soal siasat itu dan masih mencari kebenaran bersabit kematian tragisnya.

Lima jam untuk Rahim dan Eskay… berbanding penahanan semalaman yang terpaksa ditempohi oleh Anwar sendiri pada 16 Julai 2008 di lokap Polis Kuala Lumpur, semata-mata untuk memberi kenyataan kepada polis berhubung pertuduhan liwat untuk kali kedua.

Dendam...

Sekali lagi, tidak perlu dihuraikan apa berlaku kepada botol mineral, tuala dan berus gigi yang ditinggalkan oleh Anwar dalam bilik penjara itu.

Khamis lalu juga, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menyiasat kes itu di bawah peruntukan undang-undang selain daripada yang membabitkan penayangan filem lucah.

Pembabitan Rahim yang secara langsung mendalangi video lucah sudah pun mencetuskan pelbagai spekulasi yang mengaitkan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada siri pusingan fitnah terbaru untuk mengaibkan Anwar.

Terpalit dengan tuduhan merogol gadis bawah umur yang memusnahkan karier politiknya pada tahun 1994, Rahim tidak dapat menyembunyikan dendamnya terhadap Anwar atas detik hitam hidupnya itu.

Hujah bahawa wujud tangan Umno di sebalik video lucah diperkuatkan dengan laporan Najib menemui Rahim, Eskay dan Bendahari Perkasa Shuaib Lazim di Bangunan Parlimen hari Selasa, selepas identiti Datuk T dibongkar oleh PKR.

Apa pun, polis bukan sahaja harus menjalankan siasatan adil tetapi mesti dilihat menjalankan siasatan secara profesional dan paling penting - adil. Jika tidak, maka akan bergemalah teori polis sekali lagi bersekongkol dengan Umno untuk mencantas Anwar.

Pembohongan...

Tempoh yang agak singkat untuk mengambil keterangan Rahim dan Eskay Khamis lalu sudah pun merangsang pelbagai teori, spekulasi dan perbandingan.

Kredibiliti rapuh polis yang sedia ada tidak dibantu dengan keengganan pasukan itu menahan gandingan Datuk T walaupun mereka melakukan jenayah menayangkan filem lucah di Hotel Seri Carcosa Isnin lalu - satu kesalahan yang membawa hukuman penjara tiga tahun.

Seseorang yang mengikuti sidang akhbar Rahim dan Eskay Selasa lalu tentu tertanya-tanya sama ada dalam mengambil keterangan, polis telah memperinci beberapa pembohongan oleh dua individu itu kepada pihak media.

Eskay dan Rahim mendakwa wartawan menjadi barisan yang diutamakanuntuk ditunjukkan video itu supaya ada penilaian bebas dan berkecuali mengenai kesahihan rakaman itu.

Malah menurut mereka, video itu juga tidak akan diserahkan kepada polis (ketika itu) supaya tidak ada tuduhan polis berat sebelah dalam siasatan.

Namun, apa yang jelas adalah gandingan Datuk T turut berusaha keras memancing wakil rakyat PKR dan individu berpengaruh dalam parti itu.

Justeru video lucah itu ditunjukan kepada ahli parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Badrulhisham Shahrin, seorang pemimpin pelapis PKR yang berwibawa dan berprinsip, sungguhpun kadang kala tidak sehaluan dengan pimpinan tertinggi parti.

Apabila umpan tidak mengena (Johari dan Badrul yakin orang dalam rakaman itu bukan Anwar) maka tiba-tiba Datuk T bersedia bekerjasama dengan polis, malah Rahim memberitahu media “kalau polis nak ambil seluar dalam kami pun, ambillah.”

Nyata polis tidak perlu mengambil seluar dalam Rahim ataupun Eskay (buat masa ini). Namun polis mempunyai tanggungjawab untuk tidak diheret dalam agenda politik mana-mana pihak dan menjalankan siasatan berwibawa, secara professional dan berkecuali
. -mk


Apa Kata najib

Video seks: Najib pertahan Umno tidak terlibat

KUALA LUMPUR, 26 Mac — Umno tidak terlibat dalam skandal pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T”, yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat, kata Presidennya Datuk Seri Najib Razak.

Soalnya sama ada rakaman itu benar atau tidak, sebab kalau benar maknanya ada satu perbuatan mungkar yang berlaku. Itu perkara utama yang perlu ditentukan,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi. “... sebab ada pihak condong untuk bangkitkan soal konspirasi dan sebagainya jadi ini mengalih dari soal pokok sama ada berlaku atau tidak perbuatan yang mungkar itu dan dirakamkan atau tidak,” tambahnya.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat laporan polis Selasa lalu mendakwa wujud pembabitan Najib dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein dalam isu ini.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mahu Najib dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memikul tanggungjawab dalam hal ini ekoran pengakuan “Datuk T’ bahawa mereka yang mendedahkan rakaman video seks ini.

Najib berkata apa yang penting adalah untuk menyiasat kesahihan dan ketulenan video itu kerana parti berpegang kepada prinsip kebenaran sama ada perbuatan itu benar-benar berlaku dan dirakamkan.

Mengenai desakan pihak tertentu agar suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat video tersebut, Najib berkata perkara itu terpulang kepada kerajaan.

Beliau berkata polis perlu membuat siasatan rapi dan profesional bagi menentukan ketulenan video itu agar rakyat yakin dengan laporan hasil siasatan yang akan dibentangkan kepada kerajaan nanti.

“Kebenaran dan kesahihan yang mesti ditentukan terutama oleh polis melalui siasatan rapi lagi profesional, dan kalau ada mereka yang pakar dalam hal ini, tentu (ia) boleh ditentukan oleh pihak polis bagi menyokong siasatan mereka,” katanya dipetik Bernama.

Ketika ditanya mengenai persepsi yang mengatakan bahawa polis tidak adil dalam menjalankan siasatan, Najib berkata, polis perlu bertindak secara profesional dan menggunakan khidmat pakar bagi menyiasat sama ada video itu diubah secara teknikal atau tidak.

“Kalau ada perbuatan untuk mengubah video itu secara teknikal, perkara ini amat mudah dikesan. Kalau nak ‘ubahsuai’ video ini ia cukup mudah dikesan dan dapat ditentukan,” katanya.

Kelmarin, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan seorang ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah memberi keterangan mengenai video itu di Ibu pejabat Polis Bukit Aman serta menyerahkan rakaman video itu serta seutas jam tangan Omega kepada pihak polis.

Seorang lagi “Datuk T” iaitu Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim pula memberi keterangan semalam. Dalam pada itu Najib berkata mesyuarat pada malam ini juga berbincang mengenai jumlah keanggotaan terkini Umno yang mencapai 3,233,586 orang.

Mengenai hukuman penggantungan yang dikenakan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan di Sabah, Datuk Japlin Akim pada 2009 kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang, Najib berkata Majlis Tertinggi bersetuju melepaskan Japlin daripada hukuman itu.

“Mulai hari ini, beliau boleh kembali kepada Umno dengan hak sepenuhnya sebagai anggota,” katanya. Selain itu, Najib berkata Majlis Tertinggi bersetuju untuk mengadakan sambutan Ulangtahun ke-65 Umno pada 11 Mei ini. -TMI


Ulasan GB

Persoalan pokok yang sebenarnya ialah mengapa dan bagaimana Datuk T boleh bebas memiliki dan menayangkan video seks berkenaan? Bukankah perbuatan tersebut menyalahi undang-undang? Di situ bermulanya kes video seks yang heboh diperkatakan sekarang.

Najib cuba mengalih perhatian terhadap persoalan pokok iaitu :

sama ada rakaman itu benar atau tidak, sebab kalau benar maknanya ada satu perbuatan mungkar yang berlaku.

Jawapan Najib itu menjelaskan kepada kita bahawa MEMANG beliau terlibat kerana hendak memaksakan supaya rakaman itu diterima dan dibuktikan.

Kedua beliau mengungkapkan perbuatan "mungkar" - bererti beliau tahu isi kandungan video berkenaan. Bagaimana beliau boleh tahu jika bukan beliau sendiri dalangnya?

Jawapan Najib itu sendiri mengundang persepsi ramai bahawa beliau memang mengharapkan rakyat menerima isi kandungan video itu sebagai perbuatan Anwar.

Sementelah lagi, macamlah Najib itu sendiri bebas-mungkar.

Sekalian rakyat berdoa agar Allah membalasmu kena "campak" lagi baru tahu.

Sikap polis pula yang tidak-adil dan berkecuali malah dilihat condong ke arah konspirator itu amat jelas apabila mereka mengeluarkan kenyataan sebelum ini menyatalan dua ditahan sedangkan ianya dinafikan sendiri oleh para konspirator itu, Rahim dan Eskay yang menyatakan mereka tidak ditahan.

Pada pandangan GB, kali ini Najib dan UMNO akan gagal. It is over done. Apatah lagi ia menjadi beban kepada pihak yang berkonspirasi untuk membuktikan pada tarikh berkenaan wujud perlakuan apa yang Najib sifatkan "mungkar" itu sedangkan telah banyak bukti-bukti alibi, bahawa Anwar tidak berada di mana-mana pada tarikh berkenaan tetapi di rumahnya.


‘Najib’ Dalang Skandal Video Seks ‘Anwar’?

Petaling Jaya: Tatkala masyarakat negara ini gempar dengan klip video seks ahli politik yang seiras dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu lagi klip video muncul di Youtube.

Klip video sepanjang 3 minit 53 saat ini cuba menunjukkan bahawa Perdana Menteri Najib Tun Razak sebagai dalang di sebalik konspirasi klip video yang ditayangkan oleh Datuk T tempoh hari.

Klip ini dimuatnaik oleh pemegang akaun bernama ‘suaramerdeka’. Sedutan klip ini diambil dari sebuah filem pada zaman Hitler sebagai pemimpin negara Jerman.

Meskipun dialog yang diucapkan ialah dalam Bahasa Jerman, sari kata yang tertera ialah dalam Bahasa Malaysia.

Berdasarkan sarikata, ‘Najib’ digambarkan sebagai Hitler yang memarahi tiga watak lain – Tan Sri Rahim Tamby Chik, Dato Shuib Lazim dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

“Orang lain sila keluar sekarang, kecuali, Dato Eskay, Tamby Chik sama Dato Shuib.”

Tidak yakin BN menang di Sarawak

Sarikata yang tertera memberi gambaran seolah-olah ‘Najib’ memulakan skandal video seks terhadap ‘Anwar’ kerana tidak yakin Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dapat memastikan Sarawak kekal dikuasai Barisan Nasional.

Watak ‘Najib’ kemudian memarahi kumpulan orang di sekitarnya menghasilkan klip video seks ‘Anwar’ hitam putih kerana rakyat tidak mempercayainya.

“Kamu semua ni bodoh macam lembu. Aku dah cakap jangan pakai video hitam putih…! Aku dah cakap pakai CCTV jenis HD, kasi warna, bukan hitam putih…”
‘Najib’ turut mengkritik wanita pelacur yang muncul di dalam klip video keluaran Datuk T.

“Dah la tu pelakon betina tak cun.. Tak macam, Altantuya, oi, korang tak pernah tengok ke, Altantuya macam mana?” -FMT





[Video] Reformasi Bersemarak Semula Selepas Polis Ceroboh Ceramah Anwar

Ceramah Anwar tukar ‘hodoh’, polis didakwa ganggu diserang

GOMBAK, 26 Mac — Majlis pelancaran “Datuk Najib Altantuya (DNA)” anjuran PKR di sini malam tadi berubah menjadi ‘hodoh’ apabila anggota polis cuba menghentikan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada meneruskan ucapannya, menyebabkan penyokong beliau marah lalu menyerang pasukan keselamatan.

Ketua Umum PKR itu, yang merupakan pemimpin terakhir berceramah malam tadi, telah menyampaikan ucapannya sekitar 13 minit ketika polis mula campur tangan sedangkan dikatakan telah diberi 15 minit untuk berucap.

Kira-kira 10 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) diletakkan untuk mengawal tempat majlis itu diadakan. Kebanyakan hadiirin, penyokong PR mula membaling kerusi dan botol air ke atas polis ketika cuba untuk menghalang Anwar daripada meneruskan ucapannya.

Anwar (gambar) sendiri telah berusaha untuk menenangkan hadirin tetapi suaranya tenggelam dalam kekecohan pada majlis dihadiri sekitar 800 orang.

Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin mengesahkan pihak polis menahan beberapa ahlinya. “Ada tahanan, anggota Angkatan Muda PKR ditahan di balai polis Taman Melawati,” kata Shamsul Iskandar kepada pemberita.

“Cara mereka (polis) bertindak, cuba untuk menahan beliau (Anwar) malam ini adalah sesuatu tidak wajar,” kata beliau.

“Kesabaran rakyat ada batasan,” kata beliau. Anwar tidak ditahan dan kemudian meninggalkan majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu membuat serangan berhubung skandal pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T” dengan mendakwa pentadbiran Najib berkonspirasi untuk mengakhiri kerjaya politiknya.

Tiga “Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim mengakui melakukan pendedahan tersebut Isnin lalu.

Ketiga-tiga memberikan keterangan kepada polis semalam dan kelmarin. “Abdul Rahim adalah penjenayah, perogol dan beliau dijadikan pemimpin... mereka merakamkan bahan lucah dan mereka bebas,” kata Anwar.

“Saya ditahan dan dilayan macam anjing tetapi anda membiarkan mereka bebas selepas kenyataan dirakamkan,” kata Anwar lagi, dipercayai merujuk kepada penahanan beliau pada September 1998 dan Julai 2008.

Sehubungan itu katanya, sokongan rakyat diperlukan untuk menolak Umno dan menyampaikan mereka “satu pengajaran.” “Mereka ingat kita ini bodoh, ajar pemimpin-pemimpin Umno dan BN... beritahu mereka itu bodoh dan tolol,” kata Anwar lagi.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Selangor Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, pihaknya meluahkan rasa kecawa dan mengecam tindakan pihak polis yang mengganggu majlis pelancaran DNA di Taman Melawati malam tadi.

“Tindakan ini mengakibatkan kecederaan kepada rakyat yang hadir termasuk wartawan dan pimpinan Angkatan Muda Keadilan. Lebih malang adalah apabila pihak polis bertindak menyalahi undang-undang dengan mengganggu majlis aman ini yang diadakan di kawasan persendirian.

“Pihak polis jelas menunjukkan sikap tidak profesional apabila menyerbu masuk kawasan persendirian ini dan cuba mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim di saat-saat pihak Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun menutup ceramah beliau,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi.

Kata beliau, tindakan seperti ini membuktikan bahawa Umno-BN diketuai Datuk Seri Najib Razak takut kepada kebangkitan rakyat dan kebenaran akan terpancar menutupi fitnah yang cuba ditaburi dalam kes Saiful Bukhari dan video seks “Datuk T”.

“Di akhir kenyataan ini, AMK Selangor ingin menyeru agar pihak polis tidak perlu rasa takut dengan arahan dan tekanan pihak pemerintah Umno-BN. polis harus bertindak secara profesional dan berkhidmat kepada rakyat, bukan BN,” katanya lagi. -TMI


Ceramah Anwar diganggu FRU, tiga ditahan

Tiga anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditahan polis dan kekecohan berlaku semasa ceramah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Gombak malam tadi.

Kira-kira 10 anggota polis bertindak menghalang ketua umum PKR itu daripada berucap lebih daripada 15 minit yang dibenarkan.

Anwar ketika itu sedang berucap di majlis pelancaran kempen DNA (Datuk Najib Altantuya) yang dihadiri kira-kira 1,500 orang, kebanyakannya penyokong PKR.
Hadirin tidak puashati dengan arahan supaya Anwar berhenti berucap, dan keadaan menjadi kecoh. Kerusi, botol air, bata dan kayu kelihatan dibaling ke arah anggota polis anti-rusuhan.

Pada satu ketika, apabila anggota polis menghampiri pentas, para penyokong mula berkumpul di situ dan enggan memberi laluan.

Anggota Unit simpanan persekutuan (FRU) kemudiannya terpaksa menggunakan perisai untuk menolak mereka yang menutup laluan.

Bagaimanapun, Anwar dan timbalannya Azmin Ali, yang juga ahli parlimen Gombak, dibawa beredar dari pentas, tetapi orang ramai yang kelihatan marah tetap berkumpul di situ.

Terpaksa berundur

Anggota polis akhirnya terpaksa berundur apabila hadirin menjadi agresif.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin berkata tiga orang yang ditahan ialah Maslan Abdul Raus dan Helmi Rizal manakala seorang lagi yang belum dikenali, dan masing-masing dibawa ke balai polis Hulu Kelang dan ibupejabat polis Ampang.

Anwar, yang menghadiri satu lagi majlis makan malam PKR di Kuala Selangor, tiba 30 minit sebelum kekecohan itu berlaku.

Para hadirin berdiri menyambut ketibaan beliau kerana mereka mahu mendengar penjelasannya ekoran pendedahan terbaru video seks yang dikaitan dengannya.

Pada ucapannya itu, Anwar mengingatkan perdana menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor supaya tidak menggunakan taktik kotor tetapi lawan secara bermaruah di gelanggang pilihan raya.

"Dia guna media, kecam kita dari pagi sampai petang sampai malam, Kita nak jawab, tak boleh, konon tidak ada permit. Saya tak salahkan OCPD, dia ikut arahan saja.

“Saya salahkan Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan isteri dia Rosmah Mansor yang takut berdepan dengan kita," kata Anwar.

Tunggu pilihan raya

"Saya mahu beritahu Najib supaya tunggu pilihan raya nanti. Jangan takbur," tambah Anwar kepada laungan takbir dan reformasi oleh penyokong Pakatan.

Anwar berkata pihak polis dan Najib malah seluruh rakyat tahu siapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, pengerusi Risda dan bekas Ketua Menteri Melaka yang mengaku mendalangi penayangan video lucah fitnah untuk mengaibkannya di Hotel Seri Carcosa Isnin lalu.

Rahim terpalit dengan tuduhan merogol seorang pelajar sekolah dan dakwaan terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum meletak jawatan sebagai ketua menteri Melaka pada tahun 1994.

"Sekarang ini video seks pula. Saya nak tanya, polis tak tahu ke siapa Rahim Thamby Chik? Tak tahu ke kes dia dulu di Melaka? Orang ini nak jadi dewa, saya pulak kena jadi penjenayah," katanya.

"Saya salahkan Najib dan Rosmah kerana tidak berhadapan dengan saya. Orang rasuah dan penjenayah diangkat. Kita mahu sistem yang demokratik. Mereka mahu alih pandangan kita.

“Kita bukan bodoh. Sebab apa dia (Datuk T) tidak tangkap, sebab dia pencacai Umno," kata Anwar dengan marah.

Ketua pembangkang itu bagaimanapun terpaksa meringkaskan ucapannya itu kerana campurtangan polis untuk menyuraikan majlis ceramah berkenaan.

Namun beliau sempat memberi peringatan kepada Najib supaya bertaubat dan menghentikan penggunaan amalan keji untuk mencari kelebihan politik.

"Apa jenis pemimpin ini. Saya hendak tanya Rosmah, tanya Najib, kamu ada anak, kamu ada bini, kamu ada keluarga, boleh orang aibkan keluarga kamu begitu rupa. Manusia jenis apa macam ini?" tanya Anwar dengan nada kesal. -mk









Tayangan Video Seks - Apa Kata TG Nik Aziz?

Kota Bharu - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.

Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.

Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit ­kerana ia dilaporkan oleh ­semua media massa di negara ini.

“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.

“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas ­menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.

“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah ­sebaliknya.

“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada umum, macam tak ada ­agama,”
katanya.

Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri ­Anwar Ibrahim dipertontonkan kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim ­Tamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T) mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit.



Mustahil Anwar terlibat

KUALA TERENGGANU – “Mustahil Anwar terlibat video salah laku seks memandangkan saya bersama beliau pada petang hari kejadian,” demikian kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Dungun, Abd Rahman Yusof.

Beliau berkata demi-kian ketika mempersoalkan video salah laku seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Abd Rahman menganggap isu yang kononnya dibongkar satu kumpulan diketuai Datuk ‘T’ itu hanyalah fitnah sambil menyifatkannya melampau dan melebihi had.

Pada 21 Februari lalu, saya ada di rumah Anwar kerana terlibat dengan mesyuarat staf bagi tujuan pengurusan program pada bulan itu dan Mac ini. Jadi bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku, sedangkan kami bersama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang individu menggelari dirinya Datuk ‘T’ mendedahkan kepada media didakwa rakaman video salah laku seks pemimpin tertinggi PKR di hotel.

Rakaman berdurasi 21 minit itu menunjukkan individu terbabit mengadakan hubungan seks dengan pelacur asing, dirakam pada 21 Februari lalu.

Abd Rahman turut khuatir sekiranya semakin ramai orang Islam di negara ini ‘difasikkan’ berikutan fitnah yang dilempar terhadap Anwar.

Beliau turut difahamkan bahawa video itu hanya merakam individu dikatakan Anwar dari pandangan tepi, selain bentuk badan tidak menunjukkan bahawa ia adalah Anwar.

“Saya bimbang orang ramai yang percaya dan menyebarkan perkara sedemikian boleh termasuk golongan fasik,” katanya. -SH


Gadis Bawah Umur Dah 25 Kali Adakan Hubungan Seks

Chukai – Disangkakan demam panas, rupa-rupanya sakit mahu bersalin.

Itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan seorang bapa yang hanya mengetahui anak gadisnya sarat mengandung dan cuma menunggu saat untuk melahirkan bayi ketika menghantar anaknya itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana suhu badannya panas.

Hati bapa mana yang tidak hancur apabila mengetahui berita berkenaan daripada doktor, apatah lagi si anak gadis masih di bawah umur.

Bagaimanapun, demi maruah, bapa berkenaan nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, di sini, Selasa lalu.

Meskipun sudah sarat mengandung, namun ‘perut membusung’ gadis itu yang dikatakan tidak kelihatan menyebabkan bapa terbabit dan ahli keluarga lain tidak menyedari anaknya itu mengandung luar nikah.

Sinar Harian difahamkan, pada hari sama bapa berkenaan membuat laporan polis, anak gadisnya yang ditahan di wad juga telah selamat bersalin di Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kes itu berkata, suspek bagi kes berkenaan adalah teman lelaki mangsa sendiri.

“Suspek berumur 19 tahun dan berasal dari Bukit Kelulut, Marang. Sekarang kita sedang mengesan suspek.


“Berdasarkan soal siasat awal juga, mangsa yang sudah tidak bersekolah turut mengakui telah melakukan hubungan seks lebih daripada 25 kali bersama teman lelakinya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawal pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terlalu bebas seterusnya mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku. -SH

Ulasan GB

Nampaknya gejala seks di kalangan remaja semakin menjadi-jadi dan kes buang anak juga turut meningkat.

Episod di atas hanya sekelumit daripada beberapa banyak lagi kes yang tidak dilaporkan.

Apabila sistem kehidupan tidak dipandu oleh roh Islam dan suasana persekitaran penuh dengan bahan hedonisma, akibatnya ialah kehancuran.


[Video & Bergambar] Bencana Akibatkan 74 Maut Di Myanmar, Seorang Di Thailand

Yangon: Sekurang-kurangnya 75 orang maut apabila satu gempa bumi kuat melanda Myanmar lewat kelmarin, kata para pegawai semalam, di tengah-tengah kebimbangan angka itu akan meningkat dengan berita yang mula datang dari kawasan terpencil.

Gegaran itu boleh dirasai sejauh Bangkok, hampir 800 kilometer dari pusat gempa itu, serta Hanoi di Vietnam dan beberapa tempat di China.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berukuran 6.8 pada skala Richter.

Seorang pegawai Myanmar berkata 74 orang mati dan 110 cedera di lima kawasan dekat pusat gempa itu. Sebanyak 225 rumah dan sembilan bangunan pemerintah runtuh dalam kejadian itu.

'Kami masih cuba hubungi kawasan-kawasan terpencil. Tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan sedang cuba mencari orang-orang cedera di kawasan- kawasan terjejas itu, tetapi jalan- jalan masih ditutup,' kata pegawai itu.

Di seberang sempadan, pihak berkuasa Thailand berkata seorang wanita berusia 52 tahun mati apabila sebuah tembok rumahnya roboh.

Di Yangon, pengarah Myanmar bagi badan kebajikan World Vision, Encik Chris Herink, berkata beberapa tempat terjejas di Kengtung dan Tachileik tetapi tidak nampak kerosakan besar prasarana, walaupun beberapa bangunan retak dan bekalan air terputus di beberapa tempat.

'Yang menjadi kebimbangan nyata ialah kawasan desa. Kawasan di sempadan Thailand dan Laos, atau Segitiga Emas, ialah kawasan berbukit-bukit. Ada banyak kegiatan niaga di situ,' kata Encik Herink.

World Vision membantu sara hidup sekitar 7,000 kanak-ka nak, yang ditaja oleh penderma dari luar negara, di tempat-tempat terjejas.

'Kami ingin memastikan mereka dan keluarga mereka selamat. Kami juga menawarkan bantuan kepada mereka dahulu, selain membantu orang lain di situ yang perlukan bantuan kemanusiaan,' tambahnya.

Gempa itu melanda 90 kilometer ke utara Chiang Rai dan 235 kilometer ke utara timur laut Chiang Mai.

Jabatan meteorologi Thailand berkata semalam ia telah merakam enam gegaran susulan kuat.

Penduduk di Chiang Rai lari dari rumah mereka lagi semalam apabila berlaku lagi gegaran susulan.

Gempa itu dirasakan di seluruh wilayah Yunnan di barat daya China namun tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan semalam, menurut China National Radio.

Ada penduduk di Hanoi juga lari dari rumah mereka apabila terasa gegaran. Namun penolong pengarah badan Institut Geofizik Global di ibu kota Vietnam itu tidak melaporkan sebarang kematian atau kerosakan.

Laos tidak melaporkan sebarang kematian atau kerosakan, kata jurucakapnya, Encik Khenthong Nuanthasing.

Tiada amaran tsunami berikutan gempa di Myanmar itu kerana menurut pakar seismologi Amerika, gempa itu jauh di pedalaman. -- AFP.
















Ramai Trauma Kopi Campur Gelatin Babi

Susulan mengenai pendedahan serbuk kopi bercampur gelatin babi oleh sebuah akhbar tabloid (Harian Metro) semalam, ramai yang tersentak kerana selama ini mereka tidak mengetahui lansung bahawa kopi yang mereka minum mempunyai unsur yang tidak halal.

Ada yang trauma, kerana telah beberapa kali mengunjungi kedai tersebut yang menghidangkan kopi bercampur gelatin babi kerana tidak menaruh apa-apa syak untuk sebuah kedai yang hanya menyediakan minuman ringan sekalipun tidak mempunyai logo HALAL dipamerkan di kedai berkenaan.

Semalam, akhbar tersebut menyiarkan berita sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.

Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang dihubungi oleh akhbar berkenaan turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.

Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal.

“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya.

Di dalam sebuah lamanweb, hazrey.com yange memetik beberapa perbincangan di Facebook mencatatkan:

Sumber sumber di Jabatan Agama Islam Johor yang aku hubungi tadi mengesahkan jabatan itu sudah memperolehi keputusan dari Jabatan Kimia di mana terdapat gelatin babi dalam kopi terkenal itu.

Manakala madu yang digunakan terdapat kandungan alkohol.

Aku dah puas melantak kopi Kluang railway ni. Adehhh..Hawau tul lah.

Hakikatnya, enforcement perlu lebih tegas dan penyiaran maklumat seperti ini perlu dihebahkan supaya umat Islam tak terperdaya
.


Sebuah portal yang dikendalikan oleh WakTafa bernama Selatan Online turut menyalin semula artikel yang tersiar di blog ini semalam dan seorang pengunjung yang menggunakan nama buluhkasap7-1 menulis di ruangan komentar:

Ya ALLAH, hamba MU yang kurang membuat pemeriksaan sudah dua kali ke cafe tersebut. Semasa bertugas di Kluang dulu, hamba Mu boleh di kata kan setiap petang melantak kopi dan roti bun di perkarangan Railway Station Kluang. Di kala itu cafe tersebut belum ujud lagi.

Hamba Mu ke cafe tersebut gara gara kerana mengikut sahabat yang tinggal di Kluang menyatakan bahawa di cafe tersebut kesemua yang di sajikan itu halal. Hamba MU juga di maklumkan bahawa mee rebus yang di jual di sediakan oleh orang melayu penduduk sebuah taman di Kluang.

Ya ALLAH, kepada MU hamba berserah dan kepada Mu jua hamba Mu memohon keampunan.


Hari ini sebuah akhbar tabloid lain, Kosmo pula menyiarkan berita bahawa pihak pengusaha kedai minum tersebut membuat laporan polis kerana katanya pretasi pernigaannya terjejas teruk akibat penyiaran berita berkenaan.

"Kami tidak tahu apa-apa. Kami tidak dapat sebarang surat atau maklumat daripada Jabatan Kesihatan atau Jabatan Agama Johor (JAJ)."

Demikian tegas seorang pengusaha kopitiam terkenal di sebuah daerah di Johor yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chong apabila diajukan soalan mengenai laporan bahawa premisnya dikatakan menghidangkan kopi bercampur gelatin babi, Kosmo dipetik.

Menurutnya, dia telah menerima banyak khabar angin termasuk melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Internet mengenai isu tersebut sejak beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, Ah Chong memberitahu, dia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kluang pada Rabu lalu mengenai penyebaran perkara tersebut kerana ia telah menjejaskan nama baik perniagaannya.

"Hari ini (semalam) kakitangan Jabatan Kesihatan dari Johor Bahru telah datang ke premis kami dan beberapa kedai lain untuk mengambil sampel baru," katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Ah Chong, keputusan ujian sampel tersebut akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya sebelum keputusan dikeluarkan.

Persoalan kini, telah ramai umat Islam terpedaya dengan hidangan minuman berkenaan kerana tidak ada sebarang tanda di kedai berkenaan yang menyatakan ia menyajikan bahan yang tidak halal.

Ada juga umat Islam yang tidak memperduli sangat hal berkenaan dan mengambil sikap bersahaja mengenainya. Masih terus mengunjungi untuk menghirup kopi yang dikatanya "sangat sedap" kerana sudah ketagih dengannya.

Yang perihatin terhadap agamanya pula, sudah enggan untuk meminumnya lagi dan tidak dapat membayangkan betapa bahan tidak halal itu sudah mendarah daging di dalam tubuhnya.

Moralnya pendedahan ini: Bahawa kita perlu peka dan perihatin terhadpa apa juga bahan pemakanan yang kita ambil sehari-hari, daripada mana hidangannya, siapa menyediakan dan yang lebih penting apa pula kandungannya.

Kita tidak dapat menyalahkan 100% kepada pengusaha tersebut lantaran kemungkinan beliau tidak menyedari bahawa umat Islam adalah amat sensitif terhadap hal-hal yang menyangkut permakanan.

Namun adalah terlebih baik bagi beliau memohon status HALAL dan kemudian mengizinkan kedainya disperiksa oleh Jabatan Agama Islam negeri secara berkala bagi mempastikan dia tidak terjebak di dalam memperdayakan rakyat beragama Islam mengambil sesuatu yang diharamkan oleh agama mereka.

Ada yang menghantar email kepada GB apa yang perlu dilakukan kerana selama ini mereka tidka tahu menahu lansung mengenai kehadiran gelatin babi berkenaan.

Gb tidak mempunyai authoriti untuk menjawab tetapi sebagai umat Islam, selepas tersedar melakukan kesilapan kita sewajarnya bertaubat dan tidak mengulanginya lagi.

Yang lepas itu lepas, dan semuga Allah mengampuni dan memaafkan kesalahan kita lantaran kejahilan dan kealpaan kita untuk meneliti sebelum melakukannya.

Hadith Nabi s.a.w. yang maksudnya berbunyi :

Dari Ibnu Abbas r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:”Sesungguhnya Allah memaafkan bagiku dari umatku akan kesilapan atau kelupaan atau apa yang dipaksakan mereka atasnya.” (Ibnu Majah dan al-Baihaqi)








Mengerikan: Perempuan Parah Disimbah Asid Oleh Lelaki Misteri

Kuala Lumpur: Seorang lelaki misteri bermotosikal sengaja menyimbah cecair dipercayai asid ke atas wanita yang ditemui di sekitar Brickfields di sini tanpa diketahui motif.

Malah, dalam kejadian terbaru kelmarin dan semalam, tiga wanita menjadi mangsa terkena simbahan cecair dilempar lelaki itu dengan seorang daripadanya cedera parah di muka dan badan serta dikhuatiri buta kekal pada kedua-dua matanya dalam kejadian berasingan di sekitar Brickfields.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 5.30 petang mambabitkan dua pegawai eksekutif di sebuah syarikat manakala kejadian kedua kira-kira jam 7 pagi, semalam membabitkan guru wanita yang sedang berjalan ke sekolahnya.

Mereka dihantar ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mangsa pertama, Rohainah Hussin, 30, berkata, kejadian berlaku pantas menyebabkan dunianya gelap tiba-tiba.

Beliau berkata, ketika itu, dia bersama rakannya dalam perjalanan ke tempat letak kereta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Brickfields sebelum seorang lelaki bermotosikal melempar sejenis cecair ke arah mereka.

“Cecair itu terkena muka saya menyebabkan kedua-dua belah mata rosak, manakala muka sebelah kiri hingga ke leher terbakar.

“Rakan saya di sebelah juga terkena tempias di mukanya.

“Selepas kejadian, saya hanya mampu meminta tolong sebelum berlari bersama rakan ke arah paip berdekatan untuk membasuh muka,” katanya ketika ditemui di PPUM di sini, semalam.

Katanya, dalam keadaan tidak nampak itu, dia hanya mampu berpegang kepada rakannya sambil berjalan ke arah klinik berdekatan sebelum dibantu seorang lelaki.

Sementara itu, Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Khalid mengesahkan kejadian. -hm

Ulasan GB

Apakah ini bahawa gambaran negara tidak selamat apabila pejalan kaki dengan tiba-tiba disimbah asid sehingga tidak diketahui siapa melakukannya dan apa motifnya?

Persekitaran kita seperti sudah tidak kondusif dari aspek keselamatan.

Kita tidak menyalahkan sesiapa tetapi seolah-olah penjenayah kini berleluasa dan boleh melakukan apa saja, di mana-mana dan ke atas sesiapa juga.

Nampaknya kompetensi polis kini tercabar. Ia berlaku tatkala negara menyambut Hari Polis yang ke 204 semalam.

Kejadian malang ini sepatutnya membuka semua pihak, bahawa perilaku jenayah berada di mana-mana dan rakyat biasa tanpa mengira siapa menjadi mangsa.


Amaran Ahli Sains: Bukti DNA Boleh Dipalsukan & Diletakkan Di Lokasi Jenayah

Ahli-ahli sains telah membuktikan wujud kebarangkalian pemalsuan bukti DNA, sekaligus berpotensi memusnahkan kredibiliti teknik utama forensik.

Dengan menggunakan peralatan yang boleh dijumpai di makmal-makmal di seluruh negara, mereka melenyapkan semua kesan DNA dari sampel darah dan menambah bahan genetik individu lain pada sampel tersebut.

Pemalsuan ini sangat berjaya sehingga mampu memperdaya ahli-ahli sains yang menjalankan ujian DNA cap jari di mahkamah-mahkamah di Amerika Syarikat.

Perkembangan ini menimbulkan kemungkinan sampel darah atau air liur diletakkan di lokasi di mana jenayah berlaku, sehingga mengakibatkan mereka yang tidak bersalah dihukum manakala mereka yang bersalah terlepas bebas.

Menurut Dan Frumkin, penyelidik yang menghasilkan DNA palsu menyatakan: ‘Jika anda boleh memalsukan darah, air liur atau mana-mana tisu, anda boleh mencipta lokasi jenayah. Mana-mana pelajar jurusan biologi pun mampu melakukannya.

Dr. Frumkin -- yang mendakwa bahawa syarikatnya telah berjaya mencipta kit untuk membezakan sampel DNA sebenar dengan yang palsu – menggunakan dua teknik untuk memalsukan bukti.

Pada peringkat awal, mereka akan akan mengasingkan sampel minit bahan genetik dari helaian rambut dan menggandakannya beberapa kali.

Kemudian mereka akan memasukkan DNA ini ke dalam sel darah yang telah diasingkan dari segala klu genetik pemilik asal.

Kini sel darah ini mengandungi cap jari genetik milik individu pertama, demikian menurut laporan Journal Forensic Science International: Genetics.

Secara teori, ianya boleh diletakkan di tempat kejadian jenayah. Rambut, gula getah, puntung rokok, cawan dan gelas boleh membekalkan sampel awal DNA.

Syarikat ini juga telah membangunkan satu teknik yang rumit, yang mana bergantung kepada pengetahuan mengenai cap jari DNA - satu 'kod bar' genetik daripada 20 set kedudukan-kedudukan pada satu rantaian DNA seseorang individu.

Ahli sains ini telah membina 'perpustakaan' yang mengandungi ratusan cebisan DNA yang merangkumi semua kod genetik yang muncul di tempat-tempat yang telah diperiksa oleh polis. Untuk membuat padanan satu-satu cap jari, mereka hanya perlu mencari dari 'perpustakaan' untuk gabungan yang betul dan dicampurkan di dalam tabung uji.

Para pengkaji percaya, lambat laun teknologi ini bakal digunakan oleh penjenayah.

Mereka memberi amaran: 'Bukti DNA adalah kunci kepada sabitan atau pembebasan suspek daripada pelbagai bentuk jenayah, waima dari rogol hinggalah bunuh. Namun begitu, kita telah terlepas perhatian akan kemungkinan yang menggusarkan bahawa bukti DNA boleh dipalsukan.

'DNA dengan profil genetik yang diinginkan dengan mudah disintesis (baca: dihasilkan melalui makmal) dengan hanya menggunakan teknik biologikal biasa dan yang baru dibangunkan, diintegrasi ke dalam tisu manusia atau dibubuh pada permukaan-permukaan objek, dan kemudiannya diletakkan di tempat kejadian jenayah.'

Namun pakar British berpendapat adalah suatu yang hampir mustahil bagi mana-mana penjenayah untuk melakukan sesuatu seperti itu. Dr. Gill Tully dari Perkhidmatan Sains Forensik Kerajaan menyatakan:

'Anda memerlukan satu makmal biologi molekul yang lengkap, peralatan yang bernilai ribuan pound dan seorang ahli sains biologi molekul yang cekap atau juruteknik makmal.’

'Dan majoriti daripada mereka yang terlibat dengan jenayah tidak akan mempunyai akses kepada bahan-bahan ini.'

Dr. John Manlove, seorang ahli sains forensik dan saksi pakar di dalam kes-kes mahkamah, berkata: 'Ya, ianya satu kemungkinan dari segi sains, tetapi ia adalah untuk seseorang yang benar-benar terdesak.

'DNA adalah sangat penting di dalam sesuatu kes, tetapi penyiasatan tidak harus berasaskan kepada bukti DNA semata-mata.'

Diterjemahkan oleh Dr. Afif Bahardin dari artikel berjudul DNA evidence can be fabricated and planted at crime scenes, scientists warn” tulisan Fiona Macrae yang diterbitkan di laman The Daily Mail UK pada 19 Ogos 2009.

Ulasan GB

Maka tidah hairan jika ada dikatakan DNA lain di dubur Saiful.

Keterangan-keterangan ahli forensik di dalam kes liwat Saiful yang berjalan kini hanya berdasarkan kepada ujian samada wujudnya DNA di bahan-bahan bukti yang dikemukakan.

Pengujian DNA tersebut lansung tidak menyentuh bila, bagaimana dan siapa yang telah meletakkan DNA itu di situ.

Justeru itu, penelitian yang hanya bersandarkan teori DNA untuk membuktikan wujudnya atau berlakunya sesuatu kesalahan jenayah tidak sebenarnya tepat dan tidak boleh diterima bulat-bulat.