14 Ogo 2013

MCA Buat Laporan Polis Ke Atas Papa Gomo

Gara-gara kenyataan melampau, Exco Pemuda MCA, Chong Sin Woon bersama rakannya membuat laporan polis terhadap penulis blog, Papa Gomo di Balai Polis Dang Wangi atas tuduhan sengaja mencetuskan sentimen perkauman.

Ketua Pemuda Biro Pendidikan Pemuda MCA itu, berkata tindakan Papa Gomo memanggil masyarakat Cina sebagai 'Pendatang" yang diletakkan di laman Facebook penulis blog itu disifatkan melampau.

"Kita mahu polis mengambil tindakan tegas terhadap Papa Gomo dan mendakwa beliau mengikut Akta Hasutan. Malah bukan kepada dia saja tetapi siapa pun yang sengaja mancetuskan ketegangan kaum di negara ini harus disiasat,"katanya seperti dilaporkan akhbar China Press, hari ini.

Chong berkata, jika kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap isu yang membabitkan sensiviti kaum, dan membiarkan pihak tidak bertanggugjawab terus menyebarkan fitnah maka ia tidak mendatangkan kebaikan kepada keharmonian negara ini.

Meskipun identiti Papa Gomo ini masih terus menjadi misteri namun, beliau berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dapat melakukan siasatan dan mendedahkan hal ini.

Katanya, isu membabitkan perkauman semakin tegang apabila berakhirnya Pilihan Raya Umum lalu ekoran dari keputusan majoriti kaum Cina yang beralih kepada Pakatan Rakyat.

Ia menyebabkan parti Melayu, Umno menuduh masyarat Cina sebagai pembelot.

Dalam masa sama, Chong juga menegaskan pelaksanaan perlu diambil ke atas mereka yang mencabar undang-undang negara ini.

Katanya, setakat ini pihaknya sudah mengumpul bukti untuk dikemukakan ke mahkamah bagi negeri Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.

Selain dari menggelarkan kaum Cina sebagai pendatang, Papa Gomo turut didakwa menulis kenyataan seperti "Kita Melayu patut bersatu menentang Cina", "Cina harus balik ke negara China" dalam laman Facebooknya. -TMI

ULASAN GB

Kita sama-sama tungu dan lihat samada kali ini polis sedia menangkap dan menyiasat papagomo.

Walaupun banyak aduan mengenai papagomo telah dilaporkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat, nampaknya pihak polis tidak lansung mengambil tindakan ke atas papagomo. Kali ini, pemimpin dari MCA, sekutu Barisan Nasional sendiri membuat laporan polis. Masih berdiam dirikah pihak polis ke atas blogger UMNO ini yang ternyata mengeluarkan kenyataan rasis dan hasutan ini?

[PANAS] Bersihkan Dulu Daftar Pemilih Sebelum Usul Sistem Baru Pilihanraya


Cadangan pembaharuan sistem pilihan raya dengan menggabungkan format majoriti mudah (first past the post) dan nisbah pewakilan (proportional representative) langsung tidak menarik minat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) walaupun beberapa pihak lain menyokongnya.

Pengerusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus segera menghentikan segala cadangan pembaharuan sistem pilihan raya negara sehingga mereka membersihkan daftar pemilih sedia ada .

Katanya, ini kerana perkara asas dalam pilihan raya iaitu daftar pemilih harus dipercayai terlebih dahulu sebelum cadangan lain dibuat.

Beliau berkata, SPR jangan cuba mengalih perhatian masyarakat dengan berlagak mahu memperbaiki kesilapan tanpa ada usaha membersihkan daftar pemilih bagi meraih kepercayaan rakyat terhadap sistem pilihan raya negara.

“Daftar pemilih kini sangat tidak boleh dipercayai, maka menjadi tanggungjawab SPR untuk segera membersihkan daftar pemilih supaya usaha membincangkan langkah pembaharuan SPR seterusnya dijalankan.

“Itu cabaran SPR. Jika mereka benar-benar tulus untuk melakukan pembaharuan, bersihkan daftar pemilih,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berpendapat kajian yang mendalam perlu dilakukan sebelum Malaysia diperkenalkan dengan dwi sistem pilihan raya kerana matlamat sebenar pilihan raya adalah bagi memastikan suara pengundi disampaikan oleh pemimpin yang mewakili mereka.

Katanya, sama ada sistem majoriti mudah diamalkan Malaysia sekarang atau nisbah pewakilan tidak menjadi isu kerana yang penting adalah hak dan suara rakyat didengari berdasarkan prinsip demokrasi melalui saluran pilihan raya.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Sufian pula menyambut baik cadangan SPR bagi menjalankan dwi sistem pilihan raya kerana melihatkan keterbukaan pengendali pilihan raya itu dalam memahami keperluan pilihan raya semasa.

Beliau menjelaskan, sistem majoriti mudah seperti yang diamalkan sekarang tidak wujud keseimbangan dalam jumlah undi yang diperolehi berbanding dengan jumlah kerusi yang dimenangi sesebuah parti.

“Sebagai contoh, Pakatan Rakyat (PR) di Selangor memenangi kira-kira 60 peratus undi popular tetapi mereka memperoleh lebih dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Begitu juga kisahnya apa yang terjadi kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) di peringkat persekutuan apabila berjaya mengekalkan tampok pemerintahan namun ditewaskan PR melalui undi popular.


“Itu adalah antara kelemahan sistem majoriti mudah maka terdapat kaedah bagi mengatasi masalah sedemikian dengan menggunakan kaedah nisbah pewakilan atau dwi sistem yang menggabungkan kedua-dua sistem berkenaan,” katanya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan bahawa sistem pilihan raya di Malaysia berlandaskan kemenangan mengikut majoriti mudah dan kemenangan perwakilan mengikut kawasan.

Beliau berkata, berasaskan sistem itu yang diguna pakai di Malaysia sejak PRU pertama pada 1959 menetapkan parti yang berhak membentuk kerajaan, bukan berasaskan jumlah undi popular yang diperoleh sebaliknya jumlah kerusi Parlimen dimenangi.

Katanya, dalam konteks ini walaupun parti pembangkang memperoleh jumlah besar undi iaitu sebanyak 5,623,984, mereka hanya memenangi 89 kerusi bahagian pilihan raya.

"Sebaliknya, BN memperoleh jumlah undi sebanyak 5,237,699, namun dari sudut jumlah bahagian pilihan raya, BN memenangi sebanyak 133 kerusi Parlimen dan berhak membentuk kerajaan di peringkat pusat.

"Sistem ini juga digunakan bagi menentukan parti yang berhak untuk menubuhkan kerajaan baik di peringkat pusat atau pun negeri, iaitu parti yang mendapat jumlah perwakilan (kerusi) terbanyak walaupun memperoleh majoriti satu kerusi berhak membentuk kerajaan," katanya seperti dilaporkan Bernama selang beberapa hari selepas PRU13. -TMI

EDISI MALAYSIA AMAN: Ketika Bersolat Pun Kena Ragut


Kak Ani (kanan) melakonkan semula bagaimana bahu kirinya disentuh penjenayah ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di sebuah masjid di Chendering.

Kuala Terengganu - Sebelum ini, kita hanya mendengar duit tabung masjid dicuri, beg tangan dan barang berharga milik jemaah dilarikan ketika sedang solat, tetapi kejadian berbeza dialami seorang jemaah wanita di sebuah masjid di Chendering, di sini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira jam 8.40 malam, ibu empat anak itu nyaris menjadi mangsa ragut oleh penjenayah yang menutup muka dengan tuala ketika sedang menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan.

Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 52, ketika kejadian, dia bersama tujuh lagi jemaah wanita sedang bersolat di ruang solat tingkat bawah, manakala jemaah lelaki di ruang solat tingkat atas masjid.

“Disebabkan jemaah tidak ramai, jadi kami hanya membuat satu saf sahaja dan saya mengambil tempat di kedudukan paling tengah.

“Semasa kejadian, imam sedang membaca surah al-Fatihah untuk rakaat kedua. Ketika sedang khusyuk itu, tiba-tiba bahu saya sebelah kiri dicengkam dengan kuat sebelum leher diraba oleh penjenayah yang muncul dari arah belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering, di sini, semalam.

Kak Ani berkata, terkejut dengan situasi itu, dia terus memalingkan muka dan mendapati seorang lelaki bertubuh sasa yang menutup muka dengan sehelai tuala berdiri di belakangnya.

“Saya menjerit sekuat hati kerana terkejut dan disebabkan jeritan saya itu, semua jemaah wanita terpaksa memberhentikan solat untuk membantu.

“Malah dua daripada mereka bertindak berani cuba mengejar penjenayah terbabit tetapi gagal,” katanya.

Jelasnya lagi, penjenayah yang mengenakan baju T dan berseluar jeans itu mungkin bukan sahaja berhasrat hendak meragut rantai leher dipakainya, tetapi turut mempunyai niat mengambil kesempatan untuk mencabul.

“Ini kerana, ketika dia mencengkam bahu, perbuatan awalnya lebih kepada meraba dada sebelum bertindak menarik rantai di leher.

“Tetapi apa yang saya musykilkan, bagaimana penjenayah itu tahu saya memakai rantai sedangkan semasa pergi ke masjid, saya terus memakai telekung sembahyang dan sememangnya tidak akan nampak barang kemas dipakai,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun insiden itu sudah berlalu beberapa hari, namun dia masih trauma.

“Setiap kali hendak solat, saya merasakan seperti ada orang di belakang walaupun hanya solat di rumah.

“Selepas kejadian, saya masih tidak berani ke masjid dan insyaALLAH, selepas semangat saya pulih dalam beberapa hari nanti, saya pasti akan menjadi salah seorang jemaah di masjid itu lagi,” katanya. -SH

[PANAS] Kerajaan Perpaduan Versi Najib: UMNO Dan PKR, Bukan PAS


Kenapa Anwar lebih didambakan Najib, bukannya PAS, untuk membentuk kerajaan perpaduan?

Isu kerajaan perpaduan antara BN dan PKR muncul lagi. Kali ini ia disahkan sendiri oleh Anwar melalui wawancara dengan laman web, Asia Sentinel di mana Ketua Pembangkang itu mengakui bahawa usaha itu dimulakan oleh Najib sendiri.

Namun demikian, Anwar memberitahu beliau menolak usaha itu melalui perantara sebelum ia sempat menjadi kenyataan.

Sebelum ini, isu kerajaan perpaduan antara BN dan PKR juga muncul ketika kedua-dua pemimpin, Najib dan Anwar secara serentak berkunjung ke Indonesia di mana keduanya dilaporkan mengadakan pertemuan di sana yang diinisiatifkan oleh Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun kedua-dua mereka kemudiannya menafikan ada mengadakan pertemuan itu.

Usaha pembentukan kerajaan perpaduan ini juga dikatakan turut melibatkan bekas Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla melalui beberapa kunjungannya ke Kuala Lumpur untuk bertemu Najib dan Anwar. Kunjungan terbaru Jusof ke negara ini dilaporkan pada minggu lalu.

Sebelum ini Jusof Kalla pernah menjadi orang tengah untuk menandatangai persefahaman untuk penyerahan kuasa secara aman sebaik keputusan pilihanraya lalu dan menerima apa saja keputusan rakyat. Bagaimanapun, persefahaman itu tidak ditandatangaini oleh Najib manakala Anwar pula kemudiannya enggan menerima sepenuhnya keputusan pilihanraya atas dakwaan pilihanraya itu tidak adil dan tidak bebas.

Isu yang menjadi perbualan ramai sekarang ialah sejauh mana pembentukan kerajaan perpaduan ini bakal menjadi kenyataan? Najib dikatakan memulakan usaha itu tetapi setakat mana Anwar menolaknya? Apakah Anwar hanya menolaknya kali ini atau menolak selama-lamanya?

Sebelum ini dilaporkan juga pembentukan kerajaan perpaduan ini turut melibatkan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Anwar serta lima jawatan menteri kabinet kepada PKR.

Soalnya, jika tawaran dibuat lagi selepas ini, apakah Anwar akan terus menolaknya?

Kenapa pula Najib mahu membentuk kerajaan perpaduan dengan PKR dan bukannya dengan PAS? Mengapa Anwar lebih didambakan oleh Najib berbanding Haji Hadi Awang?

Sekarang ini BN mempunyai 133 kerusi Parlimen. Jika ia bergabung dengan PKR yang mempunyai 30 kerusi Parlimen, kedudukan kerajaan perpaduan yang baru itu akan menjadi 163 kerusi, melebihi had majoriti dua pertiga. Kedudukan pembangkang pula akan menurun daripada 89 kerusi kepada 59 kerusi Parlimen.

Tetapi sekiranya BN bergabung dengan PAS yang mempunyai 21 kerusi pula, kerajaan perpaduan BN dengan Pas akan menjadi 154 kerusi. Kedudukan ini juga mencapai tahap dua pertiga kerana had minima untuk membentuk dua pertiga hanyalah 148 kerusi sahaja.

Sekiranya Najib ingin menguatkan kedudukan Melayu dan Islam, beliau seharusnya memilih PAS tetapi sehingga ini tidak terdengar ada tawaran pernah dibuat kepada parti Islam itu. Najib nampaknya lebih meminati PKR berbanding PAS.

Menjelang kira-kira 100 hari selepas berakhirnya pilihanraya umum, kita sudah didedahkan dengan dua kali munculnya spekulasi mengenai hasrat Najib mahu membentuk kerajaan perpaduan antara BN dengan PKR. Dengan Anwar sendiri mengakui usaha itu dibuat oleh Najib, ia ternyata sukar disangkal kebenarannya. Najib pula masih berdiam diri sehingga kini. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini, Najib dilihat tidak pernah menyentuh mengenai Anwar dan PKR dalam ucapan-ucapannya. Serangannya terhadap Anwar juga tidak kedengaran lagi.

Hanya media pro Umno saja yang terus-menerus memainkan isu mengenai Anwar. Tetapi tentulah tidak semua perkara yang mahu dilakukan oleh Najib perlu diberitahunya kepada sesiapa terlebih dahulu. Barangkali ini merupakan usaha yang betul-betul rahsia yang mahu dilakukan oleh Perdana Menteri.

Anwar dan PKR menjadi pilihan Najib untuk membentuk kerajaan perpaduan mungkin disebabkan beberapa faktor. Pertama, mungkin disebabkan sebahagian ahli PKR adalah bekas ahli Umno walaupun parti itu berbilang laum sifatnya. Membentuk kerajaan perpaduan bererti membawa mereka kembali ke pangkuan BN dan kerajaan.

Keduanya, dengan kedudukan PRK yang berbilang kaum dan sebahagian Ahli Parlimennya juga daripada kam Cina dan India, Najib mengharapkan kelompongan yang ditinggalkan akibat banyak kerusi MCA, Gerakan dan MIC yang tewas dalam pilihanraya lalu, dapat ditampungnya. Keseimbangan kaum dalam kerajaan dapat diwujudkan kembali.

Secara langsung kestabilan dalam kerajaan kembali kukuh dan ia juga selaras dengan jiwa 1Malaysia Najib sendiri. Ini merupakan antara sebab PKR lebih menjadi pilihan berbanding PAS.

Ketiganya, PKR menjadi pilihan jelas menggambarkan kebimbangan Najib tentang masa depan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti. Walaupun dalam pilihanraya lalu, BN menang 133 kerusi dengan Umno menang 88 kerusi daripadanya, ia belum merupakan jaminan yang kuat BN mampu terus bertahan dalam pilihanraya umum lima tahun lagi.

Dengan kadar celik internet yang makin bertambah seiring dengan pembangunan bandar baru, penguasaan Umno di kawasan luar bandar dijangka semakin menurun manakala golongan yang kritikal terhadap kerajaan turut meningkat. Dijangkakan juga menjelang lima tahun akan datang terdapat kira-kira 5 juta pengundi baru di mana majoritinya diramalkan memang tidak memihak kepada BN.

Cabaran inilah yang menjadikan Najib melihat berbaik-baik dengan PKR adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengekalkan kesinambungan kuasa BN dan dirinya di negara ini. Dengan bergabung dengan PKR yang mana selama ini Anwar menjadi tunjang kekuatan parti itu, kekuatan pembangkang juga dapat dikekang kerana jika hanya tinggal PAS dengan DAP saja yang menjadi cabaran BN, ia jauh lebih mudah untuk diuruskan.

Salah satu kejayaan Anwar dalam memimpin Pakatan Rakyat ialah kejayaannya menyatupadukan PAS, DAP dan PKR dalam ikatan yang lebih kukuh dan boleh bertanding satu lawan satu dengan BN. Sekiranya PKR berjaya ditanggalkan daripada gabungan itu, PAS dan DAP bukan saja kurang kekuatannya, bahkan mungkin di sesetengah kerusi akan berlaku persaingan sesama sendiri antara PAS dan DAP sebagai calon pilihanraya sebagaimana yang kerap berlaku sebelum ini.

Keempatnya, dengan membentuk kerajaan perpaduan bersama PKR, kedudukan Najib pastinya juga bertambah kukuh. Walaupun sebelum ini ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Najib merupakan salah seorang penyokong kuat Anwar, kini sekiranya Anwar pula yang menjadi pendokong Najib, sudah tentulah Najib bertambah kukuh lagi. Pengaruh lain dalam Umno yang mahu menggugat kedudukannya seperti elemen Muhyiddin dan Mahathir akan dapat dineutralkan dengan adanya Anwar bersama-samanya dalam kerajaan.

Walaupun sehingga ini pembentukan kerajaan perpaduan ini terlihat mustahil dan Anwar sendiri bertegas menolaknya, manakala sebahagian ahli serta pemimpin PKR juga menolaknya atas alasan penentangan terhadap Umno dan BN selama ini adalah berkaitan isu dasar seperti rasuah, penyelewengan, pembaziran, ketelusan dan sebagainya, tetapi seiring dengan perjalanan masa adalah tidak mustahil tawaran Najib kepada PKR akan muncul kembali.

Sekali pelawaan ditolak, dua kali juga ditolak tetapi jika pinangan terus-menerus datang dengan tawaran yang semakin menarik, mungkin daripada lima jawatan kabinet bertambah kepada tujuh misalnya disamping jawatan lain dalam GLC misalnya, adalah tidak mustahil pembentukan kerajaan perpaduan ini akan menjadi kenyataan juga akhirnya.

Lebih-lebih lagi, di samping Najib mempunyai masalahnya sendiri seperti gugatan Muhyiddin dan gangguan Mahathir dalam pentadbirannya, manakala Anwar juga ada masalah juga serta keinginan yang terpendam, tidak mustahil jika titik persamaan itu bertemu, akhirnya akan terbentuk pakatan yang menyaksikan kedua-duanya bersatu atas kepentingan "menang-menang". – shahbudindotcom.blogspot.com

ULASAN GB

Semalam GB sudah ulas hal Kerajaan Perpaduan versi Najib ini.

GB menyangkakan semua orang tahu bahawa Kerajaan perpaduan versi Najib ini adalah diantara UMNO dan PKR, bukan UMNO dan PAS sepertimana awal-awal isu Kerajaan Perpaduan ini dihangatkan satu ketika dulu.

Tetap para macai UMNO, tanpa usul periksa, melemparkan komen-komen liar menuduh sikap PAS yang menolak Kerajaan Perpaduan sebagai langkah silap dan kononnya sengaja mahu perpecahan Melayu/Islam itu berterusan, sedangkan mereka (macai UMNO) tidak menyedari FAKTA bahawa Kerajaan Perpaduan versi Najib ini lansung tiada kaitan dengan PAS, dan PAS lansung tidak dipelawa menyertainya. Ia adalah diantara UMNO dan PKR.

Mengapa Najib pilih PKR?

Sebenarnya GB sudah menjawabnya semalam.

Apatah lagi kini MCA dan MIC telah di tolak oleh rakyat Cina dan India sebagai parti yang mewakili kaum mereka masing-masing. Maka BN hanya bertunjangkan UMNO dan ia tidak lagi menggambarkan "realiti" masyarakat Malaysia yang sebenar.
Najib menyedari bahawa BN yang memerintah sekarang ini sudah goyang dan goyah. Prestasi buruk MCA dan MIC di dalam PRU13 menjadi UMNO kera sumbing di dalam BN. Maka itu Najib perlu mencari parti kaum Cina dan India yang kuat untuk menyertai UMNO memerintah Malaysia.

Menyedari DAP merupakan kaum Cina terkuat di negara ini, UMNO melalui Zainuddin Maidin pernah mengajukan cadangan supaya DAP menyertai BN, tetapi DAP telah menolak bulat-bulat syor itu dan DAP masih terus ingin bersama rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat.


UMNO tidak memilih PAS, kerana PAS juga mewakili orang Melayu/Islam, dan UMNO merasakan kerusinya yang 88 itu sudah lebih dari memadai untuk menjadi juara kaum tersebut tanpa PAS (walaupun 88 kerusi UMNO yang kononnya menjadikan UMNO parti terkuat itu hanyalah satu mitos).

Justeru itu, pilihan yang ada bagi Najib (setelah DAP dan PAS) ialah PKR. Apa tah lagi PKR sebuah parti berbilang kaum yang mana daripada 29 kerusi parlimen yang dimenangi oleh PKR, 13 daripada mereka adalah bukan-Melayu. Kerencaman ini, dilihat oleh Najib lebih menarik perhatiannya terhadap realiti masyarakat majmuk di negara ini.

Maka itulah timbulnya rundingan sulit yang melibatkan pihak ketiga dari Indonesia (Bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla).

Namun kini segala-gala terbongkar. Najib hanya memperhitungkan survival UMNO dan BN semata-mata. Tiada kejujuran di dalam rancangan Kerajaan Perpaduannya itu.

Maka sebab itu GB menyatakan semalam:

Apabila keadaan sedemikian berlaku maka, lambat laun nafas UMNO akan sesak dan akan tumbang dengan sendirinya bersama panji Barisan Nasionalnya itu.

Maka benarlah apa yang GB katakan sebelum ini, kememangan yang diperolehi dengan penipuan itu adalah satu kemenangan yang rapuh, kemenangan yang batil, kemenangan yang tiada berkat padanya dan akhirnya kemenangan yang sedemikian akan tetap binasa. Demikian hukum kebenaran dan keadilan.

Jenayah Berleluasa, Bukti Tranformasi Najib Gagal

Parti DAP menyifatkan kadar jenayah yang berleluasa merupakan bukti kegagalan kerajaan walaupun ianya didakwa menjadi keutamaan dalam program Tranformasi seperti dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago menegaskan kerajaan sudah tidak punya masa lagi untuk berdolak dalik, sebaliknya melakukan segera langkah penyelesaian dan memandang serius kejadian demi kejadian yang tidak berkesudahan ini.

Katanya, kerajaan harus segera menggerakkan lebih ramai anggota polis di jalanan yang mana kini hanya terdapat 9 peratus daripada 112,583 atau 10,150 pegawai beruniform di Malaysia dibawah Jabatan Siasatan Jenayah.

“Lebih dari 20 orang telah terbunuh dalam peristiwa tembakan sejak April lalu termasuk yang berlaku kepada Pengasas Bank Arab-Malaysian, Hussain Ahmad Najadi sehari selepas Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak.

“Rakyat ditembak di persimpangan jalan raya yang sibuk, dilampu isyarat dan restoran oleh lelaki bersenjata melepaskan tembakan sehingga dua dozen dimana-mana sahaja, disiang hari.

“Sebuah laman sesawang juga menyatakan bahawa Kuala Lumpur kini merupakan bandar keenam paling berbahaya di Asia Tenggara dan kenyataan Najib tahun lalu yang menyatakan Malaysia adalah negara paling selamat di rantau ini, jelas tidak ada kebenarannya,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Statistik polis yang dikeluarkan oleh agensi pembaharuan ekonomi negara, PEMANDU, menunjukkan bahawa terdapat 15,098 kes jenayah kekerasan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, ianya meningkat dari 14,811 dalam tempoh yang sama tahun lalu. Pembunuhan juga meningkat kepada 322 dalam tempoh enam bulan berbanding dengan 291 pada 2011.

Beliau turut mempersoal dari mana datangnya senjata yang digunakan penjenayah yang seolah-olah begitu mudah diperoleh walhal Malaysia mempunyai undang-undang pemilikan senjata yang ketat.

“Terdapat sekurang-kurangnya 370,000 senapang yang dimiliki di Malaysia dengan jumlah penduduk seramai 28 juta.Jepun mempunyai penduduk seramai 127 juta dan 710,000 senapang. Malaysia mempunyai nisbah satu senjata untuk setiap 78 orang, lebih tinggi dari Vietnam yang mempunyai nisbah 80:1.

“Tapi yang anehnya negara kita mempunyai undang-undang pemilikan senjata api yang ketat. Hanya mereka yang mempunyai lesen saja dibenarkan untuk mempunyai senjata sendiri, sesiapa yang ditangkap memiliki senjata tanpa lesen boleh menghadapi hukuman sehingga 14 tahun penjara dan hukuman mati sekiranya mempunyai peluru hidup. Jadi, dari manakah senjata yang digunakan dalam kejadian tembak-menembak baru-baru ini datang?,” soalnya.

Santiago turut menyelar tindakan kerajaan yang hanya pandai membuat undang-undang tanpa mempraktikkan langkah-langkah pengekangnya terutama berkaitan kawalan keselamatan di sempadan yang longar sehingga menyebabkan kemasukan senjata api berlaku dengan sewenang-wenangnya.

“Jelas undang-undang yang ketat tanpa penguatkuasaan tidak mencukupi untuk mengekang episod tembak menembak yang melanda negara. Dalam erti kata lain, mengawal selia lesen senjata tidak mencukupi. Kerajaan juga mesti serius dalam mencegah penyeludupan merentas sempadan.

“Undang-undang ini mesti dilengkapkan dengan kehendak kerajaan untuk menangani budaya rasuah dan sewenang-wenangnya dalam pasukan polis, Imigresen dan Kastam,” tegasnya.

Beliau juga mendesak Najib agar segera menubuhkan suruhanjaya bebas untuk membasmi salah guna kuasa dan rasuah yang melibatkan pasukan keselamatan negara.

“Najib perlu mengarahkan agensi anti rasuah untuk melancarkan siasatan terhadap bukan saja polis tapi pegawai-pegawai Imigresen dan Kastam yang terlibat dalam jenayah merentasi sempadan, termasuk penyeludupan senjata.

“Kerajaan perlu menerima pendekatan holistik untuk mencegah jenayah kerana ia berkait rapat dengan kekurangan pendidikan, peluang pekerjaan dan persekitaran yang kondusif untuk kumpulan terpinggir,” ujarnya. – Roketkini.