27 Jun 2011

Polis Dan Kerajaan Perlu Patuh Dan Hormat Gesaan SUHAKAM

Hak rakyat untuk berhimpun – Suhakam

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengulangi pendiriannya ke atas perhimpunan Bersih, Pemuda Umno mahupun Perkasa yang akan diadakan serentak pada 9 Julai ini, sebagai hak orang ramai untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam (gambar), perkara itu termaktub di dalam perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Suhakam mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun seperti yang terkandung dalam, antara lain laporan tahunannya kepada Parlimen serta permintaan bagi pemansuhan Subseksyen (2), (2A) hingga (2D), (4), (4A), (5), (5A) – (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967.

Suhakam juga mengesyorkan agar pihak polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan dijalankan.

“Maka Suhakam menyeru agar pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman itu diadakan.

“Dan kepada pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Suhakam juga akan memantau perhimpunan itu dengan sewajarnya.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram Bersih jika ia benar-benar didapati menggugat keselamatan awam dan negara.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunaan akta tersebut buat masa ini masih belum diperlukan memandangkan pemantauan terhadap matlamat sebenar perhimpunan itu sedang dilakukan pihak berkuasa. -FMT


Bersih 2.0: Suhakam mahu Putrajaya benar himpunan aman 9 Julai
June 27, 2011

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Di sebalik tindakan keras pihak berkuasa yang dilihat semakin meningkat, Suhakam mahu pentadbiran Najib membenarkan perhimpunan-perhimpunan aman termasuk anjuran Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Pada masa yang sama, Suhakam berkata pihak-pihak lain yang merancang perhimpunan berkenaan agar melaksanakan hak mereka dalam keadaan terancang dan penuh tanggungjawab.

“Suruhanjaya akan memantau perhimpunan itu (dengan) sewajarnya,” kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini merujuk kepada perhimpunan aman yang dirancang oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 9 Julai dan juga perhimpunan-perhimpunan yang dilaporkan dirancang oleh Pemuda Umno dan Perkasa.

Pemuda Umno dan Perkasa mahu mengadakan perhimpunan balas membantah Himpunan Bersih 2.0 pada tarikh dan masa yang sama.

Bersih 2.0 mendakwa pihaknya hanya mengadakan perhimpunan aman bagi menuntut sistem pilihan raya yang bebas dan adil dengan diletakkan lapan tuntutan.

Hasmy berkata Suhakam mengulangi pendiriannya bahawa orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub ddalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Kata beliau, Suhakam mengulangi syor-syor yang telah dikemukakan sebelum ini kepada kerajaan untuk menghormati kebebasan berhimpun seperti yang terkandung dalam, antara lain laporan tahunannya kepada Parlimen serta permintaan bagi pemansuhan Subseksyen (2), (2A) hingga (2D), (4), (4A), (5), (5A) - (5C), (7) dan (8) Seksyen 27 dan Seksyen 27A Akta Polis 1967.

“Dan, mengesyorkan agar pihak polis menggunakan cara yang bersesuaian dan tanpa keganasan sekiranya mereka mendapati ia perlu untuk mengawal atau menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan,” katanya lagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan pihak polis tidak akan mengeluarkan permit kepada mana-mana kumpulan yang mahu mengadakan perhimpunan pada tarikh tersebut.

Pihak polis sudah mula memanggil pihak penganjur ketiga-tiga perhimpunan itu.

Malah pihak polis juga sudah mula menahan mereka yang memakai kemeja-T Bersih 2.0. -TMI



Ulasan GB

SUHAKAM perlu dihormati, kerana ia sebuah Suruhanjaya Bebas yang ahlinya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Jika gesaan SUHAKAM itu tidak dipatuhi, jelas pihak polis dan Kerajaan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong.

Dan jika perhimpunan BERSIH 2.0 dihalang juga, syaa meminta pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM letak jawatan mereka sebagai protes kerana kehadiran mereka tidak dihormati oleh polis dan kerajaan yang ada.

Biar satu dunia tahu polis dan kerajaan BN tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan hak rakyat untuk berhimpun.

Zahid Hamidi Serlahkan Kejahilannya Terhadap Islam

Istikharah: Kejahilan Zahid terserlah

Gesaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya pemimpin PAS solat istikharah berhubung video seks menyerlahkan lagi kejahilannya terhadap hukum feqah di dalam Islam.

Demikian Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali sebagai respons kepada laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk “Nik Aziz digesa solat istikharah”.

Kenyataan itu memetik kata-kata Zahid selaku Naib Presiden Umno yang berkata: Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak.

Khairuddin berkata, kenyataan itu menunjukkan Umno semakin tersepit pada hari ini.

“Tidak cukup dengan kebiadapan Utusan yang menyiarkan karikatur yang menggambarkan persepsi yang negatif terhadap Islam, pada hari ini kita membaca pula kenyataan Naib Presiden Umno yang menggesa supaya pemimpin PAS melakukan solat istikharah dalam menangani isu seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang,” katanya.

Jelasnya, solat istikharah tidak dilaksanakan untuk bertujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam isu ini, katanya seseorang itu tidak dianggap bersalah melakukan kesalahan zina selagimana tidak didatangkan dengan empat orang saksi.

Ini, ujarnya adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT secara jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Ianya merupakan kaedah keterangan yang dipegang di dalam Islam.

Katanya, selagi mana tidak di datangkan 4 orang saksi maka sesorang itu adalah tidak bersalah dan tidak melakukan zina.

“Tiada seorang Islam pun yang berhak untuk keluar daripada ketetapan Allah SWT ini,” tegasnya.

Justeru, beliau meminta para alim ulama di dalam Umno seharusnya menasihatkan pemimpin mereka supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan urusan agama sebelum masyarakat turut menjadi haru biru dek kerana kenyataan tersebut. -HD


Nik Aziz digesa solat istikharah

KUALA LUMPUR 26 Jun – Pemimpin Pas terutamanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digesa melakukan solat sunat istikharah, bagi mencari hidayah Allah untuk melihat segala kebenaran membabitkan skandal seks seorang pemimpin pembangkang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana bukti utama iaitu rakaman video seks, telah disahkan tulen oleh dua pakar Amerika Syarikat, Prof. Hany Farid dan Prof. Lorenzo Torresani bahawa pelakunya 99.99 peratus menyerupai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, bukti alibi kononnya Anwar bersama keluarga dan sedang berinteraksi di laman sosial Twitter serta Facebook ketika aksi seks berlangsung juga satu pembohongan, kerana sistem kamera liter tertutup (CCTV) menunjukkan Anwar berada di lokasi kejadian.

“Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak? Sebelum ini mereka buat solat sunat pohon kebenaran dan kebenaran itu kini tersedia.

“Mereka juga elok tengok dulu video tersebut, betul Anwar atau tidak, menyerupai Anwar atau tidak? Kalau Anwar, mereka kena buat ketetapan. Jangan buat tuduhan sebelum tengok kebenaran video tersebut,” katanya kepada pemberita di Sungai Buloh, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemimpin Pas dan golongan yang menyokong perjuangan parti itu, harus membuka hati serta minda mereka untuk menerima fakta, bukan semata-mata membuat pendirian berdasarkan persepsi jika bercita-cita mahu memimpin negara.

Mengenai penafian berterusan Anwar, bahawa lelaki yang 99.99 peratus itu bukan dirinya, Ahmad Zahid berkata, rakyat Malaysia perlu mengadili moral ketua pembangkang tersebut berdasarkan maklumat pakar selain bukti sahih berbentuk rakaman video dan CCTV.

Dalam perkembangan berasingan, beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pendirian kerajaan berhubung isu tuntutan bertindih di kepulauan Spratly kekal sebagaimana sebelum ini, iaitu segala permasalahan perlu diselesaikan melalui diplomasi dan bukan ketenteraan.

“Pendirian kerajaan dan negara yang terlibat kekal tetapi kita telah meletakkan anggota tentera di setiap terumbu yang berada dalam perairan negara. Soal tuntutan Vietnam, Filipina dan China kita tidak campur, kita hormati tuntutan negara-negara terbabit,” ujarnya. -UM



Ulasan GB

GB dah ulas dahulu, bahawa pemimpin UMNO ini, dari Presidennya sampai kepada akar umbi, adalah mereka yang jahil terhadap Islam.

Mereka anggap agama itu urusan peribadi, mereka memisahkan pemerintahan dan kehidupan dari agama.

Para menteri UMNO misalnya, berapa ramai yang ada membaca Al-Quran?

Maka sebab itu kita dapati majoriti dari mereka mroyan dan meraban bila bercakap mengenai hal-hal agama.

Yang tahu serba sedikit bab agama pula terikat dengan cinta dan sayang kepada pangkat dan harta.

Itulah UMNO!

Gadis Hamba Seks Seminggu

Melaka - Akibat terpedaya dengan janji manis seorang lelaki, seorang gadis, 17, menjadi hamba seks lelaki berkenaan yang kononnya berjanji mahu membantu gadis terbabit selepas dibuang keluarga.

Mangsa mengenali lelaki berusia 29 tahun itu menerusi seorang rakannya, sebelum dibawa dan dikurung di sebuah rumah dekat Taman Asia Selatan, Jasin, di sini selama seminggu.

Sumber berkata, mangsa dikurung pada 19 hingga 25 Jun lalu, selain dipukul sehingga mendatangkan kecederaan kepada tubuh.

Selain itu, menurutnya, mangsa yang tidak bersekolah itu mendakwa turut dirogol lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila dibebaskan dari kurungan Sabtu lalu, sebelum bertindak membuat laporan polis sehari kemudian,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menangkap lelaki berkenaan pada hari sama mangsa membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Berikutan itu, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun maksimum serta sebatan.

Menurutnya, lelaki terbabit direman selama tujuh hari bermula semalam.

Sementara itu, menurutnya, mangsa kini sedang dirawat di sebuah hospital berdekatan. -SH

Kes Video Seks Anwar: Balik Kepada Hukum Islam - Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih tetap dengan pendirian bahawa kes video seks membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dirujuk kepada undang-undang Islam untuk membuktikan kesahihannya.

Walaupun laporan yang dikemukakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendakwa 99.99 peratus Anwar sebagai pelaku dalam video terbabit, Abdul Hadi menegaskan hanya hukum Islam yang boleh menyelesaikan perkara itu.

Yang boleh menyelesaikan masalah ini adalah hukum Islam, sama ada nak tuduh dia (Anwar) liwat ke, qazaf ke, apa sahaja tuduhan mesti balik kepada syariat Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Penyerahan Watikah Pelantikan Exco Dewan Pemuda Pas Sesi 2011-2013 di Permai Inn, di sini, malam kelmarin.

Dalam laporan Sinar Harian kelmarin, satu laporan dikemukakan kepada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menyebut pelaku lelaki dalam video seks bersama seorang wanita dipercayai warga China ditayangkan kepada sekumpulan wartawan 21 Mac lalu, memiliki 99.99 peratus persamaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, seorang daripada tiga tertuduh kes berkenaan berkata, laporan pakar Dartmouth College, Handover, New Hampshire, Amerika Syarikat, Profesor Hany Farid dan Lorenzo Torressani mendapati lelaki itu menyerupai Anwar dan ketepatannya 99.99 peratus.

Abdul Hadi ketika ditanya sama ada beliau mempercayai laporan yang dikemukakan itu, beliau menafikan namun tetap berpandangan ia perlu dibicarakan mengikut perundangan Islam dan mempertahankan Anwar tidak bersalah selagi tiada bukti.

“Bukan tak percaya tetapi mesti balik pada hukum Islam dan mengikut kaedah perundangan Islam yang diguna pakai perundangan British orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan,” katanya. -SH

Isu Lynas Akan Dibawa Ke ICJ

Bawa usul isu Lynas ke ICJ

KUANTAN- Save Malaysia akan mengusulkan isu Lynas ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),The Hague, di Belanda untuk penyelesaian jika segala ikhtiar untuk menghentikan operasi syarikat itu di kawasan perindustrian Gebeng di sini menemui jalan buntu.

Pengerusinya, Tan Bun Teet berkata usaha itu adalah langkah drastik yang diperlukan dan mengharapkan rakyat Australia memahami situasi dan tindakan itu.

Menurutnya, tindakan itu perlu memandangkan tindakan syarikat itu seperti tindakan sebuah negara maju dari Negara Dunia Pertama membuli negara dari Dunia Ke-3 dan bukan sekadar warga Kuantan menentang Lynas semata-mata.

“Malah seramai 12 ahli dari Save Malaysia termasuk saya akan membentangkan isu ini di Parlimen Australia bermula 3 hingga 9 Julai depan.

“Selain itu, kita akan melakukan demonstrasi jalanan di sini jika operasi Lynas diteruskan walaupun dihalang pihak berkuasa,” katanya selepas perjumpaan dan penerangan bersama 10 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Malaysia serta orang ramai di sebuah hotel di sini, semalam.

Seminar bermula jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 5 petang itu berjaya menarik lebih 150 orang ramai dan mendapatkan penerangan daripada tiga ahli panel berkelayakan.

Bun Tee berkata, seminar itu antara usaha pertubuhan itu untuk menyampaikan mesej bahawa isu tersebut bukan sekadar menjejaskan warga Kuantan namun ia turut berkaitan dengan rakyat dan menjadi isu nasional.

Ditanya jika Save Malaysia mendapat jemputan untuk berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lynas, Nick Curtis, beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang jemputan namun tidak menolak berjumpa untuk menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, pada paginya, bermula jam 7.00 pagi, satu Perarakan Solidariti anjuran pertubuhan itu berjaya mengumpulkan kira-kira 3,000 orang ramai di Bukit Pelindung sebagai simbolik bantahan aman terhadap syarikat pemprosesan nadir bumi itu.

Orang ramai mula berkumpul di kaki bukit itu sebelum memulakan pendakian kira-kira jam 8 pagi dam berjaya sampai ke puncaknya pada jam 9.30 pagi. -SH

Ketua Puteri & Setiausaha UMNO Bahagian Jerlun Digugurkan Kerana Kes Khalwat

Ketua Puteri Umno Jerlun Yusmawati Yaacob dan Setiausaha Umno bahagian itu, Jasmi Mohd Ismail digugurkan daripada jawatan masing-masing ekoran kes berkhalwat yang sedang mereka hadapi di Mahkamah Syariah, lapor media hari ini.

Gambar: Yusmawati kelihatan sedang meninggalkan Mahkamah Rendah Syariah Jitra, di Kedah, pada 22 Jun lalu di atas dakwaan berkhalwat, manakala Mohd Jasmi (gambar sisipan) turut didakwa dengan pertuduhan sama. -- Foto THE STAR

Pengerusi Umno Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, surat berkaitan pengguguran jawatan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, 24 Jun lalu.

“Kes ini merupakan kes yang pertama di Kedah dan saya yakin mereka telah pun menerima surat pengguguran jawatan itu,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Isnin lalu, Yusmawati dan Jasmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Kubang Pasu atas tuduhan bersekedudukan di sebuah rumah pada bulan lalu.

Mereka yang bukan mahram ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah di sebuah rumah di Taman Tunku Sarina di sini pada pukul 1.20 pagi, 11 Mei lalu.

Jasmi dan Yusmawati didakwa bersekediaman, bersekedudukan, berkurung atau bersembunyi tanpa ikatan sah mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kedah) 1988.

Menurut Ahmad Bashah, ekoran perkembangan itu, Naib Ketua Puteri Umno Jerlun, Siti Hajar Ahmad Hayazi dilantik memangku jawatan Ketua Puteri sehingga pemilihan peringkat parti diadakan kelak.

Kata beliau, pelantikan berkenaan selaras dengan Fasal 12.8 Peraturan Pergerakan Puteri Umno.

Tambah beliau, bagi jawatan pengganti Jasmi pula akan diputuskan oleh Ketua Umno Jerlun, Datuk Abu Hasan Sharif.


Ini Dia - Tukang Pancung Paling Masyur Di Makkah

Makkah: Encik Abdallah bin Said Al-Bishi mewarisi kerjaya ayahnya - tukang pancung bagi mereka yang dihukum mati di Arab Saudi.

Gambar: TIADA RASA BELAS: Encik Abdallah, dengan pedang bernama 'Sultan' yang digunakan bagi memenggal kepala pesalah, berkata tukang pancung tidak boleh berasa belas terhadap orang yang akan dipancungnya. -- Foto tempointeraktif.com

Beliau antara tukang pancung paling masyhur di negara itu.

Stesen televisyen Lebanon, LBC TV, pernah menyiarkan wawancara khas dengan Encik Abdallah pada 4 November 2006.

Tukang pancung seperti Encik Abdallah yang bertugas mencabut nyawa pesalah, termasuk warga Indonesia, Ruyati Satubi, yang dipancung baru-baru ini.

Pelaksanaan hukuman mati itu dijalankan di kota Makkah dan mencetuskan bantahan di Indonesia.

Ruyati, 54 tahun, disabit kesalahan membunuh majikan perempuannya dengan pisau potong daging.

Encik Abdallah memulakan tugas pertamanya pada 1991, seminggu setelah ayahnya meninggal dunia.

Beliau berusia 32 tahun waktu itu. Pada hari pertama bertugas, beliau memancung tiga orang.

Pedang bernama 'Sultan' warisan ayahnya itu melengkung seperti bulan sabit dan panjang setengah meter.

Encik Abdallah mengaku gugup saat pertama memenggal kepala orang.

'Setiap orang akan gugup ketika memulakan pekerjaan baru kerana takut gagal,' katanya.

Beliau mengaku telah memancung lebih 100 kepala.

Semasa kecil, Encik Abdallah pernah menyaksikan ayahnya memenggal kepala seorang pembunuh di depan gerbang Raja Abdul Aziz.

Beliau mengikuti ayahnya menjalankan tugas kerana ingin melihat organ pencernaan, sebagaimana dipelajari di sekolah.

'Namun, yang saya lihat ialah kepala manusia melayang. Dari lehernya darah mengalir seperti telaga. Cukup dan saya tak tahan lagi,' ujarnya.

Malamnya, beliau susah tidur dan bermimpi ngeri.

Arab Saudi mengenakan hukuman pancung ke atas pesalah kes bunuh.

Hukuman itu biasanya dibatalkan jika keluarga mangsa memaafkan pesalah, yang diharuskan membayar diyat (wang pengganti) yang ditetapkan keluarga mangsa.

Menurut ahli psikologi daripada Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Dr Turki Al-Atyan, syariat Islam memerintahkan hukuman mati dilaksana dengan cara memenggal kepala, bukan gantung atau tembak.

Bagi memuluskan tugasnya, Encik Abdallah memakai hanya pedang buatan Jowhar yang dibuat dari besi keras agar tidak mudah patah dan memang khusus bagi memancung kepala.

Jowhar sebuah kota kecil di Somalia, sekitar 90 kilometer sebelah utara ibu kota Mogadishu.

Ayah tiga anak itu berkata beliau tidak berasa apa-apa perbezaan ketika memancung pesalah lelaki atau perempuan.

Bahkan, beliau mengaku pernah memenggal kepala temannya yang dikenakan hukuman mati.

Selain memenggal kepala, Encik Abdallah melaksana hukuman potong tangan atau kaki. Pesalah potong tangan dibius dulu.

Encik Abdallah berkata syarat utama menjadi tukang penggal ialah seseorang itu tidak boleh berasa belas terhadap orang yang akan dipancung.

'Jika saya kasihan akannya, dia akan menderita. Apabila hati ini berasa kasihan, tangan bakal gagal,' katanya. -- Agensi.

SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0 - Dr Haron Din

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) supaya tidak sombong dalam menerima sebarang teguran serta pandangan rakyat berhubung sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini.

Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Umno-BN perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan realiti sebenar persepsi rakyat terhadap mereka.

Paling mudah, Dr Haron mengulas mengenai Undi Pos yang sehingga kini dipertikaikan ketelusannya oleh banyak pihak.

"Undang-undang pilihan raya pun tak adil. Kalau kita tanya mengapa ada Undi Pos, mereka kata sebab ada yang tak boleh mengundi, tak apalah. Bila tanya mengapa tak boleh buka dan bilang terus, mereka kata tak boleh sebab kena simpan di Pejabat SPR. Buat apa nak simpan? soalnya.

"Ada benda yang tak adil, sebab itu kita minta supaya mereka adil tetapi mengapa mereka tak beri. Bila ditanya sudahkah mereka melihat perbuatan ini baik atau buruk, mereka jawab baik. Baik bagaimana kalau begitu?," tegas beliau ketika berucap sempena sambutan 50 Tahun PAS Cawangan Kampung Kodiang lama di sini, kelmarin.

Dalam ucapan ringkas itu, turut mengingatkan semua pemimpin agar terus kekal dengan prinsip keadilan yang digenggam erat oleh agama Islam.

Katanya, kerana ketidakadilanlah rakyat mempersoalkan peranan kerajaan sehingga tercetusnya ketidakpuasan hati dikalangan rakyat hari ini.

Malah ujarnya, kerana ketidakadilan itu jugalah gabungan masyarakat sivil telah melancarkan himpunan raksaksa pada 9 Julai ini yakni Bersih 2.0 bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

Menurutnya lagi, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan sistem pilihan raya di negara ini di mana beliau tewas tipis dengan majoriti 300 undi tetapi mendapat lebih 500 undi rosak di peti undi tertentu
.

Dr Haron Din yang bersaing Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau.

Justeru Haron mengutarakan hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai peringatan kepada pihak berkuasa yang pecah amanah dan menipu rakyat.

"Mana-mana pemerintah yang boleh menerima, membuat, memilih dan menolak undang-undang Islam mahupun barat. Muslim khasnya, kalau dia tipu rakyat, tak kesahla apa yang dibuat itu rasuah, tipu pilihan raya atau tipu senarai mengundi pilihan raya. Allah S.W.T akan haramkan mereka dari masuk syurga," kata beliau. -tvsnews


Tuntutan Bersih: SPR pernah tipu rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Jun: Dewan Pemuda PAS Pusat ingin menyingkap kembali pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 2008 yang menelan belanja RM3 juta.

Naib ketuanya, Raja Ahmad al-Hiss berkata, dakwat itu tidak digunakan dengan pelbagai alasan sama ada daripada pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) atau daripada pihak SPR yang mengatakan bahawa Kabinet tidak bersetuju penggunaan dakwat kekal tersebut dan pihak SPR berkuasa untuk tidak meneruskan penggunaan dakwat kekal tersebut walaupun telah membelinya.

“Persoalan yang ada ketika itu, siapakah telah menipu di dalam perkara ini?” soalnya.

Katanya, jika pihak kerajaan mengatakan bahawa pihak yang berkuasa menjalankan sistem pilihan raya di dalam negara kita, ini bermakna dalam rekod bahawa SPR pernah menipu rakyat ketika itu.

Beliau berkata, adakah dengan membatalkan Himpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 pada 9 Julai ini bahawa semua tuntutan Bersih akan ditunaikan dan tiada penipuan akan berlaku lagi.

Soalnya lagi, adakah janji SPR tersebut boleh diterima pakai oleh rakyat kerana rekod sedia ada SPR pernah tercalar berikutan menafikan hak rakyat dan membazir wang rakyat.

“Kami ragu akan keikhlasan SPR kerana perilaku mereka hanya ingin memastikan BN terus berkuasa dengan cara kotor dan jelas apa yang berlaku di negeri Perak telah mencalar demokrasi dalam negara kita,” katanya.

Beliau menambah, ini sudah tentu rakyat kurang yakin akan kredibiliti SPR yang menggambarkan terlalu banyak keraguan yang masih tidak meyakinkan rakyat untuk menerimanya. -HD




Polis Turut Panggil Sasterawan Negara, A.Samad Said

Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis

KUALA LUMPUR, 27 Jun — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu.

Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih”.

Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat “Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/”.

Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau.

Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi.

Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini.

Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno.

“Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini),” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis.

“Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!,” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa “murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini.”

“Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, “kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi?”

“Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

“Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni,” kata Samad lagi. -TMI


Unggun Bersih
Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011.

“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.


Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam.

Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.

Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.


Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.

Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”

(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID


Negara Demokrasi Jamin Hak Berhimpun Secara Aman-Senator Pattani

Senator Dewan Negara Thailand bagi daerah Pattani, Dr Worawit Baru @ Ahmad Idris menyifatkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai satu kempen penting dan tidak perlu dihalang kerana ia biasa berlangsung di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.

Menurut beliau tuntutan terhadap pilihan raya yang adil dan bersih merupakan tuntutan semua warganegara.

"Perhimpunan (ini) merupakan kempen untuk perhimpunan yang bersih, yang adil, yang terlepas daripada sebarang tuduhan.

"Jadi saya ingat (ia) pentinglah kalau kerajaan atau mana-mana pihak tidak ada sesuatu (untuk disorokkan),
" kata Dr Worawit.

Himpunan Bersih yang dijadualkan pada 9 Julai ini mendapat tentangan teruk daripada kerajaan Malaysia dan pertubuhan berkaitan Umno seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan media arus perdana.

Dr Worawit yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Buruh dan Kebajikan Sosial Pattani menyatakan itu perkara biasa memandangkan BN takut kehilangan hegemoni kuasa mereka.

Beliau juga menyatakan keyakinannya dengan keupayaan pimpinan Pakatan Rakyat untuk mentadbir Malaysia jika memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Pakatan Rakyat beri gambaran baru (dalam politik Malaysia), melangkaui etnik, tetapi masih lagi menghormati kaum yang banyak," kata Dr Worawit.

Beliau yang mengenali Anwar sejak 30 tahun lalu turut menyatakan beliau yakin Anwar boleh melakukan perubahan itu.

Menurut beliau, Anwar ketika masih bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pernah menyatakan hasrat untuk membaiki sistem politik Umno ketika itu.

"Saya masih ingat dulu, Anwar pernah kata dia nak masuk Umno untuk mengubah Umno dari dalam," katanya.

Pada masa yang sama, Dr Worawit sempat menyeru Pakatan Rakyat untuk terus bekerja keras bagi mengekalkan momentum perubahan yang sedang melanda rakyat Malaysia.

"Kalau kita nak lawan dalam politik berdepan BN, strategi kena tetapkan, kajian kena jalankan, dan kerja kena kuat.

"Malaysia ini jadi susah nak tukar sebab rakyat Malaysia sudah biasa diperintah Barisan Nasional," kata Dr Worawit. -tvsnews


Himpunan Bersih: Rakyat Tak Gentar Dengan Tekanan & Ugutan

Umno Terdesak Guna Nama Agong Cuba Hentikan Bersih

Pihak berkuasa akan menggunakan apa sahaja ruang dan segala bentuk undang-undang untuk menyekat perhimpunan aman Bersih 2.0 termasuk menggunakan nama Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim, senario seperti itu memang berlaku di Malaysia apabila suara rakyat mengatasi suara kerajaan,

Beliau yang juga Adun Kota Damasara berkata, penahanan 30 anggota parti itu yang disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong, jelas membuktikan usaha terdesak pemerintah untuk menghalang rakyat menyuarakan hak mereka.

"Dalam hal ini senang sahaja. Kalau kerajaan beri arahan, kita tidak ikut, dan Agong restu ikut Perlembagaan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau apa sahaja. Jadi mereka boleh katakan begitu. Semua undang-undang, kalau anda pertikai, mereka boleh kata anda melanggar perintah Yang di-Pertuan Agong,"katanya.

Portal The Malaysian Insider melaporkan, 30 aktivis PSM termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jayakumar Devaraj dihadapkan ke mahkamah petang ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kesalahan jenayah memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Kesemuanya aktivis PSM ini ditahan semalam di plaza Tol Sungai Dua ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis berkaitan Bersih 2.0 di Pulau Pinang.

Selain itu beberapa anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan PAS juga turut ditahan kerana memakai pakaian berwarna kuning di beberapa tempat seperti Kapar dan Ampang

Roadshow Bersih 2.0 di Uptown Shah Alam turut dikepung polis dan Timbalan sayap pemuda parti itu ditahan ketika sedang minum di sebuah restoran manakala satu lagi roadshow di Assam Jawa, Kuala Selangor turut diganggu Polis.

Menurut Dr Nasir, beliau menjangkakan keadaan akan menjadi lebih tegang dan tidak mustahil provokasi polis akan menjadi lebih keras demi menakutkan rakyat dari menyertai himpunan aman ini.

Walau bagaimanapun katanya kepada Tv Selangor, apa jua cara yang digunakan kerajaan, ia tidak akan mampu menghalang kuasa dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini.

" Memang cukup terdesak mereka ini. Tak makan akal. Tapi ini yang mereka lakukan sekarang ini.

" Kita jangkakan akan ada perkara yang lebih teruk akan berlaku tetapi rakyat mereka tidak dapat lawan,"katanya. -tvsnews


Polis dakwa aktivis PSM cuba hidup fahaman komunis

Tiga puluh aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan semalam di plaza tol Sungai Dua, ditahan reman mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan kerana didakwa berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar hari ini.

Aktivis tersebut menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah" yang dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan BERSIH 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Mereka yang ditahan termasuk ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar. Seorang lagi dibebaskan kerana di bawah umur.

Bernama melaporkan Abdul Rahim berkata, siasatan polis mendapati sekumpulan aktivis PSM yang ditahan di plaza Tol Sungai Dua itu cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Beliau berkata ini berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan dilihat mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

"Antaranya risalah dan baju T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, kesemua mereka ini mempunyai kaitan dengan PKM," katanya kepada pemberita di Kepala Batas hari ini.

Abdul Rahim berkata, mereka dilihat cuba menghidupkan balik fahaman komunis dengan menyebarkan risalah-risalah berkaitan berkenaan kepada rakyat di beberapa kawasan di Kepala Batas.

"Polis terpaksa menahan kesemua mereka kerana membawa unsur menghasut rakyat untuk membenci kerajaan dan ini adalah sesuatu yang serius serta boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Semalam, 14 wanita dan 17 lelaki yang ditahan itu dibawa ke ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini untuk diambil kenyataan mereka.

Abdul Rahim berkata seorang daripada aktivis berkenaan dibebaskan kerana masih di bawah umur manakala 30 yang lain kini direman bagi membantu siasatan.

Katanya perintah reman bagi kesemua mereka yang berusia 18 hingga 64 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

Beliau berkata perintah reman dibuat mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Dalam reaksinya, setiausaha agung PSM, S Arutchelvan menyifatkan tindakan polis itu sebagai tidak masuk akal dan cuba menggambar parti itu sedemikian untuk menakut-nakutkan orang ramai. -mk




Ulasan GB

Ketawa besar melihat telatah UMNO BN yang semakin semput. Semakin merapu dan meraban. BERSIH nak perangi Agonglah, nak hidupkan fahaman komunislah, nak gunakan ISA terhadap penganjurlah, nak gunakan tenteralah...

Di zaman dimana kita berada di dalam era teknologi maklumat ini, masih ramai rupanya mentaliti lembu yang cuba nak mengugut dan memperbodohkan rakyat sedemikian rupa.