29 Apr 2010

Mahathir Akui BN Menang Kerana Tiupan Api Perkauman PERKASA

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini memuji Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwanya berjaya meningkatkan sokongan masyarakat Melayu kepada Barisan Nasional pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

“Mungkin, sumbangan PERKASA, kerana kebanyakan orang Melayu mengundi untuk BN. Kita tak tahu, Dulu ramai orang Melayu tidak sokong BN. Jika BN tidak menyokong PERKASA, kita tidak akan mendapat undi Melayu.

“Dan jika kita tidak mendapat undi orang Cina, undi itu akan pergi ke Pakatan (Rakyat) lah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan kertas kerjanya yang bertajuk '"Malaysia As A Maritime Nation - Are We There? di Institut Maritime di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir juga mengulangi bahawa isu-isu perkauman tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum.

"Seorang bercakap sesuatu, maka orang lain akan membalas. Jika anda cakap orang itu bersikap perkauman, maka mereka akan kata anda seorang bersikap perkauman," katanya.

Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata BN harus melakukan analisis mengenai sokongan kaum Cina yang berkurangan kepada gabungan itu pada pilihan raya kecil tersebut.

Ditanya sama ada krisis dalaman MCA yang berlarutan sebelum ini merupakan salah satu faktor, Dr Mahathir berkata: "Semua parti komponen BN - MCA, Gerakan, MIC dan Umno, juga mempunyai masalah masing-masing." -mk

Ulasan GB

Pertama, semua orang kenal PERKASA, sebuah badan NGO yang tebal sifat perkauman Melayunya yang dikatakan mesra-BN.

Di dalam perhimpunan mesyuarat agong yang pertama, TDM yang telah merasmikannya.

TDM memang dahaga platform untuk bersuara setelah hampir 8 tahun dia diketepikan sewaktu era Tun Abdullah sebagai PM.

Kini dia bernafas sedikit di era Najib.

Hairannya TDM memang kenal sangat dengan perwatakan Ibrahim Ali, tetapi sengaja memberikan sokongannya kepada PERKASA kerana itu satu cara untuk dia menghentam UMNO yang telah menyisihkannya sekian lama.

UMNO tak lantik TDM apa-apa jawatan dalam parti. Kerajaan pun tak berinya apa-apa jawatan selain dari jawatan Timbalan Menteri kepada anaknya Mukhriz.

Dan kini TDM mengakui bahawa PERKASA lebih vokal menyuarakan hal-hal kemelayuan daripada UMNO. Sekaligus memperakui bahawa kemenangan BN di Hulu Selangor adalah permainan isu perkauman kemelayuan yang membolehkan BN mendapat sokongan dari orang Melayu semula.

And Mahathir, let me quote your own words: Menang tak dapat semua, kalah tak hilang semua.

BN menang di Hulu Selangor, tapi slogan 1 Malaysianya hancur lebur apabila sokongan masyarakat Cina merudum dengan api perkauman yang dimainkan oleh PERKASA semata-mata untuk menarik sokongan kaum Melayu. Justeru BN akan hanya didokongi UMNO secara sendirian selepas ini.

PR kalah, namun tapaknya semakin kukuh didokongi oleh masyarakat berbilang bangsa untuk menjulang parti itu sebagai pengganti BN sebagai pemerintah di negara Malaysia tercinta selepas ini.

What say you TDM?


Jawapan Musa Hassan Dedahkan Keangkuhan Polis

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membidas kritikan pelbagai pihak berhubung kematian remaja berusia 14 tahun - Aminulrasyid Amzah dan berkata beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-udnang atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan The Star online.

Musa mengulas kenyataaan pelbagai pihak berhubung kematian Aminulrasyid, apabila polis melepaskan empat tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu kerana didakwa cuba berundur dan merempuh ke arah polis.

Kejadian itu berlaku di Seksyen 11, Shah Alam apabila Aminulrasyid dikatakan memecut dan melanggar beberapa lampu isyarat merah tanpa berhenti meskipun diarahkan berbuat demikian.

Menurut Musa, beliau tidak mahu membuat seberang spekulasi mengenai perkara itu dan meminta orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang kejadian.

Beliau juga mengulangi jaminannya bahawa tiada apa yang akan disembunyikan berhubung kes itu.

"Saya tak berat sebelah, jangan buat spekualsi. Seperti yang saya kata sebelum ini, kami tak akan menyembunyikan apa-apa dan kami akan berlaku adil dalam siasatan kami. Oleh itu, tunggulah hasilnya nanti," katanya dalam laporan Bernama.

Ditanya tentang keadaan yang membolehkan polis menggunakan senjata api, beliau berkata: "Orang saya tahu bahawa mereka hanya boleh menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, itu sudah menjadi peraturan dalam tugas kami".

Musa berkata sesebuah kenderaan itu sama bahayanya dengan pistol, pisau atau tukul.

"Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata... senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa," kata beliau.

Sebelum ditembak, mengikut polis Aminulrasyid mengundur kereta dan cuba merempuh pegawai polis untuk cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya berhampiran rumahnya.

Musa juga menasihati orang ramai supaya berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis atau pegawai penguatkuasa dan jangan cuba melarikan diri kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan rasa curiga.

"Dalam keadaan gelap itu, siapapun tak akan dapt pastikan sama ada pemandunya adalah seorang remaja atau orang dewasa.

"Setakat itu saja yang boleh saya komen tentang isu ini kerana ia sedang disiasat. Oleh itu, jangan buat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara menderma darah oleh anggota polis di Pusat Darah Negara bersempena sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur hari ini. -mk

Ulasan GB

Prosedur menembak perlu diperbetulkan. Di dalam kes yang menimpa adik Aminulrayid Amzah dan Norizan Salleh, jelas menunjukkan bahawa polis telah melepaskan tembakan secara wewenangan TANPA benar-benar pasti mereka adalah penjenayah.

Ada banyak kaedah lain yang boleh digunakan. Mengapa polis tidak menembak tayar kereta misalnya, tetapi terus menerus menembak figur manusia di dalam kenderaan?

Apakah modus operandi sedemikian dilakukan selama ini dengan kemudiannya mengisytiharkan simati adalah "penjenayah yang dikehendaki yang mempunyai rekod jenayah sekian-sekian banyak" untuk melepaskan polis daripada bertanggungjawab tanpa perlu membawa kes itu ke mahkamah lantaran mangsa sudah tiada lagi?


Masyarakat agak terperanjat dengan jawapan biadab Ketua Polis Negara seperti dilaporkan di atas. Ini kerana kamu-kamu polis dibayar gaji oleh rakyat untuk menjaga keselamatan dan mengurangkan jenayah. Rakyat tidak menyatakan bahawa kamu-kamu tidak perlu lagi mengawal keselamatan tetapi yang rakyat inginkan ialah supaya polis berlaku benar dan professional di dalam menjalankan tugas kamu sebagai anggota polis.

Mungkinkah ini akibatnya dengan melantik orang yang berlagak sombong dan tak reti menjalankan tugas sebagai Ketua Polis Negara?

Tan Sri Musa Hassan perlu menghormati suara rakyat dan kes ini telah dibawa dan disuarakan sehingga ke peringkat parlimen. Beliau juga perlu menghormati kabinet kerana kes ini juga telah pun dibawa ke kabinet.

Kabinet perlu tegas dengan menganggil Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Selangor yang telah membuat kenyataan memperlekehkan suara rakyat apabila mereka mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang melulu dan seolah-olah menunjukkan bahawa tiada yang lebih berkuasa di dalam negara selain polis.

KPI dan NKRA yang meletakkan sasaran supaya kadar jenayah dapat dikurangkan tidak menjadi prioriti PDRM dengan tidak mengendahkan lansung mutu kerja yang professional tetapi mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan sesuatu kes iaitu TEMBAK MATI!

Fitnah Kickdefella Untuk Jatuhkan TGNA, Pemuda PAS K'tan Cabar Dedahkan Siapa Biaya RM4 juta

Dewan Pemuda PAS Kelantan mencabar penulis blog Kickdefella, Syed Azizi Syed Abdul Aziz, mendedahkan siapa yang didakwanya membayar RM4 juta kepadanya untuk mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan.

“Bila dia (Syed Azidi) sebut terima RM4 juta, menjadi tanggungjawab dialah untuk mendedahkannnya. Ia daripada tulisannya. Kalau betul (dakwaannya), dedahkanlah,” cabar ketua penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari (gambar).

Selepas dipecat daripada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) November tahun lalu oleh menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab Rahman – peneraju PMBK ketika itu - Syed Azidi menjadi tumpuan kerana kerap mendedahkan pelbagai dakwaan 'kepincangan' dalam kerajaan pimpinan PAS itu.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai dakwaan Syed Azidi dalam blognya semalam.

“Kami Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu. Jadi kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat Dewan Pemuda yang akan datang.

“Kita tidak tahu perkara tersebut (isu peruntukan RM4 juta), mungkin pihak atasan tahu. Kita tidak tahulah,” kata beliau yang juga setiausaha akhbar menteri besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat.


Ditanya bilakah dewan tersebut akan bermesyuarat, Ahmad Fahdli yang juga seorang pensyarah agama di sebuah kolej milik kerajaan negeri menjawab: “Dalam masa terdekat”.

Ahmad Fadhli yang dilantik sebagai setiausaha akhbar Nik Aziz sejak Februari lalu, diminta mengulas dakwaan Syed Azidi bahawa beliau (Syed Azidi) menerima peruntukan tersebut dalam tempoh tiga tahun bagi pelbagai aktiviti “Operasi Gerak Saraf”.

Menulis dalam blognya semalam, beliau yang juga digelar “Sheikh” di kalangan penulis blog, dilaporkan merujuk kepada kenyataan Ahmad Fadhli dan tulisan seorang lagi penulis blog – Abdul Rahman Talib (Tulang Besi) - yang didakwa menyifatkannya (Syed Azidi) sebagai 'seorang yang kecewa dan membuat pelbagai pembohongan'.

Dalam coretannya berjudul 'Saya yakin Nik Aziz akan kena dakwa – jawapan kepada S/U akhbar MB Kelantan dan Tulang Besi' semalam, Syed Azidi mencabar Ahmad Fadhli menyiasat perbelanjaan wang itu dan membuktikan sama ada ia digunakan bagi tujuan peribadi.

Sementara Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai “Tulang Besi” pula dicabar menyiasat dan mendedahkan nama individu yang membiayai aktiviti yang ditaja itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini ini, Ahmad Fadhli berkata Dewan Pemuda PAS Kelantan tidak akan melayan cabaran daripada seorang “penulis blog murahan”. -malaysiakini

Ezam Senator : Ayam Sabung Najib Dapat Habuan

Perlantikan mantan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Ezam Mohd Nor sebagai Senator adalah ganjaran kepada serangan politik terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim semenjak 10 pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Demikian menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin sambil menyifatkan Ezam tidak mempunyai kredibiliti dan wibawa serta tidak mempunyai jasa kepada negara untuk dilantik sebagai senator.

"Ini menjejas dan mencemarkan institusi negara dan bertentangan dengan perlembagaan negara kerana beliau tidak ada jasa kepada rakyat dan negara ini.

"Pada saya, ini bentuk suapan dan habuan politik hasil serangan bertubi-tubi beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Terbukti Ezam merupakan ayam sabung kepada Datuk Seri Najib Razak," tegas Shamsul lagi kepada Suara Keadilan.

Menurut laporan portal berita The Star Online, Ezam merupakan salah seorang dari empat yang lain dilantik sebagai Senator termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan. -TVS

Khir Toyo Tiup Api Perkauman - Gerakan

Kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohamad Khir Toyo di dalam blognya supaya Barisan Nasional (BN) menyemak semula dasar kerajaan terhadap kaum Cina di Selangor susulan pendirian kaum itu yang lebih berpihak kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu dikritik.

Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) Datuk Chang Ko Youn berkata, komen yang dikeluarkan Khir adalah tidak bertanggungjawab dan berunsur perkauman serta boleh menimbulkan salah faham orang-ramai.

Menurutnya, kenyataan tersebut seolah-olah mempersoalkan demokratik Malaysia iaitu bebas memilih dan membuat undian terhadap calon mana yang dikehendaki jelas sekali menentang konsep 1Malaysia seperti dilaungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Khir bukan sahabat BN apabila cuba membangkitkan sentimen perkauman yang tidak baik untuk masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Tumpuan pengundi Cina di Hulu Selangor yang lebih berpihak kepada parti pembangkang tidak wajar dijadikan isu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian semalam.

Ko Youn berkata, semua pemimpin BN seharusnya membantu Perdana Menteri menjaga perbuatan dan kata-kata dalam menunaikan wawasan 1Malaysia kerana apa yang dinyatakan Khir boleh menjejaskan kredibiliti BN sebagai parti yang mewakili semua rakyat Malaysia.

Menurutnya, ini adalah masa untuk kepimpinan BN bekerjasama sebagai satu pasukan memahami masalah kaum Cina sekali gus mendapatkan semula keyakinan dan sokongan mereka.

“Sikap menuding jari dan menuduh mana-mana parti atau komuniti hanya akan memburukkan keadaan yang langsung tidak membawa kebaikan kepada negara,” katanya.

Khir, dalam blognya mendakwa dasar Kerajaan Negeri di Selangor yang bergantung pada kuasa orang Cina perlu diberi perhatian dan dinilai kerajaan hari ini agar pengorbanan pengundi Melayu dan India dihargai.

Menurutnya yang merujuk kepada PRK Hulu Selangor, kaum Cina memilih untuk setia kepada Pakatan Rakyat bukan bersandarkan isu pembangunan dan polisi sebaliknya ramai rakyat Selangor beranggapan yang menguasai kerajaan hari ini adalah DAP manakala Menteri Besar sekadar pembuat kenyataan bukan keputusan.

“Saya berharap Datuk Seri Najib dan saf kepimpinan BN melihat semula semua polisi ini dan menghargai pengorbanan pengundi Melayu dan India,” katanya. -SH

Ulasan GB

Slogan 1Malaysia hanya satu fantasi, satu penipuan. Hakikatnya minda pemimpin-pemimpin UMNO masih terkepung dengan semangat nasionalisma sempit dan berpegang kepada konsep assabiyah yang hanya memperjuangan "keris"nya.

Islam telah lama kuburkan fahaman assabiyah yang kini bangkai assabiyah itu dipikul oleh UMNO. Perjuangan PERKASA dan tulisan Khir Toyo adalah manifestasi dari perjuangan kebangsaan sempit itu yang diberikan "endorsement" oleh pemimpin tertinggi UMNO BN.

Jadi, 1 Malaysia hanyalah satu utopia di dalam BN. Konsep itu hanya mampu "dilaksanakan" dengan sempurna oleh Pakatan Rakyat tanpa perlu berslogan kosong seperti yang dilakukan oleh UMNO. Slogan I Malaysia UMNO hanyalah satu replika kepada 1 Israel, tidak lebih dari itu.


Apa Lagi Orang Cina Mahu? - Kolumnis Utusan

Kegagalan meraih sokongan orang Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor baru-baru ini terus menghantui Umno dan sekutunya.

Bagai tiada isu untuk dimainkan, akhbar pro-Umno sekali lagi membangkitkan isu perkauman dengan menyerang 'orang Cina Malaysia' secara halus.

Tindakan sebahagian besar orang Cina yang tidak mahu kembali kepada parti kerajaan dilihat bukan sahaja mewujudkan rasa tidak puas hati kerajaan, malah jika diperhalusi, menimbulkan kebimbangan yang terlampau pada parti itu.

Kolumnis kontroversi Utusan Malaysia, Cuit Zaini Hassan, dalam tulisannya ' Orang Cina Malaysia, Apa Lagi Yang Anda Mahu?' cuba meniup api perkauman dengan mempertikaikan kemewahan dan kesenangan yang diperolehi orang Cina di Malaysia.

"Orang Cina di Malaysia hidup lebih daripada biasa-biasa," lapornya.

Zaini dalam tulisannya juga dcuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan membayangkan sejarah tragedi 13 Mei, perarakan penyapu, sikap cauvinis dan gelombang bawah tanah yang bakal berulang sekiranya rakyat tidak berhati-hati dengan DAP.

"Saya juga sering mengaitkan cita-cita DAP yang mahu 'pulun' semua sekali pengaruh Cina di negara ini," akui penulis itu.

Sama seperti ucapan beberapa pemimpin Umno sebelum ini, isu kerakyatan dan sejarah kehadiran orang Cina ke tanah melayu tidak pernah diabaikan.

"Ternyata, percaturan datuk moyang mereka dulu berbaloi. Mereka dapat apa yang mereka mahukan. Mereka hidup mewah di bumi bertuah Malaysia ini.

"Malah, bukan Malaysia sahaja, Singapura pun mereka kuasai sepenuhnya. Singapura bukanlah negara asal mereka. Orang Cina Singapura pun asalnya adalah dari tongkang yang sama bersama-sama orang Cina Malaysia," katanya seperti dipetik media.

Menurutnya, pilihan raya umum 2008 bukanlah satu ujian sebenar bagi proses demokrasi di negara ini dan ia terjadi hanyalah kerana kecelaruan fikiran orang Melayu ketika itu.

DAP dituduh mencuri peluang itu dan mengakibatkan tsunami politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

"Apa lagi yang mereka mahu? Apakah mereka masih merasakan merekalah penentu kepada sesuatu keputusan pilihan raya di negara ini?" tulis kolumnis itu.

Selain itu, kenyataan Lim Kit Siang dalam ucapannya di rapat umum penutup selepas keputusan PRK Hulu Selangor diumumkan turut dimainkan.

"Lim memberitahu para hadirian yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, keputusan itu sebenarnya ialah kejayaan kepada 'rakyat' Hulu Selangor.

"Tanpa mahu menyentuh perasaan orang Melayu di situ, beliau sebenarnya merujuk 'rakyat' itu sebagai orang Cina Hulu Selangor yang rata-rata tidak memberi undi kepada BN, tapi sebaliknya memihak kepada DAP," petik media lagi.

Perbandingan yang dilakukan Zaini dalam tulisannya turut menyentuh soal pendidikan dan pekerjaan.

"Kebanyakan pelajar-pelajar di kolej-kolej swasta yang terbaik di Malaysia dipenuhi oleh pelajar-pelajar Cina. Orang Melayu hanya mampu ke kolej milik kerajaan dan yang tidak ternama. Pusat-pusat membeli belah di kompleks-kompleks ternama di Malaysia dipunyai oleh orang Cina.

"Di organisasi korporat dan swasta, orang Cinalah yang menguasainya. Orang Melayu boleh di bilang jari dan pekerja bawahan. Malah, kini mahu mohon kerja di situ pun perlu faham cakap Mandarin, sebagai prasyaratnya," ujar Zaini dalam tulisannya. -erapakatan

Prosedur Tembak Perlu Dikaji Semula

Pimpinan DAP akan menghantar satu memorandum kepada polis bagi mengkaji garis panduan berkaitan prosedur melepaskan tembakan, kata Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, kajian itu penting supaya tragedi melibatkan remaja berusia 15 tahun Aminulrashid Amzah yang mati ditembak polis, tidak berulang kepada insan lain.

Gobind berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 9 ketika menemani saksi utama memberi keterangan.

"Polis perlu adakan siasatan dalaman atau kaji semula garis panduan. Bila boleh tembak, bila perlu tembak, bagaimana prosedur sebenar. Ini akan dibangkitkan dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, DAP memandang berat isu berkenaan berikutan ia bukan pertama kali menjadi pertikaian umum.

"Kami dalam DAP akan menghantar memorandum kepada ketua polis negara supaya perkara ini dikaji dan diselesaikan. Kita tidak hendak perkara macam ini berlaku lagi," katanya.

Tegas Gobind, garis panduan prosedur menembak penting bagi menjamin keselamatan orang awam.

"Kita perlu ada garis panduan yang lebih jelas, yang lebih mendalam. Kajian perlu dibuat dan perlu ada peruntukan khusus bila masanya polis boleh mengunakan senjata api. Kalau digunakan, apakah skop?

"Saya mahu tegaskan, kita menghormati dan faham kerja polis sampai nyawa pun terancam. Isunya bila perlu guna senjata api atau soal peraturan sedia ada mencukupi untuk memastikan tragedi ini tidak berulang," katanya. -TVS