18 Okt 2010

Tokoh UMNO Sabah, Karim Ghani Keluar Parti

Ahli politik veteran yang membawa Umno ke Sabah, Datuk Karim Ghani, hari ini mengumumkan keluar parti itu.

Beliau adalah antara bekas pemimpin parti Usno, termasuk Tun Datu Mustapha Datu Harun (pengasas Usno), yang memainkan peranan penting membawa Umno ke negeri itu pada 1990-an.

Usno dibubarkan untuk memberi laluan kepada Umno bertapak di Sabah.

Karim berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibupejabat Umno di Kuala Lumpur dan pejabat parti itu di Kota Kinabalu, awal hari ini.

Beliau berkata, keputusannya untuk meninggal Umno itu berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, beliau akan kekal tanpa parti sehinggalah menemui parti politik yang sesuai untuk disertainya.

Karim berkata, beliau sudah bosan dengan kegagalan Umno untuk memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat Sabah.

- Bernama

2 Pengetua Rasis Telah Digantung Tugas Serta Merta - Nazri

Parlimen: Pengetua Telah Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR: Dua pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sudah ditukar ke Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

“Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Putra, Kulai telah ditukar ke Jabatan Pelajaran Johor sementara Pengetua Bukit Selambau telah ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda,” katanya ketika Sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung tindakan kerajaan terhadap pengetua yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

“Dalam kes membabitkan pengetua dari Kulaijaya tindakan telah diambil dengan pegawai kanan itu sudah pun digantung perkhidmatan bermula 13 Oktober lalu.

“Dalam tempoh prosiding siasatan, kakitangan kerajaan terbabit telah dilarang daripada meneruskan perkhidmatannya. Bagi kes pengetua Johor, terdapat ramai saksi (yang menghadiri) perhimpunan sekolah ketika insiden didakwa berlaku, justeru banyak keterangan perlu diambil,” katanya.

Mohamed Nazri menegaskan, kerajaan kini dalam proses akhir untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua guru berkenaan.

“Semua pihak harus faham ini adalah kali pertama seorang pegawai kerajaan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

“Jadi ia makan masa sedikit untuk menyiasat dan ambil tindakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang ingin tahu mengapa kerajaan lambat mengambil tindakan terhadap guru-guru terlibat.

Jelasnya, situasi ketika kejadian juga perlu diambil kira sebelum sesuatu hukuman dijatuhkan, sama ada guru berkenaan benar-benar mempunyai niat menghasut atau berada dalam keadaan marah.

Bagi kes di Bukit Selambau, Mohamed Nazri berkata, guru itu telah diberi amaran oleh Kementerian Pelajaran dan dia telah memohon maaf secara terbuka.

“Paling penting, mereka telah digantung tugas serta-merta bagi membolehkan siasatan dijalankan. Siasatan perlu mendalam sebelum mereka boleh disabitkan dengan pertuduhan.

“Kita tak mahu penyiasatan yang ‘flip-flop’ akhirnya menyebabkan keputusan yang dibuat tidak memuaskan hati,” katanya.

Remaja Maut Di Tragedi Lebuhraya Berhampiran Tol Senawang

Seremban: Seorang remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler di Kilometer 252.7, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran plaza tol Senawang dekat sini, pagi ini.

Jurucakap polis berkata kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 5.45 pagi itu, ketika Foo Hui Theng, 19, yang menumpang kereta tersebut bersama empat lagi termasuk pemandu kereta Liu Ah Gan, 55, dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta yang dinaiki mangsa dipercayai rosak dan bergerak perlahan ketika berada di lorong ketiga lebuh raya dan ketika hendak memberhentikan kereta di lorong kecemasan kereta yang mereka naiki tiba-tiba dirempuh oleh sebuah treler dari arah belakang.

Ekoran rempuhan itu, belakang kereta terbabit remuk dan mangsa yang berada di tempat duduk belakang tersepit di tempat duduk. Mangsa yang cedera teruk di kepala dan badan mati di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja''afar Seremban di sini untuk bedah siasat, sementara Liu yang cedera parah di kepala dan kaki dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Isteri Liu, Tan Siew Neo, 49, serta anak lelaki mereka dan seorang lagi penumpang remaja perempuan hanya cedera ringan. -Bernama

Usah Cari Lagi Perisian Cetakrompak Di Plaza Low Yat

Plaza Low Yat halau penyewa disabit kesalahan cetak rompak

KUALA LUMPUR: Plaza Low Yat akan menghalau penyewa yang disabitkan dengan cetak rompak bagi menyokong usaha anti-cetak rompak kerajaan.

Pengurus Besar Pengurusan Hartanah dan Operasinya, Michael Lee, berkata langkah proaktif itu akan melengkapkan kempen anti cetak rompak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang dilancar pada Mei tahun lalu.

"Inisiatif ini menyaksikan tindakan kami untuk terus komited menjadi pusat beli-belah teknologi maklumat yang tulen 100 peratus.

"Kami gembira mendapat sokongan daripada kerajaan dan juga gergasi perisian seperti Microsoft," katanya pada pengumuman untuk meneruskan kerjasama dengan Microsoft bagi memerangi cetak rompak di sini hari ini.

Lee berharap inisiatif Plaza Low Yat itu dicontohi plaza IT lain.

"Kami menyeru semua pusat beli-belah di Malaysia menyertai kami memerangi cetak rompak ini," katanya.

Pengurus Besar Pengeluaran Kelengkapan Asli Microsoft Malaysia, Low Sin Yip, berkata berdasarkan kepada penyelidikan International Data Corp, pasaran cetak rompak bernilai AS$453 juta setahun. - BERNAMA

Tg Muhammad Fa-iz Dilantik Sebagai Pewaris Kesultanan Kelantan

Tengku Muhammad Fa-iz Petra pewaris Kesultanan Kelantan

KOTA BHARU: Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra, adinda kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V, dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan dan pewaris takhta Kesultanan Kelantan, berkutkuasa serta merta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, berkata keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri (MPN) yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ibrahim.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan gelaran Tengku Mahkota Kelantan berlangsung di Istana Negeri di Kubang Kerian pada 2 petang tadi.

Mohd Aiseri memberitahu satu sidang akhbar bahawa mesyuarat MPN itu dihadiri oleh 14 daripada 15 anggotanya kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang tergugur secara automatik sebagai anggota kerana tidak hadir mesyuarat sebelum ini tanpa keizinan majlis itu.

Tengku Muhammad Fa-iz, 36, adalah anakanda kedua Sultan Ismail Petra daripada empat beradik. Dua lagi ialah Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Muhammad Fa-iz yang diputerakan di Istana Kota Lama pada 20 Januari 1974, dilantik sebagai Tengku Bendahara Kelantan pada 30 Mac 1989 dan menjadi Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 21 Jun 2009.

Mohd Aiseri berkata, mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz bakal menjadi raja atau pemangku raja apabila baginda Sultan Kelantan berangkat ke luar negara melebihi 12 bulan atau tidak boleh menjalankan tugas sebagai Sultan dalam tempoh berkenaan.

Beliau juga berkata, mesyuarat MPN itu tidak membincangkan mengenai pelantikan Tengku Temenggong kerana mesyuarat hari ini adalah untuk menentukan pewaris yang bakal menjadi raja.

"Pelantikan Tengku Temenggong hanya sebagai pelengkap sahaja dan tidak membabitkan pewaris yang bakal mewarisi takhta kesultanan Kelantan," katanya.

Gelaran Tengku Temenggong sebelum ini adalah milik Tengku Muhammad Fakhry Petra namun ia ditarik balik oleh Sultan Muhammad ke-V baru-baru ini. - BERNAMA




PERISYTIHARAN TENGKU MUHAMMAD FA-IZ PETRA SELAKU TENGKU MAHKOTA KELANTAN

Sukacita dimaklumkan bahawa sekitar jam 9.00 pagi esok, 18 Oktober 2008 (Isnin), Majlis Perajaan Negeri Kelantan dijangka akan melangsungkan mesyuaratnya di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Majlis Perajaan Negeri Kelantan, di dalam mesyuaratnya itu, dijangka akan menasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, supaya:
1. Memilih dan melantik Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja).
2. Mengurniakan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan.

Bertindak di atas nasihat Majlis Perajaan Negeri Kelantan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, dijangka akan:
1. Memilih dan melantik Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja).
2. Mengurniakan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan.

Perisytiharan pilihan dan pelantikan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Waris (Bakal Raja) di samping perisytiharan pengurniaan kepada Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra akan gelaran Tengku Mahkota Kelantan ini dijangka akan dibuat oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan merangkap Setiausaha Kerajaan Kelantan, Dato' Mohd Aiseri Alias, di Istana Negeri, Kubang Kerian, sekitar jam 12.00 tengahari esok, 18 Oktober 2008 (Isnin).

Kedua-dua perisytiharan ini adalah dibuat berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) sepertimana berikut:

27. (1) Maka pilihan dan pelantikan Bakal Raja hendaklah diperbuat oleh Raja dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri, yang hendaklah melihat kepada kelayakan-kelayakan anak yang sulung, kepada yang lebih dekat darjah Waris Raja dahulu daripada yang lebih jauh, mengikut Hukum Syarak, dan di dalam setiap-tiap darjah, Waris kepada yang tertua, dahulu daripada yang muda.

27. (2) Maka bolehlah Raja, dengan nasihat Majlis Perajaan Negeri, mengurniakan kepada Waris, akan gelaran TENGKU MAHKOTA, Kelantan, yang akan dinamakan di dalam bahasa Inggeris sebagai “Crown Prince of Kelantan”.

29. Dikecuali ada syarat yang berlainan di dalam Perkara 31 Bahagian ini, maka Waris hendaklah orang Melayu daripada darah raja, keturunan zuriat Raja-Raja Kelantan, seorang lelaki yang beragama Islam, bermazhab Ahlu’s Sunnah wal Jamaah, tiap-tiap seorang daripada waris yang lain itu hendaklah orang yang seumpama itu juga.

30. (1) Maka Waris hendaklah anak yang diperanakkan daripada nikah yang halal mengikut Hukum Syarak dan undang-undang yang berjalan kuasa pada masa itu dan diakui daripada tubuh badan dan darah daging KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN ISMAIL PETRA IBNI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA.

30. (2) Maka keturunan zuriat yang akan berhak menjadi Waris hendaklah putera, cucunda putera, cicitnda putera dan sebagainya daripada sebelah lelaki, dari selapis ke selapis keturunan hingga akhirnya sekali, oleh itu hendaklah tidak dibenarkan sekali-kali dan hendaklah menjadi tidak sah jika dilantik menjadi Waris akan mana-mana orang selain daripada keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, selagi ada seorang keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu: Dengan syarat keturunan zuriat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang tersebut di atas itu tidak akan berhak, jika ia difikir dan ditetapkan, selepas disiasat dengan sepenuh dan secukupnya oleh Majlis Perajaan Negeri, ada mempunyai kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat Waris, iaitu, apa-apa pengidapan yang berkekalan, seperti hilang akal, buta, bisu atau pun mempunyai sifat-sifat yang keji yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak menjadi Waris.

Versi bahasa Inggerisnya:

XXVII. (1) The choice and appointment of the Heir shall be made by the Sovereign on the advice of the Council of Succession, who should look to the merits of the first born, to those of nearer degree of kin to the Sovereign, according to Hukum Syarak, before the more remote, and within each degree, to the elder, before the younger.

XXVII. (2) The Sovereign may, on the advice of the Council of Succession, confer on the Heir, the title of TENGKU MAHKOTA, Kelantan, to be called in English the Crown Prince of Kelantan.

XXIX. Save as otherwise provided in Article XXXI of this Part, the Heir shall be a person who is a Malay of royal blood, a descendant of Kelantan Sovereigns, a male, and of the religion of Islam, Ahlu’s Sunnah wal Jamaah; each of the other Heirs shall also be such a person.

XXX. (1) The Heir shall be issue lawfully begotten of a marriage solemnized in accordance with the Hukum Syarak and any other law regulating Muslim marriages in force at the time and an acknowledged descendant of the body and flesh and blood of HIS ROYAL HIGHNESS SULTAN ISMAIL PETRA IBNI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA.

XXX. (2) The descendant who shall be eligible to become the Heir shall be a son, grandson, great-grandson and so on of the male line, first one generation after another until the last, that is to say, it shall not on any account be permitted and it shall be unlawful to elect as Heir any person other than a descendant of His Royal Highness Sultan Ismail Petra, so long as a descendant as above of His said Royal Highness exists: Provided that a descendant of His said Royal Highness shall not be eligible, if he is considered and determined, after full and complete enquiry by the Council of Succession, to have some grave and serious defect derogatory to the quality of an Heir, that is to say, any infirmity such as insanity, blindness, dumbness or possessing some base qualities on account of which he would not be permitted by the Hukum Syarak to become an heir.

Kedua-dua perisytiharan ini bagaimanapun tidaklah menjejaskan kedudukan dan kuasa Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, iaitu satu jawatan yang disandang oleh Baginda mulai dari tarikh 21 Jun 2009, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) sepertimana berikut:

28. Maka Waris hendaklah tiada mempunyai sebarang kuasa pun pada mengambil bahagian dan tidaklah harus mengganggu di dalam mana-mana hal ehwal Negeri atau Kerajaan, melainkan hanyalah apabila ia mendapat titah daripada Raja amnya atau di dalam mana-mana perkara yang tertentu ataupun bagaimana yang boleh dikuasakan di bawah Bahagian ini, dan syarat ini hendaklah terpakai juga kepada Waris-Waris yang lain: Dengan syarat jika sekiranya mana-mana orang itu dilantik menjadi pegawai dalam Negeri, maka Perkara ini hendaklah tidak terpakai pada menjalankan tanggungan-tanggungannya tatkala memegang jawatan itu.

Versi bahasa Inggerisnya:

XXVIII. The Heir shall have no authority whatsoever to take part nor may he interfere in any affairs of the State or Government, excepting only when he shall have the command of the Sovereign generally or in any particular case or as may be authorized under this Part, and this provision shall apply also to the other Heirs: Provided that if any such person is appointed to be in office in the State, this Article shall not apply to the performance of his duties while holding such office.

Dengan jangkaan terpilih dan terlantiknya Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra, yang menyandang gelaran Tengku Bendahara Kelantan mulai dari tarikh 30 Mac 1989, selaku Tengku Mahkota Kelantan ini maka akan lengkaplah dan akan sukar digugatlah sistem pewarisan takhta dalam institusi kesultanan Kelantan.

Pemilihan dan pelantikan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra selaku Tengku Mahkota Kelantan ini dijangka tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada mana-mana pihak pun memandangkan kepada hubungan teramat akrab yang sedia terjalin di antara Baginda dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, selama ini.

Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra, selaku seorang yang berpendidikan tinggi, juga adalah seorang individu yang berpegang teguh kepada prinsip dan yang sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada kakanda Baginda.

Maklumat lanjut mengenai kedua-dua perisytiharan ini dijangka akan diberikan oleh Setiausaha Majlis Perajaan Negeri Kelantan merangkap Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Mohd Aiseri Alias, di dalam sidang media beliau di Istana Negeri, Kubang Kerian, sekitar jam 3.00 petang esok, 18 Oktober 2008 (Isnin).

Allahu Akbar. -thekelantaninsider


Gempa Di Tawau Lemah Seperti Petunjuk PR Tak Bersedia Di Batu Sapi

Gempa lemah dikesan di Tawau

TAWAU: Gempa bumi lemah berukuran 3.8 pada skala Richter dikesan berlaku di Tawau kira-kira jam 4.37 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kira-kira jam 5.05 pagi tadi di sini menyebut bahawa pusat gegaran itu dikesan di latitud 4.4 Utara dan longitud 118.1 Timur iaitu lapan kilometer dari barat laut Tawau.

Menurut kenyataan itu, gegaran lemah dapat dirasai di sekitar Tawau dan jabatan itu sedang memantau perkembangan berkenaan dan akan memaklumkan orang ramai jika ada perkembangan terbaru. - BERNAMA


Batu Sapi: DAP, PKR belum putus wakil bakal tanding

SANDAKAN, 17 Okt — Dua parti pembangkang, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini belum memutuskan wakil mereka dalam Pakatan Rakyat untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi.

Pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Chew berkata parti itu akan berbincang dengan parti lain dalam pakatan tersebut di negeri ini sebelum memutuskan nama calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Katanya nama calon yang bakal diputuskan untuk mewakili Pakatan Rakyat akan diumumkan selepas dikemukakan kepada penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

“Biarlah pucuk pimpinan menentukan, kami tidak mengira calon daripada parti mana dalam Pakatan Rakyat yang akan dihantar bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Pejabat Pehubungan DAP Sandakan di sini hari ini.

Belia berkata DAP sudah bersedia menggerakkan jentera dari akar umbi untuk berkempen dan pelbagai isu akan dibangkitkan dalam pilihan raya kecil itu nanti bagi membolehkan mereka mendapat sokongan daripada masyarakat secara keseluruhannya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu adalah pada 26 Oktober dan jika ada pertandingan pengundian didakan pada 4 November ini. — Bernama



Calon Batu Sapi; PKR dalam dilema

SANDAKAN: Ketua Cabang PKR Batu Sapi Hasnar Ibrahim hari ini mempertikaikan cara Pakatan Rakyat (PR) memilih calon untuk pilihan raya kecil(PRK) Batu Sapi.

Menyifatkannya sebagai tidak mengikut cara yang betul dan menimbulkan pelbagai persoalan, beliau memberi amaran kepada pemimpin PR mengenai kesan serius jika mereka mahu menampilkan calon pilihan dan terus mengenepikan calon tempatan.

Beliau berkata, PKR Sabah minggu lalu mengadakan satu pertemuan tertutup untuk menentukan calon bagi kawasan Parlimen tersebut.

Selian dirinya sendiri, Hasnar mendakwa PKR Sabah mempunyai empat calon lain yang berada dalam senarai, selain diberikan mandat untuk menentukan calon sendiri bagi Batu Sapi.

Mereka adalah Ketua PKR Sabah Thamrin Jaini, Ketua Cabang Tuaran, Ansari Abdullah, Christina Liew (Kota Kinabalu) dan Kong Hong Ming (Tawau).

Bagaimanapun namanya dan Ansari dikatakan telah disingkirkan dan digantikan dengan penyandang Naib Presiden PKR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Bekas Timbalan Menteri Persekutuan Datuk Kalakau Untol.

Hasnar juga kecewa apabila tidak dimaklumkan daripada menghadiri mesyuarat Sekretariat PR Sabah pada tengahari semalam di Hotel Sandbay.

Berhenti layan kami seperti boneka

Beliau juga mendakwa Thmarin telah membatalkan perjumpaan mesyuarat seperti yang dijadualkan namun meneruskannya di tempat lain tanpa pengetahuannya.

Malah, beliau juga diberitahu mesyuarat tersebut kekurangan korum.

"Ini tidak betul dan kami terutamanya Cabang PKR Batu Sapi tidak mengalu-alukan Jeffrey dan Kalakau," katanya yang menyifatkan kedua-dua pemimpin itu mempunyai ‘fikiran tajam’ dan sukar dijangka.

Hasnar percaya namanya dan Ansari digugurkan daripada senarai asal calon Batu Sapi disebabkan percaturan yang menginginkan Thamrin dicalonkan mewakili parti itu.

"Saya mendapat maklumat terdapat seseorang dalam jawatankuasa yang mencalonkan Thamrin, namun ia bertentangan dengan kehendak ahli dan penyokong PKR Batu Sapi yang lain," katanya yang turut mendakwa ada beberapa nama calon yang lebih layak menjadi pilihan cabangnya.

Bekas tahanan ISA yang ada kaitan dengan pendedahan krisis kad pengenalan palsu rakyat Malaysia pada awal tahun 90-an itu turut mengingatkan pemimpin PR supaya menghormati janji untuk mengembalikan kuasa autonomi kepada pemimpin PR Sabah untuk menentukan isu tempatan.

"Berhenti melayan kami seperti boneka," tegas beliau.

Beliau juga menggesa pemimpin PKR Pusat agar berhati-hati terhadap pemimpin yang menjadi ‘gunting dalam lipatan’ parti itu.

PKR Tak Dapat Turun Sepenuhnya Di Galas Dan Batu Sapi Kerana Pemilihan Sedang Berlansung

Pemilihan PKR tidak ditangguh walaupun ada pilihan raya kecil

PETALING JAYA, Pemilihan PKR peringkat pusat yang akan berlangsung secara berperingkat-peringkat mulai 29 Oktober ini tetap diteruskan walaupun ia berlangsung di sebalik pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai tarikh penamaan calon sementara 4 November pula hari membuang undi bagi kedua-dua pilihan raya kecil tersebut.

Kita akan tetap teruskan pemilihan peringkat pusat ini walaupun ketika itu ada kempen pilihan raya kecil.

“Tiada penangguhan bagi pemilihan ini. Kita ada jentera yang akan menguruskan hal kempen dan ada yang menguruskan pemilihan parti,” kata Timbalan Setiausaha Agung PKR Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman pada sidang media di sini petang ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS akibat barah usus pada 27 September lalu.

Sementara kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat. -TMI

Kedua-dua Adik Beradik Tertuduh Kes Sosilawati Bukan Lagi Peguam

Tertuduh kes Sosilawati dan adiknya bukan lagi peguam

KUALA LUMPUR: Tetuduh pertama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan adiknya kini tidak dibenarkan bertindak sebagai peguam cara dan peguam bela.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak dengan kos permohonan N Pathmanabhan dan juga adiknya N Surendran supaya mahkamah mengetepikan perintah Lembaga Tatatertib Peguam-peguam yang membatalkan nama mereka sebagai peguam berdaftar.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh yang membuat keputusan itu di dalam kamar juga menolak permohonan kedua beradik itu supaya perintah Lembaga Tatatertib itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan terhadap permohonan itu.

Peguam T Rajasekaran yang mewakili responden M Rajeanteran memberitahu pemberita dengan keputusan tersebut Pathmanabhan dan adiknya yang juga pernah ditahan sebagai suspek dalam kes yang sama, tidak boleh bertindak dalam mana-mana urusan sebagai peguam termasuk pembelian hartanah.

Rajeanteran adalah anak guam kedua beradik itu dalam pembelian satu hartanah pada 1999 dan beliau yang menyedari ditipu membuat aduan polis pada 2003. Pihak lembaga mula menyiasat aduan Rajeanteran pada 8 Februari 2007 hingga 5 November 2009.

Pada 24 November tahun lalu, kedua adik-beradik itu memfailkan notis usul pemula memohon agar perintah Lembaga Tatatertib bertarikh 5 November 2009 diketepikan dan perintah lembaga itu digantung sementara menunggu perbicaraan dan keputusan notis usul pemula.

Di dalam notis itu Pathmanabhan dan Surendran menyatakan perintah Lembaga Tatatertib itu tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal kerana pihak lembaga tidak mematuhi Seksyen 103, D(1) Akta Profesyen Undang-undang 1976 apabila ia tidak menyatakan sama ada pihak lembaga menerima atau menolak keputusan atau pengesyoran Jawatankuasa Tatatertib.

Mereka juga mendakwa pembatalan pemohon daripada daftar peguam Mahkamah Tinggi Malaya adalah tidak sah kerana Jawatankuasa Tatatertib tidak memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan keterangan seorang saksi penting serta terdapat keterangan saksi yang tidak boleh dipercayai.

Sementara itu, di dalam afidavit balasan, Rajeanteran berkata, siasatan yang dijalankan pihak lembaga dan jawatankuasa selama enam tahun adalah sah dan kesemua saksi penting telah dipanggil.

Katanya, kedua pemohon telah menyediakan suatu writ saman dan penyata tuntutan untuk menipunya.

Menerusi keputusan Lembaga Tatatertib, dua beradik itu didapati terbabit dalam penjualan jual beli dan menandatangani dokumen itu dengan menyamar diri sebagai peguambela dan peguamcara pada bulan Disember 1998 sedangkan mereka belum lagi diterima masuk sebagai peguamcara.

Mereka hanya diterima masuk setahun kemudian pada Disember 1999. Lembaga itu juga mendapati mereka menyamar sebagai peguamcara di sebuah firma guaman di Banting dan setahun kemudian berkhidmat di syarikat Pathma Nall Nalli&Partners.

Lembaga juga mendapati adik-beradik itu mengemukakan satu surat kuasa palsu.

Turut hadir hari ini ialah peguam Biliwi Singh mewakili Lembaga Tatatertib dan Robert Lau mewakili Majlis Peguam. -Bernama

Seruan Untuk Dr.Xavier: "Jangan Aniaya Kami"

Kuala Selangor: “Kami sudah tiga generasi tinggal di estet ini. Kami desak supaya diberi pampasan sewajarnya dan jangan aniaya kami sebegini,” kata R Lobat, 42, wakil penduduk di Ladang Coalfield, Sungai Buloh, Ijok, dekat sini, semalam.

Lobat mendakwa, seramai 24 keluarga yang mendiami perumahan di situ diberhentikan kerja awal tahun lalu selepas majikan menukar operasi ladang kepada kawasan perumahan menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan tetap dan lebih memilukan mereka diarahkan berpindah.

Katanya, penduduk di situ diberikan pilihan dengan membeli rumah kos rendah dengan harga RM42,000 dan diberi sejumlah pampasan, bagaimanapun mereka gagal mendapatkan pinjaman bank berikutan faktor usia dan tiada pendapatan tetap.

“Kami dijanjikan akan diberi rumah teres yang akan dibina di atas tanah seluas empat hektar dan wang pampasan RM30,000.

“Jadi, kami mahu tawaran itu, bukan diberi pilihan beli rumah kos rendah. Lagi pun mana kami nak cari duit untuk bayar dengan hanya bekerja sebagai pengutip bunga, buruh kasar, pencari besi buruk dan kelindan lori,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Difahamkan kira-kira 100 penghuni di situ turut mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin) Dr Xavier Jayakumar, namun mereka masih gagal mendapatkan hak sewajarnya.

Penduduk turut membawa kes itu ke mahkamah melalui kesatuan pekerja ladang bagi menuntut hak mereka.

Lobat berkata, pihaknya terkejut selepas membaca laporan akhbar baru-baru ini yang dibuat Xavier mendakwa masalah mereka selesai, tetapi sebaliknya berlaku.

“Kenyataan itu mengelirukan. Kami tidak menerima sebarang jawapan pihak majikan mengenai pampasan yang dijanjikan itu dan kenyataan Xavier mengelirukan kami.

“Kami dianiaya. Kebanyakan penduduk di sini tidak tahu membaca dan menulis dan ia diambil kesempatan pihak tertentu untuk aniaya kami,” katanya.

Penduduk, M Susila Kumary, 54, berkata dia mempunyai 10 anak dan menaruh harapan supaya diberikan hak sewajarnya.

“Saya tak tahu nak mengadu di mana, ada wakil rakyat, tetapi dia tak boleh membela nasib kami,” katanya. -BH

Ulasan GB

Dr Xavier Jayakumar yang menjadi calon Naib Presiden PKR sepatutnya lebih prihatin terhadap masalah rakyat, bukan untuk merebut jawatan di dalam parti.

GB pernah nyatakan: Kita perlu buktikan kerja-kerja kita secara bersungguh-sungguh. Berlumba-lumba membuat kebaikan bukan berlumba-lumba untuk jawatan.

Kes ini serupa dengan kes di SINI.

4 Maut Dalam Dua Kemalangan Berasingan

Dua pelajar perempuan maut

Kemaman – Dua pelajar yang sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan maut apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 119, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat pekan Kemasek kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku apabila sebuah motosikal dinaiki mangsa, Nur Amalina Saimin dan rakan karibnya, Nur Ain Abdul Rahim yang kedua-duanya berusia 17 tahun dirempuh sebuah kereta jenis Proton Persona ketika berhenti di lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supritendan Abdullah Sani Salat memberitahu, akibat rempuhan itu kedua-dua pelajar tersebut tercampak beberapa meter di atas jalan raya.

“Nur Amalina maut di tempat kejadian kerana kecederaan teruk di kepala dan badan manakala Nur Ain yang membonceng motosikal itu pula meninggal dunia di Hospital Kemaman,” katanya.

Beliau yang ditemui di pejabatnya dekat sini semalam memberitahu, pemandu kenderaan berusia 49 tahun dan dua penumpang di dalam kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah mereka melalui Perumahan Rantau Petronas menghala ke pusat beli-belah yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Menurut ibu Nur Ain, Aminah Ibrahim, 54, sebelum kejadian, anaknya meminta kebenaran untuk pergi ke rumah seorang lagi kawannya di Kampung Baru Kemasek kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka bagi menziarah ibu rakannya yang akan mengerjakan haji. -kosmo


Lagi drebar rentung: Van terbakar bertembung kereta

Butterworth: “Jeritan meminta tolong masih terngiang-ngiang di telinga saya walaupun kejadian itu sudah lebih sejam berlalu,” kata saksi membantu mengeluarkan wanita yang terbakar selepas van dinaiki bersama suaminya terbakar sejurus kemalangan di Jalan Bagan Lalang dekat sini, semalam.

Dia yang enggan nama disiarkan berkata, dia menunggang motosikal untuk ke tempat kerja sebelum mendapati sebuah van terbakar ketika melalui Jalan Bagan Lalang kira-kira jam 6.40 pagi.

“Sebaik tiba, saya terdengar suara orang menjerit meminta tolong dari van terbakar.

“Walaupun api sedang marak, saya cuba membantu mengeluarkannya dari van berkenaan tetapi tidak sempat menyelamatkan pemandu van yang turut disambar api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, dia meletakkan wanita berkenaan yang melecur teruk di tepi jalan dan menutupnya dengan kain berikutan pakaiannya hangus.

“Saya masih terdengar jeritan pemandu van yang meminta tolong walaupun sudah lebih sejam. Saya terkilan tidak dapat menyelamatkannya,” katanya.

Van berkenaan dinaiki suami isteri berusia 25 tahun, Lim Kui Thang dan Loh Geik Ting, dari Taman Bagan Lalang dalam perjalanan ke Taman Chai Leng, Prai untuk berniaga. Van dinaiki mereka bertembung Perodua Viva dipandu pekerja industri, A Mogan, 26, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Lim rentung dalam van manakala Loh dilaporkan dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Butterworth, Zulkifli Harun, berkata enam anggotanya bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 6.46 pagi.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati bahagian depan van sedang terbakar tetapi berjaya mengawal api dua minit kemudian.

“Pemandu van didapati rentung dan kami mengeluarkan mayat pemandu Perodua Viva yang cedera parah di kepala,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut mengenai kemalangan itu masih dijalankan.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. -hmetro


GALAS: Calon PAS Sudah Diputuskan. Diumumkan Bila-bila Masa

PAS sudah putuskan calon DUN Galas

KUALA TERENGGANU: Calon yang akan mewakili PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas telah diputuskan dan akan diumum Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata bakal calon PAS dipersetujui sebulat suara Dewan Harian PAS yang bermesyuarat mewakili Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini.

Mustafa yang enggan mendedahkan identiti calon berkenaan, bagaimanapun berkata beliau terdiri dari anak tempatan, tidak pernah menjadi wakil rakyat dan juga pemimpin parti itu di Gua Musang.

"Esok nama itu akan diserahkan kepada Mursyidul Am (Nik Aziz) yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan untuk diumumkan," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, nama berkenaan dipilih daripada enam nama yang disenarai pendek oleh PAS Kelantan termasuk seorang pemimpin Orang Asli di situ.

Katanya, tarikh sebenar pengumuman bagaimanapun belum dimuktamadkan lagi namun difahamkan, parti itu akan memperkenalkan calonnya 20 Oktober ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

Ketika ditanya peluang PAS berdasarkan perkembangan semasa, beliau berkata parti itu masih berada di belakang Barisan Nasional (BN) kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat UMNO dan beberapa faktor lain.

Mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya BN bagi DUN itu, Mustafa berkata tidak dinafikan tokoh veteran itu mempunyai pengaruh tersendiri di Gua Musang.

"Bagaimanapun itu tidak semestinya diterjemah sebagai undi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata langkah SPR mengadakan serentak pilihan raya kecil DUN Galas dan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Sabah, akan memberi kelebihan kepada BN terutama dari segi logistik berbanding pembangkang.

"Bila diadakan dua serentak, bagi kita susah untuk kita beri tumpuan, tapi ini tak halang untuk kita berusaha mencapai kemenangan," katanya.

Mengulas politik Terengganu terutama dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata PAS dan BN negeri itu mempunyai kekuatan seimbang dan masing-masing terpaksa bergantung kepada sokongan pengundi atas pagar untuk membentuk kerajaan. - BERNAMA


Spekulasi sebelum ini

GALAS: CALON PAS SUHAIMI ATAU ZULKIFLI?

PAS dipercayai telah membuat keputusan akhir berkenaan bakal calon untuk diturunkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hujung bulan ini dengan tumpuan memfokus sama ada Suhaimi Mat Deris atau Dr Zulkifli Mohamad.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua nama itu menjadi pilihan terakhir, tetapi Dr Zulkifli yang pernah mencabar Tengku Razaleigh Hamzah di kerusi Parlimen Gua Musang dua tahun lalu kemungkinan besar akan diletakkan sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat kali ini.

Dr Zulkifli merupakan seorang doktor perubatan dan memperoleh undi majoriti dari kawasan DUN Galas berbanding Tengku Razaleigh pada 8 Mac lalu.

Tengku Razaleigh mengatasi Dr Zulkifli di dua lagi kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Gua Musang, sekali gus membawa kemenangan kepadanya.

The Malaysian Insider difahamkan mereka merupakan antara lima nama yang disenaraipendekkan dan menjadi fokus perbincangan malam tadi.

Suhaimi pula merupakan pegawai halaqah berusia awal 40-an, dikatakan membawa perwatakan hampir sama seperti penyandang Che Hashim Sulaima yang meninggal dunia 27 September lalu.

Pakatan Rakyat menerusi PAS pertama kali memenangi kerusi itu pada Mac 2008.

PAS akan mengumumkan calon mereka secara rasmi pada 22 Oktober ini, kata Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Malam tadi, kami mengadakan mesyuarat harian PAS. Nama-nama calon kami teliti selepas Majlis Syura telah memberikan keputusan berhubung kelayakan calon,” kata beliau ketika dihubungi.

Bagaimanapun beliau enggan menyebut nama yang telah dipilih untuk mewakili Pakatan Rakyat di DUN Galas kali ini.

“Saya tidak boleh memberitahu, tungguhlah,” kata beliau ketika ditanya sama ada kemungkinan bakal calon itu lelaki dan kalangan Orang Asli.

“Apa yang boleh saya katakan, dia seorang penduduk tempatan sebagaimana kita mahukan dan disenangi pengundi tempatan, dan jika terpilih menjadi wakil rakyat, kami pasti penduduk tempatan akan gembira memiliki seorang ADUN terbaik bagi mereka,” katanya.

“Calon ini akan memenuhi keperluan penduduk tempatan,” katanya lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata nama calon akan diumumkan oleh Murysidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan pada 22 Oktober.

Che Hashim merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada BN, mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar memberitahu, “kita akan semak semula kesemua nama tersebut dan akan turun ke padang untuk menemui pengundi mengenai calon yang bakal kita pilih.”

“Keputusan hanya akan diumumkan pada 22 Oktober ini dan Mursyidul Am PAS,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata kesemua nama yang dikemukakan adalah kalangan penduduk tempatan Gua Musang.

“Semuanya adalah penduduk tempatan, sama ada Melayu atau Orang Asli kita tunggu sahaja 22 Oktober nanti,” katanya. -TMI


TGNA : UMNO Pinggirkan Roh Agama Dalam Pemerintahan

Skudai – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa pemerintahan kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlalu sekular dan berorientasikan semangat perkauman yang sempit.

Nik Abdul Aziz mendakwa, akibat meminggirkan roh agama dalam pentadbiran menyebabkan berlakunya penindasan, rampasan hak dan ketidakadilan kepada rakyat.

“Pemimpin BN tidak nampak asas dosa dan pahala mengikut acuan Islam. Oleh kerana itu mereka menggunakan undang-undang tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyekat kebebasan bersuara kepada pembangkang dengan tidak memberikan permit (berceramah),” katanya pada forum anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) yang diadakan di Taman Universiti, di sini, semalam.

Menurut Menteri Besar Kelantan itu, bersandarkan faktor tersebut, Pas mengambil keputusan menjadikan strategi menggunakan ilmu ketika berhadapan dengan UMNO dan BN.

“Pas akan tetap lawan UMNO tetapi dengan ilmu. Sebab itu saya suka dan setuju jika dijemput untuk memberikan ceramah dan forum seperti ini.

“Sebagai contoh setiap hari Jumaat, umat Islam semua akan ke masjid untuk mendengar ceramah, ertinya Islam mementingkan ilmu,” katanya.

Nik Abdul Aziz turut menyelar penularan aktiviti rasuah politik sebelum dan menjelang musim pilihan raya yang dianggap sebagai cara terkutuk memenangi hati rakyat.

Menjawab soalan adakah Pas bersedia berkongsi pemerintahan negara dengan kaum lain khususnya Cina sekiranya diberi mandat oleh rakyat, Nik Abdul Aziz berkata, Pas sentiasa bersikap terbuka dalam pemerintahannya terutama sepanjang 20 tahun mentadbir Kelantan.

“Berapa ramai rakyat Cina di Kelantan yang memeluk Islam, sila ke Kelantan dan tanyalah mereka,” katanya. -SH

Gobala Tak Tinggalkan PKR, Serahkan Kepada Pimpinan Penghinaan Azmin Memanggilnya "Pariah"

Saya tak akan tinggalkan PKR’

KULIM - Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan berkata, meskipun mengkritik keras Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didakwanya memanipulasi proses pemilihan parti, itu bukan bermakna beliau tidak sayangkan PKR ataupun sudah membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

“Tidak. Saya belum terfikir mahu tinggalkan parti ini. Saya masih sayangkan PKR,” katanya ketika dihubungi pagi semalam.

Ditanya mengenai kenyataannya pada sidang media di Parlimen Khamis lalu yang beliau dilaporkan berkata, jika tidak ada tindakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk membetulkan keadaan, tidak ada sebab baginya untuk terus bersama parti, Gobalakrishnan berkata, meskipun mengeluarkan kata-kata sedemikian, beliau bukan bermaksud hendak meninggalkan PKR.

“PKR sebuah parti yang bagus. Yang saya tidak puas hati cuma mengenai proses pemilihan. Itu yang saya minta JPP betulkan keadaan,” katanya.

Gobalakrishnan yang akan bertanding jawatan Naib Presiden parti pada pemilihan bulan depan mengakui selepas melempar kritikan keras terhadap Azmin yang juga calon Timbalan Presiden PKR, Khamis lalu, beliau ditegur oleh pimpinan parti.

Calon Naib Presiden itu bagaimanapun enggan menyatakan teguran itu daripada siapa dan bagaimana ia disampaikan.

“Cukup saya beritahu, saya hanya ditegur,” katanya.

Gobalakrishnan berkata, kenyataannya dengan kata-kata “tidak ada gunanya saya masih berada dalam PKR sekiranya pemilihan yang sepatutnya demokratik boleh dimanipulasi oleh individu tertentu” telah disalah tafsir oleh pihak media seolah-olah beliau mahu meninggalkan PKR.

“Saya tidak kata mahu keluar PKR cuma minta JPP bersikap adil dan telus kepada semua ahli dan pemimpin, jangan ada pilih kasih. Saya kata begitu kerana selama ini, ada pihak yang cuba mengenepikan saya tetapi saya masih setia bersama PKR hingga hari ini,” katanya.

“Sekiranya sikap tidak telus JPP masih berlarutan, saya tidak akan dapat apa-apa dari parti. Kenyataan saya disalah anggap hingga ada yang mendakwa saya akan keluar parti. Itu tidak benar. PKR merupakan parti yang baik dalam memperjuangkan nasib rakyat,”katanya.

Mengenai Azmin yang beliau dakwa pernah menghinanya dengan panggilan ‘pariah’, Gobalakrishnan berkata, beliau serah kepada parti untuk mengambil tindakan. -SH

Ulasan GB

Kita tunggu dan lihat samada pimpinan PKR akan mengambil tindakan kepada Azmin terhadap penghinaan Azmin dengan memanggil Gobala sebagai Pariah.

Tapi saya yakin pimpinan PKR TIDAK AKAN BERBUAT APA-APA terhadap Azmin.

Banyak perlanggaran etika yang dilakukan oleh Azmin sebagai calon Timbalan Presiden dipejamkan mata oleh pimpinan PKR sendiri.

Azmin tak ubah PERKASA di dalam PKR. Menjulangkan api sentimen perkauman yang kelak membakar seluruh PKR. Sama-sama kita tunggu.




Engkaukah Itu Si Ular Sawa Batik, Wahai Kuala Nerang?

Dua sawa batik tewas

KUALA NERANG - Pemilik dusun, Ramli Mat, 55, berjaya menewaskan dua ekor ular sawa batik yang mana setiap satunya dianggarkan mempunyai berat sehingga 120 kilogram yang selama ini menjadi misteri kehilangan 50 ekor kambing yang dipeliharanya di kawasan dusun durian di Kampung Rambutan, di sini.

Menurutnya, petang kelmarin secara kebetulan ular sawa yang tidak dijangka berpasangan dengan seekor lagi yang ditembak awal minggu ini, cuba menelan seekor lembu miliknya ketika membawa binatang itu meragut rumput di kawasan dusun itu.

“Kambing saya yang tinggal hanya tiga ekor sahaja. Sebelum ini, selang dua hari hingga tiga hari, seekor kambing saya hilang. 50 ekor kambing ditelan ular sawa ini.

“Secara kebetulan petang ini, saya membawa lembu meragut rumput di dusun, dan ular sawa yang berada dalam semak cuba menggigit kaki lembu sehingga saya terpaksa menembaknya kerana ular itu bertindak agresif,” katanya kepada Sinar Harian, petang kelmarin.

Menurutnya, dia langsung tidak menyangka misteri kehilangan kambing terbabit berpunca dari sepasang ular sawa itu.

Ramli berkata, ular sawa yang dianggarkan mempunyai berat 120 kilogram dan panjang kira-kira 14 kaki itu bagaimanapun tidak pernah ditemui di kawasan dusunnya sebelum ini walaupun giat menjejaki di kawasan dusun berikutan kehilangan kambingnya yang menjadi misteri.

Sementara itu, orang ramai dari kawasan sekitar mengambil peluang melihat ular sawa berkenaan yang diletakkan di tepi jalan sekali gus turut berlaku kesesakan lalu lintas kira-kira setengah jam. -SH


ADUN Kuala Nerang Pertahan Sokong MB Kedah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil memberi penjelasan kepada pimpinan UMNO negeri berhubung kenyataannya menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu air yang mencetuskan kontroversi sejak minggu lalu.

Syed Sobri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, beliau juga bersedia untuk menjawab mengenai tindakannya mengkritik Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim yang mendesak Azizan meletak jawatan jika isu itu terus berlarutan.

“Kenyataan saya mengenai sokongan kepada Menteri Besar hanya berhubung isu laporan kepada SPRM, bukannya menyentuh mana-mana parti politik atau untuk kepentingan peribadi.

“Saya bercakap demi kepentingan rakyat dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika dikehendaki berbuat demikian,” katanya.



Pemuda UMNO sokong boikot bil

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah menyokong kempen memboikot pembayaran bil air yang dirancang oleh Ahli Dewan Undangan Neger i(ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim jika tindakan itu mampu menyelesaikan masalah air yang membelenggu sebilangan rakyat negeri ini.

Ketuanya, Badrol Hisham Hashim berkata, pihaknya perlu mendapatkan maklum balas daripada pemimpin parti di peringkat akar umbi terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada hendak menyertai kempen atau tidak.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu sebarang program yang dijalankan hanya bersifat ‘syok sendiri’ di samping tidak memberi impak terhadap kesejahteraan rakyat.

“Pemuda UMNO tidak pernah menolak sebarang kempen yang menentang dasar Kerajaan Negeri sedia ada jika tindakan itu relevan dan mampu membawa perubahan kepada rakyat.

“Bagaimanapun, kami perlu meneliti dahulu kesesuaian kempen itu sama ada membantu rakyat ataupun tidak,”katanya pada sidang media di sini semalam.

Kepada satu pertanyaan, Badrol berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada akan mengambil tindakan disiplin ke atas ahli UMNO terlibat dalam demonstrasi di depan Bangunan Tunku yang menempatkan ibu pejabat UMNO Kedah, Khamis lalu.

Menurutnya, perkara itu sudah dirujuk kepada UMNO negeri dan pihaknya berharap agar tindakan sewajarnya diambil kerana perbuatan mereka ternyata memalukan parti.

“Saya masih terkejut dan terkilan dengan desakan kumpulan berdemonstrasi diketuai Sobri Sudin (bekas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena) tempoh hari yang mendesak saya meletak jawatan, sedangkan isu yang diperjuangkan ialah isu kenaikan tarif air oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

“Saya minta kesemua terlibat dikenakan tindakan sewajarnya kerana Pemuda UMNO tidak mahu mempunyai ahli yang tidak berkualiti dan berperwatakan seperti pembangkang,”katanya.

Badrol turut membidas Syed Sobri yang dianggap tidak berpendirian tetap dalam memperjuangkan isu kenaikan tarif air.

“Syed Sobri harus menyatakan pendiriannya sebenar sama ada membantah kenaikan tarif air atau tidak. Saya mahu nasihatkan beliau supaya tidak mengambil kesempatan dalam isu ini untuk memperjuangkan politik peribadi, bukan parti,”katanya
.-SH



Ulasan GB

Ada ular sawa batik di Kuala Nerang. Sekejap sokong MB Kedah, sekejap nak buat demo nak boikot bayar bil air!

Allah mendedahkannya dan mujur rakyat berjaya menewaskan ular sawa berkenaan.

Polis Curi Syabu Bukan "Kes Terpencil"

Temerloh: Kertas siasatan mengenai pembabitan 10 anggota, termasuk seorang inspektor mencuri kira-kira 40 kilogram (kg) syabu iaitu sebahagian daripada yang dirampas dalam serbuan di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, Mei tahun lalu sudah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata perkara itu berlaku kerana sifat tamak anggota terbabit sehingga lupa tanggungjawab sebagai polis.

Bagaimanapun, katanya, kejadian itu kes terpencil dan tidak menggambarkan imej keseluruhan anggota polis negeri ini.

“Kita ada arahan dan peraturan yang perlu diikuti semua anggota dan pegawai tetapi kes ini berlaku kerana sifat tamak,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di sini, kelmarin.

Sebelum ini, seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan daripada tuduhan mengedar 753,359 gram syabu bernilai lebih RM270 juta yang dipercayai terbesar dalam sejarah negara, apabila Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah dirampas itu milik tertuduh selain tidak memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Akhtar menyifatkan perbicaraan kes itu penuh kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu oleh pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi kes.

Beliau juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan palsu dan mereka yang melakukan kecurian dadah itu dikenakan hukuman berat dan meminta pendakwa raya mendakwa semua yang terbabit.


Polis Curi Dadah Kes Terpencil, Sharifuddin

TEMERLOH: Anggota dan pegawai polis yang dipercayai terlibat mencuri dadah jenis syabu yang dirampas dalam serbuan terbesar negara di Rompin pada tahun lepas hanya kes terpencil dan tidak menggambarkan imej keseluruhan anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata perkara itu berlaku kerana sifat tamak sesetengah anggota polis.

"Kita ada arahan dan peraturan yang sepatutnya diikuti tetapi ini berlaku kerana sifat tamak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Temerloh di sini, Jumaat.

Beliau berkata kertas siasatan berhubung kes itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, seorang pemandu lori, Lee Yong Toe, 48, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan daripada tuduhan mengedar 753,359 gram dadah di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei tahun lepas.

Ketika membuat keputusan itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu milik tertuduh selain tidak memanggil dua saksi penting berhubung kes itu.

Mahkamah juga mahu beberapa anggota polis yang mengaku mencuri barang kes iaitu syabu seberat 40 kilogram ketika perbicaraan kes itu didakwa.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Penolong Pengarah Perjawatan (Audit II) di Jabatan Pengurusan Bukit Aman, ACP Mohd Nor Mansor, 56, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Temerloh yang baru menggantikan ACP Ahmad Fadzillah Mohamed berkuat kuasa hari ini.

Ahmad Fadzillah yang tidak sengaja mencederakan rakannya semasa memburu di Hutan Simpan Kemasul, Lanchang pada 18 September lepas pula mengambil alih tugas Mohd Nor.

Sharifuddin berkata pertukaran itu merupakan satu cabaran yang perlu ditempuhi dan diambil secara positif oleh Ahmad Fadzillah kerana ia mungkin mengandungi hikmah di sebaliknya. -BERNAMA



Ulasan GB

Kisah polis terlibat mencuri syabu BUKAN kes yang terpencil. Ia tidak boleh samasekali dibiarkan kerana walau "kecil" bagaimana pun, apabila ia melibatkan anggota polis sepatutnya ia adalah satu isu yang besar. Jika mahu menyebut kes ini sebagai terpencil, kita minta yang berkata demikian letak jawatan segera.

Ini kerana anda sebagai kakitangan awam, memencil kes yang besar yang sepatutnya tiada kompromi. Apa hal pagar yang diharapkan tetiba pagar makan padi?

Kedua kes ini adalah kes tahun lepas (Mei 2009), sehingga sekarang tak siap-siap lagi kertas siasatannya. Apa hal sampai siapkan kertas siasatan memakan masa lebih setahun? Mana mutu professionalisma polis?

Polis Tembak Mati 5 Lagi Disyaki Penyamun

Polis Tembak Mati Lima Lelaki Di Kuantan

Gambar: RUMAH mangsa berselerak selepas disamun di Taman Balok di Indera Mahkota, semalam. -BH

KUANTAN: Polis menembak mati lima lelaki dipercayai warga asing di Indera Mahkota di sini selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun, awal pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP T. Narenasagaran berkata sebelum kejadian kesemua lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam satu kejadian samun membabitkan empat sekeluarga di Balok Baru dekat sini pada 3.30 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa telah diikat namun salah seorang anak mangsa yang ketakutan telah menjerit menyebabkan penjenayah melarikan diri bersama telefon bimbit, kad ATM, barang kemas dan wang tunai.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang sedang membuat rondaan telah terserempak dengan sebuah motokar di jalan Kuantan By Pass yang dalam keadaan mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Katanya, polis cuba menahan kenderaan terbabit namun ia terus memecut laju.

Narenasagaran berkata polis kemudian berjaya menghalang kenderaan terbabit di jalan masuk bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Indera Mahkota.

"Anggota terbabit telah memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan penjenayah berkenaan menyerah diri," katanya.

Bagaimanapun katanya penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang dan sabit terus melibas dan menyerang anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan tembakan dan menyebabkan kelima-lima penjenayah mati di tempat kejadian," katanya.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada kesemua penjenayah, kata beliau.

Polis katanya turut menemui semula barangan yang disamun daripada mangsa di dalam kenderaan penjenayah terbabit yang dipercayai dicuri di Cheras pada 2005.

Katanya dengan tertumpasnya kesemua lelaki terbabit, polis percaya berjaya menyelesaikan sembilan kes samun iaitu lima di daerah Maran, masing-masing satu di Bera, Pekan, Temerloh dan Kuantan.

Sementara itu, mangsa Noraini Aziz, 44, ketika ditemui berkata anak perempuannya berumur 20 tahun yang sedang tidur terjaga selepas menyedari seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam biliknya.

"Anak perempuan saya yang terkejut terus menjerit memanggil saya sebelum lelaki berkenaan mengeluarkan pisau dan menunjukkan isyarat diam," katanya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit dan rakan-rakannya terus melarikan diri selepas jeritan itu bersama barangan yang disamun termasuk wang tunai RM20 dan tiga telefon bimbit.

Katanya dia turut mendapati terdapat beberapa pasang selipar yang bukan milik keluarga mereka di bahagian belakang rumahnya. BERNAMA

Rozaliya Hantar 2 SMS Kepada Tunangnya Sebelum Dilaporkan Hilang

Kemaman: “Sebelum itu mereka berdua sering berhubung melalui SMS dan ketika berada di Kuantan, Rozaliya ada menghantar dua SMS kepada tunangnya berbunyi ‘ada dua lelaki sedang mengekori’ dan ‘abang datang cepat, saya takut’,” kata Sabariah Mansor, 42, menceritakan kehilangan anaknya ketika membeli barangan persiapan perkahwinan bersama tunangnya, pada 13 Oktober lalu.

Pasangan itu dijangka berkahwin pada 12 November depan.

Gadis terbabit, Rozaliya Mat Lazim, 20, sebelum itu dikatakan keluar dari rumahnya di No 21, Peringkat Satu, Bandar Ceneh Baru di sini, bersama tunangnya, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, untuk membeli kelengkapan majlis perkahwinan mereka kira-kira jam 11 pagi Rabu lalu.

Sabariah ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, berkata pada hari itu anak gadisnya yang memakai blaus hitam dan jeans gelap, menaiki kereta tunangnya untuk ke bandar Kuantan.

Katanya, selepas membeli-belah di kedai peralatan pengantin berhampiran Pasar Kuantan, Mohd Helmi meminta kebenaran Rozaliya untuk pulang ke pejabat seketika kerana ada urusan penting untuk diselesaikan.

Sabariah berkata, Mohd Helmi meminta Rozaliya menunggunya di sebuah pasar raya besar berhampiran tempat mereka membeli-belah dan akan menjemputnya sekembali dari pejabat kira-kira jam 3 petang hari itu.

Dia berkata, mereka berbalas SMS dan dua SMS terakhir kepada tunangnya berbunyi ‘ada dua lelaki sedang mengekori’ dan ‘abang datang cepat, saya takut’.

Katanya, selepas itu Rozaliya tidak dapat dihubungi dan tunangnya berusaha mencarinya di beberapa kedai berhampiran termasuk di pasar raya tempat mereka membeli-belah sebelum itu sehingga jam 6 petang.

“Helmi menghubungi kami memaklumkan kehilangan Rozaliya dan kami sekeluarga bergegas ke bandar Kuantan untuk mencari Rozaliya tetapi sehingga jam 11 malam masih juga gagal menemuinya,” katanya.

Menurut Sabariah, mereka mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kira-kira jam 12 tengah malam hari sama.

Sehubungan itu, Sabariah merayu orang ramai mengenali atau mengetahui di mana Rozaliya berada segera menghubunginya di talian 019-9418016 atau 019-9178016 atau mana-mana balai polis berdekatan. -HMetro

Proton Satria Neo Dipanggil Semula

Jakarta - Proton Edar Indonesia menarik sebanyak 25 unit Proton Satria Neo produksi 2004-2008 di Indonesia karena Clock Spring bermasalah. Proton sendiri telah menghubungi konsumen di RI yang cinta pada mobil asal Malaysia itu.

"Ada 25 unit Satria Neo yang kita recall di RI. Hari ini kita sudah menghubungi konsumen kita. Dan harapannya mereka mendatangi diler Proton terdekat," kata Head of Marketing Communications PT Proton Edar Indonesia Norita M Noh ketika berbincang dengan detikOto, Jumat (8/10/2010).

Sementara menurut Norita, Proton Gen.2 di RI tidak ditarik karena Gen.2 yang masuk ke RI bukan termasuk kategori recall.

"Kalau Gen.2 tidak kita recall karena produknya berbeda. Yang di-recall tidak masuk ke RI. Gen.2 yang di Indonesia aman," ujar Norita.

Norita menjelaskan konsumen tidak dikenakan biaya sepersen pun akibat cacat produksi tersebut. Soalnya ini salah satu tanggung jawab produsen kendaraan demi kenyamanan dan keamanan pengguna mobil Proton.

"Datang saja, nanti tidak kita kenakan biaya. Semua free," lanjutnya.

Spring Clock Proton Gen2 dan Satria Neo yang rusak bisa mengakibat kelistrikan pada kemudi menjadi kacau. Rusaknya Spring Clock menyebabkan tidak berfungsinya pengatur audio pada kemudi, klakson berbunyi sendiri dan kemudi mengeluarkan suara ketika mobil berbelok.

Bahayanya pada airbag kedua kemudi mobil tersebut bisa mengembang dengan sendirinya. Bayangkan ketika kita sedang mengemudi dan tiba-tiba airbag keluar secara tiba-tiba, tentu membahayakan pengemudi Proton dan pengguna jalan lainnya.

Sementara seperti dikutip Bernama, analis memperkirakan Proton hanya akan menerima imbas kecil dari recall ini.

"Kami melihat adanya dampak negatif dari recall. Hal ini bisa memberikan dampak pada penjualan sampai Proton memberikan lebih banyak lagi klarifikasi soal recall," sebut MIDF Research. -oto.detik