Petaling Jaya, 3 Nov – Kerajaan Barisan Nasional yang cuba menjadi juara rakyat dengan meniru Bajet 2012 Pakatan Rakyat dilihat lebih membawa kerugian, malah mungkin membankrapkan negara.
Ianya dilihat sebagai satu lagi projek pembaziran oleh kerajaan BN apabila mengumumkan akan menambah 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan permohonan bantuan RM500 kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,000.
Adun DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, keputusan kerajaan yang memperuntukkan RM1.8 bilion untuk menjalankan program itu menjelaskan maksud sebenar mereka yang tergesa-gesa mengejar populariti.
Menurutnya, kos mengurus untuk membantu orang miskin lebih tinggi daripada jumlah dan nilai yang akan diterima oleh orang miskin, dan semuanya ini bakal ditanggung oleh pembayar cukai.
Beliau berkata, kos tinggi yang terpaksa kerajaan persekutuan tanggung, iaitu sebanyak RM36 juta setahun jika gaji purata ialah sebanyak RM1,500 sebulan untuk 2,000 pekerja tambahan ini.
“Satu ketika dahulu, kerajaan persekutuan yang didalangi BN mengkritik hebat dasar Pakatan Rakyat kerana dikatakan akan menjadikan kerajaan bankrap.
“Kalau dasar Pakatan akan membankrapkan kerajaan, mengapakah BN pula melaksanakannya sekarang?
“Malah kerajaan persekutuan di bawah UMNO pula dilihat cuba menggunakan duit kerajaan untuk memperkayakan ahli-ahli mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Lau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor, berbanding Belanjawan 2012 Pakatan, peruntukan RM1.8 bilion oleh kerajaan persekutuan langsung tidak memperuntukkan satu sen pun untuk menampung perbelanjaan emolumen.
Justeru beliau mempersoalkan sama ada kerajaan BN sedar akan banyak kepincangan mereka sendiri, sehinggakan perlu mengupah 2,000 pekerja tambahan dan kos tersebut akan dimasukkan dalam Bajet Tambahan.
Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni kelmarin bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengupah seramai 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan program tersebut.
“Mengapakah kerajaan persekutuan tidak menggunakan tenaga kakitangan sedia ada untuk melaksanakan dasar ini?
“Adakah kerajaan persekutuan akan mengambil ahli-ahli UMNO untuk menjalankan program ini dan sekaligus menjadikan dasar ini alat pancing undi?
“Jikalau ini ialah apa yang berlaku sebenarnya, maka ini menunjukkan kerajaan persekutuan tidak merancang program ini sebaik-baiknya daripada permulaaan,” katanya. – Roketkini
SAYA mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menulis perihal perkara ini kerana menghormati mendiang Marco Simoncelli yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri dalam perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Sepang 23 Oktober yang lalu.
Saya adalah sebahagian daripada beribu peminat MotoGP yang berada di tempat duduk utama ketika kejadian itu berlaku.
Kami dapat menyaksikan dengan jelas kemalangan yang berlaku itu menerusi paparan skrin besar yang terletak di atas bangunan paddock bertentangan dengan tempat duduk utama.
Namun begitu apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah gelagat sebahagian besar penonton di tempat duduk utama yang memperlihatkan sisi buruk mereka kepada bukan sahaja para tetamu luar yang turut hadir menyaksikan perlumbaan tersebut tetapi juga kepada anggota-anggota pasukan yang mengambil bahagian dalam perlumbaan itu.
Lebih kurang sejam selepas skrin besar di hadapan tempat duduk utama menyiarkan kenyataan ringkas bahawa perlumbaan dibatalkan, para penonton telah bertindak membaling apa sahaja yang ada di tangan mereka - botol air mineral, payung, air kotak dan juga bungkusan makanan di atas trek sambil melaung-laungkan kata-kata maki ke arah anggota-anggota pasukan yang bertanding.
Gelagat mereka ini telah mencetuskan kehairanan kepada para anggota pasukan yang berada di paddock kerana keputusan untuk menghentikan perlumbaan adalah keputusan pihak penganjur dan pemegang lesen perlumbaan.
Mereka melihat gelagat rakyat Malaysia sambil mengeleng-geleng kepala tanda kecewa seolah-olah rakyat Malaysia tidak memahami mengenai protokol perlumbaan apabila sesuatu kemalangan besar berlaku.
Adalah menjadi amalan bahawa perlumbaan akan dibatalkan jika berlakunya kemalangan besar yang mengancam nyawa pelumba. Kita telah menyaksikan peristiwa ini berulang-ulang kali tetapi malangnya penonton Malaysia memilih untuk memperlihatkan sikap tidak bertamaddun mereka dengan bertindak membaling botol ke atas trek malah menghamburkan kata-kata makian ke arah pelumba dan pasukan mereka.
Mereka tidak bersalah apa-apa di atas keputusan untuk membatalkan perlumbaan.
Ya, memanglah amat malang wang yang dibayar untuk membeli tiket MotoGP ini tidak kelihatan berbaloi jika dibandingkan dengan hanya sempat menyaksikan dua pusingan perlumbaan sahaja.
Tetapi perlumbaan yang mengorbankan pelumba dari Itali itu sememangnya patut dihentikan.
Jika ada sekali pun kelemahan di pihak penganjur yang boleh diambil iktibar agar kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi ialah mereka tidak mengumumkan mengapakah perlumbaan itu terpaksa dibatalkan.
Satu-satunya pengumuman yang dibuat pada hari itu ialah "Perlumbaan Dibatalkan". Itu sahaja. Tiada sebab tiada alasan yang diberi.
Ada yang mengatakan, pengumuman mengenai punca pembatalan perlumbaan memang tidak patut diumumkan selagi pasukan perubatantidak mengesahkan status kecederaan Marco atau keluarganya perlu dimaklumkan terlebih dahulu.
Tetapi orang Malaysia tidak faham akan semua ini. Yang mereka tahu ialah mereka telah membayar wang yang banyak untuk membeli tiket bagi menonton perlumbaan 500cc tetapi kenapa tiba-tiba dibatalkan.
Jadi akhirnya mereka mengamuk dengan melakukan sesuatu yang akhirnya memalukan imej negara dan sukan moto negara.
Saya perhatikan ramai mat salleh yang takut melihat gelagat barbarik penonton Malaysia dengan segera meninggalkan litar Sepang. Saya kurang pasti, apakah insiden yang menakutkan ini akan membawa mereka kembali ke sini tahun hadapan.
Alor Setar: Kira-kira 100 keluarga terpaksa menyambut Aidiladha Ahad ini di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bersatu di sini, selepas rumah mereka rosak teruk dipukul ribut, petang semalam.
Kejadian jam 3.30 petang di kawasan perumahan itu menyebabkan sebahagian rumah mangsa tidak selamat didiami.
Selain rumah, beberapa cermin kenderaan turut pecah akibat dihempap serpihan objek yang diterbangkan angin kencang, manakala ada kabel elektrik terputus menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong sementara bekalan untuk tujuan keselamatan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Gambar:SITI ZAHARAH ZAKARIA membersihkan cermin keretanya yang pecah di Taman Bersatu, Alor Setar semalam.
Difahamkan, kejadian ribut itu adalah yang pertama berlaku dan disifatkan terburuk oleh penduduk setempat sejak kawasan perumahan berkenaan didiami mereka lebih 20 tahun lalu.
Mangsa, Noraini Don, 48, berkata ketika kejadian beliau bersama anak lelakinya sedang berehat di dalam bilik, manakala suaminya, Md Reza Md Said tidur di ruang tamu sebelum sebahagian bumbung rumah mereka diterbangkan angin manakala siling ruang tamu tiba-tiba runtuh.
“Pada mulanya hujan lebat dan lima minit kemudian ribut kencang memukul bahagian atas rumah kami sehingga menyebabkan siling di ruang tamu runtuh.
“Mujur ketika itu, suami sempat menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi dentuman di bahagian bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Gambar: SHAMIR AZRIMI membetulkan atap bumbung rumahnya yang diterbangkan angin di Taman Bersatu, semalam.
Noraini berkata, kejadian itu sekali gus menyebabkan ruang tamu rumahnya musnah termasuk sebahagian dinding runtuh selepas dipukul angin kencang.
“Saya sedih kerana kejadian berlaku ketika beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidiladha dan kami pula terpaksa memikirkan usaha untuk membaiki rumah yang rosak ini,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Sepiah Mahmud, 65, berkata ketika kejadian beliau berada di tingkat atas rumah sedang berzikir sementara menunggu solat Asar sebelum dikejutkan dengan bunyi deruan angin kencang yang meranapkan bumbung rumahnya.
“Keadaan ketika itu sangat menakutkan, saya dengar bunyi angin yang kuat melayangkan bumbung rumah, saya memohon supaya Allah melindungi kami selain terus berzikir sebelum meminta suami melaungkan Azan,” katanya. -BH
Amukan ribut
ALOR SETAR: “Mak cik tak henti-henti beristighfar kerana ingatkan tsunami berlaku. Angin kencang dan kuat ranapkan banyak rumah, tetapi mujurlah tak ada yang cedera atau maut.”
Begitu kata Supiah Mahmud, 65, seorang daripada kira-kira 500 mangsa membabitkan 100 keluarga yang rumah mereka rosak teruk dalam kejadian ribut di Taman Bersatu, Kuala Kedah dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, bumbung lebih 100 rumah terbabit diterbangkan angin manakala beberapa kenderaan mengalami kerosakan.
Supiah berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di tingkat atas rumahnya sebelum terkejut selepas mendengar bunyi deruan angin begitu kuat.
“Mak cik tak senang duduk, mulut mak cik tak henti-henti beristighfar kerana terlalu takut dengan bunyi angin serta ribut yang sangat kuat,” katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam. -HM
Belanja urus T'ganu tertinggi seluruh negara - YB Dr. Syed Azman Syed Ahmad
Saya berkesempatan meneliti Laporan Ketua Audit Negara yang melibatkan negeri Terengganu bagi tahun 2010.
Laporan yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) itu merangkumi penyata kewangan dan pengurusan kewangan jabatan serta aktiviti jabatan dan pengurusan syarikat kerajaan.
Seperti yang disarankan oleh ketua audit negara, kerajaan negeri perlu merancang perbelanjaan dengan cekap dan berhemah selaras dengan dasar kerajaan negeri tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan dan pembangunan ekonomi negeri.
Antara yang perlu diberikan perhatian adalah laporan penyata kewangan yang masih memberi gambaran bertapa tingginya ‘perbelanjaan tahunan’ kepimpinan Datuk Sri Ahmad Said, berbelanja dengan tanggunggan ‘defisit’ (lebihan perbelanjaan) yang masih berada di tahap yang amat tinggi:
i. Perbelanjaan mengurus kerajaan Terengganu pada tahun 2010 antara yang tertinggi di seluruh negara iaitu RM 1,690.22 juta. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
ii. Kedudukan kewangan kerajaan negeri pada tahun 2010 di bawah akaun hasil disatukan mencatitkan surplus sejumlah RM202.73 juta namun baki defisit terkumpul masih berada di tahap yang amat tinggi iaitu RM 496.28 juta.
iii. Kerajaan negeri mengalami penurunan wang tunai sejumlah RM166.79 juta atau 69.4 peratus menjadi RM73.66 pada tahun 2010 berbanding RM240.45 juta pada tahun 2009.
iv. Penyumbang utama hasil kerajaan negeri bagi tahun 2010 masih lagi ‘Terimaan Dana Khas daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,600 juta. Ini hasil ‘royalti minyak’ yang disalurkan dalam bentuk bantuan dana khas.
'Pengkhianatan & penyelewengan'
Analisis Audit juga mendapati pada tahun 2010, pejabat menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri mencatitkan perbelanjaan paling besar iaitu berjumlah RM845.65 juta.
Ini merupakan peningkatan perbelanjaan sejumlah RM280.31 juta atau 49.6 peratus berbanding tahun 2009 yang berjumlah RM565.34 juta.
Peningkatan ini adalah bagi membiayai perbelanjaan pembangunan seperti berikut:
i. Kompleks Istana Baru di Bukit Chendering Kuala Terengganu berjumlah RM104.02 juta. ii. Pembinaan jalan dan jambatan dari Jeram ke Kg Tok Kong berjumlah RM80 juta. iii. Kemudahan prasarana penbangunan serta pembasmian kemiskinan berjumlah RM120 juta.
Begitu juga dengan aktiviti pembalakan di negeri Terengganu. Laporan audit mendapati berlakunya peningkatan aktiviti pengeluaran kayu balak yang amat ketara iaitu sejumlah 255,748 meter padu daripada 304,388 meter padu pada tahun 2009 kepada 560,137 meter padu pada tahun 2010.
Manakala hasil rayolti kayu kayan yang diperolehi oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 adalah amat rendah iaitu RM7.07 juta sahaja. Ya, balak-balak ini untuk apa dan untuk siapa?
Laporan audit juga mengesan beberapa kelemahan yang ketara dalam perancangan, perlaksanaan dan pemantauan oleh jabatan/agensi negeri pada tahun 2010.
Antara kelemahan yang ditemui seperti berikut: Kelewatan pengagihan bantuan kepada pelajar, imbuhan tetap perumahan dan bantuan sara hidup yang masih dibayar kepada pegawai yang menduduki kaurters kerajaan, dokumen teknikal yang tidak dibekalkan, tunggakan bayaran balik pinjaman, tunggakan hasil air, kelewatan menyiapkan pembinaan bangunan dan pambinaan lebuh raya tidak disiapkan mengikut jadual.
Namun ‘pengkhianatan dan penyelewengan’ yang paling ketara adalah program bantuan pakaian dan alatan sekolah antara tahun 2008-10 berjumlah RM28.47 juta.
Kajian audit mendapati bahawa proses rundingan harga tidak mematuhi garis panduan dan kontrak formal antara kerajaan dan pembekal tidak ditandatangani.
Begitu juga dengan proses pengedaran yang tidak sampai kepada sasaran pelajar-pelajar dari keluarga miskin.
Tiada pilihan! Seluruh warga Terengganu yang sayangkan ‘negeri cantik budaya menarik’ ini mesti berusaha keras menolak secara ‘total’ kepimpinan Ahmad Said yang terus berbelanja besar ditengah-tengah kesempitan dan keperitan hidup golongan marhaen yang hanya mengharapkan sesuap nasi bagi menampung keperluan keluarga yang miskin. -mk
Chukai: “Kami teruja dan gembira dapat bertemu keluarga yang pernah bersama nenek dulu. Kami banyak mengetahui kisahnya daripada ibu bapa dan internet,” kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah Maarof atau Maria Bertha Hertogh.
Isu Natrah, wanita berketurunan Belanda menjadi anak angkat kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu, pernah menjadi kontroversi apabila mahkamah memutuskan gadis itu dipulangkan kepada bapanya, sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada 1950.
Sasha, cucu sulung Natrah, bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dibawa dari Belanda untuk bertemu Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat Che Aminah, di Kampung Mak Chili Paya di sini, semalam, atas inisiatif Tourism Malaysia Terengganu dan Tourism Malaysia The Hague, sempena program ‘Building Bridges, iaitu program menggalakkan pelajar luar melancong ke negara ini.
Sasha adalah anak kepada pasangan Jan Van Gastel dan Carolien Van Gastel, manakala Romy adalah anak kepada Frans Wolkenfelt dan Carla Wolkenfelt.
Carolien anak perempuan Natrah, manakala Wolken-felt anak sulung Natrah.
Gambar: ROKAYAH sambil diperhatikan Romy, memakaikan Sasha tudung ketika kunjungan ke rumahnya di Kampung Mak Chili Paya, Chukai.
Kali pertama bersua, dua gadis itu pada mulanya agak kekok, namun keramahan keluarga Rokayah melayani mereka membuatkan suasana bertukar lebih selesa hinggakan suasana hiba terbit apabila Sasha dan Romy mahu pulang selepas kira-kira empat jam bersama. Sasha dan Romy turut bertukar cenderamata dengan keluarga pesara guru itu dan dibawa melawat rumah lama Che Aminah di Kampung Gong Pauh, di sini.
Sasha yang saling tidak tumpah iras Natrah agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi dibantu Romy yang boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak putus-putus berbual mengenai kisah silam dengan Rokayah, yang melayan mereka sambil menunjukkan gambar dan laporan meluas media mengenai Natrah di negara ini.
“Di sana (Belanda) orang tidak ambil kisah kami cucu Natrah, tetapi apabila di sini, kami agak terkejut apabila menjadi tumpuan dan ditemubual seperti ini. Kami diberitahu mengenai perancangan membawa kami ke sini seminggu lalu dan kami sangat teruja.
Gambar: SASHA (kanan) melihat Romy mencuba permainan tradisi Melayu, ‘ting-ting’ yang dipercayai menjadi kegemaran nenek mereka ketika kunjungan mereka ke Terengganu.
“Kami sudah mengambil banyak gambar dengan keluarga angkat nenek dan keindahan Malaysia. Kami tidak sabar untuk berkongsi dengan keluarga di Belanda,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada Tourism Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi, berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar serta lepasan kolej luar negara melawat Malaysia, khususnya Terengganu.
Natrah adalah anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh, berketurunan Belanda. Beliau diserahkan bapanya kepada seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942.
Sejak itu, Natrah yang ketika itu dikatakan berusia lima tahun dibesarkan oleh Che Aminah dan menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan mengikut adat Melayu dan Islam.
Namun, selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah sehingga berjaya menemuinya, namun berlaku perebutan antara Hertogh dan Che Aminah terhadap penjagaan Natrah sehingga terpaksa membuat rayuan di mahkamah dan Che Aminah berjaya mendapat Natrah.
Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun dan pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Selepas itu berlakulah rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus lagi cedera. -BH
Jejak tempat nenek bermanja
CHUKAI: “Nenek (Natrah Maarof) tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada cucu-cucunya. Hanya ibu yang rajin bercerita mengenai kisah dia di Malaysia.
“Semua diceritakan ibu membuatkan saya sentiasa ingin datang ke negara ini dan kini saya amat gembira apabila hasrat itu terlaksana.” Demikian kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah atau nama sebenarnya, Maria Bertha Hertogh yang dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) Terengganu ke negeri ini untuk melihat tempat pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu. Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.
PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.
“Sukar diceritakan bagaimana perasaan saya apabila dapat melihat kawasan yang pernah didiami nenek satu ketika dulu,” katanya.
Dua bersaudara itu semalam dipertemukan dengan Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah di kediamannya di Kampung Mak Chili Paya di sini.
Sasha, anak kepada pasangan Carolein Van Gastel dan Jan Van Gastel berkata, dia dan Romy hanya dimaklumkan mengenai pertemuan dengan Rokayah kira-kira seminggu sebelum berlepas ke negara ini.
“Sejak itu, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya dan berasa amat gembira apabila dilayan dengan mesra,” katanya yang terharu dengan layanan keluarga Rokayah.
Gambar: NATRAH...meninggal 2009
Seperti Sasha, Romy, anak kepada pasangan Frans dan Carla Wolkenfelt, turut berkongsi perasaan gembira dengan pertemuan dengan Rokayah serta keluarganya.
“Sebelum ini, saya hanya melihat keindahan dan keunikan Malaysia melalui pembacaan, Internet dan (cerita) ayah. Namun, program ini peluang keemasan untuk saya lebih mengenali keluarga angkat nenek di Malaysia walaupun kami tidak pernah bersua muka.
“Lebih membuat saya terharu, layanan mereka berikan terhadap saya dan Sasha. Mereka amat mesra dan melayan kami seolah-olah pernah bertemu sebelum ini.
“Walaupun pertemuan hanya sekitar empat jam, ia meninggalkan banyak kenangan manis. Malah, layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu,” katanya yang menggemari makanan pedas di Malaysia.
Bagi Rokayah pula, pertemuan dengan dua cucu Natrah adalah satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.
“Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengan waris Natrah dan selama ini menganggap perhubungan dengan keluarga Natrah sudah terputus,” katanya.
Rokayah, anak kedua daripada lapan beradik, adalah anak kepada Kamariah yang menjadi adik-beradik angkat dengan Natrah ketika wanita Belanda itu dibesarkan Che Aminah Mohamad di Terengganu pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Menurut Rokayah, pertemuan itu sememangnya tidak dijangka apatah lagi selepas ketiadaan ibu saudaranya (Natrah) yang meninggal dunia pada 9 Julai 2009.
“Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berkesempatan bertemu dengan tiga generasi dalam keluarga Natrah sendiri.
“Jika diikutkan, tidak banyak kenangan antara saya dan Natrah apatah lagi ketika itu saya masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus.
“Bayangkan, saya hanya bertemu Natrah pada 1998 iaitu selepas 46 tahun kami terpisah. Ia satu pertemuan yang penuh bermakna sebelum dua anak Natrah, Carolein dan Silvia bersama pasangan masing-masing melawat kami awal Januari lalu.
“Kini, tanpa disangka dua cucunya pula datang. Lebih membuatkan saya tersentuh apabila memandang wajah Sasha yang mirip neneknya (Natrah),” katanya yang juga pesara guru.
Menurutnya, kehadiran dua gadis remaja itu seakan-akan rahmat dan hadiah bermakna sempena sambutan Aidiladha, Ahad ini.
“Pertemuan bukan saja mengeratkan hubungan dua negara tetapi ikatan kekeluargaan yang tidak terputus walaupun berlainan agama dan budaya.
“Apa yang diharapkan, hubungan kekeluargaan ini akan berkekalan. Malah, saya turut menyimpan hasrat untuk melawat keluarga Natrah di Belanda,” katanya. -HM
Susur galur
1937 24 Mac- Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
Disember 1942- Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945- Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945- Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
September 1949- Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949- polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950- Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950- Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura
24 April 1950- Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
28 April- Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
19 Mei 1950- peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
28 Julai 1950- Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
1 Ogos 1950- kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
2 Disember 1950- Ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman – Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
13 Disember 1950- Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950- Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk ‘Welcome Back Bertha’. Mereka dari ‘Bertha Hertogh Comittee’ yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
Gambar: Natrah solat
Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang ‘Di mana masjid di Bergen Op Zoom?’. Natrah minta sejadah, bertanyakan kiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952- Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951- Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951- Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951- Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953- Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya ‘Bertha Hertogh’.
25 Januari 1953- Surat Mansor Adabi kepada Natrah
20 Julai 1953- Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954- Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri. Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
26 Januari 1956- Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956- Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957- Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
20 Januari 1959- Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
3 Februari 1959- Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail ‘Personal – Mansor Adabi’ di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975- Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976- Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru – tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
26 Disember 1976- Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
Gambar:Masa datang ke malaysia jenguk keluarga angkat di kemaman.
1976- Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans – lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983- Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
1984- Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984- Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga… Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
9 Julai 2009 – Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.
Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.
SEGAMAT: Pada 26 Ogos lalu, seorang lelaki mendakwa menemui seorang bayi ditinggalkan di depan sebuah pasar raya di bandar ini dan Selasa lalu, dia ditahan selepas siasatan polis mendapati suspek adalah bapa bayi malang itu.
Tindakan bijak pegawai penyiasat kes yang meminta lelaki berusia 21 tahun itu untuk menyerahkan sampel asid deoxyribonucleic (DNA) selepas mendapati hidung bayi serta lelaki terbabit serupa akhirnya berjaya membongkar penipuan berkenaan.
Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, hasil ujian DNA dilakukan Jabatan Kimia diperoleh pihaknya Selasa lalu, suspek terus ditahan di kediamannya di Felda Selancar untuk membantu siasatan.
“Kami menahan suspek yang bekerja sendiri pada jam 10 pagi, dia tidak mengakui melakukan kegiatan terkutuk itu, tetapi keputusan DNA membuktikan sebaliknya.
“Kami berhempas pulas menyelesaikan kes ini kerana tidak puas hati dengan sikap mereka yang membuang bayi, syukur kerana tindakan bijak pegawai penyiasat dibantu dengan pegawai juga anggota lain berjaya membongkar penipuan itu,” katanya, semalam.
Pada masa sama, menurut Majid, pihaknya turut menahan teman wanita suspek yang berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Genuang, kerana disyaki melahirkan bayi perempuan berkenaan.
Hasil siasatan awal, remaja perempuan terbabit mengaku melahirkan serta membuang bayi itu di depan pasar raya berkenaan.
“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 kerana membuang bayi, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, pada tarikh berkenaan, seorang lelaki mendakwa menemui bayi di dalam kotak diletakkan di depan pasar raya berkenaan pada jam 5 pagi ketika mahu bersahur.
Lelaki berkenaan kemudiannya mendakwa membawa pulang bayi itu ke kediamannya untuk dibersihkan dan diberikan pakaian baru sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Bayi itu kini ditempatkan di pusat jagaan Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang untuk tempoh dua tahun sementara menunggu tindakan susulan. -hm
LAPORAN SEBELUM INI
Tangisan bayi dalam kotak
SEGAMAT: Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bersahur terkejut apabila terdengar tangisan sebelum menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam kotak di depan sebuah pasar raya di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Mohammad Taufik Kamaruddin, 21, dari Felda Selancar sedang memandu kereta apabila terdengar suara tangisan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail berkata cuaca dingin menyebabkan Taufik menurunkan tingkap di sebelah pemandu dan tidak memasang pendingin udara kereta itu.
“Setibanya di lokasi kejadian, Taufik yang memandu perlahan terdengar tangisan bayi lalu memberhentikan keretanya.
“Dia terlihat sebuah kotak di depan pasar raya berkenaan sebelum mendapati ada bayi perempuan di dalamnya yang masih bertali pusat selain tidak berpakaian,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.
Menurut Anuar, Taufik membawa bayi berkenaan pulang ke kediamannya untuk dibersihkan dan dipakaikan baju.
Anuar berkata, Taufik tidak menghantar terus bayi ke hospital atau membuat laporan polis kerana bimbang dituduh membuang bayi berkenaan sebaliknya dia pergi ke IPD Segamat bersama bayi berkenaan untuk membuat laporan polis pada jam 7 pagi.
“Siasatan awal mendapati bayi berkulit sawo matang itu dipercayai Melayu dan seberat 2.7 kilogram,” katanya.
Bayi itu disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Hospital Segamat untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. -HM 26/08/2011
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa penghakiman mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 belum muktamad dan ia kekal sebagai undang-undang, menghampiri tindakan menghina mahkamah.
“Apa yang dibuat adalah keputusan majoriti bukan orbiter dictum (semata-mata pendapat mahkamah),” kata bekas pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berhubung Kebebasan Hakim dan Peguam, Datuk Param Cumaraswamy.
“Sebagai orang terpelajar dalam bidang undang-undang, Nazri sepatutnya mengetahui perkara ini. Ataupun Nazri jahil undang-undang?” soal Param yang adalah juga seorang peguam veteran dan bekas presiden Majlis Peguam.
“Nazri, sebagai jurucakap kerajaan tidak sepatutnya membuat kenyataan seumpama itu kerana beliau boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan itu,” katanya memberi amaran.
Nazri membuat kenyataan itu di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat Jawatankuasa kementeriannya - yang memberikannya imuniti.
Ulasan GB
Apa yang GB ulas semalam mengenai isu tersebut bertepatan dengan apa yang disampaikan oleh Param Cumaraswamy di atas. Petikan ulasan GB:
Kedua-dua menteri berkenaan (Nazri Aziz & Khalid Nordin) sepatutnya sudah boleh dikenakan tindakan MENGHINA MAHKAMAH.
Setiap keputusan mahkamah adalah "undang-undang" yang mengikat dan perlu dipatuhi di bawah Common Law, iaitu sistem undang-undang yang digunapakai di negara ini. Keputusan mahkamah BUKAN sekadar pandangan.
Dua menteri berkenaan juga adalah contoh menteri yang bermentaliti kolot yang masih ingin mempertahankan kuasa melalui pengenaan undang-undnag yang tidak demokratik.
Kangar – Seorang pemuda dipenjara lima bulan selepas tidak mampu membayar denda sebanyak RM2,500 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mengugut ibu kandungnya sendiri.
Mohd. Hafzal Mohd. Din, 29, berasal dari Kampung Batu Bertangkup, Padang Besar didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas ibunya pada 28 Oktober lalu mengikut kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Mohd. Hafzal dikatakan cuba memukul ibunya yang sedang bersiap untuk berniaga dengan gitar kerana enggan memberikan pemuda itu wang RM250 seperti yang dimintanya.
Bagaimanapun, tindakan itu sempat dihalang oleh bapanya yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian.
Ekoran itu, ibunya bertindak melarikan diri ke rumah jiran dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis kerana ketakutan. Mohd. Hafzal diberkas dua jam selepas insiden berkenaan. -kosmo
Usaha konvoi pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk beberapa ADUN Negeri Sembilan untuk melawat projek ladang ternakan lembu Pusat Feedlot Kebangsaan gagal apabila mereka dihalang dan dilarang masuk oleh pengawal keselamatan yang bertugas.
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli minggu lalu berkata beliau akan mengadakan sidang media di ladang itu jika kerajaan tidak memberikan jawapan berhubung beberapa kepincangan yang didakwa membabaitkan projek yang bernilai RM73.64 juta itu.
Sebaik tiba di tapak ladang berukuran 2,000 ekar itu pada tengahari tadi, kira-kira 50 pemimpin Pakatan dan aktivis terpaksa berpanas selama sejam dalam usaha cuba memujuk pengawal keselamatan bagi membenarkan mereka masuk.
“Bagaimana awak boleh halang kami masuk sedangkan menteri yang bertanggungjawab kata kami boleh lawat projek ini kerana ia sesuatu yang berjaya dan tidak mempunyai sebarang salah laku?” soal Rafizi kepada pengawal keselamatan itu.
Wang rakyat
Hujahnya lagi, adalah menjadi prerogatif bagi wakil rakyat untuk meninjau bagaimana wang kepunyaan rakyat dibelanjakan. Namun semua itu tidak dihiraukan.
Sebaliknya, mereka diarahkan meninggalkan kawasan itu. Konvoi itu terpaksa akur dan bersurai pada jam 1.30 petang selepas mengadakan sidang akhbar di pintu masuk ladang berkenaan.
Pada 1 November lalu, Rafizi mendakwa Pusat Feedlot Kebangsaan bernilai RM73.64 juta itu merupakan projek yang tidak berjaya walau dijelaskan sebaliknya oleh menteri berkenaan, Datuk Seri Noh Omar.
"Kita persoalkan sasaran yang menteri kata telah dipenuhi. Ternak 8,000 ekor lembu dalam masa tiga tahun ini, petani di kampung mana-mana pun boleh buat. Tidak perlu ada RM250 juta," kata Rafizi.
Syarikat Agro Science Industries Sdn Bhd – salah sebuah daripada dua syarikat yang dipilih untuk menjayakan Pusat Feedlot Kebangsaan – telah diberikan sejumlah pinjaman daripada RM250 juta yang diperuntukkan dan juga geran sebanyak RM6 juta melalui kementerian pertanian.
Noh juga minggu lalu mengakui bahawa projek berkenaan telah diberikan kepada anggota keluarga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. -mk
Rombongan dihalang tinjau Pusat Fidlot Shahrizat
GEMAS 3 Nov: Rombongan pimpinan KEADILAN yang membuat lawatan ke Pusat Fidlot Kebangsaan hari ini dihalang daripada masuk meninjau ladang lembu itu.
Rombongan itu yang dianjurkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dan Adun Sikamat, Aminuddin Harun disertai kira-kira 30 orang termasuk wartawan dan aktivis NGO, Jingga 13.
Rombongan itu tiba di pusat fidlot itu yang dimiliki National Fidlot Corporation (NFC) pada kira-kira jam 12.40 tengahari namun dihalang pihak keselamatan yang enggan membuka pintu pagar utama.
Rafizi Ramli cuba berunding dengan pengawal keselamatan dan menjelaskan bahawa KEADILAN sendiri telah menghantar surat rasmi kepada pihak (NFC).
Malah, kata Rafizi, Menteri Pertanian dan Indsutri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sendiri sebelum ini pernah menegaskan yang pintu pusat fidlot itu akan dibuka kepada sesiapa sahaja untuk dilawati sebagai bukti ketelusan kerajaan dalam penganugerahan projek itu.
“Ini kemudahan kerajaan. Bukan milik swasta,” kata Rafizi merujuk kepada RM250 juta yang dilaburkan kerajaan BN kepada NFC yang dimiliki keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.
“Kita datang berdasarkan jemputan daripada Menteri Pertanian. (Beliau kata), sesiapa yang mahu datang, beliau akan buka pintu,” kata Rafizi lagi.
Pengawal keselamatan yang menjaga pagar kemudiannya berkata beliau menerima arahan daripada majikannya yang mengarahkan agar tidak menerima sesiapa untuk melawat hari ini.
Rafizi kemudiannya cuba berunding agar NFC membenarkan wartawan untuk masuk dan meninjau kawasan ternakan lembu seluas 5 ribu ekar dan didakwa menternak sehingga 1500 ekor lembu pada satu-satu masa itu.
Beliau juga meminta pengawal keselamatan itu memanggil mana-mana pegawai NFC untuk berunding namun kedua-dua permintaan itu tidak dihiraukan.
Malah, pengawal keselamatan itu juga mengugut untuk memanggil polis jika rombongan itu tidak bersurai dalam masa 10 minit.
Namun anehnya, di dalam pagar NFC sendiri kelihatan 3 orang lelaki yang kelihatan seperti polis Cawangan Khas membuat rakaman video ke atas rombongan terbabit.
NFC mencuri tumpuan orang ramai apabila ia diketahui diterajui Agro Science Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki keluarga Shahrizat Jalil.
Ia diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM250 juta melalui RMK 9 namun sehingga ke hari ini gagal memenuhi keperluan pasaran sebanyak 40 peratus yang sepatutnya dipenuhi.
Sehingga ke hari ini, sebanyak RM141 juta telah diberikan kepada Agro Science dengan RM6 juta dalam bentuk geran dan RM135 juta lagi dalam bentuk pinjaman kadar rendah sebanyak 2 peratus setahun.
Menurut Rafizi, persoalan utama sekarang adalah Agro Science diberikan kadar pinjaman yang sangat rendah oleh kerajaan namun ia gagal melaksanakan tugas utamanya malah ada ura-ura daging lembu yang dihasilkan digunakan untuk memenuhi keperluan restoran mewah keluarga Shahrizat.
Justeru, Rafizi menuntut Shahrizat tampil menjelaskan perkara itu serta membersihkan namanya jika benar NFC dan Agro Science tiada apa-apa untuk disorokkan. -KD
Ulasan GB
Menteri-menteri UMNO BN yang sememangnya berperangai seperti binatang fidlot itu sendiri.
Kononnya pintu pusat fidlot itu akan dibuka kepada sesiapa sahaja untuk dilawati, tetapi itu hanya gimik dan lakonan oleh menteri lembu berkenaan sedangkan apa yang berlaku arahan telah dikeluarkan untuk menghalang sesiapa jua untuk melawatinya.
Memakan wang rakyat kemudian masih terus menipu rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa anak perempuannya bukan berada di Australia semasa beliau menghadiri mesyuarat ketua-ketua kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.
Justeru, katanya orang ramai sepatutnya tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan.
"Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tidak membeli apapun barang kemas," kata Najib dalam Twitter terbarunya yang dipetik Bernama.
Awal minggu ini, laporan berita di The West Australian, mendakwa anak gadis perdana menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) semasa membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia.
Berita itu kemudiannya dipetik oleh para penulis blog pembangkang dan akhbar web rasmi PKR, Keadilandaily.
Selain itu, laporan bertajuk ‘Delegates go shopping and sightseeing’ atau 'Perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar' juga dimuatkan di banyak laman Facebook.
Akhbar Australia itu melaporkan bahawa peniaga membuat keuntungan yang besar apabila seorang wanita pertama yang tidak dinamakan membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' membelanjakan A$60,000.
Ia memetik pengarah negeri bagi CHOGM Richard Muirhead sebagai berkata bahawa aktiviti masa lapang dan ekspedisi membeli-belah berkenaan diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat CHOGM yang ketat itu.
Najib dan Rosmah kini sedang mengerjakan ibadat haji di tanah suci. -mk
Ulasan GB
Bila masa Najib pernah mengaku setiap salahlaku yang dilakukan?
Kedua, hanya gedung David Jones yang tahu samada berita di dalam The West Australian itu benar atau tidak kerana, sepastinya pembelian itu menggunakan kad kredit dan pengeluaran resit tentunya dikeluarkan kepada pembelinya. Siasatan bolh dilakukan oleh sesiapa yang berhajat.
Ketiga, jika berita itu palsu, sebarang penafian tidak mempunyai apa-apa makna kerana bukan rakyat Malaysia saja yang membaca, malah satu dunia sudah menatapnya. Najib & Rosmah perlu menyaman akhbar berkenaan. Tidak cukup beliau hanya membuat penafian yang tidak meyakinkan rakyat itu.