5 Mei 2011

Eskay U-Turn Kerana Takut Qazaf, Laknat Bakal Timpa Wartawan & Blogger UMNO

Eskay Tukar Kenyataan Takut Dakwaan Qazaf

Dalang video seks, Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengangkat sumpah laknat yang menyalahi hukum syarak, semata-mata kerana khuatir dikenakan tuduhan Qazaf bersabit fitnah video lucah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kredibiliti Eskay semakin terhakis saban hari melalui kenyataan yang tidak konsisten seraya menimbulkan kesangsian di kalangan umat.

Berdepan dengan kredibilitinya yang semakin rapuh, Eskay menggunakan kitab suci al-Quran sebagai cara untuk menghalalkan fitnahnya itu di mata rakyat.

"Saya yakin ketidaktentuan kenyataan Eskay berkaitan Anwar dalam video ini tentunya ada kaitan dengan desakan keras daripada kelompok NGO dan rakyat beragama Islam yang meminta Eskay dikenakan tuduhan Qazaf," tambah belau.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah Jawi perlu terus membuat tindakan susulan dan siasatan lanjut terhadap apa yang berlaku di masjid Sentul," kata beliau ketika dihubungi Tv Selangor sebentar tadi.

Setelah mempertontonkan video lucah 21 minit itu kepada wartawan pada 21 Mac lalu, Eskay semalam menafikan beliau menuduh Anwar berzina.

"Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya," kata Eskay kepada pemberita selepas memberi kenyataan kepada Polis Kepong semalam.

Dalam membuat penafian itu, Eskay cuba meletakkan beban fitnah kononnya Anwar adalah pelaku dalam video itu di atas bahu wartawan.

Eskay berkata beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.

“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” kata Eskay kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan beliau.

Eskay hadir ke Balai Polis Kepong semalam memberi kenyataan bersabit kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As, Sentul pada 29 April lalu.

Ditanya pemberita, Eskay tidak dapat menjelaskan kenapa jam Omega yang didakwanya dicuri oleh pelacur terbabit tidak ada dalam rakaman itu.

Eskay juga mengaku beliau muncul dalam video itu tetapi menafikan dakwaan bahawa beliau pembekal pelacur terbabit.

Shamsul berkata penafian Eskay menuduh Anwar semalam bercanggah dengan sumpah laknatnya Jumaat lalu serta kenyataan media yang dibuatnya pada 21 Mac lalu.

Shamsul mahukan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) untuk menjalankan siasatan lanjut dan seterusnya mendakwa trio Datuk T di bawah Seksyen 41 Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan bersabit Qazaf.

Jika didapati bersalah gandingan Datuk T - Eskay, Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim boleh dikenakan tindakan tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Ini semua adalah perangkap politik yang mana kita tahu ianya bertujuan untuk memerangkap Anwar dan bukan niat sebenar. Sebab itu kita kembali ke mahkamah Syariah minta mereka menjalankan pendakwaan mengikut Islam dan itu tindakan yang sepatutnya dilakukan," katanya. -tvsnews



Ulasan GB

Seperti yang GB katakan sebelum ini, SAH bahawa pelaku itu bukan Anwar: Eskay Dah Tak Mengaku Tuduh Anwar. Justeru ternyata kenyataan yang mengkaitkan Anwar sebagai pelaku di dalam video seks berkenaan adalah fitnah yang nyata.

Bukan sahaja Datuk Eskay telah mula ditimpa bahana kesan dari sumpah laknatnya, malah sesiapa juga yang menyetujui fitnah Eskay itu sudah barang pasti juga bakal menerima bahana sumpah laknat itu termasuk dua orang lagi yang mewakilkan Eskay untuk bersumpah laknat, polis yang melindungi dan masih tidak menahan Datuk T, wartawan media arus perdana yang beriya-iya menuduh Anwar sebagai pelaku di dalam video seks berkenaan, blogger pencacai UMNO yang terus-terusan menyemarakkan fitnah Eskay berkenaan dan sesiapa juga individu yang merestui dan bersetuju dengan fitnah Eskay itu.

Ini berdasarkan kepada firmanullah

Orang yang memfitnah orang mukmin, kemudian tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar.Al-Buruj : 10

[Video] Polis Ugut Untuk Campak Peguam Dari Bangunan Seperti Kes SPRM

Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri yang membantah keras penguatkuasaan undang-undang Ordinan Darurat menerima ugutan dari seorang anggota polis ketika menjalankan tugasnya di Ibu Pejabat Polis Derah Gombak semalam.

Ugutan berbunyi "jangan sampai jadi macam SPRM" itu diterima Fadiah ketika mengambil keterangan anak guamnya, Mohamad Arif Abu Samah.

Peguam kepada Fadiah, N. Surendran berkata tindakan anggota polis berkenaan adalah perbuatan melampau yang salah di sisi undang-undang dan boleh didakwa di bawah Seksyen 503 dan Seksyen 506 Kanun keseksaan Imiditasi Jenayah dengan niat menakutkan individu dengan kematian.

Kita memberikan tempoh 24 jam untuk menahan pegawai polis yang terlibat, ugutan ini bukan sahaja kepada individu tetapi terhadap sistem keadilan negara, jika peguam diugut, rakyat akan menderita,” katanya.

Pada sidang media yang diadakan di pejabat LFL hari ini, Surendran menjelaskan anak guamnya ada mencabar anggota polis berkenaan membuang beliau dari tingkap dan ia tidak dinafikan oleh pegawai berkenaan.

Tindakan agresif anggota polis itu kata Surendran jelas melangkaui batas undang-undang yang sepatutnya menjadi amalan mereka.


Ugutan untuk mencampak Fadiah keluar dari tingkap mirip kejadian yang berlaku terhadap mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu.

“Sekali lagi masalah daripada pihak kerajaan, Menteri Dalam Negeri kerana kerajaan terus-menerus melindungi pihak berkuasa setiap kali mereka melakukan kesalahan. Jika berlaku seperti kes Teoh beng Hock, semalam anggota terbabit tanpa rasa takut mengugut peguam untuk menghumbannya keluar daripada tingkap,” katanya yang juga Naib Presiden PKR.

Jelas Surendran, ketika insiden itu, Fadiah menemui anak guamnya yang merupakan satu prosedur biasa terhadap mana-mana individu yang ditahan dan kehadiran anggota polis dilihat bertujuan untuk mengganggu tugas pihak peguam.

Beliau memaklumkan kejadian ugutan ini tertakluk di bawah Seksyen 503 dan Seksyen 506 Kanun keseksaan Imiditasi Jenayah dengan niat menakutkan individu dengan kematian, jika sabit kesalahan hukuman penjara selama 7 tahun boleh dikenakan.

Fadiah sebelum ini membantah keras penguatkuasaan undang-undang Ordinan Darurat ke atas remaja berusia 19 tahun yang membenarkan penahanan tanpa bicara
selama 60 hari.

Menurut Fadiah penggunaan undang-undang berkenaan untuk menahan remaja yang kini adalah anak guamnya begitu kejam memandangkan remaja berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah untuk disabitkan kesalahan. -tvsnews



Tangkap Dan Siasat Gani Patail Segera

Mat Zain gesa Putrajaya tubuh suruhanjaya diraja siasat A-G

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Kerajaan perlu menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat peguam negara dan bekas ketua polis negara, yang tindakan mereka didakwa telah menghakis keyakinan rakyat ke atas institusi pendakwaan dan penyiasatan, kata bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim.

Mat Zain berkata kesalahan-kesalahan yang didakwa melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) dan Tan Sri Musa Hassan terhadap keadilan awam “adalah terlalu besar untuk dimaafkan.”

“Kesalahan-kesalahan mereka sama ada dilakukan berasingan atau dengan niat bersama telah memberi kesan parah yang mendalam dan jangka panjang terhadap sistem keadilan jenayah negara.

“Malah tindakan mereka berdua telah memusnahkan keyakinan rakyat, bukan sahaja terhadap Polis Diraja Malaysia, malahan terhadap Jabatan Peguam Negara sendiri,” kata beliau dalam surat terbuka terbaru dihantar kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, yang diedarkan kepada media hari ini.

Bekas ketua polis Kuala Lumpur itu yang pernah menulis beberapa surat terbuka kepada Ismail berhubung siasatan dan proses pendakwaan berkaitan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu termasuk insiden mata lebam berkata, beliau berpendapat demi keadilan awam sendiri, Ismail selaku Ketua Polis Negara yang baru perlu membawa syor diadakan suruhanjaya siasatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“... supaya suruhanjaya diraja siasatan atau satu tribunal dibentuk menyiasat dakwaan ini secara telus dan menyeluruh serta 'once and for all'.

“Jika fakta-faktanya dibentangkan kepada beliau secara jujur dan teratur, saya yakin YAB Perdana Menteri tidak akan menghampakan rakyat,” katanya lagi.

Musa merupakan pegawai penyiasat ketika kes Anwar muncul pada 1998 manakala Gani pula anggota pasukan pendakwaan.

Kedua-dua mereka kemudian mengetuai polis dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam hubungan ini, Mat Zain berkata, apapun tanggungjawab dan pendirian polis menyiasat sesuatu kes jenayah itu walau berapa lama pun telah berlaku, wajar dikekalkan.

“Walaupun kesalahan-kesalahan jenayah Gani dan Musa didakwa berlaku 12 tahun lalu, tidak bermakna yang ia boleh dilupakan begitu sahaja atau 'swept under the carpet',” katanya sambil merujuk kepada peruntukan tiada sekatan masa untuk sesuatu kes jenayah itu disiasat secara terperinci.

Contoh terbaik boleh dijadikan sandaran kata beliau, ialah kes bunuh beramai-ramai di Batang Kali pada 1948 dan kerajaan telah menyatakan persetujuan untuk menyiasatnya pada 1993.

“Sekiranya dalam kejadian pembunuhan beramai-ramai Batang Kali 1948 telah memusnahkan nyawa 24 orang tempatan, insiden keruntuhan Highland Towers 1993 pula mengorbankan 48 orang, perbuatan Gani dan Musa sejak 1998 telah memusnahkan keseluruhan sistem keadilan jenayah negara.

“Sekiranya tidak ditangani dengan telus dan menyeluruh, rakyat akan mengungkitnya selama mana rakyat mengungkit tragedi Batang,” katanya.

Dalam suratnya Mat Zain berkata, sejak dua minggu ini orang ramai nampaknya bertambah lantang mengecam dan mengutuk tentang cara polis menangani isu video lucah yang dikatakan melibatkan Anwar.

“Malahan terdapat mereka dengan secara terbuka dan berani mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah terhadap pucuk pimpinan polis.

“Melihat tindak tanduk dan kenyataan umum yang dibuat oleh polis sendiri, dan diperbesarkan oleh media, kita tidak dapat menyalahkan rakyat jika berpendirian sedemikian,” katanya lagi.

Secara peribadi kata Mat Zain, beliau merasakan polis terlalu menurut karenah Peguam Negara seolah tidak bebas bertindak sendiri.

Katanya, “sebagai seorang pesara yang mengetahui sedikit sebanyak asal usul isu dalam persoalan, saya berasa sedih dan khuatir sejarah lama akan berulang dan pisang akan berbuah dua kali. -TMI

Ulasan GB

GB sudah ulas sebelum ini. Petikan:

Malaysia dilihat di dalam banyak hal mengikut telunjuk Peguam Negara yang seorang ini yang nampaknya kian hari kian mencengkam untuk melaksanakan agenda-agenda yang hanya dia dan Allah s.w.t saja yang tahu.

Beliau sangat berkuasa di dalam menentukan apa yang perlu dibuat dan apa yang tidak perlu dibuat oleh kerajaan sekalipun apa yang disampaikan sebenarnya hanya untuk kepentingan-kepentingan tertentu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail dikenali oleh rakyat Malaysia sebagai manusia paling hina yang pernah dimiliki oleh negara. Beliau selama ini bertindak seperti beliau seorang Maharaja Paling Berkuasa, memperbodohkan Perdana Menteri dan kabinet serta rakyat seluruhnya dengan melepaskan perahsuah-perahsuah negara serta menakut-nakutkan hakim-hakim dengan bertindak sebagai Pendakwa Raya untuk meminta mahkamah supaya rakyat yang dipandangnya sebagai ancaman kepada pemerintah dihalang daripada diikatjamin.

Selebihnya di: Manusia Paling Berkuasa Di Malaysia

Fenomena "Kepala Air" Punca Tragedi Kanak-kanak Lemas Di Ulu Bendul

TRAGEDI: Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari Norshaza Alisa dan Norshaza Azira (atas dan bawah dalam gambar sisipan), yang kemudian ditemui maut, dan adik mereka, Norshaza Shakinah, yang masih hilang. Gambar ihsan BH

Kuala Pilah - Fenomena kepala air dipercayai menjadi punca tiga kanak-kanak perempuan dihanyutkan arus deras ketika mereka sedang mandi-manda di kawasan perkelahan Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, dan dua adiknya, Nur Syaza Azira, 4 serta Nur Syaza Sakinah, 2, hanyut dibawa arus deras.
Bapa ketiga-tiga mangsa, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 20-an, berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Fenomena yang dianggap luar biasa itu berpunca akibat kewujudan takungan air di puncak Gunung Angsi semasa hujan lebat mengakibatkan kawasan perkelahan terkenal itu dikejutkan dengan arus deras.

Kejadian sama dikatakan pernah berlaku di kawasan rekreasi Lata Kijang, Jelebu, Januari lalu serta di kaki Gunung Berembun
berhampiran Jalan Pantai, Seremban, kelmarin.

Pada mulanya Said menegah anaknya mandi di situ kerana cuaca mendung.

Bagaimanapun, kerana tidak mahu menghampakan hasrat anaknya yang bersungguh-sungguh, Said Ahmad Ibrahim, 28, akhirnya mengalah dan membawa anak kesayangannya itu untuk mandi di lokasi perkelahan berkenaan.

“Anak-anak saya beriya-iya hendak mandi di Ulu Bendul walaupun sudah ditegah kerana hari mulai mendung.

“Ketika sampai di sana, cuaca masih elok. Tidak lama kemudian, barulah hujan renyai-renyai. Saya ingatkan anak-anak saya supaya tidak mandi kerana hujan dan akan datang semula pada hari lain, tetapi mereka bertiga tetap mahu mandi.

“Untuk tidak mahu menghampakan mereka bertiga, saya bawa mereka mandi di bahagian tengah. Ketika itu saya pegang anak perempuan nombor dua dan bongsu. Manakala yang sulung, rakan wanita saya pegang,” katanya.

Menurutnya, ketika itu mereka tidak mengesyaki apa-apa sebelum tiba-tiba dengar deruan air kuat dari arah belakang lalu menghanyutkan mereka berlima.

Dalam keadaan tidak sedar, katanya, dia terlepas kedua-dua anak perempuannya kerana air sangat deras, selain kedua-dua belah kakinya terhantuk batu.


“Semasa kepala air datang ke arah kami, saya memang pegang kuat kedua-dua anak saya supaya tidak terlepas dari pelu­kan. Tetapi, air sangat laju dan menghanyutkan saya, anak-anak serta rakan wanita saya.

“Memang ketika itu, saya tidak dapat berfikir apa-apa dan anak-anak sudah hilang dari pandangan mata. Rakan wanita saya sempat berpaut kepada akar pokok dan berjaya diselamatkan pengunjung di situ. Manakala saya pula, tersangkut di akar-akar pokok diselamatkan oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini, semalam.

Said cedera di kedua-dua kakinya menganggap ini satu dugaan hidup, bagaimanapun dia bersyukur kerana dapat memenuhi permintaan terakhir arwah anaknya.

“Anak-anak saya sempat bergurau dengan atuknya sebelum pergi ke Ulu Bendul, walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, dan dua adiknya, Nur Syaza Azira, 4, serta Nur Syaza Sakinah, 2, hanyut dibawa arus deras.

Manakala, Said dan kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 20-an, berjaya diselamatkan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

Mayat Nur Syaza Alisa dan Nur Syaza ditemui sekitar 500 meter dan 2.5 kilometer dari lokasi mereka dihanyutkan, sementara sehingga malam tadi, gerakan mencari Nur Syaza Sakinah masih diteruskan. -SH


Dua adik-beradik maut, seorang lagi hilang

KUALA PILAH (Negeri Sembilan): Tiga adik-beradik hilang sekelip mata dihanyutkan air deras akibat fenomena 'kepala air' di Sungai Ulu Bendul, dekat sini, kelmarin.

Kejadian itu berlaku sekitar 5 petang ketika Norshaza Alisa, lima tahun; Norshaza Azira, empat tahun; dan Norshaza Shakinah, dua tahun, mandi di sungai itu bersama bapa mereka, Syed Ahmad Ibrahim, 28 tahun, dan seorang rakannya, Cik Alwani Abu Hasan, 20-an tahun.

Mayat Nurshaza Alisa dan Nurshaza Azira ditemui awal pagi semalam, sementara usaha mencari Nurshaza Shakinah masih diteruskan.

Kelima-limanya tidak sempat naik ke tebing apabila air sungai dari kawasan Gunung Angsi tiba-tiba melimpah lalu menghanyutkan mereka.

Seorang saksi yang sedang menyertai program perkhemahan di situ, Encik Turiman Bostam, 40 tahun, berkata beliau nampak air sungai melimpah dengan deras dan terkejut apabila melihat beberapa orang terkapai-kapai di sungai itu.

Menurut beliau, seorang lelaki dan dua kanak-kanak kelihatan tenggelam timbul dan berpusing- pusing dalam limpahan air deras.

'Seorang wanita juga kelihatan hampir lemas. Mujur dia dekat dengan tempat saya berdiri dan tanpa membuang masa saya tarik rambutnya lalu membawanya ke tebing sungai. Lelaki dewasa itu pula diselamatkan orang lain.

'Namun, saya kesal kerana kanak-kanak itu tidak sempat diselamatkan dan hilang dibawa air deras,' kata Encik Turiman.

Lelaki dan wanita yang diselamatkan itu kemudian dikenal pasti Syed Ahmad dan Cik Alwani.

Syed Ahmad telah bercerai dengan ibu tiga anaknya itu, Cik Wan Azlela Wan Abdullah, 33 tahun, yang berada di Senawang, Seremban, ketika kejadian itu.

Beliau bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu tentangnya dan menangis tanpa henti serta pengsan beberapa kali.

Syed Ahmad dan Cik Alwani cedera ringan dan dikejarkan ke hospital.

'Kepala air' ialah permulaan atau penghabisan air bah. -BH




TGNA: Dunia Lebih Aman Tanpa UMNO-BN Berbanding Tanpa Osama

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa dalam konteks Malaysia, dunia lebih aman tanpa Umno-Barisan Nasional (BN).

“Kalau tak ada Umno dan BN, dunia akan lebih aman berbanding kematian Osama (ben Laden),” kata beliau kepada pemberita dipejabatnya di sini kelmarin.

Ujar beliau, “Umno tolak Islam, sedangkan kita orang Islam perlu membela agama Islam. Tetapi Umno suka apabila ada orang Islam mati dibunuh musuh Islam.

Tidak timbul soal pengganas dalam hal kematian Osama. Sepatutnya kita berdoa sekiranya mengetahui ada orang Islam meninggal dunia,” kata beliau yang Mursyidul Am PAS.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam reaksi spontan ekoran terbunuhnya Osama dilaporkan menyebut dunia akan lebih aman, selamat dan adil berikutan kematian Osama.

Kata Nik Aziz, sekiranya Osama benar-benar dibunuh seperti diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Barrack Husain Obama, beliau mendoakan rahmat Allah ke atas rohnya dan keampunan Allah swt buat Osama.

“Sebesar mana pun kesalahan seorang Muslim, jika ia mati dalam agamanya Islam, keampunan terhadapnya harus dipohon oleh saudara Muslim yang lain.

“Adapun keterlibatan Osama dengan keganasan, saya serahkan kepada Allah kerana ia masih belum terbukti melainkan melalui propaganda yang dipelopori oleh Barat,” terang beliau. -FMT



PAS Tidak Angkuh, Tetapi UMNO Terlalu Zalim, Dulu Kini Dan Selamanya

Siapa Pengkhianat Islam? Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Mereka yang menghalang penyatuan UMNO dan PAS digelar pengkhianat Islam oleh Mufti Perlis. Sekilas pandang, siapa jua yang menghalang usaha penyatuan adalah pengkhianat. Justeru penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut.

Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh. Tetapi apabila bercakap soal penyatuan antara PAS dan UMNO, saya sarankan sohibus samahah Mufti Perlis mengkaji terlebih dahulu secara mendalam dan teliti.

2. Antara PAS dan UMNO jangan hanya dilihat pada bangsa dan warna kulit semata - mata lalu disogok agenda penyatuan bangsa melayu. Sebaliknya perlu dilihat bagaimana pula sikap kedua - dua parti melayu itu [PAS dan UMNO] terhadap Islam. Sikap terhadap Islam dan bagaimana mereka menanggapi Islam adalah kayu ukur yang paling penting untuk bercakap soal penyatuan antara kedua parti ini.

3. Sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, namun Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah yang bermaksud :

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.

Surah Aali Imran 103

4. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt yang bermaksud :

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Surah al Anfaal 63

5. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt yang bermaksud :

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.

Surah al Maaidah 2

6. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

7. Penyatuan antara PAS dan UMNO mesti disokong malah wajib diusahakan jika ianya berteraskan Islam dan berobjektifkan taqwa kepada Allah swt. Pengusahanya dijulang dan penyokongnya dialu - alukan. Sementara penentangnya adalah jahat dan pengkhianat.

8. Sebaliknya penyatuan antara PAS dan UMNO tidak boleh dilaksanakan jika ianya tidak diasaskan kepada Islam dan pula berobjektifkan dosa kepada Allah swt. Pengusahanya dilarang dan penyokongnya pula sia - sia. Sementara penentangnya pula adalah hebat dan berwibawa.

9. Bahkan kerjasama yang disertai PAS bersama Pakatan Rakyat adalah kerana Islam dan ianya dilandaskan di atas konsep Tahaaluf Siasi [kerjasama politik] untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional guna menamatkan siri penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kezaliman, penindasan yang dilakukan oleh Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun yang lalu.

10. Tanpa perlu membuang masa lagi, saya mengundang UMNO meninggalkan Barisan Nasional dan meninggalkan segala perbuatan mungkar demi masa depan agama, rakyat dan negara. Ayuh kita bersatu dan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina masa depan dan peradaban baru yang lebih dinamis, jauh dari pengaruh mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Pengusaha yang gigih untuk menamatkan siri keangkuhan kuasa dan sombong dengan dosa yang dilakukan oleh mereka adalah pejuang sementara Penentang usaha inilah pengkhianat Islam !



Mufti Perlis kecewa 'keangkuhan' PAS

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyatakan kekecewaannya terhadap sikap PAS yang disifatkannya "terlalu angkuh" untuk menerima ajakan Umno untuk duduk semeja.

Katanya, PAS tetap menolaknya walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri tampil membuat pelawaan itu secara terbuka.

"(Saya) kecewa dengan PAS terlalu angkuh nak terima ajakan Umno hendak duduk semeja. Najib sudah jelaskan jemputan (secara) terbuka.

"PAS parti besar, (mereka) tidak patut tenggelam dalam nostalgia dan emosi lama," katanya.

Melalui SMS kepada Malaysiakini daripada Arab Saudi semalam, Mufti termuda di Malaysia itu juga berkata golongan ulama bersedia menjadi pemudahcara dalam program pertemuan kedua-dua parti Melayu terbesar itu.

Utusan Malaysia semalam melaporkan di muka depan, Dr Juanda menyifatkan pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam dan boleh dianggap pendukung fikrah Khawarij yang amat bencikan kesatuan.

Beliau dilaporkan berkata, penyatuan kedua-dua parti itu sebenarnya wajib, khususnya untuk kekuatan Islam.

Menjelaskan lanjut kepada Malaysiakini pada hari yang sama, Dr Juanda menjelaskan gesaan penyatuan yang diutarakannya bukanlah bermaksud kedua-duanya perlu bergabung sebagai satu parti.

Sebaliknya, menurut Juanda, ia merupakan penyatuan dalam erti kata kerjasama dalam urusan kepentingan Islam dan negara, antaranya dengan kurang memaki sesama sendiri dan kurang politiking.

Najib pada 30 April lalu ini berkata, walaupun PAS enggan menyertai Umno dan BN, parti Islam itu patut keluar Pakatan rakyat kerana rakan mereka DAP tidak pernah memperjuangkan Islam.

Kenyataan yang dianggap sebagai pelawaan itu bagaimanapun ditolak keras pelbagai pemimpin kanan PAS, termasuk oleh Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.-mk


Ulasan GB

Orang yang melihat PAS dari luar cepat untuk menyatakan PAS angkuh, sedangkan penderitaan yang dilalui PAS sekian lama hasil dari kezaliman UMNO yang mengaku Islam tidak pernahkah diambilkira.

Banyak kezaliman UMNO yang jika ingin didedahkan disini, maka ruangan blog GB ini tidak mempunyai ruang cukup untuknya, namun kenyataan Ahli Parlimen Jerai boleh menjawab tuduhan Mufti Perlis tersebut:

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyifatkan tindakan Umno yang mempelawa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR) dan duduk bersama dengan BN sebagai tindakan tersepit dan terdesak.

Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata, Umno kini ibarat ‘orang hampir lemas yang cuba berpaut pada apa sahaja’ sedangkan mereka selama ini yang memburukkan PAS di mata masyarakat dengan pelbagai tuduhan hodoh dan menghinakan.

Selama ini, katanya mereka sombong dengan menganggap mereka sahaja parti terbaik untuk kaum Melayu dan PAS adalah sebuah parti yang sesat serta tidak mempunyai masa depan.


Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menambah, perlu dingat bahawa selama puluhan tahun Umno hidup dengan membuli dan mengganyang musuh politik mereka.

Menurutnya, PAS dan lain-lain parti pembangkang tidak pernah diberikan hak dalam pentas demokrasi yang sebenar.


Bahkan, ujarnya hampir setiap hari media massa milik mereka memburukkan pemimpin PAS dan PR.

Selain itu, katanya hampir seluruh jentera kerajaan dipergunakan semaksima mungkin dalam memastikan pembangkang khususnya PAS terus jatuh terduduk dalam setiap pilihan raya umum dan kecil.

“Apakah dalam keadaan demikian, Umno masih terhegeh-hegeh mencari simpati PAS?” soalnya.

Tegasnya, DPPP mengingatkan bahawa PAS telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sepanjang jalan perjuangan mereka dalam pentas politik di Malaysia, bukan sekadar ugutan dan fitnah, bahkan pemimpin PAS pernah dikenakan ISA, dipenjara, bahkan dibunuh.

Ini semua, jelasnya dilakukan oleh pemimpin Umno yang kononnya mahu memperjuangkan bangsa Melayu.


Beliau menambah, masih segar dalam ingatan bagaimana tindakan Umno terhadap kerajaan Terengganu yang majoritinya bangsa melayu pada tahun 1999-2004 apabila dinafikan royalti petroleum hanya kerana mereka diperintah oleh PAS.

Begitu juga, ujarnya nasib yang sama diterima oleh Kerajaan PAS Kelantan yang sehingga ke hari ini terpaksa memperjuangkan hak untuk mendapatkan royalti petroleum di mahkamah.

Menurutnya lagi, sejarah juga membuktikan bahawa PAS tidak pernah mengkhianati hak orang melayu sebaliknya Umnolah yang menjadi petualang dalam menghakis hak keistimewaan orang melayu.

“Apakah kita lupa bahawa biasiswa telah digantikan dengan PTPTN, bagaimana bantuan sekolah agama rakyat ditarik?” tanya beliau.

Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya saham bumiputera yang bernilai 52 bilion.

Ini, katanya semua berlaku kerana Umno sememangnya tidak pernah memikirkan bagaimana mahu membantu orang melayu sebaliknya menyalahgunakan kuasa yang di amanahkan dengan mengaut keuntungan peribadi.

Tambahnya tindakan mempelawa PAS ini menjelaskan kepada semua bahawa sebenarnya sokongan orang Melayu kepada Umno sudah semakin terhakis.

“PAS pula dilihat sebagai pengganti yang sesuai bagi orang Melayu, lebih-lebih lagi dengan budaya politik kotor dan keji yang mereka amalkan seperti video lucah seperti yang dipaparkan sekarang,” katanya.

Tegasnya, orang Melayu sudah semakin meluat dengan politik ‘Machiavelli’ Umno sehingga sanggup mengenepikan syariat Islam.

DPPP juga, katanya melihat tindakan Presiden Umno yang mempelawa PAS keluar daripada PR dan bersama dengan BN sebagai helah politik semata-mata demi untuk menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakan-rakan di dalam PR.

“Dan ini juga merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan sisa-sisa riwayat Umno yang semakin menghampiri penghujungnya.

“PAS tidak sesekali akan terpedaya dengan umpan Umno sehinggalah akhirnya Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13,” tegasnya.



Isteri Dikelar Suami Ditikam Di Bilik Tidur

Orang surau’ dibunuh kejam

BENTONG: Sepasang warga emas mati dibunuh secara kejam apabila suami ditemui berlumuran darah berhampiran tandas rumahnya dengan kesan tikaman di perut dan dada manakala isterinya terlentang di tepi katil dalam keadaan leher dikelar.

Mayat Mohammad Yusof@Abdul Rashid Samah, 71, dan Timah@Fatimah Pachu, 68, ditemui di rumah mereka di Kampung Gementi, di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam oleh jiran yang kemudian membuat laporan polis. Terdahulu jiran terbabit terdengar jeritan dan pergelutan di rumah mangsa.

Ketika kejadian, hanya pasangan warga emas itu berada dalam rumah kerana empat anak mereka tinggal berasingan, termasuk di Kuala Lumpur.

SERIUS... Narenasegaran bercakap dengan sanak saudara mangsa di pekarangan rumah mangsa, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisisoner T Narenasegaran, berkata sejurus polis tiba di tempat kejadian, mayat kedua-dua mangsa ditemui berasingan di bilik tidur tingkat atas rumah dua tingkat milik mereka.

Menurutnya, polis percaya pembunuhan pasangan itu bukan bermotifkan samun kerana barangan berharga mangsa tidak dicuri.


Kontraktor, isteri mati dikelar ketika tidur


KUANTAN: Pasangan suami isteri warga emas ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman dan dikelar leher di Kampung Gementi, dekat Bentong awal pagi semalam.

Mayat Muhamad Yusof@ Abdul Rashid Samah, 71, seorang kontraktor ditemui terlentang di tepi pintu tandas bilik tidur, manakala isterinya, Timah @ Fatimah Pachu, 68, terbaring di tepi katil kira-kira jam 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T Narenasegaran, berkata ketika kejadian pasangan berusia 71 tahun dan 68 tahun itu tinggal berdua dipercayai sedang tidur di bilik tidur utama di tingkat atas rumah dua tingkat.

Beliau berkata, polis bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi penduduk yang terdengar bunyi bising dan jeritan kuat dari rumah mangsa.

“Mangsa dipercayai dibunuh menggunakan pisau namun polis masih mengesan senjata yang digunakan.

“Siasatan awal, polis hanya menemui sebatang cangkul dalam rumah terbabit yang dipercayai turut digunakan untuk mencederakan pasangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Narenasegaran berkata, polis menolak kemungkinan mangsa disamun berikutan siasatan mendapati tiada kesan rumah di pecah masuk.

“Semua barang berharga milik mangsa, termasuk selaras senapang tidak hilang atau dilarikan suspek.

“Justeru, kita percaya kejadian membabitkan seorang suspek yang dikenali mangsa," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan empat anak mangsa yang tinggal di Kuala Lumpur juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian terbabit.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih mengenal pasti motif pembunuhan terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Gementi, Zulkifli Kilau, 69, berkata Muhamad adalah timbalan pengerusi surau di kampung berkenaan dan antara orang yang dihormati penduduk.

Beliau terkejut apabila mendapat tahu kejadian menimpa arwah kerana kami agak rapat dan tinggal berdekatan. -BH



Suami isteri dibunuh di bilik tidur

POLIS mengusung mayat salah seorang mangsa bunuh yang ditemui mati di bilik utama rumah dua tingkat.

BENTONG - Seorang kontraktor dan isterinya ditemui mati dibunuh dipercayai menggunakan cangkul dan objek tajam di rumah mereka di Kampung Gemeti dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, Mohammad Yusof @ Abdul Rashid Samang, 71, ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dan perut manakala isterinya, Timah @ Fatimah Pachu, 68, mengalami kecederaan di tengkuk.

Menurut beliau, mayat pasangan warga emas itu ditemui pada pukul 1.30 pagi dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah dua tingkat itu selepas polis menerima laporan orang awam pada pukul 1.30 pagi yang mengadu terdengar bunyi bising dan laungan kuat dari rumah mangsa.

"Jiran mangsa juga mendakwa semasa kejadian rumah pasangan warga emas itu gelap kerana lampu dipadamkan sebelum memberitahu ada terdengar bunyi seseorang sedang melarikan diri di belakang rumah mangsa," kata beliau kepada pemberita di sini semalam.

Narenasegaran memberitahu, Mohammad Yusof ditemui terlentang di tepi pintu tandas bilik tidur itu manakala isterinya ditemui di bahagian tepi bawah katil dalam keadaan terbaring. -kosmo


Eskay Kalah Tuntut RM20 Juta Komisyen Jambatan Bengkok

Jambatan bengkok: Saman Eskay ditolak

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenepikan saman yang dikemukakan oleh ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah berhubung projek pembinaan 'jambatan bengkok' bernilai RM20 juta.

Keputusan berkenaan dibuat oleh hakim Datuk VT Singham yang berkata, penganugerahan projek berkenaan tidak lagi wujud, maka tuntutan berkenaan juga perlu ditolak.

"Satu klausa dalam perjanjian kerja itu menyebut, sekiranya projek itu gagal dimulakan, dia perlu membayar semula RM20 juta itu," kata Singham.

Begitu pun, Singham turut mengakui peranan Eskay dalam mendapatkan projek berkenaan bagi syarikat Merong Mahawangsa Sdn Bhd.

Eskay yang merupakan pengarah dalam syarikat Aman Agropreneur Sdn Bhd menamakan Merong Mahawangsa dan pengarah eksekutifnya Yahya Abdul Jalil sebagai defendan dalam kes saman RM20 juta bagi dakwaan pelanggaran kontrak itu.

Beliau mendakwa, Yahya dan syarikat tersebut telah menemui beliau pada tahun 1998 bagi mendapatkan projek pembinaan jambatan kontroversi itu.

Eskay berkata, beliau telah dijanjikan pegangan sebanyak 16.66 peratus dalam Merong Mahawangsa bagi mendapatkan pembiaya untuk projek berkenaan melalui hubungan baiknya dengan sumbernya di dalam kerajaan. -mk

Ulasan GB

Minggu lepas, bersumpah laknat,
semalam buat penafian menuduh Anwar berzina,
hari ini kalah di mahkamah
esok? wallahu'alam


Amerika Selewengkan Banyak Fakta Mengenai Pembunuhan Osama

London - Rumah Putih memang terpaksa mengubah cerita tentang penyerbuan yang menewaskan Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan, demikian harian yang terbit di Inggeris, Guardian, melaporkan.

Media ini mencatat, banyak fakta yang bertentangan tentang operasi penyerbuan itu, dan tentang Osama bin Laden sendiri.

Kini, rumah persembunyian Osama dijaga ketat anggota polis Pakistan. Namun, banyak jejak Osama di sana yang sudah dihapuskan.

Setidak-tidaknya, para tentera Amerika yang telah menjelajahi bangunan tiga lantai itu membawa serta harddisk komputer dan dokumen berharga- termasuk juga tubuh Bin Laden yang berlumuran darah, yang kemudian dikubur di laut.

Keesokan harinya, intelijen Pakistan - marah kerana tidak menerima maklumat tentang penyerbuan itu. Mereka datang mengangkut perabot dan barang-barang lain. Tapi itu tidak mungkin untuk menghapus setiap jejak drama yang menjadi akhir perburuan tersebut.

Apa saja fakta yang diubah mengenai penyerbuan itu? Berikut data-data dari Guardian:

* "Ini adalah perak!" Yasser, kanak-kanak 12 tahun, menyatakan. Apa yang dipegangnya hanyalah potongan dari sebuah batang exhaust kereta biasa. Gambaran AS bahawa Osama tinggal di rumah mewah ikut mempengaruhi orang awam Pakistan, bahawa pimpinan Al Qaeda itu bergelimang kekayaan di akhir hayatnya. Seorang intelijen yang berkeliaran di dekatnya kelihatan gugup, sebelum menyambar anak dengan tangan dan membawanya pergi.

* Beberapa jam setelah kematian Bin Laden, para pejabat AS memberitahu bahawa Osama melawan dan kerananya dia ditembak oleh pasukan khusus AL Amerika Syarikat yang menyerbu lantai kedua dan tiga dari tempat persembunyiannya. Fakta itu ternyata tidak benar. Bin Laden tidak bersenjata, ditembak di kepala dan dada.

* Perincian lain menyebutkan ia menggunakan salah seorang isterinya sebagai teman hidup. Faktanya, isterinya telah terluka di kaki sambil bergegas ke arah pasukan khusus sebelum ia terbunuh.

* Disebut-sebut, rumah persembunyian Osama bin Laden adalah sebuah bangunan dekat markas tentara Pakistan berharga sewa jutaan dolar AS. Faktanya, rumah bertembok tinggi itu jauh dari gambaran itu; setidaknya terlihat dari cat bangunan yang terkelupas dan tak terjaga, serta tak ada satupun AC di lantai-lantainya.

* Berbagai perincian, bagaimanapun, tetap kabur. Para pejabat Amerika mengubah versi awal mereka untuk mengungkapkan bahawa seorang perempuan yang terbunuh dalam serangan terhadap kompleks itu bukan isteri Bin Laden.

Hal ini juga tidak jelas bagaimana Bin Laden, yang terlantar dalam ruangan di lantai tiga yang ditandai dengan kaca jendela hancur, melawan ketika tentera AS menerobos ke kamarnya. -republika

Janda Ditikam Tunang Bertubi-tubi

Bukit Mertajam - Seorang wanita ditemui mati dipercayai ditikam oleh tunangnya di sebuah stesen minyak tempat wanita itu bekerja di Jalan Perusahaan Bukit Tengah di sini semalam.

Mayat Karimah Jusuh, 25, ditemui oleh rakan sekerjanya dalam bilik persalinan di stesen minyak itu pada pukul 8 pagi.

"Mangsa ditikam di beberapa bahagian di perut, leher, dada dan tangan. Kami percaya kejadian itu bermotifkan cemburu," kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar di sini semalam.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, tunang wanita berkenaan yang bekerja di sebuah kilang di Perai dikatakan pulang ke rumahnya di Mengkuang Mak Sulong dan meminum racun.

Mengikut maklumat yang diterima, lelaki itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya. -kosmo



Lelaki cemburu tikam tunang bertubi-tubi di stesen minyak

ANGGOTA polis mengusung mayat Karimah Jusoh (gambar kecil) yang ditemui di sebuah stesen minyak di Prai, semalam.

BUKIT MERTAJAM: Seorang pekerja kilang yang cemburu dan panas baran dipercayai menikam tunangnya bertubi-tubi sehingga mati menggunakan sebilah pisau sebelum meminum racun, di stesen minyak di Jalan Perusahaan Prai di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Karimah Jusoh, 25, ibu tunggal dua anak, ditemui berlumuran darah di bilik persalinan stesen minyak tempat dia bekerja, ditikam di perut, dada serta cedera di leher dan beberapa anggota badan.

Suspek berusia 35 tahun kemudian melarikan diri ke rumah kakaknya di Bandar Baru Perda di sini, sebelum meminum racun dan kini dirawat Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Mayat mangsa yang dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Chuping, Perlis, bagi dikebumikan. Mangsa yang bercerai tahun lalu mempunyai dua anak masing-masing lelaki dan perempuan, berusia lima dan tujuh tahun.

Mangsa tinggal bersama ibu angkatnya, Aishah Mohamad, 52, di Bertam, Kepala Batas sejak tiga tahun lalu.

Seorang saksi memberitahu polis, mangsa berada di stesen minyak itu kira-kira jam 6.30 pagi dan masuk ke bilik persalinan sebelum memulakan kerja.

Saksi itu mendakwa dia ternampak seorang lelaki masuk ke bilik berkenaan dan keluar kira-kira sejam kemudian sebelum beredar dari stesen minyak.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata selepas rakan sekerja sedar mangsa tidak keluar bekerja, mereka memeriksa bilik berkenaan dan menemui mayat mangsa berlumuran darah.

“Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang satu kaki dipercayai senjata yang digunakan untuk menikam mangsa di kawasan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, semalam.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kami menerima panggilan telefon dari HSJ kira-kira 11.30 pagi ini (semalam) memaklumkan suspek menerima rawatan selepas dipercayai meminum racun,” katanya.

Sementara itu, Aishah mendakwa Karimah pernah memberitahunya bahawa tunangnya yang sangat cemburu dan panas baran pernah memecahkan cermin kereta selepas melihatnya melayan seorang pelanggan di tempat kerja.

“Sebelum keluar bekerja pagi semalam, Karimah memeluk saya tiga kali tetapi saya tidak mengesyaki apa-apa. Malam tadi (kelmarin) dia menyuapkan makanan kepada saya serta bersalaman sebelum tidur,” katanya yang masih terkejut dengan kematian anak angkatnya itu. -BH


Eskay Cuba Tepis Laknat Allah Kepada Wartawan

Mahu dedah lagi salah laku Anwar

SHAZRYL Eskay menjawab soalan sekumpulan media mengenai rakaman video seks membabitkan Anwar selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong, semalam. Shazryl Eskay sahkan lokasi rakaman video seks bukan di Thailand

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah akan mendedahkan beberapa lagi salah laku lebih besar membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik polis mendedahkan pelaku sebenar dalam video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang itu.

Malah, Shazryl Eskay turut mengesahkan rakaman video berkenaan yang diterimanya sebelum dipertontonkan kepada media dirakam di Malaysia, bukannya di Thailand seperti digembar-gemburkan berikutan tersebar beberapa bahagian di laman YouTube menggunakan tulisan Thai.

“Saya hanya akan dedahkan beberapa konspirasi membabitkan Anwar sebaik polis mengesahkan kepada masyarakat siapa pelaku sebenarnya dalam video berkenaan. Bagaimanapun, ia tiada kaitan dengan video seks itu.

“Kita tunggu dan lihat.. saya percaya kebenaran akan muncul selepas ini. Siapa dalam video terbabit juga akan terungkai,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong, di sini, semalam.

Trio Datuk T iaitu Shazryl Eskay, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Datuk Shuib Lazim dipanggil memberi keterangan berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Masjid Amru Al-As di Bandar Baru Sentul, Jumaat lalu ketika sumpah laknat dilakukan.

Shazryl Eskay yang tiba kira-kira jam 11 sebelum meninggalkan pekarangan itu tiga jam kemudian. Bagaimanapun, dua lagi Datuk T turut memberi keterangan di balai polis berlainan.

Jumaat lalu, Shazryl Eskay ditemani Rahim dan Shuib membuat sumpah laknat di masjid Amru Al-As bagi membuktikan kebenaran berhubung isu video seks yang didedahkan mereka.

Ketika ditanya sekiranya polis tidak mendedahkan pelaku dalam video terbabit, adakah pendedahan konspirasi itu akan dilakukan, Shazryl menjawab, segala-galanya bergantung kepada keadaan.

“Saya tahu semua orang marah selepas kami mendedahkan video seks berkenaan sehingga ramai pihak menyuruh saya membuat sumpah laknat bagi membuktikan kebenaran terhadap apa yang saya buat.

“Saya sudah buktikan... perlu faham, saya tidak tuduh Anwar berzina, sebaliknya hanya menunjukkan video berkenaan kepada kumpulan media supaya menyaksikan sendiri siapa pelaku dalam video berkenaan,” katanya.

Turut ditanya sama ada beliau adalah pembekal wanita kepada Anwar Ibrahim berikutan dirinya turut berada dalam video berkenaan, Shazryl Eskay enggan mengulas lanjut berikutan siasatan polis sedang berjalan.

Sementara itu, Rahim ketika dihubungi mengesahkan turut memberi keterangan berhubung insiden kekecohan di masjid Jumaat lalu, namun enggan mendedahkan lokasi balai polis yang dibuat.

“Cukuplah hanya memaklumkan saya turut membuat laporan polis pada hari ini,” katanya. -BH

Ulasan GB

Semasa menyiarkan berita dari tvsnews semalam mengenai penafian Eskay mengkaitkan Anwar dengan zina, ramai persoalkan apakah benar Eskay berkata demikian. Ini kerana tvsnews adalah portal berita milik kerajaan Pakatan rakyat Selangor, justeru kemungkinan berita itu adalah rekaan wartawan untuk membersihkan Anwar.

Namun, GB bawa tulisan dari Berita Harian di atas untuk buktikan memang benar Eskay menafikan pernah mengkaitkan Anwar dengan perlakuan zina seperti yang terkandung di dalam video seks berkenaan.

Baca ayat ini:

“Saya sudah buktikan... perlu faham, saya tidak tuduh Anwar berzina, sebaliknya hanya menunjukkan video berkenaan kepada kumpulan media supaya menyaksikan sendiri siapa pelaku dalam video berkenaan,” katanya.

Sedangkan sebelum ini Eskay melakukan sumpah laknat yang berbunyi:

"Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Aku bersumpah aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video itu. Sekiranya aku memfitnah, Allah akan melaknat akan ku."


Sekarang Eskay sudah tidak mengaku mengkaitkan Anwar sebagai pelaku di dalam video yang melakukan perzinaan dengan perempuan tersebut. Dan enggan mengulas samada beliau pembekal wanita berkenaan:

Turut ditanya sama ada beliau adalah pembekal wanita kepada Anwar Ibrahim berikutan dirinya turut berada dalam video berkenaan, Shazryl Eskay enggan mengulas lanjut berikutan siasatan polis sedang berjalan.


Di dalam tvsnews semalam dilaporkan

“Saya bukannya menuduh Anwar tetapi wartawan yang telah menonton video yang membuat penilaian,” kata Eskay selepas memberi kenyataan kepada Polis Kepong..

Eskay kini cuba menunjukkan bahawa wartawanlah sebagai pihak yang menilai bahawa pelaku di dalam video yang melakukan perzinaan itu adalah Anwar.

Jika demikian, wartawan yang bakal menerima laknatullah itu kerana memfitnah. Habislah sang wartawan berkenaan...


Mahathir: Bunuh Osama Tak Bertamadun, Najib & Hishamuddin Sokong Tindakan AS

Mahathir: Operasi bunuh Osama tindakan tak bertamadun

PUTRAJAYA, 4 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kematian Osama bin Laden tidak mungkin petanda sudah berakhirnya keganasan atau rangkaian Al-Qaeda, sambil meramalkan tindakan balas akan terus berkembang di seluruh dunia.

Perdana menteri paling lama memegang tampuk kerajaan ini berkata, operasi dikendalikan oleh pasukan elit AS awal kelmarin adalah satu “tindakan tidak bertamadun.”

“Ya, dia mungkin bersalah tetapi menghantar satu pasukan untuk membunuh satu orang bukan caranya.

“Jika dia dapat ditangkap, tangkap dia. Tetapi mereka masuk, membunuh seorang yang tidak bersenjata dan kemudian mencampakkan jenazah ke dalam laut,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.


Dunia Lebih Selamat Dengan Kematian Osama - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dunia akan lebih selamat dan aman berikutan kematian pemimpin pengganas Al-Qaeda, Osman bin Laden, dalam satu operasi oleh pihak keselamatan Amerika Syarikat bersama Pakistan di luar Islamabad pada Isnin.

Perdana Menteri berkata kematian Osama adalah juga satu pengajaran bahawa keganasan tidak membuahkan sesuatu kebaikan sebaliknya membawa kemudaratan kepada semua pihak.

"Saya berharap bahawa pada masa akan datang, dunia akan lebih sedar bahawa keganasan bukanlah satu pendekatan yang patut dilakukan untuk mencapai apa juga tujuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini.

Najib berkata kerajaan Malaysia telah mengambil sikap menentang sebarang bentuk keganasan dan kefahaman yang keterlaluan ataupun ekstrem.

"Ini adalah selaras dengan prinsip agama Islam di mana perbuatan membunuh orang awam adalah dilarang dan ditegah dengan kerasnya oleh agama Islam," katanya.

Najib berkata Osama telah menggunakan Islam dalam perjuangannya dan telah memberi imej yang cukup negatif dan buruk terhadap Islam. "Sebab itulah, sebagai negara di mana majoritinya umat Islam, kita mesti juga menunjukkan pendirian kita yang mana dalam kita memartabatkan Islam, dalam kita memperjuangkan ketidakadilan dan sebagainya, kita mesti berpegang pada prinsip yang dibenarkan atau selaras dengan kehendak Islam." katanya.

Perdana Menteri berkata serangan 9/11 di bangunan Pusat Dagangan Dunia New York pada 2001 yang dirancang oleh Osama tidak boleh diterima oleh sesiapa yang mempunyai nilai ketamadunan dan juga tidak boleh diterima di sisi agama Islam.

Katanya ketidakadilan tidak boleh diperjuangkan menerusi penggunaan kekerasan atau melalui perbuatan membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Katanya rakyat negara ini perlu menolak sebarang bentuk keganasan kerana kebijaksanaan berdasarkan pendekatan Wassatiah atau kesederhanaan dapat mencapai sesuatu yang diperjuangkan.

Mengulas tindakan pihak Amerika Syarikat itu, Najib berkata walaupun mengambil masa 10 tahun, pihak yang menjadi mangsa akan tetap tuntut pembalasan terhadap keganasan yang dilakukan ke atas orang awam yang menjadi mangsa pembunuhan.

Menyentuh tindakan rangkaian Al-Qaeda ke atas ancaman keselamatan negara, Najib berkata pada masa ini, tiada ada tanda-tanda yang anggota kumpulan itu berada di dalam negara.

Bagaimanapun, katanya polis akan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengesan mana-mana kumpulan yang mahu mengancam keselamatan negara kerana simpati dengan kematian pengasas kumpulan A-Qaeda itu.

"Ini satu tamparan yang hebat kepada Al-Qaeda, ini bukan bererti mereka akan terkubur sama sekali, kita tidak boleh anggap bahawa segala-galanya sudah pun tamat.

"Tetapi jelas bahawa kumpulan itu hilang kekuatan dengan kehilangan Osama bin Laden yang merupakan sumber inspirasi kepada pergerakan itu," katanya. -BERNAMA


Harap Kematian Osama Bawa Keamanan Sejagat: Hishamuddin

KLUANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap kematian pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Pakistan pada Isnin dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat di dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.

"Saya harap ia (kematian Osama bin Laden) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan Umno Bahagian Semberong yang dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden dan Ketua Umno Bahagian Semberong, berkata adalah amat penting bagi semua pihak untuk memahami punca yang menyebabkan kelahiran gerakan militan.

Pemimpin Al-Qaeda kelahiran Arab Saudi yang hidup di dalam persembunyian itu dilaporkan terbunuh di dalam satu operasi khas tentera Amerika Syarikat di sebuah rumah di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad.

Turut dilaporkan terbunuh di dalam serangan itu termasuklah seorang anak Osama dan beberapa yang lain.

Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia menerusi pelbagai unit khas pasukan itu sentiasa bekerja keras bagi memastikan rakyat negara ini bebas daripada segala ancaman kumpulan pengganas.

"Tidak ramai yang tahu di dalam tugas-tugas dilakukan oleh polis yang bekerja keras bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini dan memastikan mereka dapat tidur lena pada waktu malam," katanya.

Baru-baru ini, kata Hishammuddin, Malaysia telah menandatangani perjanjian keselamatan dengan Arab Saudi dan sebelum itu perjanjian seumpamanya dengan Australia meliputi isu keganasan, imigresen dan isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.

Beliau berkata Malaysia juga menandatangani perjanjian keselamatan dengan United Kingdom ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat negara itu tidak lama lagi.

Malaysia dan Turki, katanya turut sedang berunding bagi mengeratkan kerjasama keselamatan.- BERNAMA


Ulasan GB

Ketara kini Najib dan Hishamuddinlah yan terperangkap apabila Mahathir mengecam tindakan Amerika membunuh Osama.

Jika Mahathir sendiri menyatakan tindakan Amerika itu tidak bertamadun, maka tidak bertamaddun jugalah Najib dan Hishamuddin yang menyokong tindakan Amerika itu.

Bukankah begitu sifirnya?