4 Dis 2014

[VIDEO] Anwar Masih "Datuk Seri" Walaupun Sultan Selangor Tarik Gelaran


Anwar ada berapa banyak 'Datuk Seri'?

Walaupun gelarannya ditarik balik oleh istana Selangor, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menggunakan gelaran “Datuk Seri”.

Ini kerana Anwar mempunyai tujuh lagi darjah kebesaran itu yang dianugerahkan padanya, menurut laman web Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri.

Ini termasuk anugerah daripada daripada Perlis (1995), Perak (1995), Pahang (1990), Pulau Pinang (1994), Sabah (1994), dan lain-lain.



Beliau juga mendapat darjah kedua daripada Pulau Pinang dengan gelaran “Datuk” pada 1991.

Kesemua anugerah itu diperoleh antara 1990 dan 1995, ketika beliau bertugas dalam kerajaan. Anwar dilantik timbalan perdana menteri pada 1993 sebelum dipecat beberapa tahun kemudiannya. -mk


Gelaran 'Datuk Seri' Anwar Ditarik Balik

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dilucutkan gelaran 'Datuk Seri' yang diberikan kepadanya pada tahun 1992 oleh Sultan Selangor.

Pelucutan gelaran itu berkuat kuasa pada 3 November.

Istana Selangor dalam satu kenyataan pada Khamis berkata keputusan untuk membatalkan gelaran itu dibuat kerana Anwar mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan institusi Raja sejak akhir 2013 termasuk dalam menyelesaikan kemelut menteri besar baru-baru ini.

"Sultan Selangor selepas berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan bahawa Darjah Kebesaran Seri - Sultan Salahuddin Abdul Aziz (S.S.S.A) yang dikurniakan kepada Anwar Ibrahim pada 1992, adalah ditarik balik berkuatkuasa 3 November, selaras dengan kuasa Baginda sebagai sumber bagi segala Penghormatan dan Kebesaran dalam negeri Selangor serta kuasa untuk menurunkan Darjah Kebesaran seperti mana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," menurut kenyataan tersebut.

Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin , Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan dan tingkah laku penasihat PKR itu menunjukkan bahawa beliau tidak lagi layak untuk memegang sebarang gelaran.
-mstar



ULASAN GB

GB nak tanya, berhargakah gelaran "Datuk Seri" itu di hadapan Rabbul-Jalil? Jika tidak, apalah nak hairankan jika ditarik balik...

Jangan sampai jadi macam seorang ulamak di dalam parti GB menggunakan gelaran "Datuk" palsu tetapi menjadi orang penting MSU. Itu lagi tak bermaruah dan tak senonoh....

[BONGKAR] Laporan Audit: Pampasan RM2.6 juta Tidak Ikut Proses Betul


Kerajaan Selangor semalam mendedahkan pembayaran pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilakukan tidak mengikut terma dan syarat perkhidmatan surat tawaran pelantikan.

Laporan setebal 11 muka surat yang diedarkan hari ini dibuat lima panel penyiasat Perbendaharaan Negeri, diketuai Ketua Bendahari Azal Adzhar.

"Bayaran pampasan ini tidak dinyatakan di dalam terma dan syarat perkhidmatan pada Surat Tawaran Pelantikan lapan kakitangan/pegawai MBI tersebut," kata laporan yang diedarkan hari ini.

Laporan itu juga mendedahkan kelulusan yang dibuat bagi bayaran pampasan sebanyak 30% daripada gaji terakhir didarabkan dengan jumlah bulan sepanjang berkhidmat dan skim pemberhentian secara sukarela (VSS) yang diambil oleh 8 pembantu Khalid itu juga dilaksanakan tidak mengikut proses yang betul.

Khalid juga dikatakan tidak mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah sebelum meluluskan pembayaran tersebut.

"Kelulusan pembayaran ini tidak dikemukakan kembali pada Lembaga Pengarah MBI (Menteri Besar Incorparated) untuk tujuan pertimbangan dan kelulusan,"
kata laporan itu.

Sementara itu, laporan juga mengatakan semua ahli lembaga pengarah MBI tidak pernah memberi persetujuan secara bagi melaksanakan pembayaran pada 22 September 2014 tersebut.

"Ahli lembaga pengarah MBI tidak termasuk pengerusi MBI (Khalid) pada bila-bila masa selepas 25 Ogos 2014, tidak pernah memberi persetujuan secara muktamad bagi pelaksanaan yang sudah dibuat kepada 8 kakitangan yang terlibat seperti diputuskan oleh pengerusi MBI pada 22 September 2014," kata laporan itu.

Daripada laporan itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Faekah Husin menerima bayaran tertinggi RM581,400 sebagai pampasan dan RM114,000 sebagai ganti kepada notis tiga bulan.

Bagaimanapun, laporan tersebut mendedahkan pembayaran kepada bekas setiausaha politik Khalid itu tidak mengikut perkiraan yang telus kerana tempoh Faekah berkhidmat dengan MBI hanya selama 12 bulan dan bukannya 51 bulan.

"Semakan mendapati CEO MBI Faekah Husin mula berkhidmat pada 1 September 2013.

"Sebelum itu beliau adalah setiausaha politik kepada Datuk Menteri Besar Selangor mulai Julai 2010 dan gaji beliau dibayar kerajaan negeri Selangor di bawah VOTB01 – Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri berjumlah RM5,190 (gaji pokok). Justeru, jumlah bulan berkhidmat dengan MBI adalah selama 12 bulan 23 hari dan bukannya 51 bulan," kata laporan itu.

Jumlah pampasan yang sepatutnya diterima Faekah sepanjang berkhidmat dengan MBI sepatutnya RM136,800 jika 30% daripada gaji pokok RM38,000 didarabkan dengan 12 bulan.

Seorang lagi pembantu Khalid, Mustapha Mohd Talib juga menerima jumlah pampasan yang tidak mengikut perkiraan tepat kerana jumlah bulan beliau berkhidmat dengan MBI adalah 53 bulan 23 hari dan bukannya 78 bulan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Hannah Yeoh tidak menolak laporan audit dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat), namun menegaskan laporan tersebut sudah lengkap.

"Laporan yang diberikan kepada umum hari ini sudah komprehensif," kata Hannah pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Kesemua pembayaran dibuat menerusi Surat Arahan Pembayaran kepada Affin Bank Berhad pada 22 September 2014.

Bayaran itu didakwa dibuat pada penghujung tempoh perkhidmatan Khalid sebelum Mohamed Azmin Ali mengambil alih jawatan menteri besar Selangor berkuatkuasa 23 September lepas, yang dilihat sebagai tidak munasabah.


PKR memecat Khalid pada Ogos lalu selepas gagal hadir pendengaran jawatankuasa disiplin tentang perjanjian penstrukturan semula air di Selangor, penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam dan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

PKR mahu Khalid berundur dan memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.

Kemelut itu berakhir apabila Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, dilantik Sultan Selangor sebagai menteri besar yang baharu pada September lalu. – TMI

ULASAN GB

Dimanakah yang dikatakan imej "bersih" TSKI jika terdedah kini beliau terlibat dengan skandal menggelapkan wang rakyat untuk beri pampasan kepada pembantu-pembantunya dengan jumlah RM2.6 juta?

Daripada pendedahan skandal tersebut juga terbongkar gaji sebenar Faekah Hussin iaitu RM38,000 sebulan. Lebih besar gajinya daripada Menteri Besar dan para exco negeri Selangor.

Dapat kerja itu kerana beliau seorang ahli PKR, parti yang dominan mentadbir kerajaan negeri Selangor. Tetapi selepas mengusahakan pampasan 1/2 juta ringgit untuk dirinya, beliau terus berkata "saya sudah hilang kepercayaan terhadap PKR."

Ini macam punya manusia pun ada atas dunia....

PAS Mahu Tahu Siapa Blogger Yang Bangang Itu & Berapa UMNO Upah Mereka?


PAS: Siapa 'blogger' bangang itu, Najib?

PAS hari ini mahu tahu jika tokoh wartawan negara, Abdul Kadir Jasin dimaksudkan perdana menteri sebagai penulis blog “bangang” yang menyerang Najib?

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mengajukan persoalan itu sewaktu mengulas teguran Datuk Seri Najib Razak terhadap penulis-penulis blog pro-Umno yang mengkritik Umno.

Najib berkata tiada istilah “tembakan mesra” dan penulis blog yang digajikan Umno seharusnya sedar siapa majikan mereka dan jangan terus bersikap “bangang”.

Mahfuz secara sinis mahu tahu jika Najib yang turut memiliki blognya sendiri termasuk dalam kategori penulis blog itu.

"Adakah perdana menteri (sendiri) dan Kadir Jasin juga dianggap sebagai blogger yang 'bangang'?" kata Mahfuz pada sidang media hari ini.

Kadir Jasin merupakan bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times dan kini menulis di blognya tentang politik dalaman Umno.

Tulisannya mengandungi pandangannya tentang pentadbiran negara dan ada ketikanya turut mengandungi beberapa kritikan dan teguran terhadap pentadbiran.

Menurut Mahfuz, Najib kini perlu mendedahkan jumlah penulis blog yang diupah oleh Umno.

"Jadi saya minta Umno jelaskan berapa ramai blogger Umno yang cari makan dengan Umno?

"Berapa pembayaran yang telah dibuat oleh Umno dan berapa jumlah blogger Umno yang cari makan? Dan berapa blogger Umno yang dianggap 'bangang'?
-mk


Mohd Najib Kecam Blogger Upahan Umno

PRESIDEN Umno, Mohd Najib Abdul Razak, semalam secara terbuka mendedahkan yang Umno mengupah blogger.

Inilah kali pertama seorang pemimpin atasan Umno dan kerajaan membuat pengakuan seperti itu.

Mohd Najib berkata, mereka ini makan gaji dengan Umno tetapi menyerang balik parti itu.

Kerana itu, beliau menyifatkan mereka sebagai bangang.

Merujuk kepada Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, Mohd Najib berkata: “Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly."

Tambah Mohd Najib lagi: “Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang.” Beliau berucap dalam sesi penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Pendedahan dan herdikan Mohd Najib itu akan melemahkan lagi perang saraf Umno di alam siber. Tanpa pendedahan dan kecaman itu pun keberkesanan blogger Umno sudah dipersoalkan.

Seperkara lagi, kalau benar blogger-blogger upahan Umno itu berperang sesama sendiri dan menyerang pemimpin parti, ia adalah cerminan perpecahan dan ketidaktentuan dalam Umno sendiri.

Namun Mohd Najib bukan orang pertama mencemuh dan melabelkan blogger.

Zainuddin Maidin (kini seorang blogger) ketika menjadi Menteri Penerangan melabelkan blogger “goblok”, Khairy Jamaluddin menanggil mereka “beruk” dan Shaziman Abu Mansor, waktu menjadi Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Air, menyifatkan sesetengah blogger dan pengulas blog sebagai penembak curi.

Maaf cakaplah kalau saya katakan istilah “bangang” yang Mohd Najib gunakan itu adalah keterlaluan, kesat, kasar dan tidak membayangkan hemah dan ketokohan seorang pemimpin.

Pusat Rujukan Bahasa Melayu DBP mentakrifkan bangang sebagai bodoh, dungu, tongong dan bahlul. Teruk sungguh.

Kesian juga saya kalau selepas ini ada blogger Umno yang tertiarap periuk nasinya akibat herdikan Mohd Najib itu.

Wallahuaklam.
-akadirjasin



ULASAN GB

Tun Dr Mahathir juga kini seorang blogger dan mutakhir ini beliau juga banyak menyerang kepimpinan dan pentadbiran Najib. Salah satu serangannya ialah BR1M yang dianggapnya sebagai satu rasuah terang-terangan untuk membeli undi. Apakah Najib ingin memberi implikasi bahawa TDM juga seorang yang bangang kerana menyerang kepimpinannya?