Slogan terbaru, Endless Possibilities (Apapun boleh?) yang sama dengan kempen Kementerian Pelancongan Israel bukannya kebetulan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekarang kita ada bukti cukup. Sama macam kempen 1Israel. Dia (Najib) kena jelaskan,” kata Ketua Pembangkang itu ketika ditemui pemberita di majlis hari raya PKR Lembah Pantai, hari ini.
Endless Possibilities adalah slogan yang diguna Kementerian Pelancongan Israel untuk mempromosi negara itu pada 22 April 2013.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka melancarkan kempen ’1Malaysia, Endless Possibilities’ pada 17 September depan.
Memetik Keadilan Daily, Anwar berkata, penggantungannya dari Dewan Rakyat selama enam bulan pada Disember 2010 kerana mendedahkan pengaruh Israel dalam pentadbiran Malaysia membuktikan hipokrasi pentadbiran Umno BN.
“Sekarang lebih berat. Ia tak mungkin secara kebetulan. Dulu saya ada bawa (isu ini) di Parlimen, (mengapa) pilih 1Malaysia. Saya dikenakan (gantung) enam bulan kerana bangkitkan 1 Malaysia.
“Sampai sekarang dia kata kebetulan. Ternyata ada pengaruh asing termasuk apa didakwa ‘pengaruh Israel’,” katanya sambil menyatakan slogan baru itu semata-mata strategi perhubungan awam. -selangorku
Anwar mahu Najib jelaskan secara lanjut kaitan “Endless Possibilities” dengan Israel
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (pic) perlu memberi penjelasan lanjut berhubung tema “endless possibilities” kerana tema yang diangkat itu mirip slogan yang digunakan kerajaan Israel, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Umum PKR itu menjelaskan beliau pernah digantung selama enam bulan sidang Parlimen kerana menyentuh persamaan 1Israel dengan 1Malaysia dan kali ini kerajaan Barisan Nasional (BN) tidakn sesekali dapat lari dengan mendakwa slogan itu diambil secara kebetulan.
Katanya, Najib hanya pandai mengambil kesempatan dan mencari perhatian umum mengenengahkan slogan tanpa diketahui dari mana munculnya slogan berkenaan.
“Sekarang kita telah pun membuktikan “endless possibilities” turut digunakan oleh kerajaan Israel. Justeru tidak dapat tidak, Najib harus segera menjawab slogan yang sememangnya menggambarkan BN cuba mencari perhatian,” katanya semasa ditemui di majlis sambutan Aidilfitri ahli parlimen Lembah Pantai hari ini.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjelaskan beliau pernah meminta penjelasan kerajaan untuk menafikan slogan 1Malaysia datangnya dari cadangan APCO berdasarkan apa yang pernah dilakukan di Israel, namun beliau telah dikecam oleh pemimpin Umno dan mendakwa perkara itu hanya kebetulan.
Beliau menjelaskan slogan yang dipilih Malaysia kali ini lebih berat kerana Israel sendiri menggunakan slogan "Endless Possibilities" sebagai moto dan Najib telah mengakui akan melancarkan slogan ini di Malaysia.
Katanya, pemilihan slogan itu bukanlah secara kebetulan maka Najib perlu menjelaskan kepada rakyat, pemilihan slogan itu mempunyai pengaruh asing dan dibayar untuk memberi nasihat serta mempengaruhi kepimpinan negara.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada Jumaat menegaskan kempen “Endless Possibilities” dilancarkan Malysia empat bulan sebelum Israel iaitu pada Januari tahun ini selepas Najib mengumumkan kempen itu di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland tahun ini.
"Endless Possibilities" dilihat sebagai usaha menjenamakan semula 1Malaysia, tema yang diperkenalkan Najib semasa mengambil alih kerajaan pada 2009.
Laman web baharu, www.1malaysia.my turut dilancarkan.
Perdana Menteri telah memberi penjelasan pada Rabu kempen terbaru Putrajaya berslogan `Endless Possibilities’ akan melengkapkan lagi, bukan mengganti 1Malaysia yang diperkenalkan sejak tahun 2009.
Beliau menjelaskan ia adalah `kempen komplementari’ dan kempen terkini itu adalah sebahagian daripada pelan menjenamakan negara.
Katanya, ini akan mempromosikan Malaysia dan Najib dilihat mengenakan lencana baru kempen terkini itu sebagai tambahan terhadap lencana logo 1Malaysia.
Kempen baru itu akan dilancarkan secara rasmi pada 17 September, sehari selepas Malaysia menyambut ulang tahun Hari Malaysia ke-50.
Slogan 1Malaysia dengan ungkapan `Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' dipersendakan kerana maksudnya yang kabur dan pengkritik menyatakan ia tidak mampu menyatukan rakyat Malaysia, termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib memutuskan bahawa ia perlu ada `elemen strategi tidak jelas yang membawa pelbagai makna' ketika beliau memperkenalkannya tiga tahun lalu, bagi membolehkan konsep itu diperluas untuk memasukkan pendapat lain daripada masyarakat.
Tetapi, jabatan kerajaan, agensi dan usahawan mengambil slogan 1Malaysia, menghasilkan pelbagai program, insiatif, produk dan perkhidmatan berdasarkan kepada tema itu, termasuk stesen radio dan tandas awam.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa slogan `Endless Possibilities' sebenarnya mahu dilancarkan sebelum hari mengundi, tetapi kerajaan menangguhkannya bagi mencegah kemungkinan berlaku kekeliruan.
Pos Malaysia sudah merancang untuk melancarkan setem baru bertajuk Malaysia: Endless Possibilities pada 30 Mei 2013 tetapi tidak ada tanda set setem itu.
Sumber berkata, kempen baru itu sebenarnya bermula pada awal tahun ini di majlis berprestij Forum Eknomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland dan dalam beberapa program Pelancongan Malaysia.
Klip video berdurasi 60 saat yang memaparkan Najib juga dilancarkan dan disiarkan oleh penyiar berita global CNN -TMI