19 Jun 2011

PERKASA Sudah Rancang Untuk Timbulkan Huru-Hara, Polis Diam Diri!

Ibrahim: Kalau nak tangkap, tangkap semua...

Perhimpunan 'Gerak Aman' pada 9 Julai dilancarkan oleh Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali petang ini yang didakwanya untuk mempertahankan keamanan dan menghalang BERSIH daripada mengadakan demonstrasi jalanan.

Sekumpulan penyokong PERKASA pula bertindak membakar dan memijak gambar pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan sebelum sidang akhbar bermula selepas majlis pelancaran tersebut.

Ibrahim turut membayangkan jika perhimpunan itu tidak dibatalkan, maka akan berlaku huru-hara.

"Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.

"Apa sahaja akan berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis bertindak apa cara sekalipun untuk menjaga keamanan

"Kalau (perhimpunan BERSIH) tak dibatalkan, kita teruskan... Kalau nak tangkap, tangkap semua, asalkan negara kita aman. Jangan buat kekacauan," kata Ibrahim yang mendapat tepukan dan sorakan gemuruh penyokong PERKASA dan NGO Melayu yang berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman.

Mengulas mengenai perhimpunan Gerak Aman pada 9 Julai ini, Ibrahim berkata beliau akan bermalam di Jalan Bellamy pada tengah malam 8 Julai sebelum berarak ke Istana Negara pada keesokan paginya.

"Jangan balik, selepas subuh kita akan menuju ke Istana Negara, untuk mempertahankan negara," katanya.

Beliau menjangkakan ramai penyokong Gerak Aman akan terlibat dengan perhimpunan itu, bahkan barisan yang dipertua negeri-negeri telah berjanji akan membawa penyokong dengan 20 buah bas bagi setiap negeri.

Menurutnya lagi, pihaknya juga telah menyediakan peguam untuk membela penyokongnya yang ditahan dan tidak bertanggungjawab sekiranya mereka melakukan perbuatan jenayah pada hari tersebut.

Beliau juga menyarankan agar para hadirin yang hadir agar mengedarkan risalah yang dibekalkan dan wakil NGO menggantungkan kain rentang yang dibekalkan sebagai usaha menguar-uarkan perhimpunan 'Gerak Aman'.

Berdasarkan risalah - "Menolak perhimpunan BERSIH 2.0 yang sebenarnya kotor - terdapat empat lokasi utama untuk para penyokong 'Gerak Aman' berkumpul pada tarikh tersebut seawal jam 7 pagi.

Lokasi terbabit adalah perkarangan Masjid Negara, Dataran Merdeka, Perkarangan Stadium Merdeka dan Istana Negara.

Risalah yang diedarkan itu juga, turut memaparkan gambar Ambiga dan tertulis "Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya" yang didakwa membela kes murtad Lina Joy dan mengusaha menggugat Melayu dan Islam, antaranya menganjur forum menyerang perlembagaan negara dan menuntut pelaksanaan suruhanjaya antara agama (IFC).

"Demi keamanan negara dan rakyat Malaysia, kalau saya berkayuh dengan lidi, saya akan pertahankan keamanan... Membujur lalu melintang patah.

"Kita bukan golongan pengacau, kalau mereka berhenti (untuk berarak) kita berhenti. Kita mahu menghalang tindakan melanggar undang-undang," kata Ibrahim lagi.

Ibrahim - yang akan mengetuai kumpulan Gerak Aman - mendakwa BERSIH 2.0 mempunyai "agenda lain" dengan mengambil aspirasi yang berlaku di Tunisia, Mesir dan di negara Timur Tengah yang didakwanya untuk menumbangkan kerajaan melalui jalan raya.

Ibrahim menegaskan tindakan BERSIH untuk berarak ke Istana Negara tidak mendapat restu secara majoriti di kalangan rakyat Malaysia.

"Sebab itu kita buat penentangan bagi seluruh dunia tahu. Jangan bimbang, jangan takut dengan Ambiga.

"Saya sudah dua kali ditahan ISA, saya kenal Mat Sabu, saya kenal pemimpin DAP,"katanya.

Beliau menggesa penyokong PERKASA agar tidak berasa takut kerana tindakan mereka menghalang sebagai tindakan mencegah dan tidak agenda politik tertentu.

"Pemuda Umno nak herhimpun, kita tidak campur dengan Pemuda Umno... Kita rakyat, satu batalion," katanya sambil bertanyakan kepada hadirin siapa yang ingin ditahan ISA.

Kelihatan segelintir penyokong mengangkat tangan dan ada juga yang berkata "saya" bagi menyahut cabaran Ibrahim.

"Jangan jadi seperti di Asia Barat, kita mahu membantu Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishamuddin Hussein) kerana kita buat kerja baik supaya rakyat mengikuti undang-undang," tegasnya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan, Ibrahim menggesa Kementerian dalan negeri dan Ketua Polis negara agar bertindak sekarang dan tidak hanya sekadar memberi amaran.

Beliau juga menggesa polis mengguna segala peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi menegakkan keamanan di negara ini.

Ditanya mengenai permit, Ibrahim berkata tidak mempunyai permit, bahkan akan berdepan dengan kumpulan BERSIH.

Katanya, beliau akur sekiranya perhimpunan gabungan itu membatalkan hasrat mereka, pihaknya juga akan berbuat demikian.

Turut hadir wakil NGO Pekida, pemimpin politik seperti Datuk Khalid Yunus dan Zulkifli Nordin dan wakil penjaja dan persatuan teksi, untuk memberi sokongan membantah perhimpunan BERSIH 2.0.

Khalid dan Zulkifli turut berucap menyokong Gerak Aman dan membantah BERSIH 2.0.

Ulasan GB

TERNYATA bahawa yang akan melakukan provokasi dan huru hara ialah PERKASA.

Ia terserlah dengan ugutan beliau

Ibrahim turut membayangkan jika perhimpunan itu tidak dibatalkan, maka akan berlaku huru-hara.

"Tuan-tuan bayangkan perhimpunan BERSIH tidak dibatalkan, mereka teruskan juga, (mereka) tidak umum bahawa mereka akan batal pada 7 atau 8 Julai, saya percaya masyarakat Tiong Hua mungkin ramai-ramai, semua sekali, belilah bekalan makanan tambahan simpan di rumah.

"Apa sahaja akan berlaku
," katanya.

Dan beliau menggunakan taktik menghina kaum/agama lain sama seperti insiden kepala lembu. Perhatikan ayat ini:

"Awas!!! Ambiga Wanita Hindu yang Merbahaya"

Anehnya, orang sebegini masih tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh KDN.

GB ingin menyatakan pula bahawa jika BERSIH dihalang mengadakan perhimpunan aman, atau pihak polis cuba mengekang perhimpunan dengan kekerasan seperti dulu-dulu, maka inilah senario yang akan berlaku:

1) Indeks hak asasi manusia untuk negara Malaysia di mata dunia akan merudum dan dengan sendiri menjauhkan para pelabur ke negara ini.

2) Rakyat akan bangkit dengan lebih hebat untuk tumbangkan BN di dalam pilihanraya yang akan datang kerana gelodak kebencian rakyat terhadap sistem pilihanraya yang tidak adil dan tidak telus oleh SPR akan dibuktikan dengan penolakan rakyat terhadap BN dengan lebih jelas dan nyata.

Dan jangan lupa, undi rakyat pada pilihanraya 2008, bilangan yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat adalah lebih kurang sama dengan Barisan Nasional!



Oleh itu jangan pandang rendah kepada kuasa rakyat.

Gempa Di Sumatera Utama, Malaysia Turut Rasa Gegarannya

Lima negeri terasa gegaran

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima negeri di Pantai Barat Semenanjung mengalami gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.2 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 310 kilometer dari barat daya Klang di Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.58 malam, gegaran itu dirasai di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Zaki Mohammad, berkata pusat gempa bumi adalah pada kedalaman 10 kilometer di 1.5 latitud utara dan 99.1 longitud timur.

“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dilaporkan selepas gegaran itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Sebelum ini, beberapa lokasi di sekitar ibu negara, Putrajaya, Shah Alam dan Seremban merasai kesan gegaran akibat gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter yang melanda Sumatera Utara di Indonesia, 300 kilometer dari Pelabuhan Klang pada 14 Jun lalu. -BH

Marang Dilanda Ribut

Marang - Penduduk dan peniaga tepi jalan sepanjang lima kilometer bermula di Kilometer 30 hingga 36, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Kuala Tengah, Pulau Kerengga di sini, gempar apabila hujan ribut luar biasa melanda kawasan itu.

Dalam kejadian selama 15 minit bermula jam 6.45 hingga 7 malam kelmarin, ia dianggap penduduk setempat sebagai luar biasa dan terburuk sejak 60 tahun lalu, apabila sebuah rumah, sebuah surau, dan deretan gerai buah-buahan rosak teruk dihempap pokok manakala atap diterbangkan angin.

Malah ratusan pokok tumbang di sepanjang lima kilometer jalan Kuala Terengganu ke Kuantan itu turut merosakkan pagar Penjara Marang, selain menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik dan gangguan lalu lintas.

Seorang mangsa, Mamat Ibrahim, 60, berkata, keluarganya berdepan pengalaman dan saat paling menakutkan sejak empat tahun tinggal di kampung itu ketika melihat satu persatu atap rumahnya diterbangkan angin semasa berada di luar rumahnya.

“Saya bergegas berlari memasuki kedai tidak jauh dari rumah, sementara isteri yang berada dalam rumah mencari tempat selamat untuk anak dan cucu kami berlindung dari ancaman angin kencang itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. -SH

Polis Ditahan Kerana Edar Dadah

Dua belas Pegawai Polis Ditahan Kerana Edar Dadah

KUALA LUMPUR – Seramai 12 anggota polis termasuk seorang pegawai ditahan dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di ibu negara, dalam dua serbuan, baru-baru ini.

Anggota polis berpangkat inspektor, pegawai dan konstabel, berusia lingku-ngan 20 hingga 30 tahun itu ditahan selepas pemantauan berdasarkan maklumat diperoleh.

"Mereka boleh dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman mati mandatori dan dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama, enam anggota polis dari cawa-ngan Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur itu ditahan minggu lalu.

Menurutnya, biarpun polis tidak menemui dadah, namun siasatan menujukan suspek dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.

“Ini adalah kes pertama tangkapan narkotik membabitkan anggota polis pada tahun ini.

“Keputusan sama ada mereka akan digantung kerja dijangka diketahui selepas selesai siasatan nanti,” katanya pada sidang akhbar semasa mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar merasmikan Majlis Ihtifal Peringkat Kebangsaan Pergerakan Belia India Muslim Malaysia (Gepima) Kali Ke-12 di Masjid Bukit Aman, semalam.

Kelmarin, enam anggota dipercayai bertugas di Balai Polis Petaling dan Balai Polis Sri Petaling ditahan.

Sumber berkata, terdahulu, dua suspek diberkas sebelum polis membuat serbuan di sebuah rumah di Apartmen Mutiara di Jalan Klang Lama, kira-kira jam 3 petang.

Difahamkan, polis menemui sebahagian ketulan mampat dadah dan turut menyita beberapa kenderaan milik suspek.

Noor Rashid berkata, tangkapan pegawai dan anggota terbabit membuktikan polis tidak melindungi sesiapa daripada undang-undang.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau berharap masyarakat tidak memandang serong terhadap PDRM kerana penglibatan pegawai dan anggota polis dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan jenayah adalah kecil berbanding lebih 100,000 keanggotaan dalam pasukan itu. -SH


Ulasan GB

Itu baru kes pengedaran dadah yang rakyat percaya masih ramai lagi yang masih lepas bebas di kalangan anggota polis.

Dan kita berharap pembersihan bukan sekadar kes dadah tetapi juga kes jenayah lain seperti melepaskan tembakan kepada orang awam, mengugut dan merompak, rasuah dan lain-lain.

Hapuskan Pemusatan Kuasa Di Tangan PM, Peguam Negara - Ku Li

Ku Li: Gugur pemusatan kuasa di tangan PM, Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 19 Jun — Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu.

Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang “imbang dan periksa” demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri.

“Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan,” kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam tadi.

Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera.

Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata),” kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957.

“Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri).

“Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang,” kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang.

Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi.

Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes.

“Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri,” kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987.

Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009.

Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media.

Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali.

“Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran,”
katanya.

Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang.

“Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu,” kata pemimpin kelahiran Kelantan ini.

Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik “talam dua muka” dan “cakap angin” — seolah-olah mempamerkan kepimpinan ‘cakap tak serupa bikin’.

Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat.

“Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa.

“Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum,” kata beliau. -TMI

Proton Perdana Bawa Lembu Di dalamnya

Alor Gajah: Taktik tiga lelaki menyamar sebagai anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum mencuri seekor lembu jantan di Simpang Guthre, Tebong, dekat sini, kecundang apabila seorang daripada mereka ditahan polis, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi, tiga lelaki berusia 40-an itu memberhentikan kereta Proton Perdana V6 dinaiki mereka selepas menyumpit lima ekor lembu di dalam pagar rumah penduduk dikenali sebagai P Bakachander, 47.

Jurucakap polis berkata, mangsa menyedari gerak-geri tiga suspek itu yang berlegar-legar di persekitaran rumahnya sebelum menyumpit lima lembu dan memasukkan seekor daripadanya ke dalam kereta dan melarikan diri.

Mangsa kemudian menghubungi polis sebelum anggota peronda yang meronda di sekitar Alor Gajah serta berdekatan mengesan dan mengepung kereta terbabit di setiap penjuru jalan raya ke arah Bukit Bulat.

“Bertindak atas maklumat itu, enam kereta peronda bergegas ke lokasi sebelum terserempak dengan kereta suspek bergerak laju ke arah Hutan Percha, Kemuning kemudian ke Solok Menggong sebelum berpatah balik dan berselisih dengan sebuah kereta peronda.

“Anggota peronda kemudian mengejar kereta suspek yang memecut laju dan berjaya menghalangnya ketika kereta itu membelok ke arah Machap,” katanya.

Menurutnya, ketika kenderaan suspek dikepung, mereka cuba melarikan diri dengan keluar menuju ke arah ladang kelapa sawit berhampiran, namun seorang daripada mereka tidak bernasib baik apabila kakinya terbolos ke dalam longkang sebelum ditangkap.

“Dua suspek lagi gagal dikesan kerana melarikan diri di dalam ladang sawit dan pemeriksaan ke atas kereta menemui satu sumpit menggunakan bahan PVC dan pelekat lambang polis,” katanya.

Sementara itu, Balachander berkata, ketika kejadian dia berada berdekatan lembunya di dalam kawasan berpagar selepas menyedari sebuah Proton Perdana V6 di depan rumahnya dalam keadaan mencurigakan.

“Beberapa minit selepas itu lima ekor lembu saya tumbang tanpa menyedari ia disumpit tiga lelaki dari dalam kereta tadi sebelum mereka mendekati saya sambil mendakwa anggota polis.

“Pakaian mereka ada lambang polis dan saya melihat seekor lembu rebah berhampiran pagar manakala empat lagi di dalam pagar sebelum mereka mengangkat dan memasukkan lembu di tempat duduk belakang dan terus beredar.

“Saya pelik apabila mereka memasukkan lembu yang pengsan ke dalam kereta yang diubah suai sedangkan pada mulanya mendakwa anggota polis,” katanya. -HM

[Video] Trent, Bayi Satu Tahun Yang Tak Takut Singa

Colorado - Seorang bayi berusia satu tahun bernama Trent, kini sedang diangkat menjadi selebriti di Youtube kerana sikapnya yang berani menghadapi geraman singa.

Dalam kunjungannya ke kebun binatang di Cheyenne, Colorado, Amerika Serikat, Trent kelihatan begitu tertarik dengan haiwan pemaging betina bernama Lomela.

Tak seperti anak kecil lainnya yang biasanya takut atau bahkan menangis bila melihat haiwan menakutkan menyeringai di hadapannya, berbeza dengan Trent yang kelihatan terpukau dan justeru dilihat semakin berani dengan haiwan tersebut.

Dengan aman Trent melihat sang singa yang menggeram dan memperlikan taringnya dari balik dinding kaca yang kukoh.

Momen tersebut diabadikan oleh orangtua Trent dan dimuatnaik ke YouTube. Telegraph menyiarkan kisah ini pada Jumaat (17/6/2011) video Trent yang lucu ini sudah dilihat oleh 2 juta pengguna YouTube. -okezone



Hormati Hak Berhimpun Rakyat - GAMIS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berlapang dada dan tidak terus menutup pintu rundingan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam usaha memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini.

Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Mohd Yusof Hadhari Saidon berkata, SPR harus jelas himpunan BERSIH 2.0 diadakan bukan untuk kepentingan parti politik tetapi untuk rakyat, yang cintakan keluhuran sistem pilihan raya.

Malah Mohd Yusof berkata, himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan setelah SPR dan kerajaan pemerintah gagal meneliti empat tuntutan BERSIH kali pertama pada tahun 2007 yang lalu.

Antara empat tuntutan itu ialah penggunaan dakwat kekal, penyemakan semula daftar pemilih, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara serta akses media yang adil kepada semua pihak.

Sehubungan itulah, himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan menjelang pilihan raya umum ke- 13 kelak. Sempena himpunan kali kedua itu, dua lagi tuntutan ditambah yakni, bantahan penyalahgunaan institusi kerajaan dan lanjutan tempoh masa berkempen yang munasabah.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan Pengerusi SPR, Tan Sri ABdul Aziz Yusof menegaskan pihaknya akan menutup pintu rundingan kepada penganjur BERSIH 2.0 berikutan pihaknya telah memberi ruang itu sebelum ini. Abdul Aziz juga berkata pihaknya telah melakukan beberapa perubahan kearah pilihan raya yang lebih baik.

Bagaimanapun Mohd Yusof ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sehingga kini tiada apa- apa perubahan yang dilakukan SPR dan salahlaku pilihan raya terus berleluasa.

“Sebelum inipun terdapat tuntutan yang dibuat oleh Bersih tetapi banyak yang tidak dilaksanakan. Yang jadi persoalan sekarang ini tuntutan yang lepas itu belum dilaksanakan sebab itu bagi saya tuntutan itu akan dibuat sekali lagi untuk desak SPR ini supaya serius dengan pandangan daripada masyarakat atau rakyat.

Mohd Yusof juga membidas kenyataan Abdul Aziz yang mengutuk himpunan aman itu dan angkuh berkata, refrendum rakyat untuk kali kedua pada 9 Julai ini tidak akan sesekali mengubah dasar dan sistem pilihan raya yang sedia ada.

“Demonstrasi satu cara yang saya rasakan perhimpunan yang mengumpulkan masyarakat dalam masa yang sama untuk kita nyatakan satu pandangan atau satu kenyataan utuk kita perbetulkan atau kita perbaiki sistem kerajaan yang ada iaitu seperti SPR dan sebagainya,” katanya. -tvsnews




Mat Sabu Digeruni, LL4G Batalkan Ceramahnya Atas Arahan Najib?

LL4G: Najib arah batal pidato Mohamad Sabu?

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Pihak penganjur Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang dijadual dilancarkan jam 9 malam ini oleh Perdana Menteri, membatalkan slot pidato yang sepatutnya menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Selain Mohamad yang dijemput mewakili Pakatan Rakyat, pidato menyentuh isu Palestin yang diadakan di Stadium Badminton Cheras itu juga sepatutnya disampaikan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sebagai mewakili BN.

Tindakan itu difahamkan dibuat ekoran mereka mendapat tekanan dari Pejabat Perdana Menteri.

"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.

"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi," kata salah seorang petugas ketika ditemui.

Malah, nama Mohamad dan Khairy di backdrop yang diletakkan di pentas juga turut ditutup.

(Gambar: Nama Mohamad Sabu ditutup pada backdrop di pentas utama.)

Khairy bagaimanapun dilihat hadir pada program malam ini.

Sehingga kini belum ada sebarang pengumuman dibuat penganjur kepada hadirin yang hadir berhubung pembatalan itu.

Bagaimanapun, tindakan penganjur menutup nama Mohamad dan Khairy pada backdrop di pentas, menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka.

Ramai dikalangan mereka yang datang malam ini dipercayai mahu melihat Mohamad yang sebelum ini banyak menghentam Umno, duduk sepentas dengan Najib.

Bagaimanapun, sebahagiaannya dilihat mula pulang awal apabila mendapat tahu berhubung pembatalan itu.

Rasa dipermainkan

Mohamad ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan pembatalan itu.

Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan berhubung perkara itu pagi tadi.

"Semalam penganjur kata saya dijemput berucap tentang isu Palestin selama 10 minit.

"Tiba-tiba hari ini kata tak boleh pula, sedangkan dalam media semua dah sebut saya akan berpidato malam ini.

"Saya rasa dipermainkan," katanya kecewa dan memaklumkan tidak akan hadir program malam ini.

Bagaimanapun, penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat pada sidang media khas jam 10 pagi esok di restoran Haslam, Jalan Pahang. -hd

Ulasan GB

Bukan sahaja Muhyiddin yang takut dengan Mohd Sabu, rupa-rupanya Najib jugak begitu.

Jika sebelum ini Muhyiddin menuduh perhimpunan BERSIH adalah bertujuan untuk menumbangkan BN dan nama Mohd Sabu disebut sebagai dalangnya, maka kini nama Mohd Sabu terpaksa ditutup dengan kain putih. Najib pula fobia dengan figur tersebut.

Dibuat macamana sekalipun, jika arus kebangkitan rakyat sudah melanda, bak kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, ibarat air yang turun dari gunung, tidak ada siapa yang mampu menghalangnya. Jika anda menghalangnya anda yang akan dibawa dan dicampakkan oleh arus tersebut.


Muhyiddin Akui BN Bakal Tumbang Kerana BERSIH

TPM: Himpunan BERSIH untuk tumbangkan BN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pada 9 Julai ini bertujuan untuk menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, BERSIH adalah sebagai satu cubaan pihak Pakatan Rakyat untuk menjadikannya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

"Saya fikir tujuan mereka tidak baik. Ambiga (Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan) itu kepala saja. Saya tahu di belakangnya ialah pihak-pihak pembangkang apabila Mohamed Sabu diletakkan sebagai timbalan pengerusinya," kata Muhyiddin kepada Bernama selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian di Beaufort hari ini.

Timbalan presiden Umno itu berkata Pakatan Rakyat sebenarnya berselindung di sebalik badan bukan kerajaan itu yang mempertikaikan sistem pilihan raya umum di negara ini bagi merealisasikan niat mereka untuk menumbangkan kerajaan BN.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun memberi penjelasan berkali-kali bahawa pilihan raya dijalankan secara teratur mengikut peraturan sedia ada.

"Kalaulah mereka membangkitkan isu yang berkaitan pilihan raya kenapa sekarang mempertikaikan soal itu. Kenapa tidak mempertikainya pada pilihan raya lalu," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, tujuan BERSIH mengadakan perhimpunan itu bukan setakat mempersoalkan isu SPR atau perjalanan pilihan raya, tetapi kemungkinan juga sebagai platform untuk membangkit isu yang mungkin menjadi perhatian rakyat dan seterusnya membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

Tolak kerajaan

"Mereka mungkin akan meneruskan momentum ini supaya apabila sampai pilihan raya nanti, kebencian rakyat akan mencapai ke tahap yang tinggi dan menolak kerajaan," katanya.

bersih rally 271207 04Beliau berkata demonstrasi jalanan bukan penyelesaian terbaik berkaitan dengan sistem pilihan raya negara, sebaliknya mereka boleh menggunakan demokrasi berparlimen untuk membetulkan keadaan.

Muhyiddin berkata pihak polis tidak meluluskan permit perhimpunan kerana tidak mahu kejayaan, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara selama ini akan terjejas hanya kerana kelompok kecil ini.

Justeru itu, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan taktik pembangkang yang mengamalkan 'doube standard' yang mengunakan isu pilihan raya sebagai jalan pintas ke Putrajaya.

"Bila BN menang mereka pertikaikan. Bila mereka (pembangkang ) menang, mereka tidak pertikaikan," katanya.

Mengenai hasrat Pemuda Umno yang mahu mengadakan perhimpuan pada hari yang sama, Muhyiddin berkata ini adalah reaksi yang jelas bahawa banyak pihak tidak bersetuju dengan perhimpunan BERSIH itu. -mk

Ulasan GB

Muhyiddin panas punggung dengan BERSIH. Terasa ia satu igauan ngeri sehingga menyatakan perhimpunan aman untuk menuntu pilihanraya bersih dan adil itu bertujuan untuk menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin sememangnya berasas untuk berkata demikian bahawa: JIKA PILIHANRAYA BERLAKU DENGAN TELUS, ADIL DAN BERSIH, kerajaan BN akan tumbang.

SPR sememangnya selama ini menipu untuk memenangkan BN. Melalui persempadanan pilihanraya yang dilakukan untuk sentiasa berpihak kepada BN, mendaftarkan pengundi-pengundi yang tidak wujud, memindahkan para pengundi tanpa notis, menggunakan helikopter untuk mengangkut kertas undi ke pusat pengiraan (tanpa kehadiran wakil dari parti bertanding), mendaftarkan PATI sebagai pengundi dan bermacam-macam taktik dan startegi yang dilakukan untuk memenangkan BN - itu semua sudah merupakan maklumat umum yang sudah tidak rahsia lagi.

Perhimpunan BERSIH, bertujuan mendedahkan salahlaku hubungan haram SPR-BN dan BN terasa gentar dengannya.

Hanya yang berbuat salah aakan merasa gentar dan takut dengan perhimpunan BERSIH tersebut.

Dan nama Mohd Sabu disebutkan oleh Muhyiddin,

Saya tahu di belakangnya ialah pihak-pihak pembangkang apabila Mohamed Sabu diletakkan sebagai timbalan pengerusinya

Nama mohd Sabu amat meresahkan Muhyiddin... kerana belau adalah figur yang tak takut mati. Yang telah diuji walau dengan tiang penjara besi, Mohd Sabu masih tetap penggerak massa yang amat ditakuti.

Jika SPR berjalan dengan adil dan bersih selama ini, sebenarnya UMNO BN sudah lama mati. Kenyataan Muhyiddin di atas memperakuinya sendiri!

Isu Tunangkan Anak: Siapa Tanggung Pembiayaan Kos?

Dr Tan: Siapa biaya kos pertunangan anak Najib?

Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong hari ini menimbulkan soalan siapa yang membiayai bil bagi majlis pertunangan anak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diadakan di Seri Perdana, Putrajaya malam semalam.

Majlis tertutup itu dikhaskan kepada kira-kira 800 tetamu istimewa dan terpilih yang terdiri daripada golongan dan kerabat diraja termasuk dari negara asing, ahli politik, tokoh perniagaan dan kenalan rapat yang lain.

Hanya media rasmi sahaja yang dibenarkan membuat liputan.

Majlis itu diadakan sempena pertunangan anaknya Nooryana Najwa kepada Daniyar Nazarbayev, yang mempunyai pertalian dengan presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.

“Saya difahamkan nota pembelian daripada sebuah hotel terkemuka itu dikeluarkan atas nama Jabatan PM. Ini menimbulkan soalan, siapa sebenarnya membayar bil katering yang berjumlah RM81,000,” soal Dr Tan.

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevBeliau yang merupakan bekas ahli parlimen Gerakan dan juga timbalan menteri berkata soalannya itu penting, khususnya ketika rakyat sekarang diminta 'mengetatkan tali pinggang mereka ketika menghadapi kenaikan kos kehidupan'.

“Pengurangan subsidi minyak dan barangan keperluan, memeritkan rakyat. Justeru, soalan siapa yang menanggung perbelanjaan itu perlu dijawap, lebih-lebih lagi nota pembelian dibuat atas nama Jabatan PM,” katanya.

Awal bulan ini, lawatan Najib serta keluarganya ke Kazakhstan menjadi isu hangat apabila ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad membidas perdana menteri kerana didakwa bersalah dari segi moral kerana menggunakan dana awam bagi merisik perkahwinan anak perempuannya.

"Tindakan Najib ini tidak ada kelas langsung iaitu menggunakan wang kerajaan dan rakyat untuk urusan peribadi,” kata pemimpin PAS itu.

NONESebaliknya, Wisma Putra menafikan laporan itu dan menegaskan bahawa lawatan itu adalah untuk memenuhi penerimaan perdana menteri terhadap undangan yang telah lama dibuat oleh Presiden Nursultan Nazarbayev untuk melawat negara itu.

Lawatan itu, juga dikatakan kebetulan diadakan serentak dengan penganjuran Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-7 di Astana dari 7 hingga 9 Jun lalu. -mk

Ulasan GB

Nak tunangkan anak, nak kahwinkan ataupun nak jual sekalipun, tiada siapa yang halang. TETAPI mencampur-adukkan dengan lawatan rasmi ke Kazashtan itulh yang dipertikaikan.

Majlis rasmi disertakan sekali dengan majlis peribadi. Bererti di sana telah ada "penyalah-gunaan" dana rakyat.


Itu sebab mengapa kerajaan diminta dedahkan jumlah perbelanjaan sebenar lawatan ke Kazashtan tersebut untuk melihat bagaimana agihan perbelanjaan yang digunakan itu.

Terlalu memalukan seorang PM yang kaya raya, wang berjuta-juta tetapi mengambil kesempatan menggunakan dana rakyat untuk perbelanjaan yang tidak ada kena mengena dengan rakyat.

GB sudah ulas sebelum ini di SINI. Petikan:


Terlalu ketara bahawa satu Malaysia ditipu hidup-hidup oleh PM dan Wisma Putra.

Campur-adukkan lawatan rasmi ke Kazashtan dengan urusan peribadi untuk merisik perkahwinan anaknya.

Penggunaan duit rakyat atau dana awam bagi membiayai lawatan Perdana Menteri dan rombongannya untuk merisik perkahwinan anak perempuan Datuk Seri Najib Razak di Kazakhstan adalah salah dan amat menjelekkan.

Terlalu memalukan dan lansung tidak bermaruah!

Begitulah Wisma Putra yang pendusta, menipu seluruh rakyat Malaysia, anda TIDAK BERMARUAH dan tiada siapa yang akan dengar penjelasan kamu lagi tentang apa isu sekalipun. Sekali lancung ke ujian seumur hidup orang tidak percaya!


Faktor ini bakal menyumbang kepada keruntuhan UMNO BN nanti di dalam pilihanraya akan datang kerana contoh teladan yang (meminjam kata-kata YB Dzul) lansung tidak kelas. Cukup memalukan dan menjelikkan.

Pulangkan balik wang rakyat yang disalahgunakan itu!