28 Mei 2010

Lesen Judi : UMNO BN Bakal Lingkup. Biarkan!

1000 Orang Berhimpun, Bantah Kerajaan 1Malaysia Lulus Lesen Judi Bola Sepak

Rakyat Selangor terus bangkit membantah tindakan kerajaan 1Malaysia meluluskan lesen judi bola sepak.

Tunjuk perasaan di Masjid Jumhuriyah Taman Dato Harun hari ini menyaksilan hampir 1,000 orang berhimpun mengecam kegelinciran Umno-BN dari landasan moral kerana menghalalkan operasi judi sukan di negara ini.

Pakatan Rakyat dan penduduk kawasan setempat menyahut suara bangkangan seluruh negara dengan mengadakan tunjuk perasaan selesai solat Jumaat hari ini.

Laungan takbir bergema disebalik kain rentang dan sepanduk mengingatkan kerajaan 1Malaysia bahawa judi itu haram, mencemar moral dan peruntuh institusi keluarga.

Beberapa wakil dewan pemuda Pas memberi ucapan dengan lantang membantah keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak.

"Anak-anak muda minat bola. Sebagai umat islam yang sayangkan agama dan bangsa. marilah kita menentang pemberian lesen judi. ini menjadi tanda kerajaan BN ingin jadikan negara ini negara judi."

Wakil dewan pemuda pas juga berkata dalam ucapannya menegaskan bahawa PAS menentang keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan dan mendesak kerajaan menarik balik keputusannya itu.

"Dengan membiarkan judi berleluasa, dengan membiarkan negara ini ditadbir dengan wang judi, dengan membiarkan negara ini ditadbir oleh pencinta-pencinta judi dan percaya masyarakat Islam, tidak kira latar belakang politik adalah benci kepada judi."

Sebanyak 500 risalah membantah kelulusan kerajaan memberi lesen judi turut diedarkan kepada orang ramai.

Sokongan padu yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat yang hadir pada petang itu menampakkan kekuatan semangat yang ditunjukkan untuk menentang habis-habisan keputusan kerajaan Umno-Bn meluluskan lesen judi bola.

Minggu lalu, lima buah negeri, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan telah mengadakan bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Kemuncak bantahan hari ini di negeri-negeri adalah di rumah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin di Bachok sebelum bantahan besar-besaran di Istana Negara yang dijadual pada 3 Julai depan. -TVS


Demo Bantah Lesen Judi Di Depan Kediaman Awang Adek

KOTA BHARU 28 Mei - Tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi sukan sempena musim bola sepak Piala Dunia terus mengundang tentangan dari segenap lapisan rakyat Malaysia.

Dewan Pemuda PAS hari ini melalui Kempen Anti Judi (KEJI) telah menganjurkan perhimpunan di hadapan kediaman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin di Bachok bagi menyatakan bantahan terhadap beliau yang mengumumkan keputusan keputusan lesen judi tersebut.

Ahli Parlimen Kuala Krai menjelaskan perhimpunan yang diadakan di Bachok ini sebagai satu langkah simbolik terhadap orang yang pertama yang membuat menyentuh mengenai lesen judi.

"Demo hari ini adalah salah satu siri bantahan kita terhadap kelulusan lesen judi tersebut, kita memilih Bachok adalah sebagai simbolik tentangan kita kerana orang yang pertama bercakap tentang lesen judi adalah orang yang berasal dari Bachok iaitu Awang Adek itu sendiri.

"Inilah calon Menteri Besar Kelantan pada pilihan raya umum 2008 yang lepas, jelas tidak ada langsung tokoh yang dipilih oleh Umno untuk dijadikan Menteri Besar. Saya merasakan tindakan yang bijak telah diambil oleh seluruh penduduk Bachok dengan menolak beliau semasa PRU yang lepas.

"Demo bantahan ini akan terus dilakukan sehinggalah satu perhimpunan terakhir melibatkan 100,000 orang yang akan hadir di Kuala Lumpur pada 3 Julai depan untuk memberi sokongan agar kerajaan membatalkan kelulusan tersebut," jelasnya.

Beliau menekankan kerajaan tidak pernah peka dengan apa yang mereka lakukan dan tindakan tersebut menyebab judi sukan menjadi satu budaya yang akan berkembang hebat jika tidak dikawal.

"Selain itu juga tindakan tersebut akan menyebabkan malapetaka menimpa negara ini dan ia perlu di halang segera. Malu dengan sikap Awang Adek sebagai seorang Islam mengumumkan tindakan tersebut.

"Saya akan membangkitkan kelulusan lesen judi ini di parlimen bagi mengetahu apa sebenarnya alasan kerajaan atas tindakan yang diambil," kata beliau lagi.

Beliau memberitahu jika kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap bantahan kita ini menyebabkan perhimpunan tersebut akan diteruskan dan bersedia untuk menghadapi apa-apa jua tentangan.

"Kita sanggup menghadapi apa jua tentangan tidak kira pihak berkuasa ataupun sesiapa sahaja, bagi kita tentangan itu kecil jika dibandingkan dengan hukum dari Allah berikan kepada umatNya jika kita menghalalkan sesuatu yang haram. Kita akan terus berjuang untuk menyelamatkan negara ini dari menerima laknat dari Allah," katanya lagi.



Negara Bangkrap Bukan Kerana Subsidi, Tapi Kerana Rasuah Dan Judi

Kelantan adalah kemuncak siri demonstrasi aman hari ini, yang diadakan bagi membantah langkah kerajaan meluluskan lesen pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi.

Selain Kelantan, empat negeri Melaka, Kedah, Perlis dan Selangor juga akan mengadakan demonstrasi seumpama itu hari ini.

“Kita memilih Kelantan sebagai kemuncak kerana kita akan mengadakan demonstrasi tersebut di pekarangan Masjid Repek, Bachok dalam kawasan Datuk Dr Awang Adek (Timbalan Menteri Kewangan).

“Kita mahu beliau bertanggungjawab dalam perkara ini dan pada masa sama mahu beliau meletakkan jawatan.

“Ini kerana beliau gagal memahami sensitiviti orang Islam dan rakyat yang mahu kelulusan lesen perjudian tersebut ditarik balik,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Demonstrasi akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan telah memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan judi bola sepak pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Dengan kelulusan tersebut, pertaruhan secara sah boleh dilalukan sebelum kejohanan Bola Sepak Piala Dunia bermula pada 11 Jun ini.

Kejohanan tersebut akan berlangsung di Afrika Selatan berlangsung mulai 11 Jun hingga 11 Julai depan.

“Fokus kita tetap sama iaitu membantah kelulusan lesen judi, memberi kesedaran kepada masyarakat tentang implikasi judi dan mendesak kerajaan menarik balik kelulusan lesen judi tersebut,” kata Nasrudin.

Beliau berkata usaha-usaha membantah kelulusan lesen pertaruhan akan diteruskan dari semasa ke semasa sehingga kerajaan menarik balik lesen tersebut.

Minggu lepas lima negeri termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Negeri Sembilan telah mengadakan demontrasi sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai ini.

Nasrudin berkata setakat ini Dewan Pemuda PAS telah menyerahkan memorandum kepada mufti di negeri Johor dan Kedah.

“Kita telah menyerahkan memorandum kepada dua orang mufti setakat ini dan selepas ini kita akan serahkan memorandum kepada mufti yang lain pula.

“Kita akan menggerakkan Dewan Pemuda PAS di setiap negeri supaya memorandum tersebut dapat diserahkan kepada semua mufti,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mahu Perdana Menteri dan kerajaan pusat menarik balik lesen perjudian bola sepak dengan serta-merta.

“Ataupun setidak-tidaknya rujuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Dalam kenyataan dikeluarkan awal pagi ini, Nasharudin berkata beliau percaya kerajaan pusat di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya.

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi,” katanya.

Katanya, langkah kerajaan yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek bulan lalu, yang memberi lesen perjudian bola sepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita. -TMI


Judi bolasepak, rakyat terus protes...

Cuaca mendung dan hujan di beberapa tempat tidak menghalang Pemuda PAS hari ini menyambung semula demontrasi 'pemanas badan' membantah keputusan kerajaan meluluskan lesen judi yang dibuat sejak minggu lalu.

Kali ini, ia diteruskan di beberapa buah negeri lagi selepas solat Jumaat.

Minggu lalu, lima buah negeri - Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan - mengadakan bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Kemuncak bantahan hari ini di negeri-negeri adalah di rumah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussin di Bachok sebelum bantahan besar-besaran di Istana Negara yang dijadual pada 3 Julai depan.

Di Kedah, kira-kira 1,000 orang termasuk pemimpin politik dan penyokong PAS membanjiri Dataran Zero di Sungai Petani bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan pemberian lesen judi.

'Tarik balik lesen judi'

Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Yahaya berkata demontrasi itu berlangsung selama 45 minit bermula jam 2.15 petang di mana beberapa tokoh PAS dan NGO turut hadir.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ahmad berkata dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa PAS menentang keputusan kerajaan meluluskan lesen judi sukan dan mendesak kerajaan menarik balik keputusannya itu.

Turut menyampaikan ucapan adalah Timbalan Speaker Izzat Shauki, Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohamad Noor, Pengerusi Gerakan Mansuh Judi (GMJ) Nasir Zakaria dan wakil dari Teras Keupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid dan wakil dari PSM.

Turut hadir dalam bantahan tersebut dua orang ADUN iaitu Abdullah Jusuh (Pantai Merdeka) dan Yahya Abdullah bagi DUN Jeneri.

Menurut Ahmad, ada di kalangan hadirin juga membawa poster antara lain berbunyi "Kita Bantah Judi Bola".

Perhimpunan tersebut dikawal oleh kira-kira 10 anggota polis dan tiada kekecohan atau tangkapan dibuat, tambahnya.

Manakala di Perlis, lebih dari 500 orang termasuk penyokong parti berkumpul di perkarangan Masjid Putra Kangar melaungkan 'Tolak Judi' sebagai tanda bantahan terhadap tindakan kerajaan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Ketua Pemuda PAS negeri Yaakob Abu Seman berkata bantahan tersebut berlangsung selama 40 minit bermula jam 1.50 petang, selepas orang ramai menunaikan solat Jumaat.

Rakyat benci judi

Mereka mengibarkan kain rentang antaranya berbunyi "Rakyat benci judi dan pemimpin judi".

Katanya turut hadir adalah beberapa pimpinan PAS negeri termasuk pesuruhjaya PAS Hashim Jasin dan beberapa pemimpin Pemuda PAS dan pemimpin mahasiswa.

"Kita harap pemimpin Umno dapat menarik balik pemberian lesen judi ini," katanya sambil menambah ucapan mereka itu diselangi dengan ucapan takbir dan reformasi.

Menurut Yaakob, seramai 10 orang polis berada di situ bagi mengawal perhimpunan itu yang diadakan tanpa sebarang kekecohan ataupun tangkapan.

Di Selangor bantahan yang sama dibuat di beberapa masjid dengan Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Zaidy Abdul Mutalib mengetuai kira-kira 500 orang membantah kelulusan lesen judi di Masjid Country Home Selayang.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahmad Zaidy berkata bantahan tersebut berlangsung selama 30 minit bermula kira-kira jam 2.10 petang di perkarangan masjid berkenaan.

Katanya selain itu, terdapat dua lagi protes iaitu di Masjid Besar Kuala Selangor dan di Masjid Besar Batu 14 di Hulu Langat.

Bencana Allah

Dalam ucapannya, Ahmad Zaidy berkata judi itu adalah haram di sisi Islam kerana termaktub dalam surah al-Maidah ayat 90 yang meminta umat Islam menjauhi perbuatan tersebut.

Ini kerana, katanya, judi memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat dan mendedahkan kepada bencana Allah.

Menurutnya lagi, mereka juga turut mengibarkan dua kain rentang yang berbunyi "Judi bola tetap haram" dan "Katakan ya untuk bola, Katakan tidak untuk judi" serta poster yang bertulis "Kami main bola, bukan main judi".

Sebanyak 500 risalah membantah kelulusan kerajaan memberi lesen judi turut diedarkan kepada orang ramai.

Tiada kekecohan yang berlaku di masjid tersebut, kata Ahmad Zaidy yang juga ketua Pemuda PAS kawasan itu. -MK



Ulasan GB

Mutakhir ini heboh dikatakan tentang kemungkinan negara akan menjadi bangkrap jika kerajaan terus memberikan subsidi kepada rakyatnya.

Kenyataan Idris Jala baru-baru ini seolah-olah ingin mewujudkan justifikasi untuk kerajaan menaikkan harga barangan apabila subsidi ditarik balik nanti.

Sebenarnya, negara akan bangkrap bukan kerana pemberian subsidi. Tetapi negara akan menjadi bangkrap apabila tindakan Najib dan pemimpin UMNO yang mengundang kemurkaan Allah seperti meluluskan lesen judi dan seumpamanya.

Kebocoran di dalam sistem aliran kewangan negara akibat dari penyalahgunaan dana negara dan rasuah yang semakin menjadi-jadi semenjak "bapa judi" dan "bapa rasuah" menjadi perdana menteri. Dia digelar Bapa Judi kerana semua orang tahu bahawa PM tersebut telah meluluskan lesen-lesen judi, dan Bapa Rasuah kerana terbukti di dalam mana-mana PRK, beliau akan merasuah pengundi dengan pelbagai bentuk pemberian dengan ungkapan masyurnya "You help me, I help you!"


MIC Wajar Keluar Dari BN

Ketua DAP Perak A Sivanesan menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda MIC T. Mohan (gambar) hanyalah sandiwara semata-mata kerana MIC nyata mengharapkan telunjuk Barisan Nasional (BN) untuk bergerak ke hadapan sejak 50 tahun lalu.

Menurutnya, T. Mohan sengaja mewujudkan propaganda bagi mengampu perjuangan beliau bersama presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu dan anaknya S. Vell Paari yang menerima serangan bertubi-tubi dari puak lain untuk memaksa presiden MIC tersebut meletak jawatan.

Mengulas krisis parti masyarakat India itu, beliau berkata, selama 50 tahun corak politik MIC mengikut telunjuk BN dan tidak mungkin MIC mampu untuk berdiri sendiri tanpa berpaut pada dahan BN.

"T.Mohan mendapat arahan dari pihak atasan untuk memberi bantuan kepada Samy Vellu yang menerima serangan hinggalah menyalahkan Umno menjadi dalang perpecahan MIC ketika ini," katanya kepada Free Malaysia Today, hari ini.

Sivanesan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai berkata, "kalau MIC keluar dari BN sekalipun, parti MIC akan terus berpecah menjadi dua puak yang berbeza kerana ahli dalam MIC tidak pernah bersependapat untuk bersama demi parti mereka.

Sudah lama tunggu untuk jawatan Presiden

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyifatkan tindakan MIC keluar dari kepompong BN adalah wajar dan jalan terbaik demi mengembalikan sokongan kaum India pada MIC.

"Saya tidak mahu memberi tanggapan negatif pada MIC sebaliknya jika benar MIC keluar, mereka perlu menunjukkan bahawa parti India itu mampu berdiri sendiri tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak lagi.

"Kaum India tidak menyokong MIC kerana mereka berfikir bahawa satu undi kepada MIC adalah satu undi untuk Umno dalam BN," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Bercakap mengenai pelepasan jawatan presiden MIC, Datuk Mahfuz berkata, anggota pimpinan MIC berlumba-lumba berebut jawatan hingga sanggup menjatuhkan presiden sendiri demi kepentingan diri.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, "sepatutnya, kalau Samy Vellu nak terus memegang jawatan itu, biarkanlah. Mengapa yang lain tidak boleh menunggu, sedangkan mereka mampu menunggu lama sejak dari dahulu.

"Beliau akan mengundur September tahun depan, bukannya mengambil masa yang lama sangat pun," katanya.

Masalah lama BN tidak selesai

Sementara itu , Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat Fuziah Salleh menyatakan pergolakan yang berlaku dalam MIC dan BN adalah balasan dari hasrat dengki mereka sendiri yang cuba menjahanamkan PR sejak sekian lama dulu.

Fuziah berkata, masalah yang berlaku dalam BN terutamanya MIC jelas mempunyai sejarah berlarutan yang telah lama gagal untuk diselesaikan.

"Presiden tak mahu lepas jawatan, yang lain marah kerana tidak mempunyai kesempatan untuk naik jawatan lebih tinggi menyebabkan terjadi pertikaian dalam MIC," kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

"BN selalu menyatakan kononnya PR mempunyai masalah dalaman yang kritikal tetapi akhirnya rakyat dapat melihat dengan jelas BN mempunyai masalah besar yang tidak mampu diselesaikan seperti MCA dan MIC.

Tambah beliau, kaum Cina dan India di negara ini tidak dapat menerima parti MCA dan MIC yang berada dibawah telunjuk parti tidak bertanggungjawab seperti BN yang dikuasai oleh Umno menyebabkan mereka langsung tidak memberi sokongan.

"BN boleh diumpamakan seperti ‘kata dulang paku serpih, kata orang BN dan Umno yang lebih," jelasnya.

MIC dan Umno mengalami pergolakan serius setelah anak Datuk Seri Samy Vellu, S. Vell Paari melemparkan tuduhan menyatakan Umno adalah dalang dalam Gerakan Anti Samy (GAS).

Pemuda MIC T.Mohan pula menyatakan MIC akan mengkaji kedudukan parti dalam BN kerana di tindas hingga menyebabkan kaum india hilang kepercayaan kepada MIC di negara ini.

Bekas Timbalan Pemuda MIC V. Mugilan pada minggu lalu meminta Samy Vellu segera melepaskan jawatan presiden berikutan gagal membawa sebarang perubahan kepada MIC.

Sesetengah ahli MIC tidak dapat menerima pentadbiran Samy Vellu yang dikatakan terlalu lama menjawat jawatan presiden hingga menyebabkan parti MIC berada pada tahap yang tenat. -FMT


Lagi AJK MIC bidas Samy Vellu

Tanpa gentar, seorang lagi ahli jawatankuasa (AJK) pusat MIC P Palaniappan tampil menghentam presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu hari ini.

Katanya, beliau sedih dan kesal dengan tindakan Samy Vellu memecat beberapa pemimpin parti India itu sebelum ini kerana mengkritik kepimpinannya.

Menurut Palaniappan, terdapat pilihan lain bagi menangani kes tersebut, antaranya melalui jawatankuasa disiplin parti.

Samy Vellu sebelum ini memecat empat pemimpin parti itu, dua daripadanya anggota jawatankuasa pusat.

Seorang daripadanya V Mugilan - sebelum ini menjawat timbalan ketua pemuda MIC - melancarkan dan mengetuai 'serangan' balas mereka, melalui Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) yang merancang menghimpunkan 10,000 orang Ahad ini untuk membantah kepimpinan Samy Vellu.

Menjelang tiga hari lagi perhimpunan besar anti-Samy Vellu di PWTC Ahad ini, tindakan Palaniappan itu dilihat memberikan tamparan hebat kepada presiden MIC selama 31 tahun itu.

Bercakap dalam sidang media di sebuah restoran mamak di Petaling Jaya, Palaniappan turut ditanya sama ada beliau tidak risau mengalami nasib yang sama dengan disingkirkan daripada MIC.

"Saya sanggup dipecat. Sebab itu saya ada di sini," jawapnya sambil mendakwa tampil melakukan semua itu demi memastikan MIC tidak lagi menjadi "parti tanpa sokongan rakyat".

Dalam sidang media itu, beliau ditemani dua pemimpin MIC bahagian yang turut berkongsi pandangan yang sama iaitu Datuk S Kumar (Dusun Tua) dan M Karunanidhi (Klang).

Kira-kira setengah jam sebelum itu, di tempat yang sama Mugilan turut mengadakan sidang medianya mendedahkan usaha 'menggagalkan' perhimpunan GAS Ahad ini.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai GAS, Palaniappan menjawab spontan:

"Sebab saya belum dipecat lagi," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 15 pemberita dalam dewan kecil di restoran itu.

"Lagi pun saya tidak buat salah. Saya hanya memberikan pandangan bagaimana parti patut tangani isu (pergolakan dalaman MIC) ini." -mk


Vincent Tan Mohon Lesen Judi Dari Pas, Husam Simpan Surat Permohonan

Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) harus mencontohi Kerajaan Kelantan yang tegas, komited dan tidak berkompromi dalam isu perjudian.

Tidak seperti kerajaan Umno BN, kerajaan Pas Kelantan yang didatangi Tan Sri Vincent Tan tetap tidak tunduk kepada keinginan ahli korporat itu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Husam Musa menyatakan Vincent Tan datang memohon untuk memperoleh lesen judi selepas tamat pilihan raya umum 2008 tetapi ditolak mentah-mentah.

Vincent Tan melalui Kumpulan Berjaya yang memperoleh lesen judi bola yang diluluskan kerajaan Umno BN baru-baru, sempena kejohanan Piala Dunia Jun ini.

"Pada Jun 2008, ambo (saya) diberi satu surat dari Vincent Tan. Surat itu dialamat pada Menteri Besar Kelantan dan untuk ambo. Nak suruh lulus semula lesen judi 4 nombor ekor di Kelantan.

"Surat itu masih simpan, tak tunjuk pada Tok Guru kerana ambo jawab balik kepada wakil Vincent Tan - tak payah sampai Tok Guru. Aku bagitau, permohonanmu tidak layak sama sekali," kata Husam ketika berucap di Majlis Ceramah Perdana Isu Judi di sini, malam tadi.

Husam menegaskan tidak ada lesen judi diluluskan kerajaan Kelantan sejak Pas memegang tampuk kuasa negeri pada 1990 dan kesal kerana Datuk Dr Awang Adek Hussin bersetuju dengan pelaksanaan judi bola.

Kata Husam, pengumuman yang dibuat Dr Awang Adek mengecewakan penduduk Bachok yang mengundi Timbalan Menteri Kewangan ini, sebagai Ahli Parlimen pada pilihan raya umum lalu.

"Munasabahlah Islam larang perjudian dan munasabahlah bagi seorang yang waras pemikiran mementingkan akhlak dan nasib rakyat untuk berfikir bagaimana untuk kurangkan tabiat ini.

"Di Barat, mereka tubuhkan NGO untuk mendidik rakyat hentikan ketagihan judi. Tetapi malangya, ada orang Kelantan, orang Melayu, orang Islam sokong judi," katanya lagi. -TVS