22 Jul 2011

Video BERS✔H PDRM Bohong: Hanya Tayang Detik Terpilih

Polis tayang 'detik terpilih', bukan menyeluruh

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menayangkan keseluruhan video perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai, bukan menayangkan 'detik-detik terpilih'.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, video yang ditayangkan pihak polis semalam tidak menggambarkan secara keseluruhan situasi pada hari tersebut.


"Tayangan video itu tidak memberi apa-apa makna kerana yang ditayangkan hanya saat-saat dan detik-detik pilihan yang tidak menceritakan keseluruhannya.

"Sepatutnya polis kalau dah ada video tunjuk semua, jangan hanya detik-detik tertentu. Kita minta polis tunjuk semua, jangan hanya detik-detik pilihan yang nak tunjukkan mereka baik sahaja," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sesi tayangan dan taklimat selama satu jam 30 minit yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dekat sini petang semalam yang dikatakan bagi menjawab segala dakwaan terhadap salah laku polis.

Video klip itu bagaimanapun hanya menunjukkan 'layanan baik' polis terhadap peserta himpunan termasuk menjawab dakwaan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa beliau dilanggar pajero polis.

"Saya nampak ianya tidak menujukkan apa-apa konklusi. Video itu tidak menunjukkan saat Mat Sabu jatuh, tak tunjuk sama ada dia jatuh, pajero undur dan langgar dia dan dia jatuh ataupun ada dua buah kereta waja yang langgar dia dan dia jatuh.

"Saya ingat dari segi apa yang ditunjukkan dalam video itu menujukkan bahawa tak ada bukti untuk menunjukkan bahawa Mat Sabu menipu malahan nampak macam polis nak menipu," katanya yang turut cedera di kepala akibat terkena kanister gas pemedih mata dan menerima enam jahitan.

Tambahnya, tindakan polis memilih video sebelum ditayangkan sehingga mengambil masa selama dua minggu amat menimbulkan keraguan.

"Kenapa saat-saat tertentu sahaja yang polis tunujuk? Masa polis tembak gas masa perhimpunan kenapa tak tunjuk?"
soalnya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Dalam taklimat semalam, polis tutut mendakwa peserta perhimpunan yang banyak melakukan provokasi supaya polis menangkap mereka.

Polis bagaimanapun mengakui kemungkinan melepaskan meriam air ke lorong-lorong di belakang hospital Tung Shin manakala asap gas pemedih mata yang ditembak meresapi perkarangan hospital itu. -HD


Bersih 2.0: Mat Sabu arah peguam fail saman PDRM
July 22, 2011
KUALA LUMPUR, 22 Julai — Mohamad Sabu telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada Polis Diraja Malaysia kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan motosikal dinaikinya ketika perhimpunan 9 Julai.

Mengikut laporan HarakahDaily, Hanipa berkata, Timbalan Presiden PAS telah menghubunginya pagi ini dan mengarahkan beliau menghantar notis kepada pihak berkenaan ekoran dakwaan semalam.

Semalam, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid dalam sidang medianya berkata, tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal pemimpin PAS itu.

“Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar ‘fender’ Pajero,” katanya.

Video berkenaan menunjuk sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu. Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.

“Saya harap akan dapat menghantar notis kepada Bukit Aman minggu depan meminta mereka menarik balik dakwaan Mohamad Sabu menipu,” kata Hanipa kepada Harakahdaily.


Hanipa yang juga timbalan pengerusi Lajnah Undang-undang PAS memberitahu, Mohamad menegaskan bahawa jika polis tidak teragak-agak menyamannya kerana mendakwa dia menipu, pihak beliau juga tidak teragak-agak untuk menyaman polis atas dakwaan memfitnahnya.

Sebelum ini Mohamad mendakwa motosikal yang dinaikinya semasa perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lepas telah dirempuh sebuah kenderaan polis dan menyebabkan beliau terjatuh dan lututnya cedera.

Akibatnya, Mohamad terpaksa menjalani pembedahan lutut dan 2½ skru telah dimasukkan ke dalam lututnya untuk mengukuhkan ligamennya yang koyak.

Namun begitu, Umno dan penyokong mereka mendakwa, Mohamad dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim pura-pura cedera untuk meraih simpati.

Dua hari lepas, pengawal peribadi Anwar membuat laporan polis ekoran kecederaan yang dihadapinya selepas ditambak dengan gas pemedih mata secara yang tidak betul sehingga menyebabkan tulang pipinya patah terkena balang berisi gas pemedih mata yang ditembak ke arahnya.

Sementara itu, Keadilandaily melaporkan, Mohamad Sabu berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu.

Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

“Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid kerana melakukan fitnah
,” katanya kepada Keadilandaily.

Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu.

“Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu.

“Kereta Waja yang ‘cross’ itu (yang melanggar),” kata beliau.

Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mohamad berkata terdapat pelbagai pandangan pada masa itu.

“Tetapi selepas bertanya kepada penunggang saya, kereta Waja itu yang melanggar,” katanya. -TMI




Najib Serlahkan Ketakutan Terhadap BERS✔H Sebagai Mahu Gulingkan Kerajaannya

Najib dakwa Bersih 2.0 cuba guling tadbirannya

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa Bersih 2.0 cuba untuk menggulingkan kerajaannya dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran selain menafikan dakwaan gabungan itu bahawa wujud penipuan dalam sistem pilihan raya.

Ketika berucap selepas kembali kei tanah air daripada lawatan luar negara, perdana menteri terus mempertahankan bahawa pilihan raya di Malaysia adalah bersih sepanjang masa.

“Kita tidak pernah menipu dalam mana-mana pilihan raya di Malaysia,” kata beliau di Kompleks Bunga Raya KLIA di sini.

Najib juga menolak dakwaan Bersih 2.0 bahawa BN mempunyai kelebihan tidak adil dengan memiliki ruang besar di media ketika berkempen.

“Kami kata ia adil, mereka (Pakatan Rakyat) kata tidak adil. Mereka berkempen setiap hari, bukan itu tidak adil? Setiap hari ada ceramah di sini di sana... bukan itu tidak adil?” katanya lagi.

Najib berkata perlu ada kesimbangan antara kebebasan bersuara dan ketenteraman awam, tetapi menekankan tiada ruang untuk perselisihan faham di Malaysia.

Katanya, Bersih 2.0 telah menolak tawaran kerajaan agar mereka mengadakan perhimpunan di sebuah stadium.

Malah beliau juga mendakwa badan pemantau itu mahu mengadakan perarakan dan memprovokasi polis daripada mengetengahkan permintaan mereka.

“Ia bukan mengenai pembaharuan sistem pilihan raya,” kata Najib sambil memberitahu pihak berkenaan mahu menunjukkan seolah-olah Malaysia juga seperti dunia Arab yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat.

“Itu sebabnya mereka mahu menggambarkan (kononnya) kita sebagai kerajaan autokratik, sebenarnya mereka mahu merampas kuasa daripada kita yang dipilih oleh rakyat,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Najib dipetik Bernama Online berkata beliau tidak sanggup bercuti lama, malah telah berkorban masa cuti beliau untuk menemui rakyat.

Selepas melakukan lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali, Najib akan berada di Selangor pula pada tengah hari Jumaat, melakukan tinjauan mesra di Subang dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Subang Perdana, seterusnya menyertai makan tengah hari bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Jalan U3, Subang Perdana.

“(Habis lawatan) saya ajak keluarga saya berbincang. Saya kata rasa-rasa dalam hati, saya kena balik walaupun ikut jadual keluarga saya dan saya, nak bercuti di luar negara sementara tetapi rasa-rasa saya perlu balik ke Malaysia.

“Saya kata bahawa tidak mengapalah kalau saya perlu berkorban. Saya sanggup berkorban demi rakyat Malaysia,” kata beliau.

“Saya ucap terima kasih kepada isteri saya. Dia tak bantah dan sokong. Anak-anak saya pun sokong,” kata Najib dengan disambut tepukan gemuruh.

“Saya beritahu Tan Sri Muhyiddin (bahawa) penting kepada kami berdua turun padang. Kami nak jumpa dengan rakyat Malaysia. Saya minta juga menteri-menteri turun bersama.

“Kita berjumpa dengan rakyat. Kita bertemu dengan rakyat. Kita beritahu pada rakyat bahawa mereka boleh bergantung harapan kepada kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Perdana Menteri juga dijangka melakukan lawatan ke negeri Perlis esok.

“Ini adalah gambaran bahawa kita akan melakukan bersungguh-sungguh... yang terbaik. Percayalah bahawa imej Malaysia masih begitu tinggi di luar negara tetapi yang penting adalah untuk kita dahulukan rakyat.

“Kami mahu beritahu kepada rakyat Barisan Nasional adalah pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia,” katanya. -TMI

Ulasan GB

Jika tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah.

Jika tidak kerana sesuatu hal, mengapa Najib perlu takut dengan himpunan aman BERSIH?

Sebenarnya Najib sendiri tahu bahawa memang berlaku penipuan di dalam pilihanraya. Justeru itu hatinya sudah dapar merasakan "ketakutan", kerana rakyat telah menghidu serta bangun untuk mendedahkan segala kepincangan perjalanan sistem pilihanraya oleh SPR.

Rakyat bangun untuk menuntut pilihanraya yang adil dan bersih, tetapi kerana Najib diburu ketakutan akibat kesalahannya, maka dilihat perhimpunan itu sebagai tuntutan untuk beliau letak jawatan dan menggulingkannya bersama kerajaan pimpinannya.

Namun Najib silap. Apabila perhimpunan BERSIH yang menuntut sistem pilihanraya yang adil dan bersih itu ditekan dan dihalanglah yang akan menyebabkan beliau bakal diminta oleh rakyat supaya berundur dan letak jawatan.

Dalam disiplin psikologi begitulah, seseorang yang bersalah itu nampak setiap fenomena sebagai "hambatan" terhadap dirinya - sekalipun ia sebenarnya lansung tidak berkaitan.

GB sudah menyatakan sebelum ini bahawa terdapat kemungkinan Najib bakal mengakhiri pemerintahan sebagai PM lebih awal daripada Pak Lah!

BERS✔H 2.0: SUHAKAM Minta Orang Awam Serah Bukti

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta orang awam menyerahkan bukti dan maklumat berhubung dakwaan, antaranya, penggunaan kekerasan yang melampau oleh pihak berkuasa sebelum dan semasa perhimpunan 9 Julai.

Ia ekoran keputusan suruhanjaya itu untuk mengadakan Siasatan Awam berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan tersebut.

Panel siasatan akan dipengerusikan oleh naib pengerusi Suhakam, Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata orang awam yang menyaksi perbuatan atau insiden dakwaan tersebut, atau mereka yang boleh memberi maklumat, dokumen serta bukti, termasuk rakaman video/gambar, diminta menghubungi suuruhanjaya dengan segera.

Tarikh akhir untuk mereka berbuat demikian ialah 2 Ogos 2011. Untuk pertanyaan dan penyerahan awam, orang awam boleh menghubungi Ameer Izyanif Hamzah atau Encik Shahizad Sulaiman di Suhakam, Aras 13, Menara TH Perdana, 50250 Jalan Sultan Ismail - Tel: 03 2612 5669 /5623; Faks: 03 2612 5620 / 5694 dan Emel: complaints@suhakam.org.my / humanrights@suhakam.org.my

Menurut kenyataan itu lagi, terma rujukan siasatan awam itu adalah:

1. Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa pelanggaran hak asasi manusia terhadap mana-mana individu atau pihak sebelum dan semasa perhimpunan pada 9 Julai 2011;

2. Jika pelanggaran hak asasi manusia telah berlaku, untuk menentukan:

i. Bagaimana pelanggaran itu terjadi;

ii. Apakah arahan pentadbiran dan prosedur, atau aturan yang menyebabkan pelanggaran tersebut;

iii. Individu atau agensi yang bertanggungjawab untuk pelanggaran tersebut.


3. Untuk mengesyorkan langkah-langkah untuk diambil bagi memastikan pelanggaran tersebut tidak akan berulang.

Menurutnya, suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Sapina pada masa yang sesuai kepada saksi-saksi yang berkaitan termasuk orang awam, media dan pihak polis.

"Kuasa ini adalah menurut seksyen 14 (1) (a) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 yang memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk mendapat dan menerima segala keterangan, bertulis atau lisan, dan untuk memeriksa semua orang sebagai saksi sebagaimana yang Suruhanjaya merasa perlu atau patut diperoleh atau diperiksa," katanya. -mk

Ulasan GB

Alhamdulillah, gesaan GB semalam mendapat riaksi positif SUHAKAM hari ini. Di dalam ulasan semalam GB menyatakan:

Memang benar beberapa pendapat menyatakan mereka masih berfikiran kuno dan kolot. TG Nik Aziz menyifatkan ia era zaman pemerintahan purbakala.

Kebenaran tidak dapat ditutup dengan sergahan dan ugutan. Ini bukan zaman batu!

SUHAKAM, cepatlah sikit kerja. Bawa polis-polis ini ke muka pengadilan. Kesian rakyat, setelah dizalimi, diperbodohkan pula sedemkian rupa.


Malah sebelum perhimpunan BERSIH lagi GB sudah ulas meminta SUHAKAM pro-aktif di dalam mempertahankan hak rakyat. Petikan:


SUHAKAM perlu dihormati, kerana ia sebuah Suruhanjaya Bebas yang ahlinya dilantik oleh Yang Dipertuan Agong.

Jika gesaan SUHAKAM itu tidak dipatuhi, jelas pihak polis dan Kerajaan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong.

Dan jika perhimpunan BERSIH 2.0 dihalang juga, saya meminta pesuruhjaya-pesuruhjaya SUHAKAM letak jawatan mereka sebagai protes kerana kehadiran mereka tidak dihormati oleh polis dan kerajaan yang ada.

Biar satu dunia tahu polis dan kerajaan BN tidak mematuhi Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan hak rakyat untuk berhimpun.


Penahanan Peguam Perancis Bukti Ada Skandal Dalam Pembelian Scorpene

Peguam 'Scorpene' ditahan di KLIA

Peguam Perancis William Bourdon, yang berada di Pulau Pinang malam tadi untuk bercakap tentang urusniaga kontroversi pembelian kapal selam Scorpene yang didakwa melibatkan sogokan berjuta ringgit kepada pegawai kerajaan Malaysia, ditahan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, pegawai imigresen masuk ke dalam pesawat untuk menahan Bourdon sebaik sahaja beliau mendarat di KLIA.

"Beliau kini dibawa ke pusat tahanan imigresen di KLIA," kata Gabriel.

Pada mulanya, pegawai imigresen tidak membenarkan isteri Bourdon, juga seorang peguam, mengikutnya ke pusat tersebut.

Selepas beberapa rundingan, beliau dibenarkan menemani suaminya.

Menurut Gabriel, pegawai imigresen "menyoal Bourdon".

Bourdon mendarat di Pulau Pinang semalam dan berucap mengenai 'Ops Scorpene' di Bayan Baru malam tadi.

Peguam Perancis yang berkhidmat dengan pertubuhan tanpa keuntungan - Sherpa - dan mengkhusus dalam membela hak asasi manusia dan jenayah menentang kemanusiaan.

Bourdon dijangka mendedahkan butiran kontroversial mengenai pembelian kapalselam negara dengan firma gergasi pertahanan Perancis DCNS.

Syarikat itu didakwa membayar komisyen “yang amat tinggi” kepada pegawai kerajaan Malaysia yang terbabit dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.

Bayaran komisyen kepada pegawai kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.

Suaram berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM100,000 daripada majlis berkenaan yang juga dijadualkan di Ipoh dan Kuala Lumpur hari ini dan esok, bagi membiayai kos perundangan dalam kes yang difailkan di Paris yang akan dibicarakan di mahkamah terbuka pada September ini.

Kes berkenaan difailkan tahun lalu oleh Suaram, melalui Bourdon dan pasukannya mengenai dakwaan DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada Perimekar.

Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamanya adalah isteri Abdul Razak Baginda.

Abdul Razak pula adalah rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaska
n.

Ulasan GB

Jika tidak ada apa-apa di dalam pembelian Scorpene masakan Peguam Perancis William Bourdon ditahan.

Sekalipun kes Altantuya telah menjadi sejarah namun "hantu"nya tetap mengejar pesalah yang telah mengebom Altantuya sampai mati.



BERS✔H 2.0: Najib Perkecilkan Kuasa Agong Yang Menitahkan Perundingan

Susulan perhimpunan Bersih 2.0 awal bulan ini, bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia John R. Malott berkata, negara-negara demokrasi perlu menyokong usaha digerakkan rakyat menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bebas.

Dalam tulisan terbaru mengenai kesan dan implikasi perhimpunan Bersih 2.0, Malott berkata, Malaysia sebenarnya bukan sebuah negara demokrasi sepenuhnya.

Kerajaan Malaysia kemungkinan berpandangan sebaliknya, tetapi bukti-bukti amat memihak kepada pihak Bersih. Malaysia bukan negara demokrasi sepenuhnya, malah pilihan rayanya juga bukan sesuatu yang bebas atau adil. Rakyat Malaysia sudah mula bangkit ke arah itu,” kata Malott dalam tulisan terbaru dalam Asia Pacific Bulletin (APB), siri terbitan East-West Center.

Sehubungan itu kata Malott, negara-negara demokrasi dunia “perlu berdiri di pihak yang betul berhubung masa depan Malaysia.”

“Amerika Syarikat mempunyai banyak kepentingan di Malaysia, salah satunya ialah membantu memperkukuhkan demokrasi dan keluhuran undang-undang
,” kata beliau.

Malott yang berkhidmat sebagai duta ke Malaysia antara 1995 dan 1998 berkata kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah mengecam respons dingin kerajaan Amerika Syarikat berhubung perhimpunan 9 Julai.

“Ini adalah detik bagi Amerika Syarikat, yang menamakan pemimpin Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan sebagai Wanita Antarabangsa Berani pada tahun 2009, memperlihatkan keberanian yang sama dan melakukan perubahan dalam kehidupan sebuah negara,” tulis beliau lagi.

Sehari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, Malott mendakwa pentadbiran Najib telah memperlekehkan rakyat yang menuntut sistem pilihan raya yang adil dan bebas dengan menggunakan segala kuasa untuk mengetepikan hak mereka termasuk angkatan tentera.

Dalam rencana disiarkan menerusi Wall Street Journal, di bawah judul “Running Scared in Malaysia”, Malott mengecam kerajaan Malaysia dengan berkata pentadbiran Najib menggunakan segala ruang yang ada untuk mengelakkan perhimpunan bangkangan.

Malott berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memperkecilkan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang pada 5 Julai lalu telah perkenaan menerima pertemuan kepimpinan Bersih 2.0 dan “meminta agar diadakan penyelesaian menerusi perundingan” umtuk menyelesaikan isu semasa.

Pandangan Malott ini dilihat akan membawa kesan ke atas hubungan Malaysia dan pelaburan di peringkat antarabangsa.

Bekas duta itu juga menggariskan keputusan campur tangan Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan meminta kedua-dua Najib dan Bersih 2.0 mengadakan perundingan bagi menyelesaikan isu yang timbul sekarang.

Malott berkata, tindakan seumpama itu tidak pernah wujud dan diambil oleh mana-mana Agong di negara ini
.

Dalam tulisan terbaru Malott berkata, tekanan Najib dan pentadbirannya telah menarik kecaman antarabangsa dan mengebumikan gambaran sejak dua tahun lalu bahawa beliau seorang “pemimpin yang moden, berfikiran liberal.”

“Lebih penting lagi dan menjadi lebih bimbang kepada Najib dan Umno ialah kebangkitan satu generasi baru rakyat Malaysia,” kata Malott dan menambah, akan diketahui dalam waktu terdekat sama ada gerakan menuntut pembaharuan pilihan raya dan usaha mewujudkan demokrasi tulen di Malaysia akan berkekalan.

“Jika begitu, maka 9 Julai akan diperingati sebagai titik tolak kepada sejarah Malaysia,” katanya lagi.

Malott juga menulis mengapa sebuah kerajaan terlalu bimbang unyuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil.

“Sebagaimana penyandang jawatan sebelumnya, Najib (juga) mendakwa demonstrasi akan membawa kepada keadaan huru-hara, meskipun hak untuk berhimpun dijamin oleh Perlembagaan negara dan ia perkara biasa dalam mana-mana demokrasi yang tulen,” katanya lagi dengan merujuk kepada pandangan diutarakan oleh Najib di London baru-baru ini. -TMI

Dalam Islam Ada Tradisi Demonstrasi

Pemimpin Ikhwan Al-Muslimin Kuwait, Dr Tareq Mohammed Al-Suwaidan berkata, Islam sendiri menganjurkan tradisi demonstrasi atau perhimpunan aman, sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia menyalahi hukum, lapor KeadilanDaily.

“Dalam Islam sendiri ada tradisi demonstrasi. Demonstrasi pertama dalam sejarah Islam ialah pada hari ketiga perisytiharan negara Islam oleh Nabi Muhammad (SAW) ketika berhijrah ke kota Madinah.

“Muaz Ibnu Umair mengumpulkan orang Islam untuk mengalukan ketibaan Muhammad. Mereka bernyanyi dan mengalu-alukan ketibaan baginda. Inilah demonstrasi,” jelas Dr Tareq yang juga jurucakap Ikhwan Al-Muslimin Kuwait.

Beliau yang kini dalam rangka lawatan kerja selama 3 minggu ke Malaysia, berkata demikian ketika ditemui dalam satu program di sebuah hotel di sini, 20 Julai.

Menurut Dr Tareq, beliau berpendapat demonstrasi anjuran Bersih pada 9 Julai lalu, hanya proses biasa yang dilakukan rakyat untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini bebas, adil dan bersih.

“Mereka (rakyat) tidak boleh dirempuh (penguasa).

“Saya ada berjumpa (Datuk Seri) Anwar, dia cedera akibat demonstrasi itu dan pengawal peribadinya luka teruk. Saya ketawa. Inikan Malaysia, sebuah negara maju. Kamu tak boleh mempunyai rakyat yang maju tanpa sistem demokrasi yang bebas dan bersih,” kata Dr Tareq.

Ketika ditanya berhubung hadis dari sahih riwayat Muslim mengenai ketaatan kepada pemimpin, yang seringkali dijadikan modal oleh ‘ulama Umno’, Dr Tareq menjelaskan ia bergantung kepada keadaan.

“Hadis Imam Muslim itu benar. Tetapi banyak hadis dan riwayat dari sahabat yang merakamkan sabda Nabi Muhammad bahawa perkara ini sebenarnya bergantung kepada keadaan.

“Jika kerajaan menjalankan kewajipannya sebagai pemerintah dan menyelesaikan hak rakyat, maka rakyat perlu patuh,” kata Dr Tareq merujuk peristiwa teguran Salman Al Farisi terhadap Saidina Umar.

Ketika ditanya tentang pandangan perbicaraan kes fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berpendapat kes itu kini menjadi bahan ketawa dunia.

“Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad disanjungi di dunia Arab. Namun berhadapan kes fitnah dan perbicaraan terhadap Anwar, ia menjadi tuduhan yang melucukan. Ia menjadi bahan ketawa.

“Dalam sebuah sistem yang korup kita tidak akan mendapat keadilan. Bagaimana keadilan akan muncul jika para hakim berada dalam poket pemerintah?,” kata Dr Tareq. -HD

Kes TBH: Laporan Suruhanjaya Dedahkan Betapa Teruknya Prosedur SPRM

Laporan RCI Serlah Kepincangan SPRM

Keluarga Teoh Beng Hock tidak dapat menerima keputusan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bahawa beliau meninggal dunia akibat membunuh diri.

Dalam sidang media penuh emosi di Pejabat peguam Karpal Singh hari ini, adik mendiang, Teoh Lee Lan menyatakan bahawa keluarganya tidak dapat menerima motif Beng Hock membunuh diri.

"Beng Hock dibunuh. Apa yang dibuktikan RCI? Ia memberitahu kita betapa teruknya prosedur SPRM tapi tak beritahu kita apa yang berlaku kepada Beng Hock," kata beliau dengan sebak.

Beng Hock 30, setiausaha politik kepada Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Lee Lan menyatakan bahawa beliau dan keluarga akan terus berjuang memastikan kematian Beng Hock terbela.

"Apakah suruhanjaya diraja ini sudah menjalankan tugasnya? Kami akan meneruskan perjuangan untuk keadilan. (Keputusan) ini bukan jawapan kepada kami," kata Lee Lan lagi.

Justeru Teoh Lee Lan berkata pihak keluarga akan membuat semakan kehakiman ke atas pendedahan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Suruhanjaya tersebut memutuskan tindakan bunuh diri itu akibat soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut peguam keluarga Beng Hock, Karpal Singh, beliau akan melakukan penyelidikan terperinci terhadap laporan tersebut dan akan memfailkannya di Mahkamah tinggi pada minggu hadapan.

"Kami mahu membuat semakan hakiman terhadap keputusan suruhanjaya diraja ini di Mahkamah Tinggi dalam masa terdekat. Ini kerana suruhanjaya diraja merupakan tribunal yang bertaraf lebih rendah (inferior) berbanding semakan kehakiman Mahkamah Tinggi," kata Karpal dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Merujuk pada penemuan suruhanjaya diraja tersebut bahawa memang terbukti siasatan SPRM bersifat zalim, Karpal turut menyatakan beliau akan membuat apa yang boleh dilakukan undang-undang dalam memastikan kematian Beng Hock terbela.

Beliau juga menolak permohonan maaf atau kompensasi dari pihak SPRM atau kerajaan.

"Maaf tidak cukup. Apa yang kita cari ialah keadilan.

"Lihat menteri (Nazri) ketika umumkan keputusan RCI hari ini. Dia tersenyum (bangga). Ini ialah perkara yang serius," katanya lagi. -tvsnews



Ulasan GB

Semalam GB sudah mengulas hal ini. Petikan:


... bahawa "membunuh diri" itu hanya satu andaian yang dilakukan secara kolektif oleh pihak Suruhanjaya Diraja. Tiada bukti nyata dan tiada bukti jelas kejadian Teoh membunuh diri. Teoh tidak dapat bangkit semula untuk menjelaskan kenapa beliau mati dan berada di tingkat bawah bangunan Plaza Masalam.

TETAPI Teoh didera dengan soalsiasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berperangai binatang itu adalah kenyataan, penemuan yang diakui sendiri oleh Suruhanjaya Siasatan.

Justeru itu mengapa penderaan oleh pegawai-pegawai SPRM itu tidak boleh dikatakan sebagai penyebab kepada kematian Teoh?

Malah di dalam soal-siasat terhadap pegawai-pegawai SPRM didapati kebanyakan mereka dan di dalam banyak ketika, berdiam diri, seolah-olah untuk menyembunyikan satu kebenaran!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri membela SPRM menyatakan pegawai SPRM itu tidak mempunyai niat untuk membunuh Teoh.

Di dalam kes sebegini, ia bukan soal niat atau tidak berniat. Pokoknya, SOP telah dilanggar dan "pembunuhan" telah terjadi. Justeru tiada kaitan lagi soal niat.

Akal waras tidak dapat menerima hanya kerana siasatan RM2,400 maka Teoh mengambil langkah membunuh diri.

Tetapi akal waras dapat menerima Teoh dibunuh kerana adanya pegawai-pegawai SPRM yang bukan dari kalangan manusia, yang tidak mengikut peraturan undang-undang dan etika kerja.



Peserta BERS✔H Solat Dengan Tangan Diikat Polis, Tiada Dalam Video PDRM

Gambar peserta Bersih solat dengan tangan diikat polis
bukti 'layanan baik' polis Malaysia

Inilah layanan baik polis Malaysia yang tak mampu ditayang dalam video cut and paste polis.

Tidak bolehkah mereka membuka ikatan bagi membolehkan anak muda ini bersolat dengan selesa berhadapan Allah.

Anak muda ini bukan pembunuh, perompak , perogol tapi umat Islam yang taat kepada perintah Allah.

Anak-anak muda ini adalah antara yang ditahan secara zalim semasa Himpunan BERSIH 2.0, 9 Julai lalu.

Mereka bersolat dengan keadaan tangan bergari (terikat). Polis hanya melihat sahaja mereka bersolat, Polis tidak solat bersama.

PAS terbukti berjasa mentarbiyyah ahlinya untuk sentiasa istiqamah mengerjakan solat walaupun dalam keadaan apa sekalipun.

Gambar ini diambil berhampiran Dataran Maybank.

Syabas kepada anak-anak muda ini ............ -PASPB

Ulasan GB

Allah dan RasulNya jadi saksi kezaliman polis.

Kes TBH: Hishamuddin Angkuh, Arman Pembuli, Ashraf Salahguna Kuasa


Kes Teoh: Tiga pegawai SPRM dilabel ‘pembuli, salah guna kuasa dan angkuh’

KUALA LUMPUR, 21 Julai — Suruhanjaya diraja siasatan yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock berkata bekas setiausaha politik itu ‘terganggu’ ekoran sikap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malayisa (SPRM) yang dilabel sebagai “Arman yang membuli, Ashraf salah guna (kuasa) dan HH pemimpin yang angkuh.”

Malah, ia juga memutuskan bahawa pegawai-pegawai SPRM di Selangor sebagai terbuka kepada pembohongan.

Ketiga-tiga mereka yang dinamakan ialah bekas pengarah SPRM Selangor Hishammuddin Hashim, dua pegawainya Arman Alies dan Mohd Ashraf Mohd Yunus.

Ketiga-tiga mereka dinamakan sebagai pegawai soal siasat kes Teoh dalam laporan suruhanjaya itu, sebagai pihak yang ‘menundukkan’ Teoh ketika sesi soal siasat empat peringkat, yang bermula 15 Julai sehingga keesokan pagi.

Menurut laporan suruhanjaya itu, “Arman yang membuli” kemungkinan telah memanipulasikan saksi untuk mendapatkan bukti.

“Ashraf salah guna (kedudukan),” kata suruhanjaya merujuk kepada kaedah yang digunakannya mendapatkan bukti.

Elemen paling teruk dalam penilaian laporan itu mengenai kaedah-kaedah SPRM adalah gambaran suruhanjaya tentang Hishammuddin.

“HH merupakan seorang pemimpin angkuh, yang akan menggunakan apa sahaja selagi matlamatnya tercapai, tidak kira cara yang digunakan,”
kata laporan tersebut.

Sebagai ketua, Hishammuddin dikatakan menyemai ketakutan di kalangan pegawainya.

Di bawah kepimpinan Hishammuddin, kata laporan suruhanjaya ini, kebanyakan pegawai ada tabiat berbohong. -TMI


Hishamuddin Seorang Yang Angkuh, Memberi Maklumat Tidak Benar...

Suruhanjaya: HH tiada ‘sentuhan’ dalam kematian Teoh, tapi perlu tanggungjawab

Hishamuddin HashimKUALA LUMPUR, 21 Julai — Seorang pegawai kanan SPRM Selangor telah melancarkan operasi skala besar-besaran untuk menyiasat satu dakwaan salah guna dan hanya berdasarkan kepercayaan seorang pemberi maklumat, tanpa fakta-fakta sokongan, demikian menurut suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Dalam laporannya, suruhanjaya mendapati Hishammuddin Hashim (HH) (gambar), pengarah SPRM Selangor ketika itu, terlibat dalam operasi rasuah terhadap seorang Adun DAP, yang membawa kepada kematian Teoh, yang didapati membunuh diri.

“Tiada bukti langsung yang boleh membuktikan bahawa HH ada sentuhan dalam kematian TBH (Teoh Beng Hock).

“Bagaimanapun sebagai seorang pegawai paling kanan yang terlibat dalam operasi, beliau harus bertanggungjawab ke atas tindakan yang diambil olehnya dan pegawai-pegawainya, yang membawa kepada TBH, dengan membunuh diri,” kata suruhanjaya ini lagi.

Dalam laporannya tambah suruhanjaya, pihaknya mendapati Hishammuddin sangat angkuh dan memberi maklumat tidak benar selain sikapnya yang tidak boleh berkompromi.

Suruhanjaya juga berkata Hishammuddin secara berterusan menafikan pembabitan aktifnya dalam operasi ketika kejadian.

Panel suruhanjaya berkata pihaknya mengetahui keadaan sebenar apabila dua pegawai Hishammuddin memaklumkan bahawa bekas pengarah SPRM Selangor itu yang mengeluarkan segala perintah dan mengarahkan pegawai-pegawainya siapa dan bagaimana perlu disoal siasat.

Hishammuddin kini merupakan pengarah SPRM Negeri Sembilan.

Kata suruhanjaya, pihaknya dari awal mendapati bahawa Hishammuddin yakin dengan kebenaran maklumat yang diperoleh.

“Bagaimanapun, dia sedar fakta bahawa maklumat itu bersandarkan kepercayaan bahawa Adun Selangor terbabit menerima wang daripada peruntukan tanpa adanya program-program dilaksanakan,” kata suruhanjaya.

Suruhanjaya juga berkata Hishammuddin yang ada 19 tahun pengalaman seharusnya telah berhati-hati memandangkan aduan yang dibuat adalah serius dan membabitkan kerajaan negeri Selangor.

Sebaliknya menurut suruhanjaya, daripada menjalankan kerja-kerja awal berdasarkan maklumat yang diterima, Hishammuddin menjalankan operasi besar-besaran. -TMI


BERS✔H: Tayangan Video Versi PDRM - Nak Bodohkan Rakyat Pun Biarlah Berpada-pada

Bersih : Polis Tutup Kezaliman Diri, Kata Mat Sabu

SHAH ALAM 21 JULAI : Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu hari ini menolak penafian polis menindas peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 dan menyifatkan rakaman video yang dikemukakan oleh badan itu sebagai cubaan terdesak untuk menutup kezalimannya.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku, sudah tentu polis (akan) menafikan (tindakan) polis. Perkara ini seharusnya dilaksanakan oleh jawatankuasa penyiasat(bebas), kalau tanya Polis memang mereka akan memberi kenyataan macam itu," kata beliau kepada TvSelangor.

Selepas hampir dua minggu, Polis Bukit Aman tampil hari ini untuk menayangkan video yang menurut badan itu menunjukkan polis bertindak mengikut batas undang-undang dalam menyuraikan perhimpunan aman Bersih.

Puluhan ribu orang menyertai perhimpuan itu untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.

Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera.

Seorang meninggal dunia, namun polis hari ini mendakwa kematian Baharuddin Ahmad, 59, adalah akibat sakit jantung dan bukan kerana tindakan polis.

Malah, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid menuduh Mohamad Sabu mereka cipta dakwaan bahawa beliau dirempuh oleh sebuah Land Rover yang dipandu anggota polis sebelum dibawa ke hospital.

Salleh sebaliknya mendakwa pemimpin pembangkang itu jatuh daripada motorsikal selepas melanggar penghadang jalan.

Timbalan Presiden PAS itu membidas Salleh dan berkata beliau bersedia membuktikan keterangannya di mahkamah jika perlu.

Beliau berkata penafian polis hari ini adalah cubaan tersasar pihak berkuasa untuk menutup kesalahannya.

"Saya tak mahu buat apa-apa kenyataan (bersabit insiden itu) melainkan di mahkamah," kata beliau.

Mohamad Sabu berkata penafian polis hari ini adalah cubaan tersasar kerajaan untuk menutup kesalahan pihak berkuasa.

"Kita ada SUHAKAM(Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia), kalau kenyataan dari SUHAKAM atau mana-mana badan bebas lain, kita terima. Ini gunakan polis. Sudah tentu mereka berkata begitu," kata beliau.

"Bagaimana dengan mereka yang pecah kepala, nasib yang menimpa YB Khalid Samad(Ahli Parlimen Shah Alam) dan sesiapa sahaja yang tercedera? Siapa yang bertanggungjawab?. Oleh kerana itulah kita perlu laporan daripada SUHAKAM ataupun badan bebas dan bukannya polis," tegasnya.

Mohamad Sabu berkata, kelewatan polis sendiri untuk tampil dengan rakaman video menimbulkan pelbagai kecurigaan.

"Dua minggu baru keluar video siapa boleh terima, jadi penafian polis tidak boleh diterima. Kita perlu badan lain, Polis memang suka berbohong." tambahnya. -tvnews


Video 'layanan baik' polis ditayangkan

Polis hari ini mengakui kemungkinan meriam air dipancutkan ke lorong-lorong di belakang hospital Tung Shin manakala asap gas pemedih mata yang ditembak meresapi perkarangan hospital itu.

Namun sasaran polis adalah peserta perhimpunan BERSIH 2.0 dan ia dijalankan mengikut prosedur operasi standard polis,” kata Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid.

"Perkara itu masih dalam siasatan. Namun polis tidak menafikan kemungkinan itu (pancutan meriam air dan gas pemedih mata memasuki kawasan hospital),” katanya pada sidang akhbar petang ini.

Dalam mempertahankan tindakan polis, Salleh berulangkali berkata dalam banyak kejadian peserta BERSIH 2.0 yang memprovokasikan anggotanya supaya menangkap mereka.

Sebelum sidang akhbar bermula, tayangan video juga dipertontonkan kepada wartawan bagi membuktikan polis mematuhi peraturan dan “layanan baik” mereka kepada hampir 1,700 orang yang ditangkap pada perhimpunan 9 Julai itu.

Semua klip video yang ditayangkan itu menunjukkan tindakan polis ke atas peserta BERSIH 2.0.

Sesi tayangan dan taklimat selama sejam 30 minit itu diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur, bagi menjawab salah laku yang didakwa dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun tidak ada klip video mengenai layanan polis terhadap anggota Pemuda Umno yang juga berhimpun bagi menentang BERSIH 2,0 pada hari berkenaan. -mk




Ulasan GB

Seperti dijangka, Polis hanya menyiarkan klip video yang cantik dan yang wangi untuk PDRM, tetapi yang hodoh, yang buruk yang kejam tidak disiarkan.

Nak membodohkan orangramai. Disangkanya orangramai juga bodoh seperti mereka.

Polis mendakwa mereka diprovokasi. Sedangkan yang polis sendiri memprovokasi tidak pula didedahkan.

Satu dunia dah saksikan dan dah tahu keganasan polis pada perhimpunan BERSIH 9 Julai. Agensi berita luarnegara seperti Al-Jazeera, BBC, AP, AFP, malah dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura juga membuat liputan. Semua mereka berbohong?

Come on police, be real. You can fool some of the people all the time, and all of the people some of the time, but you cannot fool all of the people all the time.

Ini bukan zaman batu, bukan zaman Ahmad Nisfu. Ini zaman teknologi. Ini zaman I.T. Ini zaman maklumat di hujung jari.

Seperti yang GB selalu utarakan, bukan kita menghasut orang membenci polis, tetapi tindakan polis sendirilah yang selama ini menyebabkan mereka dibenci.