19 Ogo 2011

Siasat Kewujudan Dalang Umno Dalam Isu Jais-DUMC

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) hari ini menggesa agar siasatan dijalankan apabila wujudnya dakwaan penglibatan Umno semasa pemeriksaan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Ini berikutan dakwaan Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali sebelum ini mengatakan Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas DUMC 3 Ogos lalu.

Mustafa mendakwa Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu tersebut ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas DUMC.

Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.

Begitu juga ekoran pendedahan klip video kehadiran Jais ke DUMC pada hari kejadian seperti yang ditayangkan dalam beberapa blog Umno.

Sehubungan itu, DPPNS dalam memorandumnya kepada Exco Slangor Datuk Hasan Ali dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini meminta agar tindakan serius diambil jika apa yang didakwa Mustafa sebelum ini benar.

Video klip

“Kami memandang serius mengenai hal ini dan minta supaya kerajaan negeri siasat bagaimana video klip tersebut dikeluarkan oleh penulis blog Umno.

“Kami juga minta jasa baik Mustafa supaya bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Pemuda supaya isu ini diselesaikan dengan sebaik mungkin,” kata Ketua Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Ridzwan kepada pemberita di pejabat Dr Hasan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua DPPNS Mohd Sany Hamzan menyifatkan tindakan penulis blog yang menyiarkan klip video rakaman Jais pada malam kejadian sebagai satu penderhakaan kepada Sultan.

Katanya, Jais dalam responnya terhadap PAS minggu lalu berkata tidak akan ada sebarang pertemuan atau penjelasan dengan mana-mana pihak seperti yang dititahkan Sultan sehingga siasatan selesai.

Namun, beliau berkata Umno mengingkari arahan tersebut malah terus menyiarkan klip video terbabit melalui blog “Screwkuat” dan beberapa blog milik penulis upahan Umno.

“Sultan sudah keluar titah jangan keluarkan apa-apa kenyataan sebab itu Dr Hasan tak mahu berjumpa dengan pihak media atau sesiapa kerana dia akur dengan titah Sultan.

“Tetapi Umno yang selama ini mempertahankan institusi Raja bertindak mengingkari arahan Sultan,” katanya -FMT

Selangor digesa siasat dakwaan Umno dalang

SHAH ALAM, 19 Ogos: Dewan Pemuda PAS Selangor hari ini mahu kerajaan negeri menyiasat dakwaan PAS bahawa isu pemeriksaan Jais terhadap Gereja Methodist Damansara Utama didalangi Umno.

Gesaan itu merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sebelum ini bahawa beliau mempunyai bukti bahawa Umno terlibat dan berperanan di sebalik pemeriksaan Jais itu.

Sehubungan itu, mereka meyerahkan memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Agama Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd Ali.

Pemuda PAS Selangor diwakili ketuanya, Hasbullah Ridhwan dan timbalannya, Mohd Sany Hamzan.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Dr. Hassan manakala bagi pihak Menteri Besar, memorandum tersebut diterima setiausaha sulitnya Mustapha Mohd Talib di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

"Ini suatu yang sangat malang jika agensi kerajaan negeri (Jais) boleh dicampurtangan parti politik seperti itu.

"Apatah lagi ianya dibuat dalam keadaan politik Umno yang selalu guna isu agama untuk hidupkan politik mereka yang dah nak mati," kata Hasbullah pada sidang media selepas pertemuan kira-kira setengah jam dengan Dr. Hassan.

Dalam pertemuan itu juga ujarnya, Dr. Hassan bagi pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan Mustafa itu.

Sehubungan itu, mereka mahu setiausaha agung PAS itu menyerahkan bukti berkaitan kepada kerajaan negeri.

Mengulas penyebaran video klip yang didakwa rakaman sewaktu pemeriksaan gereja itu oleh bloger Umno, Mohd Sany pula berkata ianya sesuatu yang sangat mengejutkan di waktu Jais masih belum pun siap siasatan mereka.

"Sultan Selangor menitahkan agar semua pihak tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selagi Jais tidak menyiapkan laporan mereka.

"Saya nak tanya bloger Umno, siapa sebenarnya derhaka," katanya.

Ekoran itu juga beliau mahu pihak istana memberi teguran kepada pihak-pihak yang membelakangkan titah sultan tersebut.

Dalam isu pemeriksaan gereja ini, PAS berpendirian agar Jais segera membuat pendakwaan jika mereka mempunyai bukti bahawa wujud gerakan mengkristiankan orang Islam. -HD





Kritik Jais Tidak Bermakna Persoal Institusi Raja

Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menegaskan Kenyataan-kenyataan mengkritik tindakan dan pendekatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu tidak seharusnya dianggap sebagai tindakan mempersoalkan institusi diraja.

Sebaliknya, beliau berkata agensi-agensi agama di negeri ini tidak sewajarnya menggunakan nama istana untuk melindungi pengurusan dan penguatkuasaan bidang kuasa masing-masing.

Kritik Jais tidak semestinya kutuk Sultan. Sepatutnya (Majlis Agama Islam Selangor) Mais sebagai penasihat Sultan sebagai ketua agama beri nasihat yang betul kepada baginda. Bukan gunakan nama baginda untuk memberi perlindungan kepada Mais atau Jais,” katanya dalam satu kenyataan media.

Justeru itu, Mais dan Jais sepatutnya faham konsep dan implikasi akauntabiliti.

“Agama selain Islam dan penganut mereka ada hak dan ini perlu dilindungi. Ini semua dikandung oleh Perlembagaan khususnya Perkara 11. Apa yang berlaku menimbulkan keraguan tentang perlindungan itu. Mais dan Jais patut faham dan bukan menyeret Sultan,” k
ata beliau lagi.

Semalam, pengerusi Mais Datuk Mohd Adzib Isa menegaskan mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya secara tidak langsung tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Beliau berkata, ini kerana Jais tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya agensi penguatkuasaan itu terletak di bawah kuasa Sultan Selangor.

“Sultan Selangor adalah ketua agama negeri Selangor dan dari segi strukturnya Mais terletak di bawah Sultan Selangor dan Jais terletak di bawah Mais.

“Jais adalah badan bebas... tidak terikat dengan kerajaan negeri Selangor dan Jais adalah pelaksana atau badan pentadbiran,” katanya.

Justeru beliau meminta semua pihak tidak mempertikaikan tindakan Jais yang melakukan pemeriksaan ke atas majlis malam malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu yang mendapat kritikan banyak pihak.

Sebelum ini, PAS menegaskan tiada pihak yang mempertikaikan tindakan Jais ke atas gereja tersebut, sebaliknya hanya mahu penjelasan sebenar daripada agensi penguatkuasaan agama itu.

Malah, pemimpin-pemimpin PAS menegaskan tidak timbul soal mempertikaikan tindakan Jais atau tidak menghormati Sultan Selangor selaku ketua agama negeri tapi semua pihak hanya mahu mendapatkan penjelasan.

Dalam pada itu, menjawab pendirian Mais, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menegaskan, dakwaan mengatakan ada pihak termasuk parti politik mempertikaikan tindakan Jais apatah lagi mempersoalkan kuasa Sultan Selangor. -tvsnews



Pakatan Rakyat Perlu Tolak J/K Khas Parlimen, Rakyat Desak BERS✔H 3.0 Dilancarkan

JK Khas Parlimen sekadar penghias jendela

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Jawatankuasa Khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya hanya penghias jendela dan tidak berminat untuk mewujudkan pilihan raya adil dan bersih, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Bagaimanapun, kita berterima kasih kepada perkara-perkara meragukan dalam penubuhan jawatankuasa itu kerana ia memberikan alasan yang lebih kukuh kepada rakyat untuk menerus dan mengukuhkan lagi perjuangan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Perkara-perkara meragukan dalam penubuhan jawatankuasa itu semakin membuktikan bahawa hanya perjuangan rakyat seperti yang berlaku 9 Julai lalu yang boleh diharapkan untuk mewujudkan pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini," katanya sambil mengulangi supaya lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dilaksanakan.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Mahfuz juga mempertikaikan kewujudan jawatankuasa itu kerana apa yang sebelum ini dituntut oleh Bersih 2.0 ialah sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menambah baik proses pilihanraya secara menyeluruh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.

"Yang dituntut ialah siasatan adil dan bebas oleh suruhanjaya tersebut dan langkah-langkah pembaikan yang dicadangkan oleh suruhanjaya itu dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan, bukannya jawatankuasa yang meragukan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, antara perkara yang meragukan dalam jawatankuasa itu ialah apabila ia diketuai oleh seorang menteri.

"Menteri mewakili kerajaan Barisan Nasional (BN), selain SPR, kerajaan BN juga adalah pihak yang dipertikaikan oleh rakyat yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.

"Amat karut jika pihak yang dipersoal dan dipertikaikan menjadi pengerusi badan yang kononnya ditubuhka untuk memperbaiki amalan pilihan raya yang dipertikaikan dan dilihat tidak bersih," tegas beliau.

Mahfuz juga mempersoalkan keanggotaan jawatankuasa itu.

"Keanggotaan jawatankuasa itu sepatutnya diputuskan dalam sidang Parlimen.

"Mengapa tiba-tiba menteri pula yang menetapkan keanggotaan jawatankuasa itu?"
Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Bernama melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Mahfuz juga menolak tawaran Kementerian Dalam Negeri yang mahu menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh jawatankuasa yang dicadangkan oleh Perdana Menteri itu.

"Kita bukan mahu jawapan, kita mahu perubahan ke arah pilihan raya yang adil dan bersih," tegas beliau.

Kenyataan Panglima ATM Dangkal Dan Diselar Hebat Sebagai Memalukan

Tentera hanya perlu setia kepada negara, Agong

Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari menyelar kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berhubung penafiannya terhadap dakwaan berlakunya manipulasi undi pos.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Zulkifeli, khususnya soal kesetiaan kepada kerajaan adalah "memalukan perkhidmatan" dan menunjukkan kegagalannya memahami konsep kesetiaan dalam konteks negara dan warga.

"Setia dengan siapa? Parti politik tak perlu setia dengan ATM (Angkatan Tentera Malaysia). Semua orang kena setia kepada negara yang lambangnya ialah YDP (Yang di-Pertuan) Agong," kata Abdul Aziz sambil menyifatkan kenyataan Zulkifeli sebagai pelik.

"ATM - sebagai salah satu cabang perkhidmatan awam persekutuan - hanya perlu setia kepada negara dan Agong. Tak perlu setia kepada kerajaan yang memerintah. Perkhidmatan awam wajib neutral, bukan menyebelahi parti pemerintah."

Zulkifeli semalam menyalahkan PAS dan menafikan dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya dalam sidang media anjuran dewan itu di ibu negara.

Sambil menyifatkan perkara itu "tidak boleh berlaku", beliau berkata ATM sentiasa apolitikal dan hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat dan juga setia kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Penafian kosong

Tambahnya, pihak yang bercita-cita untuk memerintah perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat terlebih dan setia serta menyokong angkatan tentera.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini semalam, Abdul Aziz berkata, ATM hanya perlu jalankan perintah kerajaan yang selaras dengan undang-undang.

Sedangkan, dakwanya, apa yang berlaku dalam konteks undi pos adalah jenayah.

"ATM perlu buktikan tidak berlakunya hal itu. Bukan buat penafian kosong. Tubuhkan jawatankuasa penyiasat sekurang-kurangnya,"
kata pensyarah kanan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Abdul Aziz juga berkata, tindakan Zulkifeli 'menyerang' kembali Pemuda PAS yang mengetengahkan isu itu juga tidak wajar kerana dia sepatutnya berterima kasih terhadap dewan itu.

"PAS hanya mewakili rakyat yang mahukan pilihan raya yang bersih dan bebas dari penipuan. ATM perlu jelaskan yang ia bersih, bukan menuntut rakyat setia kepada ATM ATM adalah milik rakyat. Ini yang panglima ATM kena faham," katanya.

Dengan sinis, Abdul Aziz mengingatkan Zulkifeli supaya tidak mengikuti jejak ketua polis negara dan timbalannya yang didakwa "mengeluarkan pelbagai kenyataan yang menghina rakyat dan mengengkari perlembagaan". -mk


Panglima Tentera tidak cermat

KUALA LUMPUR, 18 Ogos: Tindakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat.

“Saya merasa terkejut terhadap kenyataan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang telah menyalahkan Pemuda PAS kerana membuat sidang media berhubung dengan pendedahan empat orang bekas anggota tentera berkenaan undi pos di Pejabat PAS Pusat, semalam,” kata Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi DPPM, Mohd Adram Musa dalam satu kenyataan.

Bekas anggota tentera tersebut adalah Majer(B) Risman Mastor, Komando (B) Mohd Kamel Omar, Mohamed Nasir Ahmad dan Kamarulzaman Ibrahim.

Katanya, sebelum ini semasa Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Pemuda PAS juga telah membawa Abu Kassim di hadapan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd Yusof untuk menerangkan pengalamannya berhubung dengan undi pos.

“Zulkifeli bukan sahaja menuduh Pemuda PAS mengambil kesempatan terhadap bekas anggota tentera malah menuduh sebagai kami sebagai pengkhianat.

“Saya ingin mempertegaskan bahawa Pemuda PAS tidak pernah mempergunakan bekas anggota tentera untuk membuat pendedahan,”
ujarnya.

Menurutnya, mereka datang dengan penuh sedar, insaf dan sukarela.

Katanya, mustahil bagi Pemuda PAS mampu mempergunakan bekas anggota tentera yang telah terdidik dengan disiplin dan jadi diri yang tinggi semasa dalam latihan dan perkhidmatan.

Secara tidak langsung, ujarnya Panglima Angkatan Tentera telah menghina ke atas empat anggota tentera tersebut
.

Beliau penuh yakin bahawa ada lebih ramai lagi bekas anggota tentera akan tampil ke hadapan membongkar manipulasi undi pos pada masa akan datang.

Katanya lagi, Pemuda PAS memberi peluang seluas-luasnya kepada mereka.

Sepatutnya, ujar beliau selepas mendapat maklumat berkenaan manipulasi undi pos, Panglima Angkatan Tentara perlu mendapatkan maklumat secara langsung daripada ke empat-empat bekas anggota tentera terbabit.

“Kemudian tubuh satu badan penyiasat dan kemukakan satu cadangan kepada pihak kerajaan, menyalahkan Pemuda PAS dalam hal undi pos adalah tindakan yang tidak cermat,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai sayap kepada sebuah parti politik, Pemuda PAS bertanggungjawab untuk memberikan pandangan berdasarkan pengalaman kami dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dan Sibu yang melibatkan undi pos.

“Saya penuh yakin Panglima Angkatan Tentera tidak mendapat maklumat yang sebenar berhubung ruang manipulasi undi pos,” katanya.

Menurutnya, Dewan Pemuda PAS bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk menjelaskan ruang manipulasi dalam undi pos kepada Zulkifeli.

“Kami bukan pengkhianat. Kalau kami pengkhinat maka kami tidak perlu membuka ruang diskusi kepada pihak Panglima Angkatan Tentera,” tegasnya.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS mengharapkan semua pihak terutamanya JPN, SPR dan ATM agar mengambil tindakan yang pro aktif bagi menjayakan satu reformasi dalam pilihanraya di negara kita.

“Semoga usaha semua pihak ini akan menutup semua ruang-ruang manipulasi dalam pilihan raya,” ujarnya lagi. -HD




Nazri Memuktamadkan PSC, Rakyat Boleh Memuktamadkan BERSIH 3.0 Diteruskan

Nazri: Muktamad, menteri BN ketuai panel khas Parlimen

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya akan diketuai oleh seorang menteri bukannya wakil Pakatan Rakyat sambil berkata, keputusan sebelum ini “tidak bermakna tidak.”

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyoal pembangkang agar memberikan “satu alasan yang baik” mengapa wakil Pakatan Rakyat seharusnya menyandang jawatan itu.

Katanya, hanya kedudukan seorang menteri persekutuan akan membolehkan akses mudah kepada kemudahan-kemudahan kerajaan.

“Seperti jawatankuasa-jawatankuasa sebelum ini, seorang menteri lazimnya mempengerusikannya agar ia (jawatankuasa pilihan khas) boleh menikmati kesemua kemudahan kerajaan... memanggil mesyuarat. Tambahan, menteri dihormati oleh kesemua ahli Parlimen,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Nazri (gambar), menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Parlimen bersetuju bahawa amalan itu adalah berlandaskan konvensyen dan bukannya aturan Parlimen.

“Tetapi ini adalah realiti di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, “persoalan saya ialah mengapa mereka mahu jadi pengerusi? Apa istimewa sangat jawatankuasa ini?”

“Kita seringkali mengadakan jawatankuasa dan setiap jawatankuasa adalah istimewa, jadi mengapa yang ini istimewa sangat?” katanya lagi.

Pemimpin dari Umno ini mengulangi bahawa jawatankuasa ini akan terdiri daripada sembilan ahli iaitu lima dari Barisan Nasional (BN) termasuk seorang pengerusi, masing-masing satu mewakili PAS, DAP dan PKR manakala seorang dari barisan Bebas.

“Dalam jawatankuasa sebelum ini, biasanya tujuh anggota.... empat dari BN dan tiga daripada setiap parti Pakatan Rakyat.

“Itu sebelum kita ada anggota Bebas di Dewan. Sekarang untuk memperakui (kehadiran) wakil rakyat Bebas, kita menambah bilangannya kepada sembilan,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya adakah pendirian itu bermakna permintaan Pakatan Rakyat untuk menjadi pengerusi jawatankuasa pilihan khas ini sudah ditolak, Nazri mengulangi, “berikan saya satu sebab” mengapa kedudukan sebaliknya perlu diamalkan.

Apabila ditanya lagi bagi mendapatkan jawapan, menteri itu menambah, “baik, menyedari (pendirian) Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz, tidak bermakna tidak. Jadi, tidak bermakna tidak.”

Dalam satu kenyataan Selasa lalu, sambil menyifatkan pengumuman mahu membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi meneliti sistem pilihan raya sebagai “kemenangan besar bagi pejuang demokrasi”, Pakatan Rakyat mahu panel itu diketuai oleh seorang wakil barisan pembangkang.

Selain itu, Pakatan Rakyat mahu jawatankuasa tersebut mempunyai kuasa menyiasat, mengesah dan mencadangkan perubahan menyeluruh, malah diberi kuasa dan kewangan yang secukupnya.

“Pakatan Rakyat menyambut baik kenyataan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Razak) untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan (khas) Parlimen. Ini mengesahkan isu-isu penambahbaikan sistem pilihan raya seperti yang dibangkitkan Pakatan Rakyat dan Bersih 2.0 dan kami menganggap ini satu kemenangan besar bagi pejuang demokrasi di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, demi bertindak jujur, kami meminta Perdana Menteri menyertakan tuntutan-tuntutan berikut dalam bidang tugas jawatankuasa pilihan tersebut,” kata Pakatan Rakyat.

Kini, BN mempunyai 137 anggota di Dewan Rakyat, 75 wakil Pakatan Rakyat (DAP 29, PKR 23, PAS 23), Parti Sosialis Malaysia satu manakala Bebas sembilan.

Ulasan GB

Ketempangan perlantikan J/K Khas Parlimen seperti yang didedahkan tidak mendapat perhatian dari Menteri di JPM, sebalik beliau terus memuktamadkan perlantikan tersebut.

Justeru itu menteri yang sentiasa cuba menunjukkan lagaknya kepada rakyat ini perlu diberitahu rakyat juga boleh memuktamadkan bahawa BERSIH 3.0 akan diteruskan.


Siapa Sebenarnya Pengkhianat Dan Tidak Amanah?

Tentera sangkal undi diseleweng

Angkatan Tentera Malaysia hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan manipulasi undi pos yang dibuat oleh empat bekas anggotanya semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (kanan) bagaimanapun tidak menyalahkan bekas anggota berkenaan yang didakwanya "mungkin telah dipergunakan sebagai alat."

"Saya sudah periksa (dakwaan itu). Sebab itu saya berani menyangkal.

"(Dakwaan) itu tidak betul, tidak ada kesahihannya," katanya lagi yang mencabar supaya bukti dikemukakan untuk mengukuhkan dakwaan.

Beliau sebaliknya menyalahkan Pemuda PAS yang menganjurkan sidang media menampilkan empat orang bekas tentera tersebut.

"Saya tidak mahu salahkan bekas tentera saya. Mungkin mereka ada kekurangan masing-masing.

"Saya boleh ibaratkan (tindakan Pemuda PAS) sebagai tindakan pengkhianatan sebab ambil kesempatan," katanya lagi ketika ditanya sama ada angkatan tentera akan mengambil tindakan ke atas bekas anggota berkenaan.

Ketika ditemui selepas itu, Zulkifeli dengan tegas berkata tindakan memangkah undi bagi pihak anggota lain seperti didakwa itu "tidak boleh berlaku."

"Macam mana ia boleh berlaku, kita tidak akan benarkan ia berlaku," tambah Zulkifeli lagi, mengulas dakwaan yang ditimbulkan bekas anggota tentera itu bahawa mereka diarahkan untuk memangkah ribuan kertas undi semasa pilihan raya sebelum ini.

Dalam sidang medianya, Zulkifeli berkata tindakan "mencemuh" sistem yang digunakan pakai dalam angkatan itu juga serius kerana boleh menjejaskan moral anggota tentera, katanya lagi.

ATM apolitikal

"Saya tertanya-tanya kenapa sidang akhbar semalam dilakukan, sedangkan perdana menteri telah berkata jawatankuasa terpilih parlimen akan diwujudkan (bagi memperbaiki sistem pilihan raya).

"Adakah (Pemuda PAS) ingin timbulkan kontroversi berhubung isu itu, selepas tuduhan yang kata (orang) yang mempunyai status penduduk tetap dalam masa empat jam diberi (status) warganegara, isu ini pula yang timbul.

"Adakah ini usaha untuk cemarkan imej ATM atau mahu serang kami? Mahu pecah belahkan kami?," katanya lagi dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur petang ini.

Jelasnya, angkatan tentera sentiasa bersikap apolitikal dan hanya akan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat dan juga setia kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Tambahnya, pihak yang bercita-cita untuk memerintah perlu mendapatkan sokongan daripada rakyat terlebih dahulu dan juga menyokong angkatan tentera.

"Anda perlu sokong kami, akui pengorbanan kami... Tidak kira siapa pun yang perintah, ini sajalah angkatan bersenjata yang ada.

"Jika anda tidak setia kepada kami, bagaimana kami tidak boleh jadi tidak setia kepada anda?" kata Zulkifeli lagi.

Ulasan GB

Mengapa begitu cepat dan biadab Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyelar and menganggap PAS sebagai pengkhianat jika beliau sendiri sudah menyatakan bahawa "Saya tidak mahu salahkan bekas tentera saya. Mungkin mereka ada kekurangan masing-masing"?

Kekurangan apa? Kekurangan untuk tidak dapat bersekongkol lagi dengan penipuan yang dilakukan selama ini? Bukankah itu lebih khianat lagi?

Dan panglima berkenaan juga menyatakan "sedangkan perdana menteri telah berkata jawatankuasa terpilih parlimen akan diwujudkan (bagi memperbaiki sistem pilihan raya" bererti sistem pilihanraya yang berjalan kini ada banyak kekurangannya sehingga J/K peringkat parlimen terpaksa dibentuk dan tidak mustahil penipuan undi pos adalah salah satu kelemahan itu. Apabila ada anggota ATM mendedahkan secara jujur dan ikhlas sepatutnya ia disiasat secara komprehensif dan jujur juga. Mengapa panglima ini cepat sangat melatah?

Apakah terlalu besar pangkat seorang panglima tentera hendak "menyerang" sebuah parti yang sah disisi perlembagaan yang mempunyai keahlian 1 juta orang?

PAS mempunyai wakil rakyat yang ramai di Parlimen dan sedang memerintah di dua negeri. Anda perlu menghormati pilihan rakyat tersebut!

Panglima itu kemudian berkata "Anda perlu sokong kami, akui pengorbanan kami". Sejak bila rakyat tidak akui pengorbanan tentera? Yang kami lakukan ialah supaya tentera berkhidmat secara amanah dan jujur, jangan khianat. Apabila ada pihak tentera sendiri mengakui perbuatan khianat di dalam undi bererti pihak tentera sendiri yang tidak amanah dan tidak jujur yang sedang membinasakan masa depan negara.


J/K Khas Parlimen Hanya Wayang UMNO BN

Cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz untuk mewujudkan awatankuasa Khas Parlimen (PSC) berhubung reformasi pilihan raya bagi menjamin proses pilihan raya umum akan datang berjalan dengan bebas, adil dan demokratik disifatkan sebagai hanya sekadar wayang kerajaan pemerintah.

Malah, menurut Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh amalan bermain wayang ini sering menjadi pilihan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) dalam memberi gambaran baik kepada dunia bahawa mereka dalam cerdik mentadbir sesebuah negara.

Pengumuman itu hanyalah wayang, nak tunjuk pada satu dunia yang kononnya (UMno-BN) akan melaksanakannya tapi apa pula dengan kenyataan Nazri yang tidak menjamin pembersihan daftar pengundi sebelum pilihanraya?

“Mereka juga tidak bersungguh-sungguh dan tidak memberikan komitmen dengan betul,”
katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan, sama sekali tidak bersetuju dengan pembahagian Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) yang diumumkan Nazri Aziz semalam ekoran pembahagian kerusi yang tidak adil.

Menurut Fuziah, jawatankuasa yang dicadangkan itu jelas berat sebelah dimana ianya dianggotai sembilan wakil - lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Tambahnya lagi, ahli parlimen dari bebas tidak berhak mendapat pembahagian walaupun seorang, berdasarkan jumlah kesuluruhan ahli parlimen.


“Jika kita lihat pada peratus kerusi di Parlimen, Ahli Parlimen bebas yang memiliki 8 kerusi dari 222 kerusi keseluruhan tidak mewakili 1 peratus dari 8 ahli jawatan kuasa,”

“Kita boleh lihat ketidakseimbangan pembahagian jawatan kuasa ini kerana bebas tidak sampai 0.5 peratus pun untuk dilantik menjadi jawatankuasa. Satu wakil bebas dan hanya tiga wakil dari PR tidak mengikut pembahagian,”

Nazri yang dipetik dalam laporan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew semalam berkata, walaupun penggubalan undang-undang adalah satu proses yang panjang, tetapi kerajaan berharap untuk melaksanakannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Beliau menjangka jawatankuasa itu akan diketuai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala wakil-wakil pembangkang pula akan diputuskan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Wardina Akui Kalau Nak Dekati Agama Pi La Kelantan

Sewaktu dalam tempoh Wardina Saffiyah Fadullah Wilmot, 32, sedang bercuti dari program MHI TV3, diberitakan wanita keturunan Aceh ini telah berkesempatan berkunjung ke Kelantan untuk menjadi salah seorang panelis dalam program “Bicara Selebriti, Manisnya Hidayah-Mu”.

Program anjuran kerajaan Kelantan ini turut membawa bersama ke pentas tiga lagi panelis yang lain iaitu mantan Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas celebrity yang pernah menjadi tenaga pengajar Akedemi Fantasia, iaitu Sham Kamikaze, Ustaz Harizal Abdul Jamil, dan Amim Idris dari TV Hijrah sebagai moderator.

Wardina mengaku, tempat yang paling cocok bagi selebriti untuk mendekati Islam di Malaysia adalah Kelantan. Negeri yang dipimpin ulama ini sentiasa terbuka buat mereka. Kelantan mencoba menjadi pelopor dengan hiburan alternatif Islam di Malaysia. Karena para pemimpinnya berpendapat, manusia tak dapat dipisahkan dari hiburan. Tinggal lagi, bagaimana mau mengolah hiburan itu agar tak bertantangan dengan Islam.

Kedatangannya ini merupakan kali kedua Wardinah ke Kelantan atas undangan pemerintah. Kali pertama, 2010, ia tampil bersama novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman El Shirazy. Acara berlangsung di sebuah gedung, Kota Bharu.

“Saya amat terharu dengan kehadiran khalayak malam itu. Dewan penuh sesak. Majoritasnya anak muda. Semuanya berhimpun atas dasar Iman dan kecintaan pada Islam...” kata Wardinah.

“Khalayak hadir dengan semangat ingin sebuah perubahan yang hakiki pada seni hiburan. Mereka mencoba memaknai hiburan yang sebenar-benarnya. Karena anak-anak muda ini sudah terlalu lama dilalaikan dengan hiburan penuh kemaksiatan yang hanya meracuni minda mereka” tambah Wardina. - mvi

Wartawan Utusan Mula Menerima "Suweh" Hasil Pencabulan Terhadap Etika Kewartawanan

Pembunuhan Banting: Wartawan, Editor Utusan Malaysia Diperintah Tunjuk Sebab

SHAH ALAM: Hakim yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya memerintahkan seorang wartawan dan editor surat khabar Utusan Malaysia untuk hadir di Mahkamah Tinggi di sini, bagi memberikan tunjuk sebab berkaitan penyiaran berita yang menyentuh peribadi peguam di dalam kes tersebut.

Hakim Datuk Akhtar Tahir pada Khamis, membuat keputusan itu pada Khamis, selepas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama dalam kes itu, N. Pathmanabhan, membangkitkan isu mengenai berita mengenai dirinya bertajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' yang disiarkan di surat khabar arus perdana berkenaan pada Rabu.

Manjeet yang turut membawa keratan akhar tersebut berkata, berita itu yang ditulis oleh wartawan bernama Raja Syahrir Abu Bakar bersifat subjudis (kacau ganggu pada kes yang belum selesai) sedangkan tiada siapa yang dibenarkan untuk membuat komen terhadap sesuatu kes yang masih di dalam peringkat perbicaraan.

"Malangnya, Utusan Malaysia dengan tidak berasas telah menyiarkan berita yang boleh membawa maksud bahawa terdapat campur tangan politik dalam prosiding ini dan barisan pembelaan adalah alat kepada pemimpin pembangkang serta mempunyai motif tersembunyi dalam mengendalikan perbicaraan ini," tambahnya.

Seterusnya, Manjeet juga memberitahu komen tersebut juga disiarkan di TV3 pada pukul 8 malam Rabu, tetapi sehingga kini beliau masih tidak dapat mengenal pasti wartawan yang terlibat dan memohon agar komen tersebut diabaikan oleh mahkamah.

"Lelaki yang membuat komen itu ialah N. Gobalakrishnan yang merupakan Ahli Parlimen Padang Serai. Saya tidak mengenali lelaki ini dan tidak pernah berjumpa dengan beliau. Saya tidak tahu daripada mana beliau mendapat tahu tentang penipuan ini," katanya lagi.

Sehubungan itu, Manjeet memohon agar satu perintah dikeluarkan untuk Gobalakrishnan, Raja Syahrir dan editor surat khabar terbabit hadir di mahkamah bagi memohon maaf dan menarik semula berita itu selain dijadikan peringatan kepada mereka yang tidak mempunyai rasa hormat kepada perjalanan kes di mahkamah.

"Mereka perlu diingatkan bahawa jika bertindak melampui batasan, mereka akan menerima akibatnya," ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengetuai barisan pendakwaan memberitahu, beliau tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan berhubung isu tersebut, tetapi mengakui telah membaca berita yang dibangkitkan Manjeet.

Akhtar selepas mendengar hujahan tersebut kemudiannya menyifatkan tindakan mengaitkan prosiding di hadapannya dengan isu politik adalah keterlaluan dan memerlukan penjelasan daripada wartawan terbabit.

"Sebarang serangan terhadap peguam adalah sama seperti serangan kepada mahkamah," katanya dan menambah, editor seharusnya tahu bahawa sebarang komen sepatutnya 'disimpan' dan tidak disiarkan terutamanya yang menyentuh prosiding yang belum selesai.

Merujuk kepada kejadian yang hampir sama, iaitu di mana Manjeet memohon agar wartawan New Straits Times dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana berita bertajuk 'Victims' bones found in river' pada Julai lalu, Akhtar berkata semua laporan yang ditulis selepas peristiwa itu adalah tepat dari segi fakta.

Beliau seterusnya memberi peringatan kepada wartawan yang membuat liputan kes itu untuk mengingatkan editor masing-masing bahawa tindakan sebegitu adalah subjudis dan boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah.

"Orang awam boleh membuat andaian sendiri, tetapi bukan pihak media," ujarnya.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, yang merupakan bekas peguam didakwa bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, yang didakwa hilang bersama pengasas kosmetik jenama Nouvelle Visages tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini pada pukul antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung pada Jumaat. -mstar


PKAUM kata laporan Utusan petik ketuanya palsu, VC UM juga nafi

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) Prof Madya Azmi Sharom menafikan sekeras-kerasnya laporan muka hadapan Utusan Malaysia hari ini kononnya beliau mendakwa seramai 146 staf akademik telah meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

Sebaliknya tegas Azmi, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu kepada akhbar milik Umno berkenaan.

Jasmon juga menafikan kandungan laporan itu.

Jelas Azmi, apa yang berlaku beberapa ahli PKAUM datang menemuinya untuk meluahkan perasaan tentang pentadbiran UM.

“Ada beberapa ahli jumpa saya untuk meluahkan perasaan dan saya kata boleh, tapi apa yang keluar dalam Utusan Malaysia itu adalah tidak benar kerana ia bukan pendirian PKUAM tapi kenyataan daripada ahli.

“Terdapat beberapa ahli yang kata A, B, C dan D itu sahaja, apa yang keluar (dalam Utusan Malaysia) itu bukan daripada saya, tapi mereka... bukan saya yang cakap tapi orang lain,” katanya kepada The Malaysian Insider dan menambah, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu.

Jelas Azmi, beliau hanya hadir majlis itu sebagai tanda sokongan dan untuk melindungi hak ahli PKAUM.

“Saya sendiri tidak pernah tengok angka itu, saya pun tidak tahu daripada mereka dapat angka itu... saya hanya berada di majlis itu selama 10 minit dan saya tidak kata apa-apa pun.

“Saya tidak pernah kata sedemikian dan saya nafikan, saya cuma bagi sokongan kepada ahli... itu sahaja,” katanya.

Berikutan laporan itu, Azmi memberitahu telah menghantar e-mel kepada Utusan Malaysia memohon agar ia ditarik balik.

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini mengatakan UM mengalami krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar berikutan peletakan jawatan seramai 146 staf akademik sejak 2009 kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Jasmon.

Mereka yang meletak jawatan melibatkan profesor, profesor madya, pensyarah dan ahli akademik dari pelbagai fakulti yang sudah lama menabur bakti dan berkhidmat di universiti itu.

Azmi dalam laporan itu berkata antara yang meletakkan jawatan ialah 52 orang dari Fakulti Perubatan, 12 dari Fakulti Perakaunan, 10 Fakulti Sains dan 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan.

Pada tahun ini sahaja, katanya, kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan yang sama.

Azmi mendakwa Jasmon turut memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat dengan memfokuskan penerbitan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data ISI dan Scopus yang kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam Bahasa Malaysia.

Jasmon dilantik menjadi Naib Canselor pada 2008 untuk menggantikan Tan Sri Dr. Rafiah Salim.

Sementara itu, Jasmon ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, laporan Utusan Malaysia tidak betul dan beliau telah dimaklumkan Azmi mengenai perkara yang sebenar melalui e-mel.

“Tidak betul, memang tidak betul... saya nafikan, esok saya akan beri angka sebenar,” katanya. -TMI


Ulasan GB

Kewaratawanan adalah satu profesion yang mulia. Tetapi apabila etika kewartawanan dicabuli maka jadilah sang wartawan itu manusia paling hina.

Sebelum ini di dalam entri bertajuk Siapa Yang Bakal Terkena Suweh Penyapu?, GB telah ulas. Petikan:


Jangan lupa Khir Toyo yang dahulu menghadiahkan penyapu kepada PBT, tiba-tiba beliau yang ditimpa suweh sehingga sekarang tak habis-habis lagi.

Kerana apa? Mentaliti orang Melayu dah anggap penyapu itu pembawa suweh. "Kamu ialah apa yang kamu fikirkan"!

Maka yang akan ditimpa suweh nanti nampaknya bukan Khalid Ibrahim tetapi kepada penghadiah penyapu itu iaitu UMNO Selangor yang berselindung di sebalik nama NGO yang dikenali sebagai GEMPAK dan WARISAN.

Kalau geng kepala lembu sudah menerima habuannya, tak lama lagi geng penyapu dan mangkuk tandas ini bakal menerima apa yang mereka lakukan bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali namanya.

Allah itu Maha Melihat dan Allah itu Maha Berkuasa. Sebenarnya Allah yang akan mengurniakan habuan pembalasan itu, bukan kerana suwehnya penyapu.

Dia juga yang akan menunjukkan siapa sebenarnya yang bertanduk. MB Selangor & Khalid Samadkah atau geng songkok tinggi bersama UG. Di dalam Islam, yang jahat akan terkena balik kejahatan yang mereka lakukan. Di dalam konteks demonstrasi semalam nampaknya UMNO Selangor yang diwakil oleh geng bersongkok tinggi bersama-sama tokoh pujaan mereka Hassan Ali & kumpulan UG bakal terkena "suweh penyapu" itu disertai dengan wartawan-wartawan & akhbar-akhbar yang menjulang tinggi tindakan mereka itu.

InsyaAllah, pemerhatian GB ini tidak silap.

p/s Bagi sesiapa yang disebut tadi nak elak terkena suweh penyapu tu, kenalah hubungi GB, jangan lupa siapkan pengeras sekali. Kalau tak tanggung jer nanti... hehehe