14 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Azmin Tempelak Fitnah Jahat Vickneswaran

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menegaskan laporan yang mengaitkan beliau dan isterinya memiliki aset dalam bentuk saham bernilai RM8.5 juta adalah tidak berasas sama sekali dan juga satu fitnah untuk merosakkan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

Kata beliau lagi, dakwaan ini juga satu fitnah jahat untuk mengaibkan dirinya dan juga keluarganya.

“Sejak tahun 1998 saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya.

“Malahan alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 sehingga 22 September 1998 (dan) saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami,” kata Azmin dalam satu kenyataan petang Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vickneswaran semalam (Jumaat) yang mendakwa beliau telah menerima satu kiriman yang mengandungi dokumen berkaitan dengan pembelian saham melibatkan tiga individu termasuk Azmin, isterinya Shamsidar Tahrin dan Jamal Tahrin bernilai RM8.5 juta dari tahun 1992 sehingga 1994.

Antara tahun 1992 hingga 1994, Azmin berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Vickneswaran mendakwa dokumen tersebut diserahkan kepada pengawal keselamatan kediamannya di Kota Kemuning pada lebih kurang jam 3 pagi.

Azmin dalam reaksi balasnya petang ini berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menyegerakan prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan fitnah tersebut.

“Saya percaya dokumen yang didedahkan oleh Vickeswaran itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkannya (salah laku) dengan saya dan isteri saya,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan rasa kesalnya kerana apa yang berlaku ini menunjukkan usaha untuk melancarkan fitnah ini tidak henti-henti demi untuk menganggu keamanan, ketenteraman, mengaibkan dan mencemarkan nama baiknya dan juga keluarganya.

“Malah kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasi saya selaku ahli Parlimen Gombak dan naib presiden PKR. Maka Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vickneswaran ke atas saya,” tegas beliau. -MSTAR


Azmin Perlu Beri Penjelasan Dakwaan Pembelian Saham RM8 Juta - Khairy

SEREMBAN: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali perlu menjawab dan memberi penjelasan mengenai dakwaan pembelian saham bernilai RM8 juta yang dibangkitkan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia S.A. Vickneswaran, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

"Pembelian saham tak salah, cuma perlu diberi penjelasan bagaimana membiayai pembelian saham tersebut. Dia mesti ada jawapannya dan penjelasannya dan kita menunggu penjelasannya," katanya.

Khairy ditemui pemberita selepas melancarkan kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja anjuran Gabungan PersatuanPersatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sempena Kempen Konsumer Kebangsaan di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Ja'afar, Sungai Gadut dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Vickneswaran berkaitan pembelian saham mencecah RM8 juta melibatkan tiga invividu, termasuk Azmin pada awal 1990an yang disiarkan beberapa akhbar hari ini.

Khairy yang juga anggota Parlimen Rembau berkata Vickneswaran telah membangkitkan beberapa soalan yang mungkin Azmin perlu memberi jawapan terutamanya jika pembelian itu dibuat sewaktu beliau berkhidmat sebagai seorang pegawai kerajaan.

"Kita harap Azmin tidak akan mengelak daripada memberi penjelasan sebab ini berhubung kait dengan kredibiliti.

"Banyak perkara dituduh pada kerajaan Barisan Nasional (BN), jadi tak salah kalau kita minta supaya akauntabiliti yang sama digunakan pakai dengan pemimpin pembangkang," katanya.

Mengenai langkah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor, beliau berkata tindakan itu jelas menunjukkan ketidakmampuan kerajaan Selangor untuk mentadbir dan mengurus ekonomi sehingga perlu mengambil 'orang luar'.

Mengenai kempen Tanam Sendiri Jimat Belanja, Khairy berkata langkah itu merupakan antara cara yang dapat membantu rakyat Malaysia meringankan beban kewangan mereka. BERNAMA


Era Najib Altantuya : Lantik Nik Aziz Pengerusi PR - Zaid

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, mencadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dilantik sebagai Ketua atau Pengerusi Pakatan Rakyat (PR), sekiranya pakatan itu mahu ia terus diterima rakyat.

Beliau berkata, pelantikan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, akan menjadi serupa seperti pelantikan Mahatma Gandhi sebagai pemimpin spiritual kepada Parti Kongres India dahulu.

Katanya, usaha melantik Nik Aziz memerlukan pengorbanan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Malah (Pengerusi DAP) Lim Kit Siang pula boleh membuktikan semangat “statesmanship” (kenegarawan) dengan bersetuju terhadap cadangan serta menjadi penasihat dalam hal-hal demokrasi dan hak asasi, sekali gus tindakan itu akan melenyapkan agenda Kerajaan Perpaduan dengan UMNO,” katanya dalam blognya.

Zaid berkata, beliau kecewa terhadap perancangan parti pembangkang yang dilihat tidak jelas sama ada mahu menggantikan Barisan Nasional (BN) sebagai Kerajaan Pusat atau tidak.

“Sebelum ini, kedengaran parti pembangkang bertungkus-lumus merangka pelan perancangan, tetapi hingga sekarang tiada satu pun menjadi.

“Saya tidak tahu mengapa ini berlaku. Adakah disebabkan strategi politik atau hal-hal lain? Cadangan saya, beberapa tindakan mungkin boleh dipertimbangkan untuk mengembalikan semula perancangan PR," katanya.

Zaid mencadangkan PR membawa pemimpin seperti veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, untuk bekerjasama dengan pakatan itu.

Menurut Zaid, usaha membawa masuk Tengku Razaleigh, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, itu sukar, tetapi beliau boleh bekerjasama melalui ceramah dan kempen.

“Ku Li (Tengku Razaleigh) orang lama dalam UMNO. Beliau ada impian memulihkan parti itu daripada terus mengamalkan politik wang dan rasuah.

Zaid berkata, PR juga perlu mengatur semula rancangan untuk mengambil alih pemerintahan di Sabah dan Sarawak.

“Sukar untuk kita ambil alih kerana dari segi realiti politik, ia adalah berat. Kesan buruk sudah kelihatan apabila berlaku perebutan kerusi, sama seperti dalam Pilihan Raya Umum 2008.

“Hakikat politik juga menunjukkan bahawa adalah lebih baik jika Pakatan memainkan peranan dengan memberi sokongan padu kepada parti-parti tempatan yang sehaluan dengan Pakatan di Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan sahaja langkah yang dilihat sebagai menghormati maruah dan kekuatan orang tempatan, tetapi juga membawa kepada kesan lebih besar, iaitu membawa mereka bersama menjadi rakan kongsi dalam Pakatan,” katanya.

Zaid berkata PR boleh menjadi kuat dengan syarat pemimpinnya dapat bekerjasama, berbincang dengan baik dan menjamin kekuatan pakatan itu untuk menghadapi BN.

“Jika pemimpin besar ketiga-tiga parti (PKR, Pas dan DAP) ini masih lagi rasa mereka cukup kuat dan hebat dan memadai dengan cara lama, iaitu melalui pakatan pilihan raya semata-mata, saya yakin impian untuk ke Putrajaya hanya tinggal sebagai mimpi di siang hari,” katanya.

Era Najib Altantuya : Hadi Perlu Lebih Proaktif

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kedudukan beliau sebagai pemimpin nombor satu parti itu tidak terjejas walaupun ada pihak tertentu cuba menggambarkan sebaliknya.

Katanya sokongan terhadap beliau daripada anggota parti peringkat akar umbi dan barisan pimpinan PAS lain, termasuk daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, juga tetap utuh.

Mengakui mempunyai perbezaan pendapat dengan Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini, Abdul Hadi menegaskan ia telahpun diselesaikan.

"Hubungan kami macam isi dengan kuku. Memang ada perbezaan pendapat tapi tetap bersatu, lebih-lebih lagi bila beliau (Nik Aziz) terima resolusi yang dibuat dalam seminar parti baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini.

Nik Abdul Aziz sebelum ini meminta parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin PAS disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-Umno.

Bagaimanapun parti itu memutuskan untuk mengadakan seminar politik pada 7 Nov lalu dan membincangkan masalah berbangkit.

Berhubung isu bai'ah, beliau menjelaskan bai'ah sumpah setia laknat yang diamalkan parti itu seperti didedahkan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali hari ini, tidak menyalahi ajaran Islam.

"Bai'ah talak tiga tidak menjadi dasar atau konsep dalam PAS," katanya.

-- BERNAMA

Ulasan GB

Terlepas dari hasrat untuk merendahkan kewibawaan Presiden PAS, TG Haji Abdul Hadi Awang, namun jawapan Presiden PAS di atas saling tak tumpah jawapan yang diberikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi satu ketika sewakti diminta oleh ahli UMNO untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO, apatah lagi waktu itu Abdullah berbeza pandangan dengan mantan PM, Tun Dr. Mahathir.

TG Abd Hadi sepatutnya memperbaiki kelemahan apabila menerima kritikan. Abd Hadi sepatutnya peka dan perihatin bahawa di zaman ini, tidak ada ruang untuk pemimpin yang lemah dan tidak energetik. Tidak ada ruang untuk pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak mampu melaksanakan tugas pengurusan parti untuk membawa kecemerlangan kepada organisasi yang dipimpin.

Seorang pemimpin utama parti yang mulia perlu mendengar dan berterima kasih di atas segala teguran. Malah seorang pemimpin yang mulia perlu berani mengakui kelemahan dan bersedia untuk berundur jika tampak jelas dia gagal melaksanakan amanah dan menyerahkan kepada ahli untuk melantik pemimpin baru yang lebih berwibawa dan bertenaga. Seorang pemimpin yang mulia tidak perlu mendakwa masih menerima sokongan akar-umbi jika ia hanya sebagai satu agakan rambang semata-mata kerana belum ada yang mengemukakan usul undi tidak percaya.

Seorang pemimpin parti perlu bersiap seperti Umar Al-Khattab yang berterima kasih kepada pengkritiknya yang sudi menegur sekalipun dengan mata pedangnya.

Abd Hadi perlu proaktif, kreatif dan innovatif di dalam merangka program-program parti. Tidak sepatutnya terhad kepada isu kontemporari dan hal-hal picisan. Era berceramah, berpidato dan berretorika sudah berlalu. Kini era berlumba-lumba untuk bekerja. Era berlumba-lumba untuk kecemerlangan, dunia dan akhirat.

Lajnah-lajnah PAS sepatutnya digerakkan sama seperti kementerian-kementerian yang mengutamakan budaya kecemerlangan dengan Islam sebagai dasar bagi melonjakkan parti jika benar ingin menjadikan parti sebagai "kerajaan yang dinanti".

Kita juga tak suka nanti ada yang memegang sepanduk meminta Presiden parti kita TURUN seperti yang pernah dilakukan oleh rakyat terhadap Abdullah. Namun jika kritikan dan pandangan para ahli diabaikan, apa yang berlaku kepada Abdullah tidak mustahil akan berlaku kepada Abd, Hadi juga. Bukan untuk mengajar Abd Hadi (kerana siapa GB untuk melakukan demikian), tetapi itu sunnatullah dan sunnatullah tidak pernah berubah, mafhum Al-Quran.

Era Najib Altantuya : Prof Agus Selar Golongan Taksub

Ahli akademik terkenal Prof Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau akan berterus-terang mengenai kelemahan PAS apabila Dewan Pemudanya menemui beliau minggu depan.

"Saya berterus-terang selama-lamanya. Kita sedang berada dalam politik baru," kata Dr Mohamad Agus - pengacara bual bicara politik mingguan - Hujah - di sebuah stesen TV.

Kelmarin, ketua dewan itu, Nasrudin Hassan memberitahu Malaysiakini, pihaknya akan menemui Dr Mohammad Agus Rabu depan bagi mendapatkan pandangan lanjut beliau mengenai perkembangan politik semasa yang membabitkan parti.

Petang semalam, dewan itu mengadakan pertemuan dengan penyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari bagi mendapatkan butiran lanjut mengenai pembentangan ahli akdemik itu yang mengkritik keras PAS menjelang seminar politik parti itu Sabtu lalu.

Pemuda PAS juga dilaporkan berhasrat menemui pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah yang turut membentangkan kertas kerja dalam seminar tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Dr Mohammad Agus berkata, beliau tidak bimbang terhadap gelaran tertentu - seperti "ejen Umno" - yang mungkin dilemparkan kepadanya kerana mengamalkan sikap berterus-terang.

"Saya bukan ejen PAS. Saya bukan ejen Umno. Saya aktivis politik. Saya boleh tegur sesiapa sahaja dan saya tidak mendapat apa-apa ganjaran (untuk itu)," katanya.

Ketaksuban ahli

Sehari sebelum seminar Sabtu lalu, dalam wawancara dengan Malaysiakini, Dr Abdul Aziz mengkritik keras kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwanya sebagai "Pak Lah versi PAS" dan "sudah hilang stim".

Ekoran itu, Nasrudin dalam kenyataan selepas itu menyifatkan pakar perlembagaan itu "ejen UMNO", keterlaluan dan tidak sabar.

Dr Mohamad Agus juga berkata, beliau bersetuju dengan kritikan Dr Abdul Aziz sebelum ini kerana menurutnya "jika tidak ada angin, masakan pohon bergoyang".

Dr Mohamad Agus tidak menolak bahawa masalah PAS, antaranya disebabkan faktor kepimpinan. Bagaimanapun, tambahnya, parti itu juga mengalami masalah ketaksuban ahli-ahlinya.

"Masalahnya ahli-ahli yang taksub. Pemimpin di peringkat pertengahan pula gagal membetulkan persepsi terhadap parti itu. Ini termasuklah Dewan Pemudanya," kata Dr Mohamad Agus.


Mengulas penerimaan terhadap kritikan ahli akademik, beliau menyifatkan sikap sesetengah pemimpinnya sebagai paradoks dan ironi.

"Mereka mendesak kerajaan supaya lebih terbuka. Tetapi sikapnya pada hari itu ironi sekali (dengan apa yang dituntut),"
katanya. -malaysiakini



Era Najib Altantuya : Bai'ah Sumpah Setia Laknat Bukan Talak Tiga

Pas mengakui ia hanya mengamalkan bai'ah sumpah setia laknat bukannya amalan bai'ah talak tiga seperti yang dinyatakan oleh Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, kata Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata amalan yang dilakukan sejak sekian lama itu adalah bertepatan dengan dasar Pas yang memperjuangkan Islam di samping menunjukkan yang mereka sedia dilaknat sekiranya mengkhianati perjuangan Islam.

"Pas ada cara sendiri, kita guna tradisi dalam Islam. Bai'ah kita adalah ikrar setia dalam perjuangan. Pas buat benda ni sebelum pilihan raya lagi, sewaktu kita dipilih sebagai calon.

"Walaupun kita (Jawatankuasa Pas Pusat) tak setuju apa yang dilakukan oleh Khalid, tetapi kita hormati pendirian beliau. Mungkin itu pilihan dia untuk tunjukkan kesetiaan kepada parti,"
katanya pada sidang media berhubung isu bai'ah di ibu pejabat Pas di sini hari ini.

Khalid baru-baru ini telah mendedahkan mengenai wujudnya amalan bai'ah dalam kalangan calon wakil rakyat parti itu yang dikehendaki melafazkan akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing sekiranya keluar parti.

Mustafa berkata bai'ah anggota Pas menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, sebaliknya merupakan "sumpah setia laknat" bagi mengelak daripada berlakunya lompat parti.

Katanya hanya terdapat dua anggota parti itu dari Selangor menggunakan lafaz bai'ah yang berbeza daripada amalan bai'ah biasa, dan seorang daripadanya adalah Khalid sendiri.

Menurut Mustafa, pimpinan tertinggi Pas berpendapat, bai'ah yang dilafazkan oleh Khalid tidak sepatutnya berlaku kerana ikrar seperti itu seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Berikutan tindakannya itu, Mustafa berkata, Khalid telah diberikan peringatan lisan oleh parti.

Khalid dalam pendedahannya sebelum ini mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam bai'ahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Mustafa berkata, lafaz bai'ah Khalid dan seorang lagi anggota Pas di Selangor itu juga berbeza antara satu sama lain.

Mustafa bagaimanapun enggan menyatakan nama seorang lagi pemimpin yang dimaksudkan.

"Kita anggap ini hanyalah kes terpencil. Tak perlulah didedahkan nama individu itu, sama ada anggota parlimen atau anggota dewan undangan negeri. Pas harap isu ini tidak diperbesarkan," katanya. - BERNAMA Video : TVS


Ulasan GB

GB kurang bersetuju dengan pandangan yang menyatakan bahawa bai'ah yang dilafazkan oleh Khalid seperti merendah-rendahkan martabat kaum wanita.

Malah ia meninggikan darjat wanita, bererti wanita menjadi kuasa penentu di dalam rumahtangga "sekiranya suami sudah belok (derhaka)" kepada perjuangan.

Misalnya seandainya si suami dari PAS bertukar parti, maka bukan sahaja ia dilaknati, malah beliau turut tidak boleh beristerikan lagi dengan orang yang selama ini mendampinginya. Biarlah si suami bertukar parti, si isteri tetap PAS, si isteri takkan ikut suami yang derhaka itu.

Si isteri tidak boleh dipaksa menuruti langkah suami tetapi sebaliknya mesti dibenarkan membuat pilihannya untuk bersuami lain yang tidak derhaka kepada perjuangan parti.

Jadi, dimana sebenarnya kebenaran yang menyatakan ia merendahkan darjat wanita?

Wanita sedemikian jauh lebih mulia dari isteri-isteri yang dah terbayang gelang emas penuh di tangan dan kaki jika suami melompat parti.

Wanita sedemikian jauh lebih mulia kerana tidak lagi ingin disentuh dan dipeluk oleh mereka yang sudah derhaka kepada Allah dan RasulNya serta perjuangan Islam.

Mengapa isu ini dihebohkan sedemikian rupa? Adakah kerana ada pemimpin PAS yang terkilan kerana telah melakukan sumpah baiah menyebabkan dia tak boleh melompat parti dan kemudian jadikan Khalid Samad sebagai sasaran serangan?