15 Jul 2009

Pasca Manek Urai : Hebahan PAS Menang 2000 Undi Untuk Lumpuhkan Jentera BN

Tindakan PAS menghebahkan kemenangan calonnya pada jam 3 petang semalam bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, bertujuan melumpuhkan kempen BN dua jam sebelum pengundian tamat, kata penasihat pilihanraya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, demikian lapor Malaysiakini.

Ia dibuat oleh pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun bahawa calon PAS Mohd Fauzi Abdullah sudah menang dengan majoriti hampir 2,000 undi.

Abdul Fatah dilaporkan berkata, kemenangan itu berdasarkan kepada bancian jentera pilihanraya PAS terhadap proses pengundian setakat jam 3 petang.

Malah penyokong PAS telah mula meraikan kejayaan Mohd Fauzi dan mengucap tahniah kepadanya selepas Fatah menghebah kemenangan tersebut.

Bagaimanapun, apabila pengumuman rasmi dibuat pada malamnya, Mohd Fauzi mengekalkan kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti tipis 65 undi sahaja.

Beliau mendapat 5,348 undi manakala calon BN Tuan Aziz Tuan Mat mendapat 5,283 undi.

Mengulas mengenainya, Wan Abdul Rahim berkata, 'serangan psikologi' itu bertujuan untuk menarik sokongan pemilih Manek Urai supaya mengundi calon PAS dalam pilihanraya kecil semalam.

"Kenyataan tersebut diharap dapat melumpuhkan keghairahan kempen jentera BN dua jam yang terakhir untuk mendapatkan undi," katanya.


Ditanya mengenai faktor kemerosotan sokongan terhadap calon PAS kali ini, Wan Abdul Rahim mengakui terdapat pengundi yang terpengaruh dengan tawaran dan janji yang dibuat oleh BN.

Beliau mendakwa, BN membuat tawaran yang berbentuk ugutan,dan berunsur rasuah.

Kekalahan di Laloh mengejutkan

"Seperti nak bina jambatan yang menghubungi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru, menjadikan Manek Urai kawasan agropolitan dan sebagai anak angkat kerajaan persekutuan.

"Ia mempengaruhi pengundi dan kita tidak mampu untuk melawan serangan di Manek Urai pada dua hari terakhirnya," katanya sambil menambah laporan polis sudah dibuat berhubung perkara tersebut kelmarin.

Menurut Wan Abdul Rahim lagi, PAS mengalami kekalahan di lima daripada sembilan pusat mengundi di DUN tersebut.

Katanya, PAS kalah di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama, Manjor, Temalir, Laloh tetapi menang di Chuchoh Puteri, Lata Rek, Sungai Peria dan Sungai Sok.

Mengulas lanjut, beliau juga berkata kekalahan di peti undi Laloh adalah "suatu yang mengejutkan" kerana terdapat pengundi yang tidak puas hati Mohd Fauzi dipilih sebagai calon PAS.

"Kita tidak berkesempatan untuk menanganinya," katanya sambil menambah kekalahan di Manek Urai Baru, Manek Urai Lama dan Manjor memang sudah dijangka dari awal.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, PAS menang di semua pusat pengundian, kecuali di Manjor.



Kes Anwar : Pendakwa Berhelah Tidak Faham Maksud Serahan Dokumen

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan prosiding kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus diteruskan walaupun tanpa peguam utama, Sulaiman Abdullah yang menarik diri dari mengetuai kes berkenaan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan perkara itu atas dasar salah seorang daripada lapan peguam Anwar boleh menggantikan Sulaiman bagi mengetuai pihak pembelaaan.

Katanya, kesemua peguam Anwar telah mengikuti prosiding itu sejak hari pertama.

Sulaiman menarik diri kerana menghadapi masalah kesihatan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lalu.

Beliau dilaporkan menghadapi masalah pening kepala yang agak teruk dan tidak dapat mewakili mana-mana kes termasuk kes Anwar.

Perbicaraan bagi permohonan dokumen yang berjalan selama hampir dua jam itu ditangguhkan pada pukul 5.10 petang tadi.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam pembela, Edmund Bon menegaskan bahawa pihaknya mahu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bukti yang berkaitan sebelum perbicaraan kes liwat berkenaan bermula.

Katanya pihak pendakwa raya ada menyerahkan beberapa dokumen yang diminta sebelum ini namun ia masih belum lengkap.


"Mereka sepatutnya menyerahkan semua dokumen yang berkaitan berdasarkan Artikel 51 A iaitu semua dokumen dan bukti perlu dikemukakan tiga minggu sebelum perbicaraan bermula," kata Edmund dalam hujahannya.

Antara dokumen yang diminta ialah pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.

Edmund menjelaskan lagi, pihaknya mahu semua dokumen itu dikemukakan sebelum perbicaraan kerana dokumen itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi pihaknya untuk menyediakan pembelaan dengan secukupnya dan secara bernas.

Katanya, oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.

"Mereka ada berikan salinan bercetak gambar dari beberapa lokasi hasil daripada rakaman CCTV, kemudian mereka serahkan CD (cakera padat) yang mengandungi salinan gambar berkenaan.

"Tapi kami mahukan rakaman asal CCTV berkenaan untuk diuji oleh pakar," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 23, di Unit 1151, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lepas.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan sengaja berhelah dengan menyatakan pihak pembelaan tidak memahami maksud sebenar yang terkandung dalam Artikel 51.

"Artikel 51 menyebut satu arahan supaya menyerahkan dokumen dan barang yang berkaitan, manakala Artikel 51 A bermaksud hak untuk memperoleh dokumen berkenaan.

"Bagaimanapun kita sudah menyerahkan dokumen yang mereka mahukan... harus diingat dokumen.

"Sampel darah atau sampel rambut bukanlah dokumen, namun kita tetap membekalkan mereka laporan bagi bahan-bahan berkenaan," kata Yusof.

Kata beliau lagi, beberapa bukti sememangnya tidak dapat diberikan kepada pihak pembelaan kerana telah disimpan rapi sehinggalah mahkamah mengarahkan untuk mengemukakannya sewaktu perbicaraan berlangsung nanti.

Beliau menegaskan tidak timbul isu pihak pembelaan menyembunyikan dokumen dan bukti-bukti berkenaan kerana apa yang boleh diserahkan telahpun diserahkan.

"Apa yang boleh kita serah, kita dah serahkan," katanya.

Hakim walaubagaimanapun tidak membuat sebarang keputusan terhadap permohonan peguam pembela berkenaan.

Prosiding disambung esok pada pukul 9 pagi.

Lari Dari Siasatan : Khir Toyo Dan 4 ADUN BN Digantung

Sidang Dun Negeri Selangor hari ini meluluskan usul menggantung Adun Sungai Panjang Dr Mohd Khir Toyo selama setahun berkuat-kuasa serta merta melalui undi suara.

Usul ini dibentangkan oleh Jawatankuasa Keistimewaan dan Hak dan disepakati oleh wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat bagi menghukum bekas Menteri Besar Selangor itu yang enggan menghadirkan diri ke siasatan penyelewengan dana Balkis membabitkan isterinya.

Kata sepakat ini diluluskan oleh wakil rakyat Pakatan Rakyat tanpa sebarang masalah dari wakil-wakil rakyat BN, yang mengambil keputusan keluar Dewan membantah usul menggantung Khir Toyo.

Ini bermakna, Adun Sungai Panjang itu hanya boleh kembali ke Sidang Dun sebagai wakil rakyat pada Julai tahun hadapan.

Sumbangan Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) kepada Balkis dikesan digunakan untuk menampung projek-projek isteri adun-adun Umno-BN.

Yang Dipertua Balkis, iaitu Zaharah Kechik, yang juga isteri Dr Mohamad Khir Toyo, memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac 2008 - tiga hari selepas pilihanraya umum ke-12 - untuk membubarkannya dan menutup akaunnya sehari kemudian.

Wang sebanyak RM9.9 juta itu kemudian disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum sampai kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berpendapat wang Balkis itu tidak seharusnya dipindahkan kepada Bakti kerana perlembagaan Balkis menyatakan wang RM9.9 juta itu sepatutnya disalurkan kepada kerajaan atau tabung yang didirikan oleh kerajaan dengan kelulusan daripada ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Percubaan membubarkan Balkis melalui Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 13 Mac bagaimanapun berjaya dihalang menteri besar baru Selangor, Abdul Khalid Ibrahim.
Usul itu juga melibatkan penggantugan enam bulan empat wakil rakyat yang mempersoalkan integriti Selcat. Mereka adalah Adun Sabak Warno Dogol, Adun Batang Kali Isa Abdul Kasim, Adun Dengkil Marsum Paing dan Adun Hulu Bernam Mohamad Idris Abu Bakar.

Mereka tidak akan menerima elaun masing-masing sehingga tamat tempoh penggantungan. -TVA


Pasca Manek Urai : Zaid Selar Rais Berkenaan Royalti

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dinasihatkan agar tidak campur tangan dalam isu royalti minyak di Kelantan.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, isu tersebut perlu diselesaikan dengan segera oleh mahkamah.

“Saya yakin negara ini masih ada hakim yang jujur dan para peguam yang lebih bijak dan cekap daripada Rais,” katanya ketika dihubungi semalam.

Isu royalti minyak Kelantan timbul apabila pihak pembangkang menggunakan isu tersebut di dalam kempen Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai baru–baru ini.

Menurut Zaid, Rais perlu menjelaskan perkara yang sebenar kepada rakyat mengenai perjanjian antara Petronas dengan negeri tersebut.

“Setahu saya, mengikut perjanjian itu, Petronas wajib membuat bayaran tunai dua kali setahun kepada negeri-negeri tersebut.

“Jumlah pembayaran itu adalah 5 peratus daripada hasil jualan minyak dari kawasan-kawasan yang dikenal pasti di Laut Cina Selatan dan apakah perjanjian itu sudah tidak boleh dipakai lagi?” katanya. - SH


MANEK URAI : UMNO Terus Berpaut Majoriti Tipis Untuk Tutup Malu

Pengaruh PAS di Kelantan masih utuh dan sukar diganggu gugat oleh UMNO Barisan Nasional walau mereka bermati- matian menabur gula- gula politik untuk meraih sokongan rakyat negeri itu.

Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Fauzi Abdullah menepati ramalan dengan memenangi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai semalam dengan kutipan undi sebanyak 5,348 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Tuan Aziz Tuan Mat dengan 5,283 undi.

Fauzi menang dengan majoriti 65 undi.

Seperti yang dijangka pengamal politik dan orang ramai, bilangan majoriti yang tipis ini akan dijadikan modal oleh UMNO Barisan Nasional bagi menutup satu lagi siri kekalahan mereka untuk kali yang keenam dalam pilihanraya kecil dinegara ini.

Naib Presiden Pas, Sallehuddin Ayub berpendapat, kemenangan PAS kali ini menunjukkan kepercayaan rakyat pada parti itu masih kukuh walaupun diasak dengan pelbagai janji manis Barisan Nasional untuk menghadiahkan 1001 pembangunan kepada penduduk Manek Urai.

"Saya berpandangan setelah berada disepanjang kempen Manek Urai bahawa dakwaan pengaruh PAS terhakis adalah tak benar. Sebab dalam mana- mana pilihanraya kecil dinegara ini, khususnya di Negeri Kelantan yang rakyatnya begitu bijak dan peka dengan politik semasa, bilangan majoriti turun naik adalah perkara biasa. Apa yang penting kejayaan PAS kekalkan kerusi ini dalam keadaan mereka diserang oleh parti UMNO tapi kekuatan kerajaan yang digunakan semaksima mungkin.

Ini membuktikan PAS masih utuh. Apatah lagi keadaan geografi dan politik yang begitu mencabar, Manek Urai adalah kawasan pedalam yang begitu kuat dipengaruh dengan politik wang yang jadi senjata UMNO.

Barisan Nasional. Dengan seluruh kekuatan yang mereka gunakan contohnya janjikan pembangunan dan mereka sering kali bandingkan kekuatan calon mereka yang berpendidikan tinggi dan rendah- rendahkan calon kita. Tetapi apa yang lebih penting, pengaruh peribadi dan perwatakan calon kita yang dekat dengan rakyat.

Beliau dikenali di Manek Urai sebagai seorang yang berpengalaman dalam perniagaan dan seorang usahawan yang berjaya. Ini kejayaan kita walaupun dengan hanya majoriti 65 undi. Tapi apa yang lebih penting PAS berjaya kekalkan pengaruhnya di Manek Urai," kata Sallehddin.

Sallehuddin berkata kekalahan kali keenam UMNO Barisan Nasional telah menunjukkan isyarat yang jelas bahawa rakyat semakin menolak pimpinan korup UMNO Barisan Nasional walaupun parti itu dilihat bersungguh- sungguh mahu menawan hati rakyat Manek Urai.

"Bagi saya itu satu alasan yang hanya mahu hiburkan hati mereka selepas satu siri kekalahan yang memalukan. Apa yang penting isyarat yang jelas di Semenanjung, trend membentuk satu gelombang yang boleh saya sifatkan satu penolakan kearah menyisihkan pengaruh UMNO pada pilhanraya umum akan datang. Apa yang penting walaupun UMNO berusaha keras untuk menang dalam pilihanraya kali ini, dengan kepimpinan baru dengan mereka cuba tonjolkan pengaruh perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang berkubu di Manek Urai. Tetapi yang jelas rakyat tetap menolak sepenuhnya UMNO Barisan Nasioanl walaupun mereka digula- gulakan dengan 100 hari kepimpinan najib dengan rakyat diutamakan yang saya lihat rakyat tidak termakan dengan semua ini yang memberikan kemenangan di Manek urai," tambahnya lagi.

Sallehuddin membidas pandangan sinis sesetangah penganalisis politik yang menyimpulkan kemenangan tipis Fauzi di Manek Urai bertitik tolak dari latar belakangnya sebagai pemborong ikan dan tidak berpendidikan tinggi seperti mana calon UMNO Barisan Nasional.

"Disini kita melihat bertapa seni yang poltik. Ia satu backdrop bagi kemenangan calon yang bertanding. Disini saya melihat bahawa seseorang itu mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi tapi politik ini adalah satu yang berlegar antara kekuatan peribadi dengan sentimen dan keadaan semasa pada masa itu. Kalau saya ambil pengalaman politik pada suatu masa dulu, PAS mencari pemimpin yang rapat dengan panduduk iaitu Pak Su Wei. Dia dikenali dengan sikap kekampungannya yang baik hati dan dianggap hero untuk jaga penduduk. Jadi apa yang penting Fauzi adalah seorang usahawan yang begitu lama mereka kenali dengan watak yang begitu mesra dengan rakayat bahawa mereka mahukan seorang calon yang memiliki ciri yang baik dan sesuai mewakili mereka, " katanya.



ISU BALKIS JADIKAN KHIR TOYO CACING KEPANASAN

Isu penyelewengan dana anak syarikat Kerajaan Negeri kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) berbangkit semula di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Usul tersebut dibentangkan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim semasa sesi perbahasan mengenai wang Balkis sebanyak RM9.9 juta yang dipindahkan secara mendadak kepada BAKTI, selepas pilihanraya umum lalu.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sudah mengadakan pendengaran awam bagi menyiasat pemberian, sumbangan, derma, hadiah, atau apa-apa bentuk kewangan oleh kerajaan negeri kepada Balkis ketika Khir Toyo menjadi Menteri Besar Selangor.

“Untuk menyiasat kisah benar apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pengagihan dan pemindahan baki wang dana sejumlah RM9.9 juta milik Balkis kepada Bakti.

“Melalui pendengaran awam kerana rakyat berhak mengetahui ke mana dana yang merupakan wang rakyat itu diperolehi dan dilarikan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada rakyat negeri Selangor”, katanya.

Menurut Ng, siasatan dijalankan dengan telus dan memberi peluang kepada semua saksi untuk membantu siasatan dan kajian Selcat.

Namun dua daripada 14 saksi yang dipanggil, gagal menghadirkan diri iaitu Khir Toyo dan isterinya yang juga bekas Yang DiPertua Balkis, Zaharah Kechik.

Ketidakhadiran mereka membuktikan tuduhan penyelewengan wang itu adalah benar kerana mereka tidak menggunakan sesi pendengaran awam berkenaan sebagai platform untuk membela diri.

“Kalau benar Yang Berhormat Sungai Panjang dan isterinya tidak bersalah, kenapa tidak hadir ke pendengaran awam untuk membela dan mempertahankan diri dan memberi keterangan, jangan hanya berani mengutuk jawatankuasa Selcat diluar.

“Hanya berani mengutuk diluar atau melalui media sahaja, tetapi tidak berani membela dan mempertahankan diri di hadapan Jawatankuasa Selcat sedangkan peluang diberikan seluas-luasnya,” katanya.

Menurutnya, pembubaran Balkis dalam tempoh kurang daripada sebulan, turut menjadi persoalan bagaimana pertubuhan itu boleh dibubarkan dengan begitu cepat.

Selain itu, Ng memberitahu, PNSB sendiri sudah membongkar penyelewengan Zaharah dan Khir yang menyalahguna kuasa dengan kedudukan masing-masing.

Sementara itu, Khir yang ditemui di luar dewan memberitahu, isu wang Balkis tidak lagi timbul kerana ia sudah diserahkan kepada Bakti untuk kegiatan kebajikan pertubuhan itu.

Beliau juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Speaker Selangor yang dianggap berat sebelah dalam mengadili perbicaraan awam yang diadakan Mac lalu.

“Semua peruntukan yang Balkis terima diberi kepada orang ramai, bayangkan kerajaan negeri selama lapan tahun, RM7 juta lebih, tapi bila Balkis dibubarkan, RM9.9 juta.

“Ini maknanya, Balkis menggunakan duit secara berhemah, isu yang timbul hari ini kerana mereka nak mengambil balik Balkis, tetapi ahli-ahli Balkis mohon untuk di bubarkan dengan nasihat dan sebagainya… pindahkan ke Bakti dan tercatat report,” katanya. -ATIQAH YAACOB


MANEK URAI : Propaganda Kecederaan Untuk Burukkan PAS

Sejam lebih sahaja aku posting kisah tpm dakwa PAS yang mula kan dahulu punca pergaduhan semalam, baru sahaja dapat SMS dan panggilan telefon mengenai kisah sebenar semalam..

Menurut pemanggil tersebut, beliau ada di tempat kejadian sewaktu kejadian berlaku, sempat mengambil gambar video... yang memulakan dahulu balingan batu ialah kumpulan Puteri UMNO, ...

Pada mulanya pihak yang melaporkan tidak mahu nak besar-besarkan kejadian semalam, tetapi bila dan TPM, IGP sendiri bersama media-media melaporkan perkara yang tidak benar, maka kes yang sebenar terpaksalah diterangkan, biar semua rakyat tahu siapakah yang bersalah.

Kejadian yang berlaku semalam yang melibatkan petugas PAS telah pun dibuat laporan Polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Krai No 001811/09 yang mana Pemuda Pas Kawasan Merbok bernama Shahrudin Yahya telah cedera di kepala akibat balingan batu.

Manakala seorang lagi yang menjadi mangsa kejadian semalam ialah Muslimat dari Perak iaitu Nadia bt Mohamad Kamil mengalami kecederaan teruk di dagu, masih di rawat di Hospital Kuala Krai, Wad Kenari Katil No 24. Salinan No Report Polis masih belum diperolehi.

Kenapa kejadian ini tiada dalam laporan di media UMNO, tak perlu jawap.. semua dah ada jawapan sendiri... apa pun, demi nak mengelak daripada tuduhan orang awam mengenai kejadian semalam, maka dengan muka tak tahu malu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah melakukan pembohongan besar dengan membuatkan lakonan semula yang mengatakan Puteri UMNO mengalami kecederaan akibat serangan balingan batu dan botol air semalam.

Sedangkan mangsa sebenar yang ada report polis, yang terlantar di hospital didiamkan... Itulah budaya UMNO... sama semacam seiras budaya zionis... cukuplah... hentikanlah wacana ilmu, hentikan kerajaan perpaduan, lihatlah apa yang terjadi pada ahli dan petugas PAS, pimpinan yang berminat dengan Kerajaan Perpaduan tidak merasai ini semua, tetapi kami yang dibawah ini cukup menderita akibat dari sikap dan tingkah laku UMNO.... - manjongmari


TRAGEDI MANEK URAI – APA YANG KITA TIDAK TAHU

PILIHANRAYA Kecil Manek Urai baru sahaja selesai dijalankan semalam dengan keputusan Pas berjaya mengekalkan kerusinya di Dun tersebut. Pada awal kempen dan beberapa hari seterusnya dikatakan kempen kali ini paling aman dan bersih yang turut diakui oleh pihak Polis dan SPR yang sentiasa memantau sepanjang kempen dijalankan. Malang sekali keamanan ini tidak dapat dipertahankan sehingga ke hari kemuncak pada saat dan waktu membuang undi. Beberapa kejadian membaling botol dan batu dikatakan berlaku di antara kedua-dua penyokong parti yang bertanding sehingga melibatkan kecederaan yang agak serius kepada beberapa penyokong parti berkenaan.

Apa yang paling mendukacitakan kita ialah laporan pihak media yang kelihatan berat sebelah melaporkan kejadian tersebut. Pihak Pas sering ditonjolkan sebagai pencetus kepada kejadian malang tersebut tanpa menunggu siasatan pihak Polis. Pihak media juga memberi perhatian dan `highlight’ mereka kepada mangsa-mangsa yang tercedera dari Puteri Umno sahaja sehinggakan menemubual mereka di katil-katil wad hospital. Ini menggambarkan seolah-olah mangsa hanya terdiri daripada penyokong-penyokong Umno sahaja. Tidakkah kita tahu bahawa penyokong-penyokong Pas juga turut menjadi mangsa kejadian ini?

Saya difahamkan bahawa terdapat dua orang penyokong Pas turut menjadi mangsa kejadian yang tidak diketahui siapa puncanya itu. Mereka yang dilaporkan mengalami kecederaan yang lebih parah dari Puteri Umno tersebut adalah seperti berikut:

1. Sdr Sahruddin bin Yahya (Pemuda Pas Kawasan Merbok) -Mengalami kecederaan di kepala dan Laporan Polis telah dibuat (No Report KK 001811/09).

2. Muslimat Perak – Nadia bte Mohd Kamil (No HP: 013-23701xx) – Mengalami kecederaan di dagu dan masih dirawat di Hospital Kuala Krai , Wad Kenari Katil No 24. (Laporan Report Polis belum diperolehi). Gambar mangsa-mangsa tersebut akan disiarkan kemudian oleh blog Pinkturtle selepas ini.

Amat mendukacitakan pihak media bersikap berat sebelah di dalam melaporkan insiden ini. Daripada awal kempen sememangnya pihak media kerajaan sentiasa dilihat berpihak kepada Umno sehinggalah selesai pilihanraya ini pun mereka masih tidak mampu berlaku adil di dalam laporan dan berita mereka. Inilah media yang kita ada dan inilah yang dikatakan transformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan UBN di bawah kepimpinan Najib.

Kita yakin, kemenangan Pas di Manek Urai ini walaupun sekadar mendapat majoriti 65 undi sudah memadai untuk menunjukkan betapa hebatnya Pas di dalam berdepan dengan Umno dengan segala jentera kerajaan yang mereka gunakan termasuk `gula-gula’ yang ditawarkan kepada pengundi-pengundi di Manek Urai. Pas masih releven di bumi Kelantan dan Pas pernah mengalami saat yang lebih getir sebelum ini di Dun Negeri di mana Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi sahaja untuk memerintah. Justeru itu, tiada sebab Pas harus merasa gundah gulana dengan majoriti yang diperolehi baru-baru ini. Kemenangan yang dianugerahkan Allah ini wajib disyukuri dan ini merupakan satu keajaiban buat Pas.

Tahniah dan syabas buat semua pengundi-pengundi di Manek Urai yang telah menolak sebuah jambatan demi maruah mereka. Penghargaan juga buat semua jentera PR dan Pas yang telah bekerja kuat bagi membantu kemenangan ini. Tidak lupa tahniah sesama kita Blogger-Blogger yang sentiasa komited memperjuangkan dasar dan perjuangan PR, ini adalah kejayaan kita bersama. Umno telah selamat ditalkinkan di Manek Urai. TAHNIAH ABE UJI. -wfauzdin


Timbalan Perdana Menteri kecewa dengan kata-kata kesat penyokong PAS.. itu katanya.. tapi aku tengok dalam TV semalam dia dengan manis muka dok pi salam dengan penyokong PAS OK aja.. salah seorangnya yang nampak seorang pemandu kereta Proton Saga Putih siap bendera PAS berkibar dekat belakang...

Pujuk sudah, terang sudah, nasihat sudah, melawat sudah, serba serbi sudah, duit jangan cerita berapa banyak yang dah ditaburkan....apa kira pun dah habis segala usaha... tup-tup kalah dengan 65 undi.... mana hati tak panas....

Maka nak lepaskan geram maka keluarlah kata-kata ini...

"Muhyiddin berkata, masalah itu timbul selepas Pas melanggar arahan tersebut terlebih dahulu.

"Jadi kalau BN tak buat, semangat orang BN akan berkurang, jadi mereka kembali bersemangat. Kalau pihak di sana (Pas) tidak mulakan, kawasan itu akan menjadi tenteram. Cerita seterusnya di utusan


Senang sungguh jawapan yang keluar dari mulut seorang TPM, betui ka pentokong PAS yang mulai dulu, ada bukti.... cakap membuat tuduhan memang senang.... mengapa PRK di Penanti tak ada kekecohan, sampai polis yang bertugas pun boleh terlelap....... jadi snediri mau fikir sebelum cakap-.......sapa pun boleh cakap....Awak tu TPM.... janganlah buat kenyataan yang paling bangang dan bengappppp. - manjongmari

NIZAR ZAMBRY : Pengundi Berhak Saman ADUN Lompat Parti - NH Chan

Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri Behrang, Changkat Jering dan Jelapang boleh menggunakan peruntukan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyaman dan memaksa ADUN berkenaan supaya menunaikan janji mereka semasa dipilih sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum ke 12 lalu.

Menurut bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan pengundi di kawasan tersebut mempunyai kepentingan langsung dan berhak membawa tiga ADUN berkenaan ke mahkamah.

Kapt.(B) Mohd Osman Jailu, Jamaluddin Mat Radzi dan Hee Yit Foong dipilih sebagai ADUN masing-masing atas tiket Parti Keadilan Rakyat dan DAP tetapi mengambil keputusan keluar parti dan menjadi anggota Dewan bebas yang menyokong Barisan Nasional.

Tindakan mereka menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan majoriti dalam DUN dan mencetuskan krisis politik yang berlarutan sehingga kini.

Chan berkata pengundi di tiga kawasan berkenaan berhak mendapatkan perintah mahkamah terhadap tiga ADUN itu.

"Logiknya begini, sekiranya seseorang ADUN itu berkata beliau dipilih mewakili rakyat atas tiket PKR atau DAP dan tiba-tiba mengumumkan beliau tidak lagi mewakili parti tersebut, adakah pada hakikatnya mereka masih menjadi wakil rakyat?

"Saya berpendapat ketiga-tiga ADUN pembelot itu patut mengumumkan kepada rakyat bahawa kerusi mereka kosong dan tengok sama ada rakyat akan memilih mereka semula atau tidak. Saya fikir rakyat akan menolak mereka," kata Chan.

"Ini kerana adalah sifat semulajadi manusia sekiranya seorang ADUN itu dipilih atas tiket DAP dan kemudian keluar parti, pengundi akan berkata kami memilih anda kerana anda bertanding atas tiket DAP dan sekarang anda keluar parti kami tidak mahu lagi anda mewakili kami. Biar rakyat memilih wakil yang mereka mahu tetapi saya fikir mereka bertiga itu tidak berani berbuat demikian," tambah beliau.

Chan berkata pengundi boleh menyaman ketiga-tiga ADUN pembelot tersebut atas alasan mereka membohongi pengundi.

Jelas bekas hakim yang vokal itu pengundi boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk memaksa ketiga ADUN tersebut menarik keputusan mereka untuk menjadi anggota Bebas.

"Pengundi akan marah sekiranya mereka belot dan mereka boleh mendapatkan perintah mahkamah.

"Terdapat tiga pengundi yang ingin menyaman tiga ADUN tersebut tetapi Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Balia Yusuf Wahi memutuskan mereka tidak ada kepentingan dalam kes tersebut. Mereka mempunyai kepentingan sebab mereka yang mengundi ADUN-ADUN tersebut," kata beliau lagi.

Beliau menegaskan keputusan Hakim Balia Yusuf adalah salah kerana ia dibuat tidak berlandaskan peruntukan Perlembagaan yang memberi hak kepada pengundi undi mendapatkan keadilan.

"Beliau salah membuat penghakiman, mungkin pembacaan undang-undang beliau tidak meluas. Peguam Negara pula ingin mencelah dengan mengatakan beliau ada kepentingan dengan mengatakan beliau adalah suara hati rakyat. Saya tidak pernah mendengar ungkapan itu sebelum ini kerana tidak ada peruntukan dalam undang-undang," ujar Chan. - TVA

MANEK URAI : PAS Perlu Lakukan Bedah-siasat Segera

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Manek Urai yang baru dari PAS, Mohd. Fauzi Abdullah menyifatkan kemenangan yang diperoleh hari ini bukan kejayaan peribadi beliau semata-mata.

Sebaliknnya beliau berkata, ia adalah kemenangan Islam secara keseluruhan.

"Saya berterima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi saya, saya bersyukur pilihan raya ini berjalan dengan lancar.

"Saya akan menjadi ADUN dengan sebaik mungkin tanpa mengira fahaman politik," katanya ketika ditemui selepas diumumkan memenangi kerusi DUN Manek Urai sebentar tadi.

Fauzi berjaya mengekalkan kedudukan PAS di Manek Urai hari ini dengan majoriti tipis 65 undi.

Beliau memperoleh 5,348 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat menerima 5,283.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin pukul 9.07 malam.

Bagaimanapun calon BN dan pemimpin-pemimpin parti itu tidak kelihatan di pusat penjumlahan undi yang diadakan di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.

Dipercayai mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk dari Manek Urai ke Kuala Krai.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beliau sangat berbangga dengan pengundi di kawasan Manek Urai kerana mempunyai ketahanan diri yang kuat walaupun wang yang banyak digunakan.

"Majoriti tidak penting kerana kita (PAS) bukan sahaja berhadapan dengan jentera pilihan raya tetapi penggunaan politik wang juga," kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS.

Husam yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, pihaknya sebenarnya menjangkakan bahawa parti itu akan kalah kali ini.

Oleh itu, beliau menyifatkan malam ini sebagai satu kejayaan luar biasa.

Sementara itu PAS akan membuat post mortem dalam masa terdekat ekoran kemerosotan ketara undi diperolehi pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, beberapa faktor antaranya janji untuk menyediakan jambatan baru di Manek Urai dan sogokan wang boleh mempengaruhi sikap pengundi luar.

"Namun saya ingin sampaikan tahniah kepada kebijaksanaan penduduk Manek Urai yang berjaya mempertahankan kerusi tersebut," kata beliau ketika ditemui selepas pengisytiharan kemenangan Mohd Fauzi Abdullah di Dewan Sekolah Sultan Yahya Petra.

Menurutnya janji yang ditaburkan Umno pada saat-saat akhir belum mampu memikat keseluruhan pengundi di Manek Urai.

Beliau juga berkata kemenangan tipis bukan satu persoalan memandangkan ia pernah berlaku di Pulai Chondong pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.

"Ia juga ada kaitan dengan sikap SPR yang mengadakan pengundian pada hari kerja dan kepulangan pengundi luar walaupun ramai namun ada yang terpengaruh dengan janji dan sogokan wang," katanya.

Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad berkata, terlalu banyak janji yang ditabur Umno di Manek Urai, namun kesetiaan kepada konsep Membangun Bersama Islam tetap dipertahankan.

Beliau yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, PAS berdepan dengan seluruh jentera kerajaan.


MANEK URAI : Abe Je Tetap Hero Setelah Kalahkan BN

Pemenang Pilihanraya Kecil N41 Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada rakyat kerana tidak termakan sogokan dan omong politik Umno-BN.

Beliau berkata kepercayaan yang diberikan pengundi kepada Pas akan dipikulnya dengan rasa amanah dan tanggungjawab.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Saya berterima kasih kepada semua, khususnya kepada petugas-petugas yang bertungkus-lumus disebalik persaingan Umno yang sengit.

Kita dapat kekalkan kerusi N41 Manek Urai diatas kepercayaan rakyat dan sokongan dari Pas dan Pakatan Rakyat kita dapat kejayaan hari ini” kata Fauzi.

Tepat jam 9.01 malam, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan kerusi N41 Manek Urai dimenangi calon Pas-Pakatan Rakyat Mohd Fauzi Abdullah.

PRK Manek Urai menyaksikan pertarungan sengit, dimana Pas meraih 5,348 undi manakala BN meraih 5,283 undi. Pas mendahului BN dengan 65 majoriti.

Fauzi menujukkan kemenangan ini kepada kepimpinan dan akar umbi Pas yang telah memberi kepercayaan kepada beliau.

“Memang sengit pilihanraya ini, walaupun kecil, tetapi semua menteri turun ke Dun Manek Urai ini,” katanya.

“Saya ucap terima kasih kepada rakyat yang tidak termakan dengan sogokan dan janji-janji yang dibuat, yang saya fikir kerana ketahanan diri mereka yang kuat.

Faktor kemenangan ini juga kerana hubungan rakyat dengan akar umbi kerana kalau kita tidak hampir kepada rakyat, kita tidak mungkin dapat mempertahan Dun Manek Urai,” tambah Fauzi.

Sementara itu, Exco Kelantan Husam Musa berkata Pas mampu meraih sokongan lebih besar sekiranya politik wang Umno-BN dibendung SPR.

“Kemenangan ini sesuatu yang berharga pada kami, kerana politik wang amat berleluasa, tetapi rakyat mampu bertahan dan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan pusingan ke enam. Kalau kena tiga lagi pusingan, dengan izin Allah, Umno tumbang,” tegas Husam.

“Secara teori, Umno percaya menjadi alat untuk memenangkan kawasan luar bandar, tetapi kerana kekuatan iman dan kefahaman politik para pengundi, rakyat dapat bertahan disebalik serangan wang yang begitu dahsyat sekali,” katanya.

“Saya ingat BN tentu amat kecewa sekali. Dengan pelaburan sebesar itu mereka masih gagal. Ini satu pukulan hebat kerana walaupun dengan 11 tawaran Perdana Menteri, masih mereka belum menang disini,” kata Husam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar yang mengikuti perkembangan Manek Urai dari Nottingham, United Kingdom menyaggah dakwaan media perdana bahawa sokongan terhadap Pas semakin terhakis.

“Tidak sekali-kali berkurangan. Di kawasan Manek Urai, dengan rakyat yang banyak bergantung kepada kerajaan dari segi bantuan, namun mereka masih memilih calon Pakatan Rakyat – walaupun dengan majoriti yang kecil – tetapi ini adalah petanda positif rakyat Kelantan masih bersama-sama Pas dalam apa keadaan sekalipun,” tegas beliau.

“Kita bersyukur rakyat telah cuba dirasuahkan tetapi rakyat masih lagi berpegang kepada perjuangan bersama Pas, disebalik ugutan dan rasuah dari pihak Umno-Barisan Nasional,” tambahnya.