27 Sep 2011

Mati Ketika Reman: Mahkamah Arah Bayar Ganti Rugi Setengah Juta Ringgit

Kuantan: Mahkamah Tinggi Kuantan pada Selasa mengarahkan Kerajaan, Pengarah Penjara Penor dan 10 wadar penjara membayar ganti rugi sebanyak RM590,000 kepada waris keluarga seorang remaja yang meninggal dunia ketika di dalam reman pada tahun 2004.

Hakim Mariana Yahya telah mengeluarkan perintah tersebut di dalam kamar.

Plaintif, Mohamed Yusof Mat Diah, 64, dan isterinya, Rohani Mohamed,53, telah memfailkan saman tersebut ekoran kematian anak mereka Mohd Shukri Mohamed Yusof, ketika sedang menjalani tahanan reman di penjara berkenaan.

Mereka menamakan kerajaan, pengarah penjara dan 10 lagi staf penjara sebagai defenden.

Wadar penjara yang dinamakan sebagai defenden ialah Azhar Che Wil, Teyun Thian Em, Suhaimi Nordin, Mohamad Hamdan MohdYaakob, Ahmad Rizal Ab Halim, Ismail@Mat Daud Ideris, Hamdan Mohamad, Mohd Rozi AbdulHamid, Baharin Ab Ghani dan Zamarul Hafiz Shahbudin.

Salah seorang daripada defenden berkenaan, Ismail telah pun meninggal dunia dan pihak Amanah Raya Berhad hadir bagi pihaknya untuk mendengar penghakiman.

Pihak plaintif diwakili oleh peguam G.Visvanathan Nair, G.SubramanianNair dan Ebrina Zubir.

Manakala peguam R.S.Pani pula mewakili defenden Hamdan, Mohd Rozi,Baharin dan Zamarul Hafizmanakala Pendakwaraya Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan mewakili Teyun,Suhaimi, Mohamad Hamdan,Ahmad Rizal, Penjara Penor dan Kerajaan.

Peguam Visvanathan berkata, mahkamah telah mendapati bahawa kesemua defenden adalah bertanggungjawab di atas kematian Mohd Shukri.

Sementara itu, ibu Shukri, Rohani ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia berasa syukur dan lega akhirnya kes tersebut telah selesai.

"Yang penting keadilan telah ditegakkan...wang bukanlah segala-galanya kerana ia tidak akan menghidupkan anak saya kembali,'' ujarnya.

Dia juga berharap kejadian ini akan dijadikan iktibar oleh semua pihak agar tidak mengambil keputusan di tangan sendiri yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa mereka yang di bawah seliaan dan jagaan mereka.

Menurut Rohani, mereka akan mengadakan majlis 'tahlil' untuk MohdShukri yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik.

Mohd Shukri telah ditahan reman di Penjara Penor kerana didakwa menyalahgunakan dadah tetapi ketika cuba melarikan diri dia telah berjaya ditahan semula.

Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan tetapi meninggal dunia kemudian. -mstar

Mufti Perak, Perlis Sokong Hasrat PAS Laksana Hudud

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyokong hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Namun begitu katanya, Pas seharusnya menyediakan semua proses pelaksanaannya, termasuk prosedur-prosedur yang ditetapkan, perbicaraan dan saksi.

“Jika semua ini tiada masalah, saya ucap tahniah dan bolehlah melaksanakannya kerana sudah lama hudud mahu dijadikan undang-undang tetapi hingga kini belum dibuat.

“Apa yang saya bimbang, hudud hanya sekadar memotong tangan pencuri sedangkan dalam aspek lain tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Katanya, sebagai orang Islam, ahli Pas perlu tunaikan janji dan jangan menjadikan hukum ini kempen politik menjelang pilihan raya.

“Perlu ingat, undang-undang Islam merangkumi tiga perkara, iaitu hudud, qisas dan takzir. Pas tidak boleh melaksanakan hanya satu kerana boleh menyebabkan ketidakadilan.

“Mereka perlu menjelaskan kepada masyarakat yang hudud bukan hukuman untuk menyeksa seperti potong tangan, sebat dan bunuh, sebaliknya menjadi pengajaran,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, melaksanakan hukum hudud adalah kewajipan orang Islam dan tidak boleh dipersoalkan.

“Sekarang hudud menjadi masalah kerana orang politik yang tidak memahami Islam bercakap dan orang Islam pula mempolitikkannya.

“Ia bertambah panas dekat pilihan raya dan orang politik sibuk mengenainya sedangkan selepas pilihan raya, hudud tidak diambil peduli dan senyap begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, orang Islam perlu menerima hudud sebagai perundangan negara kerana ia terkandung dalam al-Quran.

Katanya, perlaksanaan tidak boleh dilakukan bersendirian, sebaliknya mendapat kerjasama daripada kerajaan persekutuan.

“Saya tahu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah lama mahu berjuang untuk melaksanakan hudud dan kenapa tiba-tiba muncul semasa :Pilihan Raya Umum Ke-13 akan tiba.

“Akibatnya, rakyat melihat hudud sekadar cakap-cakap sahaja dan untuk membuktikan komitmen Pas, mereka perlu benar-benar melaksanakannya,” katanya. -SH

[Bergambar] Berlari Hanya Berpakaian Dalam Untuk Bantah Undang-undang Kolot?

Salt Lake City, Amerika Syarikat (AS) - Beribu-ribu orang menanggalkan pakaian mereka dan berlari dengan memakai pakaian dalam di bandar ini kerana membantah undang-undang negeri yang dianggap kolot.

Penganjurnya, Nate Porter berkata, acara yang dikenali sebagai Larian Pakaian Dalam itu diadakan pada Sabtu lepas untuk memprotes sistem politik konservatif di Utah.

Pihak penganjur, bagaimanapun, tidak membenarkan orang ramai berbogel dalam larian berkenaan.

Mereka sebaliknya berlari dengan memakai coli, seluar dalam, gaun malam dan seluar pendek manakala sebahagian peserta turut menulis mesej-mesej yang menyokong perkahwinan sejenis di dada serta belakang mereka.

Menurut Porter, sekitar 3,000 orang mengambil bahagian dalam larian sejauh 1.6 kilometer itu di pusat kota raya ini. - AP







Ulasan GB

Benar apa yang difirmankan oleh Allah s.w.t.

لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ
ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ


Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya [At-Tin : 4-5]


Jom Cuba Guna Penutup Periuk Jadi Antena TV

Telok Kemang – Penutup periuk digunakan oleh seorang warga emas untuk dijadikan antena televisyen di rumahnya dan ternyata ia dapat memberikan liputan siaran yang sangat jelas.

Warga emas berkenaan, V Mutumany, 62, berkata, dia pada awalnya hanya mencuba mengubah suai penutup periuk yang tidak digunakan lagi untuk dijadikan antena selepas antenanya patah akibat ditiup angin.

“Wayar untuk antena disambung terus ke penutup periuk dan digantung di bahagian atas rumah.

“Siaran televisyen sangat jelas dan saya boleh menonton televisyen seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.

Mutumany berkata, dia sendiri tidak menyangka ideanya itu sangat praktikal dan membawa kebaikan. -SH

Hudud Tak Sesuai Dalam Masyarakat Majmuk? Kamal Koh Bidas Kenyataan Ahmad Zahid

Tolak hudud, tolak hak Muslim

PETALING JAYA: Golongan yang menolak pelaksanaan hukum hudud telah menolak hak asasi manusia, menafikan hak masyarakat Islam di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Haji Kamal Koh berkata, mereka yang menentang hukum hudud bererti mereka telah menafi dan mencabuli hak asasi masyarakat Islam.

“Kenapa kita mesti mengorbankan hak kita, mengenepikan hak kita semata-mata untuk memenuhi kehendak orang lain,”? soal beliau ketika diwawancara oleh FMT mengenai isu hudud yang menjadi polemik dewasa ini.

Kamal Koh berkata, dalam negara demokrasi, kuasa terletak pada rakyat majoriti dan pendapat majoriti harus didengar dan diikut. Di negara ini, orang-orang Melayu dan Bumiputera yang beragama Islam merupakan penduduk majoriti.

“Seharusnya undang-undang Islamlah yang layak dilaksana dan digunapakai di negara ini, jika kita mengambilkira jumlah penduduk majoriti,” terangnya.

Beliau berpendapat isu hudud ini menyerlahkan masalah keyakinan orang-orang Islam sendiri tentang kelebihan dan kebaikan undang-undang Islam. Mereka mempersoalkan – bolehkah undang-undang ini dilaksanakan di negara ini?

“Ini merupakan krisis keyakinan,” kata beliau sambil membidas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang menyatakan hukum hudud belum dapat dilaksanakan kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Ujar beliau, “segolongan masyarakat mempunyai persepsi yang negatif dalam menangani hukum hudud kerana peranan media arusperdana yang sering memperlekeh isu ini dan menjadi tanggungjawab kita untuk menukar persepsi negatif ini kepada positif.”

Kamal Koh menyoal, “apabila Allah SWT mewajibkan pelaksanaan hukum hudud, adakah Allah tidak tahu di Malaysia ini terdapat masyarakat majmuk, yang terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain?

“Adakah Allah tidak tahu tentang perkara ini? Bukankah Allah yang mencipta masyarakat majmuk itu dan Dia juga yang mencipta hukum hudud?,”
soal beliau lagi.

Seperti takut hantu

Katanya, sebenarnya mereka yang menentang hukum hudud adalah seperti kata (Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru) Datuk Nik Aziz (Nik Mat), “takut hudud seperti takut hantu.”

“Orang yang tidak faham hukum hudud atau tidak mengenal hantu, akan menentangnya secara membabi buta,” kata Nik Aziz.

Menurut Kamal Koh, penentangan Pengerusi DAP Karpal Singh juga tidak mempunyai asas kerana Nik Aziz mengumumkan bahawa pelaksanaan hukum hudud di Kelantan akan diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Sebuah akhbar arus perdana semalam melaporkan bahawa Nik Aziz berkata kerajaan negeri mahu melaksanakan undang-undang itu melalui sistem mahkamah syariah.

Ini ekoran dari sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan yang telah meluluskan Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan juga menurutnya, tidak menghalang pelaksanaan hukum hudud dan qisas seperti mana yang disuarakan oleh pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr. Aziz Bari.

Menurut Aziz Bari, undang-undang Islam termasuk hudud dan qisas boleh dilaksanakan di Malaysia kerana perlembagaan tidak menghalangnya.

Kamal Koh juga mempersoalkan mengenai undang-undang negara yang diterima pakai sekarang ini sebagai warisan dari sistem undang-undang penjajah British.

“Negara kita seolah-olah belum merdeka kerana masih terikat dan terpaksa menerima pakai undang-undang penjajah (yang digubal oleh Lord Reid) yang dianggap sesuai untuk masyarakat majmuk dan undang-undang itu berkuasa (supreme) atas segala-galanya,”
tegas beliau.

Kamal Koh juga menyarankan supaya kesedaran politik Islam dipertingkatkan di kalangan orang Melayu-Islam sendiri dan orang-orang bukan Islam juga harus diberi penerangan dan kesedaran tentang betapa indahnya undang-undang ciptaan Ilahi ini.

Nik Aziz pernah menyifatkan undang-undang Islam ini seperti nasi beriani. Orang-orang yang hanya makan nasi biasa tetapi tidak pernah makan nasi beriani tidak akan tahu betapa nikmat dan lazatnya nasi beriani. -FMT


Hudud Belum Sesuai Dilaksanakan - Zahid Hamidi

BAGAN DATOH: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hukum hudud belum dapat dilaksanakan kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk negara ini.

Beliau berkata sebagai orang Islam, keyakinan terhadap hukum hudud itu tidak timbul tetapi kesesuaian pelaksanaannya menyebabkan ia tidak dapat dilakukan kerana rakyat yang berbilang kaum.

"Masalah (berhubung isu Hudud) yang dihadapi oleh DAP dan PAS, biarlah mereka selesaikan tetapi pendirian kita sebagai kerajaan Barisan Nasional (BN), hukum hudud belum sesuai dilaksanakan di negara ini, " katanya kepada pemberita selepas melancarkan program 'Kami Anak 1Malaysia' membabitkan 2,000 pelatih dan 500 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) di sini, Ahad.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan seluruh kepimpinan kerajaan BN berpendirian sama bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan.

Mengenai cadangan mewujudkan jawatan Timbalan Pengerusi BN kedua dilantik daripada kalangan parti komponen, beliau berkata perkara ini perlu dibawa pada mesyuarat majlis tertinggi BN.

"Perkara ini tidak boleh dilontarkan tanpa dibawa ke mesyuarat majlis tertinggi kerana sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan sebulat suara kerana itu merupakan konvensyen BN dari dulu," tambahnya. - BERNAMA


Nasib Koh Tsu Koon: Belum Pun Pilihanraya, Dah Tersungkur Di Jalanraya

Jika program Kayuhan 1Malaysia di Pulau Pinang kelmarin boleh dianggap sebagai 'pra-pilihanraya umum ke 13' untuk melihat pemimpin-pemmpin negeri Pulau Pinang beraksi, maka awal-awal lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden Gerakan sudah kecundang.

Malang menimpa dirinya, belum pun jauh mengayuh, Tsu Koon telah merempuh basikal dua remaja dihadapannya kerana dikatakan beliau tidak sempat membrek.

Petikan laporan Bernama:

Program anjuran Kwang Wah Yit Poh itu turut disertai oleh Koh, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang juga Naib Presiden MCA, Lim, Pengerusi Kwang Wah Yit Poh Datuk Ong Gim Huat dan barisan Exco negeri.

Sementara itu, Koh yang juga pengerusi Barisan Nasional negeri, terlibat dalam satu kemalangan kecil yang berlaku di hadapan Pantai Molek di Georgetown ketika mengiringi Najib mengayuh basikal.

Koh ketika ditemui pemberita berkata kejadian itu berlaku apabila satu kemalangan membabitkan dua remaja di hadapannya dan beliau tidak sempat mengelak.

"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan saya tidak sempat menekan brek basikal lalu melanggar basikal dua remaja itu," katanya yang kelihatan berjalan terhencut-hencut dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius meskipun berasa sakit di bahagian lutut kiri.











Ulasan GB

- seperti tajuk -

Akhirnya Sukan Laga Lembu Diharamkan Di Barcelona

Tiada lagi sukan laga lembu di Barcelona

BARCELONA, Sepanyol - Seekor lembu jantan dibunuh di Catalonia kelmarin sebelum pengharaman sukan tersebut berkuat kuasa di arena Monumental, Barcelona.

Gambar: LEMBU terakhir yang mati dibunuh ditarik keluar dari arena Monumental di Barcelona kelmarin.

Haiwan seberat 570 kilogram itu dibunuh oleh seorang matador berusia 28 tahun, Serafin Marin.

Para penonton seramai 18,000 orang menyaksikan majlis terakhir laga lembu jantan tersebut.

Sebahagian daripada mereka menjulang tiga matador yang mengambil bahagian dalam pertarungan dengan lembu jantan.

Larangan sukan tersebut akan bermula pada Januari tahun depan.

Parlimen Catalonia mengundi pada Julai 2010 untuk mengharamkan sukan tersebut.

Pengundian itu dibuat selepas beberapa kumpulan hak asasi manusia mendapatkan 180,000 tandatangan bagi meminta sukan tersebut dibincangkan.

Para peminat sukan itu bergambar di arena tersebut sebagai kenangan.

"Adalah amat penting untuk datang ke sini hari ini," kata seorang peminat sukan itu, Juan Jose Cabedo.

Dia sanggup menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer untuk menyaksikan acara itu.

"Kami berasa sedih dan marah," katanya.

Namun, kira-kira 30 aktivis hak asasi haiwan meraikan penamatan acara laga lembu itu. - AFP

[Bergambar] Kisah Kasih Ibu Selamatkan Anak

Dalam keadaan nyawanya terancam selepas jatuh di lurah yang curam, anak singa ini mengharapkan bantuan yang dapat menyelamatkannya daripada maut.

Keempat-empat singa betina itu meninjau ke bawah tetapi berundur kerana bimbang dengan kecuraman lurah itu.

Akhirnya, satu-satunya faktor yang menentukan siapa di antara mereka yang sanggup menggadai nyawa untuk menyelamatkan anak singa malang itu ialah kasih sayang ibu.

Dengan perlahan dan penuh dengan kesukaran, singa berkenaan menuruni bukit, menuju ke arah si anak, menggunakan kukunya yang kuat untuk mencengkam tebing yang curam itu.

Andai kata dia tergelincir, ibu dan anak singa itu pasti terjatuh ke dalam gaung dan mati.

Ketika anak singa itu yang keletihan hampir jatuh, si ibu mengelilinginya dari bawah dan menyambar dengan rahangnya.

Ibu singa itu kemudian memulakan pendakian yang sama mencabar. Beberapa minit selepas itu, mereka tiba di atas dan dia mententeramkan si anak yang kelihatan masih ketakutan dengan menjilat kepalanya.

Gerakan menyelamat itu, yang dirakam oleh jurugambar hidupan liar, Jean-Francois Largot, di Taman Hidupan Liar Masai Mara, Kenya.

Ibunya tiba di tebing lurah itu dengan tiga singa betina dan seekor jantan.

IBU singa di tebing lurah sementara anaknya di bawah.

SI IBU merangkak dari tepi sebelum menyambar anaknya yang hampir jatuh.

IBU singa menggonggong anaknya naik ke atas semula.

SI ANAK dijilat ibunya selepas berjaya diselamatkan.


Remaja 16 tahun Diperkosa 8 Lelaki

Kuala Lumpur: Seorang pelajar berusia 16 tahun berdepan detik ngeri apabila dirogol lapan lelaki tidak dikenali secara bergilir-gilir di Kampung Nelayan, Klang, dekat sini, kelmarin. Gambar fail.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika mangsa dalam perjalan pulang ke rumahnya selepas bersiar-siar seorang diri sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali mengajaknya menunggang motosikal.

Menurut sumber polis, mangsa bagai dipukau apabila hanya mengikut kehendak lelaki itu dan kemudian dibawa ke sebuah kedai makan. Sebaik selesai menikmati makan malam, mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran.

“Ketika itu mangsa berada dalam keadaan separuh sedar. Mangsa terkejut apabila melihat lapan lelaki mengelilinginya sebelum menyuruhnya membuka pakaian.

“Mangsa pada mulanya menolak pelawaan itu, namun akhirnya mengalah selepas diugut akan dicederakan,” katanya di sini, semalam.

Sumber berkata, mangsa kemudian dirogol bergilir-gilir.

“Selepas selesai, salah seorang daripada mereka menghantar mangsa ke sebuah stesen minyak di Pendamar Indah Dua, kira-kira jam 2 pagi,” katanya.

Mangsa yang ketakutan kemudian membuat laporan di Balai Polis Klang sejurus kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md Yusof mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -hm

Ulasan GB

Ini salah satu akibat apabila hukum Tuhan diketepikan malah dipersendakan. Jenayah rogol dan perkosa bermaharajalela.

Dan begitu juga dengan kejadian-kejadian jenayah yang lain yang berlaku setiap hari setiap masa di dalam masyarakat kita sehingga anggota polis pun ada yang terlibat di dalam jenayah yang tak mengenal mangsa.

Mungkin jika berlaku ke atas anak seorang menteri baru nanti kerajaan yang ada tersedar peri pentingnya hudud dipertimbangkan untuk dilaksana?

Pelajar IPTA Ini Dikatakan Bunuh & Bakar Sebelum Perkosa Seorang Gadis Di Ampang

Pelajar didakwa bunuh gadis

AMPANG JAYA - Kes pembunuhan seorang gadis yang mayatnya ditemui dibakar hampir 80 peratus di dalam semak dekat loji kumbahan di Jalan Bukit Belacan, Ampang di sini 6 September lalu memasuki episod baharu apabila seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya atas kesalahan itu semalam.

Tertuduh yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Muhammad Khairi Nor Aziz, 19, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Karimah Wan Md. Abd. Ghani. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Muhammad Khairi didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Nurul Awathif Mohd. Shakir, 19, di rumah bernombor B-119 Apartmen Sri Wira, Jalan Ukay Perdana 2, Taman Ukay Perdana, Ampang di antara pukul 9 malam, 4 September hingga pukul 2.15 pagi, 5 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nur Dinie Baharum manakala Muhammad Khairi diwakili peguam Zamani Dolmat. Wan Karimah menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -kosmo

Berita sebelum ini
Klik imej untuk baca











Kes Sosilawati: Tulang, Darah, Seluar Dalam Ditemui Di Ladang: Saksi

Seorang pegawai kanan forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa sejumlah barangan termasuk serpihan tulang, kesan darah dan cebisan seluar dalam ditemui di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, yang didakwa menjadi lokasi pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Gambar: ORANG Kena Tuduh utama kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, N Pathmanabhan yang juga seorang peguam bersama R Matan, T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan dibawa keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Tinggi Shah Alam di Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Supt Soo Me Tong, 55, Ketua Bahagian Kimia, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, berkata semua barangan itu dijumpai semasa pasukannya menjalankan siasatan di sebuah bangunan setingkat dan sebuah tapak pembakaran pada 12 dan 14 September 2010.

"Pegawai penyiasat kes (ASP Ishak Yaakob) maklumkan kepada kami bahawa bangunan setingkat yang terletak di sebelah kanan ladang itu adalah tempat mangsa diangkat, diikat, dipukul dan diserang.

"Satu lagi tempat (tapak pembakaran) berhampiran sebuah kolam kira-kira 50 meter dari bangunan setingkat itu ditutupi kayu-kayan dan atap zink dan pegawai penyiasat maklumkan bahawa ia adalah tempat mangsa dibunuh dan dibakar," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani.

Soo, saksi ke-48 pendakwaan, memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N Pathmanabhan, 42 dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21 dan R Khatavarayan, 31, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Pembunuhan itu didakwa berlaku di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Soo berkata, siasatan pasukannya pada 12 September 2010 di bangunan setingkat yang mempunyai lima bilik itu, menemui kesan darah di dinding bilik pertama, di luar dinding bilik kedua, ketiga dan kelima, pada sarung sofa dan kusyen yang terletak di depan bilik kedua serta pada televisyen di depan bilik ketiga.

Beliau berkata, siasatan di bangunan itu juga menemui dua puntung rokok dan beg kertas di dalam bilik ketiga, sebuah tong plastik berisi dua pertiga penuh cecair dipercayai bahan bakar dan beberapa keratan wayar berwarna hijau di dalam bilik kelima serta enam kesan cap jari di almari, laci almari dan sebuah botol minuman Coca-Cola yang terletak di dalam bilik ketiga.

"Selepas kumpul semua barang kes, pasukan saya beralih pada tapak pembakaran untuk buat proses galian bagi mencari sisa-sisa tulang atau barang kes yang berkaitan dengan kes pembunuhan ini. Tempat ini dilitupi dengan atap zink, kayu-kayan dan atas permukaan tanah juga dilitupi dengan najis kambing.

"Saya buat empat zon pada tapak pembakaran supaya saya boleh berikan tugasan kepada anggota saya untuk mencari dengan lebih rapi. Saya teliti di kawasan sekitar mendapati daun kelapa sawit berhampiran ada kesan layu kena haba kebakaran dari tapak pembakaran itu," katanya.

Soo berkata, pemeriksaan di zon A dan zon B tapak pembakaran itu menemui beberapa serpihan tulang dan dua sampel tanah turut diambil selepas pasukannya terhidu bau bahan bakar pada tanah.

Beliau berkata, pada 14 September 2010, pasukannya sekali lagi menjalankan galian di tapak pembakaran itu dengan bantuan enam patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan Hospital Melaka bagi mengesahkan sisa tulang yang ditemui.

"Hasil pemeriksaan di zon A menjumpai satu kepingan logam, di zon B menjumpai satu tulang rahang, sebatang kayu bakau dan serpihan kayu terbakar manakala pemeriksaan di zon C menemui satu wayar warna hijau, seluar dalam jenama Hush Puppies saiz M, satu cebisan stoking, satu seluar panjang jenama Snail Classic saiz M, satu cebisan kain guni, sisa kebakaran warna biru, beberapa cebisan tulang dan wayar hijau.

"Pemeriksaan di zon D menemui berbelas-belas serpihan tulang, sebatang gigi dan kod bar. Kami juga ada ambil lima sampel tanah di zon A, B dan C serta ambil sampel tanah kawalan di kawasan sekeliling luar tapak pembakaran untuk rujukan," katanya.

Soo berkata, semua barang bukti itu dibungkus dengan baik, dilabel, ditandatangani serta dicatatkan tarikh penemuan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat dan beliau turut menyediakan laporan berhubung semua penemuan pada dua tarikh berkenaan.

Perbicaraan hari ke-35 di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - BERNAMA

Lif Selayang Mall Terhempas, Wanita Hamil Cedera

Kuala Lumpur — Seorang wanita hamil tujuh bulan patah kaki kanan selepas lif yang dinaikinya jatuh terhempas di pusat membeli belah Selayang Mall di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa Norazlina Mohd. Yusoff 9gambar), 25, bersama enam lagi ahli keluarganya dan beberapa individu lain menggunakan lif tersebut untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah.

Norazlina berkata, beliau sekeluarga masuk ke dalam lif itu dari tingkat empat kawasan parkir sebelum lif tersebut berhenti di tingkat tiga untuk mengambil penumpang yang merupakan satu keluarga dan tiba-tiba berhenti di tingkat ‘G’ (ground floor) tanpa pintu terbuka.

"Secara tiba-tiba lif tersebut naik semula ke tingkat satu sebelum terus menjunam ke tingkat paling bawah (lower ground),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Selayang.

Beliau berkata, kesemua mereka kemudiannya dikeluarkan oleh pengawal keselamatan bangunan itu dan orang ramai yang kebetulan berada di situ sebelum yang tercedera dikejarkan ke hospital tersebut.

"Ketika kejadian kira-kira 12 orang berada dalam lif termasuk keluarga saya yang terdiri dari suami, emak, nenek dan ahli keluarga lain dan ia berlaku sekelip mata...semua orang terjatuh dan keadaan menjadi huru-hara.

"Saya sendiri cuba menahan dari terjatuh bagi menyelamatkan bayi dalam kandungan dan akibatnya kaki kanan patah namun saya bersyukur bayi dalam kandungan selamat, malah anak saudara berusia 8 bulan yang dikendong suami turut selamat,” kata Norazalina, seorang kerani swasta.

Norazalina berkata, mereka menunggu kira-kira 20 minit sebelum ambulans tiba dan ahli keluarganya yang cedera ringan seperti neneknya, mendapat rawatan pesakit luar di hospital itu.

Katanya, bagaimanapun mereka yang lain tidak mengalami kecederaan. — Bernama

Lif terhempas: Suami buat laporan polis

KUALA LUMPUR – Suami wanita hamil tujuh bulan yang patah kaki kanannya selepas terlibat dalam kejadian lif terhempas di Pusat Beli-belah Selayang Mall dekat sini membuat laporan polis malam tadi.

Noor Fahmi Izwan Othman, 25, membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kira-kira jam 11.00 malam.

"Saya membuat laporan polis kerana merasakan berlaku kecuaian di pihak pengurusan pusat beli-belah itu sehingga terjadinya insiden semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, unit pengurusan pusat beli-belah itu, Seal Incorporated Berhad (SIB) ketika dihubungi menafikan laporan sebuah akhbar bahawa kejadian itu berpunca daripada kabel yang putus.

Pengurus Promosinya, Desmond Ting berkata: “Kita sudah memeriksa kabel itu dan ia masih dalam keadaan baik.

“Bagaimanapun pada masa ini kita sedang menunggu laporan konsultan kita yang lebih pakar untuk mengetahui laporan dan punca sebenar kejadian ini,” katanya.

Noor Fahmi dan isterinya Norazlina Mohd Yusoff, 25, bersama enam lagi anggota keluarganya serta beberapa individu lain sedang menaiki lif itu untuk turun dari tingkat empat ke tingkat paling bawah bila kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.00 petang. – Bernama


PAS Gesa Suruhanjaya Diraja Siasat Gani Patail Segera

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dakwaan rasuah dan "penyelewengan proses perundangan" oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mahfuz berkata dakwaan itu dibangkitkan banyak pihak, termasuk oleh penulis Raja Petra Kamaruddin, bekas panel pencegahan rasuah Tan Sri Robert Phang, serta didedahkan dalam surat terbuka bekas ketua siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim.

"Ia (dilihat) satu pencemaran terhadap institusi peguam negara yang diwujudkan dalam (kerangka) perlembagaan persekutuan," katanya dalam sidang media di ibu negara petang ini.

Mahfuz berkata, suruhanjaya itu perlu ditubuhkan kerana institusi peguam negara mempunyai hubungan langsung dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlantikannya dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Mahfuz, dakwaan berkaitan, antaranya berhubung tuduhan terlibat memalsukan fakta dan bukti dalam kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim, kes dengan Shahidan Shafie dan "penyelewengan proses perundangan" kes Altantuya Shariibuu.

Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata beliau "tidak nampak ada kesediaan" Abdul Gani untuk menyaman pihak yang membuat dakwaan tersebut kepadanya.

Mahfuz berkata peguam negara itu "tidak sukar" untuk mengambil tindakan saman contohnya kepada Mat Zain yang sentiasa berada dalam negara berbanding Raja Petra yang berada di luar negara.

Tafsiran berbagai-bagai

"Tidak sukar kalau Tan Sri Abdul Gani hendak bersihkan nama untuk menyaman orang seperti ini yang membuat dakwaan salah laku beliau.

"Oleh kerana Tan Sri Gani Patail nampaknya tidak ada kesediaan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada orang ini, bermakna dakwaan-dakwaan itu tinggal dalam keadaan yang mempunyai tafsiran berbagai-bagai, yang terus memberikan imej yang tidak baik kepada negara kita," katanya.

NONESehubungan itu, tegas Mahfuz, menjadi tanggungjawab kerajaan "membersihkan keadaan ini" melalui penubuhan siasatan diraja demi menjaga nama baik dan kemuliaan institusi istana dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahfuz menggesa kerajaan menubuhkan panel siasatan tersebut dengan segera dan jika tidak, beliau akan mengumpulkan tandatangan pelbagai pihak, termasuk anggota parlimen dan NGO, untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, dakwaan tersebut "bukan isu politik" sebaliknya merupakan soal keluhuran dan kewibawaan institusi dan peguam negara.

"Bagi saya laporan ini (di media dan internet) sudah cukup, yang terpapar dalam internet, surat-surat yang dikeluarkan oleh bekas ketua CID Kuala Lumpur, saya kira sudah cukup kuat untuk pihak berkuasa dalam negara kita ini mengambil langkah yang sewajarnya.

Laporan dan kenyataan berkaitan dakwaan terhadap Abdul Gani turut diedarkannya kepada pemberita.