9 Mei 2010

TGNA : Diam Diri Bukan Bererti Tidak Peduli

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau gagal mentadbir negeri berikutan tindakannya berdiam diri berhubung kemelut Istana Kelantan.

Katanya walaupun beliau dianggap sebagai penasihat kepada Sultan tetapi berpendapat adalah lebih baik mendiamkan diri daripada mengambil sesuatu tindakan yang tidak disenangi pihak tertentu kerana ia adalah masalah dalaman keluarga.

Nik Abdul Aziz berkata, dalam Islam mendiamkan diri juga merupakan suatu nasihat daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh mengeruhkan lagi suasana dalam keluarga itu.

"Bagi saya, sejak mentadbir negeri ini hampir 20 tahun lepas, saya anggap berjaya kerana membangunkan negeri ini. Siapa kata gagal?. Soal kemelut raja, itu kerja anak beranak, saya sengaja tak campur tangan supaya berlaku di sekitar anak beranak," katanya kepada pemberita selepas meraikan orang kelainan upaya (OKU) yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di bangunan yayasan itu, di Pengkalan Chepa, dekat sini pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang dipetik sebagai berkata, krisis istana Kelantan tidak akan berlarutan sekiranya Nik Abdul Aziz memainkan peranannya sebagai penasihat kepada Sultan dan Pemangku Raja Kelantan.

Nik Abdul Aziz berkata Islam membenarkan seseorang itu berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan, walaupun seseorang itu merupakan penasihat, jika ia boleh memudaratkan keadaan.

Beliau menafikan sikap mendiamkan diri dalam isu itu sebagai tindakan lepas tangan daripada tanggungjawab sebagai penasihat dan beliau tidak mahu campur tangan dalam isu kemelut istana itu kerana ia melibatkan krisis dalaman keluarga.

"Jadi, saya ambil sikap senyap, supaya ianya hanya berkisar di sekitar anak beranak, senyap itu juga, adalah nasihat, ada kalanya Allah Taala suruh senyap. Ada kalanya suruh nasihat, jadi saya ambil sikap senyap, senyap itupun dianggap nasihat juga...," katanya.

Menurutnya, beliau bersama Exco akan menziarah Sultan, cuma menunggu tarikh yang akan ditentukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias.

-- BERNAMA


Nik Aziz nafi tidak peduli krisis Istana Kelantan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nafi telahan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri seolah-olah tidak mempedulikan krisis Istana Kelantan.

Sebaliknya dalam reaksi ringkas Mursyidul Am PAS ini menyifatkannya sebagai konflik keluarga.

“Ini krisis anak-beranak, bukan kerajaan tidak mahu caro (ambil peduli),” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Orang Kurang Upaya di Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan di Padang Tembak, Pengkalan Chepa dekat sini.

Beliau menjawab soalan pemberita bahawa sikap berdiam diri kerajaan negeri secara tidak langsung telah menimbulkan pelbagai spekulasi rakyat negeri ini terhadap istana dan kerajaan negeri itu sendiri.

“Saya nak kata maca mana? Orang kata kerajaan negeri tak nasihat, itu silap kerana diam itu lah sebahagian daripada nasihat,” katanya bersandarkan hujah ayat al-Quran mengatakan ‘diam’ juga adalah sebahagian daripada nasihat mengikut keperluan situasi tertentu.

Beliau membaca ayat berkenaan hal yang berkaitan.

Dalam pada itu Nik Aziz tidak menafikan kerajaan negeri belum melawat Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra sejak dimasukkan ke hospital lima hari lalu.

“Belum melawat lagi, kita sedang minta Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri uruskan jadual atau masa lawatan itu supaya kerajaan negeri dapat melawat tuanku bersama exco semua sekali,” katanya.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini Selasa lalu setelah dipertikaikan rawatan susulannya di Singapura.

Esok, Mahkamah Khas akan mendengar permohonan habeas corpus yang difailkan oleh Tengku Temenggong Tengku Muhamad Fakhry untuk membawa keluar Sultan Kelantan dari HUSM atas alasan baginda dikurung. -TMI


Ulasan GB

Orang semacam Ibrahim Ali bising-bising walau pada perkara yang kecil kerana nak cari publisiti. TGNA tidak perlu sedemikian.


Rakyat Tetap Kutuk Menteri Dan Polis Yang Lindungi Jenayah

Kes Dua Remaja Ditembak, PDRM Perlu Rombakan

SHAH ALAM 9 MEI: Rentetan dua remaja ditembak polis dalam tempoh dua minggu termasuk seorang daripadanya mati, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff memcadangkan kepimpinan polis Malaysia dirombak secepat mungkin demi menjamin keselamatan orang awam.

Beliau menyifatkan kes Aminulrashid Amzah, 15, dan Mohd Azizi Aziz, 17, mencalar imej institusi kepolisan yang separutnya dipandang tinggi sekaligus memperlihat kegagalan pihak berkuasa ini dalam menangani isu seperti ini.

"Apabila ia mewujudkan satu trend, ia menggambarkan imej institusi. Imej ini ialah dasar dan dalam hal ini, saya lihat isu sebenar ialah kepimpinan. polis gagal" katanya kepada TV Selangor hari ini.

Justeru, Yusmadi menggesa seluruh pimpinan melakukan perubahan melalui rombakan besar-besaran supaya keselamatan dan keamanan rakyat lebih terjamin pada masa depan.

"Gesaan daripada pimpinan rakyat ke arah mereformasikan isu polis. Isu bukan hanya Tan Sri Musa Hasan letak jawatan. Itu isu yang bagi saya tidak selesaikan. Ini isu institusi perlu rombakan yang besar," katanya.

Pada 26 April lalu, remaja berusia 15 tahun Aminulrashid Amzah mati ditembak polis ketika menaiki kereta di Jalan Mahjung, Seksyen 11 Shah Alam. Empat das tembakan dilepaskan dan satu peluru menembusi kepalanya.

Semalam, Mohd Azizi Aziz yang dua tahun lebih tua daripada Aminulrashid pula ditembak ketika menunggang motosikal di Jalan Seremban-Jelebu. Satu das tembakan dilepaskan dan menembusi perut ke ususnya.

Dalam kes Mohd Azizi, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh memohon maaf kepada keluarga mangsa tetapi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak berbuat demikian sebaliknya mendakwa Aminulrashid ahli kumpulan penyamun.

Sebelum kedua-dua kes ini terjadi, kes Norizan Salleh, seorang ibu tunggal yang parah selepas bertalu-talu ditembak polis hingga kini masih belum selesai-selesai. -TVS


Hishammuddin: Usah kutuk polis hanya kerana 2 remaja ditembak

LONDON, 9 Mei — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) merayu publik agar membantu mempertahankan institusi polis, bukannya mengutuk pasukan keselamatan ketika negara menyaksikan dua remaja ditembak, termasuk seorang mati dalam dua minggu ini.

Sehubungan itu kata Hishammuddin, daripada terus-menerus menyerang polis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sokongan publik memandangkan ia merupakan salah satu tunjang mempertahankan negara.

“Malaysia berada dalam peralihan. Dalam persekitaran perubahan ini, sudah tentu akan ada percubaan untuk memperlekehkan institusi-institusi tanpa asas, tanpa kajian, perbincangan dan tanpa faham (mendalam),” kata beliau dengan merujuk kepada pasukan penguatkuasaan dan kehakiman.

“Saya hendak memberi jaminan kepada setiap orang, moral pasukan polis juga perlu dipertahankan dan diimbangi,” kata Naib Presiden Umno ini sambil menambah, tindakan mengutuk dan memperlekehkan pasukan polis tidak akan membantu sesiapa.

Awal pagi semalam seorang remaja cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis peronda dalam

kejadian kejar-mengejar di Jalan Seremban-Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurut polis mangsa Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak ekoran enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan polis.

Mengulas kejadian itu semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

Ayah mangsa, Aziz Omar berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi (semalam) yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

“Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik,” katanya.

Kejadian itu berlaku dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan polis yang mengejar kereta yang dipandunya di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor pada awal pagi 26 April lalu.

Kes itu sedang disiasat dengan dipantau oleh sebuah panel ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri.

“Ia kejadian tragis,” kata Hishammuddin dengan merujuk kepada nasib dialami Aminulrasyid.

Hishammuddin berkata, tidak akan ada unsur menutup kes berkenaan memandangkan panel yang ditubuhkan merupakan badan yang berwibawa.

Menteri juga mempersoalkan mengapa anggota pasukan keselamatan Istana Kelantan yang ditembak tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada orang ramai.

“Pada masa yang sama, pembantu (keselamatan) Tengku Mahkota Kelantan ditembak kejam di tengah jalan. Tetapi, dia tidak memperoleh layanan yang serupa daripada orang ramai, yang hanya mahu tahu sama ada ia ada kaitan dengan kontroversi semasa kerabat diraja Kelantan,” kata beliau.

Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, ditembak awal bulan ini.

“Hanya kerana dia seorang anggota polis dia tidak berhak menerima simpati? Jadi jangan beremosi (dalam isu ini),” kata Hishammuddin yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak April 2009.

Walaupun beliau mengakui sistem semasa perlu diperbaiki tetapi tidak mengutuk tindakan-tindakan yang dilihat sebagai keterlaluan dan di luar lunas perundangan.

Katanya, institusi-institusi perlu dibina dan tiada penyelesaian segera bagi mengatasi kekurangan-kekurangan yang wujud.

“Kami memerlukan rakyat yang diberikan amanah untuk bertanggungjawab bukannya dipengaruhi oleh politik seharian atau ragam semasa. Institusi-institusi ini akan kekal lebih lama berbanding ahli-ahli politik,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 100 hadirin di Jabatan Pelajar Malaysia di sini semalam.

Hishammuddin mempertahankan pasukan keselamatan dengan berkata anggota polis telah memperlihatkan prestasi yang baik dalam 10 bidang yang anda semua “tidak pernah melihat, tidak pernah mendengar, yang anda tidak akan tahu”, antaranya usaha menangani keganasan.

Bagaimanapun Hishammuddin mengakui dalam soal menangani jenayah jalanan, beliau hanya akan memberi paras enam persepuluh.

Beliau memberitahu, kementeriannya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini dan jenayah secara keseluruhan kepada lima peratus sepanjang tiga tahun berikutnya.

Hishammuddin juga berkata, beliau ada memaklumkan kepada anggota polis agar tidak luntur semangat apabila publik menyerang mereka. -TMI


Ulasan GB

Mengapa tidak perlu kutuk jika sudah berlaku KEMATIAN?

Rakyat tetap mengutuk menteri dan polis yang melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota polis.

Kabinet Tun Abdullah Perlu Disiasat

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan supaya Kabinet yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi disiasat, berhubung penjualan dua telaga minyak negara kepada Brunei.

Katanya, negara bukan sahaja kehilangan sumber hasil bernilai lebih RM320 bilion, tetapi turut menjejaskan maruah.

:“Saya cadangkan satu siasatan ke atas Kabinet Tun Abdullah untuk menilai sejauh mana kewajaran untuk menjual telaga minyak itu kepada Brunei. Semua anggota Kabinet ketika itu juga harus disiasat, termasuk Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, beliau yakin sebahagian besar anggota Kabinet ketika itu menjadi ‘pak angguk’ dan meluluskan usul terbabit, tanpa usul periksa.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu amat wajar dan berharap lebih banyak pendedahan dibuat untuk mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran negara.

“Ini antara kesilapan terbesar Tun Abdullah, yang menyebabkan negara menanggung kerugian besar kerana hilang sumber pendapatan untuk membangunkan negara,” katanya.

Mahfuz berkata, beliau mahu Najib atau Timbalannya campur tangan dalam isu ini dan memberi maklum balas segera, dan tidak menutup kes ini daripada pengetahuan umum.

“Saya tidak pasti sama ada ini adalah sebahagian komplot yang dibuat untuk menjatuhkan Tun Abdullah, seperti yang didakwa penulis blog, Kickdefella atau nama sebenarnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz. Atau mungkin kempen untuk menjatuhkan Najib yang didakwa bersekongkol dengan Tun Abdullah dalam isu penjualan telaga minyak itu,” katanya. -SH


Lesen Judi: UMNO Sudah Murtad, Mana Ulamak-ulamak UMNO?

Dr Asri: Lesen Atau Tidak, Judi Tetap Haram

SHAH ALAM 7 MEI: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin menyifatkan alasan kerajaan yang menghalalkan perjudian melalui pemberian lesen yang membenar pertaruhan bola sepak, tidak munasabah untuk mana-mana agama, lebih-lebih lagi agama Islam.

Beliau menegaskan sebarang bentuk perjudian sama ada berlesan atau sebaliknya, hanya membawa masalah antaranya pergaduhan dan bebanan hutang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbang kemungkinan mengeluarkan lesen pertaruhan ketika Piala Dunia 2010 berlangsung Jun ini.

Beliau memberi alasan ia wajar dilesenkan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Mengulas isu ini, Dr Asri menyifatkan kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional sudah tidak dapat membezakan halal dan haram.

"Kerajaan mesti memikirkan kesan buruk perkara ini. Ia akan mengakibatkan pergaduhan, pinjam meminjam dan pelbagai lagi. Jika kerajaan bertindak memberi lesen apa ertinya?" katanya.

Dr Asri mengingatkan kerajaan, tindakan melesenkan judi belum tentu menyelesaikan masalah kerana masalah tetap berlaku, bahkan berlarutan dengan lebih buruk.

"Judi termasuk dalam dosa besar. Di negara ini, orang akan kata ini bukan untuk orang Islam. Adakah perkara ini dituntut oleh orang bukan Islam? Adakah kerajaan bertindak hanya untuk kepentingan cukai ataupun untuk kepentingan masyarakat bukan Islam.

Beliau menyifatkan kerajaan hanya mencari alasan termasuk menggunakan elemen pembangunan judi bagi menghalalkan perjudian.

"Saya lihat alasan yang dinyatakan bagi mengelakkan judi haram dengan mengadakah judi halal. Semua judi adalah haram dan memberi kesan negatif. Saya tidak fikir orang agama lain disuruh pergi berjudi.

"Jika kerajaan hendak menyalurkan dana kepada bidang sukan, saya lihat perkara lain juga mungkin kita boleh mengenakan cukai yang tinggi. Jadi, saya fikir alasan ini sangat tidak munasabah," katanya.

Dr Asri seterusnya mencadangkan kerajaan supaya bertindak mengikut landasan Islam bagi mengawal baik buruk sesuatu perkara.

"Tetapi dengan cara kerajaan menghalalkan dan membenarkan cara memberi lesen ini kepada judi bererti perkara yang dibimbangi masyarakat dilakukan secara terbuka dan mendapat persetujuan. Apa beza antara yang halal dengan yang tidak, kedua-duanya mengundang masalah kepada rakyat," katanya. -TVS

Ulasan GB

Di dalam kitab Mustika Hadith keluaran Jabatan Perdana Menteri dijelaskan bahawa:


contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu:

Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti :

• Hukum apa ini ?
• Hukum ini sudah lapuk.
• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.
• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).
• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?
• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.
• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).
• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.
• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.


Justeru itu langkah kerajaan UMNO BN untuk melesenkan judi adalah tidak lain "menghalalkannya" dan ternyata bukan sahaja ianya adalah satu tempelakan kepada hukum Allah dan RasulNya tetapi satu gejala yang memurtadkan seseorang Islam.

Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) wanita yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) (QS Al Ahzab: 36).

Walaupun lesen judi belum dikeluarkan, tetapi perkataan "kerajaan menimbang untuk melesenkan pertaruhan (judi) sempena Piala Dunia" sudah cukup untuk menunjukkan pemimpin UMNO jahil dan merupakan satu penghinaan terhadap hukum Islam yang menjurus kepada MURTAD.

Mana dan mengapa ulamak-ulamak di dalam UMNO membisu?

"Polis Barua UMNO" Sebabkan Suhaizan Dilokap

Gara-gara menggunakan perkataan “polis barua Umno”, Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat, Suhaizan Kayat ditahan dalam lokap sepanjang malam tadi.

Beliau dilepaskan tengah hari ini selepas ditahan lebih sembilan jam di Balai Polis Johor Baru Utara.

Segala-galanya tercetus selepas beliau mempertikaikan tindakan polis membuat sekatan jalan di Taman Dahlia, Kempas Johor Baru malam tadi ketika ceramah Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mengapa perlu begitu ramai anggota polis membuat sekatan jalan raya di sini?

“Adakah kerana yang memberi ceramah itu pembangkang maka mereka (polis) membuat sekatan jalan raya?” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut beliau, kehadiran sebegitu ramai anggota polis di kawasan tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sesak selain mengganggu perjalanan ceramah.

“Sebelum ini kita pernah buat ceramah di kawasan ini tetapi tidak ada pula begitu ramai anggota polis yang mengawal, mengapa keadaan itu berlaku sekarang?” katanya.

Beliau berkata, sekatan jalan raya itu bermula pada pukul 7 petang dan ia melibatkan laluan-laluan utama di Taman Dahlia.

“Sepatutnya mereka (polis) kekang jenayah bukannya penceramah.

“Kalau dulu sekatan ini digunakan untuk menghalang komunis daripada masuk kampung untuk mendapatkan bekalan.

“Tapi itu semua sudah berlalu dan sudah tidak perlu lagi dibuat pada zaman sekarang kecuali untuk menangkap penjenayah,” katanya.

Suhaizan berkata, berang dengan kehadiran sebegitu ramai anggota polis beliau telah melabelkan mereka sebagai “barua” Umno dalam ucapannya.

“Saya memang tidak berpuas hati dengan situasi tersebut dan dalam ucapan saya memanggil polis seperti barua Umno.

“Tindakan saya itu menyebabkan lapan anggota polis naik ke pentas lalu menangkap saya sebelum masukkan saya ke dalam lokap di Balai Polis Johor Baru Utara malam tadi,”
katanya yang telah dilepaskan kira-kira pukul 12 tengah hari ini dengan jaminan polis.

Tambahnya, ketika ditahan kira-kira sembilan jam beliau mendapat kerjasama yang baik dengan anggota polis.