13 Nov 2010

PKR Kuala Nerus Kecam Saifuddin

Pemilihan cabang PKR Kuala Nerus tergendala kerana boikot

KUALA TERENGGANU, 13 Nov — Pemilihan pusat dan peringkat cabang PKR Kuala Nerus tergendala kira-kira dua jam ekoran tindakan “memulau” sekumpulan pemimpin yang tidak berpuas hati dengan keputusan ibu pejabat mengarahkan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan bahagian itu diadakan semula.

Ekoran tindakan kumpulan berkenaan, yang didakwa menutup pejabat pagi ini, pemilihan dan mesyuarat terpaksa dipindahkan ke lokasi lain yang berhampiran.

Kuala Nerus adalah antara 41 cabang PKR mengadakan pemilihan hari ini — hari ketujuh dalam siri pemilihan pusat parti itu.

Ibu pejabat memutuskan untuk meneruskan pemilihan pusat meskipun sebelum ini ada desakan agar pemilihan ditangguhkan ekoran dakwaan kecacatan dan manipulasi dalam proses pengundian.

Pemilihan yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi tadi ditunda dua jam bagi mencari lokasi alternatif.

“Ya, macam itulah. Ada sedikit masalah, rasa tidak puas hati ekoran keputusan ibu pejabat agar mesyuarat tahunan dan pemilihan bahagian diadakan semula,” kata seorang pemimpin yang enggan namanya dipetik.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengarahkan agar cabang Kuala Nerus mengadakan semula mesyuarat agung tahunan dan pemilihan cabang ekoran pertikaian calon yang sepatutnya bertanding jawatan ketua cabang September lalu digugurkan daripada senarai pemilihan.

Oleh kerana cabang itu diarahkan mengadakan mesyuarat bahagian dan pemilihan bahagian, maka proses pengundian bagi pemilihan pusat juga diadakan serentak.

Ekoran tindakan memboikot oleh kepimpinan yang dipilih September lalu selain turut meletakan jawatan dalam parti pagi ni, JPP terpaksa memindahkan pusat mengundi ke satu premis pejabat di Batu 6 atas ihsan seorang ahli parti dengan membenarkan pejabatnya digunakan untuk tujuan pemilihan.

Semua ahli jawatankuasa cabang Kuala Nerus telah mengambil tindakan drastik dengan meletak jawatan berkuat kuasa pagi ini dan surat letak jawatan telah diserahkan kepada kepimpinan negeri dan pusat untuk tindakan lanjut.

Pada pemilihan kali ini hanya jawatan Ketua, timbalan dan naib serta jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan dan ahli jawatankuasa Wanita cabang dipertandingkan.

Jawatan-jawatan lain dimenangi tanpa bertanding semasa pencalonan September lepas.

The Malaysian Insider difahamkan kumpulan penyokong ahli jawatankuasa yang meletak jawatan turut memboikot pemilihan hari ini.

“Dalam dua jam pertama hanya 30 hingga 40 orang yang keluar mengundi,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Cabang itu mempunyai sekitar 600 ahli.




Kami amat menyesali dengan tindakan ini tetapi demi mempertahankan prinsip keadilan, prinsip yang diyakini bahawa kami dipihak yang benar dan Setiausaha Agung (Saifudin Nasution Ismail) serta pihak JPP dan Jawatankuasa Disiplin telah, dengan sengaja, mengkhianati dan menzalimi kami dengan sokongan tangan-tangan ghaib diperingkat pusat yang sejak dari mula lagi terlibat dengan manipulasi dalam urusan Pemilihan Cabang.

Setelah Setiausaha Agung, Saifudin Nasution Ismail mengambil alih mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Jawatankuasa Disiplin PKR yang asalnya diketuai oleh Dr. Molly Cheah dan dianggotai oleh diantaranya Malek Hussain, Sabaruddin, Raden Shamsul Akmar, beliau membuat keputusan untuk mengadakan semula Pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) di Cabang Kuala Nerus dengan memasukkan semula nama calon Ketua Cabang iaitu Muzafeq yang mana sejak dari mula lagi telah dibatalkan oleh JPP kerana penama tersebut hilang kelayakkan oleh sebab-sebab seperti yang telah dimaklumkan dalam lampiran bukti ‘Borang Bantahan Pencalonan’ tempohari. Dan Jawatankuasa Disiplin pula tidak mengambil sebarang tindakan keatas individu-individu yang terlibat memulakan serta melakukan pergaduhan dan kekecohan pada Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu.

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan tersebut, pihak Pengawas Pemilihan JPP yang telah dihantar oleh PKR Pusat seramai (4) empat orang yang diketuai oleh saudara Faizul Latif, telah dengan sengaja tidak melapurkan kejadian dan situasi sebenar kepada Pusat, dan telah membuat keputusan yang amat tidak rasional dan diluar autoriti beliau (kerana telah diugut) sepertimana yang telah diarahkan oleh Raden Shamsul Akmar (SUK Pusat cum Penyelaras JPP). Ini adalah satu agenda JAHAT DAN KHIANAT yang telah dilakukan oleh mereka. Semoga mereka yang terlibat dilaknat Allah swt. Kami sedikitpun tidak akan Redha dengan perkara ini.

Setelah Surat Protes Rasmi yang menceritakan keadaan sebenar yang berlaku di MATC pada 25hb September yang lalu dan Lampiran Laporan Polis yang telah dibuat, pihak SUA dan JPP telah tidak mengambil kira aduan tersebut dan ini merealisasikan sikap sebenar mereka dan ‘double-standard’ yang diamalkan oleh individu oportunis dan hipokrit di Pimpinan Pusat yang didalangi sepenuhnya oleh Saifuddin Nasution Ismail (SUA) .

Sebagaimana kenyataan media dari JPP pada 29hb September 2010 oleh Dr.Molly Cheah dan arahan dari Presiden bahawa JPP akan bertindak tegas dan memecat ahli yang terlibat mencetuskan kekecohan dan pergaduhan pada MATC lalu nampaknya hanya retorik semata-mata.

Majlis Pimpinan Wanita dan seluruh Jawatankuasanya yang berhak hadir dalam MATC telah memutuskan untuk tidak bersetuju diadakan semula Pemilihan di MATC kerana mereka mengalami kesan trauma dengan keganasan yang dicetuskan pada hari tersebut.

Kami berpendapat pihak SUA dan JPP serta mana-mana individu yang terlibat, telah meremeh dan merendahkan minda, moral dan maruah kami. Kami rasa perjuangan menegakkan keadilan dinegara ini tidak akan terlaksana selagi golongan opportunis seperti ini terlibat didalam PKR yang mana individu-individu ini hanya muncul apabila tiba masa memungut, merampas hasil titik peluh, jerih payah yang telah disemai,dibaja dan dituai oleh kami sejak dari zaman reformasi lagi.

Oleh itu, diatas sebab persoalan tentang ketelusan, kepincangan dan berat-sebelah pihak Pusat, kami seluruh Pimpinan dan Jawatankuasa Cabang, bersama dengan seluruh Pimpinan Wanita dan AMK, dengan berat hati mengisytiharkan Perletakan Jawatan dalam Parti peringkat Chabang berkuatkuasa serta merta dan memutuskan untuk menarik diri dari bertanding semua jawatan dalam Pemilihan Chabang dan menyerahkan urusan pentadbiran Cabang Kuala Nerus kepada Majlis Pimpinan Negeri Terengganu.

Lawan tetap Lawan.
Sekian.

Wan Bukhari Wan Mohamad.
Keahlian No. T030000378.
(Ketua Cabang Kuala Nerus).

Raduan Bistaman.
Keahlian No. T030000390.
(Setiausaha)


Ulasan GB

Tuhan akhirnya membuktikan GB berkata benar bahawa Saifuddin ini manusia yang tidak boleh dipercayai. Lansung tidak takut dosa kerana menipu, sepertimana Ketua de Fakto PKR sendiri. Sebelum ini GB telah menulis di SINI. Petikan:

Dari awal GB lihat Setiausaha Agong PKR yang bernama Saifuddin Nasution itu tidak benar-benar berkecuali, tidak jujur malah dalam banyak hal dan ketika, menampakkan secara jelas beliau terlalu partisan, terutama di dalam pemilihan yang sedang berlansung ini.

Beliau dilihat seperti mahu mengaturkan siapa perlu duduk di jawatan apa di dalam pemilihan PKR. Dengan kedudukannya sebagai Setiausaha Agong, beliau mengeluarkan procedure-procedure anih bagi mengubah "padang permainan" agar calon yang disukainya berjaya.

Sebelum GB ulas lebih lanjut, kita lihat dulu rentak dan tarinya. Lebih banyak cakap dan tindakannya akan lebih banyak mendedahkan siapa Saifuddin sebenarnya.


Nak terima, terimalah, nak tolaklah. Tetapi AKHIRNYA, kebenaran itu PASTI menang.

KTMB Bela Gamuda MMC, Belakangkan Kepentingan Rakyat

Landasan Keretapi Berkembar Bukan Punca Banjir - KTM

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)menganggap langkah kerajaan negeri Pulau Pinang yang mahu projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) dihentikan kerana mendakwa ia punca banjir di Kedah adalah tidak wajar dan tidak berasas.

Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat KTMB Mohd Fazli Ismail berkata projek itu tidak menyumbang kepada banjir yang lebih kronik di Kedah mahupun seperti dikhuatiri di Pulau Pinang.

"Laporan Jabatan Meteorologi menunjukkan hujan lebih dari luar biasa iaitu hampir sekali ganda direkodkan pada 2005, iaitu peningkatan paras air dari 119m kepada 207mm.

"Banjir juga berlaku di Selatan Thailand dan tidak ada PLBE dijalankan. Adalah tidak berasas untuk meletakkan punca dan kekhuatiran berlakunya banjir atas sebab PLBE," katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Beliau berkata arahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya kontraktor PLBE menghentikan kerja-kerja serta merta akan membawa implikasi kos dan kelewatan penyiapan projek.

Mohd Fazli berkata arahan itu akan turut menjejaskan perancangan pembangunan industri pelancongan melalui perkhidmatan kereta api yang akan kelak membawa manfaat kepada rakyat di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Katanya KTMB dan kontraktor bertanggungjawab iaitu MMC-Gamuda Joint Venture bagaimanapun akan mengaturkan perbincangan lanjut bersama wakil kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian perkara berkenaan.-BERNAMA

Ulasan GB

KTMB tidak mengakui fakta bahawa Gamuda MMC yang telah mengakibatkan banjir di Kedah sepertimana yang telah diakui sendiri oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.

Sikap KTMB yang melihat isu ini dari perspektif komersial dan keuntungan semata-mata adalah amat tidak wajar dengan membelakangkan kepentingan rakyat di negeri-negeri terbabit. Patutlah KTMB rugi berganda-ganda sepanjang tahun. Sebabnya mereka cuba menjadi binatang raksaksa di dunia perniagaan tanpa memperdulikan "social obligations" lantas tiada "barakah" di dalam setiap urusniaga mereka. itu pun masih tidak sedar tetapi membela rakan niaga yang bernama Gamuda MMC yang jelas-jelas membelakangkangkan kepentingan awam di dalam projek yang mereka laksanakan.

Tidak ada lansung tanda-tanda untuk berubah supaya mereka menjengah ke dalam diri agar menjadi manusia-manusia yang bertaqwa sepertimana firman Tuhan:

“Seandainya penduduk suatu tempat beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan atas mereka barakah dari langit dan bumi. Akan tetapi mereka mendustakan Kami, sehingga Kami siksa mereka karena perbuatannya.” (Al A’raaf: 96).


p/s Nampaknya pemimpin Pakatan Rakyat terutama pemimpin PKR tengah sibuk berpolitiking. Sedangkan masalah negara kian menokok. Lansung tak dihiraukan.

Nak rebut Putrajayalah, PAS gantikan UMNOlah, Anwar dabik dada jadi hero sebab rakyat berdemo untuknyalah dulu dan bermacam-macam karenah pemimpin PR ni. Macam-macam yang retorik dihamburkan untuk menyapu sampah ke bawah karpet.

Blogger juga yang terpaksa berperanan untuk menjawab serangan-serangan pihak kerajaan dan agensinya yang dilihat keterlaluan menyusahkan rakyat.

Pemimpin-pemimpin PR sibuk berangan-angan. PR tak sedar-sedar dah "dikurniakan" kekalahan berturut-turut dari Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas & Batu Sapi. Ia akibat PKR dan PAS punya tabiat berpolitiking.


Kritikan Peribadi Calon: Jangan Hanya Pandang Sebelah Pihak

Tindakan Tegas Elak Kritikan Peribadi Sesama Sendiri - Wan Azizah

PETALING JAYA: Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi etika yang digariskan, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, jaminan itu diharapkan tiada kritikan berbentuk peribadi sesama pimpinan dan ahli secara terbuka kerana keadaan itu akan membuka ruang kepada musuh.

“Apa yang berlaku ini merupakan proses mematang dan memantapkan parti. Kita yakin ia akan menatijahkan semangat dan kekuatan baru kepada ahli dan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang, Datuk Fauzi Abd Rahman pada Jumaat menyerahkan satu Resolusi Rapat Anak Muda Malaysia bertarikh 10 November 2010.

Resolusi tersebut mengandungi enam perkara berkaitan perjalanan perjalanan pemilihan pimpinan parti yang sedang berjalan ketika ini.

Wan Azizah difahamkan resolusi itu satu proses yang baik mengikut saluran tepat dan menunjukkan kematangan ahli dalam menangani isu-isu berbangkit.

“Pimpinan parti, khususnya saya sendiri dan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan memberi perhatian serius resolusi enam perkara tersebut dan semua memorandum serta surat aduan yang telah diterima dari akar umbi.

“Bahkan kita telah pun memulakan tindakan dan tumpuan diberikan kepada kes-kes yang mempunyai petunjuk yang jelas,” katanya.

Ulasan GB

Serangan peribadi? Bagaimana sebelum ini calon yang dijulang oleh pimpinan PKR menyerang peribadi lawannya secara terang-terangan?

Boleh lihat sini:

Azmin Serang Zaid Habis-habisan Setelah Mendapat Pencalonan Tertinggi

Azmin Sifatkan Zaid "Deperado", Guna BH Serang Lawan.

MAS Rugi RM8 Billion, Tukarkan Pengerusi PAC Kerana Gagal Bertindak

Pengerusi PAC Azmi Khalid perlu diganti

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub sekali lagi menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengambil tindakan terhadap isu kerugian Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berjumlah RM8 bilion.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, isu itu telah lama dibangkitkan beliau di Dewan Rakyat termasuk menghantar surat kepada pengerusi PAC sendiri, Datuk Seri Azmi Khalid.

"Saya telah membangkitkan tentang dua surat yang saya hantar kepada Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid pada 13 Disember 2009 dan sekali lagi saya hantar pada 30 Ogos 2010 yang saya telah meminta PAC mengambil suatu tindakan terhadap isu kerugian MAS sebanyak RM8 bilion dan isu ini telah pun saya kemukakan sama ada dengan dua surat yang telah saya kemukakan dan juga diikuti dengan beberapa perbahasan saya dalam Parlimen," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen petang semalam.

Tambahnya, isu kerugian MAS ini harus diambil siasatan terperinci kerana ia merupakan kerugian besar selepas skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Isu kerugian MAS ini merupakan skandal kedua selepas PKFZ dan demi menyelamatkan wang rakyat dalam negara kita ini saya telah mengemukakan isu ini dan saya telah nyatakan tadi bahawa saya mengharapkan bahawa pada kali ini PAC benar-benar dapat memanggil satu siasatan terhadap isu kerugian MAS ini," katanya lagi.

Beliau turut menegaskan, jika tiada apa-apa tindakan diambil oleh PAC berhubung aduan itu, tempat Azmi harus diganti dengan orang lain agar ia dapat berperanan dengan lebih baik.

"Kalau PAC tidak boleh mengambil apa-apa tindakan, saya cadangkan pengerusi PAC diganti dengan orang lain supaya ianya lebih efektif," katanya.

Beliau turut menegaskan, beliau akan membawa isu itu sehingga ke peringkat tertinggi bagi memastikan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Saya terus akan membawa isu ini hingga ke peringkat jawatankuasa saya akan menyebutnya dalam perbahasan di peringkat JPM.

"Saya cukup konsisten dalam membawa isu ini dan saya harap tindakan dapat diambil terhadap bagaimana MAS boleh mengalami kerugian RM8 bilion dan isu ini memerlukan penyiasatan segera dan saya harap ia boleh mengembalikan kewibawaan SPRM dan PAC," katanya. -harakahdaily

Projek Landasan keretapi berkembar Wajar Dihentikan Sementara - Mahfuz

Alor Setar – Projek pembinaan landasan kereta api berkembar oleh MMC-Gamuda Joint Venture (MMC-Gamuda) yang didakwa menjadi salah satu faktor banjir buruk melanda beberapa daerah di negeri Kedah perlu dihentikan buat sementara sehingga kajian menyeluruh mengenainya dilakukan.

Naib Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, bantahan penduduk Taman Syed Mohamad agar pembinaan landasan kereta api berkembar itu dihentikan sementara adalah berasas.

Menurutnya, kebanyakan mangsa banjir di kawasan itu sudah menetap sejak lebih 30 tahun lalu namun tidak pernah dilanda banjir, walaupun ketika banjir melanda Kedah pada 2005.

“Bagaimanapun, kesan projek itu menyebabkan saluran air tersekat, bahkan ruang perparitan tidak berdasarkan keluasan munasabah dan banyak pihak, khususnya yang terbabit dalam kerja teknikal mengakui projek ini adalah punca berlakunya banjir.

“Justeru, projek ini perlu dihentikan sementara waktu sehingga satu kajian menyeluruh membabitkan semua pihak termasuk kontraktor (MMC-Gamuda) serta agensi berkaitan seperti Majlis Bandar Raya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), agar peristiwa ini tidak berulang,” katanya.

Mahfuz berkata demikian selepas meninjau keadaan beberapa rumah berhampiran projek pembinaan landasan berkembar kereta api di Taman Syed Mohamad, di sini, yang terjejas teruk akibat banjir besar di Kedah minggu lalu.

Katanya, beliau sendiri akan turut sama memanjangkan perkara itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, agar menggunakan bidang kuasa yang dimiliki Kerajaan Negeri untuk menghentikan projek ini buat sementara waktu.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menafikan dakwaan pembinaan landasan berkembar elektrik di beberapa daerah di Kedah sebagai punca kejadian banjir di negeri itu. -SH

PKR Boleh Diharamkan, Sama Nasib Seperti UMNO Lama

PKR bakal senasib Umno lama?

PETALING JAYA: Tidak mustahil Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima nasib seperti Umno lama yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada tahun 1988 sekiranya tiada tindakan segera diambil untuk mengatasi kemelut dalam pemilihan yang sedang berlangsung.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Che Norliah Mustafa kepada FMT hari ini berhubung kecelaruan yang berlaku dalam Pemilihan PKR.

Menurut beliau, setiap individu dalam negara ini bebas berpersatuan seperti yang dijamin dalam perkara 10/1C Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, bagaimana pun setiap individu yang berpersatuan itu, tertakluk pula kepada Perlembagaan Pertubuhan yang disertainya.
Tindakan undang-undang boleh diambil

"Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya ada berlaku perlanggaran Perlembagaan Parti PKR itu sendiri ketika pemilihan.

"Jika pihak yang ingin mengambil tindakan undang-undang ini berjaya memperolehi bukti dan saksi apa yang dikatakan pengundi hantu, penipuan dan sebagainya, maka ia boleh terjadi.

"Jika mahkamah mendapati terdapat unsur-unsur penipuan ketika pemilihan berlangsung maka PKR akan menghadapi masalah ketika itu," kata beliau lagi.

Kemungkinan PKR diisytiharkan pertubuhan haram

Dr Che Norliah tidak menolak kemungkinan PKR bakal menghadapi nasib seperti yang menimpa Umno lama yang diisytiharkan sebagai pertubuhan haram pada tahun 1988.

Sebelum ini, terdapat desas-desus kuat mengatakan sekumpulan ahli PKR dari beberapa cabang PKR seluruh negara mengadakan pakatan sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap apa yang didakwa penipuan dalam Pemilihan PKR.

Kumpulan yang mendakwa diri mereka daripada ahli-ahli tidak kurang dari 25 cabang setakat ini dikatakan sedang giat bergerak di Sabah, Kelantan dan dua negeri lagi di utara tanah air bagi mengumpul bukti.

Kumpulan yang dikatakan melibatkan beberapa peguam tanah air ini dijangka akan ‘keluar dari kubu’ mereka apabila semua bahan bukti dan saksi telah berjaya dikumpulkan.

Kes pengharaman Umno 1988

Untuk rekod, pada Jun 1988, satu guaman sivil telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh 11 ahli Umno yang dinamakan sebagai ‘Umno 11′.

Kumpulan ini telah memohon suatu relif termasuk suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno April 1987 sebagai bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan.

Akibat daripada tindakan kumpulan Umno 11 tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Harun Hashim telah mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram. -FMT

Kak Wan, Beri Peluang Calon Untuk Bertanding Di dalam Suasana Telus, Adil Dan Berintegriti

Beri PKR peluang teruskan pemilihan pusat, kata Wan Azizah

PETALING JAYA, 12 Nov — Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak dakwaan bahawa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak mengambil tindakan menyelesaikan aduan mengenai kepincangan dan kecacatan dalam proses pemilihan pusat sambil merayu agar diberikan peluang untuk meneruskan proses pengundian yang sedang berlangsung.

“Kita serah kepada JPP untuk mengenal pasti aduan dan masalah yang dikemukakan dalam pemilihan parti. Dakwaan kata JPP tidak ambil tindakan adalah tidak benar.

“JPP telah kenal pasti aduan tersebut dan kita harap parti diberi peluang untuk meneruskan pemilihan kali ini,” kata Presiden PKR selepas mengadakan pertemuan dengan Datuk Fauzi Abdul Rahman dan calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Badrul Hisham Shaharin di ibu pejabat PKR di sini.

Ia merupakan kenyataan rasmi pertama sejak kontroversi pemilihan pusat tercetus awal minggu ini, yang menyaksikan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding dan melepaskan kesemua jawatan dalam parti.

Selain itu, seorang lagi calon mengemukakan memorandum memberi kata dua kepada parti agar menyelesaikan kesemua aduan termasuk membatalkan dan mengadakan semula pemilihan.

Bagaimanapun beliau pagi tadi memutuskan untuk kekal dalam saingan manakala JPP pula berkata pemilihan pusat akan diteruskan.

Kumpulan Badrul pula malam kelmarin mengadakan perhimpunan meluluskan enam resolusi antara lain melantik Fauzi, Pengerusi PKR Pahang dan membawa perutusan meminta pucuk kepimpinan parti menangguhkan pemilihan yang diadakan sekarang.

Resolusi yang diluluskan malam kelmarin termasuklah meminta agar media tidak harus digunakan sebagai medan perdebatan, pemilihan parti seharusnya berasaskan idea segar, nilai dan rekod ke arah memperkasa anggota dan rakyat, memperakui pemilihan kali ini mempunyai banyak masalah, parti dengan segera memperberhentikan proses pemilihan yang sedang berlangsung sehingga semua aduan disiasat dan meminta semua calon atau pemimpin di semua peringkat tidak mengambil tindakan meletakkan jawatan atau menarik diri daripada bertanding.

The Malaysian Insider difahamkan Dr Wan Azizah akan mengeluarkan kenyataan rasmi hasil pertemuan itu, esok.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Bendahari Agung PKR William Leong dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Dr Muhammad Nur Manuty, mewakili Biro Politik.

Biro Politik telah mengadakan mesyuarat khas malam kelmarin dan memutuskan pemilihan pusat akan diteruskan.

Sementara itu, Fauzi yang ditemui selepas menyerahkan resolusi kepada Dr Wan Azizah berkata pertemuan kira-kira satu jam itu adalah satu usaha lebih kepada untuk memperkukuhkan parti.

“Pertemuan ini berjalan dengan baik, saya hanya posmen bagi menghantar resolusi kepada beliau (Dr Wan Azizah).

“Resolusi yang dihantar itu lebih untuk membawa suara di peringkat akar umbi tentang masalah-masalah yang dialami, itu sahaja.

“Bagaiamanapun beliau mengakui bahawa parti ada kelemahan, tapi ia bukan alasan yang boleh membantutkan parti.

“Kita akan usaha mencari jalan penyelesaian,” kata beliau yang enggan mendedahkan isi kandungan resolusi yang diserahkan kepada Dr Wan Azizah hari ini.

Badrul Hisham dalam pertemuan yang dinamakan sebagai “Himpunan Anak Muda Selamatkan Keadilan” malam kelmarin melantik Fauzi sebagai “orang tengah” untuk membawa resolusi tersebut kepada pucuk kepimpinan.

Pertemuan yang disertai sekitar 200 ahli AMK, penyokong Badrul Hisham meluluskan enam resolusi — antaranya dipercayai mendesak parti menangguhkan dan mengadakan semula pemilihan sebagai langkah keluar daripada isu semasa yang beliau sifatkan sebagai “krisis”.

Badrul Hisham pula berkata, resolusi tersebut lebih untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan parti dalam menghadapi ancaman politik sedia ada.

“Kita hanya mahu memperkuatkan parti, cari jalan penyelesaian untuk memperkukuhkan parti. Tidak guna kalau kita menang jika parti lemah.

“Dalam pertemuan ini, saya melihat ada signal positif, jadi saya minta semua ahli tidak harus meletakkan jawatan, tarik diri tapi gunakan jawatan yang ada untuk memperkasakan parti.

“Dalam resolusi itu juga tiada tekanan terhadap presiden parti, tiada ugutan kepada parti, hanya niat untuk memperkasakan parti,” katanya.

Jawatan ketua AMK disaingi penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham.

Saingan jawatan ketua AMK masih didahului Shamsul Iskandar dengan 1,849 undi manakala Badrul Hisham mengekori rapat dengan 1,818 undi selepas 87 cabang mengadakan pengundian sehingga 7 November lalu.

Proses pengundian pemilihan pusat diteruskan hari ini buat hari keenam dan esok dan lusat untuk minggu ini.

Hari ini enam cabang melangsungkan pengundian, 41 esok dan 28 lagi Ahad ini.

Badrul Hisham ketika dihubungi kemudian memberitahu The Malaysian Insider bahawa “saya sifatkan pertemuan ini membawa harapan positif, ada tanda-tanda yang positif.”

“Walaupun tidak memutuskan sama ada pemilihan ditangguh atau tidak, kita boleh putuskan bahawa ia ada membawa petanda positif,” kata beliau.

“Bagaimanapun kita tunggu kenyataan rasmi Presiden, yang saya difahamkan akan dikeluarkan seawal pagi esok,” kata Badrul Hisham yang turut memberitahu, salah satu keputusan yang dicapai ialah “tiada sesiapa pun sama ada pemimpin ataupun calon harus meletakkan jawatan ataupun menarik diri daripada kedudukan mereka.”

Ketua PKR Rembau ini menjelaskan kesemua calon dan pemimpin parti perlu bersama parti demi memperkukuhkan kedudukan komponen Pakatan Rakyat ini. TMI


Ketua cabang di Perak dedah muslihat pastikan kemenangan Azmin

IPOH: Beberapa pemimpin akar umbi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Perak, mengesahkan berlaku manipulasi undi dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang berpihak kepada Mohamed Azmin Ali yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Perkara itu diakui Ketua Cabang Tambun, Zulkifli Ibrahim; Ketua Cabang Bagan Datoh, Madhi Hassan dan Ketua Cabang Ipoh Barat, A Thinagaran.

Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan manipulasi itu dan menegaskan ia sudah diajukan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Zulkifli mendakwa, penyelewengan dalam pengundian itu menyebabkan pemilihan oleh akar umbi tidak menepati prinsip demokrasi tulen seperti matlamat asal pemilihan MPP.

Kepemimpinan cabang mendapati ada manipulasi undi dan perkara ini sudah dinyatakan dalam memorandum bantahan kepada kepemimpinan kebangsaan.

JPP mesti bertindak profesional dengan menangani bantahan seberapa segera," katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Madhi pula berkata, pemimpin akar umbi turut mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem pemilihan MPP yang sudah di-ajukan kepada JPP.
Justeru, katanya, JPP mesti menangguhkan sementara proses pemilihan sehingga semua kelemahan berkenaan ditangani.

Setakat ini, kita beranggapan aduan kepada JPP tidak dilayan kerana mereka hanya berdiam diri, katanya.

Thinagaran pula berkata, kehendak akar umbi sekarang ialah JPP menangguhkan pemilihan MPP kerana menganggap JPP kurang efisyen berikutan kegagalan menangani bantahan mengenai manipulasi undi.

Katanya, JPP juga perlu serius dan telus dalam mengatasi setiap aduan yang dibuat oleh pemimpin akar umbi.

Akar umbi mahu melihat bukti mereka menjalankan pemilihan secara bersih dan telus, katanya. -BH


dibaca bersama

i. Amin Iskandar: Pemilihan PKR Nampak Mengarut, Sungguh Memalukan

ii. Presiden PKR Kena Tegas Atasi Konflik, Lantik Firma Audit Bebas Siasat

Ulasan GB

SEPATUTNYA DAN SEWAJIBNYA Pemilihan ditangguhkan. Bukan seorang bukan dua orang malah kini umum mengetahui bahawa Pemilihan PKR dihantui dengan manipulasi dan exploitasi oleh tangan-tangan ghaib dari pimpinan kanan parti untuk memenangkan calon-calo tertentu dengan hadirnya aduan-aduan penyelewengan di peringkat akar umbi.

Aduan sudah dibuat, 162 jumlahnya kata calon Timbalan Presiden, Mustaffa Kamil, semalam Puan Presiden menyatakan ada 60 aduan. Angka yang berubah-ubah ini sudah cukup untuk membuktikan wujudnya sesuatu yang diragui, sama seperti lintang-pukangnya keputusan Pemilihan yang merupakan petanda buruk untuk PKR.

Kita tidak boleh terus menyapu sampah ke bawah karpet. Perlu jujur dan tegas untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Bukan untuk mengikut rentak dan gelombang ahli terbanyak yang histeria konon hanya ada usaha pihak tertentu untuk menghancurkan parti dari dalam, kononnya. Lansung tiada bukti. Memang betul ada usaha menghancurkan parti dari dalam, namun ia tidak lain dan tidak bukan adalah dari pucuk pimpinan PKR sendiri, bukan orang baru yang dicemburui kerana ingin bertanding jawatan penting parti. Buktinya banyak, dari awal penamaan calon sudah terlihat dan terpampang bukti yang amat nyata.

Apa-apa pun kepincangan parti, kita tidak boleh lagi menyalahkan orang lain. Sepertimana musibah menimpa diri, kita perlu muhasabah diri sendiri. Bukan menunjuk satu jari ke arah orang lain sedangkan empat jari sendiri menunjuk diri sendiri. Yang perlu disemak dan disiasat adalah organ parti sendiri bukan sekadar menuduh mengikut persangkaan oh sianu sianu hendak menghancurkan parti kerana cuba menjadi pengkhianat di dalam parti.

Parti Keadilan rakyat perlu memperlihatkan "keadilan" itu terlaksana, bukan sekadar melaksanakannya. Ia perlu dilihat sebagai parti yang berintegriti dan berkredibiliti sebagai sebuah parti yang boleh menunjangi Pakatan Rakyat di sebalik retorika "kerajaan menanti".

PKR akan kehilangan dominasinya di dalam PR selepas ini sekiranya Pemilihan diteruskan. Malah PKR akan ditolak oleh rakyat di dalam pilihanraya akan datang. Itu pandangan GB.

GB boleh dicaci dimaki oleh sekalian penyokong tegar Azmin, namun GB tidak akan berganjak untuk menyatakan kebenaran dan keadilan. Malah GB tidak ada kepentingan sedikit pun di dalam politik PKR, samada dari parti itu sendiri atau mana-mana individu di dalamnya.

Presiden PKR Kena Tegas Atasi Konflik, Lantik Firma Audit Bebas Siasat

Presiden perlu tegas, lantik firma audit bebas

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diminta campur tangan dan bertindak tegas dalam menyelesaikan konflik pilihan raya parti itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong berkata, presiden perlu mengawal dan menyelamatkan parti itu daripada krisis pilihan raya terutama berhubung keraguan terhadap keputusan undi di Libaran.

Menurutnya, jumlah pengundi yang keluar sebanyak 60 peratus di cabang Libaran amat mencurigakan berbanding lima ke tujuh peratus pada pemilihan ketua cabang lalu.

“Keputusan undi Libaran (memang) mengagumkan tetapi tidak munasabah. Banyak keraguan terhadap integriti proses pilihan raya. Oleh itu, kita perlu ambil keputusan muktamad untuk menunjukkan parti ini bebas daripada ketidakadilan.

“Sekarang, sama ada kita suka atau tidak, kredibiliti dan imej Keadilan (PKR) terlalu rendah,” katanya dalam surat terbuka kepada Wan Azizah, semalam.

Jonson Chong turut mencadangkan satu firma audit bebas dan profesional dilantik bagi meneliti keputusan undian.

Menurutnya, beliau akan menerima keseluruhan keputusan pilihan raya itu jika keputusan di Libaran terbukti bebas daripada sebarang ketidakadilan,.

“Saya percaya semua calon akan melakukan perkara sama. Jika keputusan audit pilihan raya menunjukkan sebaliknya (tidak telus), satu penyelesaian perlu diputuskan pada kongres nasional akan datang iaitu sama ada untuk membatalkan keputusan atau tidak,” katanya. -SH

Suami Isteri Ditetak Lelaki Dirasuk Iblis

Kuantan: “Saya sempat menyepak pistol yang jatuh dari seluarnya sebelum melarikan diri ke dalam bilik, jika tidak pasti kami bertiga mati ditembak,” kata bekas pengawal keselamatan, Mohd Taufik Abdul Razak, 36, yang diserang ‘ala mafia’ oleh seorang lelaki tidak dikenali bersenjatakan pedang samurai di kediamannya di Flat Alor Akar, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Taufik dan isterinya, Suziana Hopiah, 24, bermandi darah selepas parah akibat terkena libasan pedang samurai lelaki yang bertindak seperti dirasuk syaitan itu.

Turut menjadi mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dijaga pasangan itu yang cedera di kepala, tangan dan patah kaki kiri.

Difahamkan, kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Anas Safian Effa Rizal, anak pasangan guru yang menetap berdekatan rumah mangsa, dilaporkan retak tempurung kepalanya. Tiga mangsa itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Taufik yang cedera di belakang dan tangan kiri berkata, dia dikejutkan anak jirannya kira-kira jam 9 pagi memaklumkan ada seseorang mahu berjumpanya.

Katanya, dia bangun dari tidur lalu menuju ke pintu rumah dan terkejut apabila mendapati pintu terbuka luas dengan seorang lelaki tercegat di situ, tetapi dia hanya mendiamkan diri.

“Ketika saya menghampirinya dan menjenguk ke luar, tiba-tiba datang seorang lelaki terus melibas pedang samurai menyebabkan saya cedera tapak tangan saya dan terjatuh,” katanya ditemui di luar wad kecemasan HTAA, pagi semalam.

Katanya, dia cuba bangun untuk mempertahankan diri daripada serangan lelaki seolah-olah dirasuk syaitan yang tidak berhenti melibas pedang ke arahnya, manakala seorang lagi lelaki hanya berdiri diam seperti mengawal supaya orang luar tidak masuk masuk campur.

“Saya menepis libasan menggunakan tangan kiri dan ketika bergelut, saya ternampak pistol terjatuh dari seluarnya dan dengan kudrat yang ada saya menyepak senjata itu sebelum melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah masuk ke bilik sambil menjerit kepada isteri yang berada di bilik sebelah bersama Anas supaya mengunci pintu,” katanya.

Mohd Taufik berkata, ketika itu dia mendengar pintu bilik isteri bersama kanak-kanak berkenaan diterajang sebelum mendengar jeritan dan tangisan mereka.

“Apabila membuka pintu, saya melihat kedua-dua mereka berlumuran darah dengan isteri cedera di kepala, bahu dan tangan kanan, manakala Anas cedera di kepala, kaki serta tangan kiri. “Ketika itu, dua lelaki berkenaan sudah melarikan diri.

“Dengan bermandi darah, saya menggagahkan diri memandu ke HTAA untuk bantuan dan rawatan,” katanya.

Dia mendakwa benar-benar tidak mengenali lelaki berkenaan dan tidak tahu mengapa mereka diserang.

“Bagaimanapun, ketika kami bergelut, lelaki itu beberapa kali bertempik ‘aku nak isteri aku balik’.

“Saya bingung dengan apa dikatakannya kerana saya sendiri tidak pernah kenal isterinya dan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

“Lebih menghairankan dia turut mengirim SMS ugutan kepada adik ipar saya berbunyi ‘abang dan kakak ipar kau sudah kena tetak, lepas ni satu keluarga aku kacau’,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusof berkata, pihaknya sedang mengesan suspek dipercayai berusia 30-an. -hm

Setakat Mana Kesedaran Najib Selepas Keluar Hospital?

Najib cerita detik cemas kejadian malam 4 November

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menceritakan detik cemas pada malam 4 November lalu apabila beliau mula diserang komplikasi akibat penyakit cacar di kediamannya dan pada masa sama, gembira menerima berita kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah.

Pada masa itu Perdana Menteri yang berada di bilik air diselamatkan, dan dibantu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dibawa ke katil sebelum dirawat dengan lebih lanjut.

Doktor kemudian memberitahu, saya tiada pilihan lain dan masukkan saya ke dalam wad ICU (Unit Rawatan Rapi). Pengalaman di ICU bukanlah sesuatu pengalaman yang kita hendak sangat (pun)," katanya, yang dibenar keluar dari wad orang kenamaan Hospital Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Najib berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di Wad Diraja Hospital Kuala Lumpur di sini, semalam.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan bahawa Kabinet semalam meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membaiki keadaan di ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini agar dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet apabila memulakan tugasnya semalam berkata, beliau melihat sendiri keadaan yang daif di wad berkenaan ketika menerima rawatan di situ.

Katanya Kementerian Kesihatan juga diminta membeli peralatan menaik taraf unit itu secepat mungkin supaya boleh memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat selaras slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


Najib yang menyifatkan pengalaman di wad berkenaan sebagai pengalaman manis turut mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua warga Kementerian Kesihatan yang membantu merawatnya sehingga dapat pulih dan mula bertugas dengan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Dalam ucapannya itu, Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil mudah terhadap nikmat dikecapi hasil keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Perdana Menteri berkata dalam banyak perkara, manusia mengambil mudah perkara tertentu dan hanya akan merasakan ia sangat bernilai sekiranya ia tiada lagi di sisi mereka.

Ini satu peringatan yang saya ambil iktibar daripada pengalaman (saya di hospital) bahawa banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa.

Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai, katanya, sambil menjelaskan bahawa analogi berkenaan diperoleh hasil pengalaman dirawat dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Ujian endoskopi dilakukan ke atas Najib menunjukkan ada tanda-tanda ulser dan gastritis ringan.

Sementara itu, Najib yang tiba di pejabatnya di Putrajaya pada 9.20 pagi semalam, kelihatan tersenyum dan menyapa petugasnya sebelum memasuki Bilik Mesyuarat 10 minit kemudian.

Beliau disambut dengan tepukan oleh menteri-menteri Kabinet yang terlebih awal menunggu. BERNAMA

Ulasan GB

Bahagian 1

PM, Datuk Seri Najib mengumumkan bahawa Kabinet semalam meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membaiki keadaan di ICU Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini agar dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Ini bererti Najib sendiri merasai kedaifan mutu perkhidmatan hospital awam di negara ini. Itu di wad VVIP. Bagaimana jika PM, TPM, Menteri kabinet dan lain pegawai-pegawai kerajaan division A dan bersuperskel tinggi-tinggi supaya merasikan tinggal di kwad-wad kelas dua dan tiga yang menempatkan rakyat marhaen?

Bertahun-tahun lamanya BN berkuasa, kini baru PM menyedari tentang keperluan pembelian peralatan menaik taraf unit ICU secepat mungkin supaya boleh memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat supaya slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan tidak hanya menjadi momokan dan slogan kosong.

Bahagian II

Najib mengakui "saya ambil iktibar daripada pengalaman (saya di hospital) bahawa banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa.

Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai, katanya, sambil menjelaskan bahawa analogi berkenaan diperoleh hasil pengalaman dirawat dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur."


GB pernah menulis di SINI sewaktu Tun Dr Mahathir dimasukkan ke hospital sebaik saja pulan dari Perhimpunan PERKASA di Kota Bahru. Petikan:

Seseorang insan apabila disayangi Allah, Allah akan mengurniakan sedikit masa di zon umur subsidi. Pengalaman ramai yang menghidapi penyakit samada kronik atau pun tidak sehingga sudah terlantar di ICU pun, kemudian tiba-tiba seperti muncul satu keajaiban di dalam hidup, mendapati diri disegarkan semula oleh s.w.t. untuk satu jangkawaktu yang ditentukan olehNya.

Ia adalah satu zon waktu yang amat singkat, pemberian Allah s.w.t. kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan di waktu inilah sepatutnya dipergunakan untuk membersihkan diri serta memuhasabah diri agar kita dapat diterima kembali ke sisiNya.

Seandainya kita lalai untuk melakukan penghisaban diri sendiri sewaktu di zon berkenaan, alangkah ruginya kita, kerana selepas itu, kita kembali ke rahmatNya dan tidak akan datang-datang lagi ke dunia fana ini.


Justeru, pangkat sebesar mana, jawatan setinggi mana, umur selanjut mana... segala nikmat itu perlu digunakan sebaik-baiknya untuk mensyukuri nikmatNya dengan tidak melakukan penganiayaan terhadap orang lain.

Sebagai Pedana Menteri, beliau bukan sepatutnya menjadi PM kepada orang UMNO BN semata-mata tetapi perlu memfokuskan kepada kebenaran dan keadilan untuk seluruh rakyat sekalipun terhadap pihak pembangkang.

Apa yang berlaku ialah dalam banyak hal, di bawah pemerintaan UMNO BN, rakyat marhain menanggung penderitaan dan kesengsaraan.

GB ingin membawa beberapa contoh: Pertama isu pemerintahan di Perak. Mengapa tergamak seorang PM mengatur rencana merampas sebuah kerajaan yang didirikan secara sah oleh rakyat negeri Perak? Kemudian mengkayakan dua tiga orang wakil rakyat yang dibeli dengan membelakangkan prinsip asasnya iaitu konsep demokrasi yang menjadi tunjang utama Perlembagaan?

Kedua, mengapa tergamak PM menafikan hak rakyat Kelantan terhadap royalti minyak yang sepatutnya dinikmati oleh mereka tetapi sebaliknya kerajaan UMNO BN merampasnya kemudian menyerahkan pula kepada sebuah jawatankuasa dibentuk untuk menyaingi kerajaan negeri, JPP namanya untuk digunakan sebagai cara kotor merebut dan memenagi hati rakyat supaya menyokong UMNO BN? Mengapa konsep federalisma dicabuli dengan tidak memperakui kerajaan yang dibentuk dan dipilih secara sah oleh rakyat melalui pilihanraya?

Itu diantara beberapa iktibar besar yang sepatutnya diambil perhatian oleh PM yang mana Allah boleh mencabut nikmat yang dikurniakan apabila kita melulu bertindak zalim ke atas rakyat.

Demam campak itu baru sekilas cahaya untuk PM membuka mata hatinya supaya akur, wang sebanyak mana pun beliau ada, ia tidak berguna apa-apa apabila menyedari tiba-tiba terlantar di katil hospital.

Semua penyakit di luar adalah bermula dari penyakit dari dalam hati, tompokan di dalam hati akhirnya keluar menjadi tompokan bisa di kulit zahir dengan nama cacar atau campak.

Semuga PM terus dilimpahi hidayah dan dipandukanNya untuk bekerja dengan mengutamakan "kebenaran dan keadilan" sekalipun kadang-kala terpaksa menyalahkan kelompok sendiri.



[Bergambar] Tren Mekah Bermula Bulan Ini

Tren Mekah

Diumumkan bahawa kini umat Islam yang ingin menggunakan Mekah 's metro pertama ketika mereka berkumpul di kota suci harus membayar SR250 (Saudi Riyal) untuk tiket yang boleh digunakan selama tujuh hari.

Menurut akhbar PAKEM, tiga jenis tiket akan merangkumi semua tempat suci di Mekah dan akan membolehkan para jemaah haji untuk naik kereta api ke bandar untuk melakukan ibadah ritual mereka sebelum kembali ke tempat tinggal mereka di dalam atau di luar bandar,

Habib Zain Alabidin, wakil Kementerian Urusan Kota di Arab Saudi berkata: "Harga tiket adalah ditetapkan sebanyak SR250 (RM 209) yang akan merangkumi perjalanan penuh ke dalam dan keluar dari Mekah selama tujuh hari ... tiket lain adalah harga SR100 (RM83) selama empat hari".

Para pegawai mengatakan kereta api ini mempunyai kapasiti mengangkut 170,000 penumpang dalam tahap pertama dan dua juta pada tahap ketiga dan terakhir selesai. Arab Saudi telah memperuntukkan hampir SR6.7 bilion (US $ 1.8 bilion) untuk metro, perkhidmatan secara berterusan yang bermula bulan ini untuk pertama kalinya dalam sejarah Mekah'.

Para pegawai berharap projek untuk sebahagian besar menyumbang kepada mengurangkan kesesakan jalan disebabkan oleh ribuan kereta berhampiran Makkah.

Habib Zain Alabidin mengatakan kereta api akan beroperasi sepanjang tahun. Projek ini merupakan sebahagian daripada program mahal oleh Arab Saudi untuk mengatasi kesesakan lalu lintas besar-besaran di dalam dan sekitar bandar dan memudahkan akses kepada semua tempat-tempat suci di Mekah.

Projek kereta api, bermula tiga tahun lalu, mengenangkan beberapa siri kejadian yang telah menewaskan ribuan jemaah haji sebelum ini, runtuh bangunan dan kemalangan lain selama beberapa hari pada musim haji.

Lebih dari dua juta umat Islam dari Arab Saudi, Teluk Kerjasama Dewan negara dan bangsa-bangsa lain berhimpun di Mekah pada setiap tahun untuk menunaikan ibadah haji.

China Railway Construction Corp, sebahagian daripada konsortium Saudi-Perancis-China yang memenangi kontrak, telah melaksanakan projek ini, yang melibatkan hampir 5,000 pekerja. -hbriver

Projek kereta api ini adalah projek terbesar kedua selepas Dubai Metro.

Sumber:"Tiket metro Makkah ditetapkan sebanyak SR250" Emirates 24, 31 Oktober 2010"

Makkah Haji Madinah Train" Islam Newsroom 18 Oktober 2010