25 Jun 2010

Pakatan Rakyat Perlu Tubuh Jawatankuasa Penyelaras Negeri Peringkat Pusat

Khalid berdepan tuntutan berat di permukiman PKR

Isu mengenai dakwaan kudeta terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim oleh sekumpulan ahli parlimen PKR, dijangka menjadi topik panas dalam permukiman parti itu di Shah Alam hujung minggu ini.

Bagaimanapun, naib presiden PKR, R Sivarasa berkata, ia hanya akan dibincangkan dalam kaitannya dengan strategi parti untuk berdepan dengan pilihanraya umum akan datang.

"Seseorang mungkin membangkitkannya dan kita harus menyelesaikannya, tetapi ia perlu dalam rangka bagaimana kita akan memenangi pilihan raya akan datang," katanya.

Ketua penerangan PKR Latheefa Koya pula berkata, salah satu daripada dua perkara dalam agenda permukiman tersebut ialah mengenai pentadbiran Selangor, dengan fokus khas untuk mencari jalan bagi parti menyalurkan lebih banyak input dalam dasar-dasar kerajaan negeri.

Katanya, kemungkinan hasil daripada permukiman tersebut - di mana lima kertas kerja akan dibentangkan - ialah penubuhan jawatankuasa yang akan memainkan peranan sebagai penasihat kepada exco kerajaan negeri dalam membuat keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan negeri.

Ini serupa dengan amalan di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS di Kelantan dan Kedah, di mana ahli exco negeri dipengaruhi oleh halatuju parti tersebut.

"PAS telah mentadbir Kelantan selama 20 tahun, sistem mereka sangat berkesan, dan kita harus belajar daripadanya," kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.


Sumber-sumber lain parti itu pula membayangkan bahawa pihak parti akan mendesak senarai baru ahli exco negeri, bagi membuka ruang kepada ahli PKR memainkan peranan dalam kerajaan negeri.

Satu lagi tuntutan yang dijangka dibuat di permukaan tersebut ialah mengenai sumber untuk membantu wakil rakyatnya di Selangor.

"Seseorang wakil rakyat hanya boleh membei khidmat di kawasan pilihan rayanya sekiranya ada sistem sokongan yang berkesan, dan ini adalah tangungjawab kerajaan negeri, dan harus dilihat sebagai satu agenda nasional," kata Yusmadi.


Beliau menambah, langkah memisahkan negeri dan parti adalah pendekatan yang cacat kerana kedua-duanya harus saling berkaitan dan harus kuat dalam menguruskan masyarakat.

Selain itu, kata ahli parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne (kiri), parti itu juga memacu ke arah memainkan peranan lebih aktif dalam halatuju kerajaan negeri melalui penglibatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sejak dua tahun terakhir, ADUN, ahli parlimen PKR dan ahli parti menunggu untuk memberikan sumbangan tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana pihak negeri tidak mahu menggunakan (khidmat) kami.

"(Tapi) pengarah GLC tidak dibayar, dan diberikan elaun berdasarkan prestasi, jadi saya dapati sukar untuk melihat bagaimana seseorang itu boleh dianggap korup di sini," katanya.

Sementara itu, perkembangan terbaru tersebut mungkin memaksa Khalid menerima desakan pengkritiknya.

Ini menimbulkan persoalan mengenai model perkongsian kuasa dalam kerajaan Selangor - satu kerjasama antara PKR dan DAP - yang mempunyai hampir sama banyak wakil rakyat dalam kerajaan negeri.

Manakala naib presiden PKR, Azmin Ali menafikan beliau menjadi ketua kudeta kumpulan 15 ahli parlimen tersebut, para pemerhati melihatnya sebagai tanda semakin buruknya hubungan beliau dengan Khalid, yang turut menjejaskan imej parti.

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mungkin terasa bahang daripada dakwaan berlakunya pergeseran dalaman parti, dengan para pemerhati menganggapnya sebagai satu kecacatan dalam kepimpinannya.

Bagaimanapun, bertentangan dengan pendapat umum, Yusmadi menegaskan bahawa parti itu "tidak berpecah", tetapi hanya berdepan dengan "isu pengurusan".

Menurutnya, adalah tidak masuk akal untuk mengharapkan sebuah organisasi baru (seperti PKR) tidak mempunyai masalah seperti itu.

'Mesej saya kepada masyarakat ialah supaya bersama kami dan terus menyokong kami kerana masalah ini boleh diatasi," katanya. -mk

Ulasan GB

Pada pandangan GB, Pakatan Rakyat perlu ada jawatankuasa Penyelaras dan Pemantauan peringkat pusat untuk menyelaras pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai oleh PR.

Sekalipun PR belum lagi menguasai kerajaan perseketuan, namun langkah ke arah itu perlu dimulakan dengan kewujudan jawatankuasa peringkat pusat.

Pengalaman-pengalaman dari negeri yang lebih lama dikuasai oleh PR dapat dikongsikan bersama dan yang paling utama semua urusan pentadbiran negeri-negeri PR dapat diselaras dan dipantau supaya tidak wujud dasar-dasar yang berbeza-beza di negeri-negeri yang dikuasai PR.

Hal tersebut juga membolehkan negeri-negeri PR berupaya untuk mewujudkan satu bentuk mekanisma bagi mempertahankan kerajaan negeri dari dipermain dan dibuli oleh agensi-agensi kerajaan pusat.


Saman Felda : Ahmad Maslan Cari Penyakit Sendiri

Tindakan Saman Felda, Peluang Dedah Penyelewengan

SHAH ALAM, 25 Jun - Tindakan Lembaga Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengemukakan saman ke atas akhbar rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan juga beberapa pemimpin KEADILAN termasuk permimpin PAS dilihat sebagai satu peluang besar membongkarkan segala penyelewengan yang berlaku di dalam Felda.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim yang dihubungi memberitahu beliau mengetahu kenyataan tersebut dan sekarang hanya menunggu saman yang dikemukakan oleh Felda.

"Saya tahu dan kita menunggu saman tersebut, apa yang pasti tindakan saman yang dikemukakan oleh Felda itu sebenarnya memberi peluang yang besar kepada kita untuk mendedahkan apa yang telah berlaku di dalam Felda. Bagi saya ini tidak mengejutkan saya dan kita bersedia untuk menghadapi saman tersebut," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong juga memberitahu tindakan saman Felda itu merupakan langkah untuk kita melakukan pendedahan di dalam Felda.

"Kita sudah pasti mengganggap ini sebagai peluang untuk membongkar apa yang telah berlaku di dalam Felda, kenyatan saya pada sidang media di parlimen juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kenapa kedudukan tunai Felda boleh merosot dalam tempoh lima tahun.

"Selain itu juga alasan yang munasabah terhadap pembinaan bangunan baru Felda di kawasan yang kos tanah yang tinggi sedangkan Felda mempunyai tanah sendiri di Jalan Semarak. Perkara ini yang kita ingin penjelasan, dengan saman tersebut kita pasti kesemua persoalan dapat dibongkarkan,"
katanya.

Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN Pahang, Suhaimi Said yang turut dihubungi memberitahu kenyataan yang kita keluarkan di dalam akhbar Suara Keadilan adalah berhubung dengan apa yang telah diperkatakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan semasa di Parlimen.

"Kita mengeluarkan kenyataan tentang apa yang telah diperkatakan oleh Ahmad Maslan di parlimen iaitu berkaitan dengan penyusutan kedudukan tunai Felda dalam tempoh lima tahun hampir RM3 bilion.

"Jika melihat pada senario sekarang sudah pasti dalam tempoh yang terdekat Felda akan bankrap, apa yang hendak kita mahu ialah perjalanan Felda itu perlu mengikut kepada matlamat asal penubuhan Felda.

"Jawapan Menteri yang menyatakan Felda mempunyai aset yang banyak, bagi saya itu bukan boleh diukur sebagai kedudukan tunai kerana aset tidak boleh di tukarkan kepada tunai bila kita memerlukan. Kedudukan sebuah syarikat bergantung kepada kedudukan tunai ataupun simpanan.

"Tanpa kedudukan tunai yang kukuh boleh membawa sebuah syarikat itu mengalami masalah mewangan yang amat terus sehinggakan membawa kepada berlakunya pinjaman dengan bank, jika bermulanya pinjaman bank dengan sendirinya Felda akan terus terikat dengan peraturan-peraturan intitusi kewangan.

"Secara jelas kedudukan tunai amat mengerunkan Felda di masa hadapan," kata Suhaimi.

Selain pemimpin KEADILAN, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut juga disebut terlibat dalam saman tersebut dan beliau juga memberitahu kenyataan yang dikeluarkan itu mengikut fakta yang tepat dan ia juga terkandung dalam soalannya di parlimen. Jika Felda mengambil tindakan saman beliau akan mencabar saman tersebut dan mendedahkan segala fakta yang berada padanya.

Felda yang mengeluarkan kenyataan tersebut pada satu sidang medianya di Anjung Felda, Jalan Semarak pagi tadi. Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Selain pemilik permit, pihaknya akan turut menamakan Ketua Pengarang akhbar itu, wartawan-wartawan terbabit dan pemimpin KEADILAN iaitu Zaid Ibrahim, Tan Kee Kwong dan Suhaimi Said serta seorang pemimpin PAS, Mohd Abdul Wahid Endut. -SK

Zamihan Berdolak-dalik, Kini Pertikaikan Timbalan Menteri Pula

Saya tidak musuhi Asri, tapi pertikai timbalan menteri’

Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman Wahabi dan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah sebagai tidak profesional.

Malah pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia ini memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.

“Bagi saya tiada (elemen mahu mencantas Asri). Kalau dia berpandangan begitu terpulang (kepada beliau).

“Bagi saya tiada. Dia nak jadi mufti, hendak jadi menteri, nak jadi Batman, Ultraman, Superman... dia punya hal.

“Itu ruang yang dia ada, silakan tetapi pemikiran-pemikiran yang salah kita tetap sanggah... itu sahaja,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya semalam.

Sebaliknya Zamihan yang kini menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama memberitahu, Asri yang mengamalkan cara yang salah.

“Dia pernah mencantas saya supaya saya dibuang dari Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan menghantar surat kepada menteri (pada tahun 2007).

“Dalam satu ceramah dia mengakui begitu. Saya simpan rakaman ceramah itu, di Taman Sri Ukay.

“Dia kata saya pernah tulis kepada menteri agama ketika itu Datuk Dr Abdullah Mohd Zin untuk mengambil tindakan kepada Zamihan (saya). Dia cakap, ada rakaman dia. Nak dengar boleh,” kata Zamihan dalam temu bual khas ini.

Zamihan seterusnya mendakwa Asri menggunakan pendekatan politik untuk mencantasnya.

“Faktanya boleh dirujuk kepada ceramah dia sendiri, dia mengaku dia menghantar surat supaya diambil tindakan tatatertib,” kata beliau sambil mendakwa “pergolakan pemikiran (mereka berdua) sudah lama wujud.

“Bagi saya bukan personal... pergolakan pemikiran ini adalah sesuatu yang lumrah. Cuma kerajaan harus mengawal dengan cekap supaya ia tidak merugikan pihak-pihak yang bertelagah,” katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.

Mahfuz dalam soalannya meminta supaya diberikan pejelasan berhubung dakwaan bahawa Asri, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim terlibat dengan kumpulan pengganas.

Saifuddin berkata beliau telah pun meneliti hujah yang dibuat oleh penyampai taklimat pada ketika itu dan mendapati ia tidak berasaskan kepada fakta kukuh.

“Terdapat hujah-hujah yang diberikan adalah tidak betul termasuk mengaitkan pengasas wahabi, Muhammad Abdul Wahab dengan pengasas Arab Saudi, Muhammad Ibn Saud. Saya berpendapat adalah tidak betul untuk individu berkenaan mengaitkan balas dendam yang terdapat dalam tradisi Arab dengan kegiatan pengganas kerana ia adalah dua perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.

Sehubungan itu Zamihan memberitahu The Malaysian Insider bahawa timbalan menteri itu tidak bersikap terbuka dalam isu semasa ini.

“(Ketika) saya membentangkan hari itu, menteri (pengajian tinggi) jadi pengerusi (majlis). Menteri kata kalau ada soalan, ulasan silakan (tetapi) semua senyap, doktor, profesor, polis, semua senyap.

“Lepas itu menteri buat kesimpulan (bahawa) ‘kita dah lihat betapa bahayanya pemikiran ekstremis di IPTA, minta kerjasama semua pihak untuk mengatasi masalah esktremis dan pengrekrutan anggota JI di IPT.

“Lepas itu dan habis semua itu pergi minum, tiba-tiba ada seorang lelaki muda datang jumpa saya, muka dia gementar sikit, dia kata ‘ustaz saya tidak boleh terima apa ustaz bentang tadi, saya sikit pun tidak boleh terima, saya tidak setuju’.

“Saya kata, ‘tuan, kalau tuan tidak setuju pembentangan saya, itu pandangan tuan, yang saya kemukakan ialah fakta, dari kitab ke kitab,” kata Zamihan dan berkata, beliau hanya menyedari lelaki itu sebagai Saifuddin kemudian.

Zamihan menambah, kemudian Saifuddin membuat kenyataan akhbar dengan mengatakan ada kalangan pegawai kanan kerajaan cuba memburukkan dan mengaibkan pensyarah tertentu dengan aktiviti keganasan JI.

“Mengapa dia buat kenyataan media? Sepatutnya keputusan mesyuarat, keputusan menteri mesti didahulukan, tapi ini kenyataan timbalan menteri II, kena dia hendak melenting?

“Mungkin dia ada hubungan Dr Asri? Yang saya bentang itu tidak sentuh soal peribadi Dr Asri.

“Saya tiada masalah dengan dengan Dr Asri, tidak bergaduh atau bermusuh sedangkan kita rakan sesaudara dalam Islam,” kata Zamihan yang seringkali mengaitkan cara pengendalian isu dengan pendekatan pasukan dan pemain yang menyertai kejohanan bola Piala Dunia di Afrika Selatan sekarang.

Sehubungan itu sambil mendakwa “saya bukan ustaz kampung” dalam menghadapi isu semasa ini, Zamihan juga berkata, “itu bukan masalah peribadi.”

“Selepas itu sepatutnya timbalan menteri (Saifuddin) sepatutnya bersikap telus dan terbuka.

“Kalau dia tidak setuju dengan pandangan saya, suarakan dalam mesyuarat berkenaan, bukannya di luar mesyuarat, membuat kenyataan berasingan berbanding yang dibuat oleh menteri dan jemaah mesyuarat dan kemudian melontarkan isu ini di Parlimen seolah-olah hendak meletakkan saya seorang yang bersalah, akhirnya isu ini dipolitikkan... ya, (saya dijadikan) kambing hitam.

“Kalau betul dia (Saifuddin) telus, kalau betul dia profesional sebagai timbalan menteri, datang jumpa dengan saya, kalau dia ada hujah, ada fakta silakan, saya ada hujah saya... kamu ada hujah kamu, kita lihat mana yang ada kepentngan untuk keselamatan negaar, kita bekerjasama,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, Saifuddin bertindak seoalah-olah beremosi dengan kandungan taklimat Isnin lalu.

“Saya hanya seorang pegawai kerjaaan yang hanya memenuhi kriteria jemputan berkenaan, dijemput orang menteri pengajian tinggi untuk membicarakan topik itu, dan saya bicarakan, saya diminta oleh Bukit Aman, saya bicarakan. saya hanya menjalankan tugas,” kata beliau.

“Saya bukan ustaz kampung, saya tidak bercakap angkuh... saya seorang pegawai kerajaan yang berkaliber, tidak menyertai mana-mana parti politik,” katanya lagi mendakwa beliau berada di landasan benar.

Zamihan juga berpendirian bahawa beliau akan “menang” dalam usaha mengatasi pemikiran-pemikiran keras dan radikal.

Di mana kesudahannya isu ini, Zamihan berkata: “Isu ini sepatutnya ditangani dengan bijak oleh pihak berkuasa.”

“Tapi oleh kerana ia telah ada campur tangan orang politik, jadi ia jadi macam pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2010.

“Jadi macam-maca percaturan... bila di peringkat saringan OK lagi, sekarang di peringkat akhir... peringkat kalah mati,” katanya.

Ditanya siapa yang akan kalah dan siapa yang mati, Zamihan, “kita tunggu dan lihat.”

Zamihan memberitahu telah terlibat dalam proses memulihkan lebih 100 orang tahanan.

Ditanya sama ada pendedahan beliau Isnin lalu bertujuan menjejaskan usaha Asri menyertai Umno, Zamihan menafikan kemungkinan tersebut.

“Tidak, bukan secara kebetulan tetapi melihat dengan situasi yang berlaku,” kata ustaz berusia pertengahan 30-an.

Taklimat itu diadakan Isnin lalu manakala laporan bahawa Asri akan masuk Umno tersebar sehari sebelum itu.

Ketika ditanya sama ada sedia menemui Asri, Zamihan menambah, “boleh, bila-bila masa sahaja.”

“Siapa yang hendak jadi orang tengah, bila-bila masa sahaja,” kata beliau sambil mengakui tidak pernah berkomunikasi dengan Asri selama ini.

“Tak ada peluang (untuk bertemu), mungkin masing-masing sibuk. Tetapi saya banyak menyanggah hujah-hujah yang ditulis dalam akhbar,” kata beliau sambil mengaku bukan semua pandangan Asri salah.

“Ada pandangan yang baik, ada pandangan boleh dikongsi,” katanya.

Asri dan Zamihan menjadi tumpuan akhir tahun lalu apabila penolong pengarah itu didakwa menuduh bekas mufti tersebut memalsukan ijazah syariah seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan.

Zamihan berkata beliau hanya mendakwa Asri tidak mempelajari syariah dan pengajian Islam, sambil menyifatkan apa disiarkan akhbar tempatan itu wujud sedikit kesalahan serta menimbulkan salah faham.


Zamihan: Doktrin keras Asri ‘pengaruhi’ aktiviti pelampau

Sehubungan itu, pegawai Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) ini berkata, beliau hanya menekankan bahawa pemikiran-pemikiran Asri boleh menjurus ke arah akiviti kumpulan pelampau dan keganasan jika tidak dikawal.

“Orang dalam tahanan sel (di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri) pernah memberitahu saya dia berminat sangat dengan pemikiran Dr Asri... bila dia ditangkap oleh polis, dia (suspek) ada CD, buku-buku Dr Asri, jadi barang kes.

“(Jika anda) tak percaya rujuk Bukit Aman... ada tangkapan, saya tak pasti yang mana satu, nak bukti boleh rujuk Bukit Aman.

“Jadi saya tak sentuh pun Dr Asri dengan keganasan itu, yang sentuh itu pihak keselamatan dari Bukti Aman... sebab masa ditangkap suspek JI itu, pemikiran-pemikiran Asri dalam bentuk bukunya, CDnya ada,” kata Zamihan yang kini menjadi tumpuan polemik isu fahaman wahabi dan JI.

Beliau ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya di Bandar Baru Bangi dekat sini semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut perkembangan taklimat Isnin lalu.

“Jadi kalau tuan tanya apakah pemikiran Dr Asri boleh membawa (aktiviti) pengganas, ya ia boleh membawa kepada (aktiviti) pengganas kerana dia menyimpulkan pemikiran-pemikiran yang berjalur keras.

“Kalau pemikiran Asri ini neutral macam orang lain, dia tidak akan glamor,” kata beliau yang Isnin lalu memberikan ceramah tentang keselamatan dan ancaman JI di institut pengajian tinggi di ibu negara.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah menteri dan timbalan pengajian tinggi dan mencetuskan kontroversi.

Zamihan yang terlibat dalam aktiviti pemulihan tahanan ISA sejak empat tahun lalu memberitahu “doktrin Dr Asri boleh menjurus ke situ.”

Secara kesimpulan menurut Zamihan, fahaman wahabi menekankan Malaysia bukan sebuah negara Islam, sebaliknya negara kafir.

“Kesimpulannya (mereka) mahu menghancurkan sistem yang sedia ada, bina sistem yang baru,” kata beliau dengan menekankan, JI memang berorientasikan kepada fahaman wahabi yang berasaskan kepada kepimpinanan beberapa pimimpin luar, antaranya Abu Bakar Bashir dari Indonesia.

“Kalau kita tengok kronologi pemikiran ini pun memang, telah dianalisis banyak kali oleh penulis, ahli akademik... itulah kecenderungan pemikiran mereka, bahawa orang lain tidak Islamik, banyak buat bi’dah, syirik, sesat, kurafat.

“Jusreru itu atas landasan itu mereka merasakan mereka ada tanggungjawab untuk memperbaiki keadaan, dengan semua keadaan dibuat atas nama jihad,” katanya.

Zamihan juga memberitahu, apabila Asri mengetengahkan pemikiran-pemikirannya dalam bentuk buku dan menerusi seminar dan ceramah, maka ia mula dianalisis, dan diketengahkan.

“Dia (Asri) tidak dikaitkan dengan JI. Dia tidak dikaitkan dengan pengganas, tetapi dia mengeluarkan pandangan-pandangan yang keras, dan munculnya kegiatan radikal dan pengganas ini, hasil daripada kombinasi fahaman-fahaman yang keras,” kata beliau yang tugasnya di ILIM kini ialah “melihat kepada pemikiran.”

Sekali lagi Zamihan memberitahu, “malah dalam taklimat saya pun saya tak sebut dia (Asri) dikaitkan dengan JI, (saya) tak sebut dia pengganas, kenapa dia nak melenting?”

Pada taklimat Isnin lalu beliau hanya sentuh soal pemikiran manakala pegawai dari Bukit Aman menyentuh soal ancaman keselamatan dan pengambilan JI di IPT.

“Jadi saya membentangkan tentang pemahaman dan tentang pemikiran merupakan fakta tentang mengunjurkan tindakan radikal ataupun pengganas, dan pasal masalah keselamatan, hendak mengebom di sana, nak ugut orang, nak tangkap, berapa orang ditangkap, berapa orang dihantar pulang, dilanjutkan ISA, itu kerja pasukan keselamatan.

“Kalau pasukan keselamatan nak kaitkan Asri dengan suspek, atau subjek yang telah ditahan, atau dilepaskan, yang hendak ditangkap, itu kerja dia orang.

“Saya tak masuk campur... saya hanya membicarakan fakta-fakta dari sudut fahaman yang boleh unjurkan ekstremis atau pengganas,” kata Zamihan dengan menambah, beliau cuma membangkitkan nama Asri dengan berdasarkan buku “Bid’ah: Istilah Yang Disalah Fahami”.

Ditanya sama ada menyebut nama-nama lain selain Asri, Zamihan sekali lagi menafikan berbuat demikian.

“Tidak, langsung tak disebut nama, langsung tak wujud, langsung tak ditunjuk gambar. Saya hanya ‘scan’ buku, saya saya menilai fahaman begini adalah dari jalur pemikiran keras,” kata beliau mempertahankan tindakannya.

Bagaimanapun beliau mengakui nama-nama yang tersebut iaitu Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Peris ada disebutkan tetapi oleh penceramah lain dan tidak pasti sama ada gambar juga ada ditunjukkan sekali.

Zamihan menambah, pengurusan Islam di Malaysia mengambil jalan sederhana, bukan bersifat menghukum dan menyesatkan mana-mana pihak.

Sehubungan itu kata beliau, sekiranya Asri hendak mengatakan bahawa beliau mengulangi fakta-fakta tertentu, “apakah pengulangan fakta itu merupakan satu kewajaran untuk diketengahkan dalam masyarakat Malaysia?”

“Memetik pandangan orang, itu satu pandangan. tetapi hendak melaksanakan dalam masyarakat kita, kena tengok masa dan tempat... itu pandangan menteri Jordan, kalau hendak ketengahkan di sini, kena tengok beberapa kewajaran.

“Kalau mengatakan Maulidur Rasul macam (sambutan) orang Kristian sedangkan sambutan sudah menjadi acara kebesaran di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan, dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama persekutuan turut menyambut acara itu, tak akan kita hendak kategorikan Yang di-Pertuan Agong sebagai juga dalam kalangan orang sesat.

“Tak kira pandangan dari mana-mana seluruh dunia pun, kita kutip kita ambil, kita sepatutnya membuat penilaian, saringan, tengok kewajarannya sama ada boleh diterima atau tidak, dan kita kena hormat juga agensi-agensi agama,” kata Zamihan.

Zamihan juga menambah, Asri tidak pernah mengakui sebagai pengikut aliran wahabi.

“Sampai bila pun tak akan mengaku wahabi sebab wahabi mempunyai sejarah hitam dalam sejarah Islam.

“Tetapi kita melihat kepada pemikirannya, hasil tulisannya, ceramahnya, perkataannya ada persamaan dengan pemikiran wahabi... maka penjustifikasian boleh dibuat bahawanya beliau cenderung ke arah itu walaupun beliau menggunakan jenama progresif ataupun apa jua jenama... kita melihat intipati pemikiran itu,” katanya lagi.

Sambil mendakwa fahaman wahabi mengamalkan prinsip pecah dan perintah, Zamihan memberitahu, kalau ada pun berbeza pandangan termasuk dari Perlis perlu menghormati satu sama lain.

“Jangan mengambil pendekatan menyalahkan, tetapi mereka mengambil pendekatan menyalahkan kita, kita tidak Islamik, kita tidak sunah, kita tidak kembali kepada Nabi, kita tidak kembali kepada ketulenan Islam dan macam-macam.

“Jadi ini semua menghuru-harakan masyarakat,” katanya lagi.

Semalam, Asri menyifatkan Zamihan “terus berdusta” dengan merujuk kepada kenyataannya bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguat kuasa dan wakil-wakil universiti beliau hanya menyebut nama bekas mufti itu sepemikiran dengan Wahabi.

“(Zamihan) katanya tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri (saya) melalui sebuah buku Bid’ah: Istilah Yang Disalah Fahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu,” kata beliau.

Asri menambah, Zamihan mendakwa beliau “salin dan tampal” pandangannya yang menyamakan sambutan Maulidur Rasul dengan amalan orang Kristian.

“Zamihan menambah, pandangan yang ‘keras’ sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini”,” katanya.

Oleh itu tegas Asri, ia adalah satu pendustaan yang nyata kerana dalam buku berjudul Bid’ah: Istilah Yang Disalah Fahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemkian.

“Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi, pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian.

“Oleh itu, saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu,” kata Asri lagi.

Isu ini menjadi polemik ekoran laporan media yang menyebut nama Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dipertikaikan oleh Asri dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya sambil menegaskan, pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata Asri dan Juanda.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Hadi dan Shahidan serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

“Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah,” kata Asri dan Juanda dalam kenyataan bersama. -TMI


Apa Tujuan SPRM Enggan Beri Salinan Laporan?

Laporan Rasuah Terhadap KM Sarawak Ditarik Balik Sebab SPRM Enggan Beri Salinan

KUALA LUMPUR 25 Jun - Keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyerahkan salinan laporan dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud memaksa tiga anak watan Sarawak menarik balik laporan mereka.

James Wong Joon Min, Ting Chek Ming dan Ahmad Nazib Johari tiba di pejabat SPRM Selangor pagi semalam untuk membuat laporan rasuah ke atas Abdul Taib berhubung tuduhan rasuah dan pemilikan aset bernilai berbilion ringgit di luar negara.

Ketiga-tiga anak jati Sarawak itu mengambil tindakan membuat laporan itu berasaskan beberapa artikel yang disiar oleh sebuah laman web, sarawakreport.org.

Menurut James Wong, artikel dalam laman web itu mendedahkan tuduhan rasuah dan pemilikikan aset berbilion ringgit yang dimiliki Abdul Taib dan keluarganya di Kanada, London dan Australia.

"Kita mahu SPRM menyiasat laporan ini. Satu dari laporan itu menyentuh empayar perniagaan dan harta yang beliau (Taib) dan keluarganya miliki di Kanada.

"Tetapi selepas membuat aduan, kami meminta salinan laporan tetapi SPRM enggan memberi salinan laporan yang dibuat kami. Jadi kami membuat keputusan untuk menarik balik laporan berkenaan dan akan datang pada hari lain yang diberitahu kelak samada di sini atau di SPRM Putrajaya," kata James Wong.

Ahmad Nazib, yang juga seorang peguam dan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sarawak berkata, SPRM gagal menunjukkan sebarang peruntukan untuk menghalang mereka memperoleh salinan laporan itu.

"Mereka menyatakan tiada peruntukan undang-undang untuk satu salinan diserahkan kepada pengadu. SPRM tidak berjaya menunjukkan kepada kami peruntukan dan asas mereka tidak boleh menyerahkan salinan itu.

"Mereka kata kes ini berbeza, ini kes 'high profile'. Pihak kami mengambil pendekatan berhati-hati. Kami menyatakan 'high porfile', 'low profile' atau sesiapa, undang-undang tetap undang-undang, tidak ada perbezaan," tegas Ahmad Nazib.

Justeru pihaknya membuat keputusan menarik balik aduan itu kerana bimbang ia akan diubahsuai dan bercadang kembali pada hari lain untuk menyediakan laporan yang berasingan bagi memastikan laporan yang dibuat mereka dan yang berada dalam simpanan mereka adalah sama.

Laman web sarawakreport.org yang mendedahkan dakwaan salahgunakuasa dan rasuah yang dilakukan Abdul Taib dan berbilion ringgit yang dimiliki keluarganya di dalam dan luar negara.

Ia berhubung dakwaan Abdul Taib mempunyai aset bernilai berbilion ringgit di Kanada, London dan Australia dalam bentuk hartanah dan syarikat berjumlah RM3 bilion.

Menurut laman web itu, isu mengenai kediaman mewah yang dimiliki seorang anak perempuan ketua menteri itu, Jamila Taib turut didedahkan oleh media di Ottawa, Kanada.

Jamila merupakan pemilik, SAKTO Development Corporation, syarikat pembinaan yang memiliki aset jutaan dollar Amerika berpengkalan di Ottawa dan turut mempunyai pejabat di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Laman web itu turut mendakwa keluarga Abdul Taib juga memiliki satu lagi syarikat bernilai jutaan ringgit di Australia iaitu Sitehost Pty Ltd, yang juga pemegang saham hotel mewah bertaraf lima bintang, Hilton di Kuching dan Mulu Resort di Sarawak.

Selain Kanada dan Australia, Ketua Menteri Sarawak itu juga didakwa memiliki satu portfolio hartanah yang diuruskan sebuah syarikat khusus di London yang dimiliki oleh keluarganya.

Laman web itu mendakwa Abdul Taib menggunakan kekayaannya di Sarawak dan membuat pelaburan di seluruh dunia tanpa dikenakan cukai oleh kerajaan,

Ia juga menyiarkan pelbagai lagi pendedahan termasuk rompakan yang dilakukan Taib menerusi projek pembinaan dan pembalakan yang dilakukan syarikat milik keluarganya, Cahya Mata Sarawak. -sk

Ulasan GB

SPRM tak mahu beri salinan laporan? Sedangkan semua pengadu berhak untuk mendapatkan sesalinan laporan. Apakah SPRM nak ubah atau hapuskan kandungan laporan berkenaan sehinggakan pengadunya tidak diberikan salinan?

Huh penuh misteri. Semisteri kematian Beng Hock.