9 Jan 2013

JAIM Cekup Bapa, Anak Khalwat

Bapa, anak kantoi khalwat

Melaka: Bapa borek anak rintik. Itu yang digambarkan terhadap dua beranak apabila si ayah ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang ibu tunggal dan pada masa sama anak gadisnya ditemui berkurung bersama teman lelakinya di bilik di rumah sama di Bukit Katil, di sini.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam, Sabtu lalu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menyerbu rumah didiami seorang ibu tunggal berusia 46 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun.

Dalam pemeriksaan dilakukan, anggota penguat kuasa menemui seorang lelaki berusia 48 tahun berstatus duda di ruang tamu rumah berkenaan dan siasatan mendapati dia kenalan rapat kepada wanita terbabit.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani berkata, selepas menemui lelaki berstatus bukan muhrim itu anggotanya terus membuat pemeriksaan lanjut. Selepas soal tanya mendapati ada dua lagi individu iaitu anak kepada wanita terbabit dan anak perempuan lelaki itu yang berusia 14 tahun.

Katanya, ketika pintu sebuah bilik diketuk ia dibuka remaja perempuan berkenaan dan apabila diperiksa menemui seorang lelaki berusia 18 tahun menyorok di dalam almari. -HM

[BONGKAR] 5 Ribu Pengundi UMNO Dipindah Ke Lembah Pantai

Sekurang-kurangnya 5,000 ahli Umno yang merupakan pengundi Wilayah Persekutuan dipindah ke Parlimen Lembah Pantai dipercayai untuk bantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Mendedahkan demikian, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, taktik kotor itu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bersekongkol dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang berminat untuk bertanding.

“Pertembungan kali ini paling sengit kerana semua ahli Umno Wilayah Persekutuan dipindah ke Lembah Pantai. Sengaja dilancar bagi memenangkan calon Umno BN itu.

“Kita kenal pasti lebih kurang 5,000 daripada butiran misalnya mereka ini ada yang mengundi di Seputeh. Keseluruhannya merangkumi pemindahan pengundi. Ahli-ahli Umno yang mengundi di luar akan mengundi di Lembah Pantai termasuk undi pos tambahan 2,000,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

Nurul Izzah berkata, Ketua Polis Negara dan Perdana Menteri turut diperalat Nong Chik untuk menarik sokongan penduduk setempat terhadapnya.

“Sebelum ini, Ketua Polis sendiri turun ke Lembah Pantai untuk edar bubuk lambuk.

Najib (Razak) pula dua kali turun menyerahkan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“80 peratus perumahan rakyat di Lembah Pantai dicat. Di Sentosa, 100 peratus di bawah kelolaan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur). Ini memberikan impak besar termasuk Pantai Dalam. Sebaliknya, Pemuda Umno yang dapat projek tersebut apabila ia diswastakan,” sambungnya.

“Nong Chik sama macam Shahrizat kerana segala projek, mereka akan jadi juara.

Projek Shahrizat (NFC) dan keluarga RM250 juta. Belum lagi Nong Chik ada projeknya sendiri,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Pada PRU lalu, Nurul Izzah membuat kejutan apabila menewaskan Datuk Seri Shahrizat Jalil bagi menawan kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Kini, ada ura-ura kerusi itu bakal ditandingi Nong Chik sekalipun terpalit dengan isu rampasan tanah Kampung Baru dan skandal anaknya yang mendapat tender kontrak berbilion ringgit.

[HKR 112] Penggunaan Stadium Merdeka Diluluskan! -updated


Himpunan 12 Jan: Penganjur dibenar guna Stadium Merdeka

Naib presiden PKR Tian Chua berkata bahawa pengurusan Stadium Merdeka membenarkan panganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat menggunakan tempat bersejarah berkenaan bagi perhimpunan 12 Januari.

"Pihak pengurusan balas kepada panitia Perhimpunan Kebangkitan Rakyat bahawa pemohonan mengguna Stadium Merdeka dibenarkan. Hidup rakyat," katanya dalam satu tulisan di Twitter hari ini.

Tambahnya, jawatankuasa berkenaan kini sedang mengadakan mesyuarat bagi persiapan terakhir, susulan perkembangan itu.-mk

Sidang Media selepas Mesyuarat HKR


Lampu hijau untuk himpunan rakyat di Stadium Merdeka




KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Stadium Merdeka telah memberi ‘lampu hijau’ kepada penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) 2013 yang akan diadakan Sabtu ini.

Pengerusi HKR Mohammad Sabu yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, hasil perbincangan antara penganjur dan pengurusan stadium telah memutuskan bahawa perhimpunan itu dibenarkan, namun perlu memenuhi syarat tertentu.

Syarat itu termasuk bayaran deposit RM75,000 dan masa himpunan dalam stadium dihadkan daripada pukul 2 sehingga 5 petang sahaja.

“Kelulusan dibuat pada pukul 2.30 petang tadi dan kita akan hantar jawatankuasa untuk berunding lebih lanjut dengan pihak pentadbir stadium tentang peraturan yang ditetapkan pukul 10 pagi esok.

“Kita juga akan maklumkan segera kepda Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar mengenai persetujuan ini dan penyelarasan akan dibuat dengan KPN untuk memastikan himpunan berjalan dengan aman, tenteram, dan teratur,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Katanya, proses rundingan itu juga bakal menyentuh cara untuk menempatkan sejuta penyokong HKR dalam Stadium Merdeka yang hanya mampu menampung kapasiti 40,000 sehingga 50,000 orang sahaja.

Sementara itu Naib Presiden PKR Tian Chua turut mengulangi jaminan HKR akan dijalankan secara aman tanpa sebarang provokasi.

“Takkan ada huru-hara. Kita akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada penganjur dan polis untuk mengawal keadaan,” katanya.

Tiada halangan kibar bendera

Mat Sabu turut berkata hasil perbincangan dengan polis semalam, pihaknya diberikan kebebasan untuk mengibarkan sebarang bendera atau kain rentang pada Sabtu nanti.

Malah, tiada sebarang halangan untuk penyokong berjalan secara aman daripada lokasi permulaan yang ditetapkan di Masjid Negara, Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dan Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru ke Stadium Merdeka.

“Seramai 10,000 anggota keselamatan penganjur yang terdiri daripada unit amal dan lain-lain unit akan mengawasi penyokong berjalan secara aman ke stadium (Merdeka).

“Polis dah bagi jaminan takkan ada sekatan atau sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, bagi pra himpunan Dataran Anak Muda pada Jumaat ini, perancangan asal untuk berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman (NGO) dan Taman Medan (Pemuda Pakatan) akan diteruskan bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam.

“Kita akan minta kerjasama daripada Ketua Polis Daerah Dang Wangi OCPD Zainuddin Ahmad supaya memastikan pra himpunan diselaraskan dengan baik,” katanya.

Manakala pada Ahad akan diadakan protes anjuran Tuntutan Royalti Minyak ‘R’ berarak daripada KLSCAH ke Menara Petronas KLCC bagi mengemukakan tuntutan mereka.
-TMI


SAMM beri amaran jangan timbulkan provokasi

KUALA LUMPUR, 9 Jan ― Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak yang menentang perhimpunan agar jangan menimbulkan provokasi pada Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan berlangsung Sabtu ini.

Menurut penyelaras SAMM Wilayah Persekutuan Azmir Mustapha, beberapa hari ini aktivis-aktivis SAMM seluruh negara diganggu dengan SMS berbaur ancaman dan ugutan dari pihak yang mendakwa diri mereka dari Perkasa, Pekida, Pemuda Umno dan 80 NGO untuk menghalang perhimpunan in.i

“Regim usang ini sedang menghayati zaman-zaman akhir pemerintahan mereka dengan melakukan provokasi, sabotaj dan menggunakan samseng upahan untuk menakutkan aktivis pro perubahan.

“Saya memberi amaran kepada pihak ini untuk tidak sama sekali menyerang kumpulan rakyat yang hadir ke KL112, sekiranya anda menjual, kami sedia membelinya,” kata Azmir selepas menyerahkan bunga kepada pihak polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Penyerahan bunga itu diserahkan kepada Sarjan Mejar M Nazir iaitu pemangku timbalan ketua balai polis Dang Wangi, sebagai tanda penghargaan SAMM kepada pihak polis yang menjaga keamanan di negara ini.

SAMM juga mengajak pihak polis untuk bersama-sama datang ke perhimpunan pada Sabtu ini di Stadium Merdeka.

Walau bagaimanapun, pihak polis diwakili Nazir enggan menerima risalah yang cuba diserahkan SAMM kepada pegawai polis.

Semalam, pihak polis menurut penganjur perhimpunan akan mengawal perhimpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat (PR) pada 12 Januari ini dan akan memastikan ianya aman dan menjadi “peristiwa bersejarah.”

Menurut Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Ismail Omar berkata perhimpunan ini akan menjadi “peristiwa bersejarah” di mana mereka belajar dari peristiwa lepas.

Gabungan menuntut perubahan pilihan raya Bersih 2.0 cuba mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka pada 9 Julai 2011 tetapi dibatalkan oleh pihak berkuasa pada saat akhir.

Pada perhimpunan ketiga Bersih pada 28 April lalu, kerajaan menawarkan stadium bersejarah tersebut selepas gabungan tersebut memilih Dataran Merdeka tetapi tawaran Putrajaya ditolak kerana dikatakan terlalu lambat.

Perhimpunan 12 Januari ini menyaksikan beberapa kumpulan membuat tuntutan mereka menjelang pilihan raya 2013, termasuk menutup kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, membayar royalti lebih adil kepada negeri pengeluar minyak, pendidikan percuma dan pilihan raya bersih dan adil.
-TMI

Pasangan Mengaku Ada Anak Hasil hubungan Sulit


Kluang – Seorang wanita mengaku mempunyai seorang anak hasil hubungan sulit dengan pasangannya yang juga suami orang ketika ditahan dalam Operasi Cegah Maksiat di sekitar bandar Kluang, malam minggu lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu ditahan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) bersama pasangannya berusia 35 tahun dalam satu bilik di salah sebuah hotel bajet.

Malah, lelaki terbabit yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinannya mengaku dalam proses perceraian bersama isterinya.

Ketua Unit Penguatkuasa Agama Jaij daerah Kluang, Anuar Kosnin berkata, ketika serbuan dijalankan di hotel bajet itu, Jaij terpaksa menunggu 10 minit, sebelum pintu dibuka.

“Ketika soal siasat dijalankan, pasangan berkenaan memberi alasan mereka akan berkahwin dan menyewa hotel hanya sekadar untuk berjumpa, bagaimanapun mereka gagal untuk meyakinkan pihak Jaij dengan alasan yang diberi.

“Hasil pemeriksaan mendapati, wanita berkenaan telah melahirkan seorang anak yang kini berusia setahun hasil hubungan sulit bersama pasangannya itu,” katanya.

Anuar berkata, pasangan tersebut akan didakwa di bawah Sesyen 27, Enakmen Kesalahan Syariah Johor dan boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi yang dijalankan bersama anggota Cawangan Penyiasatan Khas dari Kem Mahkota bermula jam 1 hingga 6 pagi itu turut menahan tiga pasangan berusia antara 19 hingga 35 tahun.

“Kesemua pasangan tersebut turut didakwa di bawah seksyen sama.

Bagaimanapun, pasangan terbabit telah dibebaskan setelah dijamin oleh keluarga masing-masing, namun mereka dikehendaki datang ke Pejabat Agama Daerah Kluang esok (hari ini) untuk diambil keterangan,” katanya.

Anuar juga menyatakan bahawa operasi seumpama ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa untuk mencegah maksiat di daerah ini daripada terus berleluasa. -SH

Isu Kalimat ALLAH: Pendirian UMNO BN Yang Keliru & Celaru!

SSurah Al-Fatihah yang kita baca 17 kali dalam solat lima waktu tu bunyinya "alhamdulilahi rabbil A'LAMIN".... bukannya "alhamdulillahi rabbil MUSLIMIN..."

Jadi? Apa yang anda faham tentang ayat dalam surah Al-Fatihah tu?

p/s : Mantan Mufti Perlis Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin ( DrMAZA.com ) melontarkan satu persoalan yang mencuit minda dan menggoncang jiwa untuk dirungkai secara realiti tetapi berhemah dan berilmiah.

Harap persoalan ini sudah terungkap mengapakah baru sekarang UMNO-BN memainkan isu ini -fb.



Dan yang ini, di atas topi setiap anggota polis digunakan oleh anggota Islam dan bukan Islam ada tertera kalimat "ALLAH" & "MUHAMMAD". Kenapa tak dilarang penggunakan kalimah itu?

UMNO BN sudah kehabisan modal dan isu sebenarnya.

Video Sunamo Yang Sempat Dirakam Di Pantai Dungun


Penduduk bersyukur Sonamu tidak melanda
Kuala Terengganu - Penduduk merasa bersyukur kerana ribut tropika Sonamu beserta angin kencang yang diramal membadai perairan pantai timur Semenanjung termasuk Terengganu tidak menjadi kenyataan.

Tinjauan Bernama mendapati ramai penduduk yang tinggal di kawasan pantai seperti di sini, Dungun, Kuala Ibai dan Kuala Abang yang menetap sementara di rumah saudara mara yang tinggal jauh dari kawasan pantai, sudah mula pulang ke rumah masing-masing.

Namun nelayan kecil masih tidak berani ke laut ekoran angin kencang dan laut bergelora musim tengkujuh.

"Tok bersyukur tiada apa yang berlaku dan Tok yakin ini semua berkat usaha masjid, surau dan alim ulama yang tak henti-henti mengadakan sembahyang hajat sejak waktu Zohor kelmarin," kata Suri Dollah, 77, yang sudah pulang ke rumahnya di Kuala Abang yang terletak 20 meter dari pantai, setelah menumpang di rumah saudaranya.

Halimah Osman, 58, menganggap cuaca paling buruk yang pernah berlaku ialah pada 1984 yang turut menyebabkan sebuah kapal kargo tersadai di perairan Tanjung Jara akibat ribut dahsyat.

"Selepas itu tidak pernah lagi ada ribut sedemikian rupa. Cuaca buruk sejak kelmarin adalah sesuatu yang biasa bagi kami yang tinggal di tepi pantai sejak kecil," katanya.

Mohd Yassin Abdullah, 55, yang tinggal di pantai Kuala Ibai berkata sememangnya dia merasa takut dengan ramalan Sonamu kerana pernah mengalami peristiwa banjir besar beberapa puluh tahun dahulu.

"Tidur malam pun tidak lena dan kami telah bersiap sedia kemas sedikit sebanyak kain baju. Namun syukur bila tengok keadaan hari ini mula tenang dan laporan televisyen pun mengatakan ribut sudah semakin beredar," katanya.

Nelayan Yusof Osman, 48, berkata sudah sebulan dia tidak ke laut kerana keadaan cuaca yang berisiko kepada bot-bot kecil.

"Ketika inilah kami membaiki bot yang rosak dan saya membantu isteri yang berniaga di warung," katanya.

Namun terdapat juga kumpulan remaja yang seakan berpesta bagi menyaksikan fenomena ombak besar.

"Saya datang ke Pantai Batu Buruk ini untuk menyaksikan sendiri fenomena ombak besar seperti yang dihebahkan dalam TV dan surat khabar.

"Saya tahu ia bahaya dan pihak berkuasa mengeluarkan amaran supaya tidak menghampiri kawasan pantai, namun saya ingin melihat sendiri fenomena alam yang luar biasa," kata Mohd Aliff Zahari, 22, yang ke pantai bersama rakan-rakannya. - Bernama

[IKTIBAR] Kaya Pada Usia Muda Buat Safwan Tenggelam, Tak Ingat Mengucap


Seperti kemiskinan, kekayaan boleh menjadi dugaan hidup, apatah lagi memilikinya pada usia muda.

Maklumlah masa muda merupakan waktu di mana nafsu mahu mencuba segala nikmat dunia berada di puncak dada.

Itulah pengalaman dikongsikan Safwan (bukan nama sebenar). Sebagai permulaan cerita dia menyatakan kesyukuran kerana perjalanan hidupnya sejak kecil sering dipermudahkan.

Di sekolah walaupun bukan pelajar paling cemerlang, prestasi pelajarannya dalam kategori baik. Dikelilingi kawan-kawan, Safwan menjalani kehidupan remaja dalam suasana gembira.

“Sejak sekolah rendah saya ada empat kawan rapat – Jeff, Azrul, Din dan Min. Kami membesar dan bermain sama sejak kecil sebab tinggal berjiran. Kami seolah-olah tak dapat dipisahkan,” ujar Safwan.

Selepas tamat SPM, bagai sudah berjanji kelima-lima mereka mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah IPT sama, mengambil kursus serupa. Hal ini membuatkan persahabatan mereka tambah erat.

Ketika bergelar penuntut mereka jalani hidup bersama; daripada aktiviti pelajaran hinggalah aktiviti luar lain. Keseronokan merempit, mencuba dadah dan mengunjungi pusat hiburan turut diterokai berlima. Lebih daripada itu, mereka turut menjalankan perniagaan menjual ganja dan pil khayal.

“Kami sepakat tak mahu kerja dengan orang Jadi lepas tamat belajar kami gunakan keuntungan jual ganja untuk buka perniagaan bersama,” kata Safwan.

Pada mulanya mereka mengusahakan perniagaan kafe siber.Hasil diperoleh agak lumayan namun lama-kelamaan, ia kian merosot membuatkan mereka mula mencongak peluang perniagaan baru.

“Sudah rezeki Tuhan nak bagi, kami dapat kontrak eksport lintah ke Jepun. Peluang itu terus diambil. Kami usahakan ternakan lintah di tanah yang dipajak,” ujar Safwan.

Sejak itu kehidupan mereka berubah agak total. Memanglah sebelum ini mereka tidak susah sangat dari segi duit, namun saat itu hidup bertukar lebih mewah lagi.

Walaupun selepas diagihkan kepada lima, jumlah untung diterima masih sangat besar untuk dibelanjakan apatah lagi bagi orang muda seperti mereka. Langkah kian panjang.

Semua keseronokan dunia ingin dicuba.

Aktiviti melancong dan berbelanja sakan menjadi perkara biasa. Pada masa sama judi, minuman keras dan perempuan turut menjadi makanan harian. Meskipun rumah sewa mereka masih di Lembah Klang, ibu bapa dan keluarga jarang-jarang sekali dikunjungi. Safwan, Jeff, Azrul, Din dan Min hanyut dalam kehidupan sendiri.

“Mungkin sebab keluarga ada juga bekalkan ilmu agama waktu kecil, kadang-kadang masa tengah khayal dek minuman keras atau dadah kami sempat berbual soal kehidupan. Bertanya satu sama lain, sampai bila nak macam ni? Apa yang kita buat ni berdosa tahu? Tapi walaupun masing-masing tahu dan setuju susah untuk tinggalkan perkara haram. Maklumlah benda seronok kan,” ucap Safwan.

Tak ingat mengucap

Satu hari, ketika sedang melepak, Min mengajak mereka semua ke satu tempat untuk berjudi. Namun apabila kawan-kawan lain tampak bermalas-malas, dia ambil keputusan untuk bergerak dahulu.

“Kami janji akan datang kemudian. Tapi tak sampai 15 minit lepas dia beredar, saya dapat satu panggilan daripada telefon bimbit Min,” ujar Safwan.

Panggilan bagaimanapun dibuat oleh orang lain. Menurut pemanggil, Min terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Kuching. Safwan dan lain-lain segera ke tempat kejadian.

Setibanya di sana, Min masih sedar namun sudah tak mampu bersuara. Safwan, Din dan Jeff menemaninya dalam ambulan menuju ke Hospital Kuala Lumpur manakala Azrul, memandu kenderaan sendiri.

“Dalam ambulan, kami saling berpandangan dalam keadaan panik lihat Min sedang nazak. Petugas ambulan minta kami ajar Min mengucap tapi entah macam mana terpacul dari mulut Jeff, ‘kami tak ingat macam mana nak mengucap pakcik’.

“Petugas itu kemudiannya mengajar Min mengucap. Min menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas itu,” ujar Safwan.

Selepas kematian Min, mereka berempat agak tersentak. Aktiviti harian dan perniagaan diteruskan seperti biasa tapi tak serancak dulu. Apabila duduk bersama mereka lebih banyak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.

Begitu pun, sekali sekala pengambilan dadah dan alkohol masih diteruskan. Keseronokan dunia tetap digunakan untuk merawat hati yang sedih kerana kematian sahabat.

“Satu malam, Jeff tiba-tiba ajak kami balik ke rumah ibu bapanya kerana rindukan ibunya. Oleh sebab keluarga Jeff dah macam keluarga sendiri kami nak ikut tapi mahu menyusul kemudian dengan kereta berasingan,” kata Safwan.

Bawa haluan sendiri

Bagai dejavu, tidak lama selepas Jeff keluar, Safwan sekali lagi menerima panggilan telefon daripada orang tak dikenali. Katanya Jeff kemalangan! Maka mereka bergegas ke tempat kejadian. Sepanjang perjalanan kesemua mereka bagai tak keruan kerana masih diimbau kejadian menimpa Min yang belum pun sampai sebulan.

“Jeff meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Kami terduduk menerima berita itu. Ia terlalu sukar dihadamkan fikiran Belum pun hilang terkejut kehilangan Min, kini Jeff pula menyusul,” ujar Safwan.

Kali ini kematian Jeff benar-benar meninggalkan impak. Safwan, Azrul dan Din bagai kehilangan kata-kata. Semuanya terlalu mengejut.

“Kami mula berbual tentang dosa yang pernah dilakukan bersama-sama. Kami sama-sama setuju ini wake up call dari ALLAH agar kami bertaubat,” ujar Safwan.

Seminggu selepas kematian Jeff, Azrul dan Din menemui Safwan di sebuah restoran. Azrul menyatakan hasrat untuk membawa diri, sementara Din lebih banyak berdiam.

“Selepas pertemuan itu, saya tak lagi tahu khabar berita mereka. Kedua-duanya menghilangkan diri begitu sahaja. Sampailah dua tahun lalu, saya bertemu Azrul secara tak sengaja di Pulau Pinang. Penampilannya sudah jauh berubah. Dia masih menyatakan kekesalan atas dosa lampau.

“Din pula sampai sekarang tak tahu apa khabar berita. Terakhir saya dengar, dia sertai tabligh,” kata Safwan.

Bagi Safwan sendiri, kematian Min dan Jeff meninggalkan kesan yang bukan sedikit. Dia mula mendekatkan diri dengan keluarga dan kembali pada tuntutan agama.

Perniagaan yang diusahakan bersama kawan-kawan baiknya sebelum ini turut dijual kerana terlalu banyak kenangan mengusik jiwa untuk diteruskan. Buat masa ini, dia mengambil keputusan untuk bekerja makan gaji sahaja.

“Kubur kedua-dua sahabat saya itu tidak jauh dari kawasan perumahan, jadi setiap hari saya akan melewatinya setiap kali pergi dan balik kerja. Sekurang-kurangnya, ia mengingatkan saya bahawa kematian sangat dekat dengan manusia tidak kira berapa usia kita.

“Maka rugilah jika kita terlalu leka dengan nikmat dunia hingga abaikan persediaan ke alam kekal kelak,” ujar Safwan yang baru menginjak ke usia 28 pada 8 Disember 2012 lalu. -SH