26 Jun 2009

MANEK URAI : Fauzi Abdullah Calon PAS

Seperti yang diramalkan seorang peniaga ikan yang juga AJK PAS Kawasan Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah telah diumumkan sebagai calon PAS untuk N41 Manek Urai.

Pengumuman itu dilakukan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebenatar tadi di dalam satu majilis yang dihadiri oleh pemimpim-pemimpin PAS Pusat dan negeri kelantan juga disertai oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang turut bersama di dalam majlis berkenaan berserta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Fauzi yang berusia dalam lingkungan 40-an adalah seorang peniaga ikan dan anak tempatan.

Selain jawatan bendahari, beliau juga bertanggung sebagai pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Guchil - juga terletak dalam parlimen Kuala Krai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 14 Julai manakala penamaan calon 6 Julai.

Sementara itu, BN pula dijangka mengumumkan calonnya Ahad ini.

Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Tuan Aziz antara tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian. Dua lagi ialah naib ketua Umno bahagian, Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.




UMNO TERENGGANU MENUJU KEHANCURAN, PAS BUAT APA?

Hisham: Krisis Umno T’ganu parah jika berlarutan

Krisis politik Umno akan menimbulkan masalah besar jika pertembungan dua kumpulan – Datuk Ahmad Said dan Datuk Seri Idris Jusoh – terus dibiar berlarutan, kata naib presiden Umno.

“Kalau dibiarkan (kemelut di Terengganu)… Saya lihat ia akan jadi masalah yang besar.

“Kalau pihak ketiga tidak diminta untuk memimpin, mungkin ia tidak dapat diselesaikan,” kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

Beliau, kini dilantik pengerusi perhubungan Umno negeri, berkata perpecahan dalam parti itu akibat beberapa personaliti dan pergeseran di beberapa bahagian – dipercayai bermula sejak pilihanraya umum tahun lepas.

“Saya lihat tidaklah mendalam sangat. Ia berkisar kepada personaliti, berkisar kepada sejarah, pada suasana yang berlaku di beberapa bahagian.

“Bukan semua, mungkin tiga bahagian sahaja,” katanya dalam wawancara dengan

Sumber : Utusan Malaysia.


MANJANIK : Apa yang penting PAS Terengganu memberi penumpuan yang khusus terhadap usaha-usaha menambah kepercayaan rakyat kepada PAS.

Jangan lagi lalai dan leka mengatur strategi untuk menawan Terengganu.

Apalah lah sangat nak dibanggakan dengan ramainya pemimpin PAS atasan asal dari Terengganu akan tetapi apabila berpilihan raya rakyat menolaknya.

Inilah masa dan peluang yang ada pada PAS Terengganu. Ayuh bangkitlah… - MANJANIK


Isu ke Manek Urai : UMNO Bersedia Untuk Tawan Marang?

Selain menggunakan tentera untuk meraih undi di Manek Urai seperti yang didedahkan oleh Naib Presiden PAS, YB Dato Mahfuz Omar sebelum ini, kerajaan UMNO BN dilihat mempunyai perancangan yang licik untuk mengekalkan pemerintahannya di Terengganu di samping berusaha untuk merampas kerusi-kerusi yang kini dipegang oleh parti pembangkang khususnya PAS.

Di dalam satu perkembangan terkini, Kementerian Pertahanan telah merancang untuk membina Kem Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Terengganu, antara kompleks termoden dan termaju untuk pasukan berkenaan yang kini giat dibina di Wakaf Tapai, Marang dijangka siap sepenuhnya penghujung 2010.

Pegawai Pemerintah Unit 6, FRU Terengganu, Superintendan Din Ahmad berkata, sehingga kini pembinaan kem berkenaan berjalan lancar sejak ia dimulakan pada 2006.

Menurutnya, kem bernilai RM199.5 juta itu kini dibina mengikut spesifikasi bagi pakej satu dan dua.

“Bagi pakej satu, pembinaannya sudah dimulakan sejak 2006 lagi dan kini tahap pembangunannya mencapai 66 peratus. Bagi pakej pertama ini, ia membabitkan kos sebanyak RM74.495 juta, melibatkan rumah kediaman pegawai dan anggota, surau serta arked perniagaan.

“Pakej dua pula bermula pada penghujung 2008 dan tahap pembangunannya adalah 11 peratus, membabitkan kos bernilai RM125 juta. Ia akan merangkumi pembangunan bahagian pentadbiran, garaj kenderaan, dewan serba guna dan padang kawad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan pembangunan Kem FRU di Wakaf Tapai, semalam.

Banyak pihak melihat pembinaan kem Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sebagai satu siri usaha pihak kerajaan UMNO BN untuk menggerakkan unit tentera FRU di negeri tersebut bagi mempastikan Terengganu akan terus kekal di bawah pemerintahan UMNO BN.

Lazimnya tentera FRU ini akan dikerah dan digunakan untuk "membelasah" rakyat yang dilihat tidak mengendahkan larangan pihak berkuasa terutama di dalam mana-mana majlis perhimpunan yang dianjurkan oleh parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat.

MANEK URAI : Zahid Hamidi Perlu Jawab Penglibatan tentera Raih Undi

Institut Integriti Pilihanraya Kebangsaan (NIEI) mendesak Menteri Pertahanan Zahid Hamidi menjawab dakwaan PAS bahawa ada operasi ketenteraan dilaksanakan di Manek Urai Kelantan untuk memastikan kemenangan bagi Umno-Barisan Nasional pada pilihanraya kecil DUN itu 14 Julai ini.

Pengarah NIEI, Yunus Ali, berkata Kementerian Pertahanan bertanggungjawab memastikan kesahihan dakwaan tersebut kerana ia membabitkan campurtangan militer dalam politik negara.

"Menteri Zahid Hamidi perlu menjelaskan situasi ini di Dewan Rakyat," kata Yunus,

"Secara prinsip, mana-mana anggota kerajaan, termasuk tentera, tidak boleh mencampuri urusan pilihanraya. Mereka seharusnya bersifat berkecuali."

Semalam di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) mendedahkan dokumen menunjukkan BN menyalahguna sumber tentera untuk menjalankan projek-projek kebajikan di Manek Urai, dalam operasi yang dinamakan 'Jiwa Murni'.

Dokumen dari Jabatan Perisikan di Kementerian Pertahanan dan Timbalan Menteri Pertahanan itu turut menyatakan Ops Jiwa Murni mensasarkan kawasan-kawasan yang diisytiharkan sebagai kubu kuat Pas berdasarkan kepada keputusan PRU12 yang lalu.

Menurut dokumen itu lagi, apabila menghampiri hari penamaan, anggota tentera dinasihat untuk tidak terlalu menonjol supaya institusi tentera tidak dilihat sebagai memberi sokongan terbuka kepada BN.

"Tindakan Ahli Parlimen Mahfuz menunggu jawapan dari Kementah adalah satu langkah yang wajar. Kami menyarankan peguam parti supaya meneliti kes ini dan di bawa ke Mahkamah," kata Yunus.

"Manakala bagi pihak NIEI pula, kami boleh membawa isu ini ke perhatian antarabangsa," tambah beliau.

BERITA SEBELUM INI


UMNO GUNA TENTERA RAIH UNDI


Nizar Zambry : ADUN Jelapang, Hee Yit Fong Disaman

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Yew Tian Hoe memfailkan saman terhadap Timbalan Speaker DUN Perak, Hee Yit Foong yang didakwa menyerangnya dengan semburan lada semasa sidang DUN 7 Mei lalu.

Yew memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di Ipoh pada pukul 11.15 pagi tadi.

Yew mendakwa, berikutan serangan itu, beliau mendapat kecederaan di mata kiri, kejutan mental, trauma, penghinaan umum dan kemurungan.

Beliau memohon injunksi untuk menghalang Hee yang juga ADUN Jelapang, kerosakan tauladan dan kos.

Hee sebelum ini berkata, penyembur lada yang didakwa telah digunakan untuk menyerang Yew itu bukan miliknya, sebaliknya telah dilontarkan ke arah beliau ketika pergaduhan semasa sidang DUN awal bulan lalu.

Malah Hee berkata, beliau tidak tahu cara menggunakan penyembur lada itu dan menyerahkan kepada Yew untuk membuat tuntutan sekiranya beliau adalah orang yang melontarkan penyembur lada itu kepadanya.

Namun beberapa rakaman video di Internet jelas menunjukkan Hee mengeluarkan penyembur lada dan menggunakannya ke atas ADUN Pakatan Rakyat itu.


PRESIDEN ABIM NYATAKAN HASRAT LETAK JAWATAN

Bernama melaporkan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Yusri Mohamad berkata beliau akan melepaskan jawatan itu pada muktamar Abim ke-38 di Shah Alam pada 1 Ogos ini.

Beliau telah memegang jawatan tersebut selama dua penggal.

Walaupun umurnya belum menjangkau 40 tahun, tetapi Yusri berkata beliau mahu memberi peluang kepada barisan baru untuk memimpin Abim.

"Saya akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja yang memimpin Abim," katanya selepas menutup kursus haji bersiri di Masjid Al Hana' di Langkawi hari ini.

Banyak pihak melihat keputusan Yusri itu adalah ekoran dari kritikan hebat yang diterimanya dari ahli-ahli ABIM yang tidak berpuashati dengan pendiriannya menyokong gagasan Kerajaan Perpaduan sebelum ini.

Menurut satu surat yang ditujukan kepada Presiden ABIM berkenaan yang tersiar di sebuah blog, telah membidas tindakan Yusri tersebut yang nyata menempelak beliau menggunakan kedudukannya sebagai Presiden ABIM untuk mengambil pendirian yang berpihak dan akan menyebabkan salah satu pihak berasa hati, kecewa, dan mengeruhkan lagi keadaan.


Assalamualaikum Saudara,

Ini surat kepada Presiden ABIM tentang kenyataan yang dikeluarkan berkenaan Cadangan Kerajaan Perpaduan PAS.

Semua pihak yang menyokong atau menolak cadangan ini perlu segera berhenti mengulas cadangan ini.

Ulasan yang menyebelahi mana-mana pihak akan menyebabkan salah satu pihak berasa hati, kecewa, dan mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam masa ini, tidak perlu menyatakan sokongan pada mana-mana pihak. Tindakan yang sepatutnya tunggu keputusan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat PAS bersama Mursyidul Am PAS.

Kenyataan terbaru, Presiden ABIM yang menyatakan "Kerajaan Perpaduan Tidak Mustahil" dilihat bukan sahaja tidak membantu memulihkan keadaan tetapi mengeruhkan lagi suasana ini. Awak nak apa? Seolah-olah mengampu Presiden PAS. Konon boleh dapat kepercayaan Haji Hadi? Dapat sokongan orang PAS? Awak cuba bermain politik? Mencuba nasib dalam politik? Persediaan untuk jawatan bila awak masuk PAS nanti? Awak gunalah ruang awak sebagai Presiden ABIM, satu NGO yang hebat satu masa dulu, untuk bangunkan Islam dari sudut masyarakat. Kalau betul awak sokong gerakan Islam, awak sepatutnya jangan keruhkan keadaan. Awak mungkin ahli PAS tapi jangan buat kenyataan atas kapasiti Presiden ABIM, gunakan suara anda selaku ahli PAS. Saya baca penjelasan saudara, tapi pendirian saudara itu tak sesuai masanya diluahkan. Dalam pada semua pemimpin PAS yang menyokong atau tidak, semuanya menyatakan untuk merujuk kepada keputusan Mesyuarat.

Jika kita betul-betul ikhlas, semua NGO berunsur Islam, semua pihak yang menyokong perjuangan Islam PAS, mesti tunggu keputusan Mesyuarat.

Betul PAS sudah kuat, tapi kita jangan lupa, jasa kawan-kawan dari parti lain yang membantu PAS dari dulu. Jangan kita lemahkan PAS pulak. Jangan keruhkan lagi. Tindakan yang tak berakal begini dari NGO-NGO dan pihak-pihak yang jahat memang akan menghancurkan lagi perpaduan pemimpin PAS dan ahlinya.

Saya sokong Taski ABIM, badan-badan kebajikan anjuran ABIM tapi saya sangat harap ABIM tidak mengeruhkan lagi keadaan yang mana akan diputarbelit oleh media.

Jika mahu melihat Tuan Guru Mursyidul Am meletakkan jawatan maka sila hebahkan lagi isu ini, nyatakanlah sokongan anda mengikut pahaman masing-masing.

Saya yakin niat saudara baik, cuma tidak sesuai masanya.


Salam Ikhlas,
YASIR TAMIZI



MANEK URAI : PAS UMUMKAN CALONNYA

PAS akan mengisytiharkan calonnya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada malam ini bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat.

Seorang peniaga ikan yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Krai, Mohd. Fauzi Abdullah disebut-sebut sebagai calon.

Pemilihan Mohd. Fauzi dibuat berdasarkan komitmennya terhadap parti itu selain beliau amat rapat serta dikenali oleh kebanyakan penduduk di kawasan itu terutama di Manek Urai.

Beliau adalah bekas penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil untuk parti tersebut ketika kerusi itu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada 2004 tetapi kerusi itu diberikan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun tiga nama lain juga disebut-sebut sebagai bakal calon Pas pada pilihan raya kecil itu.

Mereka ialah Ketua Pemuda Pas Kuala Krai, Mahadi Mohd. Zain; bekas calon Pas pada Pilihan Raya Umum 2004 di DUN Manek Urai, Mohd. Zamzuri Mat Lazim dan Setiausaha Pas kawasan Kuala Krai, Mohamad Harun.

Pas Kawasan Kuala Krai sebelum ini menafikan laporan bahawa satu mesyuarat ahli jawatan kuasa diadakan beberapa hari lalu dan mereka bersetuju memilih Bendahari Pas kawasan, Mohd Fauzi Abdullah sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Yang Dipertuanya, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, laporan dan maklumat yang disiarkan dalam sebuah laman web berita berhubung perkara itu sama sekali tidak benar kerana Pas kawasan tidak pernah mengadakan mesyuarat berkenaan.

Justeru katanya, tidak timbul soal Pas Kawasan Kuala Krai akan mengadakan mesyuarat sekali lagi semalam setelah dikatakan ada dalam kalangan ahli jawatan kuasa yang tidak bersetuju dengan pencalonan Mohd Fauzi sebagai calon pada mesyuarat pertama seperti dilaporkan laman web itu.

“Nama yang dicadangkan sebagai calon sudah diangkat (dikemukakan) kepada Badan Perhubungan Pas Kelantan sejak dua minggu lepas dengan mengambil kira pandangan dan pendapat akar umbi.

“Jadi maklumat mengatakan kita (Pas kawasan) mengadakan mesyuarat dua hari lalu atau pada hari ini untuk memlih semula calon bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai bulan depan adalah tidak benar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Latiff berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman web Malaysiakini semalam yang menyebut ahli jawatankuasa Pas Kawasan Kuala Krai mengadakan mesyuarat dua hari lalu dan bersetuju memilih (Mohd) Fauzi Abdullah untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan bagi bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai bulan depan.

Laman web itu memetik seorang ahli jawatan Pas kawasan itu, Zulkifli Yaacob yang berkata, mesyuarat itu bagaimanapun terpaksa diadakan sekali lagi, dijangka semalam, untuk memilih calon baru selepas ada dalam kalangan AJK ‘menukar fikiran’ dan mahu calon lain untuk dicadangkan kepada Pas Pusat.

Abdul Latiff yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan berkata, Pas kawasan akan menerima siapa sahaja calon yang dipilih oleh Badan Perhubungan Pas negeri dan Pas Pusat untuk bertanding pada pilihan kecil berkenaan.

Menurutnya, perkara paling penting dan tumpuan utama Pas kawasan pada masa ini ialah untuk bekerja kuat bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai nanti kekal di tangan parti itu.

Katanya, semua pihak seharusnya bersabar dan menunggu siapa sebenarnya yang dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu yang akan diumumkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Manek Urai Lama, malam ini.

Michael Jackson Meninggal Dunia

Penyanyi pop kontroversi Amerika Syarikat, Michael Jackson, yang sebelum ini dikatakan telah memeluk Islam telah meninggal dunia pada usia 50 tahun karena diduga menderita gagal jantung.

Dia dilarikan ke Pusat Perubatan UCLA setelah paramedik dari Jabatan Bomba Los Angeles dipanggil ke rumahnya di kawasan Bel Air, Los Angeles, sekitar pukul 12.30 waktu tempatan.

Dalam perjalanan paramedik memberikan bantuan pernafasan kepadanya namun rupanya usaha tersebut tidak berjaya.

Penyanyi pop ini dijadualkan akan mengadakan satu siri jelajah peresembahan di Arena 02 London yang akan dimulai pada 13 Julai.

Michael -- anak ke 7 dari 9 bersaudara-- bergabung dengan saudara-saudaranya dalam The Jackson Five. Dia langsung menarik perhatian dan menjadi penyanyi utama.

Thriller sering disebut sebagai album yang paling laris terjual

Jackson kemudian memulai karir solo dan Tahun 1978 mengeluarkan album Off The Wall yang berhasil terjual 10 juta kopi di seluruh dunia.

Tahun 1982 Michael Jackson melepas album masterpiece, Thriller, yang telah disebut menampilkan gaya baru dalam video musik.

Thriller sering disebut sebagai album yang paling laris terjual sepanjang masa dan menurut Guinness Book of World Record terjual adalah 65 juta salinan.

Setahun kemudian, penyanyi berbakat ini kembali menggempar dunia dengan melakukan aksi moonwalk dalam acara TV.

Namun belakangan Michael Jackson terlibat sejumlah masalah, antara lain didakwa melakukan pelecehan seksual atas seorang anak laki-laki berusia 14 tahun.

Bintang pop ini kemudian menyerahkan diri kepada pihak berkuasa dan setelah proses pengadilan selama 5 bulan pada Tahun 2005, dia dinyatakan tidak bersalah.

Beliau pernah dilaporkan memeluk agama Islam dalam satu majlis di rumah seorang rakannya di Los Angeles.

Pencipta lagu dari Kanada Michael, David Wharnsby dan penerbit album, Phillip Bubal, dilihat berada bersama-sama Michael sepanjang majlis itu berlangsung.

“Mereka mula menerangkan kepada Michael mengenai Islam dan bagaimana kehidupan mereka berubah menjadi lebih baik selepas memeluknya. Michael lebih tenteram selepas itu,” kata sumber berkenaan.

“Seorang iman dipanggil dan Michael kemudian melafaz dua kalimah syahadah,” tambahnya.

Kata sumber berkenaan, Michael memilih untuk menggunakan nama Mikaeel iaitu salah satu malaikat dalam Islam dan menolak satu lagi nama yang diberikan kepadanya iaitu Mustafa yang bermaksud orang yang terpilih.

Turut berada dalam majlis untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah saudara baru itu ialah penyanyi Yusuf Islam, 60 yang dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens.

Isu Ke Manek Urai : Tolak Perpaduan Melayu dan Kesopanan Melayu Cara UMNO

Rakyat harus menolak apa juga hujah dan cara UMNO menyatukan orang Melayu. Konsep ketuanan Melayu yang mereka jaja dan paksa ke atas orang Melayu bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang mereka buat sewaktu merunding kemerdekaan dengan British.

Perpaduan cara UMNO telah gagal selama 50 tahun mereka memerintah, dan kegagalan ini menjadi bukti pengkhianatan UMNO terhadap orang Melayu. Sekarang UMNO masih bercakap tentang perpaduan Melayu, yang diluaskan menjadi perpaduan kebangsaan.

Semua istilah ini karut dan sudah dibuktikan tidak berkesan, lebih banyak mendatangkan masalah dan mengusutkan perkara yang telah terurai. Yang jelas mendapat faedah daripada perpaduan Melayu dan sebagainya itu ialah ketua-ketua UMNO yang menggunakan “perpaduan Melayu” untuk mengaut kekayaan negara untuk faedah anak-beranak dan sahabat handai.

Perhatikan betapa mewahnya kehidupan ketua-ketua UMNO, yang mendiami rumah-rumah besar, mempunyai harta yang banyak dan tanah-tanah berharga mahal di kawasan tertentu yang mereka bangunkan untuk kononnya bagi maksud pembangunan negara, tetapi telah terlebih dahulu mereka ambil.

Apabila pembangunan dibuat di kawasan itu, tanah-tanah mereka dibeli oleh kerajaan mereka sendiri dengan harga mahal, dan menurut mereka semua kekayaan yang mereka perolehi melalui perbuatan menipu itu adalah halal dari segi agama dan undang-undang. Kini mereka dengan beraninya berkata undi UMNO dalam pilihan raya akan membawa ke syurga. Dahulu mereka kutuk PAS yang mengelirukan rakyat kononnya jika undi PAS boleh masuk syurga kerana PAS memperjuangkan Islam.

Sekarang kumpulan yang memperjuangkan nasionalisme Melayu dengan slogan perpaduan Melayu dan Satu Malaysia juga sudah membuat kontrak dengan Allah Ta’ala bahawa para pengundi di Manek Urai dalam pilihan raya kecil nanti akan diberi tiket oleh UMNO untuk ke syurga. Begitu rendah harga syura itu di mata ketua-ketua UMNO, boleh dijual beli dalam pilihan raya. Inilah jenis manusia yang bercakap tentang perpaduan Melayu, tentang kerajaan perpaduan, tentang Satu Malaysia.

Perkembangan terbaru ini adalah hasil propaganda yang berlebihan tentang Satu Malaysia, yang kini sudah menyediakan peti undi bagi orang Melayu yang akan membawa mereka ke syurga. Begitu murah sekali harga syurga bagi pemimpin yang sedang mabuk Satu Malaysia ini! Dalam sejarah perjuangannya, UMNO telah membuktikan kejayaan besar parti itu memperkaya ketua-ketua UMNO setiap peringkat, yang boleh disaksikan oleh rakyat. Pada waktu ini sudah sampai masanya satu kajian mendalam dibuat untuk menilai dengan adil kejayaan UMNO ini.

Kekayaan para pemimpin UMNO boleh saja dikaitkan dengan “pembangunan” Malaysia, peri banyaknya jalan raya yang berlubang, bangunan besar dan mahal yang runtuh, rumah-rumah untuk rakyat yang tidak disudahkan dan pembelinya terperangkap dalam hutang yang amat membebankan, ramainya pelumba muda di jalan-jalan raya di kota-kota dan di kampung-kampung yang mendapat nikmat pembangunan itu untuk membuat kacau dan membunuh diri sendiri (kumpulan ini kini diberi nama baru “samseng jalanan”). Ada lagi kejayaan UMNO yang sungguh mengagumkan ketua-ketua UMNO, iaitu peri pentingnya adab sopan dalam kehidupan sekarang.

Ini dicontohkan oleh ketua-ketua UMNO dan isteri mereka semasa berada dalam upacara negara yang dihadiri oleh Yang di Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Dalam istiadat Hari Jadi Agong baru-baru ini, kita lihat Raja Permaisuri Agong berpakaian lengkap cara Islam dengan kepala baginda bertutup; tetapi isteri PM dan Menteri Penerangan melepaskan rambut cantik mereka yang telah didandan dengan teliti dan mungkin agak mahal dibayar oleh ... (tidak pasti siapa!). Perkara ini disebut di sini kerana Menteri Penerangan yang pernah menjadi Menteri Kebudayaan dsbnya dengan lantang memulakan kempen adab sopan.

Tidak termasuk dalam sistem adab sopan moden itu nilai-nilai lama yang dipelihara oleh masyarakat. Mungkin mereka tidak tahu kerana mereka tidak mengamalkannya. Nilai kesopanan Melayu yang terpakai, ketika mengadap di istana, maka baik lelaki mahu pun bini mereka, diwajibkan mengenakan pakaian yang sesuai dengan istiadat. Jika Raja Permaisuri Agong memakai tutup kepala cara Islam, maka rakyat baginda yang perempuannya yang datang mengadap hendaklah meraikan kesopanan Melayu dengan menutup kepala mereka secara Islam, atau paling tidak cara adab Melayu dengan bertudung. Itulah kesopanan Melayu.

Oleh itu amat tidak sopan dan sangat janggal apabila perempuan-perempuan Melayu yang mengadap di Istana Negara membiarkan kepala mereka merdeka dengan rambut mereka begitu angkuh didandan mahal, padahal ketika itu mereka mesti bertudung atau paling tidak berkelubung. Itulah adat Melayu. Adakah orang yang tidak meraikan adat ini derhaka atau biadab, tidak tahu adat dan tidak beradab? Tiada siapa pun yang boleh menjawabnya melainkan Menteri Penerangan yang dengan gigih memulakan kempen kesopanan negara.

Contoh yang diberikan di sini dengan amat jelas membuktikan tindak tanduk pemimpin UMNO memang sangat janggal. Mereka menyuruh orang bersopan santun, tetapi ketua-ketua mereka sendiri tidak sopan seperti dalam contoh di atas. Mereka bercakap tentang perpaduan, tentang keadilan, tentang amanah, tetapi semua perbuatan mereka bertentangan dengan perkataan mereka sendiri.

Kita mahu dengar daripada para ulama UMNO dan mufti-mufti yang mereka lantik tentang perkara ini. Kalau mereka tidak mahu menjelaskan, mereka harus pergi. Ke mana mereka mahu pergi adalah hak mereka menentukannya. Yang jelas, mereka tidak patut berada di tempat mereka sekarang untuk menjadi sampah dan menyusahkan orang lain. -[24/6/2006] Mohd. Affandi Hassan

Isu Manek Urai : Sharizat Perlu Dedah Siasatan Kes Rogol Penan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Sharizat Abdul Jalil digesa mendedahkan hasil siasatan kes rogol dan penderaan seksual lain keatas wanita, gadis bawah umur kaum Penan di Sarawak oleh pembalak di Baram.

Laporan pertama kes seumpama itu telah didedahkan sejak tahun 1993. Hanya pada 27 Mei lalu, Sharizat menyerahkan hasil siasatan terhadap isu itu kepada Jemaah Menteri.
Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menggesa Sharizat supaya mengumumkan hasil siasatan berkenaan untuk mencerminkan ketelusan dalam membela nasib kaum minoriti dinegara ini.

"Wanita Keadilan menuntut agar Sharizat segera mengedar laporan tersebut kepada umum agar dapat diteliti dan bersama mencari penyelesaian terhadap perlakuan sesuka hati pemangsa dalam penderaan dan keganasan seksual keatas wanita, gadis dan anak- anak Penan yang lemah itu. Jika Menteri gagal berbuat demikian, ia seolah- olah membenarkan penerusan perbuatan keji itu oleh mereka yang sama sekali telah hilang sifat kemanusiaannya." Ujarnya

Zuraida berkata tindakan kerajaan merahsiakan laporan itu amat meragukan dan membawa persepsi pihak berkenaan tidak ikhlas dalam membela penduduk Penan.

"Kelewatan yang bertimpa- timpa ini memberi persepsi bahawa ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh kerajaan atau kerajaan tidak ingin membawa ke pengadilan mereka yang telah dikenalpasti bertanggungjawab mengenai pencerobohan dan keganasan seksual yang keji itu. Polis Sarawak juga telah didakwa bersikap prejudis atau tidak kompeten dalam menangani permasalahan wanita dan gadis Penan ini" kata Zuraida.

Pada tahun 2000, wakil penduduk Penan telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasai Manusia SUHAKAM mengenai penderaan seksual kaum wanita mereka tanpa sebarang tindakan dari polis.

Tahun lepas sahaja sekurang-kurang 11 wanita Penan dirogol oleh pembalak di Baram. -TVA



Manek Urai : UMNO Gunakan Tentera Raih Undi

Parti UMNO akan turun bertanding pada pilihanraya kecil Manek Urai bulan depan dengan taktik baru: membawa masuk Angkatan Tentera Darat untuk meraih undi daripada penduduk, Naib Presiden PAS Mahfuz Omar mendedahkan.

“Projek Jiwa Murni,” akan meyaksikan anggota tentera diberi misi melaksanakan beberapa projek kebajikan di kubu kuat PAS di DUN Manek Urai untuk menyakinkan pengundi memberi sokongan kepada UMNO, kata Mahfuz.

Beliau memberikan bukti dalam bentuk salinan dokumen Kementerian Pertahanan yang memberi arahan khusus tentang perlaksanan projek itu.

“Bersama saya surat dari staf perisikan di Kementah kepada Panglima Angkatan Tentera, yang mengarahkan satu projek awam mesti dibuat di bawah Angkatan Tentera Darat di kawasan-kawasan peti undi kelabu dan hitam dimana BN mampu memperkukuh tahap sokongan berdasarkan kepada keputusan PRU12,” kata Mahfuz.

Beliau berkata walaupun angkatan tentera melaksanakan projek-projek itu seolah-olah untuk membantu rakyat, dokumen berkenaan jelas menunjukkan tentera turut “diseret ke dalam kempen politik bagi menjayakan kemenangan bagi Barisan Nasional”.

“Ini ayat cukup jelas hasil dari Bahagian Risik dan dipersetujui oleh Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan yang telahpun mengeluarkan arahan melaksanakan projek Jiwa Murni,” tambah Mahfuz.

Mahfuz berkata Projek Jiwa Murni dilancarkan bagi memberi kemenangan kepada UMNO pada pilihanraya kecil Manek Urai pada 14 Julai nanti.

Menurut Mahfuz, antara kawasan yang disasarkan di bawah projek itu adalah Lata Rek, Laloh, Sungai Perial, Sungai Sok, Temalir, Chuchoh Puteri, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru.

“Ini semua berkaitan dengan kajian kekuatan dan kelemahan BN yang dibantu oleh Bahagian Perisikan Tentera. Mengheret angkatan tentera untuk menjayakan kemenangan BN adalah diluar dari bidang tugas tentera,” kata Mahfuz.

Sebelum itu di Dewan Rakyat, barisan menteri dan wakil-wakil rakyat Umno-BN diam ketika diajukan pertanyaan dari Mahfuz mengenai dokumen Kementerian Pertahaanan itu. .
Mahfuz menggesa supaya Umno supaya tidak bersikap bacul dengan menyalahgunakan sumber-sumber ketenteraan dalam pilihanraya.

“Saya bukan menghalang mereka buat projek membantu masyarakat. Disini jelas menyatakan arahan supaya projek itu tidak dibuat dekat dengan penamaan calon nanti akan dilihat mengatakan pihak tentera terlibat secara langsung," kata Mahfuz.

Ini jelas satu taktik untuk mengabui mata rakyat dan Pakatan Rakyat. Hakikat ialah ini adalah projek pilihanraya. Kami tidak membantah sekiranya mereka buat selepas pilihanraya,” kata Mahfuz. - TVA