31 Mac 2009

Bukit Gantang : Isu Altantuya, Istana, Sultan Dilarang Sentuh

Dalam bukti paling jelas agensi persekutuan diheret ke kancah politik, polis kini dilaporkan melarang penceramah di Bukit Gantang mengulas isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang sering dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Najib Razak.

Selain isu Altantuya, penceramah juga dilarang menengahkan “sebarang keputusan yang dibuat oleh institusi raja” bersabit kemelut dua Menteri Besar Perak, Malaysiakini melaporkan.

Pembantu ADUN Sepetang, Tai Sing Ng diberikan senarai larangan tambahan itu ke atas penceramah untuk pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang pada 7 April.

Larangan itu sudah tentu akan mengekang usaha Pakatan Rakyat menjelaskan krisis perlembagaan dan rampasan kuasa yang membawa kepada kemelut politik paling buruk dalam sejarah Perak.

Calon PAS untuk pilihanraya kecil Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, masih menjadi Menteri Besar sah di sisi perlembagaan setelah dilantik menerusi mandat rakyat pada pilihanraya umum Mac tahun lalu.

UMNO bagaimanapun melancarkan rampasan kuasa setelah mengumpan tiga ADUN Pakatan Rakyat, termasuk dua yang menghadapi tuduhan rasuah, untuk menyokong Barisan Nasional. Kemelut itu kini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Justeru, pilihanraya kecil ini disifatkan sebagai "pungutan suara" terhadap Najib Razak yang dikatakan mendalangi rampasan kuasa itu.

Larangan polis terhadap penceramah membangkitkan isu Altantuya juga dilihat sebagai usaha melindungi Najib daripada pengadilan rakyat.

Beliau dikaitkan dengan mangsa warga Mongolia itu dalam beberapa siri laporan oleh media antarabangsa dan penyiasat persendirian yang pernah ditugaskan untuk memantau Altantuya.

Sebelum ini Speaker dan ahli parlimen Barisan Nasional bertindak menggantung wakil DAP Gobind Singh daripada Dewan Rakyat untuk setahun apabila beliau cuba mendapatkan penjelasan daripada Najib.

Larangan terbaru oleh pihak polis dilihat sebagai cubaaan terbaru mengekang rakyat daripada diberikan penjelasan mengenai isu-isu kepentingan umum.

BUKIT GANTANG : Najib Luluskan 10 Lesen Judi

Ceramah Pakatan Rakyat yang diadakan di Sungai Tinggi, Trong semalam dikejutkan dengan pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak telah meluluskan permohonan 10 cabutan bertuah judi sejurus selepas dilantik menjadi Menteri Kewangan September tahun lepas.

YB Dr Lo'lo' Ghazali ketika membuat pendedahan berkenaan menyatakan inilah contoh bagaimana kerajaan UMNO dan Barisan Nasional menjana pendapatan haram di sisi syarak dan membelanjakan hasil dari pendapatan judi tersebut untuk rakyat terutamanya orang Islam.

Syarikat yang terbabit ialah Magnum, Tanjong dan Berjaya Sport Toto. Ianya tidak didedahkan kepada umum kerana Najib mengetahui ianya akan menimbulkan tentangan dari masyarakat Islam. Namun, akhbar Business Times Singapore telah melaporkannya dengan menyatakan kelulusan itu dibuat selepas sebulan Najib Razak dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan ketika menjawab soalan dari YB Saifudin Nasution memberitahu bahawa kerajaan mengutip sejumlah RM77,026,171.04 daripada cukai ke atas cabutan khas itu.

Sebuah blog, malaysiapolitictoday pada bulan lepas pernah melaporkan bahawa wang hasil judi inilah yang digunakan selama ini untuk menumbangkan kerajaan Perak dengan membeli ADUN-ADUN PKR dan DAP supaya mereka meninggalkan parti masing-masing.

Melalui pendapatan yang diperolehi dari cukai judi ini juga Najib telah menggunakannya untuk pelbagai tujuan seperti pendidikan, kebajikan dan kesihatan rakyat.

Menurut seorang penganalisis ekonomi kebanyakan dari pelan ekonomi yang diselesaikan Najib sebenarnya datang dari hasil yang diperolehi dari perjudian selain dari pinjaman. Itu sebab mengapa beliau berani membentangkan mini-badjet yang bernilai RM60 billion baru-baru ini.

Dengan hasil dari judi tersebut beliau dilihat berkemampuan menyelesaikan beberapa masalah ekonomi dan berkemampuan sebagai seorang pemimpin ekonomi termasuklah pemberian subsidi kepada syarikat pembekal ayam baru-baru ini.

"Wajar sangat tindakan Najib itu dikutuk oleh seluruh umat Islam di negara ini," bentak seorang pegawai di sebuah syarikat swasta di ibu kota.


BUKIT GANTANG : MAFREL Kesan Nama Si Mati Dalam Daftar Pemilih

Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) mengesan ada percanggahan fakta dan maklumat berhubung daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana masih wujud pemilih walaupun telah meninggal dunia lebih 30 tahun lalu.

MAFREL dalam kenyataan akhbarnya pada 13 Mac lalu menegaskan, mereka akan melaksanakan pemerhatian terhadap keseluruhan proses pilihan raya bermula daripada hari penamaan calon, kempen, hari mengundi dan pasca pilihan raya.

Penyelaras MAFREL Perak, Ir. Megat Shariffudin Ibrahim berkata, pihaknya telah melaksanakan kajian awal senarai daftar pemilih berdasarkan kategori umur 90 tahun ke atas di kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang.

Katanya, seorang pemilih tersenarai dalam Senarai Daftar Pemilih yang digazet sehingga September tahun dan akan digunakan pada pilihan raya kecil ini, sudah meninggal dunia, tetapi namanya tidak dipadamkan.

“Pemilih itu, Kassim Md. Amin beralamat di Kampung Ulu Cheh, Kampung Cheh, DUN Changkat Jering telah meninggal pada tahun 1973 iaitu 36 tahun lalu.

Kubur Kassim bin Mamat Amin yang meninggal pada 1973

“Perkara ini telah dimaklumkan anak perempuan arwah sendiri dan dia membawa kami melawat kubur bapanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ir. Megat Sharifuddin, wakil MAFREL juga telah menjalankan siasatan terhadap daftar pemilih di Kampung Jelutong, Pengkalan Aor, DUN Changkat Jering dan mendapati kejadian sama berulang.

Katanya, pemilih itu, Che Man Said yang dilahirkan pada 9 November 1912 telah meninggal dunia sejak lapan tahun lalu.

“Cucunya telah memaklumkan kepada kami bahawa datuknya telah meninggal dunia dan hairan mengapa nama Che Man masih ada dalam senarai pemilih,” katanya.

Ir. Megat Shariffudin berkata, kes itu tidak sepatutnya berlaku kerana semakan daftar pemilih perlu dikemas kini agar memudahkan rakyat.

Semakan dengan teliti dan terperinci, kata beliau, boleh dilakukan terhadap senarai daftar pemilih bagi tujuan pilihan raya yang bersih daripada kemungkinan unsur penipuan dalam bentuk penyamaran.

“Kerjasama perlu diwujudkan antara jabatan berkenaan khususnya SPR, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis untuk mengatasi kelemahan yang ada dalam daftar pemilih,” katanya.

Beliau berkata, MAFREL ada menemui pemilih berumur 101 tahun yang masih hidup bernama Mat Hussin Bandar di Kampung Banggol Rendang dalam DUN Changkat Jering.

Katanya, pihaknya akan berusaha menjejaki beberapa pemilih yang namanya ada dalam senarai daftar pemilih, tetapi tidak dijumpai, malah sebahagian penduduk kampung juga tidak mengenali pemilih berkenaan.

“Ini merupakan pemerhatian awal kajian daftar pemilih yang akan didokumenkan untuk dilaporkan kepada SPR dan tertakluk kepada apa-apa maklumat mungkin diperoleh kemudian,” katanya.

BUKIT GANTANG : Ezam Baru Keluar Dari Kotaknya

Ezam Mohd. Noor, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Rakyat dalam kempen pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau membuka cerita lama kononnya barisan pemimpin Umno baru sebenarnya merupakan pasukan idaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada dalam Umno.

Ezam dalam kempennya di Bukit Gantang kelmarin dan di Bukit Selambau malam tadi berkata, Anwar yang merupakan bekas Timbalan Presiden Umno pernah menganggap Presiden semasa, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai "antara orang paling cerdik."

"Saya pernah tanya Anwar masa beliau jadi Ketua Pemuda Umno, siapa yang paling beliau risau... beliau mengatakan nama Najib... dia kata Najib yang paling cerdik di kalangan barisan Pemuda.

Ramai beranggapan pendedahan Ezam sejak mula menyertai UMNO semula sentiasa membawa perkata-perkara yang tidak relevan di dalam siri ceramahnya dan Ezam dianggapnya sebagai orang yang beru "keluar dari kotaknya".

"Kalau nak ditelanjangkan Ezam, lagi banyak yang boleh kami lakukan, tapi kami tidak berkempen secara demikian," kata seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan di sini sewaktu mengulas kenyataan terbaru Ezam.

"Itu hal dulu, samalah dengan Ezam, dulu siapa yang panjat pagar rumah Anwar pada 19/11/99 kerana tergilakan Nurul Izzah untuk berikan sejambak bunga kalau bukan si abang enam kotak yang bernama Ezam ini," tambahnya.

Ezam sehingga kini masih gagal untuk mendedahkan isu rasuah kerajaan Barisan Nasional yang dakwanya satu ketika ada menyimpan dokumen sebanyak enam kotak.

Beliau yang dipercayai telah disogok untuk menyertai UMNO semula kian hebat berkempen memburukkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar sepertimana yang beliau telah lakukan di dalam beberapa siri pilihanraya termasuklah di Kuala Terengganu sebelum ini.

Namun, malang bagi Ezam, tiada siapa yang memperdulikannya dan pendedahan-pendedahannya dianggapkan oleh banyak pihak sebagai pendedahan kepada sikapnya yang hipokrit dan dianggapkan sebagai seorang yang telah menjual perjuangnnya selama ini untuk mendapat ganjaran keduaniaan.

BUKIT SELAMBAU : AMK Ada Bukti Kukoh Kewujudan Pengundi Hantu

Fenomena pengundi hantu menular sekali lagi pada pilihanraya kecil Bukit Selambau, Kedah.

Angkatan Muda Keadilan mengesan 63 peratus pengundi di satu kawasan perumahan sebenarnya pengundi hantu dari beberapa negeri lain.

Timbalan Ketua AMK Fariz Musa berkata Sistem Menang Pilihanraya (Sismep) PKR mengenalpasti 76 buah rumah di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang menempatkan 16 hingga 60 pengundi hantu.

“Di lokaliti Taman Bandar Baru yang mempunyai 3544 penduduk, sebanyak 2, 215 daripada pengundi di kawasan ini adalah pengundi ragu, atau lebih dikenali pengundi hantu,” kata Fariz.

Beliau menambah data ini diperoleh dari daftar pengundi Suruhanjaya Pilihanraya yang akan digunakan pada 7 april nanti.

Beliau memberi contoh, kediaman beralamat no. 3 di Taman Bandar Baru menempatkan 60 orang orang Melayu, Cina dan India.

“Begitu juga berdasarkan kad pengenalan mereka, terdapat kod-kod bukan dari negeri Kedah: 07, 06, 08, 04, 10, 11, 12, 13 dan sebagainya,” tegas beliau.

Beliau berkata penemuan ini baru terhad di Taman Bandar Baru sahaja, dan AMK akan melebarkan lagi pencarian meliputi seluruh Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau.

“Kita akan kumpulkan maklumat dari kawsan-kawasan lain, dan kami akan kemukakan memorandum bantahan kepada SPR,” kata Fariz.

“Kami serius dalam hal ini, bukan lagi sekadar menyerahkan memorandum. Kami bersedia hadapi risiko termasuk juga tekanan dari pihak-pihak yang tidak senang dengan tindakan yang sedang kami ambil ini untuk memastikan sebuah piihanraya yang bersih,” tambahnya.

AMK menggesa SPR membersihkan daftar pengundi dengan kadar segera bagi memastikan perjalanan pilihanraya bergerak lancar dan mempunyai kredibiliti.

”Tindakan pembersihan oleh SPR tidak serius. Setiap pilihanraya, kami dapat kesan pengundi-pengundi hantu seperti ini, tetapi kes pengundi hantu di bukit Selambau kali ini adalah yang paling serius,” katanya.

“Kita mendesak SPR supaya segerakan pembersihan ini. Kami mahukan ketelusan, dan biarkan rakyat Selambau tentukan siapa mereka mahu sebagai wakil rakyat mereka,” tegas Fariz.

laporan: TVAntara
Video: Edisi 7



BERITA BERKAITAN

BUKIT GANTANG : MAFREL Kesan Nama Si Mati Dalam Daftar Pemilih

BUKIT GANTANG : Zambry Kecut Kerana Aminkan Qunut Nazilah

Menteri besar kerajaan haram BN di Perak sudah tidak mepunyai isu yang lain tetapi terpaksa menggunakan isu "rampas masjid" yang direkanya untuk mencemarkan imej Nizar dengan harapan rakyat mempercayainya.

Hari ini beliau sekali lagi menuduh Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah merancang untuk menimbulkan suasana tidak senang di Masjid Simpang malam kelmarin ketika Barisan Nasional (BN) menganjurkan majlis solat hajat dan bacaan Yassin.

Mungkin kerana rasa "terpukul" kerana telah terperangkap dan terpaksa mengaminkan doa "qunut nazilah" yang dibacakan oleh Nizar menyebabkan beliau tidak tidur lena apatah lagi merasakan keaiban yang menimpanya di hadapan pembesar nombor dua negara ketika itu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang ada turut serta di dalam majlis tersebut.

Walaupun Nizar berkata telah dijemput oleh imam masjid, bagi saya ini satu adalah tindakan yang telah dirancang awal oleh Nizar," kata Zambry.

Kata Zambry, tidak dapat dinafikan bahawa Nizar boleh mengimamkan solat dan seterusnya menyampaikan ucapan mentafsir ayat-ayat yang diucapkan sebagaimana pernah dilakukan sebelum ini.

"Bagaimanapun ketika itu, pada majlis anjuran BN, ada ramai pemimpin termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Presiden Umno)... sekurang-kurangnya beliau hormati tetamu majlis dan mengelakkan suasana tidak senang," kata beliau yang turut menekankan bahawa Nizar seharusnya telah mengelak daripada berucap walaupun diminta oleh imam

Banyak pihak mempersoalkan kenyataan Zambry di atas. Apakah yang dimaksudkan dengan "suasana tidak senang"? Bukankah masjid tempat semua umat Islam tanpa mengira kedudukan dan parti? Bukankah masjid itu "rumah Allah" yang tidak boleh dihadkan penggunaaannya kepada kelompok-kelompok tertentu seperti yang dilakukan oleh Zambry dan golongannya? Bukankah beliau dan Tan Sri Muhyiddin yang sepatutnya menghormati Nizar didalam menunjukkan semangat kesetiakawanan dan ukhwah islamiah sekalipun berbeza pandangan politik?

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Mustafa Ali sebelum ini telah membidas sikap Zambry yang menyatakan Nizar sebagai calon DAP sebagai satu sikap yang mengamalkan politik era cara lama yang amat "koman" (tak bernilai). Ia bertentangan dengan seruan pemimpin tertinggi UMNO yang menyeru ahli UMNO mengamalkan politik baru untuk perubahan tetapi yang nyata ahli UMNO gagal menghayatinya dan masih gagal untuk berubah.


BATANG AI : Reformasi - Jeritan Batin Kaum Dayak Inginkan Perubahan

Laungan Reformasi kedengaran di sana sini di kawasan pilihanraya N29 Batang Ai Sarawak - sesuatu yang belum pernah didengar sebelum ini. Ia mengubah bumi Sarawak - bumi kenyalang dengan membawa satu harapan baru untuk masyarakat dayak khususnya di Batang Ai.

Sarawak yang telah berada di dalam cengkaman Mohd Taib Mahmud yang telah menjadi Ketua Menteri Sarawak melebihi dua dekad, ramai pemerhati politik berpendapat ia satu jangkawaktu yang luarbiasa lamanya.

"Pemerintahan yang terlalu lama menjadikan segala macam korupsi tidak terbongkar dan itulah yang sedang berlaku di Sarawak sekarang ini," kata seorang pensyarah sains politik.

"Rakyat Sarawak menjadi mangsa penipuan kepada setiap kali datangnya pilihanraya, mereka akan ditaburkan gula-gula, sementelah lagi jika rakyat di sesuatu kawasan itu masih ketinggalan, masih kurang pendidikan dan masih hidup di bawah paras garis kemisikinan," ujarnya.

Pilihanraya kecil Batang Ai adalah pencetus satu reformasi - satu harapan baru bukan sekadar untuk penduduk Batang Ai semata-mata, tetapi untuk sekalian masyarakat bumi Sarawak - tanah Srawak perlu direbut kembali sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta dari tangan perompak yang telah lama merompak hasil mahsul bumi Sarawak untuk kepentingan suku sakatnya. Ayuh REFORMASI!




ISU KE BUKIT SELAMBAU : Apa Jadi Dengan Kes Kugan?

Kes Kugan Ananthan yang mati ketika disoal siasat dalam tahanan polis pada 20 Januari lalu sehingga kini masih lagi tiada beritanya. Setelah lebih dua bulan, nampaknya kertas siasatan kedua yang dijanjikan masih tiada sebarang berita.

11 orang anggota polis sekadar dipindahkan tetapi belum ada sebarang pendakwaan walaupun kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar yang dipercayai sebelum ini berusaha untuk melakukan "cover-up" terhadap jenayah yang dilakukan oleh polis sehingga menyebabkan kematian Kugan masih lepas bebas sekalipun sepatutnya beliau telah dipecat dari jawatannya.

Perbuatan melengahkan pengumuman kes Kugan ini serta pendakwaan ke atas "penjenayah" yang telah menyebabkan kematiannya amat dikesalkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan perlu tampil memberikan penjelasan mengapa sehingga kini polis masih gagal untuk menyiapkan kertas siasatan yang telah diserahkan kembali oleh Peguam Negara untuk diperbetulkan.

Rakyat telah menuntut agar sebuah badan siasatan yang bebas dan telus diwujudkan serta merta bagi menyiasat insiden kematian Kugan Ananthan titapi tidak diendahkan.

Rakyat tidak mungkin boleh memaafkan di atas kezaliman polis yang bukan sahaja menyebabkan kematian Kugan, namun tidak mungkin juga memaafkan perbuatan pasukan polis yang cuba menutup kes ini daripada dibicarakan sehingga tertangkap dan terhukum sekalian anggota polis yang telah menyebabkan kematian Kugan.



ISU KE BUKIT GANTANG : Syed Hamid Enggan Letak Jawatan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata beliau belum memikirkan sama ada mahu meletak jawatan dalam kabinet selepas gagal merebut jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan parti Khamis lepas, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Beliau berkata perkara itu terserah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku bakal Perdana Menteri.

"Apa saja keputusan yang hendak dibuat, saya rasa ia tidak harus diheboh-hebohkan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Syed Hamid tewas di dalam pemilihan UMNO untuk jawatan Naib Presiden dengan hanya memperolehi 410 undi, yang kedua tercorot dan hanya berkedudukan lebih baik sedikit daripada Rahim Tambi Chik. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang masih baru dan datang dari negeri Johor juga sekalipun kalah tetapi mampu mendapat 1,397 undi.

Ketewasan Syed Hamid itu jelas membuktikan beliau sebenarnya tidak lagi mempunyai apa-apa kekuatan di dalam partinya.

Beliau yang sehari dua sebelum pemilihan berlansung telah menggantung Harakah dan Suara Keadilan dan kini beliau perlu membayar "harga"nya dengan menerima hukuman "digantung" oleh ahli UMNO sendiri. Seringkali kita beri amaran kepadanya supaya jangan berlaku zalim ke atas rakyat kerana kezaliman itu akan hanya berbalik kepada diri sendiri.

Namun ianya tidak diendahkan.

Dan kini tanpa sebarang "kemaluan", masih ingin terus memegang jawatan menteri. Itu prinsip mereka yang bermuka tembok, itu prinsip orang yang tiada maruah dan harga diri. Sampai bila agaknya Syed Hamid mampu melawan kuasa rakyat?