11 Mac 2009

Mahkamah Paksa Sivakumar Guna Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri

Satu keputusan yang pelik bin ajaib dilakukan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim yang memutuskan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar tidak boleh mewakili dirinya sendiri dalam satu permohonan oleh tiga wakil rakyat Bebas bagi mengisytiharkan sebagai tidak sah keputusan beliau melibatkan kedudukan mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan bahawa Sivakumar hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri.

Beliau membuat keputusan itu dalam kamarnya mengikut Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan selepas membenarkan bantahan awal pihak plaintif yang mempertikai permohonan Sivakumar untuk mewakili diri sendiri.

Ketiga-tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi masing-masing tidak kosong dan mereka masih wakil rakyat yang sah setelah Sivakumar memutuskan yang mereka telah mengosongkannya.

Peguam Chan Kok Keong yang mewakili Sivakumar pula berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan terhadap keputusan mahkamah pada Khamis lepas.

Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman berkenaan telah menambahkan lagi keraguan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman yang nyata keputusannya itu adalah seseatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman di Malaysia.

Ia juga seperti hakim tersebut telah "menjatuhkan hukuman" terlebih awal kepada Sivakumar sebagai plaintif di dalam kes tersebut dengan memaksa beliau menerima Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri sbagai Peguam.






Pertemuan Abdullah Anwar Jadi Tandatanya

PPerdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan pertemuan tidak dijangka beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bermotifkan politik.

Abdullah yang akan bersara selepas perhimpunan Agung Umno bulan ini juga menolak spekulasi blog sejak semalam.

"Tiada perbincangan antara saya dengan Anwar. Kami bertemu secara kebetulan," katanya kepada pemberita selepas melawat pengkalan tentera laut, di Sepanggar hari ini.

Abdullah berkata, beliau telah dijemput oleh seorang ulama terkenal, Ustaz Sheikh Mahmud Al-Mazjub untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul.

Kedua-duanya dilaporkan bertemu empat mata dengan kehadiran pengasas Madrasah Nurul Iman, Syeikh Mahmud al-Majzub selama 20 minit.

Spekulasi menyatakan dalam pertemuan tertutup itu, Anwar telah membangkitkan kemampuan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggantikan Abdullah. Namun Abdullah telah menyatakan bahawa masanya telah terlambat untuk mengubah kuputusan peralihan kuasa.

Ketika ditanya bilakah tarikh rasmi peralihan kuasa beliau kepada Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Abdullah bekata:

"Sudah tentu ada tarikh. Saya sudah berbincang dengan Najib. Saya akan umumkan secara rasmi nanti."



GMP Berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau

Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan mengadakan kempen membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau.

Setiausaha GMP, Hasni Abas berkata, Gabungan itu pernah berkempen ketika berlangsung pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, Januari lalu.

Mereka menabur kira-kira 50,000 risalah yang menyifatkan PPSMI sebagai satu "pengkhianatan" terhadap bangsa dan negara.

Mengulas mengenai perkara tersebut, timbalan setiausaha GMP Suhaizan Kaiat menambah selain untuk berkempen, ia ke sana untuk “membalas jasa” penyokong-penyokong yang hadir dalam demonstrasi Sabtu lalu.

"Kita akan ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau untuk berkempen berhubung isu PPSMI dan membalas jasa mereka yang hadir (dalam demonstrasi)," katanya.

Markas GMP di kedua-dua tempat itu telah diwujudkan. Naib Pengerusi GMP, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan berkata bahawa GMP akan berkempen membantu calon yang menyokong PPSMI dimansuhkan.

"Kami tidak segan-segan untuk mengatakan bahawa kami akan memberikan penjelasan yang sama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau .. ini bukan kerana politik atau tidak politik..,' tegas Prof. Abdullah.

Rakyat Perak dan Kedah menyambut baik terhadap langkah GMP yang akan turut membantu berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Ia adalah satu kemenangan moral untuk Pakatan Rakyat untuk merobohkan keangkuhan pihak-pihak tertentu untuk terus untuk menggunakan dan melaksanakan dasar-dasar yang merugikan bangsa dan negara.

Ini katanya akan membuka mata pihak UMNO-BN yang rata-rata telah mencemuh dan mengherdik perjuangan cerdik pandai ini sekaligus memberi tamparan kepada pihak polis yang menjadi kuda tunggangan UMNO yang bertindak zalim ke atas peserta-peserta perhimpunan Anti-PPSMI yang berlaku 7 Mac lalu.



Isu PPSMI - Nik Aziz Bidas Hishamuddin

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas kenyataan Memteri Pelajaran Dato Seri Hishamuddin Hussein yang menuduh ada pihak mengambil kesempatan dari perhimpunan yang diadakan pada 7 Mac lalu.

Menurut Nik Aziz, pembabitan pembangkang dalam demonstrasi anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) bukan bertujuan mengambil kesempatan tetapi kerana mempunyai pandangan sama terhadap isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, disebabkan kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan GMP mempunyai aliran yang sama maka berlakulah demonstrasi itu secara serentak.

"Ya lah, aliran pemikiran serupa, mana ada manusia yang cintakan bahasa tidak mahu masukkan ilmu Sains dan Matermatik dalam bahasa Melayu, kami pembangkang juga setuju," katanya ketika diminta mengulas penglibatan PAS dalam demonstrasi membantah pelaksanaan PPSMI di ibu negara Sabtu lepas.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demonstrasi itu diadakan kerana kerajaan tidak mempeduli bantahan yang dibuat oleh orang ramai berhubung isu PPSMI.

Hishammuddin pada hari ini pula mengubah iramanya apabila berkata kerajaan tidak pernah mempertikaikan keikhlasan Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) yang membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita juga ingin perjuangkan dan perkasakan bahasa kebangsaan, (tapi) bila ia dibawa ke tepi jalan, dipolitikkan, itu akan mengeruhkan keadaan," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya percaya pihak parti pembangkang selama ini telah mengambil kesempatan dengan menjadikan isu ini (PPSMI) sebagai platform bagi mengelirukan rakyat sekali gus menimbulkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Saya sedar bahawa mereka telah mengambil kesempatan terhadap niat ikhlas kumpulan pejuang bahasa ini dan menggunakan peluang yang ada dengan apa cara sekalipun bagi meraih sokongan politik tanpa mempedulikan kesan dan natijahnya kepada keharmonian dan kesejahteraan negara," katanya.

Nik Aziz menegaskan kerajaan sebenarnya tidak memahami dengan kehendak pejuang bahasa yang mahu bahasa Melayu diutamakan sehingga sanggup menuduh GMP diperalatkan pembangkang.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad semalam telah menafikan bahawa mereka didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam isu bantahan itu.

Kenyataan Hishamuddin yang menyatakan GMP telah diperalatkan oleh pembangkang membuktikan beliau cuba menyembunyikan kelemahan dan sikap beku dan angkuh Kementerian Pelajaran di dalam isu PPSMI sekalipun telah ditegur oleh Perdana Menteri yang mahu isu itu diselesaikan segera.



Musa, Gani tidak palsukan bukti mata lebam Anwar. Rakyat mana yang percaya?

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam sesi soal jawab di Parlimen hari ini, Ketua polis negara dan peguam negara didapati tidak terlibat dalam kesalahan jenayah berhubung isu memalsukan bukti dalam siasatan kes mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Jawapan tersebut memang sudah dijangka oleh banyak pihak. Ini kerana siasatan sewaktu itu dilakukan oleh BPR yang belum bertaraf SPRM yang pada ketika itu tiada sebarang jawatankuasa untuk menasihat dan memantau perjalanan dan operasi siasatan. Sementelah lagi terdapat banyak keraguan terhadap perjalanan siasatan kes-kes yang dilaporkan kepada BPR sebelum ini apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM (dulu ketua Pengarah BPR) Ahmad Said Hamdan mempunyai track-record yang buruk di dalam mengetuai badan berkenaan sampai kini.

Sekalipun dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, SPRM telah melantik tiga panel bebas yang terdiri daripada bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan Datuk Mohamad Noor Abdullah serta bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Noor Ahmad bagi mengkaji dan membuat perakuan terhadap kes tersebut.

"Panel bebas ini tidak sesama mereka dan telah membuat ulasan secara profesional, telah mengkaji kes secara teliti dan mendalam.

"Secara majoriti diputuskan Peguam Negara tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah seperti yang ditohmahkan dan tidak ada sebarang keterangan terhadap Ketua Polis Negara," katanya ketika menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar membuat aduan polis terhadap kedua-dua pegawai tinggi kerajaan itu pada 1 Julai tahun lalu sewaktu mantan timbalan perdana menteri tersebut disiasat berhubung dakwaan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dalam laporannya itu, Anwar berkata kedua-duanya memalsukan keterangan serta menyembunyikan fakta dalam siasatan serangan fizikal terhadapnya oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor daripada pengetahuan umum sehingga matanya yang lebam didedahkan di mahkamah olehnya sendiri.

Pada masa itu Musa seorang pegawai penyiasat, manakala Abdul Gani pula merupakan ketua pendakwaan terhadap kes rasuah Anwar.

Dalam laporan polisnya, Anwar memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti apabila kedua-dua mereka dikatakan telah secara aktif terlibat dalam penyediaan laporan perubatan kedua yang menyimpulkan kecederaan yang dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, sebaliknya menyimpulkan kemungkinan kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan.

Perjalanan institusi kehakiman negara yang ada kini telah lama menjadi begitu tempang apabila rakyat mengesani bahawa Peguam Negara memainkan peranan utama di dalam setidak-tidaknya menentukan hakim yang mendengar kes-kes disamping dikatakan menjadi "the invisible hand" terhadap beberapa keputusan yang meragukan.

Contoh paling ketara ialah dalam penghakiman kes Anwar yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Hakim Mohamad Zabidin berkata, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah telah terkhilaf dalam memutuskan sijil pemindahan kes yang ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai tidak sah.

Katanya, Abdul Gani hanya menjalankan fungsi pentadbiran dengan menandatangani sijil tersebut dan bukan menjalankan fungsi penghakiman atau separa-penghakiman.

"Oleh itu, beliau bukan melaksanakan fungsi kehakiman atau separa kehakiman. Beliau semata-mata menjalankan tugas pentadbiran yang ada dalam kuasanya dan yang perlu dilaksanakannya sendiri," katanya.

Ini jelas satu ketempangan yang serius di dalam proses keadilan bahawa seorang pencuri yang bertindak sebagai seorang kerani masih boleh berkhidmat sebagai kerani kerana ia hanya menjelaskan tugas-tugas perkeranian yang tidak mungkin mencuri. Logikkah demikian?

Adalah terlalu wajar untuk setiap pihak memahami bahawa keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan tetapi perlu dilihat telah ditegakkan dan Mahkamah bertanggungjawab menegakkan prinsip tertinggi keadilan, kesaksamaaan dan kebebasan.

Adalah wajar Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk meletakkan jawatannya semasa kes-kes mereka disiasat kerana kehadiran mereka dipejabat-pejabatnya akan hanya menimbulkan prasangka dan mencemarkan imej institusi yang mereka pegang kini.

Rakyat Malaysia sudah serik dan sudah muak dengan kisah institusi-institusi yang telah tidak berfungsi secara adil dan telus seperti yang dilakukan oleh SPRM, Polis malah oleh hakim-hakim yang khianat sepertimana yang terdedah di dalam siasatan kes pita video V.K.Lingam.

Satu pembersihan secara total perlu dilakukan terhadap institusi-institusi ini daripada terus menjadi pertikaian dan bahan lawak oleh rakyat yang sekarang ini mahu melihat kebenaran dan keadilan itu dapat ditegakkan tanpa kes berpilih, tanpa pilih-kasih dan tanpa manipulasi dari mana-mana pihak yang berkepentingan.

Sembah Melayu Dengan Budayanya

Pelbagai pihak termasuk ahli-ahli akademik berwibawa menyembah kasih ke bawah DYMM Sultan Perak, Paduka Seri Sultan Azlan Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff memohon baginda menasihati Dato' Zamry Abdul Kadir mahupun Dato' Seri Ir Muhamad Nizar Jamaluddin bagi membubarkan DUN Perak.

Kebijaksanaan Sultan Azlan Shah dengan membubarkan sahaja krisis perlembagaan boleh diselesaikan. Justeru baginda seharusnya prihatin dengan rakyat jelata yang memerlukan sebuah kerajaan yang stabil bukannya rapuh, lapuh dan lumpuh. Kerajaan yang ditubuhkan oleh UMNO di Perak sekadar menjadikan bangsa Melayu 'tak dapat tanduk telinga dipulas'.

Krisis perlembagaan sudah diperjelaskan oleh pakar undang-undang dan perlembagaan dengan kenyataan bekas Presiden Majlis Peguam Dato' Param Coomarasamy, Presiden Majlis Peguam Dato' Ambiga Sreenivasan dan ilmuan undang-undang Profesor Aziz Bari. Kenyataan Menteri Luar Negeri Dato' Seri Dr Rais Yatim adalah 'memihak' disebabkan atas kapisiti apa beliau menyampaikan pandangan. Kalau berdasarkan beliau seorang peguam berpengalaman, setakat ini belum pernah beliau mengendalikan kes-kes besar di mahkamah secara profesional, apalagi kedudukan beliau sekadar Menteri Luar sahaja. Justeru semua pihak yang terbabit dengan perundangan bersetuju DUN Perak wajib dibubarkan.

Rakyat di Perak khusunya dan di Malaysia amnya menunggu kebijaksanaan DYMM Paduak Seri Sultan Perak berlaku adil kepada semua pihak, dengan menasihati Dato' Zamry dan Dato' Seri Muhamad Nizar membubarkan DUN Perak. Rakyat mengkritik kepongahan UMNO menyebabkan kecelaruan di Perak, malah tak pernah mempertikai kedaulatan institusi istana seperti juga keperihalan Hang Jebat di istana Melak yang bangkit menentang kedurjanaan Pateh Karma Wijaya dan Tun Bija Sura Ali. Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee juga tak menghina raja-raja Melayu apabila memilemkan 'Nujum Pak Belalang', 'Musang Berjanggut', dan 'Antara Dua Darjat'.

P. Ramlee menggambarkan raja merangkak di gua kerana kehilangan mahkota dalam 'Nujum Pak Belalang', atau diperkuda oleh seorang wanita di dalam bilik tidur menerusi filem 'Musang Berjanggut', malah individu berdarah tengku menghina pemuzik dalam 'Antara Dua Darjat' adalah sinikal kepada keperongosan mereka yang berkuasa seperti UMNO. Secara rasional selepas pemilihan UMNO 24-28 Mac 2009 ini, UMNO di Perak semakin kucar kacir sekiranya dominasi kuasa tak mencapai sasaran. UMNO akan kembali kepada senario 1987, dan Perak semakin kalut, kemelut dan kelabut dengan perbuatan-perbuatan UMNO yang sekian lama mengumpulkan dosa kepada rakyat dan menggugat institusi raja-raja. Isy isy isy!

Dharmala N.S


Pakej Ransangan Ekonomi Najib, Hutang Negara Meningkat

Orang yang dilaporkan akan mengambil alih Perdana Menteri pada penghujung bulan ini tidak banyak berbicara mengenai falsafah ekonominya. Namun pengumuman pakej RM60 billion untuk merangsang ekonomi negara, menjelaskan satu hal: Najib Razak bukan seorang pembaharu sistem pasaran bebas.

Najib, yang sekarang ini Timbalan Perdana Menteri, menyifatkan pakej yang dibentangkan semalam sebagai “yang belum pernah berlaku di dalam sejarah negara.”

Untuk perbelanjaan secara kasarnya 9 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2008 untuk tempoh 2 tahun, bukan sesuatu yang ditokok-tambah. Malaysia akan meningkatkan hutang untuk menampung keperluan tersebut. Defisit fiskal kini diramalkan mencecah paras 7.6 peratus dari KDNK, meningkat dari 4.8 peratus.

Malaysia mengikut jejak-langkah dasar fiskal negara-negara Amerika, Australia dan Japan, namun ia bukan satu langkah yang bijak.

Pembentukan “ransangan” dari kesemua perbelanjaan ini dijangkakan begitu terhad. Kebanyakan wang akan dibelanjakan ke atas jaminan pinjaman, prasarana dan pengembangan sektor awam, berbanding dengan potongan cukai yang mampu menjanakan ransangan pertumbuhan yang produktif.

Syarikat pelaburan negara, Khazanah, misalnya, akan diperuntukkan RM10 billion. Projek pertanian terpilih dan syarikat automatif negara juga menerima bahagian peruntukan masing-masing. Kerajaan sendiri akan mengambil 63,000 kakitangan untuk mengisi kekosongan jawatan dan sebagai pegawai kontrak di pelbagai agensi Kerajaan.

Kesemuanya ini merupakan perulangan berkesan terhadap polisi-polisi usang, yang-terbaik-dari-kerajaan. Ia merupakan keterbalikan daripada apa yang sebenarnya diperlukan oleh Malaysia, iaitu untuk meninggalkan pemikiran tersebut dan beralih kepada iklim perniagaan yang menggalakan pelaburan persendirian dan keusahawananan. Kerajaan meramal KDNK akan menguncup 1 peratus tahun ini.

Pengembangan fiskal semalam juga merupakan satu risiko politik untuk Najib dan juga partinya. Pengundi Malaysia, yang sudah bosan dengan politik perkauman amalan BN dan pertumbuhan ekonomi yang lembab, telah menyerahkan lebih kurang satu pertiga kerusi parlimen tahun lalu kepada parti pembangkang dan kejayaan di dalam dua pilihanraya kecil selepasnya.

Jika pakej Najib ini tidak berkesan, para pengundi akan memprotesnya pada pilihanraya yang akan datang.

Terjemahan dari The Wall Street Journal oleh Greenboc.

_____________________________________________

Berikut intipati pakej rangsangan kedua:

# Pembeli rumah diberikan pelepasan cukai bagi faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan sehingga RM10,000 setahun selama 3 tahun;

# Tambahan RM200 juta bagi membina Rumah Mesra Rakyat untuk golongan berpendapatan rendah;

# Dana RM1.6 bilion untuk menggalakkan pelaburan;

# RM200 juta untuk membaiki dan menyenggara longkang dan jalan;

# RM150 juta untuk menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian, menyelenggara dan membaik pulih rumah kebajikan, balai dan kuarters bomba serta tandas awam di masjid, surau dan kawasan pelancongan;

# Kerajaan akan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan syariah berjumlah RM5 bilion tahun ini;

# RM1.95 bilion untuk membina dan menambah baik kemudahan 752 sekolah, terutamanya di kawasan luar bandar serta Sabah dan Sarawak, di mana RM300 juta akan digunakan untuk menambah baik kemudahan sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil dan sekolah mubaligh;

# RM230 juta diperutukkan untuk meningkatkan kemudahan asas terutamanya bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak;

# RM350 juta peruntukkan untuk pembinaan jalan luar bandar;

# Subsidi RM674 juta untuk mengelak kenaikan harga barangan keperluan seperti gula, roti dan tepung; *

# RM480 juta untuk menampung kenaikan kadar tol; *

# Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan RM500 juta untuk Program enyenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dengan dengan memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak;

# RM1.2 bilion diperuntukkan untuk menyediakan infrastruktur dan
meningkatkan aktiviti ekonomi di Sabah dan Sarawak;

# RM300 juta untuk program mikro kredit tanpa cagaran di bawah AgroBank bagi embantu petani dan peniaga berasaskan pertanian di luar bandar serta RM50 juta untuk program di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun);

# Tabung Kebajikan Nelayan sebanyak RM2 juta akan diwujudkan dan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia;

# RM20 juta akan disediakan untuk meningkatkan kemudahan pusat penjagaan harian warga tua, memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita dan menambah kemudahan pusat asuhan kanak-kanak;

# Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai yang diberi ke atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan sebanyak RM6,000 sekarang dinaikkan kepada RM10,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan;

# Kerajaan mewujudkan skim Jaminan Modal Kerja berjumlah RM5
bilion untuk membiayai modal kerja syarikat yang mempunyai dana pemegang ekuiti di bawah RM20 juta;

# Kerajaan akan wujudkan Institusi Jaminan Kewangan dengan modal berbayar permulaan RM1 bilion, bagi menyediakan penambahan kredit kepada syarikat yang bercadang mendapatkan pembiayaan pasaran bon. Dijangkakan bon-bon berjumlah RM15 bilion akan diwujudkan menerusi kemudahan berkenaan;

# Terbitan hak oleh syarikat tersenarai tidak lagi perlu kelulusan
Suruhanjaya Sekuriti;

# Bagi menggalakkan pengambilalihan dan penggabungan, Kod untuk tujuan itu tidak lagi terpakai kepada Syarikat Sendirian Berhad;

# Hanya Suruhanjaya Sekuriti perlu dimaklumkan mengenai sebarang pindaan mengenai terma dan syarat terbitan bon dan sukuk;

# Bon boleh tukar dikecualikan daripada keperluan penarafan mandatori;

# Status penduduk tetap boleh dipertimbang sebagai warga asing yang memiliki set bersih tinggi dan membawa masuk lebih AS$2 juta pelaburan atau penabungan di Malaysia, sebagai usaha untuk membawa memasuk indvidu beraset besar dan
berkemahiran tinggi;

# Golongan profesional berkemahiran tinggi juga boleh dipertimbangkan untuk diberi status yang sama;

# Berkuatkuasa 1 Feb, pembayaran levi bagi Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan dikecualikan selama enam bulan untuk majikan industri tekstil, elektrik dan elektronik;

# Berkuatkuasa 1 April, kadar pembayaran levi akan dikurangkan kepada 0.5 peratus daripada satu peratus bagi semua majikan untuk tempoh dua tahun;

# Tambahan RM200 juta kepada Dana Pembangunan Automotif;

# Kerajaan akan membantu skim pelupusan kereta Proton dan Perodua, dengan diskaun RM5,000 akan diberikan kepada pemilik kereta sebarang jenama kereta yang ingin melupuskan kereta mereka yang berusia 10 tahun untuk membeli kereta baru Proton dan Perodua;

# Malaysia Airports Holdings Bhd akan membina dan mengendalikan lapangan terbang syarikat penerbangan tambang murah (LCCT) baru di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada anggaran kos RM2 bilion;

# RM250 juta untuk memperluaskan Lapangan Terbang Pulau Pinang;

# Rebat 50 peratus ke atas caj pendaratan akan diberikan kepada semua syarikat penerbangan yang mempunyai operasi di negara bagi tempoh dua tahun mulai 1 April;

# Untuk pelaburan antara 10 Mac, 2009 dan 31 Dis, 2010, kerajaan mencadangkan perbelanjaan loji dan jentera diberikan Elaun Modal Dipercepatkan, yang boleh dituntut dalam tempoh dua tahun;

# Bagi membantu syarikat yang terjejas akibat kesan krisis ekonomi, kerajaan mencadangkan kerugian tahun semasa syarikat dibenarkan dibawa ke tahun sebelumnya. Ini bagi membantu aliran tunai syarikat berbanding layanan cukai sedia ada. Jumlah kerugian yang dibenarkan sehingga RM100,000 setahun yang terpakai bagi tempoh taksiran 2009 dan 2010;

# Paras threshold untuk levi keuntungan luar biasa ke atas sawit akan dinaikkan kepada RM2,500 satu tan untuk Semenanjung Malaysia dan RM3,000 untuk Sabah dan Sarawak.

# RM200 juta untuk menaik taraf infrastruktur di tempat tumpuan pelancong;

# Dana pelaburan Khazanah Nasional akan dinaikkan sebanyak RM10 bilion, dan akan dilaburkan dalam tempoh dua tahun dengan memberi keutamaan kepada aktiviti pelaburan domestik yang mempunyai kesan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan;

# RM100 juta untuk membina jejantas dan laluan berbumbung antara bangunan terutaanya di kawasan Setitiga Emas, Kuala Lumpur;

# Kerajaan akan sedia dana berjumlah RM2 bilion bagi membantu pelaksanaan projek menerusi Inisiatif Kewangan Swasta dan usaha sama awam-swasta. Firma swasta akan dipelawa untuk membida bagi memperoleh dana itu;

# Kerajaan bercadang menambah jumlah biasiswa untuk kemasukan ke universiti swasta tempatan;

# Syarikat berkaitan kerajaan akan mendirikan 10 sekolah swasta yang bukan bertujuan membuat keuntungan;

# Sektor perkhidmatan akan diliberalisasikan lagi bagi menarik lebih banyak pelaburan, membawa masuk lebih ramai profesional serta teknologi, selain mengukuhkan daya saingnya;

# Jawatankuasa Pelaburan Asing akan mengguna pakai pendekatan lebih liberal ke arah membawa perubahan positif dan menyediakan persekitaran yang lebih mesra pelabur dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan, termasuk pelaburan langsung asing;

# televisyen Malaysia (RTM) diperuntukkan RM20 juta bagi melaksana beberapa projek untuk membangunkan industri muzik tempatan;

# Semua pemerolehan kerajaan akan dibuat menerusi tender terbuka atau tender terhad, kecuali dalam kes-kes khusus.


Pak Lah Perlu Tangguhkan Peralihan Kuasa Kepada Najib

Pendedahan dibuat media luar negara mengenai hubungan Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak dengan model Mongolia, Altantuya yang mati dibunuh dengan kejam di Malaysia menyebabkan banyak pihak mempertikaikan kredibiliti Najib yang bakal menjadi PM dan kes ini sekaligus mencemarkan imej negara di mata dunia.

Ramai berpendapat Dato Seri Abdullah perlu menilai semula peralihan kuasa kerana Najib bukan orang selayaknya menjadi orang nombor satu negara.

Naib Presdien PAS, Ustadz Ahmad Awang menyatakan dengan pendedahan tersebut adalah paling wajar Najib perlu meletakkan jawatannya sebagai TPM sehingga dibuat pendedahan tersebut dibersihkan.

Setiausaha Agung PAS, Dato Kamaruddin Jaafar pula menyatakan perkara ini sudah tentu merupaka isu yang amat besar yang mesti Najib dan negara selesaikan untuk adanya peralihan kuasa di dalam negara ini.

Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli menjelaskan bahawa sekalipun tanpa pendedahan kes Altantuya oleh akhbar Perancis berkenaan, Najib tidak layak untuk menjadi PM dan pendedahan ini menambahkan lagi keyakinan kita memerlukan PM asalkan bukan Dato Seri Najib.

Dato Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat menggesa Dato Seri Abdullah mengambil tanggungjawab perkara ini dan bukan oleh pegawai bawahannya, jika rakyat benarkan juga orang sebegini tanpa Najib dibicarakan maka rakyat sendiri yang akan mengikut pemimpin sepertimana yang dijelaskan oleh Al-Quran yang mafhumnya "kami nak masuk neraka kerana mengikut orang yang kami ikut".

Seorang lagi AJK PAS Pusat Ustaz Idris Ahmad berharap Pak Lah dapat menangguhkan dahulu peralihan kuasa kepada Najib dan Najib perlu menjawab serta mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan dakwaan demikian tidak benar.

Ketua Pengarah Strategik PKR, YB Saifuddin Nasution pula memberitahu hal tersebut telah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat pada minggu lalu tetapi tidak mendapat jawapan yang konkrit diberikan. Beliau menambah akhbar yang menyiarkan hal tersebut yang dilakukan secara "investigative reporting" dan oleh kerana itu perkara tersebut tak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana ia menjejaskan imej negara.


Anwar Kemuka Gagasan Ekonomi Pakatan Rakyat

Pada 8 Mac lalu, di dalam Pidato Kebangsaan yang disampaikan sempena Ulngtahun Pertama Pakatan Rakyat di MBSA SHah Alam, Datuk Seri Anwar telah mengutarakan gagasan ekonomi yang menjadi agenda Pakatan Rakyat. Berikut ialah petikannya:

Negara sekarang berhadapan dengan cabaran yang sugguh getir. Kita insaf dengan keadaan ekonomi yang menguncup dan kesan buruknya buat rakyat khususnya kalangan miskin. Pendekatan lama yang menangguk atau menggeruk di atas keperitan hidup rakyat miskin harus berubah. Pemerintah tidak wajar sekadar membantu meredakan sedikit beban rakyat tetapi tidak melepaskan mereka dari putaran ganas kemiskinan; supaya mereka mampu berdikari.

Cara yang diamalkan selama ini dengan memberikan bantuan kecil untuk mengekalkan kebergantungan "dependency syndrome" untuk tujuan politik murahan perlu ditamatkan. Pendekatan arus berubah kepada pinjaman kecil atau kredit mikroumpamanya buat masyarakat Melayu, bumiputera dan rakyat miskin lainnya. Kita perlu melakukan anjakan dalam dasar pembangunan desa dan pendekatan baru dalam menangani kemiskinan bandar.

Dasar membela rakyat termiskin dan terpinggir (affirmative action) bukanlah untuk menjadikan mereka khadam terhormat tetapi harus menjurus ke arah membebaskan mereka dari kebergantungan. Maka sungguh mengelirukan manakala kita diminta bersyukur dengan limpahan projek kecil tetapi dipadam kenyataan bahawa kos sara hidup dan jumlah pengangguran dijangka mencecah 400 ribu orang. Pertumbuhan ekonomi tidak terkesan di akhir tahun 2008. Ekspot januari 2009 mencatat kejatuhan paling teruk sepanjang 28 tahun (menguncup 32% berbanding tahun sebelumnya).

Kita kini harus menangani krisis ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah bangsa kita. Tetapi kita juga berdepan dengan rasuah, krisis undang-undang dan masalah hubungan kaum yang meruncing.

Segala krisis ini hanya boleh diselesaikan melalui agenda ekonomi yang mampu menggembeling seluruh kekuatan rakyat. Menangani kemelut ekonomi yang kian parah menuntut anjakan dari dasar lmbap yang tidak diyakini pelabur dan rakyat. Segala ransangan dana tidak akan berbekas tanpa perubahan sistem percukaian, perundangan dan pengagihan adil.

Justeru itu harus waspada dengan percubaan penguasa dengan menggunakan muslihat baru, memohon diredakan penggeseran politik dengan menumpukan kepada isu kegawatan ekonomi walhasil isu ekonomi tidak mungkin terlepas dari isu perencanaan ekonomi, ketelusan dan pertanggungjawaban.

Ini diperkukuhkan dengan perbicaraan yang dikaitkan dengan peralihan pimpinan negara. Peralihan malah tambah mencemaskan kerana terperangkap dengan dasar usang yang mencengkam kebebasan dan urusan ekonomi yang menjurus kepada rasuah dan penyelewengan.

Perhatikan saja hubungkait permasalahan ekonomi dengan pengurusan negara. Beban rakyat bertambah akibat kebocoran atau ketirisan - kos air, letrik dan tol meningkat. Ini juga berpunca akibat kecurangan dan perjanjian memihak kepada pemodal dan membebankan rakyat samada konsesi tol lebuhraya atau janakuasa bebas (IPP).


Selangor Negeri Pertama Isytihar Asset Secara Online

Kerajaan Selangor akan menjadi negeri pertama yang akan melakukan perisytiharan aset Menteri Besar dan para exconya secara talian di dalam laman web rasmi kerajaan negeri beberapa hari lagi.

Langkah tersebut sebagai menyahut titah Sultan Selangor sewaktu merasmikan sidang penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, baginda bertitah pengisytiharan aset tersebut dibuat bagi melaksanakan dasar pentadbiran baik yang dipromosikan dalam konsep kompeten, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

Kerajaan negeri Selangor pimpinan bekas Menteri Besar dan anggota Exconya tidak mengisytiharkan aset masing-masing.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihaknya tidak menemui apa-apa perisytiharan harta dibuat oleh bekas Menter Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan barisan Excony.

Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah, “Pada masa hadapan, beta menaruh keyakinan kerajaan negeri akan melaksanakan secepat mungkin pengisytiharan aset semua ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dalam usaha meletakkan Selangor di hadapan daripada aspek pelaksanaan tadbir urus yang baik."

Titah baginda lagi, pengisytiharan aset itu sewajarnya boleh dicapai orang ramai secara dalam talian.

Dalam ucapan hampir dua jam itu, Sultan Selangor turut berharap beberapa isu berbangkit di negeri itu – antaranya penstrukturan semula aset dan bekalan air, pembersihan Sungai Klang, sistem pengangkutan awam, peningkatan jenayah dan pemilikan tanah orang Asli – dapat diselesaikan segera.

Mengulas keselamatan di negeri itu, Sultan Sharafuddin bertitah, jumlah anggota polis perlu ditambah bagi mengimbangi nisbah penduduk di negeri itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disarankan mengkaji penubuhan polis bantuan bagi menyokong usaha membeteras jenayah oleh polis yang menurut baginda mengalami kekurangan pegawai.

“Di samping itu, beta turut menyarankan skim gaji dan upah polis dikaji semula, seiring dengan pengorbanan dan sumbangan mereka yang berkhidmat untuk negara kita yang dicintai,” titah baginda.

Mengulas mutu alam sekitar di negeri itu, baginda bertitah, sudah sampai masanya kerajaan negeri memikirkan secara serius pembersihan Sungai Klang secara menyeluruh.

“Ini mungkin memakan masa sepuluh hingga 20 tahun, seperti mana pembersihan sungai yang pernah dijalankan di seluruh dunia,” titah tuanku.

Berhubung penstrukturan semula air di negeri itu yang menyaksikan ketegangan terbuka antara kerajaan dengan syarikat konsesi, baginda bertitah:

“Beta faham industri air ini teramat kompleks dan melibatkan banyak analisis kewangan. Oleh itu, beta berharap harga yang ditawarkan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi air berpatutan dan sesuai bagi memudahkan rundingan.”

Sultan Sharafuddin juga menyeru semua pihak menghormati sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan undang-undang negara dengan tidak menafsirkannya sesuka hati.

“Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tubuh kerajaan Selangor dan undang-undang negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing,” titah baginda.

Sidang DUN akan berlangsung selama seminggu sehingga 17 Mac ini.


PAS Johor Desak Laporan SPRM Terhadap Syed Hamid

PAS Johor hari ini telah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan perkembangan semasa terhadap aduan berhubung dua laporan yang telah diserahkan kepada BPR sebelum ini.

Yang Pertama ialah dakwaan untuk merasuah calon PAS di dalam pilihanraya umum2004 dan yang kedua berhubung dakwaan Syed Hamid yang dituduh membeli undi ahli UMNO bagi mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian yang disandangnya.

Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman, juga meminta SPRM mengambil tindakan keatas mereka yang terlibat jika terbukti hal tersebut dilakukan.

"SPRM mestilah efektif dan bukan hanya bercakap sahaja," katanya kepada wartawan di dalam satu sidang media di luar pejabat SPRM Johot, dan berkata tidak sepatutnya wujud pendakwaan terpilih.

Mazlan, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata PAS kecewa setelah laporan dibuat kepada BPR, tiada sebarang tindakan menyusul selepasnya.

Beliau merujuk kepada penahanan dua orang oleh BPR pada 16 Mac 2004 di Felda Sungau Sayong kerana cuba merasuah Sanip Ithnin, calon PAS untuk kerusi dewan undangan negeri Pasir Raja, supaya menarik diri dari pencalonan di dalam pilihanraya umum ke 11 lalu.

Pada 6 Nov 2008, Yang Dipertua PAS Kota Tinggi Kamaldin Tahir telah membuat laporan kepada BPR Johor tentang dokumen yang mendakwa berlaku gejala politik wang termasuk oleh Syed Hamid yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi. Dokumen tersebut telah diberikan kepadanya oleh tujuh orang ahli UMNO dari Bahagian Kota Tinggi yang menyatakan mereka telah menerima seumlah wang bagi menyokong Syed Hamid mempertahan kerusi Ketua bahagian UMNO Kota Tinggi.

Syed Hamid telah menerima tentangan sengit dari pencabarnya bekas Naib Ketua Bahagian tersebut Daing A. Malik bin Daing A. Rahman. Beberapa insiden pergaduhan berlaku dan lima laporan polis telah dibuat mengenai peristiwa pergaduhan di mesyuarat beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Kota Tinggi.