15 Jul 2015

PKR Sokong GHB, Sekaligus Nafi Kenyataan Mustafa Ali

PKR sokong Gerakan Harapan Baru, bakal tubuh muafakat baharu pembangkang

PKR mengalu-alukan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB), yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS dan memberikan komitmen untuk menyertai jelajah mereka selepas Aidilfitri ini.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, beliau mengenali secara rapat pemimpin dalam gerakan tersebut dan bersama-sama berjuang untuk kepentingan rakyat.

"Saya menyambut baik pengumuman dan pelancaran Gerakan Harapan Baru yang mengumpulkan ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan aktivis yang mempunyai rekod teruji menentang Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Gerakan yang diketuai Mohamad Sabu dan dipimpin tokoh yang lama berjuang menentang Umno dan BN ini perkembangan baik pada kala rakyat mencari-cari jawapan kepada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial yang melanda negara sekarang," kata ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tokoh dalam GHB juga mempunyai rekod yang cemerlang lebih baik daripada tokoh muda lain.

"Saya kenal rapat dengan tokoh-tokoh ini dan bersama-sama mereka memperjuangkan isu rakyat selama ini.

"Malah, rekod mereka berjuang untuk membawa perubahan di dalam negara adalah berkali ganda lebih lama daripada saya dan pimpinan muda yang lain," katanya.

Kenyataan Rafizi itu dikeluarkan ketika perpecahan jelas berlaku dalam PKR dalam isu GHB kerana kumpulan Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali lebih memihak kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS.

Rafizi turut mengalu-alukan perjuangan GHB dan memberi sokongan untuk bersama-sama meraka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Saya akan memberi sepenuh sokongan dan kerjasama kepada mereka untuk menjana gelombang rakyat menumpaskan Umno dan BM menjelang PRU14.

"Saya akan menyertai jelajah yang dianjurkan Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri," katanya.

Beliau turut memberi bayangan, GHB ini akan merintis muafakat baharu yang menurutnya akan "menyatukan semua pihak" untuk menentang Umno.

GHB dicetuskan idea penubuhannya susulan tewasnya pemimpin progresif PAS dalam pemilihan parti Islam itu ketika muktamar tahunan mereka pada Jun.

Hubungan keruh di antara PAS dan DAP yang mana akhirnya menyaksikan musnahnya Pakatan Rakyat (PR).

Keadaan ini mengakibatkan pemimpin progresif PAS ini mengambil pendirian menubuhkan GHB untuk membolehkan kerjasama parti pembangkang dapat diteruskan.


Parti baharu proksi DAP, tidak akan kekal lama, kata Mustafa Ali

Persepsi umum terhadap Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) yang diumumkan pembentukan secara rasmi Isnin lepas disifatkan hanya proksi kepada DAP semata-mata dan tidak akan kekal lama, kata Datuk Mustafa Ali.

Bekas setiausaha agung PAS yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya parti Islam itu berkata, beliau tidak kisah sangat dengan gerakan kepada pra sebuah parti baharu ini.

"Apa matlamat Harapan Baru? Ia hanya kesinambungan daripada PasMa yang diharapkan DAP untuk ganti PAS," katanya dalam satu wawancara khas dengan The Malaysian Insider baru-baru ini.

Mustafa berkata demikian beberapa jam selepas Harapan Baru diumumkan secara rasmi pada satu sidang media di Kuala Lumpur Isnin lepas oleh pengerusinya yang juga bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.

Hampir semua pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan muktamar ke-61 Jun lalu menyertai sidang media ini kecuali beberapa orang termasuk bekas naib presiden Datuk Husam Musa yang tidak sihat dan bekas ketua penerangan, Datuk Mahfuz Omar.

Turut menyertainya adalah 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang digantung keahliannya oleh PAS, Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

Parti baharu tiada apa-apa kekuatan

Mustafa berkata, parti baharu yang akan dibentuk ini tidak ada apa-apa melainkan mendapat sokongan pihak lain khasnya DAP.

"Persepsi Harapan Baru hanya proksi kepada DAP saja, ia adalah sebuah parti yang disokong DAP dalam apa bentuk sokongan sekalipun. Parti ini tidak ada apa-apa melainkan mendapat sokongan DAP," katanya.

Beliau mendakwa, kepimpinan PKR masih belum lagi memberikan sokongan sepenuhnya kerana hanya sebahagian kecil yang menyokongnya.

"Majoriti PKR bersama PAS,"
kata Mustafa yang tidak dilantik semula sebagai setiausaha agung PAS.

Katanya, parti ini lahir selepas usul muktamar PAS dilaksanakan DAP walaupun ketika itu Majlis Syura masih belum membuat keputusan lagi.

"Dalam PAS, perkara yang melibatkan hukum bukan diputuskan muktamar tetapi Majlis Syura," katanya ketika menjelaskan pihak manakah yang memberikan kata putus dalam PAS.

Walaupun sebuah parti baharu bakal dibentuk hasil perpecahan dalam PAS, Mustafa menganggap krisis ini tidak besar dalam parti Islam itu dan hanya perkara biasa.

"Ia hanya kes beberapa pimpinan tidak puas hati masa pemilihan. Bukan suatu yang spontan walaupun buat pertama kali jawatan presiden dipertandingkan," katanya.
-petikan TMI


ULASAN GB

Kenyataan terbuka Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menyokong Gerakan Harapan Baru sekaligus menafikan dakwaan bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali yang mendakwa "majoriti PKR bersama PAS."

Malah Rafizi menyatakan beliau akan turut menyertai jelajah yang dianjurkan Gerakan Harapan Baru selepas Aidilfitri.

Satu tamparan tepat ke muka Mustafa Ali.

Malah sebelum pelancaran GHB lagi, telah berlaku bertemuan diantara pemimpin progresif dengan beberapa pemimpin PKR iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua, Johari Abdul, Saifuddin Nasution dan Shamsul Iskandar manakala daripada DAP pula ialah Lim Kit Siang, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan beberapa yang lain.

Anwar Ibrahim pula melalui satu kenyataannya dari penjara oleh peguamnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut membayangkan sebuah pakatan parti pembangkang yang baharu akan muncul tidak lama lagi.

“Saya sedar walaupun beberapa perkara telah berlaku akhir-akhir ini, niat dan semangat pembangkang terus utuh.

“Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik."

Nampaknya Mustafa Ali sebenarnya sedang cuba untuk "menteteramkan hatinya yang gelabah" itu melalui sindrom penafian.

Mustafa juga masih terus dengan perjuangan rasisnya apabila mendakwa pemimpin-pemimpin yang menubuhkan GHB sebagai proksi DAP. Tiada bukti terhadap tuduhan itu dan ternyata ia hanyalah tuduhan palsu semata-mata untuk memburukkan kompulan progresif. Malah ia menjelaskan lagi bahawa Mustafa Ali ingin menjadikan PAS sebagai sebuah parti perkauman sama seperti UMNO yang membenci parti orang Cina khususnya DAP.

Sedangkan sejarah pilihanraya membuktikan bahawa PAS telah meraihkan kemenangan di dalam pilihanraya yang lalu hasil dari bantuan dan sokongan kaum bukan Melayu khususnya DAP dan inilah yang akan diteruskan oleh GHB.

Kita jalan terus, biarkan anjing menyalak di kiri kanan jalan.... (dari syair Arab yang dipopularkan oleh presiden PAS sendiri).

Sejak Itu Aku Koyakkan Sijil PAS Aku... - Ust Saiful Islam

Bismillah.

Saya bukan ahli politik. Pembabitan saya di dalam PAS banyak berkisar di daerah perkaderan. Saya memilih untuk berada di ruang perkaderan kerana saya suka dengan anak muda. Bagi saya, untuk melihat perubahan, ia boleh dibuat di semua peringkat, tetapi mengusahakannya di peringkat anak muda adalah yang terbaik.

Namun usaha ini kena sabar sebab hasilnya perlu menunggu mungkin sekitar 5 ke 10 tahun. Saya memilih untuk berada di perkaderan supaya kedudukan saya di dalam PAS tidak terlalu bawah sehingga pendapat saya tidak berharga, dan tidak naik ke atas sehingga saya perlu berpolitik. Saya tiada bakat politik, dan sentiasa mengelak daripada sampai ke daerah PAS sebagai parti politik.

Namun itu tidak bermakna saya naif dengan politik.

Dalam urusan perkaderan, subjek paling berharga ialah (i) pemikiran (ii) karakter (iii) wacana bersifat futuristik

Ketika memegang jawatan kecil di dalam sebuah unit di bawah DPPP bermula daripada sekitar tahun 2005, agenda saya dan rakan-rakan ketika itu adalah menyuntik perubahan kepada pemikiran dan pendekatan dakwah PAS, khususnya di peringkat kampus. Dari segi pemikiran, agenda ketika itu ialah menautkan kembali Sunnatullah dan Syariatullah. Ia akan menyentuh tentang sinergi antara sains dan agama, 'profesional' dan agamawan, kepentingan asbab dan ketinggian tawakkal dan doa, yang menjadikan siapa sahaja di dalam PAS sama penting kerana saling lengkap melengkapkan.

Wacana "Apa Erti Saya Menganut Islam" versi 'segar' digerakkan di seluruh negara, malah di luar negara juga. Hasratnya, adalah supaya aktivis PAS mempunyai minda yang dinamik, boleh melakukan integrasi disiplin ilmu tanpa sebarang sumbatan kognitif disebabkan oleh 'sekularisme versi ambil sains tolak agama', mahu pun 'sekularisme versi ambil agama tolak sains'.

Pada masa itu juga, saya tekankan bahawa gerakan Islam mempunyai dua agenda. Agenda pertamanya adalah untuk bertindak balas terhadap kehilangan kuasa politik pasca kejatuhan Dawlah Uthmaniyyah 1924. Manakala agenda keduanya pula adalah untuk bertindak belas terhadap Barat. Mahasiswa dan mahasiswi yang mengikuti wacana saya di blog saifulislam.com ketika itu tentu tidak lupa, bagaimana banyaknya saya tekankan, pentingnya bagi amilin gerakan Islam belajar tentang sejarah Eropah Moden, agar mereka menguasai latar belakang kepada ideologi dan sistem semasa, yang akar umbinya adalah di dalam sejarah era tersebut.

Tetapi pada masa itu, saya dan tim di dalam unit berkenaan perlu banyak bersabar sebab mahasiswa mahasiswi pro PAS ramai yang lemah dari segi pembacaan, malas dan banyak beralasan, tidak kurang yang lemah akademik dan karenah-karenah itu banyak yang mengesahkan dakwaan Fathi Aris Omar dalam wacana Di Bawah Mendung Usrah, bahawa usrah adalah agenda pembodohan. Memang ia berlaku, sebab yang datang usrah malas baca buku, malas berfikir, namun berkeinginan tinggi untuk bercakap benda-benda besar. Semua itu tidak kami nafikan, tetapi kami mengambilnya sebagai tugas untuk membetulkan keadaan.

Agenda memperbaiki PAS dan membawa gelombang pemikiran baru di kalangan anak muda berjalan lancar. Kemuncaknya ialah apabila Ustaz Nasruddin Tantawi dan Ustaz Nik Abduh menjemput saya dan beberapa rakan untuk hadir ke sebuah mesyuarat dengan agenda menyemak Tarbiah, tetapi pada masa yang sama, mengusulkan pembentukan Ulama Pelapis PAS! Jika tidak silap saya, mesyuarat itu adalah sekitar Disember 2007. Wah, ini sudah luar biasa. Saya hanya berharap agar anak muda yang berubah. Tetapi jika ulama pun mahu berubah, ia seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Tetapi perubahannya terjadi bermula pada sekitar tahun 2008. Kepulangan ustaz-ustaz muda dari luar negara, membawa idea yang berbeza. Saya mengambil beban kesalahan kerana pada sekitar tahun itu saya amat sibuk dengan kerja, dan dengan rela hati mengundurkan dari daripada unit yang didiami selama ini. Laluan diberikan kepada ustaz-ustaz muda ini tanpa sebarang prasangka.

Akan tetapi sedikit demi sedikit, saya semakin tidak berkenan dengan wacana yang dibawa. Kupasan saya tentang konsep Kepimpinan Ulama dibalas dengan sanggahan yang membimbangkan. Tidak mengapa jika pandangan saya tidak ditanggap dengan tepat lalu saya dituduh cuba menyamakan ulama Islam dengan paderi gereja zaman gelap Eropah.

Tetapi yang lebih saya khuatirkan ialah apabila logik yang dibawa untuk mempertahankan Kepimpinan Ulama ketika itu ialah, "jika ulama memimpin, ulama merujuk kepada Allah dan Rasul, dan kepimpinannya Allah bantu. Tetapi jika profesional memimpin, mereka hanya menggunakan logik akal. Justeru kamu mahu kepimpinan yang bagaimana?"

Soalan ini sangat berbahaya.

Saya bertengkar dengan rakan-rakan profesional kerana mereka 'buy' idea ini. Saya dukacita sebab graduan-graduan UK yang pro PAS, mereka ini di kaca mata negara adalah aset. Tetapi apabila mereka berada di dalam PAS, mereka berada di kedudukan yang mensesiakan kepintaran dan profesionalisme masing.

Pada masa itu, di dalam pertengkaran saya dengan golongan profesional ini, saya yang sedang marah menyebut, "jika dahulu, ana rasa masalah dalam PAS ini adalah ustaz-ustaz yang jumud. Tetapi sekarang ini ana tambah di hujungnya bahawa masalah dalam PAS ialah ustaz-ustaz jumud yang dilindungi oleh para profesional yang bengap!"

Kenyataan saya ini dibalas oleh S/U MSU bahawa bai'ah saya terbatal sebab saya menyanggah keputusan syura. Saya berkeras bahawa bai'ah saya bukan dengan 'ustaz', tetapi dengan Allah dan Rasul.

Saya mewacanakan idea Kepimpinan Ulama bukan kerana saya ada apa-apa kepentingan tentang siapa yang nak memimpin PAS. Saya tiada masalah dengan siapa nak jadi pemimpin. Sejak awal pembabitan saya dengan PAS, saya sentiasa jauh daripada hal ehwal kepimpinan di atas, apatah lagi untuk berpihak kepada mana-mana kem, di zaman yang ada kem-kem tertentu.

Tetapi saya menyanggah idea Kepimpinan Ulama ini sebab ia merosakkan kognitif anak muda melalui wacana yang pelik. Semenjak 2008 ke 2010, saya sudah sangat khuatir kerana di peringkat perkaderan, yang dominan adalah pembulian pemikiran, dengan jargon-jargon wala, bai'ah, tsiqah tidak tsiqah.

Apabila saya hadir ke kampus-kampus untuk berceramah tentang cinta, selepas habis program, ada ahli Jemaah Islam Kampus meminta bertemu dengan saya di tengah malam untuk meluahkan rasa bimbang dan sedih mereka tentang pembulian fikrah, label melabel, dan penyenaraian hitam ustaz yang berfikrah seperti saya.

Saya hanya mengangguk, memberi semangat, namun menyalahkan mahasiswa itu sendiri. Sebabnya, di zaman saya, kalau ada ustaz ceramah merepek, kami akan tanya, bantah, tegur, dan sesekali melawan. Tetapi kalian hanya mengeluh di belakang. Maka saya hulurkan rasa faham, tetapi saya tidak simpati. Jika kalian nampak masalah ini, kalian wajib menyuarakannya. Sok sek di belakang, ia tidak ke mana.

Bagi sahabat-sahabat yang akrab, mereka tahu yang saya sudah pun hilang kepercayaan tentang keupayaan PAS untuk berubah, seawal 2008. Biar pun ketika itu politik PAS berada di tahap yang amat memberangsangkan, namun di peringkat perkaderan ia penuh kebimbangan.

Desakan demi desakan yang diajukan kepada pimpinan Pusat bahawa mahasiswa mahasiswi pro PAS ada banyak masalah tidak diendahkan mereka. Apa yang penting bagi pimpinan ketika itu ialah meminta laporan setakat mana mahasiswa pro PAS atau tidak. Apabila masalah di kalangan mahasiswa dan mahasiswi ini dibiarkan, saya menjangkakan masa depan PAS akan ada banyak masalah.

Menuju usia 40, saya tidak mahu hidup saya dibelenggu konflik dan masalah. Biar pun sudah tiada apa-apa jawatan di dalam PAS, saya tidaklah pula mengisi hari dengan aktiviti jahiliah atau tak tahu nak buat apa. Malah kehidupan selepas tiada jawatan di dalam PAS adalah lebih sibuk. Sesekali ada kawan menjenguk ke rumah, bertanya khabar. Semuanya saya raikan.

Namun di hujung pertemuan, mereka akur bahawa saya sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan PAS untuk berubah. Politik itu seperti buih. Ia boleh ditiup menjadi besar dan cantik. Tetapi perkaderan itu 'real'. Jika perkaderan sudah dimakan anai-anai, rumah yang teguh menunggu rebah.

Kemuncaknya, apabila Muktamar PAS 2014 berlangsung di Johor, saya sudah membulatkan hati. Sepanjang muktamar, dunia menyaksikan sebuah parti Islam bersorak sorai, boo, label melabel, dari atas hingga ke bawah, dan doa dipakai untuk menyindir sesama ahli. PAS sudah tidak lagi komited dengan identiti Islam.

Pada tahun itu, saya koyak sijil keahlian PAS seumur hidup saya dan saya hanya simpan cebisan bertulis Bismillah, ayat 7 Surah Muhammad dan tandatangan al-Marhum Ustaz Fadzil Noor kerana itu sahaja yang bagi saya masih berharga untuk disimpan, dan dikenang dalam kesedihan.


Saya menyokong penubuhan Gerakan Harapan Baru, bukan kerana saya mahu menjadi aktivisnya. Saya hanya berharap agar dengan adanya parti baru itu, pimpinan-pimpinan yang tersingkir itu tidak membuang masa bertikam lidah, duduk dalam dilema, dan mensesiakan ilmu, pengalaman dan bakat kepimpinan mereka.

Mereka tersingkir bukan atas kapasiti individu. Sebaliknya mereka tersingkir hasil strategi terancang, bukan sekadar di peringkat mesyuarat bahagian memilih perwakilan, tetapi lama sebelumnya melalui aktiviti melabel, memburuk-burukkan, menyenarai hitam, di luar bayangan saya ia boleh berlaku kepada sebuah gerakan Islam.

Mengundurkan diri daripada PAS terjadi dalam keadaan yang sangat perit dan melukakan hati sendiri. Biar pun netizens secara semberono melabel jebon, ular daun, penjilat DAP, dan terkini Dr. Zuhdi menuduh golongan 'progresif' ini mahu membawa Islam Amerika yang direstui oleh Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung LGBT dan DAP, semua itu jika ditimbang dengan neraca dunia, ia bagai tanah yang menambus jasad di dalam kubur. Sempit dada dibuat.

Tetapi dengan mengembalikan semuanya kepada Allah dan Rasul SAW, iman kepada Akhirat dan pautan kepada rahmat-Nya, saya yakin, Gerakan Harapan Baru itu biar pun akan bermula dengan seribu satu keperitan, Allah tidak akan mensesiakan keikhlasan hati untuk membantu agama-Nya.


Sudah lama suara Islam berhenti daripada bercakap tentang masalah masyarakat Malaysia, susah payah mereka, dan sibuk dengan politik rumahtangga. Yang kekal dalam PAS teruskan beramal, kerana kelompok bermasalah sudah tersingkir. Yang memilih untuk bersama GHB, berhati-hati mengatur langkah. Fokus kepada kerja, jauhi perangkap sengketa.

وقل اعملوا فسيرى الله عملكم ورسوله والمؤمنون وستردون إلى عالم الغيب والشهادة فينبئكم بما كنتم تعملون

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan". [al-Tawbah 9: 105]

Dalam hening malam-malam akhir Ramadan ini, semoga Allah ampunkan kekurangan saya, membantu saya untuk melihat yang benar itu sebagai benar, dan direzekikan untuk menurutinya. Tiada yang kupinta, melainkan kaki kekal melangkah di sirat mustaqim, menagih husn al-khatimah, diredhai Allah dan didamaikan di Syurga bersama Anbiya', Siddiqin, Syuhada' dan Solihin. -Ustaz Haarizal Abdul Jamil (Saiful Islam)









Gerakan Harapan Baharu: Koleksi Tulisan, "Printscreen" & Video Menarik

Respons Hanipa Maidin Tentang Kritikan Terhadap GHB

CAKAPLAH APA SAHAJA, GHB SEDIA MENDENGAR !

1. Macam macam yang dikatakan ke atas Gerakan Harapan Baru. Ada yang mengaitkan dengan golongan Islam liberal. Ada yang mengatakan ia akan hanya bertahan dua tahun sahaja . Ada yang menyamakannya dengan pertubuhan pertubuhan politik serpihan daripada Pas seperti Hamim yang tidak akan bertahan lama.Ada yang mengaitkan ia pertubuhan orang orang kecewa kerana kalah dalam pemilihan Pas dan banyak lagi tuduhan tuduhan nakal dan liar ke atas GHB

2. Sebagai pertubuhan yang meraikan kebebasan bersuara maka GHB mengucapkan terima kasih kepada semua golongan yang memberikan pendapat mereka mengenai GHB. Pendapat pendapat yang diberikan tersebut bukan sahaja perlu dihormati malahan perlu juga diambil kira oleh GHB. Tidak rugi mendengar pendapat yang berbeza seperti mana tidak untung mengangap kepelbagaian pendapat satu masalah. Teruslah bercakap kami ( GHB ) sedia mendengar !!!

3. Memandangkan wujudnya pelbagai tuduhan ke atas GHB maka tidak salah untuk GHB membuat serba sedikit klarifikasi , bukan bertujuan memuaskan hati mana mana pihak jauh sekali semua orang, sebaliknya ianya lebih kepada menjelaskan serba sedikit kekaburan yang menjejaskan pandangan setengah pihak tentang GHB.

4. Jika kekecewaan yang dikatakan mencetuskan wujudnya GHB ia tuduhan yang betul dan salah dalam nafas yang sama. Majoriti penggerak GHB adalah mereka yang terlibat dalam Pas sebagai pemimpin utama sama ada di peringkat nasional atau negeri khususnya. Sayang dan cinta mereka kepada Islam tidak pernah padam dulu, kini dan selamanya insyaAllah. Ironinya jika mereka bersama dengan Pas sebelum ini kerana Islam , jika GHB ditakdirkan menubuhkan wadah siyasah yang baru, insyaAllah Islam juga penyebab kepada keputusan penubuhan wadah siyasah tersebut.

5. Sebagai pimpinan utama dalam Pas sebelum ini, penggerak penggerak GHB bukan sahaja mahu Islam berdaulat di negara ini mereka juga mahu Islam dihormati oleh semua lapisan masyarakat..Islam yang jika berjanji tidak akan khianati janji itu..Islam yang jika memerintah pemimpinnya bertaqwa, berintegriti, amanah, cekap , jujur dan peduli rakyat ..Islam yang bukan sahaja bercakap dan berslogan bahawa Islam itu rahmat untuk semua namun slogan rahmatnya hanya kekal slogan dan tidak dirasai oleh manusia di kelilingnya.

6. Ya ,penggerak GHB memang kecewa tapi mereka bukan kecewa dengan kekalahan dalam muktamar. Sebaliknya mereka kecewa kerana gerakan Islam yang mereka infaqkan diri , harta benda dan masa mereka tidak lagi gerakan Islam yanh mereka kenal dulu..kini gerakan Islam itu merasakan hanya kerana ia menggelarnya gerakan Islam maka apa sahaja yang ia lakukan , meskipun tidak mencerminkan Islam yang sebenar dan Indah, tetap dikira Islam kerana ia dianggap memonopoli definisi dan apa sahaja yang dikaitkan dengan Islam.

7. Ada beza kekalahan dalam muktamar dengan "pembersihan terancang" dalam muktamar melalui satu siri kempen yang lama, tersusun dan teratur ke atas pemimpin pemimpin tertentu dalam Pas dengan menggunakan istilah istilah agama dan tuduhan-tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab. Yang lebih membingungkan pemimpin yang diharapkan berkecuali dan bertindak sebagai pendamai juga turut serta memposisikan golongan tertentu ke satu sudut dan kedudukan yang dilihat asing dan tidak berjenama Islam sekaligus memberikan faedah yang tidak wajar kepada golongan tertentu yang lain.

8. Ya, mungkin sahaja GHB akan bertahan hanya dua tahun dan mungkin juga GHB akan mengalami nasib yang sama seperti pertubuhan yang dibentuk setelah keluar dari Pas.

9. Memandangkan kita bercakap tentang kemungkinan , kemungkinan kemungkinan itu hakikatnya sama sahaja tahap dan darjahnya dengan kemungkinan berikut iaitu berkemungkinan besar GHB yang membawa aspirasi baru yang tidak lari dari Islam yang syumul akan mengalami nasib yang jauh lebih baik daripada parti parti seperti Hamim dan dapat bertahan lebih lama atau lebih daripada dua tahun.

10. Mungkin juga GHB yang dikatakan serpihan ini mendapat lebih banyak sokongan dan menjadikan parti yang asal jika pun tidak menjadi parti yang asing kepada rakyat Malaysia namun mungkin sahaja menjadi parti yang dianggap tidak lagi relevan dalam politik Malaysia. Itulah namanya permainan kemungkinan..penuh dengan ketidakpastian.

11. Mungkin itu juga yang dialami oleh Erdogan dan sahabat sahabatnya yang menubuhkan AK parti setelah keluar daripada wadah sa'adat parti ..mungkin sahaja sahabat sahabat sa'adat membuat pelbagai telahan dan tuduhan ke atas Erdogan dan sahabat sahabatnya dalam AK parti namun realiti menunjukkan bahawa AK parti makin hari makin berkembang dan maju ke depan , saadat parti makin lama makin ke belakang dari persada politik Turki dan hampir menjadi nota kaki dalam politik ..

MOHAMED HANIPA MAIDIN
AHLI PAS DAN PENYOKONG GHB

Cawangan PAS Bubar, Ganti GHB Di Tumpat


Pelancaran Harapan Baru cawangan Alor Che Ismail, dun wakaf baru, Tumpat....insyaAllah 6 cawangan Pas dlm parlimen Tumpat akan ditukar kpd cawangan Harapan Baru



8 PERKARA BERKENAAN GERAKAN HARAPAN BARU (HARAPAN BARU)

www.harapanbaru.net

SIAPA HARAPAN BARU?

1. HARAPAN BARU lahir dari desakan kehendak rakyat yang resah dengan kemelut serta kepincangan negara khasnya NGO-NGO Islam serta anak muda dan pimpinan mahasiswa agar Politik Islam terus diperkukuhkan bagi memegang AMANAH membuat perubahan dalam ruang lingkup Perlembagaan Malaysia dan sistem demokrasi yang diamalkan.

2. HARAPAN BARU disertai aktivis pelbagai latar belakang, ras dan agama dari kalangan aktivis, profesional dan agamawan dengan membuka ruang dan peluang kepada bakat muda untuk diketengahkan – selagi mana kesemuanya berpayung kepada Nilai-nilai Teras HARAPAN BARU.

3. HARAPAN BARU memelihara Hak Asasi Manusia (Huquq al-Insan) berteraskan Kemuliaan Insan (Karamah Insaniyah) yang diiktiraf Allah (Human Dignity), sekaligus menyatukan warga besar rakyat dalam anjuran Persaudaraan Insan (Brotherhood of Man) serentak menolak pelbagai amalan perkauman dan rasisme.

APA MISI HARAPAN BARU INI?

4. HARAPAN BARU berusaha menterjemahkan Islam sebagai Rahmat Seluruh Alam dengan meletakkan agenda PEDULI rakyat sebagai tunggak utama aktivisme serta merangkumi semua aspek kehidupan nasional dan kenegaraan.

BAGAIMANA HARAPAN BARU MELAKUKANNYA?

5. HARAPAN BARU komited meneruskan legasi perjuangan Politik Islam yang ditunjukkan Almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, Almarhum Ustaz Fadhil Noor dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menerokai ruang Politik Islam yang Menyeluruh, PROGRESIF dan Inklusif.

6. Menjelang PRU14, HARAPAN BARU meneruskan momentum perubahan politik atas dasar tahaaluf yang jujur dan komited dalam perkara yang disepakati bersama rakan-rakan parti politik - PKR dan DAP, serta sinergi dengan mana-mana NGO dan segmen masyarakat merentasi garis ideologi.

7. Pendekatan dan tindak balas HARAPAN BARU bersifat tidak jumud (Dinamis) selari dengan realiti semasa dan setempat serta Sederhana (Wasatiyyah) namun tetap Tegas dalam berpegang kepada Prinsip.

8. Komited dengan politik baru, HARAPAN BARU berpaksi kepada politik yang berasaskan Ilmu dan Akhlaq, serta bersedia mewujudkan budaya mampu mengurus perbezaan dalam pelaksaan prinsip hak bersuara dan tuntutan kesaksamaan.



GERAKAN HARAPAN BARU PANDANGAN USTAZ HASRIZAL ANDUL JAMIL

Harapan peribadi saya dengan kemunculan Gerakan Harapan Baru ini, lebih daripada sekadar mengisi kelompongan idea progresif Islam dalam politik. Sebaliknya saya harap ia menjadi platform yang kukuh untuk menghimpun kumpulan-kumpulan Islam dalam semangat ukhuwwah Islamiyyah merentas 'jemaah' dan melangkaui beban sejarah.

Apabila anggota JIM / IKRAM menyertai PAS, mereka tiada lagi di dalam chain of command eksekutif JIM / IKRAM. Mereka dilepaskan untuk bergerak dengan penuh integriti di dalam parti yang mereka pilih. Tetapi selepas lebih 10 tahun berjuang bersama, susah senang bersama, termasuk ditahan dan dikenakan pelbagai tindakan undang-undang, perbezaan pendapat akhirnya disandarkan kembali kepada label-label silam yang mendalamkan permusuhan.

Penatnya hidup bermusuhan, curiga mencurigai, dan hodoh benar pada tahun 2015 masih mahu tarik menarik berebut-rebut pengikut.

Alhamdulillah Gerakan Harapan Baru, biar pun katalisnya adalah G18, ia beransur pergi ke dimensi yang lebih besar. IKRAM, Haluan, ABIM, dan pelbagai pertubuhan lain moga semakin dekat, menguzurkan perbezaan dan meningkatkan persefahaman. Gerakan Harapan Baru kena kuat mendengar, andai ada kebiasaan semasa di dalam PAS yang tidak sihat untuk semangat harapan baru, bermujahadahlah meninggalkannya.

Jika selama ini kita mungkin terlalu fokus kepada satu musuh iaitu saingan politik kita, tingkatkanlah rasa sedar yang tinggi bahawa beyond UMNO, BN atau mana-mana entiti politik, musuh kita yang hakiki adalah SYAITAN, dan HAWA NAFSU.

Siapalah saya untuk memberi nasihat kepada pejuang-pejuang. Ia hanya harapan saya, seorang rakyat.

Menubuhkan parti baru ini memang bukan pilihan terbaik. Tetapi krisis PAS tidak meninggalkan banyak pilihan. Justeru, kuatkan azam, bangkitkah dalam seribu kepayahan, dengan semangat inklusif itu, ramai saudara Islam dalam pelbagai NGO in sha Allah akan bersama. Non Muslim juga disantuni dengan akhlaq dan perkongsian pendidikan.

Mencela 'kuffar' itu sikapnya seolah-olah kita tiada tanggungjawab dakwah ke atas mereka.

Hulurkan salam persaudaraan dan persahabatan.

Sesungguhnya itulah munajatku di penghujung Ramadan ini.

#gerakanharapanbaru



MEMAHAMI ISU TUBUH JEMAAH ISLAM BARU, DAN KELUAR DARI JEMAAH ISLAM SEDIA ADA

Perbincangan hangat berkenaan penubuhan jamaah baru dan bagaimana dengan baiah mereka dengan jamaah yang sedia ada?

Maklum bagi mereka yang mendalami ilmu fiqh bahawa baiah yang wujud di dalam hadis atau yang meninggalkan jamaah ia berkaitan dengan baiah dengan kerajaan maka orang yang memutuskan baiah tersebut dan keluar daripada kerajaan Islam itu adalah haram. Tetapi berbaiah dengan parti atau jamaah tidak termasuk di dalam hadis ini.

Baiah parti dikategorikan sebagai ta'ahud dan sekiranya seseorang keluar daripada parti cukup dengan membayar kaffarah sumpah. Segala taklid taklid yang berccanggah dengan maqasid syarie taklid itu dianggap batil.

Cuma permasalahnnya adakah wajar menubuh jamaah baru sedangkan dah ada jamaah lama?

Maka perkara ini merujuk kepada fiqh masalih adakah ia banyak membawa kepada maslahah walaupun secara dasarnya mengurangkan jamaah itu lebih baik kerana dapat dikumpulkan tenaga yang banyak dan jamaah yang banyak itu memecahkan tenaga?

Tidak ada dalil yang kuat yang mengharamkan berbilang parti Islam. Kesemua pendapat yang telah diutarakan dalam bentuk pengharaman jamaah baru adalah ijtihad bukannya Syariat.

Maka perkara ini diserahkan kepada ahli politik untuk menuntukan hala tuju mereka walaupun secara peribadi saya lebih suka tidak ada jamaah baru, tetapi secara fiqhnya tidak ada yang menghalang penubuhan parti baru.

Selamat beramal ,kuatkan perpaduan umat Islam.

Ustaz Fauwaz Dato' Fadzil Noor