20 Mac 2012

PR Boikot Sertai PSC Lynas: Percubaan Najib Perbodohkan Rakyat Gagal

PSC Lynas: Dewan Rakyat kecoh, Pakatan tak sertai

Usul berkaitan penubuhan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk mengkaji isu kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan, menghangatkan Dewan Rakyat, pagi ini.

Selepas perbahasan itu, ahli parlimen pembangkang yang tidak sependapat dengan rakan BN mereka.

Mereka mendakwa, tindakan kerajaan menubuhkan PSC itu hanya cubaan menutup keburukan terhadap pusat nadir bumi milik syarikat Australia itu.

"Kami harap dapat ambil bahagian (dalam PSC), tetapi tiada makna...

"Kalaupun PSC isytihar ia berbahaya, pentadbiran BN akan memanipulasi situasi itu," kata Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sebelum itu, ketika perbahasan, Harakahdaily melaporkan Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) yang mencelah hujah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mempersoalkan tentang keperluan penubuhan PSC memandangkan terdapat kenyataan daripada bakal pengerusi PSC, Datuk Seri Khalid Nordin berkenaan projek itu.

"Hari ini kita berbincang tentang keperluan projek Lynas, tapi sudah ada kenyataan daripada menteri bahawa penubuhan PSC adalah untuk mengubah tanggapan negatif rakyat terhadap projek tersebut.

“Belum apa-apa lagi, sudah ada kenyataan. Jadi, untuk apa PSC ditubuhkan kalau memang kerajaan hendak teruskan juga projek ini?"
soal beliau.

Perbahasan terus hangat apabila ahli parlimen BN dan Bebas cuba mengaitkan ketiadaan pakar nuklear daripada PAS, iaitu Dr Che' Rosli Che' Mat (PAS-Hulu Langat) di dewan hingga menimbulkan kekecohan.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hanya berdiam diri sehingga beberapa tempoh sebelum meminta wakil rakyat duduk di tempat masing-masing.

"Jika benar PAS ikhlas, saya cabar PAS mencalonkan Ahli Parlimen Hulu Langat untuk disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa yang akan ditubuhkan. Jika tidak disenaraikan, ianya dianggap sandiwara semata-mata," kata Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) ketika berbahas.

Dalam pada itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mendakwa penubuhan PSC ini hanya untuk memberikan gambaran indah-indah, sedangkan Lynas ini penuh dengan masalah.

Selain itu beliau meminta segala yang berkaitan projek itu di Gebeng, Kuantan dihentikan sehingga satu keputusan mengenai penubuhan PSC ini diputuskan.

Manakala, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), ketika berbahas melahirkan kekecewaan apabila rakyat Malaysia hanya tahu mengenai projek itu setelah hampir 95 peratus projek berkenaan selesai.

"Inilah kerajaan yang mengutamakan rakyat apabila projek sudah 95 peratus siap, baru rakyat tahu mengenainya.
Itupun melalui laporan New York Times," kata beliau. -mk

Pakatan Rakyat tidak akan sertai PSC Lynas

KUALA LUMPUR, 20 Mac: Pakatan Rakyat memutuskan untuk tidak menyertai Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji isu Lynas setelah mendakwa jawatankuasa itu tidak memberikan ruang kepada mereka untuk menyatakan pendapat.

Keputusan itu berikutan kekecewaan mereka apabila kerajaan tidak memenuhi syarat yang dicadangkan, iaitu kerajaan perlu mengeluarkan arahan henti kerja, tarik balik permit kerja sementara (TOL) dan hentikan 'import rare earth concentrate'.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang jelas kecewa dengan ucapan penggulungan menteri, berkata beliau mengharapkan penubuhan PSC ini akan menjadi satu platform bebas bagi memahami masalah rakyat.

Malangnya, kata beliau melihat dari perbahasan dan penggulungan menteri, harapan tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

"Kita bersedia untuk terlibat dalam PSC, tetapi melihat kepada apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh bergantung kepada badan itu untuk menjadi satu platform kepada rakyat," tegas beliau pada sidang media, di lobi parlimen, hari ini.

Sebelum itu, ahli parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan setelah kecewa dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ketika penggulungan perbahasan mengenai penubuhan PSC.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata Pakatan Rakyat terpaksa menolak PSC memandangkan penubuhannya tidak memberikan sebarang makna kepada rakyat, khususnya rakyat Kuantan.

"Kita memang mahu berkongsi segala maklumat, tapi nampaknya ia tidak menjadi kenyataan. Memang hari ini merupakan hari yang paling sedih kepada rakyat Malaysia,"
kata beliau.

Terdahulu, perbahasan tentang penubuhan PSC ini menjadi hangat apabila kebanyakan ahli parlimen kerajaan berucap seolah-olah menyokong projek Lynas, yang dibina di Gebeng, Pahang sebelum sidang berhenti rehat tengahari tadi.

Kemudiannya, selepas dewan kembali bersidang pada sebelah petang, kekecohan terus berlaku apabila ahli parlimen Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Nazri.

Ketika ditanya tindakan susulan Pakatan Rakyat ekoran keputusan tersebut, Fuziah berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk bertindak selepas ini.

"Biarlah rakyat yang memutuskannya," kata beliau.

Turut serta pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; dan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat.

DAP sebelum ini membuat keputusan untuk tidak menyertai jawatankuasa itu kerana ia hanya akan menjadi fait accompli (yang telah diputuskan) atau alat untuk menghalalkan loji nadir bumi syarikat Australia itu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, PSC juga akan menjadi alat Barisan Nasional untuk memaksa orang awam menerima loji Lynas tanpa mempedulikan soal keselamatan, alam sekitar dan kesihatan rakyat.

“DAP akan mencadangkan kepada kepimpinan Pakatan Rakyat supaya tidak membenarkan BN menggunakan penyertaan PR untuk menghalalkan loji Lynas, bagi memastikan PR tidak akan terlibat dengan apa-apa bencana alam sekitar yang mungkin berlaku pada masa depan,
” katanya dalam satu kenyataan semalam.
-HD



Pembangkang Boikot Sertai PSC Lynas

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak berpuas hati apabila usul penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) mendapat undi sokongan majoriti, Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Majoriti wakil rakyat pembangkang diketuai Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) dilihat keluar daripada dewan sejurus selepas Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee mengumumkan usul penubuhannya diluluskan Dewan Rakyat.

Kesemua wakil rakyat pembangkang itu kemudiannya mengadakan sidang media di lobi Parlimen.

Malah kumpulan wakil rakyat itu sebulat suara menyatakan pendirian memboikot penyertaan mereka dalam jawatankuasa berkenaan.

"Kami kecewa kerana kerajaan tidak menyatakan dengan jelas terma dan rujukan khusus mengenai objektif penubuhan jawatankuasa tersebut.

"Melalui kertas usul yang dinyatakan kerajaan mengenai PSC Lynas, hanya dinyatakan bahawa penubuhannya sekadar mahu meneliti isu keselamatan, jumlah keanggotaan serta tempoh yang diberikan kepada jawatankuasa itu," katanya pada sidang di lobi Parlimen di sini,Selasa.

Sementara itu Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua berkata, walaupun pada awalnya pembangkang menyambut baik kewujudan jawatankuasa itu namun begitu selepas mengkaji pelbagai perkara,pihaknya kini tidak akan menyertainya.

"Kita mahu jawatankuasa ini bersikap adil dengan memberi penekanan kepada soal keselamatan rakyat, namun melihat kepada reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), kita tahu bahawa projek ini tetap akanditeruskan.

"Kita sudah jangkakan projek ini akan diteruskan, mengapa lagi kita mahu menyertai dan kita tahu apa saja yang kami (pembangkang) bangkitkan tidak akan diberi perhatian," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Terdahulu ketika membentangkan usul berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata penubuhan jawatankuasa itu bertujuan meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek tersebut.

Jawatankuasa berkenaan yang diberi tempoh selama tiga bulan akan dianggotai oleh sembilan Ahli Parlimen iaitu lima daripada Barisan Nasional (BN), tiga mewakili pembangkang dan seorang wakil Bebas.
-mstar







Ulasan GB

Sebenarnya, J/P Pilihan Parlimen (PSC) untuk Lynas adalah tipudaya dan helah kerajaan terhadap rakyat menjelang pilihanraya.

Ia sama seperti PSC Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya, yang akhirnya terbukti hanya menjadi "rubberstamp" kepada penipuan-penipuan dan penyelewengan SPR.



Lembu-Lembu NFCorp Sudah Kecut, Tidak Beri Kerjasama Kepada PAC

LAC Tangguh Siasatan Isu NFCorp

KUALA LUMPUR: Pendengaran siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara(PAC) berhubung kontroversi National Feedlot Corporation (NFCorp) terpaksa ditangguhkan kerana pengurusan tertinggi syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil itu enggan memberikerjasama.

Sebaliknya NFCorp hanya menghantar seorang jurucakap yang juga Pengurus Besar Sumber Manusia, Wan Zurina Saaran bersama dua peguam bagi menghadiri sesi pendengaran tersebut.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa keengganan pengurusan tertinggi NFCorp untuk hadir sesi berkenaan adalah atas nasihat peguam dengan alasan kes berkaitansyarikat itu kini sedang melalui proses mahkamah.

Bagaimanapun menurut beliau, PAC akan mendapatkan nasihat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung sama ada jawatankuasa berkenaan boleh meneruskan siasatan tanpa mengganggu proses undang-undang.

"Kita akan dapatkan pandangan Speaker berhubung perkara ini. Malah sebelum ini pun Speaker pernah menolak usul bagi membincangkan isu NFCorp dalam dewan dengan alasan yang sama.

"Tapi sebelum ini PAC pernah menghadapi situasi yang sama dalam kes membabitkan skandal PKFZ (Zon Bebas Pelabuhan Klang), namun kita masih boleh meneruskan pendengaran selagi tidak mengganggu siasatan pihak berkuasa," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen disini, Selasa.

PAC sebelum ini mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar menjemput NFCorp hadir memberi keterangan kepada jawatankuasa itu, Selasa.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAC, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sesi pendengaran yang bermula pukul 9.30 pagi tadi tidak memperolehi hasil ekoran keengganan wakil NFCorp memberi sebarangketerangan.

"Wakil-wakil yang hadir sememangnya tidak mahu menjawab sebarang soalan yang kita kemukakan.

"Walaupun kita menyatakan bahawa PAC tidak akan menyentuh mengenai isu yang berkaitan proses mahkamah," katanya.

Baru-baru ini Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan berasingan melakukan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta danmenggunakan harta syarikat itu tanpa kebenaran tiga tahun lalu.

Mohamad Salleh menghadapi tuduhan pertama sebagai pengarah NFCorp yang diamanahkan penguasaan terhadap harta syarikat, pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat cek di CIMB Islamic Bank Bhd, 138, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail di sini,antara 1 dan 4 Disember 2009.

Wang itu untuk membiayai sebahagian daripada harga pembelian dua unit Kondominium One Menerung, parcel nombor B1-1 dan B1-2, Blok B, yang terletak di geran nombor 65152, no lot 56454, Mukim Kuala Lumpur, oleh syarikat dimiliki keluarga tertuduh, National Meat & LivestockCorporation Sdn Bhd (NMLC).

Dia turut menghadapi tuduhan kedua menggunakan harta syarikat berjumlah RM9,758,140 tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu bagi tujuan sama untuk NMLC mendapat keuntungan secara langsung.

Bagi tuduhan ketiga, Mohamad Salleh dituduh pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM40 juta dengan cara memindahkannya melalui cek ke akaun NMLC di Malayan Banking Berhad, Cawangan Solaris Mont Kiaradi sini, bagi kegunaan NMLC.

Selain itu, dia menghadapi tuduhan menggunakan harta syarikat RM40 juta tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat itu dengan memindahkannya melalui cek ke akaun NMLC bagi kegunaan NMLC dan mendapatkan keuntungan secara langsung. -mstar

NFCorp belum bayar balik pinjaman

KUALA LUMPUR - Jawatan­kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), mengesahkan bahawa National Feedlot Corporation (NFCorp) masih belum membuat bayaran ansuran berhubung pinjaman dana awam RM250 juta bagi projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, NFCorp seharusnya membuat pembayaran pinjaman itu bermula Januari lalu, tetapi sehingga hari ini belum dilaksanakan.

“PAC dimaklumkan tiada pembayaran dibuat, sepatutnya mereka melaksanakan tanggungjawab itu mengikut jadual ditetapkan.

“Berkemungkinan kelewa­tan ini berpunca daripada masalah dihadapi dan kami memahaminya,” katanya,.

Azmi berkata, pengurusan­ NFCorp tampil memberi penerangan mengenai isu itu Selasa ini (hari ini).

Selain itu beliau berkata, Kementerian Kewangan melalui jawatankuasa khas mengeluarkan arahan pada 2009 bagi menangguhkan projek itu untuk dikaji semula.

Bagaimanapun katanya, beberapa proses dilaksanakan sebelum arahan dibuat dan ia tidak boleh ditarik balik.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif NFCorp, Wan Shahinur Izmir Salleh beri jaminan syarikat berupaya membayar balik perjanjian pinjaman antara mereka dengan kerajaan dalam perjanjian pada Disember 2007.


Debat Wikileaks: Oh Rupanya RPK Hanya Mahu Jadi Pak Sibuk Dalam Wawancara

Isu Wikileaks: Siapa sebenarnya yang takut berdebat

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Wawancara antara pemilik Wikileaks, Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan tanpa penyertaan penumpang dalam wawancara ini.

Menurut Ketua Staf Pejabat Anwar, Ibrahim Yaacob, Anwar dan penerbit wawancara ini, Quick Roll Productions telah bersetuju dengan keputusan ini.

Media BN melaporkan kononnya Anwar didakwa takut untuk berdebat dengan Raja Petra Kamarudin, pemilik blog Malaysian-today.

"Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan oleh Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut.

"Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan yang asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange,"
kata Ibrahim Yaacob.

Oleh itu, katanya, Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini telah membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya.

Keputusan editorial tersebut semata-mata dibuat oleh Quick Roll Productions dan tidak dipaksakan oleh Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke atas mereka, beritahu beliau.

Debat Anwar-Najib

Menurut pejabat Anwar itu, mereka merasa terpanggil apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra.

"Kami kesal kerana Datuk Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu.

"Akan tetapi oleh kerana YAB Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan YB Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Menurut beliau, perdebatan antara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia.

Justeru keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memunculkan tanda tanya di kalangan rakyat terbanyak.

"Sama ada Perdana Menteri takut ataupun tidak punya komitmen untuk menyuburkan amalan Demokrasi di negara ini," tambahnya. -HD

Wawancara Anwar tanpa RPK diputuskan sendiri oleh Wikileaks

KUALA LUMPUR: Wawancara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengasas Wikileaks, Julian Assange diputuskan sendiri pihak editorial badan itu tanpa paksaan dari pejabat Anwar.

Penjelasan itu dibuat Ketua Staf Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Yaacob sebagai mengulas tindakan Datuk Seri Najib Razak memutar belit isu itu.

“Pertamanya kami mahu menjelaskan bahawa permohonan yang diajukan Wikileaks kepada Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah satu wawancara antara Julian Assange dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kemudiannya barulah pihak kami diberitahu Raja Petra mahu menumpang dalam wawancara tersebut,” katanya.

Ibrahim berkata, selepas Anwar bersetuju dengan wawancara itu, barulah Ketua Pembangkang itu diberitahu blogger kontroversi, Raja Petra Kamaruddin mahu menumpang dalam wawancara itu.

“Makanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau hanya menyatakan persetujuan untuk permintaan asal iaitu wawancara antara beliau dengan Julian Assange.

“Oleh itu Quick Roll Productions, pihak produksi yang terlibat dengan wawancara ini membuat keputusan editorial untuk meneruskan format wawancara antara Julian Assange dengan Anwar Ibrahim tanpa melibatkan penumpang lainnya,” tegas Ibrahim.

Oleh itu, kata Ibrahim, tindakan Najib memutar belit isu itu hanya taktik Presiden Umno itu untuk mengelak dari berdebat dengan Anwar.

“Keduanya, kami merasa terpanggil apabila Datuk Seri Najib Razak menggunakan isu ini sebagai pelantar untuk mentohmah Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya takut berdebat dengan Raja Petra.

“Kami kesal kerana Datuk Seri Najib Razak bercakap tidak berdasarkan fakta yang sebenar kerana tidak timbul soal debat sedangkan yang dipersetujui antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Julian Assange adalah wawancara satu sama satu,”
tegasnya.

Ibrahim juga melihat keengganan Najib berdebat dengan Anwar menimbulkan persoalan bahawa Presiden Umno itu menolak amalan demokrasi atau Najib sebenarnya pengecut untuk berdebat dengan Anwar.

“Akan tetapi oleh kerana Perdana Menteri beriya-iya bercakap soal debat, kami berpendirian adalah sangat baik untuk rakyat dan negara ini sekiranya Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdebatan antara Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri berkaitan isu nasional pastinya memberi manfaat yang banyak kepada rakyat dan negara Malaysia,” katanya lagi.
-KD


Kesalahan Serius: PM Sepatutnya Bercuti Jika Mahu Berkempen Untuk UMNO BN

PM sepatutnya bercuti, kata Bersih 2.0

KUALA LUMPUR, 13 April – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) hari ini menasihatkan Datuk Seri Najib Razak lebih pentingkan masa depan Barisan Nasional (BN) daripada kepentingan kerajaan ekoran tindakan Perdana Menteri memberikan tumpuan ke atas pilihan raya negeri Sarawak.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib telah menunjukkan teladan yang tidak baik kepada negara kerana sanggup berkempen di Sarawak sehingga mengabaikan tanggungjawab menguruskan pentadbiran, yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Najib secara peribadi mengetuai kempen di Sarawak sejak Ahad lalu. Beliau dijangka berada di negeri bumi Kenyalang itu sehingga Jumaat ini.

“Bersih 2.0 mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membatalkan mesyuarat Kabinet kerana mahu membantu kempen BN di Sarawak, sebagai seorang pemimpin kerajaan dan BN, beliau telah menunjukkan teladan yang tidak baik kerana tidak mengimbangi antara kepentingan politik dan juga pentadbiran kerajaan.

“Sepatutnya beliau (Najib) mencontohi perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman yang mengambil cuti selama dua bulan untuk berkempen pada pilihan raya 1959.

“Dalam tempoh itu, timbalan perdana menteri Tunku Abdul Razak akan mengetuai pentadbiran negara, kami amat kecewa apabila kedua-dua perdana menteri dan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di Sarawak untuk berkempen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan pihaknya menuntut agar pilihan raya negeri Sarawak dijalankan dengan telus dan adil.

Bagaimanapun, kata Ambiga, ia agak sukar dilaksanakan selepas pemimin-pemimpin BN termasuk Muhyiddin meminta agar rakyat dan kakitangan awam di negeri itu agar patuh kepada kerajaan.

“Sebelum ini Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak Wilso Nyabong Ijang meminta anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) agar memastikan kemenangan calon BN pada pilihan raya kali ini.

“Malah timbalan perdana menteri juga mengingatkan guru-guru agar memangkah BN,” katanya.

Justeru beliau menegaskan, mana-mana parti politik sama ada BN atau Pakatan Rakyat tidak mengaitkan antara kepentingan politik dan pentadbiran.

“Bersih 2.0 mahu menekankan parti politik tidak seharusnya mengelirukan rakyat demi kepentingan politik yang berat sebelah.

“Kami mengingatkan pemimpin politik baik BN atau Pakatan Rakyat agar mematuhi prinsip ini,” katanya.

Menurut Ambiga, pihaknya menolak keras amalan “rasuah” termasuk janji-janji pembangunan dengan niat untuk mendapatkan sokongan pengundi di Sarawak.

“Bersih 2.0 mengutuk amalan menawarkan hadiah, wang dan janji-janji pembangunan dengan niat untuk mempengaruhi para pengundi, ini adalah kesalahan-kesalahan pilihan raya.

“Jadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan-kesalahan ini,” katanya.

AMK desak PM bercuti jika mahu berkempen untuk Umno BN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), berasa kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang mengelirukan khasnya berkaitan dengan pihak UMNO/BN sukar untuk menyewa dewan di Selangor. Kenyataan tersebut adalah berniat jahat untuk memburukkan prestasi pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor serta menjejaskan imej seorang Perdana Menteri sendiri.

Sebagai Perdana Menteri, Najib Tun Razak bukan sahaja tidak menunjukkan bukti sewa dewan ditolak atau dihalang, malah cuba untuk mengaut simpati daripada pengundi bahawa UMNO/BN dibuli oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Mustahil Perdana Menteri tidak mengetahui bahawa UMNO/BN boleh menganjur sebarang aktiviti di seluruh pelosok Malaysia tanpa sebarang halangan atau mengalami masalah dizalimi mana-mana pihak. Namun demikian, banyak perhimpunan dan ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat telah mengalami kacau ganggu daripada politik samseng yang ganas.

Contohnya kereta Ketua Pembangkang Dewan Rakyat Anwar Ibrahim yang dilempar batu dan dirosakkan sekumpulan samseng semasa beliau berucap di Johor. Naib Presiden Nurul Izzah juga nyaris-nyaris dipukul semasa berucap di Pahang serta ceramah yang dianjurkan oleh masyarakat sivil juga dicerobohi dan dihentikan sekumpulan samseng.

Sampai hari ini, Perdana Menteri masih mengambil sikap berdiam diri serta tidak membuat sebarang kenyataan untuk mengutuk tindakan yang tidak bertamadun dan samseng tersebut.

AMK berpendapat bahawa walaupun Perdana Menteri cuba sedaya upaya untuk merampas kuasa kerajaan negeri Selangor, beliau mesti memastikan bahawa pilihanraya yang akan datang akan dijalankan dengan bebas, adil dan bersih. Masyarakat umum telah banyak kali mendesak kerajaan melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0 sebelum mengadakan Pilihanraya Umum ke-13. Sekiranya tidak, prinsip demokrasi sebenar tidak dapat diwujudkan malah kerajaan yang bakal dipilih juga tidak berwibawa dan tidak ada kredibiliti.

Oleh itu, AMK mendesak PM Najib Razak untuk memohon cuti jawatan Perdana Menteri sekiranya ingin berkempen untuk UMNO/BN yang sudah berlaku selama ini. Perdana Menteri telah berkempen dengan menggunakan jentera kerajaan seperti pejabat, bas, kereta dan agensi kerajaan untuk mengadakan aktiviti, memanggil kakitangan awam untuk menyokong UMNO/BN nyata sekali telah bercanggah dengan etika politik serta salahguna kuasa.

Akhir sekali, AMK menegaskan bahawa sistem demokrasi memerlukan media yang bebas untuk membenarkan ahli politik daripada kedua-dua pihak menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

Maka Perdana Menteri yang ikhlas, yakin diri serta komited dengan transformasi perlu membuka media arus perdana kepada pembangkang untuk menyebarkan manifesto dan dasar alternatif Pakatan Rakyat serta sekaligus mewujudkan masyarakat yang berlandaskan demokrasi tulen.

LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia


Ulasan GB

Mana-mana penjawat awam termasuk PM dan TPM yang berkempen untuk UMNO BN semasa waktu bekerja sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang.

Tetapi kerana agensi penguatkuasaan undang-undang berpihak kepada UMNO BN termasuklah SPR, maka ianya terlepas begitu sahaja.

Kemenangan yang bakal diperolehi UMNO/BN adalah kemenangan haram yang tidak diberkati kerana kesalahan serius yang dilakukan oleh para pemimpin tertingginya.

Apabila PR memerintah pastikan mereka ini dihadapkan ke muka pengadilan.

Malaysia Paling Selamat: Jurutol Diikat Sebelum Dicabul

Shah Alam – Kaki, tangan diikat pada katil dan kemudian seorang penjenayah mencabul dengan rakus.

Itu detik hitam dilalui seorang jurutol, berumur 20 tahun, ketika berada seorang diri di rumahnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Khamis lalu. Gambar Fail.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berbaju kuning dan berseluar jean memecah masuk rumahnya, jam 12.50 tengah malam.

Menurut sumber polis, lelaki itu terus menyerang mangsa dari arah belakang dan mengacukan pisau di lehernya.

Difahamkan, pada awalnya lelaki tersebut cuba meragut rantai emas milik mangsa, tetapi tidak berjaya.

Katanya, lelaki itu seterusnya mengarahkan mangsa supaya diam, sebelum mulut wanita terbabit diikat dengan menggunakan kain.

“Lelaki itu mengarah mangsa baring di atas lantai. Kaki dan tangannya diikat pada katil dengan menggunakan kain.

“Seluar mangsa kemudiannya ditanggalkan dan lelaki itu terus mencabulnya,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa dapat melepaskan ikatan selepas lelaki tersebut melarikan diri.

“Mangsa kemudiannya mem­buat laporan polis setelah dua rakan sekerjanya pulang,” katanya.

Menurutnya, susulan itu, polis memberkas dua lelaki warga Indonesia, berumur 54 dan 32 tahun, bagi membantu siasatan.

“Mangsa tidak mengenali suspek terbabit dan sewaktu kejadian, suspek menutup muka dengan baju,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul. -SH

Ulasan GB

Tema semalam belum berkahir: Malaysia Paling Selamat?




Wanita Dikait Kes Khalwat Badrolamin Tuntut Fasakh

Rompin - Wanita dikaitkan dalam kes khalwat dengan Ahli Majlis Pimpinan PKR, Dr Badrolamin Bahron menarik balik permohonan cerainya di Mahkamah Rendah Syariah Rompin, di sini, semalam.

Wanita berusia 28 tahun itu, hadir kira-kira jam 9 pagi berseorangan­ ke mahkamah itu untuk membuat tuntutan notis penarikan balik kes tersebut di hadapan Hakim Syarie, Abu Kassim Pilus.

Bagaimanapun, alasan penarikan tuntutan penceraian tersebut tidak dinyatakan.

Malah, suami wanita terbabit guru berusia 32 tahun juga tidak hadir pada prosiding itu.

Sementara itu, wanita terbabit ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia akan mengemukakan Fasakh di Mahkamah Tinggi Kuantan.

“Saya menarik balik tuntutan kerana mahkamah rendah syariah tidak mempunyai kuasa untuk mengendalikan kes fasakh,”
katanya.

Wanita itu sebelum ini, memfailkan penceraian pada pertengahan Januari lalu dan prosiding pertama dijalankan pada 27 Februari lalu.

Badrolamin sebelum ini, memaklumkan beliau mengenali wanita yang bekerja di sebuah institusi kemahiran di Rompin itu, sejak kira-kira setahun lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) tidak membuat sebarang dakwaan terhadap Badrolamin dan wanita tersebut. -SH

Cermin Kereta Shamsubaharin Retak Di Tempat Letak Kereta SPRM

SPRM jamin baiki cermin kereta bekas perunding NFCorp

PUTRAJAYA -- Cermin belakang di bahagian tempat duduk penumpang sebuah kereta milik bekas juruperunding National Feedlot Corporation (NFC), Datuk Shamsubahrin Ismail yang diparkir di pekarangan tempat letak kereta Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, ditemui retak.

Shamsubahrin yang dipanggil sebagai saksi ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan terkejut apabila dimaklumkan pemandunya bahawa satu daripada tiga kenderaan iatu Mitsubishi ASX miliknya yang disita SPRM, ketika ditahan pada bulan Disember lalu, telah retak.

Dua lagi kereta iaitu Mitsubishi jenis Triton dan Grandis dalam keadaan baik. Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali memberi jaminan bahawa SPRM akan memperbaiki cermin kereta itu. Beliau berkata pihaknya menyedari kejadian itu lebih awal dan satu laporan polis dibuat pada 16 Jan di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya.

Katanya kereta yang disita itu diparkir di tempat letak kereta dan satu kerja memotong rumput yang dilakukan mungkin telah menyebabkan batu melantun ke cermin kereta menyebabkan cermin kereta retak.

"Tiada unsur khianat kerana pada tarikh itu memang ada pemotong rumput. Kita akan memperbaiki kereta itu kerana (kejadian berlaku) semasa dalam penyimpanan kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini. -- Bernama

Ulasan GB

Setelah kes dua orang saksi mati ditemui di bangunan SPRM kini kes harta-benda saksi yang sita didapati rosak di bangunan SPRM.

Keterlaluan. Lansung tidak ada amanah dan tidak bertanggungjawab untuk mempastikan harta orang awam yang disita dijaga dengan baik dan sempurna hanya dengan alasan kemungkinan ada kerja memotong rumput sehingga menyebabkan batu melantun ke cermin kereta.

Dengan peruntukan belanjawan 2012 yang begitu lumayan untuk SPRM, rakyat begitu dukacita dan marah kerana tahap professionalisme SPRM begitu rendah.

Anak Rozita Che Wan Yang Lari Ditemui

Rozita lega anak ditemui

SHAH ALAM - Berita kehilangan Aniq Ezra Azuar Effendy, 14, anak lelaki kepada aktres jelita, Rozita Che Wan beberapa hari lalu masih lagi mendapat perhatian peminat.

Cubaan Zass mendapatkan Rozita berhasil apabila dia memberitahu Aniq Ezra telah pun selamat pulang ke pangkuannya.

Menurut Rozita, anak lelakinya itu lari ke rumah rakannya yang terletak di USJ, Subang Jaya kerana merajuk dengan aktres tersebut.

Mengaku cemas apabila anaknya tidak pulang ke rumah pada Jumaat lalu, Rozita berpesan kepada sesiapa yang ternampak anaknya itu supaya menghubungi balai polis berdekatan.

“Alhamdulillah, Aniq tak apa-apa. Dia berada di rumah salah seorang rakannya. Dia lari sebab merajuk dengan saya
.

"Mujurlah rakan-rakan Aniq dan rakan-rakan Ammar (anak sulung Rozita) membantu saya mencari Aniq,” katanya yang turut meminta bantuan polis untuk mencari anaknya itu.

Menurut Rozita, anaknya itu memberitahu pihak polis punca dia melarikan diri adalah kerana aktres itu sering melebihkan abangnya, Ammar Effendi.

Pada Sabtu lalu, kecoh di laman Twitter mengatakan Aniq Ezra hilang sehingga namanya menjadi 'trending topic' di kalangan pengguna laman tersebut.

Malah, berita kehilangan itu telah menjadikan satu hashtag #prayforAniqEzra menjadi popular.

Anak lelaki akters ini dilaporkan kali terakhir dilihat berada di USJ 11/12 pada jam 4 petang Jumaat lalu. -SH

Tunggu Apa Lagi, Gerakkan BERS✔H 3.0 Sekarang

Petaling Jaya, 18 MAC : BERSIH 3.0 kemungkinan besar akan diadakan sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) yang akan dibincangkan Minggu depan di Parlimen tidak meluluskan sebahagian besar tuntutan BERSIH 2.0 lalu.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, pihaknya komited dengan perancangan itu dan kejayaan mengadakan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah bukti jelas majoriti rakyat inginkan perubahan di dalam pengendalian pilhanraya di negara ini.

Tambahan pula, katanya, penubuhan PSC juga memberi petanda suara rakyat kini tidak boleh dipertikaikan lagi oleh pihak berkuasa di negara ini.

“Kalau kita tidak dapat tuntutan kita, ya mungkin ada kemungkinan yang tinggi. Datuk Ambiga pun dah cakap ada kemungkinan kita akan adakan BERSIH 3.0,” katanya kepada TVSelangor ketika ditemui di majlis perhimpunan Wanita Suara Perubahan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di Padang Astaka di sini hari ini.

Antara tuntutan dibuat BERSIH 2.0 bagi merealisasikan piliharaya berish dan adil di negara ini khususnya bagi Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) nanti adalah bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil dan kukuhkan institusi awam.

Maria Chin berkata, pihaknya kini sedang menanti keputusan yang akan dibuat PSC berhubung tuntutan dibuat Bersih 2.0.

Berhubung Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), beliau mendakwa, pihak berkuasa itu tidak menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan adil dan saksama.

“Saya rasa SPR tidak menjalankan tugasnya dengan baik. Kalau mereka terus begini tidak menunaikan tuntutan Bersih 2.0, saya rasa mereka lebih bagus letak jawatan,” katanya.

Maria Chin juga mengulas tindakan SPR yang melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya menyebabkan pengundi berpindah tempat mengundi tanpa pengetahuan mereka yang turut melibatkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, pendekatan itu adalah tidak berasas dan pengundi boleh mengambil tindakan dari segi undang-undang terhadap SPR.

“Saya rasa itu salah dan harap pengundi yang telah ditukar kawasan boleh mengambil tindakan undang-undang.

“Mereka mesti buat laporan kepada SPR dan bantahan kalau pindaan itu tidak adil dan mereka tidak diberitahu oleh SPR. Macam Tan Sri Khalid yang ditukar tetapi dia tidak tahu dan SPR tidak boleh kata ini “administrative error”,” ujarnya.

Maria Chin berkata, perhimpuan Wanita Suara Perubahan yang diadakan pada hari ini adalah satu lagi petanda jelas kebangkitan kaum wanita di dalam menuntut perubahan di dalam pentadbiran kerajaan di negara ini. Lebih 2 ribu hadirin menyertai perhimpunan berkenaan.

Katanya, kerajaan harus memberikan perhatian dan beralku adil dalam perkara ini dan tidak meminggirkan suara mereka. -selangorku




Ulasan GB

Gerakkan BERSIH 3.0 sekarang. Jangan terhegeh-hegeh lagi. Pilihanraya sudah berada di depan mata sedangkan penipuan dan salahlaku SPR semakin berleluasa. Rakyat sudah menunggu lama.