9 Ogo 2011

Biarkan Mat Sabu Heret Polis Ke Mahkamah, SUHAKAM Panggil Saksi Yang Lain

Bersih 2.0: Suhakam tidak boleh siasat aduan jika Mat Sabu fail saman

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menegaskan agensi itu tidak boleh memanggil Mohamad Sabu dalam perbicaraan inkuiri awam agensi itu sekiranya Timbalan Presiden PAS itu telah memfailkan saman ke atas polis.

Selain itu jelas Pesuruhjaya Suhakam Mohamad Sha’ani Abdullah, mana-mana kes termasuk dalam isu Himpunan Bersih 2.0 yang telah dibawa ke mahkamah secara automatik pihaknya tidak boleh memanggil untuk memberikan keterangan.

Kata beliau, pihaknya sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan tindakan keras polis ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu dengan prosiding inkuiri awam dijangka diadakan awal Oktober.

Mohamad sebelum ini memutuskan untuk menyaman polis atas dakwaan dilanggar sebuah kereta polis semasa dalam perjalanan menuju ke ibu negara dengan membonceng motosikal.

Beliau juga telah mengarahkan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin agar menghantar surat saman kepada polis kononnya beliau berbohong berhubung isu kemalangan yang mengakibatkannya terpaksa menjalani pembedahan.

“Mengikut undang-undang (Akta) Suhakam, mana-mana kes yang telah dibawa ke mahkamah kes itu tidak boleh disemak oleh Suhakam.

“Macam kes Mat Sabu (Mohamad) kalau beliau bawa ke mahkamah atau polis dakwa di mahkamah, Suhakam tidak boleh terlibat dalam kes itu,” kata Mohamad Sha’ani kepada The Malaysian Insider.

Justeru beliau menasihatkan Mohamad supaya menangguhkan hasrat untuk menyaman polis sehingga keputusan prosiding inkuiri awam Suhakam keluar.

“Kita memang tidak boleh siasat kalau dah bawa ke mahkamah, kalau nak kami siasat beliau (Mohamad) tangguhkan dulu.

“Selepas siap inkuiri awam, beliau boleh saman... kalau beliau saman sekarang kita tidak boleh panggil beliau memberikan keterangan,” katanya.

Bagaimanapun tambah Mohamad Sha’ani, pihaknya tidak menghalang sekiranya Mohamad mahu berbuat demikian.

“Ia terpulang kepada beliau, kita tiada masalah,” katanya.

Sementara itu Mohamed Hanipa pula berkata pihaknya akan menunggu sehingga keputusan inkuiri awam Suhakam keluar.

“Kita akan tunggu, lagi pun kita bukan nak cepat.

“Mat Sabu juga bersetuju dengan perkara ini,” katanya.

Sebelum ini polis telah mengeluarkan klip video berkata Himpunan Bersih 2.0 yang menyaksikan hampir 1,700 orang ditahan termasuk pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan Pakatan Rakyat.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid berkata rakaman CCTV menunjukkan tiada kontak langsung dengan Mohamad, sebaliknya didakwa jatuh sendiri.

Salleh mendakwa siasatan mereka menunjukkan motosikal dibonceng Mohamad terjatuh selepas melanggar pembahagi jalan di hadapan kereta polis.

Beliau juga mendakwa kecederaan Mohamad bukan sesuatu yang serius kerana tiada keretakan. -TMI

Ulasan GB

Tidak mengapa.

Biar Mat Sabu bawa kesnya ke mahkamah. Biar beliau ajar polis yang menipu itu cukup-cukup.

GB rasa ada berpuluh lagi saksi lain yang boleh dipanggil mengkisahkan keganasan dan kezaliman polis pada perhimpunan BERSIH 2.0.

Dan jangan lupa panggil sekali Ketua Polis Negara dan Timbalannya serta Menteri KDN yang acapkali keluarkan kenyataan yang menyatakan perhimpunan Bersih 2.0 itu sebagai perhimpunan haram sedangkan perhimpunan itu adalah SAH di sisi Perlembagaan.

Heret SPR Ke Pengadilan, Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Salahlaku SPR

MyKad - JPN, SPR dan konspirasi terkotor? Oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad

Banyak yang di perkatakan oleh pelbagai pihak apabila berlakunya pendedahan isu yang cukup membimbangkan sebahagian besar rakyat di negara ini serta mengancam keselamatan negara iaitu isu MyKad dan pendaftaran warga asing di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Paling terkini beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) telah mendesak diadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan isu penduduk tetap (PR) yang memegang MyPR merah didaftar sebagai pemilih baru yang didakwa dilakukan secara terdesak oleh pimpinan tertinggi negara dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan SPR.

Bagi saya, pendedahan persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN bukanlah suatu yang 'mengejutkan' kerana ianya 'isu lama' telah sejak sekian lama wujud di negara kita. Pendedahan penipuan serta manipulasi pilihan raya inilah yang menjadikan demokrasi di negara kita berjalan dalam keadaan yang penuh kepincangan dan tempang.

Fakta persekongkolan

Saya teringat satu fakta persekongkolan terhormat JPN, SPR dan kerajaan Umno/BN ini apabila berlakunya pendaftaran beratus-ratus pekerja kilang dari Pekan, Pahang bagi mendaftar undi di kawasan parlimen Marang Terengganu.

Konspirasi yang digelar 'Projek Isuzu' ini dilakukan pada pilihan raya umum 1995 adalah bagi menumbangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri) di kawasan parlimen Marang.

Begitu juga dengan pertambahan pengundi yang mendadak serta peratus keluar mengundi yang 'amat luarbiasa' di seluruh negeri Terengganu pada pilihan raya umum ke-11 yang lalu sehinggakan ada kawasan yang melebihi 90 peratus keluar mengundi.

Keputusan amat luarbiasa ini menjadi 'konspirasi misteri' sehingga sekarang sehingga ia berjaya menumbangkan kerajaan PAS di Terengganu.

Yang terbaru adalah pendedahan mengenai 'Projek IC Sabah' yang merupakan projek rahsia dan tersusun yang membabitkan beberapa parti politik termasuk agensi kerajaan seperti JPN. SPR dan Jabatan Imigresen.

Aktivis hak asasi dan masyarakat dari Sabah, Dr Chong Eng Leong mendedahkan bahawa sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah. Beliau mendedahkan tentang Projek IC ini adalah bagi membawa pendatang tanpa izin dan di berikan IC serta mendaftar nama mereka dalam daftar pemilih yang di sediakan oleh SPR bagi melayakkan mereka menjadi pengundi yang 'sah'.

Projek IC Sabah yang dilaksanakan ini dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Megat Junid Megat Ayub, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ahmad Sarji, Pengarah JPN Sabah, Sani Adnan serta beberapa pimpinan tertinggi dan di lakukan ketika Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1980 an dan 1990an.

Siasatan Awam

Persoalannya, siapakah yang harus bertanggungjawab dalam konspirasi besar ini? Dan apakah akan ada usaha dari pihak kerajaan bagi menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Awam bagi menyiasat isu ini?

Namun bagi saya, isu pokok yang harus di lihat oleh semua pihak adalah peranan SPR itu sendiri. Apabila isu kredebiliti SPR menjalankan tugas mereka secara adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan adil menjadi pertikaian, maka demokrasi di negara kita akan terus menjadi tempang.

Ini ditambah lagi dengan 'hilang keyakinan' rakyat awam terhadap peranan SPR sendiri. Penjelasan serta jawaban yang di berikan oleh SPR mengenai isu MyKad serta serta pelbagai isu yang menjadi pertikaian dilihat amat tidak meyakinkan dan berat sebelah.

Lebih parah lagi SPR kini hanya dilihat menjalankan tugas mereka 'berkhidmat untuk Umno/BN' bagi menjamin kelangsungan kuasa di Putrajaya.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa menurut Perlembagaan Negara 114(2) menghendaki SPR mestilah mendapat 'kepercayaan awam'. Namun dengan perkembangan terbaru ini, 'kepercayaan awam' terhadap SPR telah terhakis sama sekali dengan perananya yang dilihat gagal menjalankan tugas sebagai sebuah badan bebas dan adil bagi menjamin pilihan raya yang bersih dan telus.

Bagi saya, untuk menjamin masa depan demokrasi dan pilihan raya di negara kita, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR wajar berundur segera dan izinkan Kebawah Duli Yang Di-Pertuan Agong membentuk serta melantik kepimpinan SPR baru yang telus dan BERSIH.

Ulasan GB

SPR sudah hilang kredibilitinya untuk mengendalikan pilihanraya di Malaysia. Namun bagaimana hendak menggugurkan kuasa SPR tersebut dari meneruskan pilihanraya?

Dengan sekalian banyak bukti yang ada, Pakatan Rakyat sepatutnya telah lama dan telah banyak kali mengemukakan writ saman kepada SPR dan Kerajaan Malaysia.

Kita perlu lakukan sampai benar-benar berjaya. Di parlimen, PR mesti terus mendesak supaya penubuhan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Salahlaku SPR. Di mahkamah PR mesti kemukakan saman bagi mengisytiharkan SPR sudah hilang wibawa selaku badan yang bebas dan berkecuali untuk mengendalikan pilihanraya di negara ini.

Hal ini perlu di bawa sampai ke peringkat antarabangsa jika perlu, iaitu ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Selama BN memerintah dan SPR mengendalikan pilihanraya, pemantau antarabangsa tidak pernah dipanggil untuk memantau proses perjalanan pilihanraya di negara ini. Sedangkan di negara-negara lain termasuk di negara jiran baru-baru ini, di Indonesia dan Thailand, pemantau luar/antarabangsa diundang untuk meninjau perjalanan pilihanraya di negara tersebut.

SPR sengaja tidak memanggil pemantau luar bagi mengelak kerja-kerja kotor mereka di kesan.

Dicekup Buat Maksiat Di Rumah Pusaka

Tanjung Bungah – Sanggup seorang wanita menggunakan rumah pusaka arwah ayahnya untuk tinggal bersama dengan teman lelakinya.

Dipercayai kedua-dua pasangan berkenaan sudah hampir empat tahun bercinta dan tinggal bersama di sebuah kampung sekitar Tanjung Bungah.

Kegiatan tidak bermoral mereka itu bagaimanapun akhirnya berjaya dihidu Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) atas aduan orang ramai.

Serbuan dilakukan penguat kuasa JAIPP kira-kira jam 2 pagi hingga 3 pagi dengan keadaan rumah yang gelap.

Setelah selesai mengepung rumah bagi mengelakkan suspek terlepas, seorang penguat kusa mula memberi salam untuk membuat pemeriksaan.

Seorang wanita menjawab salam dan memberi ruang penguat kuasa untuk masuk, namun seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya berada dalam bilik.

Ketika ditahan, wanita berkenaan hanya memakai singlet dan seluar jeans ketat sementara itu lelaki berkenaan memakai baju T dan seluar pendek.

Pada mulanya mereka tidak mengaku pasangan kekasih namun, akhirnya membuat pengakuan tidur di bilik yang sama.

Wanita berkenaan berkata, dulu salah satu bilik di rumahnya itu pernah disewa oleh sebuah keluarga.

“Ustaz baru dua hari saja kami tinggal berdua, dulu memang ada keluarga tinggal dengan saya lagi,” katanya memberi alasan.

Sementara itu, lelaki berkenaan ketika ditanya hanya terdiam mendengar penjelasan teman wanitanya kepada penguat kuasa JAIPP.

Dia yang juga bekas ‘beach boy’ itu mengaku terdapat beberapa masalah yang menyebabkannya dan teman wanitanya susah untuk berkahwin.

Sementara ditanya penguat kuasa JAIPP, lelaki yang berusia sekitar 30-an itu mengaku baru saja keluar dari penjara.

“Saya baru keluar penjara kerana kes gaduh pukat harimau,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi maksiat yang dikenali Ops Santai itu diketuai Ketua Operasi dan Penguat kuasa JAIPP, Khairul Azman Azizan dan turut disertai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasa JAIPP, Jaafar Ismail serta 14 penguat kuasa lain.

Khairul berkata, kemudiannya kedua-duanya diberikan notis mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang atas kesalahan berkhalwat.

“Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Mereka dibawa ke pejabat JAIPP di Lebuh Pantai dan laporan polis dibuat di Balai Polis Lebuh Pantai,” katanya -SH

Remaja Perempuan 17 Tahun Hilang

Ipoh – Seorang ibu tunggal merayu agar anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas didapati hilang sejak 4 Ogos lalu.

Seri Wangi Mokhtar, 42, berharap anaknya, Seri Najwa Ferda Hasan, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar akan kembali ke rumah dalam keadaan selamat sebelum Aidilfitri ini.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, anak keduanya seorang yang sangat baik serta rapat dengan adik beradiknya yang lain.

Beliau yang tinggal di Rancangan Perumahan Tambahan (RPT) Tualang Sekah memberitahu anaknya tidak pulang selepas keluar dari rumah mereka kira-kira jam 6.45 pagi Khamis lalu.

“Selepas kami bersahur dia (Seri Najwa Ferda) bersiap-siap untuk ke sekolah dan pada hari itu dia memakai baju T berwarna biru dan seluar sukan.

“Selain itu, komputer riba, jalur lebar mudah alih (broadband) dan telefon bimbitnya turut dibawa bersama.

“Namun sehingga jam 5 petang (hari yang sama) saya mula rasa tidak sedap hati kerana anak saya masih tidak pulang ke rumah.

“Lagipun beberapa hari sebelum kehilangannya dia memang tidak ke sekolah kerana mempunyai masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kerana terlalu bimbang, Seri Wangi cuba menghubungi telefon bimbit anaknya berkali-kali namun tidak berjawab.

“Kemudian saya menelefon rakan-rakan sekolahnya dan mendapati dia tidak hadir ke sekolah pada hari itu.

“Bagaimanapun, saya masih menaruh harapan dan menunggunya pulang tetapi selepas berbuka puasa saya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Kampar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Seri Wangi berkata, ada saksi yang pernah melihat anaknya menaiki sebuah skuter berwarna merah pada pagi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar Superin-tendan Abdul Aziz Salleh mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kes remaja perempuan hilang pada Khamis lalu.

Beliau berkata, polis giat menjalankan siasatan dari semasa ke semasa bagi menjejaki remaja perempuan berkenaan.

“Sehubungan itu, bagi sesiapa yang mempunyai maklumat bolehlah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di talian 05-465 2222,” katanya ketika dihubungi semalam.



Terengganu: 4 Datuk Ditangkap Berjudi

Kuala Terengganu - Sungguh memalukan! Enam sahabat sanggup mencemarkan kesucian Ramadan dengan menjalankan aktiviti berjudi beramai-ramai di belakang kedai di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, awal pagi semalam.

Lebih menyedihkan, empat di antara enam sahabat itu sudah bergelar datuk yang sepatutnya menghabiskan sisa usia mereka untuk beribadat terutama pada bulan yang mulia ini.

Bagaimanapun, tindakan keenam-enam tertuduh, Abdul Rahim Sigh Abdullah, 38, dari Rumah Murah Kampung Batin, Seberang Takir, Yuhasafuddin Yusof, 24, dari Kampung Rhu Sepuloh, Setiu, Mat Seri Mamat, 48, dari Taman Sri Kolam, Kuala Terengganu, Malizar Sutan Sulaiman, 52, dari Lorong Cempaka Kuala Ibai, Ibrahim Abdullah, 56, dari Kampung Padang Ujib Manir, Kuala Terengganu dan Mahsuri Ngah, 41, dari Kampung Melintang Wakaf Beruas Kuala Terengganu terbalas setelah dijatuhi hukuman denda RM2,000 setiap seorang di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Norazizah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas keenam-enam tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dengan itu mereka boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, keenam-enam sahabat itu didapati bermain judi menggunakan buah dadu dengan bertarung wang di belakang kedai Happy Prabayar dan Alat Telekomunikasi, Hafira Communication Service, Jalan Sultan Ismail semalam kira-kira jam 12.15 pagi.

Kegiatan haram mereka itu diintip sepasukan polis selama 10 minit dan sejurus mengetahui kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri namun kesemua mereka berjaya ditangkap selepas berlakunya pergelutan.

Wanita 'Ketuk Ketampi' Bogel Bebas Tuduhan Dadah

Selepas enam tahun, Hemy Hamissa Abu Hassan Saari, yang terbabit dalam saga 'ketuk ketampi bogel' kini boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam pula membebaskannya daripada dakwaan memiliki dadah.

Hemy Hamissa bersama suaminya, sekarang Kamarul Hamri Mohd Latif dan tiga yang lain dituduh bersama memiliki 10.19 gram methamphetamine di SK Damansara Jaya, pada jam 29 Jun, 2005, jam 1.45 pagi.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Dalam keputusan itu, Majistret Nor Afidah Idris berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pemilikan dadah berkenaan di dalam kawalan dan penjagaan serta dalam pengetahuan semua tertuduh.

"Mahkamah juga berpendapat pegawai penyiasat gagal menjalankan siasatan terperinci terhadap kesemua tertuduh, termasuk tidak memeriksa Hemy Hamisa ketika serbuan sekaligus mewujudkan kelompongan," katanya.

Dadah berkenaan dijumpai pada Ku Azizul Ku Abd Rahman, yang kemudiannya menghilangkan diri selepas dibenarkan dijamin.

Dua minggu lalu, Hemy Hamisa berjaya menyelesaikan saman di luar mahkamah yang difailkannya ke atas seorang konstabel polis dan kerajaan berhubung kes ketuk ketampi bogelnya itu sehingga menyebabkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan. -mk

Kerja Kotor SPR Dibongkar : "Kg. Baru" Didaftarkan Sebagai Pengundi Di Besut

SPR cipta sejarah, Kg Baru sebagai pengundi

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi.

Menurut Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor dalam satu kenyataan berkata, daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Berikut ulasan beliau berhubung perkara itu.

Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi. Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan 830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. Daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini.

Maklumat pemilih yang mencipta sejarah ini adalah seperti di bawah:



Apabila semakan dibuat dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negera (JPN) mengikut nombor kad pengenalan pemilih maka nama Kg Baru sebenarnya adalah Noraini Binti Abdullah. Persoalannya bagaimana SPR boleh melakukan kesilapan yang begitu memalukan? Bagaimana kecuaian ini boleh berlaku? Apakah Datuk Wan Ahmad Wan Omar masih menganggap isu ini hanyak layak di jawab oleh kerani SPR sahaja?

Maklumat Noraini Binti Abdullah adalah seperti berikut:



Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah menjumpai pemilih dari kalangan pengundi hantu di mana nama pemilih ini tidak terdapat dalam rekod JPN. Pengundi hantu ini bernama Farhana Binti Abdul Rashid, no kad pengenalan 840505715012 dan mengundi di Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu.

Maklumat pengundi hantu ini adalah seperti berikut:



Semakan di laman Web JPN menunjukkan identiti Farhana Binti Abdul Rashid tidak wujud.



Persoalannya bagaimana SPR boleh mendaftarkan pengundi hantu sedangkan SPR mempunyai Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Tahun (e-SPPST) yang telah dihubungkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sistem ALIS (Agency, link-Up System)?

Berdasarkan kepada peristiwa pada 2 Ogos 2011 di mana JPN mengubah status warganegara dalam tempoh satu jam setengah maka mungkin maklumat Farhana Binti Abdul Rashid akan berubah selepas media menyiarkan maklumat pengundi hantu ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia beranggapan mungkin telah berlaku kecuaian manusia yang menyebabkan sebuah kampung dibenarkan mengundi. Salah satu punca kepada masalah ini adalah kerana SPR tidak mempunyai sistem pengesahan pengundi yang benar-benar mantap. Kecuaian manusia tidak dapat dikesan oleh sistem selepas data-data dimasukkan.

Dewan Pemuda PAS juga mendesak kepada SPR agar menggugurkan bayaran RM10 bagi setiap bantahan dan RM200 bagi setiap bantahan yang ditolak. Bantahan ini merupakan salah satu kaedah mengesan kesilapan manusia. Bantahan ini dibenarkan semasa SPR mempamerkan rang daftar pemilih. Apabila bayaran yang dikenakan terlalu mahal maka ia akan membebankan mereka yang mahu membuat bantahan sedangkan bantahan ini bertujuan untuk membersihkan daftar pemilih SPR.

Ini bermaksud pembantah mahu membantu SPR membersihkan data mereka. Membersihkan daftar pemilih adalah tugas hakiki SPR. Malangnya SPR mengenakan bayaran yang tinggi untuk membantunya membersihkan daftar pemilih. Bayaran yang dikenakan oleh SPR kepada pembantah adalah termasuk perkara-perkara yang pelik dalam negara kita. Sepatutnya SPR memberi bayaran tanda penghargaan kepada mereka yang membuat bantahan bukannya mengenakan bayaran kepada mereka yang mahu membantu SPR.

Tempoh bantahan juga terlalu singkat dan tidak munasabah iaitu hanya 5 hari sahaja termasuk 2 hari bercuti. Contohnya dalam rang suku ke-2 tahun 2011, SPR hanya membenarkan bantahan pada 29 Julai 2011 hingga 2 Ogos 2011. Iaitu 5 hari bermula hari Jumaat hingga selasa. Tempoh ini terlalu singkat dan merumitkan. Bayaran dan tempoh yang terlalu singkat ini seolah-olah SPR mempunyai agenda tersembunyi bagi menyukarkan pembantah untuk membuat bantahan.

Dewan Pemuda PAS mendesak agar tempoh bantahan ini dipanjangkan dan bayaran kepada pembantah digugurkan. Ini bagi memudahkan semua pihak membuat pembersihan daftar pemilih di masa akan datang. -HD

Ulasan GB

Semalam, wartawan MSTAR, Ariffuddin Ishak tulis ayat macam SPR selama ini buat kerja macam bagus sangat sehingga ditulisnya Pembangkang Dicabar Kemuka Bukti :



Yang mencabar ialah Nazri Aziz. Sekarang sudah dibuktikan bahawa memang berlaku sejumlah pemilih yang disenaraikan dalam daftar pemilih adalah bukan sahaja yang berstatus Penduduk Tetap (PR), tetapi nama tempat pun didaftarkan sebagai pengundi.

Kepada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR, letaklah jawatan cepat sebelum anda berdua diheret ke muka pengadilan untuk dicampakkan ke penjara secepat mungkin. Rakyat dah tak sabar dengan penipuan-penipuan yang banyak ini. Suruhanjaya Diraja MESTI ditubuhkan untuk siasat perjalanan SPR selama ini.

Kami akan tetap terus berdoa kepada Allah mendedahkan kebenaran dan mengadili semua kerja-kerja jahat kamu-kamu yang bersekongkol dengan BN. Ingat di bulan Ramadhan ini, doa orang yang dizalimi lebih cepat diangkat ke langit!


Jawatankuasa Siasatan Lantikan Menteri Kesihatan Tidak Serius

Siasatan Tung Shin diserah kepada polis pula

Jawatankuasa Siasatan Dalaman Kementerian Kesihatan peringkat tertinggi yang sepatutnya menyiasat aduan bahawa gas pemedih mata dan air berkimia disasarkan ke perkarangan Hospital Tung Shin, kini memohon bantuan polis bagi menyiasat kejadian yang didakwa berlaku pada 9 Julai itu.

Perkara itu didedahkan oleh ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berdasarkan sepucuk surat yang dikeluarkan oleh sekretariat jawatankuasa itu Jumaat lalu.

Pua, yang berada di perkarangan Hospital Tung Shin bersama rakan-rakan pemimpin DAP pada 9 Julai lalu telah menawarkan diri mereka untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan bagi membantu siasatan mereka.

“Bukan sahaja (mereka) melengah-lengahkan siasatan yang dituntut kami, tetapi mereka meminta pula pihak polis menyiasat kami,” katanya.

Pada sidang akhbarnya pagi ini, Pua berkata ibu pejabat DAP pada mulanya menerima sepucuk surat daripada kementerian bertarikh 29 Julai yang memintanya bersama tiga pemimpin parti lain untuk menghadiri inkuiri yang dijadualkan pada 1 Ogos.

Tiga yang lain itu adalah ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong, ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching dan setiausaha politik ketua menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Namun, kerana surat yang diterima sudah terlalu dekat dengan tarikh inkuiri dan akibat kesuntukan masa, mereka meminta tarikh baru.

“Kami terima surat pada Sabtu jam 4 petang dan mereka minta kami untuk datang pada Isnin depan,” jelasnya sambil menambah beliau kemudiannya menulis kepada jawatankuasa itu untuk meminta tarikh yang lain.

Bagaimanapun sekretariat jawatankuasa itu menulis kepada mereka pada 5 Ogos lalu dan kali ini berkata, “kami akan berpadu tenaga dengan polis dalam menjalankan siasatan yang akan diadakan tidak lama lagi.”

Pua berkata beliau juga menerima panggilan daripada polis meminta dirinya dan pemimpin lain ke ibu pejabat polis daearh PJ pada jam 9.30 pagi Rabu ini.

“Jadi menteri telah serah kuasanya kepada ketua setiausaha yang kemudiannya serah pula kuasa itu kepada polis,” kata Pua.

Katanya lagi, kementerian kesihatan sengaja mengelak tanggungjawab menyiasat kerana mereka sedar bahawa seluruh dunia sudah mengetahui kebenaran bahawa memang hospital tersebut diserang.

Malah, menurut Perjanjian Geneva oleh semua negara di dunia, hospital merupakan kawasan larangan, dan tidak boleh diserang dalam apa-apa kes pun. -mk


Kementerian Kesihatan Siasat Insiden Di Hospital Tung Shin

KUALA LUMPUR – Sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan bagi menyiasat insiden di Hospital Tung Shin pada 9 Julai.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam satu kenyataan menyebut jawatankuasa itu akan dipimpin Ketua Setiausaha kementerian berkenaan iaitu Datuk Kamarul Zaman Md Isa.

Liow berkata beliau yakin jawatankuasa itu akan menjalankan siasatan terperinci dan telus memandangkan keselamatan pesakit serta hospital adalah penting.

“Ini akan menjelaskan percanggahan kenyataan yang dibuat pelbagai pihak sejak beberapa hari lepas,” katanya.

Isnin lepas, Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan Liow bahawa insiden gas pemedih mata dan meriam air ditembak ke dalam kawasan hospital berkenaan ketika perhimpunan haram baru-baru ini tidak berlaku, namun ramai saksi yang melihat perkara itu mendakwa sebaliknya.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan berkenaan. Mereka yang tidak ingin dikenali juga boleh berbuat demikian,” katanya. – BERNAMA


Ulasan GB

Sebenarnya anggota Jawatankuasa Siasatan Kementerian Kesihatan lantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai hanya satu gimik, tak tahu buat kerja siasatan dan tidak serius di dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Mengaku sajalah!

Ia hanya satu penipuan untuk mengaburi mata rakyat setelah menteri itu ditangkap menipu orangramai dengan menyatakan polis tidak menembak ke arah hospital berkenaan sebaliknya menyalahkan angin yang membawa gas tersebut ke perkarangan hsopital.