6 Jan 2014

Media Indonesia Bebas Kritik Presidennya, Media Kita Puji Najib PM Terbaik Dunia


Kebebasan media di Indonesia jauh meninggalkan Malaysia dengan melaporkan berita lebih telus dan jujur mengenai dasar kerajaan berbanding media tempatan negara ini yang dikongkong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu ini pernah disuarakan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) kepadanya ketika beliau mengadakan lawatan bertemu Presiden negara republik itu.

“Saya duduk sekali dalam satu persidangan dengan Presiden SBY yang kebetulan hari itu muka depan media Indonesia melaporkan laporan positif tentang saya di muka depan dan di muka depan juga serang dia sebab skandal bank Century.

“Dia kata pada saya; tengok Pak Anwar medianya, aduh penat saya. Saya diserang habis-habisan tetapi Pak Anwar dipuji semua.

“Dia presiden, mengeluh media kritik dia tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. Kita di sini pula, (laporkan) Perdana Menteri terbaik di dunia,” kata Anwar.

Beliau ketika menyampaikan ceramah dalam Kursus Merdeka Rakyat yang diadakan di Pusat Reformasi Demokrasi dan Inisiatif Sosial di sini, hari ini.

Kata Anwar, kebebasan media di Indonesia itu merupakan sebahagian dari hasil kejayaan rakyat negara itu melakukan reformasi sehingga menumbangkan kerajaan ketika dipimpin Presiden Soeharto pada 1998.

Kata beliau lagi, reformasi di Indonesia berjaya mengukuhkan institusi penting di negara itu berbanding sebelumnya yang dicemari pelbagai rasuah termasuk salah guna kuasa pemimpinnya.

“Kekuatan Indonesia adalah institusinya selepas reformasi. Menteri masuk penjara, Gabenor Bank Negara masuk penjara, Ketua Pembentarasan Korupsi dalam penjara, Ketua Mahkamah Konstitusi nombor satu juga dalam penjara sebab rasuah. Bayangkanlah kekuatan institusi mereka hari ini.

Bagaimanapun tambah Anwar lagi, perkara ini berbeza dengan keadaan institusi penting kerjaan yang cuba memanipulasi kes-kes yang melibatkan kepentingan kerajaan.

“Lain di sini, Tun Ling Liong Sik sebelum pilihan raya didakwa, tetapi selepas pilihan raya dibebaskan. Memang kita dah jangka,” katanya lagi. -selangorkini

Azmin & Chegubard Menang, Hakim Putuskan Larangan Ke Atas Mereka Sertai BERSIH Salah


Mahkamah Rayuan ketepi pengharaman BERSIH 3.0



Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara mengetepikan arahan Majistret Kuala Lumpur Zaki Asyraf yang mengharamkan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 2012, bawah Seksyen 98 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Panel tiga anggota, diketuai oleh Hakim Datuk Linton Albert, mempertimbangkan perintah arahan itu sebagai cacat, ekoran rayuan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin.

Hakim lain termasuk Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Wong Dak Wah.

Azmin diwakili oleh Datuk CV Prabhakaran sementara bekas timbalan peguam cara negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang bersara dan memasuki sektor swasta, serta peguam Sankara Nair mewakili Badrul.

Azmin dan Badrul memfailkan rayuan tahun lepas untuk mengetepikan pendakwaan terhadap mereka bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 atas alasan arahan Zaki mengharamkan perhimpunan itu ultra vires kepada PPA.

Alasan lain dikemukakan, arahan majistret yang berkuat kuasa pada 30 Jan 2012 itu melebihi bidang kuasanya. -mk


Sekatan ke atas pemimpin PKR sertai Bersih 3.0 salah, putus Mahkamah Rayuan


Mahkamah Rayuan menyifatkan sekatan yang dibuat oleh Mahkamah Majistret terhadap dua pemimpin PKR untuk menyertai Bersih 3.0 tidak betul dan mengenepikan keputusan itu hari ini.

Tiga hakim yang bersidang hari ini yang dipengerusikan oleh Datuk Linton Albert tidak memberikan sebarang asas kepada penghakiman mereka ke atas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan ketua PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Albert berkata, penghakiman bertulis akan diberikan kemudian.

Azmin dan Badrul Hisham telah merayu untuk mengenepikan perintah di bawah Akta Prosedur Jenayah yang menghalang mereka daripada menyertai perhimpunan itu.

Mereka juga memohon mahkamah untuk membatalkan tindakan ke atasnya itu namun ia tidak diterima.

Peguam S. N. Nair, yang mewakli Badrul Hisham berkata, dia akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk membatalkan dakwaan ke atas mereka berdua kerana keputusan mahkamah majistret itu terbukti cacat.

"Dakwaan itu tidak ada asas untuk berdiri sekarang kerana arahan majistret itu telah tidak sah," katanya kepada wartawan.

Nair yang membantu peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata, mereka akan memohon Mahkamah Sesyen membatalkan dakwaan ini jika Pejabat Peguam Negara enggan menarik balik kes ini.

Datuk C. V. Prabhakaran mewakili Azmin dalam kes ini.

April lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka berdua untuk menggugurkan dakwaan ke atas mereka kerana menyertai perhimpunan yang mereka adakan untuk pilihan raya yang bebas dan adil.

Azmin dan Badrul Hisham membuat permohonan itu di atas alasan arahan yang dibuat majistret Zaki Ashraf tidak sah kerana dia dikeluarkan di luar bidang kuasa dan melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA).

Pada 22 Mei 2012, Azmin dan Badrul bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa di Mahkamah Sesyen di bawah APA kerana melanggar arahan mahkamah apabila menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April.

Rayuan Anwar untuk mengenepikan dakwaan itu akan didengar 5 Februari ini.

Mereka juga didakwa di bawah Penal Kod yang membantu tiga individu melanggar perintah mahkamah yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka pada hari itu.

Mereka didakwa mempengaruhi R. Tangam, J. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim @ Alias membuang sekatan yang diletak oleh pihak berkuasa di Dataran Merdeka.
-TMI


[BERGAMBAR] Bukti Gred A Sambutan Hari Jadi Extravaganza Menteri KDN


Ketika rakyat diminta berjimat, menteri buat parti hari jadi mewah

Beberapa menteri terus hidup dalam kemewahan ketika Putrajaya memotong bajet dan meminta rakyat mengetatkan tali pinggang mereka dan berjimat cermat dalam menghadapi kos hidup yang meningkat dan pengurangan subsidi tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan parti hari jadi yang "mewah" di sebuah hotel lima bintang dekat Kuala Lumpur semalam yang tetamunya mendakwa menjadi sambutan Tahun Baru.

Seorang lagi menteri telah membuat sambutan perkahwinan dua hari untuk anak beliau di satu lagi hotel lima bintang di ibu Kuala Lumpur bulan lepas, diserikan oleh kerabat diraja dan orang kenamaan dan telah dihiburkan oleh penyanyi wanita dari Indonesia.

Beberapa penulis blog pro-Umno pula mempertikaikan keperluan Jabatan Perdana Menteri memiliki dua jet VIP selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan untuk perjalanan rasmi pada tahun 2012.

Tetapi majlis makan tengahari semalam yang diadakan selepas Putrajaya mengumumkan 11 langkah untuk mengurangkan perbelanjaan awam, yang melibatkan pemotongan untuk hiburan dan pengangkutan elaun menteri dan pegawai tinggi kerajaan selain daripada membekukan permintaan pengubahsuaian pejabat amat menjolok mata.

Menerima maklumat mengenai majlis makan tengahari itu, The Malaysian Insider telah melawat hotel terkenal itu di mana semua tetamu dan yang menyambut ulang tahun berpakaian merah sebagai tema parti itu.

Tetamu Ahmad Zahid memenuhi ruang makan di dewan tarian utama hotel ini manakala dia bercampur dengan mereka, termasuk beberapa pegawai kanan kerajaan yang telah dijemput melalui e-mel yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Naib Presiden Umno ini tersenyum lebar sambil berjabat tangan dengan semua yang hadir selepas parti berakhir, sementara kereta-kereta mewah dengan pemandu berbaris di depan hotel, menyebabkan lalu lintas tersekat selepas dihentikan oleh Porsche Cayennes hitam dan Toyota Alphards yang diletakkan di tepi jalan.

The Malaysian Insider cuba untuk bercakap dengan Ahmad Zahid tetapi dihalang oleh pengawal peribadi beliau dan diminta untuk meninggalkan majlis atau diiring keluar.

Tidak diketahui siapakah yang membuat bayaran untuk parti Ahmad Zahid ini, ataupun kenapa tema merah dipilih, tetapi tetamu beliau berpakaian terbaik mereka dengan beg tangan berjenama dan totes di tangan.

Tetamu memberitahu The Malaysian Insider bahawa parti itu telah disambut untuk dua hari jadi, Ahmad Zahid dan cucu beliau yang jatuh pada hari yang sama tetapi juga menegaskan bahawa ia adalah sebuah parti Tahun Baru sebagaimana yang terpampang di latar belakang pentas.

Jemputan juga telah dihantar melalui e-mel pada hari Jumaat kepada pegawai Kementerian Dalam Negeri yang terpilih. E-mel yang bertajuk "Sambutan Hari Jadi Menteri Dalam Negeri", juga termasuk nota jemputan kepada menteri Kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno.

Parti hari jadi mewah dan perkahwinan mewah anak perempuan menteri hatta kereta baru Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pun jadi isu (walaupun dibeli dengan diskaun 55% -GB) pada ketika kebanyakan rakyat Malaysia merungut tentang kenaikan harga untuk elektrik, makanan, bahan api dan juga kos persekolahan.

Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan meningkat pada tahun ini. Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada tahun 2015.

Perbelanjaan kerajaan melonjak dengan bajet tahun ini sehingga RM264.2 bilion berbanding tahun lepas RM251.6 bilion di tengah-tengah kebimbangan bahawa Putrajaya tidak mengurangkan perbelanjaan walaupun meminta orang ramai untuk berbuat demikian.

Rakyat Malaysia juga mencemuh pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Putrajaya akan melaksanakan 11 langkah-langkah penjimatan untuk mengurangkan perbelanjaan pada tahun 2014.

Pakar ekonomi Najib, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar telah pun menasihatkan pengguna untuk berbelanja dengan bijak dan mencari alternatif.

Bekas pegawai bank itu berkata rakyat Malaysia perlu berjimat cermat dan hidup mengikut kemampuan mereka.

"Saya pergi ke pasar setiap minggu. Saya tahu bahawa harga barangan keperluan asas adalah tinggi, tetapi pengguna mempunyai pilihan dalam apa yang mereka membelanjakan wang mereka," beliau dipetik sebagai berkata dalam laporan berita. -TMI

Mujur Yang Datang Bawa Bunga Itu Marina Mahathir, Jika Nurul Izzah....


Dijangka kemarahan tetapi yang datang Muslim dengan bunga

Hampir 1,000 orang menyertai himpunan hari Ahad di Gereja Katolik Our Lady of Lourdes Klang di pagi yang dijangka bakal menghadapi beberapa kumpulan Islam yang marah dengan mereka, tetapi dengan tidak disangka sekumpulan Islam datang membawa bunga untuk mereka.

Antaranya yang datang adalah aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahthir, yang mebawa sejambak bunga dan menjadi sebahagian daripada yang datang untuk memberikan sokongan moral kepada penganut Kristian.

Namun di Padang Kelab Sultan Sulaiman, sekumpulan kumpulan konservatif Islam berhimpun bagi membantah penggunaan nama Allah oleh Kristian.

Mereka juga menyokong serbuan yang dibuat oleh Jais terhadap Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim yang merampas kira-kira 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban serta menahan dua pemimpinnya.

"Saya di sini atas nama peribadi..ramai di sini adalah Muslim tetapi apa yang kami mahu katakan adalah Islam agama keamanan," kata Marina di depan Gereja Katolik Our Lady of Lourdes Klang sambil memegang bunga di tangan yang dikhaskannya untuk penganut Kristian di situ.

"Kami bukan pencetus peperangan seperti sangkaan sesetengah pihak," tambahnya.

Menyifatkan protes adalah hak setiap individu namun, "tidaklah wajar berlebihan sehingga memasuki rumah ibadat pihak lain."

Beliau menyifatkan serbuan Jais sangat mencurigakan dan kesal dengan tindakan mendiamkan diri pihak kerajaan.

Marina dan rakannya Nik Elin kemudiannya pergi menemui penganut Kristian di situ dan memberikan bunga untuk mereka dengan diringi sorakan daripada orang ramai.

Suasana berbeza di Padang Kelab Sultan Sulaiman apabila sekumpulan umat Islam membantah pengarang Herald, Father Lawrence Andrew yang berkata akan menggunakan terus nama Allah dalam urusan mereka di gereja. Bantahan ini dijangka dibuat di gereja tetapi dipindahkan ke sana hari ini.

Umno Selangor semalam memutuskan tiada bantahan di gereja kerana bimbang mereka bertembung dengan Kristian dan berkata, yang mereka bantah adalah kenyataan pengarang Herald, Father Lawrence Andrew yang berkata akan terus menggunakan perkataan Allah dalam sembahyang berbahasa Malaysia mereka.

Peserta perhimpunan bertanya, apakah Kristian akan hilang kehebatan mereka jika tidak menggunakan perkataan Allah dalam sembahyang mereka.

Ustaz Mohd Kamal Husin, pengerusi bersama Persatuan Solidariti Muslim Klang menegaskan Allah adalah Allah adalah nama khas untuk Muslim dan bukan terjemahan god dalam Kristian.

"Kami terkejut dengan kamu kerana kenyataan bahawa Kristian akan terus menggunakan nama Allah dalam sembayang berbasaha Melayunya satu tindakan yang menghasut.

"Ia akan menimbulkan suasan yang tidak harmoni antara Muslim dan Kristian," katanya semasa sidang media selepas bantahan itu dibuat. -TMI

ULASAN GB

Pertama-tama GB ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Marina Mahathir yang (sekurang-kurangnya) berusaha untuk mewujudkan keharmonian rakyat Islam-Kristian yang hubungan baik kedua komuniti ini telah diporak-perandakan dengan isu kalimah Allah.

Mujur yang datang membawa bunga itu Marina, bukan mana-mana pemimpin wanita dari PKR atau PAS. Katakanlah yang datang itu Nurul Izzah atau Dr.Mariah, sudah pasti gegak gempita media massa arus perdana dan sekalian para macai UMNO memainkan isu berkenaan.... semnggu dibuatkan liputan khusus mengutuk senario berkenaan.

UMNO menjadikan isu "kalimah Allah" ini sebagai talian hayat terakhir untuk survivalnya di dalam arena politik negara sebelum ia terus pupus. Di dalam dunia ini, hanya kerajaan UMNO yang memutuskan penggunaan kalimah Allah hanya untuk umat Islam. Tiada nas atau dalil dari Al-Quran mahupun hadith yang melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam. Yang ada cuma ledakan emosi dan prasangka.

Hukum kebenaran dan keadilan akan terus berjalan. Kalimah Allah bukan milik UMNO, bukan milik Melayu. Semua orang berhak menggunakannya. Kita semua milik Allah bukan seperti pendirian UMNO yang berpendirian disebaliknya, Allah milik kita.

Tentang penggunaan Allah di dalam gereja, tiada siapa pun dapat menghalangnya kerana Al-Quran sendiri menjelaskan :

Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” -Al-Haj:40