29 Jul 2013

[BERGAMBAR] Lagi Kes Tembak: Pengasas Bank Arab-Malaysia Ditembak Mati, Isteri Cedera


Pengasas AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi (gambar kecil), 75, yang berasal dari Bahrain ditembak mati di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur hari ini sementara isterinya cedera terkena tembakan.

Beliau yang kini merupakan penduduk tetap Malaysia berjalan menuju ke keretanya bersama isteri apabila seorang yang bersenjata menuju ke arahnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah belakang menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian kira-kira pada jam 1.30 tengahari.

Isterinya yang cedera terkena tembakan di badan dikejarkan ke hospital.

Saksi kejadian berkata pasangan itu terdahulu melawat kuil yang berada di hadapan tempat letak kereta.

Saksi yang tidak mahu namanya didedahkan berkata dia berada di gerai makan apabila seorang lelaki berjalan mendekati pasangan itu.

“Kemudian saya mendengar bunyi beberapa das tembakan dan melihat pasangan itu tumbang. Saya berlari menyelamatkan diri apabila lelaki itu menuju ke arah saya,” katanya.

Dia berkata lelaki bersenjata itu yang memakai topi dan cermin mata hitam bergegas meninggalkan tempat kejadian menaiki teksi.

Kejadian tembakan itu berlaku selang beberapa hari selepas pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan ditembak di Bahau. Bulan lalu juga mencatatkan beberapa siri tembakan.

Pengerusi Kumpulan Ambank Berhad Tan Sri Azman Hashim mengucapkan takziah kepada isteri Hussain dan menyatakan beliau sedih dengan insiden itu. -TMI

PAS, PKR Kutuk Kekejaman Tentera Mesir, UMNO Senyap


Dua komponen Pakatan Rakyat, PAS dan PKR hari ini dalam kenyataan media yang berasingan mengutuk kekejaman tentera Mesir membunuh penyokong presiden yang digulingkan Dr Mohamed Morsi dan anggota gerakan Ikhwanul Muslimin.

Sementara kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga ini belum menyatakan pendirian mereka terhadap kekejaman tentera Mesir di bawah pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di mana sehingga lewat malam tadi, lebih 100 maut dan lebih 1,000 cedera berhampiran masjid Rabaah al-Adawiya, Kaherah.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, semua pihak tidak boleh membenarkan pembantaian terhadap rakyat seperti itu, apatah lagi insiden malam tadi bukan kali pertama dilakukan tentera sejak merampas kuasa.

“Rakyat Mesir behimpun secara aman, dan itu adalah hak mereka untuk menyatakan suara mereka. Tindakan menembak rakyat ini merupakan satu kekejaman yang telah dilakukan tentera dibawah telunjuk al-Sisi, dan dunia tidak wajar berdiam diri,” katanya.

Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat mendesak kerajaan Malaysia segera menyatakan pendirian dalam isu ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan secara kejam tentera Mesir ke atas rakyat dan anggota-anggota Ikhwanul Muslimin tercatat sebagai hari paling hitam sejak tercetusnya ‘April Spring’.

“Saya mengutuk keras pertumpahan darah ini yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dan tentera. Jeneral al-Sisi bersama pemimpin-pemimpin kerajaan sementara yang tidak sah ini kini bergelumang tangan mereka dengan darah dan mesti bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pihak dan negara mengutuk penyembelihan orang awam yang tidak bersalah ini dan semua pihak harus memainkan peranan supaya kekejaman ini dapat disekat dengan segera,” kata Anwar, yang juga Ketua Umum PKR.

Sementara itu, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut mengecam dan mengutuk dengan keras pembunuhan rakyat Mesir oleh tentera yang berlaku pada Jumaat lalu.

“Tindakan terbaru oleh tentera Mesir ini tidak dapat dikompromi sama sekali,” tegas Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsudin dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama.

Tentera yang mengguna kononnya mandat dari rakyat dalam perhimpunan anti Morsi yang didalangi oleh tentera sendiri di Dataran Tahrir telah dengan sengaja menyerang peserta perhimpunan pro Morsi di kawasan Universiti Al-Azhar menjelang waktu sahur pada Jumaat tersebut. -FMT

50 Peniaga Di Klebang Hilang Mata Pencarian Dihalau MBMB

Ke mana kami nak pergi?'

KLEBANG - Hasrat kira-kira 50 peniaga di pesisiran pantai Dataran 1Malaysia di sini, untuk meraih pendapatan bagi menampung perbelanjaan sambutan Aidilfitri musnah apabila mereka diarah mengosongkan tapak niaga oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Lebih mengecewakan, mereka hanya menerima notis arahan mengosongkan tapak niaga itu dalam tempoh waktu yang singkat.

Wakil peniaga, Mohammad Bakhtiar Aman, 40, berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar apatah lagi kebanyakan peniaga sudah menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak lebih tiga tahun lalu, sebelum kawasan Dataran 1Malaysia dibuka.

Menurutnya, notis arahan itu dikeluarkan pada 2 Julai lalu dan diberikan kepada mereka pada 4 Julai iaitu sehari sebelum sesi dialog bersama diadakan.

“Ada peniaga mendakwa mereka hanya menyedari masalah itu apabila ada antara mereka memaklumkan kegagalan memperbaharui lesen tapak niaga.

“Untuk mendapatkan lesen, kami perlu membayar sebanyak RM150 iaitu RM30 kepada MBMB dan bakinya akan diberikan kepada penganjur selain kos sewa satu tapak berjumlah RM150 sebulan,” katanya semalam.

Bagi peniaga gerai makanan, Noraimi Mat Rejab, 37, dia dan isterinya, Fatimah Zakiah Abdul Rahman, 34, sememangnya bergantung harap pada pendapatan berniaga.

“Sebelum ini, kami mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, namun kini jumlah itu semakin berkurangan kerana tapak kami meniaga sudah dilindungi dengan tembok zink bagi projek yang dijalankan di kawasan sekitar.

“Sudah lama kami menjalankan perniagaan di sini dan tidak pernah berubah ke kawasan lain. Jika kami dihalau keluar, ke mana kawasan yang perlu kami tuju? Malahan untuk memohon tapak bagi menjalankan perniagaan Bazar Ramadan juga sudah penuh,” katanya.

Peniaga barangan mainan, Norliliyanti Sairon, 35, pula berkata, dia bimbang memikirkan nasib enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

“Pihak berkaitan sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal dan memberikan cadangan atau tapak untuk kami menjalankan perniagaan.

“Mereka seharusnya prihatin dengan nasib yang menimpa kami dan jika boleh, beri kami peluang untuk meniaga sehingga dua minggu selepas hari raya,” katanya.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan komen daripada wakil penganjur berhubung isu berkenaan hari ini. -SH

Ulasan GB

Mujurlah hal ini berlaku di negeri yang diperintah BN.

Kalaulah hal ini berlaku di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, dah digendangnya ke seluruh dunia dan dipaparkan di media massa arus perdana berhari-hari lamanya untuk memburukkan kerajaan PR.

34 Didakwa Kerana Anjur Blackout 505


.33 aktivis anak muda yang membuat perhimpunan di perkarangan Parlimen akan didakwa di mahkamah Jalan Duta hari ini.

Mereka didakwa selepas berdemontsrasi termasuk aksi tidur di jalan raya pada 24 Jun 2013 bagi menyatakan protes terhadap penipuan pilihanraya di hari pertama Parlimen bersidang untuk penggal ke-13.

Seorang lagi rakan mereka, Azhar Achil, akan didakwa di mahkamah Klang ekoran perhimpunan di Sabak Bernam dalam salah satu aksi #Blackout #SuaraRakyat505.

Azhar adalah Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor.

Beliau didakwa menganjurkan sebuah perhimpunan rakyat di Sabak Bernam dalam salah satu aksi Jelajah SAMM #Blackout #SuaraRakyat505. -HD

[VIDEO] Yusuf Al-Qaradhawi Sifatkan Abd Fatah As-Sisi Pengkhianat Rakyat Mesir


Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia Syeikh Yusuf Qaradhawi mengeluarkan kenyataan terbaru seperti yang disiarkan oleh "Al-Jazeera". Antara mesej yang disampaikan oleh beliau ialah:

1) Kepada Menteri Pertahanan, Abdul Fatah As-Sisi yang telah mengkhianat janji sewaktu mengangkat sumpah dilantik ke jawatan itu di hadapan Mursi. Sisi juga beranggapan dia telah diberikan "kuasa" melalui himpunan menyokongnya Jumaat lepas manakala selain mereka itu bukan rakyat Mesir bahkan bukan manusia. Lalu dia menggunakan "kuasa" itu melakukan apa yang disukainya.

2) Menyifatkan Adli Mansour, Presiden sementara sebagai "boneka"dan kerajaan kudeta pimpinan Perdana Menteri Hazim Beblawi sebagai "kerajaan zalim".

3) Sisi sebelum menyingkir Mursi telah memansuhkan perlembagaan 2012 yang telah diperakui dengan sokongan 64 peratus pengundi. Lalu Sisi membentuk jawatankuasa penggubal yang terdiri hanya 10 orang dalam tempoh hanya sebulan bagi mengadakan pindaan perlembagaan. Sedangkan pada zaman Mursi tahun lalu, perlembagaan dibincang oleh 100 orang panel yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam tempoh 6 bulan sebelum diadakan pungutan suara pada Disember 2012.

4) Syeikh Qaradhawi turut menyalahkan Sisi terlibat dengan pembunuhan terbesar yang membunuh lebih 140 orang dan mencederakan 4,500 yang lain.

5) Beliau mempersoalkan pendirian Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib. "Siapa yang kata bunuh manusia merupakan perkara yang lebih ringan dari dua dhoror (kaedah akhaffu dhororoin)? Pernahkah anda meminta pandangan Haiah Kibar Ulamak Al-Azhar? Wajib bagi anda untuk undur kembali dari pendirian ini. Saya menyeru saudara-saudara saya dalam Haiah Kibar Ulamak dan Lembaga Penyelidikan Islam untuk sama-sama mengkaji pendirian Syeikh Al-Azhar."

6) Mengecam media Mesir yang tidak profesional dalam melaporkan kejadian yang berlaku. "Saya menyeru Majlis Keselamatan PBB, mereka yang mulia di seluruh dunia untuk datang sendiri ke Mesir bagi melihat apa yang sebenarnya berlaku."

7) Menyeru kepada rakyat Mesir untuk turun ke Raba'ah dan "jangan takut". Turun bersama-sama keluarga dengan penuh berani. "Termasuk warga Kristian juga datang bersama-sama orang Islam lain ke Raba'ah."


[VIDEO] Pembantaian Di Mesir: Erdogan Kecam Negara Islam Lain Yang Terus Membisu


TTurki mengajak negara-negara yang berpenduduk Islam, dengan satu suara mengutuk kezaliman tentera Mesir. Perdana Menteri Turki Reccep Tayyip Erdogan, mempersoalkan negara saudara seIslam berdiam diri berhubung dentan situasi dan insiden politik yang melanda negeri Piramid tersebut.

'Hey, kalian yang Islam! Saudara-saudara kamu sekalian di Mesir sedang dibunuh. Keadilan dan hak asasi sedang disembelih. Dengarkah kalian semua? Melihatkah kalian semua? Sedarkah kalian semua bahawa darah saudara-saudara sekalian sedang ditumpahkan? Hal yang sama turut berlaku di Syria, ratusan ribu disembelih di negara itu, anda lansung tidak bersuara! Kamu semua masih berdiam diri, sampai bila? Tetapi jangan lupa, hal yang sama bakal berlaku ke atas kamu nanti" demikian kata-kata tajam Erdogan dalam satu ucapannya berhubung situasi terkini di Mesir seperti dikutip Anadolu Agency, Ahad (28/7).

Turki kecewa terhadap banyak pihak atas insiden yang terjadi di Mesir. Termasuk pada Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) dan negara yang mengaku mengamalkan demokrasi. Menurutnya, (sepatutnya) tidak ada toleransi atas tindakan tentera di Mesir.

Pihak antarabangsa menurut Ketua Partai Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) itu tidak tegas berdepan dengan situasi di Mesir. Padahal, katanya, semestinya sebagai wadah dan negara pendukung demokrasi sudah sepatutnya melihat situasi di Mesir sebagai satu tindakan brutalisme.

Turki meminta agar pihak antarabangsa campur tangan. "Kami (Turki) tidak akan diam melihat situasi Mesir sekalipun jika pihak antarabangsa ikut membiarkan," ujarnya.

Insiden berdarah kembali terjadi di beberapa wilayah kota Mesir, Jumaat (26/7) dan Sabtu (27/7) waktu tempatan. Sekurang-kurangnya 120 orang dinyatakan terbunuh dan 4.500 lainnya cedera. Mereka yang terkorban akibat serangan peluru tajam.

Seramai 700 diantaranya yang tercedera masih menjalani perawatan di pusat-pusat kesihatan. Tentera dengan sepihak membubarkan aksi demonstrasi pendukung presiden yang di gulingkan Muhammad Mursi yang berkumpul di Masjid Rabaah al-Adawiyah dan Al-Nahda Square di Kota Nashr.

Wilayah ini memang menjadi pengkalan rakyat yang mendukung Ikhwanul Muslimin dan Mursi. Erdogan menilai tentera di negara itu sebagai pihak yang bersalah. Ungkapan itu datang dari tindakan tentera yang sepatutnya melindungi rakyat. - anadolu, al-jazeera, republika