Multaqa PAS 'bagai simbah minyak ke api'
Terlebih dahulu saya ingin ucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas berlangsungnya program Multaqa Ulama II yang baru sahaja selesai diadakan.
Usaha untuk menghimpunkan keseluruhan ahli PAS yang berlatarbelakang pendidikan agama melalui suatu multaqa adalah satu usaha besar yang sudah pastinya penuh cabaran.
Mungkin tidak salah kalau dikatakan ianya merupakan usaha menghadirkan keseluruhan kekuatan dan kemampuan ulama’ PAS dari seluruh negara demi menzahirkan peranan dan pengaruh ulama’ di dalam PAS.
Oleh kerana ia digambarkan sebagai ‘program mega’ yang begitu sifatnya, maka tidak salah kalau dikatakan bahawa harapan rakyat, dan ahli PAS khususnya, pasti begitu tinggi.
Mungkin diharapkan bahawa ia akan menjelaskan lagi arah tuju PAS sebagai rakan Pakatan Rakyat, yang sambil bergerak dalam kerangka gabungan ini, dapat mencapai aspirasi perjuangannya.
Sudah pasti seluruh rakyat mengharapkan kemelut yang berterusan dalam Pakatan, entiti politik yang dilihat sebagai harapan rakyat untuk menggantikan BN, akan dapat ditamatkan atau paling kurang dilunturkan hasil multaqa ini.
Kemungkinan diharapkan bahawa golongan ulama’ akan memberi nasihat dan tunjuk ajar yang berpaksikan carian mereka daripada khazanah keilmuan Islam yang begitu luas sehingga segala masalah dan perbalahan dapat diatasi berlandaskan al-Quraan dan sunnah.
Bagi ahli PAS pula, pastinya harapan yang tinggi bahawa perbalahan dalaman yang seolah-olah tidak terurus, sehingga mengusutkan lagi perasaan ukhuwwah dan silaturrahim dalam PAS itu sendiri, akan akhirnya dapat ditangani melalui kata-kata permata yang akan dihasilkan dari multaqa ini.
Kerana semestinya golongan ulama’ yang berkumpul melalui multaqa ini akan dapat melihat dan merasai keperluan menyelesaikan perbalahan yang semakin meruncing.
Di mana hasilnya?
Sewajarnya golongan ulama’ akan memberikan peringatan berhubung soal ukhuwwah dan persaudaraan dalam Islam. Sudah pasti kesan dari multaqa ini adalah penyatuan hati dan merapatkan saf, bukan sebaliknya.
Malangnya, apa yang diharapkan jelas tidak tercapai. Rakyat yang mengharapkan pembelaan kerana bakal ditimpa berbagai corak tekanan, sama ada ekonomi, sosial mahupun politik sudah pasti berasa hampa dan kecewa.
Bukan sekadar tidak memenuhi harapan bahawa Pakatan dapat dikukuhkan dan ditunjukkan jalan ke arah kerjasama yang lebih mantap dan bermakna, malah diungkitkan pula permasalahan-permasalahan yang dihadapi dan kemungkinan tergadainya prinsip Islam dengan penyertaan PAS dalam Pakatan.
Secara umum ia merupakan usul yang sama seperti usul multaqa ulama’ yang dianjurkan dua tahun lepas yang meminta tahalluf siyaasi (kerjasama politik) ‘dikaji semula’.
Tetapi setelah ditegur dan dikritik, maka diperjelaskan bahawa ‘kajian semula’ itu bermaksud “kaji semula ke arah memperbaiki dan mempekukuhkan lagi”!
Kalau benar itulah yang dimaksudkan pada ketika itu, maka di mana hasil kajiannya? Tidakkah hasil kajian itu patut dikemukakan dalam Multaqa II, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana perbalahan yang dihadapi dewasa ini?
Sudah pasti cadangan-cadangan dari Multaqa Ulama II ke arah pengurusan perbalahan dan penyelesaiannya amat sangat dialu-alukan. Malangnya, cadangan sedemikian rupa tidak sama sekali dikemukakan. Sebaliknya diulang kembali kekhuatiran dan ketakutan yang sama.
Begitu juga hampa dan kecewa pastinya ahli PAS yang sedang melihat perbalahan dalaman yang semakin meruncing.
Pecahkan atau kukuhkan Pakatan?
Multaqa ulama tidak menyediakan kata-kata hikmah serta kaedah bijaksana bagaimana ianya perlu diurus dan ditangani. Apa yang dilakukan sebaliknya adalah menyimbah lagi minyak ke atas api yang sedang membara, tidak mendatangkan penyelesaian tetapi sebaliknya merumitkan lagi.
Ia seolah-olah mengesahkan tuduhan-tuduhan liar bahawa ada pihak yang membawa fahaman sekular liberal dalam PAS, adanya usaha menjatuhkan presiden dan sebagainya.
Sedangkan itu semua pertuduhan yang bersifat rambang. Adakah perlu majlis sebesar dan sepenting Multaqa Ulama II membincangkannya tanpa pernah dibuat “tabayyun” dan membawa bukti lalu terus menjatuhkan hukuman?
Agenda apa sebenarnya yang diutamakan oleh multaqa ini? Mengusahakan perpecahan Pakatan atau pengukuhannya? Mengusahakan kesatuan saf dalaman PAS atau merenggangkannya?
Yang dilihat, ia dianjurkan hanya pada tahun pemilihan. Yang dilihat multaqa menghasilkan usul pecah-belah dan persengketaan.
Adakah benar persepsi sebahagian bahawa program-program liqa’, neqad, ijtima’dan multaqa itu sendiri tidak lain melainkan usaha kempen untuk menjatuhkan pihak tertentu dan menaikkan yang lain?
Amat malanglah sekiranya ia benar sehingga tumpuan usaha ulama’ yang dibawa dari seluruh negara adalah untuk memburuk-burukkan pimpinan tertentu dan menjatuhkan mereka dan menaikkan golongan sendiri.
Politiking sempit sebegini tidak layak bagi ulama’, apatah lagi dengan menggunakan nas-nas al-Quran dan hadis yang tidak kena pada tempatnya.