3 Feb 2013

MB S'ngor Bidas Hassan Ali: Tak Belajar Akaun, Buat Tudahan Tanpa Fakta

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membidas dakwaan bahawa Kerajaan Negeri menggunakan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk baikpulih jalanraya bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Abdul Khalid berkata jika terdapat unsur salahguna atau penyelewengan seperti yang didakwa Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Ali, Hasan diminta laporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Lebih baik Hasan mengajukan perkara itu ke SPRM, buat apa hanya cakap-cakap sahaja, Kerajaan Negeri tidak menggunakan duit seperti yang didakwanya,” katanya.

Abdul Khalid ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Makan Malam Kutipan Dana Pusat Dakwah Serantau (PDS) di Stadium Melawati malam tadi.

Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor membuat dakwaan itu dalam satu program debat bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Sijangkang, minggu lalu.

Hasan turut mendakwa wang rezab simpanan Kerajaan Negeri yang berjumlah RM2.5 bilion adalah wang peruntukan Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Ketika mengulas dakwaan itu Abdul Khalid berkata Hasan hanya bercakap kosong tanpa memberikan fakta.

“Saya fikir dia tidak belajar ‘accounting’ (bidang akaun), jangan malukan penjawat awam,” katanya lagi.

Dilaporkan sebelum ini bahawa sehingga Oktober 2012, wang rezab simpanan Kerajaan Negeri di sepanjang pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) telah meningkat sehingga RM 2.57 bilion.

Ini berbanding kurang RM 500 juta ketika pentadbiran Umno-BN pada 2007.

Ini berikutan strategi yang digunapakai Kerajaan Negeri yang berkesan dan kurang risiko dengan melabur dalam simpanan bank dan institiusi kewangan Malaysia.

Kes Ibu Beranak Dua Mati Ditembak: Polis Jadi ‘Hakim’ Sebelum Mangsa Dibuktikan Bersalah

Polis tidak sepatutnya menjadi ‘hakim’ sebelum disabitkan sesuatu kesalahan itu di mahkamah terhadap seseorang dan yang menyedihkan, tiga mangsa mati dalam keadaan tidak sepatutnya dalam tempoh sebulan membabitkan pasukan keselamatan itu.

Akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak polis yang melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan sebuah kereta yang dipercayai dicuri menyebabkan seorang ibu beranak dua, Pua Bee Chun, 22, menjadi mangsa.

Mangsa dipercaya mati terkena tembakan itu berdasarkan kesan 24 butir peluru pada kereta yang dinaiki dalam kejadian di Jalan Bendahara, Taman Sentosa, di sini, kira-kira jam 8.30 malam 18 Januari lalu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau kecewa dan sedih dengan kejadian itu dan menganggap polis tidak sepatutnya melakukan tindakan melulu di kawasan perumahan.

Apabila berlaku begitu, tidak ada siapa yang akan selamat. Ini membuktikan polis tidak menjalankan tugasnya secara profesional iaitu sepatutnya mendakwa penjenayah di mahkamah, bukannya terus betindak sebagai ‘hakim’.

“Kami pernah desak termasuk di Parlimen agar Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan tetapi hingga sekarang tidak dilaksanakan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo pula menyifatkan kejadian itu sebagai kes yang hampir sama dengan kematian seorang remaja berusia 15 tahun Aminulrasyid Amzah pada 2010 lalu.

“Polis kita bukan tidak terlatih. Banyak cara boleh hentikan kereta dan tidak perlu menggunakan senjata. Mereka sendiri tahu melepaskan tembakan boleh menyebabkan banyak kemungkinan berlaku.


“Kita akan bawa kes ini untuk tindakan sivil terhadap pegawai polis bertanggungjawab,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Puchong dan akan menjadi peguam kepada keluarga mangsa.

Dalam laporan polis suami mangsa, Foo Voon Kong, 26, mendapat tahu insiden malang yang menimpa isterinya setelah menerima panggilan telefon daripada seorang kawan.

“Saya sampai di tempat kejadian dan ketika itu ramai orang awam dan pihak polis. Mayat isteri saya sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan doktor memberitahu bahawa isteri saya ditembak melalui belakang badannya dan peluru terkena pada paru-paru dan jantung,” jelas beliau.

Voon Kong yang bekerja sebagai pemandu lori itu berharap satu siasatan penuh dijalankan dan mengheret segera pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kejadian polis melepaskan tembakan itu hanya untuk menghentikan sebuah kereta yang didakwa sebagai kereta curi. – Roketkini.

50 TAHUN BN BERJANJI! K'jaan PR Tunaikan Impian 112 Penduduk Terima Geran Tanah

Menunggu lebih 50 tahun, akhirnya impian Alias Ahmad,65, untuk memiliki geran tanah ditunai Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

Beliau antara 112 penduduk Lorong Bunga Raya. Kampung Keretapi yang menerima geran milikan tanah daripada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam satu majlis di sini.

Difahamkan, pemberian geran milikan tanah di kampung tersebut mencatat sejarah apabila ia menjadi kawasan pertama yang menerima pewartaan tanah rizab melayu di Klang sejak tahun 1955.

Alias menambah, penantiannya selama ini berbaloi setelah sekian lama hak milikan tanahnya dinafikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Katanya, beliau pernah beberapa kali memohon kepada Kerajaan Negeri yang ditadbir Umno-BN sebelum ini untuk mendapat hak milikan tanah.

Namun menurutnya, pemimpin Umno-BN terdahulu sering menabur’janji manis’ untuk menyerahkan hak milik tanah kepada penduduk setiap kali menjelang pilihanraya, namun hasrat itu tidak pernah ditunaikan.

“Alhamdulillah, Kerajaan PR Selangor mendengar masalah rakyat dan cuba membantu sedaya-upaya untuk memberi geran tanah kepada penduduk di kawasan ini.

Saya benar-benar bersyukur,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Noor Aisah Zakaria, 45, pula menyifatkan pemberian geran tanah itu akhirnya memenuhi impian yang ditunggu lebih 25 tahun lalu.

Beliau yang pada mulanya menganggap ia sekadar janji politik mula merubah persepsi sebaik sahaja janji tersebut berjaya dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Saya sangat gembira dan bersyukur atas pemberian milikan tanah ini. Tiada apa yang mampu saya ungkapkan selain ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Kerajaan PR Selangor berjaya buktikan keprihatinan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyelesaikan isu permohonan hak milik tanah yang berlarutan sejak pentadbiran Umno-BN dahulu.

Beliau berkata, sasaran Kerajaan Negeri selepas ini adalah untuk menyerahkan geran milikan tanah kepada lebih 100 penduduk di Kampung Sungai Sireh.

“Mereka ini bertahun-tahun memohon dan menjadi peneroka di sini, malah ada di kalangan mereka yang meninggal dunia. Proses untuk mendapatkan geran ini begitu rumit kerana tanah yang didiami penduduk adalah tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM), namun kabinet menyerahkannya kepada Kerajaan Negeri.

“Saya memantau masalah ini dan kebanyakan daripada mereka menunggu lama. Alhamdulillah hasil usaha berterusan, geran itu akhirnya dimiliki oleh penduduk setelah menunggu lama,” katanya.

[ISU NASHA] Hendak Kekal Dalam PAS Tapi Ikutlah Adab Berjemaah

Nasharudin: Saya akan kekal dalam Pas

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa hari ini menegaskan beliau akan kekal sebagai anggota Pas untuk memastikan perjuangan asal parti dalam menegakkan Islam dan membela orang Melayu tidak 'dicairkan' berikutan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP.

Beliau yang juga bekas anggota Majlis Syura Pas berkata, statusnya sekarang yang tidak menyandang jawatan dalam kepimpinan parti tidak menghalangnya daripada terus mempertahankan perjuangan asal parti.

"Tidak betul kata kalau tak jadi anggota Majlis Syura tidak boleh bersuara, saya masih boleh bersuara sebagai anggota biasa akar umbi parti. Saya mahu perjuangan asal Pas kekal, bukan sewenangnya dicairkan ikut kemahuan rakan pembangkang lain.

"Pas sebelum adanya pakatan pembangkang ini punyai kekuatan bagi berdiri dan maju sendiri sebagai sebuah parti yang perjuangkan Islam. Namun kekuatan itu dicairkan sedikit demi sedikit demi memenuhi kehendak pakatan itu," katanya kepada pemberita di kediamannya di Bandar Bukit Mahkota, Kajang di sini.

Isnin lepas, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Nasharuddin masih kekal anggota Pas walaupun dipecat daripada Majlis Syura Ulama Pas, dan Nasharudin juga tidak disenarai sebagai calon Pas pada pilihan raya umum ke-13.

Nasharudin berkata, beliau menyertai Pas kerana parti itu dahulunya sentiasa konsisten memperjuangkan isu Islam.

"Mutahir ini dilihat kepentingan politik itu diambil kira terlebih dahulu.

Ia semakin melampau apabila semakin menghilangkan identiti Pas sebagai parti yang sentiasa konsisten memperjuangkan Islam, malah mula menenggelamkan suara akar umbi yang mahu perjuangan Islam itu di depan," katanya.

Mengenai pemecatannya daripada Majlis Syura, beliau berkata: "Saya akur dengan keputusan majlis itu, tetapi sehingga kini selepas lebih dua minggu saya hanya mengetahuinya melalui media tanpa apa-apa surat rasmi.... saya juga ingin tahu apa status keanggotaan saya sekarang."

Ditanya adakah pemecatan beliau dan tindakan tidak meletakkan beliau sebagai calon Pas pada PRU13 berkait dengan golongan 'parasit Pas', Nasharudin berkata, pendirian Pas tentang sesuatu isu kini melanggar dasar utama parti hasil perbuatan parasit itu dan tidak menolak kemungkinan pemecatannya memudahkan usaha 'pelanggaran' itu.

Mengulas tindakan beliau mengikut lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini dan Makkah tidak lama dahulu sehingga menimbulkan kontrovesi di kalangan penyokong pembangkang, Nasharudin berkata, tindakan itu adalah perjuangan untuk membela nasib umat dan agama Islam.

"Ini adalah sumbangan saya untuk negara, tidak kira Umno, BN (Barisan Nasional) atau Pas, sekiranya ada peluang bagi saya membela nasib umat Islam dan memperjuangkan Islam, saya akan ambil.

"Pihak Umno dan BN menerima pendirian saya ini dengan tangan terbuka, mereka tidak kisah saya orang Pas. Sebagai seorang rakyat Malaysia bila negara mahukan saya menyumbang demi kemajuan Islam dan rakyat, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

Nasharudin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau menerima habuan daripada Umno dan BN untuk berpaling tadah sambil menegaskan perjuangan Islamnya tidak boleh dijual beli.- Bernama

Ulasan GB

GB rasa keputusan Nasharuddin itu dapat diterima oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS malah kita mengalu-alukannya.

Akan tetapi, apabila kita membuat keputusan untuk bersama dengan jamaah, berarti kita sepatutnya menerima hakikat bahawa:

Dalam hubungan 'amal jama'i setiap ahli hendaklah jelas akan konsep tanzim kita dan keperluan kepada konsep ketaatan kepada keputusan jemaah. Kerja kita di sini adalah kerja yang dihasilkan dari konsep syura dan bukannya pandangan individu.

Seseorang anggota yang telah beriltizam dengan sesuatu organisasi Islam / jamaah itu hendaklah mengekalkan keiltizaman dan kedudukannya tanpa tergugat oleh mana-mana sebab atau situasi yang boleh menyebabkan ianya keluar dari organisasi Islam/jamaah tersebut.

Jangan pula mudah terpedaya dengan habuan kesenangan dan merajuk lantaran kerana terpengaruh dengan situasi dan persekitaran terutama oleh nilai kebendaan.

Sebagai pengajarannya, kita dapati para sahabat di zaman Rasulullah saw tidak sedikitpun berganjak dari kebenaran Islam walaupun terpaksa menerima berbagai ancaman dan azab yang tidak terperi.

Mereka yang memimpin organisasi Islam/jamaah tidak pernah luntur keiltizaman mereka walaupun terdapat beberapa kepincangan di dalam organisasi atau jamaah tersebut. Mereka tetap berusaha memperbaiki dan memperteguhkan kelemahan yang sedang dialami oleh organisasi/jamaah dan bukan menggunakan kesempatan itu untuk menyerang jemaah disamping berbaik-baik pula dengan mereka yang selama ini diketahui sebagai "syaitan yang dikenali".

Renung baik-baik firman Allah swt ini:

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati dan satu perjalanan yang dekat dan senang nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata ” Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang - orang yang berdusta”. (Surah at-Taubah:42)

[EDISI HIPOKRIT] Mahathir Ajak Berpegang Kepada Al-Quran, San Miiguel Apa Cerita?

Sudah buang tabiatkah Mahathir ini? Mengajak orang lain berpegang kepada Al-Quran sedangkan anak sulongnya, Mirzan namanya, menguasai syarikat antarabangsa Filipina, San Miguel Corporation, yang juga pemilik syarikat San Miguel Brewery Inc, pembekal dan pengedar minuman arak yang terbesar di negara tersebut!

San Miguel Brewery menguasai 95 peratus pasaran arak Filipina. Syarikat yang sudah mencecah satu abad itu, difahamkan turut mempunyai kilang arak serta kepentingan di China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia. Menurut laman web San Miguel, ia mempunyai pasaran 60 buah negara di seluruh dunia.

Menjelaskan lagi bahawa Mahathir itu manusia hipkrit darjah tertinggi!


Tun Mahathir saran berpegang kepada al-Quran


SUNGAI PETANI, 2 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata peperangan yang membabitkan sesama masyarakat Islam berlaku kerana pengikutnya tidak menjadikan al-Quran sebagai pegangan mereka.

Bekas Perdana Menteri itu berkata sejak zaman sebelum kedatangan Islam, peperangan dan pembunuhan telahpun berlaku di negara-negara Arab, walaupun pada masa yang sama masih terdapat kumpulan yang inginkan keamanan wujud.

“Peperangan dalam zaman Islam berlaku kerana kita mengabaikan ajaran Islam.

Agama Islam mengajar kita supaya mengutamakan keamanan terutama sesama Islam.

“Memang pendapat manusia berbeza, tetapi tidak perlulah sampai membunuh atau mengkafirkan orang.

Perbuatan ini tidak mengikut ajaran Islam.

“Ia datang dari orang yang mahu ‘hijack’ (merampas) agama Islam untuk kepentingan mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Islam dan Keamanan di Institut Pendidikan Guru kampus Sultan Abdul Halim di sini hari ini.

Semasa berucap di forum itu, Dr Mahathir berkata Islam adalah berkait rapat dengan keamanan, tetapi kerana perpecahan sesama penganutnya sehingga saling berbunuhan seperti yang berlaku sekarang, ia tidak membezakan mereka dengan zaman jahiliah.

“Orang Islam berperang dengan orang Islam disebabkan ada pihak yang ‘hijack’ agama Islam untuk kepentingan diri sendiri. Apa yang terjadi kini, orang Islam bunuh orang Islam, kadang-kadang orang Islam bagi senjata kepada orang bukan Islam untuk bunuh orang Islam. Ini amat menyedihkan.

“Oleh itu bagi mengembalikan semula keamanan dan menghapuskan kekeliruan yang berlaku disebabkan kurang pemahaman terhadap kandungan al-Quran.

“Kita kena baca terjemahan al-Quran dalam bahasa yang kita fahami dan juga memahami hadis-hadis sahih. Al-Quran diturunkan sebagai panduan tetapi kalau kita tidak faham, macam mana nak dijadikan panduan,” katanya.
-Bernama

Video 30 Saat Yang Menyentuh Perasaan


Klip video ini pendek sahaja namun ia cukup menyentuh perasaan siapa pun yang melihatnya.

Saksikan bagaimana si abang hendak membantu adik perempuannya untuk melintas sebuah parit kecil.

Semoga nilai-nilai murni yang tertanam itu akan kekal sehingga mereka meningkat dewasa.

Saksikan… – MyNewsHub