Keadilan bukan hanya melalui p'raya'
Penolakan PAS terhadap pilihan raya tempatan bukan pendirian peribadi presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata pemimpin muda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz.
Malah, kata anggota jawatankuasa pusat parti Islam itu, ia sudah lama ditolak oleh PAS.
“Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin PAS sendiri,” kata anggota Parlimen Pasir Mas itu.
Anak kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga mengulas panjang berhubung kedudukan pilihan raya dan hubungannya dengan demokrasi dan keadilan.
Dalam kenyataannya semalam, beliau mengingatkan bahawa keadilan bukan hanya boleh dicapai melalui pilihan raya semata-mata tetapi pelbagai lagi kaedah termasuk sistem khalifah dan beraja.
PAS dan pilihan raya PBT
PAS sejak lama menolak pilihan raya PBT. Ia bukan pendirian peribadi Presiden PAS. Jika ada yang menganggapnya sebagai pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi parti, maka ia adalah salah dan amat malang jika ia tidak difahami oleh pemimpin PAS sendiri.
Demokrasi jangan ditafsirkan sebagai jalan menuju keadilan melalui pilihan raya semata-mata atau menganggap ketidakadilan hanya boleh dihapuskan melalui pilihan raya semata-mata.
PAS memahami demokrasi dalam kerangka pandangan Islam yang lebih adil. Ia mensasar mencapai keadilan, bukan merajakan jalan-jalan menuju keadilan yang boleh berubah-berubah dan diikat dengan syarat dan kesesuaian.
Negara barat yang mempromosi demokrasi berpilihan raya, negara itulah juga yang mempertegaskan hak veto untuk mereka sendiri di PBB yang mematikan hak majoriti dalam memutuskan keputusan.
Ia jelas zalim. Justeru jika pilihan raya ditolak dengan tujuan melihat kepada jalan keadilan yang lebih baik daripadanya, maka ia adalah lebih utama untuk diterima.
Keadilan dicapai pada zaman Rasulullah. Ia dicapai pada zaman sistem khilafah. Ia juga dicapai pada zaman beraja seperti zaman Umar Abdul Aziz dan raja-raja selepasnya. Ia juga dicapai dalam sistem demokrasi hari ini yang dicedok asalnya daripada sistem syura Islam yang adil di sepanjang zaman.
Anda perhatikan, adakah negara kita perlu menukar sistem beraja demi mencapai keadilan dengan alasan dengan adanya raja, maka keadilan akan terbantut selamanya?
Jika begitu, kita sudah terlalu jauh merajakan demokrasi dan pilihan raya. Islam menolaknya. -NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
KOMENTAR DI THE MALAYSIAN INSIDER
ULASAN GB
Pengkritik Nik Abduh adalah betul. Sejak bila PAS membuat keputusan tolak pilihanraya PBT? Ini menunjukkan Nik Abduh BERDUSTA apbila menyatakan pilihanraya PBT sudah lama ditolak oleh PAS. Sebutkan sejak bila, resoulusi muktamar tahun berapa atau mesyuarat AJK PAS Pusat yang mana menetapkan begitu?
Kudua, memanglah keadilan tidak hanya dicapai melalui pilihanraya semata-mata. Tetapi di dalam kerangka sebuah negara yang mengamalkan demokrasi bukankah itu pilihan yang terbaik? Jika tidak, maka dipersilakan Nik Abduh letak jawatan sebagai ahli parlimen kerana jawatan itu diperolehinya melalui sistem pilihanraya yang ada kini.
Seterusnya dengan berlagak pandai Nik Abduh berkata "Negara barat yang mempromosi demokrasi berpilihan raya, negara itulah juga yang mempertegaskan hak veto untuk mereka sendiri di PBB yang mematikan hak majoriti dalam memutuskan keputusan."
Kita ingin bertanya kepada Nik Abduh, siapa di dalam PAS yang pernah menggunakan kuasa veto untuk mematikan hak majoriti dalam membuat keputusan di dalam siu MB Selangor yang lalu?
Terlebih bagi anda bersungguh-sungguh membantu mangsa banjir di negeri anda daripada berdusta dan berkata sesuatu yang tidak tahu mengenainya.