20 Feb 2013

Akhirnya Nurul Izzah Berpidato Juga Di UM


Universiti Malaya dalam Sejarah.

Anak kepada Mantan Aktivis Mahasiswa Universiti Malaya (Anwar Ibrahim) Nurul Izzah telah berceramah di dalam Universiti Malaya sewaktu seminar Politik dan PRU 13 siang tadi.

Tahniah dan syabas buat Prof Dato' Dr Mohammad Redzuan Othman ,Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial atas anjuran " SEMINAR POLITIK DAN PILIHAN RAYA MENJELANG PRU KE-13"

Sempat beliau beritahu hadirin:

"Saya diminta untuk membatalkan seminar ini oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi, tapi saya tetap bertegas untuk melaksanakannya. Saya kata siapa anda untuk mengarah saya?" Bagi saya mahasiswa sudah matang dan kalau saya seorang 'bapa' dan sering menghalang anak-anak untuk melakukan itu dan ini maka mereka akan jadi bodoh ! Saya hanya memantau dan takkan menghalang. Satu lagi takkan saya nak buat pertandingan Boria pula? Kita sudah hampir nak PRU. Pendidikan dan kefahaman politik itu penting.

Ucapkan terima kasih juga kepada VC kita, Tan Sri Gauth Jasmon. Beliaulah satu-satunya VC yang lain dari yang lain.

Tidak termakan dengan tekanan pihak Kerajaan. -kachipemas

[BERGAMBAR] Tiada Keberkatan: Stadium Terengganu Runtuh Semula


Stadium di T'ganu runtuh kali kedua jadi bahan ketawa

Bumbung Stadium Sultan Mizan di Terengganu yang sedang diperbaiki runtuh sekali lagi dalam satu kejadian yang mencederakan tiga orang pekerja tempatan hari ini.

Laporan The Star Online menyebut, struktur besi untuk bumbung stadium tersebut runtuh dalam kejadian pada kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Tiga orang pekerja yang terperangkap di bawah runtuhan tersebut berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Laporan itu juga menyebut, pihak bomba dan pois sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Ia merupakan kejadian kedua selepas bahagian bumbung stadium di Gong Badak, Kuala Terengganu itu runtuh pada Jun 2009.

Gambar yang merakamkan kejadian itu beredar pantas di ruang Internet hari ini dan menjadi bahan jenaka di kalangan pengguna media sosial. -mk


Stadium RM300 juta runtuh lagi, MB T’ganu patut letak jawatan


Stadium Terengganu dengan kos pembinaan RM300 juta yang runtuh buat kali kedua hari ini membuktikan pengurusan kerajaan negeri teruk, kata Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail.

Katanya, berikutan insiden itu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said patut malu dengan meletak jawatan secepat mungkin.

“Kalau di negara luar, hari ini berlaku kejadian seperti itu, hari ini juga menterinya letak jawatan sebab malu. Tapi menteri kita tak tahu malu, walaupun dah dua kali kejadian berulang,” tempelak Azan.

Kira-kira jam 11.30 pagi tadi, bumbung Stadium Sultan Mizan yang sedang diperbaiki runtuh sekali lagi dan mencederakan tiga pekerja tempatan.

Ia merupakan kejadian kedua selepas bahagian bumbung stadium di Gong Badak, Kuala Terengganu itu runtuh pada Jun 2009.

“Pembinaan stadium itu diisytiharkan menggunakan teknologi termahal dan tercanggih. Ia melibatkan kos begitu tinggi tetapi dengan pengurusan yang paling teruk, penyelewengan paling banyak dan tidak mengikut spesifikasi,” tegas Azan ketika dihubungi.

Menurut Azan, kejadian itu menyebabkan keyakinan pelabur asing yang berminat untuk melabur di Terengganu hilang serta-merta kerana tidak percaya dengan pengurusan ekonomi negeri.

“Kejadian itu merosakkan pelan jangka panjang negeri untuk menjadikan Terengganu bandaraya pesisir pantai. Secara langsung ia menyebabkan ketakutan kepada pelabur luar untuk melabur. Mana mungkin pelabur yakin apabila stadium runtuh sampai dua kali?” katanya.

“Salah satu faktor berlaku penyelewengan kerajaan negeri seperti ini berpunca dari sikap rakyat Terengganu sendiri yang tidak pernah mempersoal atau mencabar kredibiliti pemimpin negeri, apa Menteri Besar buat rakyat ikut saja,” kata Azan.

Beliau turut memberi jaminan apabila Pakatan Rakyat berjaya menawan Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), sebuah badan bebas akan ditubuhkan khas untuk menyiasat dan memantau sebarang penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan negeri.

“Insiden ini mungkin petanda akhir kepada rakyat Terengganu. Runtuhan stadium itu bermakna keruntuhan Umno juga,” kata Azan.
-KD



Gambar Mangsa Yang Cedera Semasa Bumbung Stadium Sultan Mizan Runtuh Tengahari Tadi Di Bawa Keluar Rakan-Rakannya Dan Dikejarkan Ke Hospital. Bumbung Runtuh Sekali Lagi Ketika Kerja-Kerja Naiktaraf Sedang Dilakukan.

foto ehsan: fb kamiboikotbuletinutamatv3

Ulasan GB

GB sudah ulas beberapa kali mengenai kejadian bangunan runtuh di Terengganu. Petikan:

Bayaran tunai diberikan kepada MB Terengganu yang sebelum ini dengan celuparnya menuduh PAS sebagai Parti Ajaran Sesat.

Stadium runtuh diikuti dengan stadium bergelap menyebabkan perbelanjaan berjuta ringgit seperti mencurah garam ke lautan hasil dari tiada keberkatan.

Hukum Kebenaran & Keadilan: Sesuatu yang tidak berkat itu tidak mampu bertahan lama. Ia pasti hancur binasa kesudahannya


Lagi Kerja Parti Syaitan Dikenali: Billboard ADUN Sekinchan Disimbah Cat


Pihak polis digesa menjalankan siasatan segera dan menangkap dalang disebalik perbuatan mengsabotaj papan billboard yang mempromosikan pelancongan di Sekinchan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, sebelum ini berlakunya demonstrasi yang didakwa didalangi oleh Umno Sungai Besar yang mengancam untuk mengecat billboard yang ada memaparkan gambar Suee Lim.

“Saya kesal dengan cara politik yang dimainkan oleh mereka yang memainkan sentimen perkauman.

“Sedangkan niat saya ikhlas untuk mempromosikan produk hasil laut Mentarang yang dijual di sekitar Sekinchan ini,” kata Suee Lim dalam sidang media yang diadakan di sini.

Jelas Suee Lim, kejadian sabotaj papan tanda billboard itu tidak wajar kerana papan tanda itu adalah bertujuan mempromosikan kawasan Sekinchan sebagai kawasan tarikan pelancongan dalam dan luar negara yang kini sedang giat dipromosikan.

“Promosi saya ini adalah untuk mempromosikan Mentarang kepada pengguna jalan raya di sini agar mereka mengetahui kewujudan hasil laut itu dan ini secara tidak langsung menaikkan pendapatan peniaga dan mendapat keuntungan yang lebih,” katanya.

Tambah Suee Lim, tiga laporan kepada polis dilakukan berhubung kejadian sabotaj itu yang memerlukan tindakan segera polis mengambil tindakan.

“Kita sedang menunggu apa tindakan yang akan dilakukan oleh pihak polis untuk melakukan sesuatu,” kata Suee Lim.

Tambah Ketua Kampung Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, hanya pihak Majlis yang boleh menjalankan tugas jika ada kesalahan dalam peraturan memasang papan tanda billboard itu.




Lidah Mahathir Terbelit Di Mahkamah, Beri Keterangan Bercanggah & Alasan "Budak Sekolah"

Dr M akui beri keterangan bercanggah, nafi tak cakap benar

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui dalam perbicaraan kes menipu membabitkan bekas menteri pengangkutan, Dr Ling Liong Sik semalam bahawa beliau telah memberikan keterangan yang bercanggah, tetapi menafikan beliau seorang saksi yang tidak bercakap benar.

Memberi keterangan dalam perbicaraan Ling, yang dituduh menipu dalam urusniaga tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Mahathir mengakui beliau telah tersalah menyatakan harga tunai tanah tersebut, iaitu RM25.

82 sekaki persegi (skp), semasa pendengaran tahun lepas.

Beliau kemudian membetulkan angka itu kepada RM21 psf semasa pemeriksaan balas oleh Ketua Pendakwa yang juga Timbalan Ketua peguamcara II, Tun Abdul Majid Tun Hamzah apabila perbicaraan di sambung semula semalam.

"Saya mungkin telah salah gunakan istilah 'harga tunai', 'harga istimewa' dan 'harga kontrak', tetapi saya perlu akui saya bukan seorang akauntan," kata Mahathir kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmadi Aswani.

Bagaimanapun, Tun Majid kelihatan seperti tidak berpuas hati dengan jawapan Mahathir, yang merupakan saksi keempat pembela.

Tun Majid berkata, tidak perlu menjadi seorang akauntan, peguam atau doktor untuk memahami perkataan 'tunai'.

Malah, katanya, budak sekolah pun tahu perkataan itu, dan menyarankan kepada Mahathir bahawa beliau tidak bercakap benar.

Mahathir bagaimanapun menafikannya sambil menegaskan bahawa beliau mungkin telah menggunakan istilah itu secara tidak tepat kerana beliau tiada biasa dengannya.

Mantan perdana menteri itu menambah, budak sekolah mungkin memahami 'tunai', tetapi mungkin tidak faham 'harga tunai', 'harga istimewa' dan 'harga kontrak', sambil menambah, beliau mungkin macam mereka pada masa itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam prosiding hari ini, Dr Mahathir memaklumkan cadangan harga pembelian tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang dikemukakan Dr Ling adalah lebih rendah berbanding penilaian semula oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Dr Mahathir berkata berdasarkan surat bertarikh 29 Jun 2002 yang dihantar Dr Ling kepada beliau, kadar pembelian tanah adalah RM25 skp manakala penilaian semula JPPH pada Okt 2000 ialah RM25.85 skp.

Bekas perdana menteri itu juga berkata Dr Ling tidak mengelirukan beliau.

Katanya, projek PKFZ adalah perkara mendesak dan Kabinet akhirnya memutuskan untuk membeli tanah itu daripada pemiliknya 2002.

"Ia tertangguh lebih tiga tahun. Peguam Negara memberi komen berhubung kemungkinan berlaku tipu muslihat dalam projek ini, ada juga idea berhubung pengambilan tanah secara wajib, dan terdapat banyak rayuan," katanya.

Beliau juga berkata Jebel Ali (seorang pelabur) telah menarik diri dan kerajaan kerugian berbilion ringgit.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp, iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp, iaitu RM1,088,456,000.

Ling, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986, didakwa melakukan semua kesalahan di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Perbicaraan di depan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung hari ini. -mk

[EDISI TERDESAK] Bendera PAS Dikoyak & Dibakar Oleh Samseng Parti "Syaitan Dikenali"


Tindakan khianat yang dipercayai oleh penyokong parti tertentu mengoyak dan membakar bendera PAS di Kempas, Johor awal pagi tadi nyaris-nyaris mencetuskan pergaduhan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi tadi, beberapa samseng dikatakan menanggal, mengoyak dan membakar deretan bendera PAS yang dipasang di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini di hadapan umum.

Tindakan itu kemudiannya cuba dihalang penduduk setempat dan beberpa orang petugas PAS sehingga hampir-hampir mencetuskan pergaduhan.

Bagaimanapun tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku apabila orang ramai membantu mententeramkan keadaan.

Ekoran tindakan yang bersifat provokasi itu juga, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kempas terhadap salah seorang samseng yang dikenali oleh penduduk itu.


Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat ketika mengesahkan kejadian itu berkata, tindakan tidak profesional pihak tertentu itu mencerminkan tahap tidak matang mereka dalam berpolitik.

"Politik yang berlaku pada hari ini adalah politik baru yang memfokuskan perlawanan idea bukan provokasi yang jumud.

Pemasangan bendera yang sedang berlangsung dengan meriah ini adalah sebagai menyambut saranan demokrasi yang dilaungkan oleh kerajaan Malaysia.”

"Pihak polis harus mengambil tindakan yang setimpal kepada pihak yang melakukan perbuatan khianat ini dan Umno harus menasihati ahli mereka agar lebih terbuka," katanya.

[VIDEO] Amah Lambung Bayi Dipenjara 20 Tahun


Kuantan – Amah warga Indonesia yang melambung seorang bayi berusia empat bulan Jumaat lalu, dijatuhi hukuman penjara 20 tahun penjara bagi dua pertuduhan Mahkamah Sesyen, hari ini.

Yuliana yang berusia 23 tahun dari Sukarame Acheh itu bagaimanapun dilihat sebak dan menitiskan air mata ketika diminta membuat rayuan sambil mengaku mempunyai dua anak selain tidak mampu membayar denda.

Mahkamah terpaksa menunggu beberapa saat sebelum mendengar rayuan tertuduh yang akhirnya berkata ‘Saya takut’.

Hakim, Mohd Azhar Othman sebelum menjatuhkan hukuman menganggap perbuatan itu boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan mahkamah berpendapat hukuman setimpal perlu kerana kanak-kanak adalah pelapis generasi akan datang.

“Perbuatan kamu telah menyebabkan masyarakat menjadi takut dan tidak tenteram apabila meninggalkan anak kepada pembantu rumah,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Azhar memutuskan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dan dia hanya perlu menjalani hukuman penjara 15 tahun dari tarikh ditangkap.

Ketika sesi perbicaraan, satu tayangan rakaman kamera litar tertutup selama lebih tiga minit dipasang selain beberapa bukti bergambar yang ditunjukkan pihak pendakwaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Nor Azizah Mohamad yang meminta hukuman berat dijatuhkan kerana mempunyai unsur keganasan walaupun kesalahan itu kali pertama bagi tertuduh.

“Hukuman berat kepada tertuduh juga boleh memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak mengasari kanak-kanak sewenang-wenangnya,” katanya.


Melalui pertuduhan pertama, Yuliana melakukan perbuatan menghempas dan melambung seorang bayi sebanyak sembilan kali dan dia mempunyai pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Bayi terbabit, Mohamed Hareez Mohamed Zamri itu didapati mendapat kecederaan lengan kanan dan kaki kanan.

Yuliana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, Yuliana didapati melakukan menganiaya seorang bayi kira-kira jam 7.45 pagi di Lorong Bukit Setongkol sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada bayi itu.

Dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(91) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama iaitu denda tidak lebih RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 7.45 pagi pada hari kejadian, ibu bapa mangsa yang sedang bersarapan di sebuah kopitiam di sini terkejut apabila melihat bayi sulung mereka dilambung dan dihempas pembantu rumah melalui rakaman kamera litar tertutup di telefon bimbit bapa mangsa.

Ibu bayi itu, Nina Suraya Sulaiman, 24, terus menghubungi jiran supaya pergi menyelamatkan anaknya sebelum kedua-dua mereka bergegas pulang dan mendapati bayi itu menangis.

Bapa mangsa kemudiannya menghubungi polis dan tertuduh ditahan pada 9.15 pagi pada hari sama.-SH