9 Ogo 2013

‘Cina Mahu Zakat’ Satu Hasutan Berbahaya


Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, kelmarin terhadap blogger pro-Barisan Nasional (BN) yang memfitnah dengan tuduhan tanpa asas mahu agar wang kutipan zakat ‘diberi kepada orang Cina’.

“Saya menolak sekeras-kerasnya hasutan yang menimbulkan kebencian itu, saya juga tidak pernah terfikir supaya wang zakat diberi kepada orang Cina (yang bukan Islam),” tegas beliau.

Pada satu sidang media, Pengerusi DAP Selangor itu menegaskan bahawa artikel ‘Cina pun mahu duit zakat – Teresa Kok’ yang disiarkan dalam blog, bnbesut.blogspot.com adalah hasutan daripada ‘orang gila’ dan boleh menimbulkan kebencian orang Islam terhadapnya.

“Ia telah disiarkan di laman sosial secara meluas. Ini adalah jenayah penipuan dan hasutan. Polis perlu menyiasatnya,” katanya

Menurut Teresa, beliau juga akan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap penulis blog itu yang masih belum dikenal pasti.

Teresa menjelaskan, laporan itu amat penting kerana ia adalah tindakan pencegahan daripada ‘dihambat’ polis sambil merujuk kepada insiden 2008 berhubung isu ‘Azan’.

Pada 2008, Teresa Kok pernah menjadi sasaran apabila beliau difitnah pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan dalam satu artikelnya bertajuk “Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya” yang disiarkan pada 10 September 2008.

Akibatnya, dua hari selepas tulisan itu disiarkan, Teresa Kok ditahan mengikut ISA pada 12 September 2008 selama tujuh hari. Rentetan fitnah yang berbahaya itu, Teresa telah memfailkan saman terhadap Zaini dan Utusan Malaysia pada 9 Oktober 2008 dan perbicaraannya masih belum selesai.

Pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia tahun lalu, Zaini dilaporkan media mengeluarkan kenyataan bahawa sesuatu fakta itu boleh diputar (spin).

“Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan)…Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta itu memihak kepada kita, itu okay”, kata Zaini

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, DAP acap kali menjadi sasaran fitnah pihak lawan apabila parti itu dilihat semakin diterima masyarakat Melayu di bandar dan meluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar dengan pelbagai dakwaan fitnah berbaur perkauman, sentimen keagamaan dan sebagainya.

Hakikatnya, DAP adalah sebuah parti yang jelas dalam perlembagaannya berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu serta sistem demokrasi berparlimen.-Roketkini

Pemimpin MCA Cakap Tak Serupa Bikin, Ramai Masih Pegang Jawatan Dalam Kerajaan


Pegang jawatan k'jaan, Chua sedia hadapi JK disiplin

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sedia menghadap Jawatankuasa Disiplin kerana masih memegang jawatan dalam kerajaan iaitu sebagai Pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

"Bukan saya seorang sahaja yang patut dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti, malah Ong Ka Ting, Wong Nai Chee, Ng Yen Yen dan juga semua anggota jawatankuasa kemajuan kampung juga patut turut dikenakan tindakan sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, di Putrajaya semalam.

Beliau mengulas demikian berhubung tindakan lapan Bahagian MCA yang tidak berpuas hati dengan Dr Chua yang masih memegang jawatan itu walaupun parti itu menerima resolusi untuk tidak menerima jawatan dalam kerajaan selepas kekalahan teruk pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), Mei lepas.

Bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting kini memegang jawatan sebagai 'Duta Khas Perdana Menteri ke China', anggota parti Wong Nai Chee merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri manakala Naib Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ng Yen Yen memegang jawatan sebagai Pengerusi Tourism Malaysia.

Minggu lepas, Pengerusi MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Yew Tian Lock bersama-sama dengan pengerusi bahagian Titiwangsa Datuk Alex Chuah serta enam lagi pengerusi bahagian lain menegaskan bahawa mereka akan menghantar memorandum kepada jawatankuasa disiplin parti sekiranya Dr Chua masih enggan untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Pelabuhan Pulau Pinang.

Enam lagi bahagian yang turut menggesa Dr Chua untuk meletakkan jawatan kerajaan itu adalah MCA Teluk Intan, Bentong, Kuala Selangor, Kual Krau, Raub dan Paya Besar

MCA sebelum PRU13 telah memutuskan untuk tidak akan menerima jawatan dalam kerajaan jika ia tidak menerima sokongan penuh masyarakat Cina.

Namun, Dr Chua dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi parti telah memutuskan bahawa mana-mana jawatan yang dipegang sebelum PRU13 masih boleh diteruskan dan ini telah menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam parti. - Bernama


MCA Gantung Keahlian Exco Johor, Tiga Tahun


KUALA LUMPUR - MCA semalam menggantung keahlian Datuk Tee Siew Kiong selama tiga tahun berkuatkuasa serta merta kerana menerima jawatan Exco Kerajaan Negeri Johor.

Presiden MCA Datuk Ser Dr Chua Soi Lek berkata anggota Majlis Presiden sebulat suara menerima syor Jawatankuasa Disiplin untuk menggantungkan keahlian Tee kerana melanggar keputusan parti.

Sebelum ini, MCA telah membuat resolusi pada 2011 dan 2012 untuk tidak akan menerima sebarang jawatan kerajaan pusat dan negeri sekiranya parti itu mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lepas.

"Bagaimanapun, Tee mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan terhadap keputusan itu selepas menerima surat rasmi penggantungan," kata Dr Chua pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden di sini.

Tee, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Sebatang, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri atas titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dr Chua berkata jawatan Setiausaha Organisasi Pusat yang disandang oleh Tee sebelum ini akan diambil alih oleh Setiausaha MCA Perak, Datuk Tan Chin Meng. Pada 14 Jun lepas, Tee melalui kenyataan media umumkan melepaskan semua jawatan dalam parti, sama ada di peringkat pusat dan negeri termasuk Setiausaha Organisasi Pusat, Anggota Jawatankuasa Mesyuarat Agung Parti, serta semua jawatan dalam peringkat cawangan Pontian dan negeri Johor.

Tee turut mengumumkan beliau hanya anggota seumur hidup parti itu.
-mstar 21/6/2013

[VIDEO] Pendukung Mursi Rayakan Aidil-Fitri Di Lokasi Demonstrasi


Hari Raya Aidil-Fitri dirayakan para pendukung presiden yang digulingkan tentera Mesir, Muhammad Mursi dengan turun ke jalan. Mereka menuntut jawatan Mursi dikembalikan. Mereka merayakan Aidil-fitri pada hari Khamis (8/8) di lokasi demonstrasi di Nasr City.

"Pendemo di sini sekarang jumlahnya ramai, mengatakan kepada pemerintah, Mursi adalah presiden yang sah, dan mereka tidak akan pergi sehingga kedudukan Mursi dikembalikan," ujar laporan Aljazeera.

Kedua belah pihak, pendukung dan penentang Mursi meminta pendukung masing-masing untuk protes. Presiden sementara Mesir, Adly Mansour dalam pesanannya sempena Aidil-Fitri menyatakan Mesir dalam keadaan kritikal. Pemerintahan sementara akan menekankan rancangannya sendiri untuk membuat pemilihan baru dalam sembilan bulan.

"Kereta masa depan sudah berangkat, dan setiap orang harus sadar momen dan menangkapnya, siapa saja yang gagal menyadari momen ini harus bertanggungjawab terhadap keputusannya," ujar Mansoour.

Sebelumnya, utusan AS, William Burns menjadi orang tengah kompromi diantara pemerintah dan Ikhwanul Muslimin. Utusan Eropah, Bernardino Leon juga berada di Kaherah untuk usaha yang sama. Brussel dan Washington mengatakan semua pihak di Mesir harus mengatasi masalah yang dinilai telah berbahaya.

"Situasi ini sangat rapuh, yang tidak hanya berisiko lebih banyak pertumpahan darah dan polarisasi di Mesi, tetapi juga menghalang pemulihan ekonomi yang sangat penting bagi kejayaan transisi Mesir," ujar Menteri Luar Negeri AS, John Kerry dan ketua urusan luar negeri Kesatuan Eropah, Catherine Ashton dalam pernyataan bersama.

isteri Mursi, Naglaa Mahmoud, yang jarang kelihatan di depan umum turut ikut serta dalam demontrasi aman semalam. Ia berbicara di hadapan para demonstran di Kaherah dengan menyerukan suaminya untuk diizinkan kembali ke tampuk kekuasaan. Para peserta aksi menyambut pidato Naglaa dengan teriakan "Kembali! Kembali!".




[BERGAMBAR] Kes Tembak Lagi: Apa Mahu Jadi Malaysia? -updated

Seorang lelaki yang sedang memandu kereta cedera parah selepas terkena tembakan dilepaskan dua suspek bermotosikal di Taman Klebang Putra, dekat Chemor di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, dua lagi yang berada dalam kereta itu dipercayai anggota keluarga lelaki berusia 29 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

"Kedua-dua suspek yang menaiki sebuah bermotosikal menghampiri kereta mangsa yang sedang dipandu di kawasan perumahan berkenaan dan dipercayai melepaskan enam das tembakan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek memakai topi keledar 'full face' semasa melakukan jenayah berkenaan dan identiti mereka tidak dapat dikenal pasti buat masa sekarang.

Polis menjumpai enam kelongsong peluru di atas jalan tempat kejadian berkenaan dan setakat ini polis menerima satu laporan daripada seorang saksi berhubung kejadian itu, katanya.

Sum berkata mangsa yang bukan berasal dari sini sedang dirawat di sebuah hospital di sini dan keadaannya dilaporkan stabil. - Bernama


Lelaki Ditembak Mati Di Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Anson



GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditembak mati ala geng mafia selepas berhenti di persimpangan lampu isyarat Jalan Anson di sini.

Dia ditembak mati dari jarak dekat pada kira-kira pukul 11.50 pagi Khamis

Menurut Ketua Polis Daerah George Town Asisten Komisioner Gan Kong Meng, si mati berketurunan India, berusia 37 tahun dan tinggal di Air Itam, Pulau Pinang.

Dia mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan kes narkotik.

Ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta mewah BMW dengan nombor pendaftaran KUala Lumpur, walaupun kereta tersebut dikhabarkan dipinjam daripada seorang rakan.

Difahamkan penembak melepaskan lebih daripada 15 das tembakan kerana berbilang kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian.

Gan mengesahkan mangsa ditembak sebanyak 14 kali dan kebanyakannya di kepala.

Ahli patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh turut berada di tempat kejadian.
-mstar




ULASAN GB

Sungguh menghairankan. Modus operandi tembakan hampir serupa. Dua orang bermotosikal menembak mangsa yang berada di dalam kereta. Suspek menggunakan topi keledar full face. Seperti skrip yang berulang.

Apa yang GB katakan sebelum ini menjadi kenyataan. Petikan:

Dan seperkara yang perlu direnungkan ialah, kejadian jenayah berleluasa sehingga negara menjadi seperti sangkar samseng bermaharajalela sekarang ini adalah kerana kita mempunyai seorang Menteri KDN yang mempunyai rekod jenayah memukul orang awam yang kesnya masih berjalan di mahkamah.

Dan kita mempunyai seorang KPN yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai orang bertanggungjawab terhadapematian tahanan di dalam penjara!


Dan nampaknya, dengan maaf, selagi Menteri KDN dan KPN tidak ditukarkan, kita akan mendengar lebih banyak lagi kes-kes tembak menembak ini. Itulah "aura" yang dibawa oleh Menteri KDN dan KPN kita.



Hukum Kebenaran dan Keadilan akan terus berjalan.