17 Feb 2010

Perjuangan PERKASA: Untuk Apa Dan Siapa?

Angkatan Muda Keadilan Selangor mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang kononnya berjuang untuk orang Melayu. Motif yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara melampau mengundang pelbagai persoalan. Malahan sasaran terpilih PERKASA yang hanya dilihat vokal dan lantang hanya di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat menjadi suatu misteri.

Demontrasi dan memorandum bantahan yang dikemukakan adalah sekadar gimik politik murahan yang dipimpin oleh ahli politik yang semakin dipinggirkan. Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat yang kini di bawah UMNO/BN.

AMK Selangor juga mempertikaikan untuk apa adanya PERKASA sedangkan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Malahan isu mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan UMNO/BN semenjak 50 tahun.

PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir. Namun, ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri. Adalah ditegaskan jika benar PERKASA mahu membela nasib orang Melayu desakan kuat dan tuntutan perlu disasarkan kepada parti pemerintah negara ini yang mana gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan bangsa Melayu daripada aspek ekonomi, sahsiah, minda dan politik sejak 50 tahun lepas.

Generasi muda kini melihat agenda politik berjuang sekadar untuk membela nasib sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit tertentu. Sedangkan agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa dan agama di negara ini perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan berkasih-sayang. Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.

Kewujudan PERKASA itu sendiri yang cuba menjadi alternatif kepada perjuangan UMNO apabila parti itu gagal memainkan peranan utamanya semakin banyak kelihatan. Rasa muak rakyat kepada politik UMNO yang ditunjangi oleh gejala politik wang dan kelemahan idea gagasan besar menyebabkan agenda pembaharuan negara tidak berjalan dengan lancarnya. Yang pasti, PERKASA adalah perkakas kepada UMNO jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan. Justeru rakyat diharap tidak mudah terperangkap dengan agenda mereka kerana tujuan dan motif perjuangan mereka amat kabur dan mengelirukan.

Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu, lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan? Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah dianggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil? Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa?

Justeru, AMK Selangor sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang dibawa oleh PERKASA dari masa ke masa. Mereka berjuang kerana apa dan untuk apa sedangkan sudah sekian lama hak dan keistimewaan orang-orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat berpunca antara lain kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau "Ad-Deen" serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.

Akhirnya, kita menggesa agar suara-suara vokal dan lantang PERKASA juga hebat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional. Isu pembelaan Melayu tidak boleh bersifat selektif yang didakwa kononnya hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Malahan perlu hebat dan gah juga suara-suara pembelaan kepada bangsa-bangsa lain. Ingatlah jika Melayu dan Islam adalah asas kepada hubungan akrab persaudaraan sebangsa dan seagama, berlainan agama dan bangsa adalah asas hubungan akrab persaudaraan sesama manusia pula.

*Kenyataan media oleh Mohd Ezli Mashut selaku Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor.

Serangan BN Bukti Pakatan Rakyat Semakin Kuat

Menolak cubaan seteru politik menggugat Pakatan Rakyat, lebih 3,000 orang berhimpun di Dewan Milenium Pulau Pinang malam semalam menyatakan solidariti kepada gagasan parti alternatif itu.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat untuk bersama gagasan itu menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin-pemimpin yang menggelar diri sebagai pejuang bangsa namun rakus kuasa dan berasuah.

“Negara kita ini rosak sebab itu, kita kata sebab nak jaga Melayu, ini jaguh-jaguh Melayu ini, saya lapan tahun Menteri Kewangan, ada kontrak, diambil oleh mereka dulu, saham bumiputera juga tanya menteri mana yang tidak ambil.

“Apa masalah paling besar di negara kita, rasuah, penyelewengan, beli kapal terbang, enjin hilang, beli kapal selam, tidak boleh selam, ini apa ini, tidak malu ke kita, zimbawe pun tidak teruk macam ini,” katanya.

Anwar mengingatkan bahawa Umno-BN akan terus menfitnah Pakatan Rakyat, seraya membuktikan perjuangan gagasan pembangkang berkesan untuk mendedah dan membendung penyelewengan oleh Umno-BN.

Anwar juga merujuk kepada serangan berbaur perkauman terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sebagai usaha terdesak Umno memperalatkan orang Melayu demi kepentingan politiknya.

“Saya boleh sokong dia kerana apa, saya tahu dia tidak ambil tanah untuk dia, saya tahu dia tidak curi kontrak untuk dia ke atau bini dia atau anak dia. Saya tahu dia tidak rasuah dan ini penting untuk pemimpin negara kita dan Lim Guang Eng ini dapat kita sokong lagi,” katanya.

Berbeza dengan sikap bongkak Umno-BN, mantan Timbalan Perdana Menteri ini menunjukkan sikap tawadduk dengan memohon maaf kepada pengundi di atas sikap segelintir wakil rakyat yang mengecewakan mereka.

Merujuk kepada Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Zahrain Mohd Hashim yang keluar parti minggu lalu, Anwar berjanji PKR akan lebih teliti dan berhati-hati memilih calon pada pilihanraya akan datang. -TVS


Lebih 3,000 orang yang membanjiri Dewan Sri Siantan di Batu Caves malam tadi untuk mendengar pemimpin Pakatan Rakyat bercakap mengenai kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Para penceramah di program 'Bersama Selamatkan Malaysia' itu - termasuk Anwar sendiri - berkali-kali menegaskan bahawa kes berkenaan sengaja diada-adakan untuk memfitnah dan mengaibkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Di samping mengulas mengenai keterangan Mohd Saiful Bukhari di mahkamah, Naib Presiden PKR, Azmin Ali turut menyeru hadirin supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia, dalam satu kempen 'bankrapkan Utusan Malaysia.'

"Saya seru supaya semua kerajaan Pakatan Rakyat dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri bawah Pakatan Rakyat supaya tidak lagi melanggan dan membeli iklan di Utusan Malaysia.

"Saya cadang supaya semua GLC bawah Pakatan Rakyat guna media baru termasuk Suara Keadilan, Harakah, Malaysiakini dan The Malaysian Insider," katanya lagi.

Tambahnya, jika kempen itu dijalankan dengan bersungguh-suingguh, maka penerbit Utusan Malaysia boleh muflis dalam masa tiga bulan.

Sementara itu, seorang lagi penceramah, Gobind Singh Deo pula berkata penyokong Anwar tetap berani menangkis tohmahan terhadap ketua umum PKR itu, termasuk oleh bapanya sendiri Karpal Singh.

Sebelum itu, Karpal Singh dilaporkan berkata, memandangkan Hakim Mohamad Zabidin tidak berterus terang kerana tidak merujuk Utusan Malaysia bagi kesalahan menghina mahkamah berhubung laporan yang dianggap palsu, pihak pembelaan melihat itu sebagai “satu pembohongan oleh Yang Arif”.

Gobind, yang juga ahli parlimen Puchong juga berkata ketegasannya membangkitkan isu, juga menyebabkan beliau digantung daripada Dewan Rakyat selama setahun, tahun lalu.

"Bila saya tanya (Datuk Seri Najib Razak) apa yang terjadi kepada Altantuya Shaariibuu di dalam dewan, apa dia buat? Saya digantung daripada dewan.

"16 Mac ini saya akan masuk semula ke dewan dan (akan) tanya Najib semula," katanya.

Ketika memperkenalkan bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin selepas itu, Gobind juga mengumumkan Nizar sebagai "menteri besar Perak yang sah."

Nizar dalam ucapannya selepas itu, tanpa membuang masa, mengulas mengenai keputusan mahkamah dalam menentukan siapakah antara beliau dan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menteri besar perak yang sah.

"Tapi keputusan itu sudahpun kita jangka. Kita sudah agak ia akan berlaku begitu," katanya sambil menambah keputusan itu juga kini membuatkan semakin meningkatkanya penolakan rakyat Perak terhadap BN.

"Akibat keputusan hakim itu, sokongan kepada kita kini bertambah dan kini menggerunkan BN. Banyak lagi negeri yang akan tumbang hasil daripada kezaliman yang mereka lakukan di Perak," katanya.

Menyentuh kes liwat Anwar, Mohd Nizar berkata ia tidak mungkin berlaku kerana Anwar sering mengimamkan solat jemaah.

"Kalau Datuk Seri Anwar pergi ke mana-manapun, orang akan menjemput beliau supaya menjadi imam. Siapa pernah tengok Najib mengimamkan solat?

"Jadi, adakah seorang kaki liwat boleh mengimamkan solat?" kata Mohd Nizar.

Anwar yang menaiki pentas kemudiannya berkata beliau telah mendapat pelbagai jolokan sepanjang menjadi pembangkang, termasuk sebagai 'ejen Cina', 'ejen Yahudi' dan juga 'pengkhianat Melayu.'

"Sekarang mereka panggil saya peliwat," katanya sambil menambah, beliau kini setentunya diberikan gelaran 'Tun' jika terus bersama Umno.

Mengulas lanjut, Anwar berkata perbicaraan kes liwat ke atasnya itu merupakan satu usaha untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

"Kita faham perkara ini akan dilakukan sejak tiga bulan lalu, kes perbicaraan saya dan juga keputusan mahkamah ke atas menteri besar Perak," katanya lagi.

Dalam ucapannya hampir satu jam, Anwar juga berkata kes perbicaraan liwat ke atasnya itu turut mendapat perhatian pemimpin ulama dunia, Dr Yusoff Qardawi yang telah menelefonnya berhubung perkara itu.

"Dia suruh saya bangkit dari tidur dan duduk di sejadah. Saya tanya kenapa, beliau jawab 10,000 orang pada masa itu dalam satu perhimpunan majlis zikir yang sedang berdoa untuk saudara," katanya lagi.

Selain itu, menurut Anwar, kes itu juga kini mendapat perhatian ulama tempatan termasuk pemimpin PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tambahnya, Abdul Hadi akan mengulang cetak sebuah buku karangan presiden PAS itu berkaitan hukum qazaf yang ditulis 10 tahun lalu bagi menerangkan kepentingan kes itu didengar di mahkamah syariah. -dperbatasan


Air: BN Berniat Jahat Terhadap Kerajaan PR Selangor

Kerajaan Pusat Umno-Barisan Nasional telah membuat tawaran yang lebih lumayan kepada syarikat konsesi air di Selangor bagi mengambil alih asetnya.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad yang bimbang tindakan itu akan memaksa pengguna membayar harga lebih tinggi untuk bekalan air.

Kerajaan Selangor sebelum ini menawarkan untuk mengambil alih aset empat syarikat konsesi di bawah program penstrukturan semula industri air negara.

Namun pakej bernilai lebih lima billion ringgit yang di tawarkan oleh kerajaan negeri di tolak oleh Splash, Abbas, Puncak Niaga dan Syabas pada awalnya.

Abbas dan Splash kemudian dilaporkan telah menerima tawaran itu namun Puncak Niaga dan Syabas beralih ke kerajaan pusat untuk mendapatkan tawaran lebih baik.

Adalah difahamkan kerajaan pusat menawarkan 9.7 billion ringgit untuk mengambil alih aset keempat-empat syarikat berkenaan.

Apa yang membimbangkan ialah implikasinya kepada rakyat negeri Selangor.

"Kerajaan Negeri telah membuat tawaran yang munasabah kepada setiap konsesi terbabit tetapi nampaknya Kerajaan Pusat juga turut membuat tawaran. Apa yang kita bimbang adalah pemilik konsesi (sekiranya menerima tawaran Kerajaan Pusat) akan memindahkan kos (pembelian) kepada pengguna," tegas Dr Dzulkefly.

Beliau berkata kerajaan pusat harus menghormati hak kerajaan negeri berunding dengan syarikat konsesi berkenaan.

Menurutnya lagi, yang penting ialah rakyat tidak dibebankan dengan kos yang lebih tinggi akibat ghairah melindungi syarikat terbabit.

"Kerajaan Negeri masih lagi berharap, dan menegaskan keterlibatan Kerajaan Negeri mestilah berbaloi. Sekiranya Kerajaan Pusat mahu meneruskan tawarannya kepada pemilik konsesi, akhirnya ia akan bercanggah dengan matlamat penstrukturan air itu," jelas Dr Dzulkefly.

Beliau kesal kerana kerajaan Pusat meminta kerajaan negeri membuat rundingan, sebaliknya mengambil alih proses itu apabila pampasan yang ditawar oleh kerajaan negeri tidak disenangi oleh syarikat berkenaan.

"Melihat kepada perkembangan ini, kita merumuskan bahawa Kerajaan Pusat sekadar mahu melindungi Puncak Niaga dan Syabas kerana dua syarikat ini terbukti menanggung hutang yang banyak," kata Dzulkefly.

"Apa yang membingungkan saya adalah mengapa Kerajaan Pusat beria-ria mahu menyerahkan sistem air sebegini penting kepada mereka yang tidak berkeupayaan," tambah beliau. -TVS

Ku Li Jadi Mangsa UMNO BN Kelantan

Barisan Nasional (BN) Kelantan dipercayai menggunakan agensi pelajaran negeri untuk menyebarkan risalah di sekolah-sekolah bagi memburuk-burukkan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ekoran pendirian beliau bahawa Kelantan berhak menerima royalti petroleum sebanyak lima peratus.

Beberapa guru yang dihubungi The Malaysian Insider mengesahkan pihaknya ada menerima risalah berkenaan sejak seminggu lalu terutama selepas Tengku Razaleigh berucap pada satu forum mengenai isu pertikaian wang royalti di sini bulan lalu.

“Ya, memang risalah itu telah diedarkan... ramai guru dapat risalah yang memburuk-burukkan Tengku Razaleigh. Bahkan ramai juga murid-murid yang dapat risalah ini,” kata seorang guru sebuah sekolah yang terletak di Kota Baru.

“Kalau tak silap saya, risalah ini keluar tidak berapa lama (hari) selepas Tengku Razaleigh mengadakan ceramah royalti di stadium (bulan lalu),” kata guru berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan.

Dia memberitahu ada pihak tertentu yang telah menghantar risalah berkenaan ke sekolah untuk diedarkan kepada tenaga pengajar dan murid-murid.

Seorang pemimpin Umno bahagian ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya akan mengedarkan risalah ini ketika ceramah royalti anjuran Umno Jumaat ini.

Ceramah akan disampaikan oleh Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed, timbalannya Datuk Dr Awang Adek dan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Risalah itu memuatkan pandangan Tengku Razaleigh bulan lalu dan juga ketika di Parlimen pada tahun 2000 dengan tajuk besar "Ku Li tipu rakyat, Tok Guru Kena Tipu Pulak!"

Gambar Tengku Razaleigh dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga dimuatkan pada risalah itu.

Sementara itu rakan kepada guru tersebut pula memberitahu Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seolah-olah telah dipergunakan untuk memainkan peranan tersebut.

“Sebab pegawai-pegawai dari JPN bahkan PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) ada bercakap pasal ini. Kalau hendak dikira itu tidak berkait langsung dengan bidang mereka,” kata guru berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Awi.

Sambil itu beliau memaklumkan satu pertemuan dinamakan Persidangan Kebangsaan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Malaysia (PKPSM) telah diadakan di salah sebuah hotel dekat sini 1 Feb lalu.

Perkara yang disentuh pada pertemuan tidak pasti tetapi ia dihadiri oleh Mustapa sendiri.

Difahamkan selepas persidangan berkenaan satu perjumpaan khas Mustapa bersama pegawai JPN dan pengetua-pengetua sekolah turut diadakan.

“Pada perjumpaan khas itu memang ada bercakap pasal royalti. Setakat itu saja dapat saya beritahu. Dan, pengedaran risalah memburuk-burukkan Ku Li itu memang ada.

“Orang tengok pun pelik kan, majlis guru-guru atau Jabatan Pendidikan tapi Tok Pa (Mustapa_ yang hadir. Kalau orang tahu nampaklah agenda politik,” katanya.

Susulan ceramahnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan Tengku Razaleigh telah dilabelkan oleh Umno Kelantan sebagai menentang arus selain menyimpan agenda tersendiri.

Pemuda Umno Kelantan telah menggesa bekas pengasas dan pengerusi Petronas itu melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) menyertai PAS atau Pakatan Rakyat.

Tengku Razaleigh menyampaikan pendiriannya pada ceramah royalti petroleum anjuran pertubuhan bukan kerajaan, Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) di Stadium Sultan Mohamad IV Kota Baru, bulan lalu.

Malah beberapa pemimpin Umno juga telah mengesyorkan agar tindakan disiplin dikenakan ke atas Tengku Razaleigh dalam isu berkenaan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Besut hujung minggu lalu Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno memandang berat tindakan Tengku Razaleigh dan beliau perlu menilai kedudukannya dalam parti ekoran tindakannya yang menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian berkenaan isu royalti minyak.

Semalam, Mustapa yang juga yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata peruntukan wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan yang dijangka disalur penghujung Mac ini akan bertumpu kepada golongan miskin. -MI

Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Anwar Untuk Gugurkan Pertuduhan Liwat

MKetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima satu lagi tamparan di Mahkamah Rayuan apabila permohonanya untuk digugurkan pertuduhan liwat itu ditolak.

Tiga hakim mengambil pendirian laporan oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur yang mengesahkan tiada bukti klinikal menunjukan Saiful Bukhari Azlan di liwat hanya keterangan sokongan dan bukan bukti muktamad.

Mahkamah sama juga enggan melayan permohonan Anwar supaya perbicaraan beliau di Mahkamah Tinggi ditunda bagi membolehkan proses rayuannya selesai di Mahkamah Persekutuan.

Meskipun Anwar menjangkakan keputusan hari ini, beliau terus bertekad untuk menggunakan saluran mahkamah bagi mendapatkan keadilan kerana tidak ada pilihan lain.

“Saya beritahu alasan peguam kuat tapi kita hendak jangka keputusan tegas hakim tidak mudah, terutama bila kita kaitkan penglibatan Datuk Najib dan Rosmah daripada awal. Walaubagaimanapun kita ikut proses undang-undang, peguam akan siapkan dan saya akan kemukakan rayuan,”katanya.

Keputusan sebulat suara di mahkamah rayuan hari ini dicapai oleh Datuk Wira Abu Samah Nordin yang bersidang bersama bersama Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar Ma’ah.

Keputusan itu sebelum ini didokong oleh Mahkamah Tinggi namun di pertikaikan oleh pakar-pakar undang yang menegaskan harus ada laporan perubatan yang membuktikan berlakunya tusukan bagi mensabitkan jenayah seperti rogol dan liwat.

"Rayuan kami ditolak dan saya telah buat satu permohonan untuk ditanguhkan, itu pun ditolak. Ini bermakna kami akan failkan satu notis rayuan dalam satu permohonan untuk tangguh, esok pagi,"katanya.

Perbicaraan di mahkamah tinggi dijadualkan bersambung esok, dengan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah memberi keputusan sama ada akan menarik diri kes itu kerana dianggap berat sebelah oleh pasukan peguambela.

Zabidin enggan bertindak terhadap utusan kerana dikatakan menyiarkan dua laporan fitnah mengenai keterangan mahkamah yang diberikan oleh pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Hari ini Anwar ditanya oleh samada tindakan beliau meneruskan siri ceramahnya sejak dua minggu lalu selaku ketua pembangkang boleh dilihat sebagai menghina mahkamah.

“Apa yang telah saya katakan? Saya hanya menjelaskan proses undang-undang, saya tidak mereka cerita seperti Utusan Malaysia, saya tidak katakan ia (liwat) terjadi di atas katil. Jadi kenapa kamu mempertahankan Utusan? Tidak (menghina mahkamah), itu diinterprestasi kamu, kamu melaporkan kes itu, ia tiada masalah,”kata Anwar.


Mahkamah Tolak Rayuan Bekas Dekan UiTM

Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini menolak rayuan bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Md Saberi Md Salleh untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin, ketika membacakan keputusannya di sini turut menolak rayuan pemilik syarikat pembekal peralatan sukan, Zaleha Abdul Rahman, yang didapati bersubahat melakukan penipuan itu bersama Md Saberi, kerana turut menandatangani dokumen berkenaan.

Pada 15 Oktober 2008, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman terhadap Md Saberi selepas didapati bersalah memperakui dokumen penerimaan palsu berhubung pembekalan peralatan sukan berharga RM138,600 sedangkan peralatan tidak dibekalkan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di fakulti berkenaan di UiTM Shah Alam, antara 24 Mac hingga 2 April 1999 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Mohd Zaki, yang menolak rayuan kedua-dua mereka daripada segi sabitan kesalahan dan pengurangan hukuman, kerana beliau mendapati Hakim Mahkamah Sesyen, Datin Zabariah Mohd Yusof tidak melakukan kekhilafan daripada segi perundangan semasa menjatuhkan hukuman itu.

Mohd Zaki berkata, dalam kes rayuan ini beliau hanya melihat jika ada faktor-faktor yang tidak selari daripada segi undang-undang dibuat oleh hakim sebelum ini dan bukan fungsi beliau untuk melihat hukuman yang dijatuhkan.

Dalam rayuannya, peguam bela kedua-dua perayu, Salim Bashir memohon mahkamah menimbangkan jasa Md Saberi sebagai ahli sukan taekwondo kepada negara dan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, susulan kes itu, anak guamnya berhenti daripada menjadi dekan fakulti itu dan kehilangan jawatan pengarah di beberapa institusi dan syarikat mengakibatkan Md Saberi kehilangan punca pendapatan.

Salim berkata, Zaleha pula menghidap penyakit kencing manis kronik dan beliau baru mendapat tahu anak sulungnya dikesan menghidap leukemia serta memerlukan perhatian dan rawatan manakala suaminya kehilangan pekerjaan.

Salim memohon mahkamah supaya anak-anak guamnya itu tidak dipenjarakan dan hanya dikenakan hukuman denda kerana ia adalah kesalahan pertama mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Roziza Sidek berkata, Hakim Mahkamah Sesyen sudah mengambil kira faktor-faktor seperti sumbangan Md Saberi dan masalah kesihatan Zaleha.

Beliau berkata, hukuman penjara minimum dua minggu dan maksimum 20 tahun mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997 adalah mandatori.

Roziza berkata, hukuman yang dijatuhkan terhadap kedua-dua perayu dikekalkan.

Mohd Zaki kemudian membenarkan membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, dan mengarahkan supaya pihak pembelaan memfailkan rayuan selewat-lewatnya esok.

Salim. ketika ditemui di luar mahkamah, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan esok. - Bernama

Qazaf Ditunda Untuk Lengahkan Anwar Dapatkan Keadilan Melalui Syarak

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur terpaksa menunda perbicaraan qazaf terhadap Saiful Bukhari Azlan kepada 10 Mac, berikutan kelewatan kerajaan Umno-BN menfailkan afidavit balas walaupun diberi dua minggu berbuat demikian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kelewatan itu disengajakan untuk melengah-lengahkan usaha beliau mendapatkaan keadilan mengikut hukum syarak.

Beliau sekali lagi menekankan keperluan Mahkamah Syariah memastikan proses perundangan Islam tidak dicemari dengan campurtangan parti pemerintah atau institusi yang dikawalnya.

Menteri Hal-ehwal Islam Datuk Jamil Khir Baharom dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sebelum ini memohon membatalkan permohonan Anwar untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mendakwa Saiful di bawah undang-undangg qazaf.

Hakim Mohd Shukor Sabudin memberikan tempoh dua minggu untuk Jamil dan JAWI menfailkan afidavit bagi menyokong permohonan mereka itu dan menetapkan hari ini untuk mendengar hujah.

Namun kes berkenaan tidak dapat berjalan kerana peguam Jamil dan JAWI gagal mengemukakan afidavit.

“Saya tengok hakim masih memberi ruang walaupun pendakwa ambil sambil lewa, bagi arahan suruh jawap dua minggu, kalau macam ini prestasi, ada baik juga kerana saya terlibat dulu dalam mengangkat mahkamah syariah sekarang saya sendiri melihat prestasi" ujar Anwar.

Saiful mendakwa kononnya beliau diliwat oleh mantan timbalan perdana menteri itu pada Jun 2008.

Laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mensabitkan tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.

Justeru Saiful perlu menghadapi perbicaraan qazaf bagi membela dakwaannya itu dari sudut Islam.

Anwar mendakwa Saiful diperalatkan oleh Perdana Menteri Najib Razak yang disahkan menemui Saiful beberapa hari sebelum beliau membuat dakwaan itu pada Ogos tahun 2008.

Ketua pembangkang ini terkilan dengan cubaan terbuka Jamil dan Jawi untuk menghalang usaha perbicaraan qazaf terhadap Saiful seperti mana yang di tuntut oleh Islam.

Pertama agak aneh bagi Mahkamah Syariah atas tuntutan Menteri Agama atas arahan Umno untuk meminta Mahkamah Syariah tidak membicarakan isu qazaf ini kononnnya di luar bukan bidang kuasa dan dalam kes lain-lain dipertahankan di bidang kuasa mahkamah syariah.

“Sekarang kita yang mahu memperkukuhkan Mahkamah Syariah, menteri Ugama Umno ini minta bidang kuasa mahkamah syariah disempitkan" katanya lagi.

Kerajaan umno-Bn dilihat bertindak demikian kerana khuatir kredibiliti Saiful akan musnah sama sekali jika terbukti beliau membuat tuduhan palsu ke atas Anwar di Mahkamah Syariah.

Jamil memberitahu parlimen kononnya proses perundangan Islam hanya boleh dijalankan selepas perbicaraan kes sivil Anwar di Mahkamah Tinggi di mana Saiful menjadi saksi utama, sudah selesai.

Alasan itu ditolak oleh pakar-pakar perundangan sebagai cetek kerana pertuduhan qazaf adalah mengikut undang-undang Islam dan bebas daripada sistem undang-undang sivil.

“Saya harap Mahkamah Syariah ini dibersihkan dari unsur begini, menyekat bidang kuasa dan juga penglibatan orang yang terlibat dari segi taktik kotor atas mahkamah, kita kena jaga maruah baik Jabatan Agama, mahkamah syariah daripada dicemari orang-orang sebegini".


Mokhzani, Nazir, Raja Eleena di antara terkaya di Malaysia

Mokhzani Mahathir, (gambar) anak kedua bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Nazir Razak, adik perdana menteri Najib Abdul Razak adalah di antara 40 paling kaya di negara ini.

Senarai penuh 40 jutawan dan ‘billionaire’ ini tersiar dalam kajian majalah terbitan dua minggu sekali ‘Malaysian Business’ keluaran 16 Februari ini.

Seperti tahun-tahun yang lalu, kekayaan 40 mereka paling kaya dinilai berdasarkan pegangan saham mereka dalam syarikat-syarikat tersenarai sehingga setakat 15 Januari tahun ini.

Nazir Razak, 41, dari Kumpulan CIMB muncul buat pertama kali dalam senarai 40 rakyat Malaysia paling kaya pada kedudukan nombor 40 dengan kekayaan bernilai RM345 juta.

Mokhzani, 47, menduduki tempat ke 20 dengan nilai bersih lebih dari RM1 bilion melalui pegangan sahamnya dalam Kencana Petroleum.

Raja Eleena Azlan Shah, 48, dari Gamuda dan anak kepada Sultan Perak berada pada kedudukan ke 35 dengan anggaran kekayaan bernilai RM515 juta.

Empat puluh terkaya rakyat Malaysia mencatatkan peningkatan kekayaan terkumpul bernilai RM156.7 bilion sehingga setakat 15 Januari atau 63% lebih tinggi, dari sejumlah RM96.3 bilion setahun yang lalu, berikutan pemulihan pasaran saham.

Bagaimanapun mengikut kajian majalah itu, kekayaan terkumpul mereka adalah berkurang berbanding dengan RM171.9 bilion yang dicatat pada tahun 2008.

Paras kedudukan FBM KLCI telah meningkat 44.3% sejak kajian terbaru dijalankan memandang ekonomi bergelut untuk pulih kembali berikutan krisis kewangan global.

Kajian itu juga mendedahkan hampir separuh dari senarai tersebut mencatat perningkatan 50% atau lebih. Terdapat lebih ramai bilionaire tahun ini iaitu seramai 22 orang, lebih lapan dari tahun lepas.

Robert Kuok, 84, dari Kuok Group yang melucutkan gelarannya sebagai ‘Sugar King’ tahun lepas, masih berada di puncak dengan nilai kekayaan RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion dari RM26.6 bilion setahun lalu.

Tycoon media dan telekomunikasi Ananda Krishnan, 70, menduduki tempat kedua, dengan nilai kekayaan sebanyak RM27 bilion.

Lee Shin Chen dari IOI Corporation, 69, menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion, diikuti oleh banker Teh Hong Piow, 78, pada RM10.86 bilion.

Lim Kok Thay, 56, dari Genting Group, bernilai RM10.38 bilion, melangkah 10 anak tangga pada tempat kelima. Ini berikutan beliau mewarisi sebahagian besar kekayaan mendiang bapanya, Lim Goh Tong.

Quek Leng Chan dari Hong Leong Group, 67, menduduki tempat keenam pada RM7.09 bilion sementara Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary bernilai RM6.01 bilion, di tempat ketujuh.

Termasuk dalam senarai 10 terkaya ialah isteri mendiang Goh Tong, Lee Kim Hua, 79, Tiong Hiew King, 78 dari Kumpulan Rimbunan Hijau dan Vincent Tan, 56 dari Berjaya Group.

Terdapat lima muka baru dalam senarai selain Nazir Razak. Mereka ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, dua beradik Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang kembali ke dalam senarai setelah tercicir setahun lalu.



Lintas Lansung Keputusan Rayuan DSAI

Mahkamah Rayuan hari ini akan membuat keputusan sama ada mengekal atau menggugurkan tuduhan liwat terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Wira Abu Samah Nordin, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah menangguh keputusan sama ada membenarkan rayuan mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

Mereka memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh peguam utama Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Ketua Pembangkang itu memohon mahkamah supaya membenarkan rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mengetepi dan membatalkan tuduhan konspirasi kedua.


3.00 pm: Semua sudah berada dan bersedia untuk pendengaran keputusan

3.07 pm: Hakim membacakan keputusannya...

3.15 pm: Peguam pembela telah menyatakan dengan tegas bhawa pertuduhan adalh bersifat opresif dan menyalahgunakan proses mahkamah.

3.20 pm: Hakim membuat penelitian keatas fakta-fakta yang diberikan oleh kedua-dua pihak

3.25 pm: Daripada kes-kes yang disebutkan oleh hakim, ia menjurus seperti rayuan Anwar akan ditolak.... kita tunggu..

3.28 pm: Kes-kes yang dibacakan oleh hakim menunjukkan hakim tidak mempunyai kuasa untuk menolak pendakwaan

3.35 pm: Kami telah membuat pertimbangan yang teliti terhadap rayuan, kami dapati Laporan HKL tidak konklusif tetapi "corrobotive" (menyokong)

3.37 pm: Pihak pembela tidak dapat menunjukkan pertuduhan ke atasnya bersifat opresif dan menyalahgunakan proses mahkamah. ( Da semakin jelas keputusannya..)

3.38 pm: Rayuan ditolak. Peguam pembela, Karpal Singh memohon penangguhan keputusan untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

3.40 pm: Hakim menyatakan permohonan yang teratur oleh pembela belum dilakukan. Karpal menghujjahkan sebab mengapa penangguhan perlu diberikan.

3.43 pm: Pihak pendakwa bersetuju dengan pihak mahkamah bahawa permohonan hendaklah difailkan terlebih dahulu.

3.45 pm : Karpal berhujjah, di dalam kes ini semua jenis halangan diletakkan di pihak pembela

3.46 pm: Mahkamah berhenti 15 min untuk para hakim berbincang di dalam kamar. Karpal telah merayu supaya prosiding kes ditangguhkan sehingga rayuan dibawa ke Mahkamah Persekutuan


Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Yang mendengar kes ini (dari kiri):
Datuk Azhar @ Izhar Ma'ah, Datuk Abu Samah Nordin dan Datuk Sulaiman Daud


4.00 pm: Para hakim belum keluar dari kamar

4.02 pm Permohonan Karpal ditolak. Permohonan yang teratur hendaklah difailkan terlebih dahulu.

TAMAT KEMASKINI

Kes Qazaf Anwar Ditangguh 10 Mac

Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan awal bulan depan untuk sebutan semula mendengar kes qazaf difailkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tarikh sebutan yang sepatutnya diumumkan hari ini ditangguhkan kerana peguam-peguam Anwar tidak dapat mengemukakan afidavit balas terhadap bantahan awal, pagi ini.

Kesnya akan disebut semula pada 10 Mac.

Peguam syarie Anwar, Kamar Aniah Kamaruzaman berhujah bahawa mereka tidak cukup masa untuk memfailkan afidavit kerana pemohon mengemukakan bantahan awal mereka sebelum sambutan Tahun Baru Cina minggu lalu.

Kamar juga mempersoalkan mengapa responden mengemukakan bantahan awal sedangkan tidak menjawab permohonan awal dikemukan pihaknya.

Justeru mahkamah mengarahkan kesemua pihak terlibat agar memfailkan afidavit-afidavit yang relevan sebelum 10 Mac.

Pada bulan lalu, Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan pendakwa raya mengemukakan jawapan balas sebelum 17 Feb ini berhubung permohonan Anwar supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan yang diketuai peguam Zainul Rijal Abu Bakar memberitahu mahkamah mereka akan mengemukakan bantahan awal berdasarkan tiga isu terhadap permohonan Anwar itu.

Tiga isu itu ialah mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah yang akan mendengar kes ini, prosedur permohonan yang tidak dibuat mengikut Akta Prosedur Mal 1998 serta kelayakan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin, untuk mewakili Anwar.

Zulkifli tidak berada di mahkamah hari ini kerana menghadiri persidangan antarabangsa di Korea Selatan.

Zainul Rijal memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan bantahan awal tersebut sebelum tarikh sebutan yang telah ditetapkan itu.

Pada 7 Jan lepas, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah bagi perintah supaya pihak pendakwaan meneruskan pertuduhan qazaf terhadap Saiful, 24.

Dalam tuntutan notis permohonan itu, Anwar menamakan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Pengarah Jabatan Agama Islam wilayah, Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom sebagai responden.

Anwar memohon perintah mahkamah mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasanya yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat dan Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu. -MI Foto :BH


Kes Qazaf Ditangguh Hingga 10 Mac

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menunda perbicaraan qazaf terhadap Saiful Bukhari Azlan kepada 10 Mac.

Hakim Mohd Shukor Sabudin menetapkan tarikh itu untuk mendengar bantahan awal daripada pihak kerajaan yang mahu membatalkan usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkaan keadilan mengikut hukum syarak .

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan meminta membatalkan permohonan Anwar mendapatkan perintah mahkamah untuk mendakwa Saiful di bawah undang-undangg qazaf kerana mendakwa kononnya beliau diliwat oleh mantan timbalan perdana menteri itu.

Laporan tiga pakar Hospital Kuala Lumpur mensabitkan tidak ada bukti klinikal menunjukkan Saiful mangsa liwat.

Anwar mendakwa Saiful diperalatkan oleh Perdana Menteri Najib Razak yang disahkan menemui Saiful beberapa hari sebelum beliau membuat dakwaan itu pada Ogos tahun 2008.
Tiga responden yang dinamakan dalam permohonan Anwar ialah ketua pendakwa syarie, Shamsuddin Hussain; pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Anwar memfailkan permohonan qazaf itu pada 9 Julai 2008 di ibu pejabat JAWI terhadap Saiful kerana membuat tuduhan palsu terhadapnya.

Namun JAWI tidak mengambil tindakan membawa pertuduhan qazaf terhadap Saiful walaupun menjalankan siasatan untuk tempoh lebih setahun.

Datuk Jamil pula memberitahu Parlimen bahawa perbicaraan di mahakamah sivil terhadap Anwar harus dibereskan terdahulu sebelum sebarang perbicaraan di mahkamah syariah dijalankan.

Alasan itu ditolak oleh pakar-pakar perundangan sebagai cetek kerana pertuduhan qazaf adalah mengikut undang-undang Islam dan bebas daripada sistem undang-undang sivil. -TVS


Hentikan Perarakan Semua Upacara Agama

Sebarang perarakan sambutan keagamaan menggunakan jalan raya boleh dianggap mengganggu ketenteraman awam dan menyusahkan pengguna beragama lain yang tidak terlibat dalam upacara itu.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin berkata, perarakan ini bukan amalan pada zaman Rasulullah dan mencadangkan sebarang bentuk perarakan menggunakan jalan raya perlu dihenti.

"Saya mencadangkan semua bentuk perarakan yang menggunakan jalan raya awam dan hendaklah dihentikan. Termasuk Deepavali, Thaipusam ataupun Maulidur Rasul.

"Jalan raya ini ialah digunakan orang kerana ada urusan tertentu dan bukan semua agama berkongsi dengan kita. Bila kita guna jalan raya lain dari tujuan pengangkutan, mahu berarak, ia mungkin mengganggu urusan orang.

"Ia mengganggu pengguna yang mahu ke suatu tempat, melawat orang sakit, membazir minyak orang ramai dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi TV Selangor bagi mengulas berhubung isu perarakan Maulidur Rasul yang menjadi kontroversi, baru-baru ini.

Asri berkata, perarakan seumpama itu juga tidak pernah disuruh oleh Rasulullah sehingga mengganggu urusan orang lain.

Beliau juga mencadangkan supaya sambutan keagamaan selepas ini hanya dilakukan di rumah ibadat masing-masing.

Katanya, jika sambutan Maulidur Rasul tidak membuat amalan baru yang tiada dalam Islam, maka ia tidak dianggap salah kerana ia bukan wajib dan bukan sunnah.

"Jika sambutan itu tidak mencetuskan apa-apa reka bentuk ibadat yang baru, umpamanya tak ada sembahyang khusus Maulidur Rasul, bacaan khusus Maulidur Rasul, maka tidak dianggap mengada-adakan ibadat baru dalam Islam.

"Jika sambutan itu sekadar untuk menceritakan tentang sirah, menceritakan tentang perjuangan dan seumpamanya, dengan kadar-kadar itu tidak menjadi masalahlah," katanya.



Pengundi Bayan Baru Desak Zahrain Lepaskan Kerusi Parlimen

Selain pembentukan banyak kumpulan maya dalam laman sosial, facebook mendesak Datuk Zahrain Mohd Hashim mengosongkan kerusi, facebook milik Ahli Parlimen Bayan Baru itu turut menjadi sasaran kecaman pengundinya sendiri yang mahu beliau meletak jawatan sebagai ahli parlimen.

Malah, penyokong Pakatan Rakyat yang bukan pengundi Bayan Baru juga meninggalkan banyak komen menggesa Zahrain meletak jawatan dan sebahagian pula menyindirnya supaya masuk Umno.

"Please resign as MP. You wouldn't have gotten my vote if you were contesting as an independent and definitely not if on an UMNO ticket. You haven't done anything for Bayan Baru either so you won't be missed," kata seorang pengunjung facebook Zahrain.

Ini menunjukkan desakan terhadap Zahrain Hashim supaya mengosongkan kerusi Parlimen Bayan Baru itu bukan hanya datang dari kalangan orang politik, sebaliknya dari pengundi akar umbi.

Misalnya, seorang pengundi Bayan Baru melancarkan grup 'Call for Zahrain to quit resign as MP of Bayan Baru' yang menulis surat terbuka dan menyatakan undi mereka adalah untuk PKR, bukannya kepada individu.

TVSelangor difahamkan, sekurang-kurangnya 120 individu membentuk kumpulan maya mendesak bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang itu membuka ruang kepada pilihan raya baru Parlimen itu.

Mengulas perkembangan itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong dari DAP berkata pemimpin Pakatan Rakyat dan pengundi mahu Zahrain mengosongkan kerusi tanpa sebarang syarat.

"Zahrain dipilih atas tiket parti. Kalau dia keluar parti, itu atas isu moral atau prinsipal. Tapi, secara prinsip, dia harus mengembalikan mandat kepada rakyat dan memberi peluang rakyat supaya buat keputusan baru," katanya.

Selain Chin Tong, beberapa pemimpin PKR dan Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat turut meminta Zahrain mengosongkan kerusi Parlimen itu kerana tidak lagi membawa dasar perjuangan Pakatan Rakyat.



Wakil rakyat lompat parti tanggung dosa: Mohd Asri

Hukuman terhadap tindakan lompat parti oleh sebilangan ahli politik adalah berdosa dalam agama Islam kerana mengkhianati kepercayaan dan tidak menghormati keputusan rakyat.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, individu terbabit harus bertanggungjawab terhadap pemilihan rakyat berdasarkan parti politik yang diwakilinya.

“Individu terbabit perlu meletak jawatan sekiranya ingin lompat parti dan pilihan raya kecil baru perlu diadakan untuk melantik pemimpim lebih baik.

“Rakyat pilih mereka kerana percaya parti politik yang diwakilinya dapat memberi perubahan terhadap kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian: semalam.

Mohd Asri berkata, pemimpin yang lompat parti tidak layak terus memimpin kawasan berkenaan dan harus memberi peluang kepada individu yang berkredibilti terhadap tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.

“Walau bagaimanapun, sekiranya pemimpin tersebut dipilih bersandarkan ketokohannya,ia tidak memberi kesan kerana rakyat mempercayai kepimpinan individu terbabit selain parti politik yang diwakilinya.

“Perkara ini juga perlu dijelaskan agar kesamaran tidak timbul untuk mengelak salah faham dalam kalangan rakyat,” katanya.

Lewat kebelakangan ini, terdapat khabar angin bahawa 10 ahli politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan lompat parti bagi menyertai Barisan Nasional dan Parti Cinta Malaysia (PCM) .

Isu ini bermula apabila tiga ahli PKR Perak iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil Bebas Februari tahun lalu.

Terbaru, Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meletak jawatannya pada 12 Januari lalu dan menjadi wakil rakyat Bebas. -SH

Nasib Nizar Boleh Menimpa Najib, Mungkin Lebih Dasyat

Ku Li: Agong Boleh Lucut Jawatan PM

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah senada dengan pengamal undang-undang dan pemerhati politik bahawa Perlembagaan tidak memberi kuasa kepada istana untuk melucut jawatan Menteri Besar sepertimana yang berlaku di Perak.

Komen Ku Li itu yang dimuatkan dalam laman webnya menolak keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang mengisytihar Datuk Zambry Kadir dari Umno sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Pendirian Ku Li itu tidak disenangi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata tokoh politik itu sering mengeluarkan kenyataan yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Bercakap kepada TV Selangor, Pegawai Khas Ku Li, Mohd Lokman Ghani, berkata bagi Ku Li ialah kebenaran, bukannya mengeluarkan kenyataan untuk tujuan sebaliknya.

“Isu Perlembagaan Perak pada Tengku, dia tetap dengan pendirian bahawa raja tidak boleh memecat Menteri Besar. Kena ikut perlembagaan, kena diputuskan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Jadi Tengku tidak mahu kalau kita tidak mengikut Perlembagaan betul-betul, bermakna Yang Dipertuan Agong boleh membuang Perdana Menteri pada bila-bila masa,” katanya.

Ku Li dalam laman webnya menegaskan beliau yakin bahawa istana tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memecat ketua pemimpin kerajaan.

Beliau berkata, keputusan mahkamah berkaitan kemelut Perak itu memberi implikasi bukan sahaja kepada Perlembagaan perak, malah Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, jika keputusan mahkamah diterima, ia bermaksud Yang Dipertuan Agong boleh memecat Perdana Menteri sedangkan kuasa itu hanya dimiliki Parlimen.

Justeru, Lokman berkata, pemimpin Umno sendiri harus telus dalam membahaskan implikasi keputusan mahkamah berkenaan.
“Muhyiddin kata kenyataan Tengku kebelakangan ini berbeza dengan pandangan kerajaan, jadi takkanlah hendak Tengku berbohong. Ikut sahaja apa yang kerajaan mahu sedangkan perkara itu tidak betul,” katanya.

Ku Li sebelum ini dikecam hebat oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) kerana mengambil pendirian rakyat Kelantan berhak menerima royalti minyak.

Lokman yang lama mengenali Ku Li berkata, pemimpin veteran itu akan terus bersuara kerana kenyataannya adalah benar dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Jadi, apabila kerajaan menyatakan perkara yang tidak betul, dia terpaksa memberitahu perkara yang betul. Itu pendirian dia,” katanya. -TVS

Kenapa SPRM Siasat Setpol Saja, Tak Siasat Menterinya? Bagaimana Pula Setpol Najib?

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Boon Chye menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya turut menyiasat menteri yang menjadi ketua kepada setiausaha politik yang ditahan bersama wang tunai RM2 juta.

Bercakap kepada TVSelangor, beliau berkata, siasatan itu tidak seharusnya menjurus kepada setiausaha politik semata-mata tapi perlu diperluas kepada individu yang dekat dengannya.

Ahli Parlimen Gopeng itu mengesyaki seseorang setiausaha politik memainkan peranan tertentu walaupun sebenarnya tidak ada kuasa untuk meluluskan sebarang projek ataupun kontrak, sebagaimana menteri.

"Jadi, adakah setiausaha politik itu lebih kepada menjadi sebagai agen daripada orang yang menerima rasuah. Ini sepatutnya disiasat dengan lanjutlah.

"Cuma menteri yang berkuasa untuk meluluskan projek dan kontrak. Jadi, sepatutnya SPRM bukan setakat menyiasat setiausaha politik tetapi turut menyiasat menteri yang terlibat," katanya.

Jumaat lalu, SPRM menahan seorang setiausaha politik kepada menteri kanan di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Butterworth Jumaat lalu.

SPRM yang melakukan serbuan kira-kira jam 3.30 petang turut menemui wang tunai berjumlah RM2 juta di pangsapuri berkenaan.

Kelmarin, Hasbie Satar, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meletak jawatan tapi tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu.

Sementra itu Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia), Mohd Nazree Mohd Yunus turut menggesa SPRM supaya tidak hanya memfokus siasatan kepada pegawai-pegawai menteri sahaja.

Sebaliknya, SPRM perlu bersifat profesional dan lebih berani supaya tidak mengetepikan nilai intergriti, dengan mengheret orang kenamaan termasuk menteri, bahkan Perdana Menteri ke meja siasatan.

Selain kes Hasbie Satar, Nazree berkata dakwaan terhadap Datuk Shafie Abdullah sebelum ini, setiausaha politik kepada Perdana Menteri yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan pentadbiran DBKL, perlu diberi perhatian.

“Jangan sekadar setiausaha politik kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sahaja disiasat oleh SPRM. Bagaimana pula setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Shafie Abdullah yang isu penyalahgunaan kuasanya pernah dibawa ke Parlimen?" katanya.