15 Okt 2011

Tsu Koon "Kemaluan": Perwakilan Mahu Beliau Lawan Guan Eng, Wanita Bidas BN

Demi maruah Gerakan, Dr Koh mesti lawan Guan Eng'

Tiga perwakilan Gerakan hari ini menggesa presiden parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding di Pulau Pinang kerana ia berkaitan dengan maruah parti tersebut.

Berucap di Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-40 tengah hari ini, wakil Johor Teng Koh Keng menggesa presiden parti itu berdepan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di kerusi Parlimen Bagan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Yang terbaik ialah untuk presiden kita untuk kembali ke Pulau Pinang dan berdepan dengan Lim Guan Eng," katanya dengan disambut sorakan dan tepukan hadirin.

Menurutnya, jika Koh bertanding di bekas kubu kuat parti itu, maka ia akan menaikkan semangat mereka dan menyatukan parti.

"Menang atau kalah adalah perkara lain, sekurang-kurangnya kita akan mengembalikan maruah kita."

Ia ekoran spekulasi sengit bahawa Dr Koh akan bertanding kerusi Parlimen sama ada di Perak, Kuala Lumpur atau Johor.

Gerakan telah memerintah kubu kuatnya Pulau Pinang selama hampir 39 tahun tetapi tumbang dalam pilihan raya umum lepas selepas ia kalah semua kerusi di negeri itu.

Perwakilan Kedah, Ngooi Ah Fatt juga bersetuju bahawa Koh harus kekal di Pulau Pinang jika beliau memilih untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Ngooi berkata: "Saya berharap beliau kembali ke Pulau Pinang untuk bertanding, ia akan meningkatkan motivasi Gerakan dan akan meningkatkan peluang kita untuk menang."

Turut bersetuju ialah wakil Terengganu, Feng Swee Heng yang berkata terdapat perdebatan hangat sama ada Koh patut bertanding di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau secara berseloroh berkata nama Koh bermaksud "anak Jantan" dalam bahasa Melayu, bagi menangkis kritikan bahawa dr Koh tidak berani berdepan dengan musuh politiknya.

Bagaimanapun, perwakilan Pulau Pinang Lee Boon Tien mengingatkan hadirin "jika Koh boleh menang di Pulau Pinang, ia adalah baik, tetapi bagaimana jika beliau kalah?"

Bercakap pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu, Dr Koh berkata beliau mengambil maklum sentimen para perwakilan parti.

"Saya dengar apa yang mereka katakan, tetapi di mana saya akan bertanding, saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi." -mk

Ketua Wanita Gerakan malu kepimpinan parti 'lemah'

Dalam satu serangan yang berlapik tetapi menyengat terhadap Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, ketua Wanitanya, Datuk Tan Lian Hoe berkata sayap itu malu dengan kepimpinan parti itu yang lemah.

Katanya, mereka malu menjadi bahan teguran dan dipandang rendah kerananya.

Tan menegaskan demikian dalam ucapan dasarnya di persidangan perwakilan kebangsaan Gerakan hari ini.

Tanpa menamakan Koh, beliau berkata, "tulisan sudah terpampang di dinding" dan pucuk pimpinan tidak boleh menafikannya.

"Jika anda perlu berundur, maka berundurlah," katanya sambil menambah, sekiranya rakyat telah menolak seseorang pemimpin, maka akurlah dengan kehendak mereka.

Beliau yang juga ahli parlimen Grik turut membidas BN, yang disertai parti itu pada 1973, dengan mendakwa ia gagal belajar daripada pilihan raya umum lepas.

Katanya, kekalahan dalam pilihan raya umum ke-12 tidak menjadi pengajaran kepada kepimpinan parti-parti komponen dalam BN.

Malah, tegasnya, semangat permuafakatan "hanya dibibir saja".

Ini, katanya, ialah kerana ahli gabungannya angkuh, begitu tamak hingga merebut kerusi sesama sendiri serta bergaduh dan mensabotaj antara satu sama lain.


Beliau kemudiannya menggesa kepimpinan semua parti komponen supaya membiarkan pucuk pimpinan BN membuat keputusan mengenai "calon yang mampu menang". -mk


Mentua Tawar RM20 Untuk Seks

Kampung Raja - Seorang isteri muda tersentak apabila mendakwa bapa mentuanya menawarkan sejumlah wang sebagai usaha memujuk wanita itu melakukan hubungan seks ketika ketiadaan anak lelakinya di rumah. Gambar fail

Bapa saudara perempuan itu yang hanya mahu dikenal sebagai Man, 40-an memberitahu, dia dihubungi adiknya iaitu ibu wanita itu memberitahu besan anaknya memujuk untuk melakukan hubungan seks.

Menurutnya, sebelum itu mangsa yang berusia lingkungan 15 tahun ditawarkan wang sebanyak RM20 oleh bapa mentuanya agar melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Kejadian terakhir dikatakan berlaku pada Aidilfitri lalu dan terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibunya,” katanya.

Man berkata, anak saudaranya berkahwin bawah umur selepas terlanjur dengan anak lelaki itu manakala suami wanita bawah umur itu juga menghadapi masalah tertentu.

Katanya, bagaimanapun lelaki yang didakwa menetap di sebuah kampung dekat Jertih belum sempat melakukan apa-apa terhadap menantunya kecuali pernah memegang paha dan tangannya.

“Mujurlah lelaki durjana itu tidak sempat melakukan apa-apa kepada anak saudara saya yang sanggup menawarkan wang untuk melakukan perbuatan terkutuk,” katanya yang pulang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata, anak saudaranya kini tinggal berasingan dengan bapa mentuanya dan bekerja sebagai pembantu jualan di Kampung Raja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi memberitahu pihaknya tidak ada menerima laporan mengenai kejadian itu setakat ini. -SH


Keluarga Sarbaini Desak Suruhanjaya Diraja Ditubuhkan

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed yang ditemui mati April lalu menuntut agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk mengendalikan inkuiri berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor terbabit.

Tuntutan itu disuarakan peguam yang mewakili keluarga, N Surendran meminta supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati kabinet dan seterusnya Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk menubuhkan RCI tersebut.

Surendran menegaskan tindakan itu bukan bertujuan untuk menentang sesiapa tetapi demi menuntut keadilan di atas kematiannya.

Beliau mendakwa tiada ketelusan dalam inkues yang dijalankan kerana keterangan bahawa Sarbaini menerima rasuah adalah tidak berasas sama sekali dan hanya dibawa untuk merosakkan reputasi Sarbaini seperti mana yang berlaku dalam kes kematian Teoh Beng Hock.

“Koroner yang menjalankan inkues membelakangkan undang-undang sedia ada apabila menerima keterangan yang tidak berasas bahawa Sarbaini menerima rasuah.

“Memandangkan Sarbaini tidak dapat menjawab tuduhan rasuah itu, bagaimana boleh bergantung dengan kenyataan tersebut?

Keterangan ini dibawa untuk merosakkan reputasi Sarbaini maka inkues telah terjejas kerana ia bukan bertujuan untuk mencari keadilan.

“Maka tiada cara lain untuk dapatkan keadilan yang telus melainkan dengan menubuhkan RCI,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu termasuk ibu Sarbaini, Aishah Abd Raof, adik ipar arwah Makhtar Mansor, wakil keluarga Beng Hock dan seorang lagi wakil peguam keluarga terbabit Fadiah Nadwa Fikri.

Surendran turut mempertikaikan pelantikan Datuk Shafie Abdullah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sedangkan semua sedia maklum bahawa agensi terbabit mempunyai peguamnya sendiri.

“SPRM awal-awal lagi tidak berminat dengan kes ini. Mereka hanya berminat untuk membela diri sendiri. Sepatutnya mereka berusaha untuk mencari kebenaran.

“SPRM dibiayai oleh pembayar cukai. Agensi terbabit menggunakan RM150,000 hanya untuk membayar peguam Umno untuk membela mereka. SPRM kena jelaskan mengapa wang RM150,000 itu digunakan untuk membayar Shafie Abdullah?,” soalnya.

Sarbaini 56, ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada April lalu.

Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam. -FMT

Ulasan GB

GB sudah ulas beberapa kali kes kematian Allahyarham Sarbani. Diantaranya:

Persoalan kini, relevankah inkues? Mengapa tidak terus tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja?

Ini kerana rakyat menjadi hairan sudah tiga inkues membuat keputusan yang hampir serupa - tidak menemui "pembunuh sebenar" kepada mangsa. Pergi balik pergi balik mahkamah yang kita perolehi, keputusan yang tidak ada keputusan.

1) Inkues kematian Gunasegaran di mana di dalam kes berkenaan koroner Siti Shakirah Mohtarudin memberikan "keputusan terbuka" berhubung inkues bagi menentukan kematian R Gunasegaran semasa dalam tahanan polis kerana tidak boleh dibuktikan dengan muktamad.

2) Inkues kematian Teoh Beng Hock di mana koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa kes inkues itu juga adalah satu kes “keputusan terbuka” dengan beralasan yang serupa di atas: keterangan yang ada tidak mencukupi atau tidak mencapai tahap yang dikehendaki untuk merekod lain-lain keputusan.

3) Inkues kematian pengawal Istana Kelantan, Ramli Mohamad, Koroner Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat juga memberikan "keputusan terbuka" kerana dikatakan tidak mempunyai keterangan yang mencukupi untuk menyabitkan mana-mana individu yang menyebabkan kematian itu.

Apa cerita ni? Buang masa, buang wang negara dengan pewujudan inkues.

Hakim-hakim seperti "takut" untuk menetapkan hukuman dan seperti mahu melindungi pihak tertentu kerana ketiga-tiga kes di atas melibatkan pihak polis & pegawai SPRM sendiri.

Jika demikianlah keadaannya, rakyat wajar persoalkan peranan Istana Keadilan (Palace of Justice), peranan hakim-hakim dan peranan institusi kehakiman negara yang sepatutnya menjadi payung kebenaran dan keadilan tetapi kini musnah akibat dari sikap para hakim yang tidak bertaggungjawab.

Di dalam inkues kematian Sarbaini ini, apa yang nyata koroner TIDAK lansung mengarahkan siasatan mengapa CCTV tiba-tiba tidak berfungsi selama 22 jam dan rakaman termasuk tempoh apabila Ahmad Sarbaini datang ke premis agensi itu telah dipadamkan. Itu kecacatan paling besar di dalam inkues kematian Ahmad Sarbaini.

Ia adalah penting tetapi koroner mengabaikannya. GB sudah juga ulas hal ini. Petikan:

GB melihat isu ini sama seperti isu kematian Teoh Beng Hock - bahawa - Ahmad Sarbani adalah mangsa kepada pegawai-pgawai SPRM yang salahguna kuasa, angkuh dan sentiasa berdusta apabila memberi keterangan.

Kita masih tertanya-tanya: Siapa padamkan rakaman CCTV sewaktu Ahmad Sarbani disoalsiasat? Itu perlu diberikan penekanan di peringkat awal siasatan.

MUSTAHIL samasekali CCTV terhenti atau tidak berfunsi di dalam keadaan itu sedangkan CCTV dapat merakam ketibaan Ahmad Sarbani di pejabat SPRM dengan menaiki motorsikal sebelumnya. Ini bererti pihak orang dalam SPRM atau PDRM yang menyiasat TELAH menghapuskan rakaman CCTV berkenaan.


JUSTERU ITU, rakyat berpersepsi bahawa Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan. Tiada alasan lain lagi selepas ini. Jika sebelum ini pihak kerajaan menyatakan bahawa inkues perlu diadakan terlebih dahulu sebelum Suruhanjaya Siasatan, maka kini keputusan koroner itu amat tidak memuaskan kerana seperti menutup kepincangan di dalam SPRM seperti yang berlaku di dalam kes Teoh Beng Hock. Justeru itu Suruhanjaya Siasatan perlu ditubuhkan untuk membongkar misteri sebenar kematian ALlahyarham Ahmad Sarbaini.


Kampuchea Larang Rakyatnya Bekerja Sebagai Amah Di Malaysia

Kerajaan Kampuchea mengeluarkan larangan pada warga negaranya bekerja sebagai amah di Malaysia. Perdana Menteri Kamboja Hun Sen mengeluarkan arahan tersebut setelah terdapat laporan penderaan dan pemerkosaan atas pekerja dari Kamboja di negara ini.

Langkah Kampuchea ini mengikuti langkah Indonesia yang telah membekukan pengiriman tenaga kerja untuk bekerja sebagai amah di Malaysia.

"Saya mengucapkan tahniah kepada perdana menteri atas pembekuan ini," kata ahli parlimen pembangkang dari Parti Sam Rainsy kepada Reuters.

Sebuah badan sukarela masyarakat Kampuchea yang berkait rapat dengan para pekerja Kampuchea di Malaysia mendedahkan tiga orang pekerja amah Kampuchea telah dibunuh di Malaysia dan dua orang lain diperkosa.

Indonesia telah melarang penduduknya bekerja sebagai amah di Malaysia pada 2009 selepas beberapa kejadian penderaan yang dilakukan oleh majikan di Malaysia, yang telah menyebabkan demonstrasi anti-Malaysia di Jakarta.

Malaysia selama ini bergantung pada pekerja migran yang mencapai dua juta orang atau 21 peratus dari jumlah tenaga kerja dari Indonesia. Indonesia merupakan sumber terbesar tenaga kerja migran Malaysia, di mana seorang dari 16 warga Malaysia mengupah satu warga Indonesia.

Kampuchea pula memiliki 50 ribu tenaga kerja di Malaysia. An Bunhak, Presiden Pertubuhan Agensi Rekrutmen Kampuchea menyatakan pihaknya akan segera melaksanakan arahan Perdana Menteri itu. -thesun

Ulasan GB

Ini sebahagiannya menyentuh kes "menteri rogol amah" juga.

Beritanya telah tersebar di seluruh dunia. Sekalipun kononnya ada penafian daripada mangsa bahawa dia dirogol, tetapi ia bukan dari mulut amah itu sendiri. Ia hanya secebis tulisan di atas kertas yang belum lagi disahkan kebenarannya yang tersiar di sebuah akhbar Indonesia.

Menteri berkenaan pula tidak menyaman Migrant Care yang tetap dengan pendiriannya dan tidak menarik balik tuduhannya bahawa amah Indonesia itu dirogol.

Demi kebenaran dan keadilan, menteri itu sepatutnya menyaman Migrant Care jika tuduhan itu palsu dan fitnah ke atas dirinya.

Rakyat Menderita, Harga Barang Keperluan Naik

Harga rata-rata barangan keperluan harian di seluruh negara terutama daging pejal tempatan dan cili merah selain sayuran tertentu meningkat dengan peniaga memberikan alasan terpaksa mengikut harga ditetapkan pemborong yang mendakwa ia berpunca cuaca tidak menentu serta banjir besar di Thailand.

Tinjauan di Pasar Selayang dan Chow Kit mendapati harga daging lembu tempatan dijual RM22 sekilogram (kg), salad antara RM6.50 hingga RM7 1kg, tomato RM5 berbanding RM3 minggu lalu dan santan asli RM9, tetapi harga sesetengah barangan seperti ayam, ikan dan bawang menurun.

Di MELAKA, tinjauan di Pasar Besar Melaka mendapati harga daging lembu, ikan kembung dan ikan merah naik antara RM1 hingga RM4 manakala cili merah sehingga RM18 berbanding RM10 sebelum Bajet 2012. Daging lembu segar dijual RM20 1kg berbanding RM19 harga lama.

Harga hasil laut termasuk ikan kembung pada RM12 berbanding RM10 sebelum ini dan ikan merah sehingga RM24 berbanding RM20, tapi harga ayam turun kepada RM8.30 sejak dua hari lalu berbanding RM8.70 sebelum itu, manakala cili padi akar (hijau) melambung RM13 berbanding RM7.

Di SHAH ALAM, peniaga sayur, Suhaimi Mahat, 53, berkata cuaca tidak menentu sejak dua minggu lalu menyebabkan harga cili merah naik kepada RM18, manakala sayur berdaun sebelum ini dijual RM2 meningkat kepada RM4.

Di KUALA TERENGGANU, harga sayur dan daging terus melambung sejak sebulan lalu dan semakin naik selepas pembentangan Bajet 2012, antaranya sawi kini RM4.50 berbanding RM2.50 hingga RM3 sebulan lalu, cili besar RM14 berbanding RM7, cili kecil RM12 dan daging naik kepada RM20 berbanding RM18.
Di KUCHING, ayam proses sebelum ini RM7.50 kini dijual antara RM8.50 hingga RM9 malah difahamkan di Kapit yang terletak di tengah Sarawak, ia dijual sehingga RM11.50 dan bawang merah pula yang sebelum ini dijual RM6 1kg naik RM1.

Di KOTA KINABALU, Timbalan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Roslee Hamid, berkata secara keseluruhannya tiada kenaikan ketara harga barangan keperluan di Sabah khususnya di ibu negeri, tetapi pihaknya ada menerima aduan kenaikan harga ayam di Kota Belud dan Papar.

Tinjauan di Pasar Besar Kota Kinabalu mendapati daging tempatan dijual RM22 1kg manakala ayam super RM9.50 dan ayam dada serta paha RM10. Kobis pula dijual RM2.50 manakala cili merah antara RM8 hingga RM9 dan bawang merah RM6.

Di JOHOR BAHRU, tinjauan di pasar @Mart mendapati harga barangan basah termasuk ikan dan ayam serta sayur-sayuran naik ketara terutama cili merah dijual sehingga RM19.90 1kg berbanding Sekitar RM5 sebelum Bajet 2012 dengan alasan musim tengkujuh dan banjir di Thailand.

Peniaga ikan, Sapri Ali Junaidi, 25, berkata harga ikan kembung naik RM7.50 1kg berbanding RM4.50 sebelumnya manakala harga sotong meningkat kepada RM14 berbanding RM7, manakala sayur-sayuran meningkat dua hingga tiga kali ganda, antaranya sawi RM4.50 1kg berbanding RM2.50 sebelumnya dan cili merah sehingga RM19.90.

Di SEREMBAN, peniaga di Pasar Awam Rasah Jaya, mengakui terpaksa menaikkan harga beberapa barangan disebabkan pemborong menjual lebih mahal. Pada 7 Oktober lalu, kembung hitam dijual RM10 1kg manakala semalam harganya meningkat RM13, kobis bulat tempatan RM4 (RM5), cili merah Kulai RM14 (RM18) dan tomato RM3.50 (RM5).

Di GEORGETOWN, harga daging tempatan dan sayur di kebanyakan pasar dan kedai runcit di Pulau Pinang meningkat satu hingga dua kali ganda selepas Bajet 2012 dibentangkan. Tinjauan di Pasar Chowrasta mendapati harga cili merah naik kepada RM16 1kg berbanding RM8 sebelum ini.

Di KUANTAN, Unit Pemantau Harga, Pejabat KPDNKK negeri mendapati harga ayam standard RM9.50 1kg berbanding RM8.50 sebelum bajet, manakala cili merah naik daripada RM17 kepada RM20 dan tomato RM6 berbanding RM3. sayuran lain seperti kacang panjang, buncis, sawi, salad, kailan dan petola turut mengalami kenaikan harga 10 hingga 50 sen.

Di KOTA BHARU, tinjauan di Pasar Tani Wakaf Che Yeh mendapati barangan keperluan utama seperti daging, ayam serta barangan dapur kekal pada harga lama. Penjual daging, Ahmad Noh, 45, berkata daging dijual RM18 1kg tanpa sebarang kenaikan sejak Aidilfitri lalu, manakala ayam RM7.80 daripada antara RM8.20 hingga RM8.30 minggu lalu.

Di IPOH, tinjauan di Pasar Besar Ipoh mendapati kenaikan harga cili merah agak mendadak sehingga hampir sekali ganda berbanding minggu lalu daripada RM8 1kg kepada RM15, manakala cili padi daripada RM8 kepada RM12 dan cili hijau daripada RM6 kepada RM10 1kg. -bh

Ulasan GB

Pemberian one-off belum pun diterima, kenaikan gaji penjawat awam belum pun dilaksana, harga barang telah pun naik.

GB sudah ulas di SINI. Petikan:

Kerajaan BN dicabar jika benar kerajaan mampu untuk melaksanakan Belanjawan 2012 yang lavish dan pemberian "one off" yang keterlaluan sepertimana yang dibentangkan semalam kerajaan perlu jamin bahawa TIADA kenaikan harga minyak dan barang keperluan selepas ini.

Ramai penganalisa berpendapat bahawa pembentangan belanjawan sebanyak RM232.8 bilion semalam terlalu bermotifkan pilihanraya disamping tidak menjelaskan secara telus sumber mana peruntukan yang bakal diperolehi bagi membiayai dan ini menimbulkan keresahan rakyat marhain dimana diramalkan kerajaan bakal menaikkan harga minyak dan menghapuskan subsidi barang keperluan sepertimana yang dilakukan sebelum ini.

Adalah dijangkakan harga minyak petrol dan diesel serta "pelarasan subsidi" barang keperluan seperti beras, gula, minak masak, tepung dan lain-lain bakal dilakukan jika kerajaan memenangan pilihanraya ke 13 nanti bagi melaksanakan semua janji-janji ditunaikan.


Lagi Kes Rogol Di Dungun:, Gadis Tkn 1 Dirogol Beberapa Remaja Lelaki

Gong Pasir - Seorang pelajar sekolah menengah terpaksa melalui detik hitam apabila dirogol secara bergilir-gilir oleh sekumpulan lelaki di sebuah rumah di Kampung Alor Mak Bah, malam kelmarin. Gambar Fail.

Peristiwa yang meragut mahkota berharga seorang gadis berusia 13 tahun itu dipercayai berlaku setelah mangsa yang merupakan pelajar salah sebuah sekolah menengah berdekatan dibawa sekumpulan lelaki ke sebuah rumah kosong sebelum dirogol oleh beberapa remaja lelaki.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar rumah kira-kira jam 8.15 malam untuk membeli air minuman dan ubat di sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya.

Bagaimanapun, selepas kesucian gadis remaja yang sedang menuntut di tingkatan satu dinodai oleh sekumpulan remaja lelaki bernafsu syaitan terbabit, mangsa dikatakan ditinggalkan di sebuah pondok di tepi jalan dekat Nibong sebelum ditemui penduduk kampung yang bertindak menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan gadis berasal dari Gong Pasir itu.

Berikutan laporan yang diterima di Balai Polis Dungun berkaitan kejadian terbabit, polis melancarkan gerakan memburu suspek disyaki.

Hasilnya, lima suspek berusia antara 19 hingga 22 tahun ditahan dalam lima serbuan berasingan di Kampung Alor Mak Bah kerana disyaki terlibat merogol pelajar yang difahamkan bersekolah di Sekolah Menengah Balai Besar itu.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan itu dan kesemua suspek kini ditahan reman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan. -SH

Kes Bunuh Kartini: Inspektor Polis Direman

Keningau: Seorang inspektor polis yang mendakwa ditikam bertubi-tubi ketika cuba ‘menyelamatkan’ kenalan wanitanya yang kemudian mati dibunuh dalam kejadian di Taman Andika di sini, 28 September lalu, direman bagi membantu siasatan selepas dipercayai menjadi suspek utama kes berkenaan.

Pegawai berusia 29 tahun yang belum pulih daripada kecederaan akibat kejadian itu dilihat berjalan menggunakan tongkat diiringi beberapa anggota polis selepas Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zaini Fishir @ Fisal, memerintahkan dia direman tujuh hari bagi membantu siasatan, kelmarin.

Penahanan pegawai terbabit memang mengejutkan kerana sebelum ini pelbagai pihak mahu pihak berkuasa menyiasat kejadian itu dengan lebih telus selepas wujud pelbagai spekulasi mengenai pembunuhan kejam mangsa, Kartini Borhan, 27.

Suspek ditahan jam 11 pagi di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Pegawai terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Difahamkan, pada hari kejadian, pegawai polis berkenaan menghubungi dua anggotanya di Balai Polis Keningau, jam 5 pagi untuk meminta bantuan.

Inspektor berkenaan yang berada dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya mendakwa meminta bantuan anggota polis berkenaan menyelamatkan seorang wanita yang cedera dirompak.

Suspek kemudian mengarahkan kedua-dua anggota itu menaiki keretanya lalu berkejar ke tempat kejadian di Taman Andika, 800 meter dari IPD Keningau.

Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis itu mendapati pintu pagar dan rumah berkenaan terbuka, manakala seorang wanita terbaring berlumuran darah di ruang tamu.

Anggota berkenaan terus mengangkat wanita terbabit ke dalam kereta milik suspek lalu menghantarnya ke Hospital Keningau, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Harian Metro pada 30 September lalu melaporkan, pegawai polis terbabit mendakwa membantu kenalan wanita selepas rumah didiami mangsa dimasuki perompak.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi, ‘suspek’ berusia 30-an melarikan diri selepas mendapati mangsa tidak bergerak lagi, manakala pegawai polis berusia 29 tahun parah di kaki, bahu dan belakang tubuhnya.

Difahamkan, pegawai polis itu menerima panggilan telefon daripada mangsa yang meminta bantuan apabila mendapati pintu rumahnya diumpil suspek.

Berikutan itu, pegawai polis berkenaan bergegas ke rumah kenalannya itu dan sebaik tiba, dia mendapati pintu rumah mangsa sudah terbuka luas.

Sebaik memasuki rumah terbabit, dia mendapati mangsa sedang bergelut dengan seorang lelaki tidak dikenali yang turut memegang sebilah pisau.

Dalam keadaan kelam-kabut, pegawai polis berkenaan cuba membantu, namun turut ditikam beberapa kali.

Selepas mencederakan pegawai polis terbabit, suspek dilihat menikam wanita berkenaan sehingga mati lalu melarikan diri.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengesahkan penahanan itu dan menyatakan tiada layanan istimewa diberikan walaupun suspek adalah seorang pegawai polis. -hm



Laporan Sebelum Ini

DEDAHKAN SIASATAN KES BUNUH KARTINI

Oleh : HAJI HAMZAH ABDULLAH

PAS Sabah merakamkan ucapan takziah kepada ibubapa serta keluarga Almarhumah Kartini Borhan, serta turut bersimpati di atas kehilangan anak yang dikasihi berpunca daripada kes bunuh yang tidak berperikemanusiaan, yang hanya tergamak dilakukan oleh puak yang telah jauh tersesat daripada hidayah Allah.

PAS Sabah berdoa semoga roh Almarhumah ditempatkan di kalangan roh-roh mereka yang mendapat rahmat serta keampunan dari Allah s.w.t dan menyeru keluarga Almarhumah supaya bersabar dalam menghadapi ujian yang amat getir ini.

Kes bunuh secara kejam yang dilakukan ke atas Kartini adalah rentetan daripada beberapa kes-kes bunuh secara misteri bermula seawal tragedi menimpa Mustakizah, Norietta dan tentunya banyak lagi.

Dalam semua kes bunuh secara kejam yang dilakukan oleh syaitan bertopengkan manusia ini mencapai kemuncaknya dengan letupan menggunakan bom C4 ke atas seorang model Monggolia, Altantuya Shaaribu.

Mengamati berita yang terpampang di dada akhbar tempatan pada 30 September lalu berkaitan kes bunuh ini, saya sendiri terpaksa membaca berulang kali dan cuba memahami jalan cerita yang ditulis oleh pemberita akhbar berkenaan.

Saya terkesan semacam ada sesuatu yang cuba diselindung, sehingga jalan cerita yang disiarkan berita yang saya baca memang tidak masuk akal. Akhirnya, keraguan saya tentang kesahihan berita tersebut terlerai apabila Sabahkini.net mendedahkan beberapa penemuan yang ada hubungkait dengan pembunuhan ke atas Kartini dilakukan oleh orang yang telah didedahkan oleh ayah Almarhumah Kartini dalam laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Keningau.

PDRM sering mecanangkan kepada rakyat, bahawa tahap kecekapan menyelesaikan kes-kes jenayah di negara ini adalah antara yang terbaik di dunia. Kita mengakui fakta ini kerana banyak kes-kes jenayah, sama ada melibatkan jenayah perdagangan seperti penangkapan beberapa warga Taiwan dan China baru-baru ini; termasuk kes memalsukan kad-kad kredit, serta kes bunuh yang dilakukan di sesuatu negeri tetapi pelakunya berjaya ditangkap di negeri lain.

Kita kagumi kehebatan PDRM dan menghargai jasa serta komitmen institusi keselamatan negara yang dianggotai oleh anggota professional dan berpengalaman. Tetapi, dalam kes melibatkan pembunuhan Kartini Borhan, saya pasti ramai daripada kita meragui kecekapan pihak polis, khususnya pasukan polis Daerah Keningau.

Bolehkah diterima akal yang rasional bahawa Inspektor Ahmad Rizal Omar yang kononnya dimaklumkan melalui telefon bimbit bahawa Kartini untuk meminta bantuan beliau, terpaksa bergelut dengan penceroboh yang dikatakan mempunyai pisau serta benda tajam sehingga mencederakan beliau?

Boleh tolong jawab secara jujur, apakah polis berpangkat Inspektor tidak dibekalkan dengan pistol? Kemudian, adakah boleh diterima logik akal bahawa Inspektor Ahmad Rizal mampu datang dengan sekelip mata sahaja ke rumah Kartini setelah mendapat panggilan daripada Kartini, serta terserampak pula dengan penceroboh yang sedang menikam Kartini dan kemudiannya menikam Inspektor Ahmad Rizal beberapa kali? Bolehkah diterima teori ini oleh akal yang waras? Jawapan semua ini hanya ada pada PDRM Keningau dan IPK Negeri Sabah.

Bagi pihak rakyat yang cintakan keadilan dan ketelusan, seiring dengan iltizam yang kononnya mahu merealisasikan urus tadbir yang baik (Good Governance) oleh Kerajaan 1Malaysia yang diterajui Najib, PAS Sabah menuntut agar melakukan Inkues dan hasil siasatan kes pembunuhan kejam ini didedahkan kepada umum; serta pelakunya didakwa di mahkamah.

PAS Sabah juga mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu yang sering menyalahgunakan kuasa mereka, bahawa setiap perilaku jahat, kezaliman dan penganiayaan yang ditimpakan keatas makhluk Allah, akan pasti mendapat balasan yang setimpal, baik didunia mahupun diakhirat.

Ingatlah akan firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar-balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan.” (an-Nisa:135)

(NOTA : Hj. Hamzah Hj. Abdullah merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah) -sabahkini


Bayi Baru Lahir Disumbat Dalam Pam Tandas

Chukai: Gelagat pelik seorang wanita selepas keluar dari tandas yang disedari rakan sebiliknya membawa kepada penemuan seorang bayi baru lahir dan disorokkan dalam pam tandas di sebuah rumah sewa di bandar ini, jam 4 pagi, semalam.

DI SINI...Ina menunjukkan tangki pam air tandas tempat bayi itu disembunyikan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, bayi lelaki seberat dua kilogram itu ditemui masih hidup tetapi dalam keadaan kebiru-biruan dan lemah dipercayai akibat terlalu lama berada dalam tangki itu. Menurutnya, ketika ditemui bayi itu masih bertali pusat dan mengalami sedikit kecederaan pada badan.

“Polis menahan seorang wanita berusia 23 tahun di wad Hospital Kemaman yang dipercayai melahirkan bayi itu dan menyorokkannya di dalam tangki air pam tandas rumah sewa itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, rakan serumah suspek mengesyaki sesuatu tidak kena pada gadis itu yang kelihatan tidak bermaya selepas keluar dari tandas di rumah sewa mereka.

Katanya, suspek pada mulanya enggan menceritakan kejadian itu tetapi selepas didesak rakan sebilik yang juga pengadu, akhirnya dia mendedahkan melahirkan bayi di dalam tandas.

“Rakan sebilik mangsa bergegas membawa bayi itu yang dalam keadaan lemah dan kesejukan ke Hospital Kemaman untuk diberikan rawatan kecemasan. “Pemeriksaan doktor mendapati bayi itu cedera di bahagian muka dan kesejukan selain kebiruan pada seluruh badan. Bagaimanapun bayi terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya.

Abdullah Sani berkata, pihaknya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara itu, rakan sebilik suspek yang dikenali sebagai Ina berkata, pada mulanya suspek mengadu sakit perut dan ingin ke tandas rumah sewa itu untuk membuang air besar.

“Selepas berada terlalu lama dalam tandas, dia akhirnya keluar dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan sebelum berbaring di atas katilnya.

“Saya terkejut apabila melihat ada kesan darah pada lantai rumah lalu mengesyaki sesuatu sebelum mendesak rakan itu menceritakan apa yang berlaku dan diberitahu dia melahirkan seorang bayi di dalam tandas,” katanya.

Dia kemudian bergegas ke tandas dan menemui bayi itu yang kesejukan dalam tangki air pam tandas.

“Selepas menemui bayi itu, saya dapati ada sedikit kecederaan pada mukanya dan badan kebiruan akibat kesejukan sebelum membawanya ke Hospital Kemaman untuk rawatan,” katanya. -hm

Sejarah Tercipta: Sultan Kedah Dipilih Menjadi Yang di-Pertuan Agong Kali Ke 2

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya pada Jumaat bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun, demikian lapor Bernama.

Gambar: Kiri, Sultan kedah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru sementara Sultan Kelantan (sebelah kanan) sebagai Timbalan Yang di-Petuan Agong

Sementara, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ini adalah kali kedua, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong dan merupakan satu sejarah di negara ini kerana sebelum ini belum ada seorang sultan terpilih menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.

Kali pertama Sultan Andul Halim menjadi Yang di-Pertuan Agong ialah pada 1970-1975 iaitu Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang kelima.

Baginda diputerakan di Alor Setar, Kedah dan pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelima dari 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan juga merupakan Sultan Kedah yang ke-27.

Baginda diputerakan sebagai Tunku Abdul Halim, baginda merupakan anak kedua Tunku Badlishah, yang kemudian menjadi Raja Muda Kedah oleh Tunku Safiah binti Tunku Mahmud.

Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford, dan mewarisi takhta ayahanda baginda pada 1958. Apabila dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970, baginda menyaksikan pertukaran kali pertama ketua kerajaan iaitu apabila ayahanda saudara baginda, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memberikan jawatannya kepada timbalannya Tun Abdul Razak.

Raja-raja berikut pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini:

1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.
2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.
3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000
4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979
5. Tuanku Al-Mutassimu Billahi Muhibbudin Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975
6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979
7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984
8. Baginda Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010
9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah Ghafarullahu-lahu dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994
10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009
11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001
12. Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006
13. Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-2011

Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan sistem penggiliran ketua negara.

Sistem penggiliran hanya diberikan kepada Raja-Raja Melayu dari negeri yang dulunya dikenali Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Negeri Bersekutu terdiri daripada Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang. Manakala Negeri Melayu tidak bersekutu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor. Sementara itu Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak berpeluang walaupun mereka menganggotai Majlis Raja-Raja.

Selepas kitaran pertama sembilan Yang di-Pertuan Agong (1957-1994), aturan menurut Pemerintah negeri adalah menurut kitaran yang telah digunakan sebelum itu, iaitu:

1. Negeri Sembilan
2. Selangor
3. Perlis
4. Terengganu
5. Kedah
6. Kelantan
7. Pahang
8. Johor
9. Perak

Yang di-Pertuan Agong akan melantik sebagai istiadat iaitu Yang di-Pertua Negeri, atau Gabenor, kepada 4 buah negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah and Sarawak.

Kuasa sebagai Raja Berperlembagaan

Perkara 181 (1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa raja terus berkekalan. Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya ialah baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara.

Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting yang lain dalam kerajaan termasuklah:

1. Melantik seorang Perdana Menteri
2. Menangguhkan pembubaran parlimen
3.Meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi tujuan membincangkan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, dan kebesaran raja-raja.

Ulasan GB

Kedua-dua, Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dari negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Itu pun satu sejarah.

Pemerhatian GB: InsyaAllah, Pakatan Rakyat juga bakal menggantikan BN di Putrajaya. Semuga Allah memperkenankan satu lagi sejarah tercipta nanti. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa Dan Maha Pengatur Rencana. Amin.


قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemeintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Surah : Al-i'Imran :26