3 Dis 2009

UMNO Peralatkan JAIS Untuk Jatuhkan Kerajaan Selangor

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Umno-BN memperalatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menggugat kerajaan negeri.

Khalid mendakwa kes tauliah agamanya yang ditarik balik oleh pihak Jais adalah salah-satu dari percaturan Umno untuk membedung pergerakan penceramah sepertinya.

“Hubungan yang begitu rapat dengan UMNO, dia menyalahgunakan kedudukan dia bertindak untuk menyekat pemimpin-pemimpin politik dan pemimpin masyarakat dari PAS, mengadakan program dalam masjidnya,maka tindakan yang seperti itu tidak boleh diterima kerana matlamat di sebalik tauliah adalah menentukan mengenai ajaran sesat” ujarnya.

“Sebenarnya memberikan gambaran bahawa Pengarah JAIS, bertindak atas desakan kepentingan politik, kerana kita tahu bahawa dia sebelum ini adalah pembantu kepada Tan Sri Mat Taib yang merupakan pimpinan UMNO” tambahnya lagi.

Tauliah sementara Khalid yang diperoleh pada 10 Julai 2008 ditarik balik pada 8 Oktober 2008 atas alasan beliau mempunyai rekod jenayah tetapi kemudiannya JAIS mendakwa khutbah yang disampaikan oleh Khalid tidak mantap.

Malah menurut Khalid, JAIS menghantar surat amaran tidak kurang dari lima kali kepada nazir-nazir masjid di Shah Alam untuk tidak menjemput penceramah yang tidak mempunyai tauliah termasuk dirinya.

“Saya meminta supaya mereka menerima hakikat negeri Selangor telah berubah, kerajaan negeri Selangor telah berubah dan seharusnya mereka menghayati dan menjiwai dasar keterbukaan dan budaya ilmu yang ingin dibawa oleh pentadbiran yang baru”.



Pakatan Rakyat Tubuhkan Petugas Anti GST

Pakatan Rakyat menubuhkan Pasukan Petugas Anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk memantau pelan yang akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pakatan Rakyat berpendapat, pengumuman Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bahawa GST bertujuan untuk menambah pendapatan cukai kerajaan sebanyak 1 bilion akan membebankan rakyat.

“Bertolak daripada kenyataan polisi kementerian kewangan itu, Pakatan rakyat telah bersetuju untuk menubuhkan, sebuah pasukan petugas khas, pasukan petugas anti GST yang diwakili oleh ahli-ahli parlimen dari tiga parti Pakatan” ujar ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

GST dicadang oleh kerajaan untuk dilaksanakan pada suku ketiga 2011 dan diramal dapat meraih pendapatan cukai tahunan RM1 bilion selepas setahun dilancarkan.

Bercakap di lobi parlimen, ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkifli Ahmad berkata, pengenalan GST ini secara langsung akan menambahkan bebanan kepada rakyat sementelah pembayaran cukai sebelum ini sudah cukup membuatkan mereka yang berpendapatan rendah tertekan.

“Pada pandangan Pakatan Rakyat, pengenalan GST ini bakal menggantikan sales tax yang telah terlaksana sekian lama ini meninggalkan kesan dan pada pandangan dan telahan kami, kesan dan impak yang khususnya kepada golongan berpendapatan rendah, kesannya boleh dikatakan sebagai parah” ujarnya lagi.

Tanggungjawab petugas anti GST ialah :
1)Kumpulan Anti GST yang terdiri daripada ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat ini akan mengkaji akta sedia ada yang berkaitan dengan Rang Undang-undang.

2)Merformulasi pelan tindakan untuk jangka masa pendek dan panjang.

3)Menyedia dan melengkapkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu GTS

4)Menjalankan sesi sumbang saran dengan rakyat dan memberi kefahaman secara menyeluruh terhadap kesan GST

Pakatan Rakyat juga berpendapat, tujuan kerajaan mewujudkan GTS ini adalah untuk mengaut wang rakyat setelah kutipan cukai hasil minyak dan gas dalam negara berada dalam keadaan kritikal.

Anti GTS ini akan disertai oleh ahli parlimen Machang, Saifudin Nassution, ahli parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, ahli parlimen Kuala Selangor, Dzulkifli Ahmad, ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua dan beberapa yang lain.



BTN : Ahmad Maslan Terus Dikecam

Pendedahan yang makin banyak dibuat oleh orang ramai yang pernah menyertai kursus BTN, betapa ia dipenuhi dengan sentimen yang keji, menempelak penafian yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (TPM) Ahmad Maslan (gambar) yang bertanggungjawab ke atas program BTN.

Turut terkena tempiasnya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi peminpin pertama menafikannya sebaik Selangor mengumumkan pengharaman kakitanga n dan pelajar miliknya menyertai kursus yang penuh dengan unsur perkauman dan memecahbelahkan rakyat.

Beberapa mahasiswa dan orang ramai yang pernah mengikuti program BTN, mengakui apa yang didedahkan oleh Kerajaan Selangor adalah hakikat yang pastinya membuka kesedaran orang ramai akan kejujuran kerajaan yang melaung-laungkan slogan 1 Malaysia.

‘Kami ditunjukkan gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama seorang rakyat Amerika. Jurulatih memberitahu kami yang beliau seorang pengkhianat kepada negara kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan orang Amerika’.

Itulah antara isu-isu yang dibangkitkan sewaktu program pembinaan negara dijalankan oleh Biro Tatanegara (BTN), yang pernah diikuti seorang pelajar tahun empat jurusan ekonomi, Fakhrul Zaki Fazial seperti dilaporkan dalam Malaysiakini.

Penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, fokus kursus tersebut adalah mengenai bangsa Melayu tetapi apa yang diajarkan ialah mengkritik pembangkang dan menganggap kritikan mereka sebagai patriotik.

Ketua pelajar Universiti Malaya, Mohd Ridzuan Mohammad, pula berkata terdapat ceramah yang mendakwa bahawa kaum lain menjadi ancaman kepada orang Melayu.

Menurutnya, yang pernah menghadiri program BTN pada 2004, tidak seharusnya mereka membangkitkan sentimen perkauman yang akan mencetuskan perpecahan kaum.

“Ini kerana program tersebut boleh mempengaruhi sesetengah pelajar yang hadir berhubung ideologi perkauman tersebut,” katanya.

Chin Shin Liang, seorang bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang pernah menghadiri program BTN pada Disember 2008, turut berkongsi pengalamannya.

“Kami ditunjukkan klip video perhimpunan Bersih dan kemudian gambar negara Palestin yang dilanda perang dengan keterangannya: Apakah ini yang kita mahukan?… Kita juga ditunjukkan seorang pemprotes (tidak dikenalpasti) membaling batu,” katanya

Twrdahulu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai yang menyertai program Biro Tatanegara pada tahun 2004 menceritakan pengalamannya yang menyifatkan betapa kejinya taktik kerajaan Umno-Barisan Nasional menanam kebencian melalui biro itu.

Beliau turut menceritakan pengalaman diarah memberi kuliah subuh berdasarkan teks yang telah dirangka oleh pihak BTN.

Kandungan teks tersebut menjelaskan bahawa penangkapan tanpa bicara dan penyeksaan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah halal di sisi Islam.
Apa yang dijamah oleh peserta-peserta BTN adalah cerpen yang mendakwa parti-parti pembangkang adalah ekstrem dan kolot.

Nik Nazmi menjelaskan beliau tidak menafikan bahawa perlu ada program kenegaraan untuk mahasiswa namun perkara yang dikesalkan beliau adalah modul politik sempit dan kebencian yang ditawarkan kepada peserta.

“Kita tidak menafikan bahawa kita boleh adakan program kenegaraan, bahawa kita perlu tahu sejarah, kita perlu tahu masalah-masalah yang membebani masyarakat kita pada hari ini. Tetapi ia harus dibuat dengan suasana yang lebih terbuka, kurang partisan,” katanya.

Beliau menambah, unsur kepartian tidak harus dicampuradukkan dengan program BTN yang menjadi salah satu syarat kepada pegawai kerajaan dan pemegang biasiswa.

Beliau turut mencadangkan kajian perlu dibuat secara lebih intensif dengan menubuhkan suruhanjaya diraja yang terdiri daripada ahli akademik untuk memantau modul program BTN supaya kembali ke matlamat asal.

Isu BTN menjadi fokus dan menimbulkaan kekecohan selepas Selangor diikuti Pulau Pinang mengharamkan pegawai kerajaan negeri dan pelajar universiti menyertai kursus berkenaan kerana kurikulum yang diunjurkan boleh memecahbelahkan rakyat.

Sebelum ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan kursus BTN dirombak untuk memastikan ia tidak menggugat perpaduan kaum dan selaras dengan konsep 1Malaysia yang dibawanya.
Minggu lalu, Muhyiddin menafikan kurikulum program BTN tidak langsung berbau perkauman.

Namun dua kenyataan yang bercanggah di antara sama lain telah dibuat oleh Ahmad Maslan yang menyatakan ia tidak dirombak manakala Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin mendakwa cadangan merombak modul dan pendekatan BTN sudah lama dibincang.

Ahmad Maslan mendakwa kurikulum BTN tidak dirombak, sebaliknya dibaikpulih sedikit.
Belaiau mendakwa Nazri tidak bermaksud dirombak, sebaliknha diperbaiki.

Khaled pula mendakwa keputusan untuk merombak kurikulum BTN bukan disebabkan kerajaan akur dengan desakan pembangkang.

“Perkara itu berlaku secara kebetulan kerana kabinet sebelum ini pernah membincangkan cadangan untuk merombak kurikulum kursus berkenaan agar selari dengan peredaran masa, ” katanya. -fmt

Siapakah Dia Setiausaha Politik Yang Disiasat SPRM?

Seorang setiausaha politik menteri kanan daripada UMNO di Jabatan Perdana Menteri yang dikatakan telah mengumpul berjuta-juta ringgit dalam masa yang singkat sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, penyiasat kes tersebut pernah mendapat perintah bagi merampas dan membekukan beberapa harta miliknya termasuk kereta mewah dan rumah selain akaun bank yang telah pun dibekukan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Menurut sumber, senarai rampasan harta tersebut termasuklah sekurang-kurangnya empat buah kereta mewah dan empat buah rumah dipercayai kepunyaan setiausaha politik yang berumur lewat 30-an itu.

Suruhanjaya tersebut sedang menyiasat pembelian hartanya di kawasan Lembah Klang yang dikatakan diperolehi dari wang sogokan daripada kelulusan beberapa projek yang bernilai jutaan ringgit.

Difahamkan, beberapa rampasan adalah di bawah nama setiausaha politik itu dan penyiasat akan memanggil nama-nama lain yang telah didaftarkan sebagai pemilik. Sumber juga berkata, pegawai penyiasat telah pun mengenal pasti beberapa individu lain yang turut terlibat dengan kes tersebut dan juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Sebuah pasukan khas daripada suruhanjaya di Putrajaya juga telah pun memulakan siasatan kira-kira tiga minggu lalu berikutan maklumat yang mengatakan dia menjalani kehidupan mewah melebihi kemampuannya.

Difahamkan bahawa siasatan terhadap setiausaha politik tersebut dikategorikan antara kes berprofil tinggi.

Sehingga kini, suruhanjaya masih lagi meneruskan siasatan berdasarkan laporan dan maklumat yang telah diberikan oleh orang ramai. Pegawai suruhanjaya enggan mengulas tentang perkara ini ketika dihubungi.

Azhar Takut Untuk Tonton Semula Video Tunjuk Punggung

Datuk Azhar, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau sekali lagi digantung daripada menghadiri persidangan dewan itu selepas enggan memohon maaf berhubung tuduhan menunjukkan punggung kepada Sim Tze Tzin (DAP-Pantai Jerjak) semalam.

Azhar (BN-Penaga) dituduh melakukan perbuatan itu ketika hendak keluar dewan setelah Timbalan Speaker Tan Hock Leong mengarahkan beliau keluar kerana enggan menarik balik istilah "dua tiga kerat" semasa membahaskan Bajet 2010 semalam.

"Ini satu lagi konspirasi kerajaan Pakatan Rakyat untuk menutup mulut saya daripada terus mengkritik pentadbiran mereka. Saya cuma membongkok untuk ambil beg kerana beg saya berada di bawah, takkan pula saya nak lambung guna kaki dan tangkap, tapi dituduh menunjukkan punggung pula.

Abdul Halim juga mempelawa Azhar untuk menonton tayangan video kejadian semalam namun Azhar enggan.

Sebagai membanding petikan berita di Bernama di atas, kita lihat pula laporan berita dari Malaysian Insider.

Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim dari Barisan Nasional digantung dari menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini atas alasan enggan memohon maaf terhadap tindakannya “menunjukkan punggung”, semalam.

Azhar didakwa menunjukkan isyarat punggung ketika diarah keluar dari DUN pada sesi petang semalam.

"Saya tak tunjuk punggung semalam, cuma tunduk untuk melihat dompet saya. Pagi ini, saya berkata bahawa saya tidak berbuat demikian dan mereka tak boleh terima alasan saya lalu minta saya memohon maaf.

"Saya tak mahu memohon maaf atas perbuatan yang saya tidak buat," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi. -Malaysian Insider


Ulasan GB

Itulah darjat kebinatangan wakil UMNO di dalam DUN atau Parlimen.

Menunjukkan punggung kemudian berhelah menyatakan mengambil bag (versi Bernama) dan melihat dompet (Malaysian Insider) sudah cukup untuk menjelaskan pembohongan ADUN UMNO BN berkenaan.

GB teringat di satu masa kes Menteri Besar Pahang yang menunjukkan isyarat lucah tetapi menipu menyatakan bahawa beliau tak tunjukkan isyarat lucah tetapi sekadar mengangkat tangannya kerana dikatakannya terseliuh.

Itulah jenis wakil rakyat UMNO yang ada kini. Melakukan perbuatan-perbuatan yang tersangat tidak berdisiplin dan berakhlak. Tetapi kemudian mencipta alasan-alasan untuk melepaskan diri mereka.

Doa Turun Bala Sebagai Satu Peringatan

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyokong tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendoakan kemusnahan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jika Kerajaan Pusat tidak memberi royalti minyak.

Katanya, tindakan Mursyidul Am itu sebagai ‘ancaman’ kepada pihak yang menzalimi Kerajaan Negeri supaya bertaubat.

“Saya menyokong tindakan Tok Guru Nik Abdul Aziz, tetapi harus diingat doa itu akan hanya dilaksanakan jika Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus berdolak-dalik mengenai isu tersebut,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Khalid berkata, kerajaan selama ini cuba menyembunyikan fakta sebenar dalam isu royalti minyak dan tidak timbul isu pemberian wang ihsan kerana ia wujud setelah penubuhan Akta Petroleum 1974.

“Tidak ada istilah wang ihsan untuk Kelantan kerana ia hanya diwujudkan di Terengganu pada 2001. Jelas pemberian wang ihsan hanya wujud setelah perjanjian royalti minyak ditandatangani pada 1974,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid menafikan beliau menyampaikan ajaran sesat dalam siri ceramahnya dan menyifatkan tindakan pihak berkuasa menarik balik tauliahnya adalah atas pengaruh pihak tertentu.

“Saya layak setelah ditemu duga seorang ustaz. Nazir dan ahli jawatankuasa masjid juga menerima lebih kurang lima surat amaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais) yang melarang menjemput saya untuk memberikan ceramah,” katanya. -SH

Beza Mempelajari Bahasa Al-Quran Dengan Mempelajari Ajaran Al-Quran

Seorang sahabat lama yang kini masih berada di Jeddah di dalam perjalanan pulangnya setelah selesai menunaikan ibadah haji musim ini telah menulis di blognya yang menganjur kita untuk mempelajari "bahasa Al-Quran".

Beliau melihat bahasa Al-Quran menaikkan darjat seseorang, bahasa Al-Ouran memudahkan komunikasi sewaktu berada di bumi Mekah, kebolehan berbahasa Al-Quran telah menyebabkan Malaysia dipuji.

Beliau yang kini bertugas sebagai Ketua Pengarah RTM telah menulis:


Malah dalam sidang media yang diadakan oleh Timbalan Perdana Menteri Kedua Arab Saudi, Putera Naif Abdul Aziz, baru-baru ini, beliau dipilih untuk bertanyakan soalan kerana mampu bertutur bahasa Arab. Soalannya itu menggerakkan hati Putera Naif memuji Malaysia yang mampu menguruskan hajinya dengan baik. Malah Putera Naif meminta agar negara lain mencontohi Malaysia.


Sekadar itu yang dilihat kelebihan mereka yang berkebolehan berbahasa Arab.

Sayangnya, keterpegunan beliau terhenti setakat itu. Ia itu bahasa Arab sebagai alat komunikasi, tetapi melupa dan meninggalkan yang lebih utama : iaitu sekadar menganjurkan mempelajari bahasa Al-Quran, sedangkan melupakan untuk menganjurkan mempelajari isi kandungan Al-Quran supaya ajaran-ajaran di dalamnya diikuti dan dipatuhi.

Itulah yang berlaku. sebuah parti yang dianggotai oleh ramai juga umat Islam di dalamnya iaitu UMNO, tidak dapat memberikan apresiasi yang betul dan tidak dapat meletakkan keutamaan : mempelajari bahasa Al-Qurankah atau mempelajari ayat-ayat Al-Quran sehinggakan wujudlah apa yang dipanggil kulitnya cantik berseri, intinya hampas.

Maka dengan sebab itu di dalam negara kita dianjurkan musabaqah membaca Al-Quran, sedangkan isi kandungan Al-Quran tidak diindahkan, malah dalam banyak masa dan keadaan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran itu sendiri menjadi momokan dan tentangan para pemimpinnya.

Dilagukan Al-Quran dengan sebaik-baik alunan suara, dihadiahkan pemenangnya dengan sebsar-besar piala - sedangkan kehidupan seharian semakin jauh dari ajaran-ajaran Al-Quran itu sendiri.


GB tidak menduga tentang tahap mentaliti orang-orang ternama ini sedangkan Allah dan RasulNya telah "memerintahkan" kita untuk mempelajari isi-kandungan Al-Quran dan mematuhi segala perintah dan larangan yang terkandung di dalamnya.

Namun GB berharap ia sebagai satu permulaan, permulaan untuk menyedari bahawa Al-Quran bukan sekadar bahasanya (bahasa Arab) untuk dipelajari, tetapi yang terlebih penting ialah ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya.

Berikut diperturunkan beberapa potong hadith mengenainya:

1. Daripada Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya”.

( Hadith Riwayat Muslim )

2. Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al Baqarah dan Surah A-li ‘Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”.

( Hadith Riwayat Muslim )

3. Daripada Osman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al Quran dan mengajarnya kepada orang lain”.

( Hadith Riwayat Bukhari )

4. Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. :

“Orang yang membaca Al Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

5. Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

6. Daripada Omar Bin Al Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :

“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al Quran”.

( Hadith Riwayat Muslim )

7. Daripada Ibnu Omar r.a. daripada Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda:

“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al Quran, ia menunaikan ibadat siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

8. Daripada Barra’ dan daripada ‘Azib r.a. telah berkata :

“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad S.A.W. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al Quran”.

( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

9. Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat Al Quran seperti rumah yang roboh”.

(Hadith Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih )

10. Daripada Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda :

“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al Quran: Bacalah, perbaikkilah dan perelokkanlah bacaan Al Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”.

( Hadith Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih )

11. Daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan : Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda:

“Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah S.A.W : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”.

( HadithRiwayat Muslim )

12. Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabda :

“Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al Quran”.

(Hadith Riwayat Muslim )

13. Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian beliau bersabda :

“Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”.

( Hadith Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’ie & Ibnu Majah )

14. Daripada ‘Imran Bin Husain Bahawa beliau lalu di hadapan qari yang sedang membaca Al Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda :

“Barangsiapa yang membaca Al Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al Quran dan mereka berdoa dengannya”.
( Hadith Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan )

15. Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata :

“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.

(Hadith Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih )


Berpeluangkah Kita Membeli Kereta Import Lebih Murah?

Pertanyaan: Lisan

Daripada: YB Puan Teresa Kok Suh Sim

Kawasan: Seputeh

Tarikh: 30.11.2009 (Isnin)

YB Puan Teresa Kok Suh Sim (Seputeh) minta Menteri Perdagangan Antara Bangsa dan Industri menyatakan bilakah Kerajaan akan mengurangkan duti import kenderaan disamakan dengan harga jualan kenderaan di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Apakah rancangan Kerajaan terhadap syarikat PROTON dan kereta buatan Malaysia dalam 3 tahun akan datang?

Jawapan

Tuan Yang DiPertua,

Untuk makluman ahli Yang Berhormat, berkuatkuasa 1 Januari 2010, duti import kenderaan akan dihapuskan sepenuhnya bagi kenderaan yang dimport dari negara-negara ASEAN di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Selain daripada itu, duti import juga akan dikurang atau dihapuskan menerusi Perjanjian-Perjanjuan Perdagangan Bebas (FTA) lain yang sedang dirunding atau yang telah ditandatangani Kerjaan. Menerusi FTA ini, duti import produk-produk automotif akan dikurang atau dihapuskan secara berperingkat-peringkat.

Berhubung dengan harga jualan kenderaan, ia bukan sahaja bergantung kepada kadar cukai seperti duti import, duri eksais dan cukai jualan. Ianya juga dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti harga komponen completely knocked down pack (CKD) import dan tempatan, kadar pertukaran wang asing, kos pengangkutan dan insurans.

Tuan Yang DiPertua,

Berhubung dengan rancangan terhadap syarikat PROTON, di bawah kajian semula Dasar Automotif Negara yang diumumkan pada 28 Oktober 2009 yang lalu, Kerajaan telah menggariskan langkah bagi mewujudkan satu usahasama strategik di antara PROTON dengan syarikat pembuat kenderaan utama dunia (OEM). Langkah ini bertujuan bagi meningkatkan lagi keupayaan dan daya saing jangka panjang PROTON, meluaskan peluang pasaran tempatan dan eksport, meningkatkan penggunaan teknologi tinggi baru dan terkini serta terus menjadi pemangkin kepada pembangunan berterusan di seluruh rantaiaan industri automotif tempatan. -MP Seputeh