7 Sep 2013

Flashmob Harga Minyak Naik: BRIM Kan Ado, Duit Kami Botingkek-tingkek!


.SEREMBAN: Beratus-beratus pengguna jalanraya yang melalui Jalan Seremban–Tampin, ketika menghampiri Ibu Pejabat PKR Negeri Sembilan di Jalan Rahang lewat petang semalam, pada mulanya berasa pelik dengan kain rentang (banner) yang dipegang oleh lebih 10 ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Sembilan.

ialah kerana dikala rakyat mengeluh atas kenaikan harga minyak, badan bukan kerajaan (NGO) ini pula nampak seolah-olah menyokong kenaikan harga minyak.

Namun setelah meneliti sejenak slogan-slogan yang terpapar pada kain rentang tersebut barulah pemandu kenderaan dan pengguna jalanraya yang mula memahami maksud yang tersirat, membunyikan hon kenderaan mereka sebagai tanda sokongan kepada ‘flashmob’ tersebut.

Slogan-slogan yang terpapar dalam kain rentang tersebut ialah seperti ‘Bunyikan hon tanda syukur kepada BN atas kenaikan harga minyak’, ‘Kami sokong harga minyak naik sebab kami isi kereta dan motor guna air’. ‘Terima kasih (kepada Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak kerana naikkan harga minyak’ dan ‘Tahniah penyokong BN, kerana BN menang, harga minyak naik’. Takpoo……BR1M kan adoo

Sebuah kain rentang dalam loghat Negeri Sembilan turut menarik perhatian pengguna jalanraya.

‘Harga minyak naik, takpoo…BR1M kan adoo…duit kami botingkek-tingkek’. Slogan tersebut bermaksud ‘Harga minyak naik, tidak mengapa…BR1M kan ada…duit kami bertingkat-tingkat’ (duit banyak menimbun-nimbun).

Penyelaras Bersama SAMM, Norazizi A Aziz berkata SAMM Negeri Sembilan mengambil pendekatan yang berbeza kali ini jika dibandingkan dengan ‘flashmob’ yang dianjurkan oleh SAMM di negeri-negeri lain.

“Sememangnya kami membantah kenaikan harga minyak ini. Walaubagaimanapun kami membantah dengan memaparkan kain rentang yang menyokong kenaikan ini dalam bentuk ‘sinikal’.

“Kalau diikutkan daripada respon pengguna jalanraya, mereka faham mesej kami dan slogan kami. Sebab itu mereka membunyikan hon bila melalui ‘flashmob’ ini.

“Kami mahu kerajaan mendengar rintihan rakyat di peringkat bawahan yang berpendapatan rendah kerana yang merasai bebanan kenaikan harga minyak ialah rakyat bawahan dan bukannya pemimpin atasan.

“Saya juga menyokong kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bersedia elaun beliau dipotong untuk sama-sama merasai bebanan dan kesulitan yang ditanggung oleh rakyat.

“Pemotongan elaun Menteri Kabinet mampu mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara kerana akan berlaku penjimatan perbelanjaan dana kerajaan.

“Bagaimanapun, saya berharap kenyataan beliau tidak bersifat retorik tetapi saya berharap beliau mempunyai kesungguhan untuk membawa cadangan memotong elaun Menteri dan Timbalan Menteri ke mesyuarat Jemaah Menteri Kabinet pada minggu hadapan.

“Dari situ kita boleh melihat apakah beliau benar-benar mahu merasai keperitan rakyat dan mahu menjimatkan perbelanjaan negara,” jelas Norazizi. -FMT

SUHAKAM Selar Polis Kerana Cabul Hak Asasi Kanak-kanak


Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan terhadap tindakan polis baru-baru ini menemuramah beberapa pelajar SK Seri Pristana tanpa persetujuan dan kehadiran ibu bapa.

Pemangku Pengerusi Suhakam Datuk Khaw Lake Tee berkata pihaknya amat bimbang dengan kegagalan pihak berkuasa sekolah menunaikan tanggungjawab serta kewajiban terhadap pelajar di bawah jagaan mereka dalam mencegah insiden tersebut daripada berlaku.

“Sungguh pun tiada peruntukkan khas di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang memerlukan kehadiran bersama ibu bapa atau penjaga sebelum seseorang kanak-kanak ditemu ramah oleh pihak berkuasa, kami berpendapat tindakan pihak berkenaan telah mencabuli semangat asas Akta Kanak-kanak 2001.

“Seorang kanak-kanak atas sebab kurang matang dari segi fizikal, mental dan emosi, memerlukan pemeliharaan, penjagaan dan bantuan yang khas, serta perlindungan dalam semua keadaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan Akta Kanak-kanak 2001 selari dengan empat prinsip asas Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang mana Malaysia merupakan sebuah negara anggota.

Katanya, prinsip itu termasuk tiada diskriminasi kepada nyawa; kelangsungan, perkembangan serta tumpuan terhadap kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Artikel 5 CRC menekankan keperluan untuk kerajaan menghormati hak dan tanggungjawab ibu bapa untuk memberi arah tuju dan panduan yang bersesuaian kepada anak dengan cara yang selaras dengan keupayaan perkembangan mereka.

“Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Keadilan dalam Hal-Hal berkenaan Mangsa dan Saksi Kanak-kanak bagi Jenayah juga menekankan keperluan untuk menguruskan mangsa dan saksi jenayah secara berhati-hati seperti mana yang terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak.

“Suruhanjaya menggesa pihak polis dan semua sekolah supaya bertindak dan menegakkan sepanjang masa dasar kepentingan terbaik kepada kanak-kanak dan memastikan bahawa tindakan sedemikian tidak berlaku pada masa hadapan.

“Sekiranya wujud sebarang keperluan untuk menyoal kanak-kanak, temuramah tersebut harus dijalankan atas persetujuan dan dengan kehadiran ibu bapa serta menerusi satu kaedah yang 'sensitif terhadap kanak-kanak' oleh pihak terlatih secara profesional,” katanya.

Suhakam turut mengesyorkan kerajaan mengkaji amalan temuramah polis ke atas pelajar yang bersesuaian di samping mempertimbangkan untuk menggubal undang-undang bersesuaian sementara mengeluarkan panduan yang bersesuaian untuk menangani isu ini.

The Malaysian Insider melaporkan hujung bulan lalu, pihak polis mengakui dakwaan beberapa pelajar SK Seri Pristana yang mengatakan mereka disoal-siasat dalam kontroversi makan di dalam bilik persalinan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang berkata pelajar tersebut "disoal berdasarkan secara temuduga".

Junaidi berkata pihak polis telah diberikan kebenaran oleh guru besar sebelum memasuki ke kawasan sekolah.

Temuduga dengan enam pelajar tersebut berjalan di dalam kelas yang telah disediakan oleh guru besar sekolah, menurut Junaidi.

Sebelum ini, Junaidi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbeza apabila menafikan telah menyoal pelajar terbabit.

Beliau memberi alasan pihak polis tidak mampu untuk menghubungi semua penjaga tersebut untuk meminta kebenaran sekiranya mahu menemuduga.

Dalam satu sidang media, beberapa penjaga mendakwa anak mereka mengalami trauma selepas disoal pihak polis.

Penjaga kepada pelajar mendakwa sesi temuduga tersebut berjalan tanpa pengetahuan mereka.

Selain itu, mereka juga mendakwa seorang individu tidak dikenali yang diiringi pengetua Mohd Nasir Mohd Noor telah mengambil gambar beberapa pelajar di mana penjaga mereka bertanggungjawab mendedahkan kontroversi makan di bilik persalinan tersebut.

Insiden tersebut menyebabkan penjaga, V. Kumancan dituduh mengancam guru besar terbabit, namun beliau telah menafikannya.

Kumancan, 31, kemudiannya telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan, namun dijangka akan didakwa atas tuduhan mengancam.

Susulan penahanan tersebut, penjaga kepada sekurang-kurangnya 10 pelajar berkata mereka akan menukarkan anak mereka ke sekolah lain dari Seri Pristana. -TMI

Perlantikan Zahriain: "Macam Tak Ada Orang Lain"


Pengerusi PR Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyifatkan Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Kamalia Ibrahim (Bekas Naib Ketua Wanita Umno) lebih berwibawa untuk menggalas tugas sebagai duta Malaysia ke Indonesia berbanding Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Dalam laman Twitternya semalam, beliau berkata, ramai lagi calon yang lebih sesuai untuk mengisi jawatan berkenaan berbanding Zahrain.

“Tanya saya siapa lebih layak jadi duta kita ke Indonesia, Datuk Saifuddin Abdullah (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) lebih wibawa ataupun Datuk Kamalia Ibrahim (bekas Naib Ketua Wanita Umno), sekurang-kurangnya ada prinsip,” katanya ketika menjawab pertanyaan orang ramai berhubung siapa yang sepatutnya layak menjadi duta.

Zahrain, bekas ahli Umno, menyertai PKR dan bertanding pada pilihan raya umum 2008 atas tiket PKR.

Zahrain memenangi kerusi Bayan Baru dengan memperoleh 27,618 undi menewaskan calon BN, Ooi Siew Kim yang menerima 16,589 undi.

Beliau keluar PKR awal 2010 dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mohammad Nizar turut menyatakan pelantikan bekas Ahli Parlimen Bayan Baru itu tidak lebih hanya ganjaran dan bayaran balik atas jasa ‘pengkhianat’ yang dilakukan kepada PKR dan PR.

“Itulah ganjaran melompat agaknya dan sungguh malang Malaysia mempunyai duta yang begitu sifatnya.

“Ini salah satu lagi hadiah BN kepada rakyat, lebih elok bubuh zul nordin (bekas Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin), Gobala (bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan) bila?,” soalnya. -SH

Habuan jadi duta selepas serang Anwar


Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyifatkan pelantikan Bekas Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Hashim sebagai duta ke Indonesia adalah ganjaran dan bayaran balik atas jasa pengkianatan yang dilakukan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.

Katanya, itulah yang menjadi budaya di dalam Umno BN hari ini bukan memberi jawatan atas dasar kelayakan tetapi berdasarkan politik semata-mata.

Malah katanya, pelantikan ini memberi gambaran sebenar kepada negara luar kerana mereka sendiri akan menilai perkhidmatan berdasarkan penghantaran duta ke luar negara.

"Duta yang dilantik mestilah berintegriti bukan memberi ganjaran politik, ini kerana imej yang ditunjukkan adalah imej yang tidak baik," katanya kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya adakah Zahrain layak dilantik sebagai duta, Khalid berkata, Zahrain tidak nampak ada kemampuan itu memandangkan di dalam Parlimen pun beliau kurang menyerlah dari segi idea pembangunan negara.

Melainkan, tambahnya Zahrain hanya lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja di dalam parlimen.

"Kalau mesej itu sahaja yang nampak ia tidak ada benda yang boleh dibanggakan sepatutnya membawa idea-idea yang bernas untuk Malaysia," katanya.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman mengesahkan Zahrain Hashim dilantik sebagai duta ke Indonesia.

Zahrain adalah salah seorang pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu selepas pilihanraya 2008 dan sejak itu beliau antara yang aktif menyerang Anwar Ibrahim dan membela Najib
-HD

[VIDEO] Nilai RM Jatuh, Harga Minyak Naik, Rakyat Semakin Miskin


Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia menyebabkan rakyat semakin miskin berikutan kuasa beli menurun ekoran kenaikan harga barangan diimport khususnya makanan.

Ahli Ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata, suasana ekonomi itu berlaku apabila nilai mata wang negara mengecil berbanding mata wang asing sekali gus kemampuan rakyat berbelanja terjejas.

“Rakyat mengalami masalah untuk mendapatkan barang pada harga sama sebelum kejatuhan nilai mata wang negara

“Ini menyebabkan kemampuan rakyat membeli barangan itu semakin merosot, ” kata bekas Ketua Ekonomi Bank Islam itu kepada TV Selangor, hari ini.

Nilai ringgit jatuh melebihi tujuh peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap Dollar dan ia merupakan rekod terburuk.

Kesan kenaikan harga barangan bertambah parah apabila kerajaan Umno BN bertindak menaikkan harga minyak RON 95 dan RON 97 baru-baru ini.

Azrul berkata, penurunan nilai mata wang itu juga menyebabkan barangan import seperti barangan keperluan rakyat turut mengalami peningkatan harga.

Katanya, kerajaan digesa membuat penilaian dan mencari penyebab kepada punca kejatuhan nilai mata wang dan bertindak proaktif menangani masalah itu.

“Kerajaan perlu menumpukan usaha menangani ketirisan bagi mengelakkan pertambahan hutang negara dan defisit perbelanjaan,” katanya. -selangorku


Syria Dakwa Perang Dunia III Meletus Jika Amerika Menyerangnya


Panel Senat bersepakat memberi kuasa penuh kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama menggunakan kekerasan terhadap Syria.

Media tempatan melaporkan, keputusan itu diperoleh selepas 18 ahli Jawatankuasa Hubungan Luar Senat mengundi dengan 10 - 7 manakala seorang senator hanya memilih sebagai hadir.

Resolusi membenarkan pentadbiran Obama melancarkan serangan tentera ke atas Syria akan memasuki fasa akhir sebelum kedua-dua dewan Kongres melakukan undian akhir minggu depan.

Menurut resolusi itu, tindakan ketenteraan melibatkan misi tentera darat mesti tidak melebihi 90 hari.

Kali terakhir Kongres melakukan undian adalah semasa pemerintahan bekas Presiden George W Bush ketika keputusan menyerang Iraq pada Oktober 2002.

Sementara itu, kerajaan Syria melaporkan, sekiranya peperangan ini tercetus maka ia disifatkan sebagai Perang Dunia ke tiga.

Timbalan Menteri Luar Faisal Muqdad menegaskan, Syria mengambil langkah agresif untuk melakukan serang balas.

“Tentera kami tidak takut dan tidak akan mengalah, walaupun perang dunia ketiga meletus,” katanya dalam laporan Al Jazeera.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Luar Rusia melaporkan, senjata kimia digunakan dalam serangan di pinggir Damsyik bulan lalu adalah dari jenis buatan sendiri.

Menurutnya, senjata itu bukan milik tentera rejim Bashar Al-Assad seperti didakwa.

“Selepas pakar melakukan siasatan, kami dapati senjata itu dari komponen buatan sendiri,” menurut satu kenyataan. -SH


Jika Diserang, Syria Peringatkan Meletusnya Perang Dunia III


Wakil Menteri Luar Negeri Syria, Faisal Muqdad menyatakan rejim Syria akan mengambil tindakan untuk membalas serangan AS ke negaranya. Sekalipun dengan tindakan itu Perang Dunia III bakal meletus, Muqdad tetap konsisten dengan keputusannya.

"Pemerintah Syria tidak akan mengubah keputusannya meskipun ada Perang Dunia III. Tidak ada warga Syria yang mengorbankan kemerdekaan negaranya," kata Muqdad yang disiarkan Al-Arabiya, Khamis (5/9).

Muqdad mengatakan rejimnya akan memobilisasi para sekutunya. Hal itu dilakukan setelah Presiden AS Barack Obama melobi Kongres untuk mendukung campurtangan dan adanya perdebatan di parlimen Perancis berkaitan serangan ke atas Syria.

Obama menyatakan kepada parlimen AS yang menyatakan jika mereka tidak menyerang Syria, AS menempatkan kredibilitinya pada risiko.

Dalam kunjungannya ke Swedia, Obama menegaskan masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri melihat serangan senjata kimia pada 21 Ogos di Syria.

AS menuduh serangan itu dilancarkan pasukan pemerintahan Bashar al-Assad. Perancis yang merupakan sekutu AS, memperingatkan tidak adanya tindakan dari AS terhadap Syria akan membahayakan keamanan dan perdamaian serantau.

"Tidak adanya tindakan akan membahayakan perdamaian dan keamanan di seluruh wilayah. Bagaimana kredibiliti komitmen antarabangsa melawan non-proliferasi senjata pemusnah massal termasuk senjata nuklear ini dipertaruhkan," kata Perdana Menteri Perancis, Jean-Marc Ayrault.