26 Jul 2011

Bukti Nyata SPR Tidak Bebas & Berkecuali, Tetapi Alat Pemerintah

SPR: Kami tiada kuasa, hanya Putrajaya boleh tunai tuntutan Bersih 2.0

SHAH ALAM, 26 Julai — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengemukakan lapan tuntutan berkaitan pembaharuan sistem pilihan raya kepada Putrajaya, bukannya kepada agensi itu.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan pemerintah.

Jelas beliau, SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melaksanakan lapan tuntutan itu kerana ia terikat dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“SPR ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan sebagai badan mengurus pilihan raya, kita bukan badan penguatkuasaan ... kita tiada kuasa.

“Kita disokong beberapa akta lain seperti Akta Polis, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta lain yang mana apabila kita mengadakan pilihan raya kita bukan hanya dikawal oleh peraturan sendiri tapi turut dikawal undang-undang lain ... jadi janganlah salahkan kita,” kata Wan Ahmad pada program bertajuk “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf.

Justeru tegas beliau, SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

“SPR bukan badan yang buat undang-undang, apa yang kita boleh lakukan adalah cadangkan undang-undang ini kepada Peguam Negara ... Peguam Negara yang akan buat draf undang-undang sebelum bawa ia ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Proses buat undang-undang daripada SPR kepada Peguam Negara, Peguam Negara kepada Parlimen ... kalau nak tukar sistem pilihan raya, ia melibatkan dasar kerajaan dan hanya pemerintah sedia ada yang boleh lakukan.

“Kalau anda (Pakatan Rakyat) memerintah juga sama, jangan aggap SPR sebagai musuh,” katanya di hadapan kira-kira 300 orang.

Turut menjadi panel wacana kali ini ialah Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevesan dan penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin. -TMI


Wakil SPR kena 'boo' dalam debat dengan Ambiga

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar hari ini berdepan dengan hadirin yang mencemuhnya dalam debat dengan pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau juga kena 'boo' beberapa kali sehingga terpaksa merayu kepada hadirin supaya memberinya peluang membuat penjelasan dalam debat yang dianjurkan oleh Kumpulan Karangkraf, sebuah pertubuhan media yang menerbitkan Sinar Harian dan beberapa majalah popular yang lain.

Wan Ahmad bertegas menjelaskan bahawa SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasa dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Pejabat Peguam Negara.

“Jangan anggap SPR sebagai musuh,” rayunya.

Dalam tindakbalasnya, Ambiga membidas SPR kerana tidak mengambil langkah pro-aktif meminda undang-undang yang lapuk.

“Awak yang menganggap orang ramai sebagai musuh. Jika SPR bertindak terhadap cadangan pembaharuan, kami akan sokong anda. Kami akan berjuang bersaam anda,” katanya sambil diberikan tepukan gemuruh oleh hadirin.

Panel itu turut dianggotai oleh profesor dari UKM Datuk Shamsul Amri Baharuddin.








Ulasan GB

Patutlah Timbalan Pengerusi SPR berani datang, kerana beliau tahu SPR tidak mempunyai kuasa. Sekadar menjalankan perintah dari parti pemerintah.

Kenyataan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar itu menjelaskan kepada rakyat bahawa SPR tidak mempunyai kuasa menguatkuasakan dan menolak tanggungjawab meminda undang-undang pilihan raya kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, lapan tuntutan itu boleh dilaksanakan di bawah kuasa kerajaan pemerintah

Maksudnya, SPR adalah hanya badan pelaksana pilihanraya yang mengikut kehendak kerajaan pemerintah iaitu UMNO-BN.

Maka tidaklah salah selama ini rakyat beranggapan bahawa SPR adalah "kuda tunggangan" kepada parti UMNO BN.

Mujur sekadar kena "boo". Kalau di di luarnegara entah berapa kasut mungkin dah melayang ke pentas.

Rakyat sudah bangkit. Semua sudah buka mata. Malah dunia sudah mulai sedar.

Nampaknya kerajaan UMNO BN yang masih dengan sindrom penafian dan sindrom penipuan.

Penentuan menang-kalah di dalam pilihanraya hakikatnya adalah di tangan Tuhan, namun syariatnya perlu dijaga, penipuan tidak sekali-kali dimaafkan kerana ia mencabuli amanah.

Tidak ada yang lebih hina selain dari mengkhianati amanah rakyat. SPR tahu hal tersebut tetapi masih terus melakukannya.

Berpura-pura tidak tahu terhadap penipuan yang dilakukan malah berselindung dengan pelbagai alasan untuk menutup penipuan terseut tidak sekali-kali terselamat kerana perbuatan salah itu salah dan pasti akan menerima hukuman, jika tidak di sini, di "sana", hukumannya lebih dasyat lagi. Ingatlah.

Pengundi Klon: PAS Buat Laporan Polis

IC klon ancam keselamatan negara

KUALA LUMPUR, 26 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini membuat laporan polis berhubung pendedahan terdapat rakyat negara ini yang mempunyai dua kad pengenalan berbeza.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil kira-kira jam 11 pagi tadi.

Turut serta, penolong setiausaha, Kamaruzaman Mohamad, Pengarah Pilihan Raya, Mohd Sany Hamzan dan Exco, Suhaizan Kaiat.

Pada sidang media selepas itu, Khairul Faizi memberitahu kewujudan dua kad pengenalan pada seorang individu itu bukan sahaja akan membolehkan individu tersebut mengundi dua kali, malah boleh mengancam keselamatan negara.

"Kita nak polis buat siasatan benar atau tidak, berlaku pemberian dua kad pengenalan kepada seorang individu.

"Sekiranya benar berlaku kita nak pihak polis ambil tindakan kepada pegawai JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) ke yang terlibat melakukan penyelewengan ini," katanya.

Laporan polis itu adalah merujuk kepada dua kes yang berlaku melibatkan individu bernama Mariam Binti Su dan Murugan A/L Subramaniam yang disemak melalui web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mariam memiliki dua kad pengenalan baru berbeza iaitu bernombor 720616025472 dan 720610025738, tetapi mempunyai no kad pengenalan lama yang sama iaitu A2278510.

Sehubungan itu beliau mempunyai dua hak mengundi iaitu di Dun Kuala Ketil, Parlimen Baling.

Dua nombor kad pengenalan baru Murugan pula adalah 731002025877 dan 731002025201 yang juga mempunyai dua kali hak mengundi.

Kes tersebut dedahkan Suhaizan dan mendapat respon daripada Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar seperti disiar oleh akhbar The Star bertarikh 24 Julai 2011 dengan tajuk EC: Help us purge 'clones' from electoral roll.

Wan Ahmad antara lain menyatakan bahawa pengundi hantu benar-benar wujud dalam daftar pemilih SPR dan meminta parti politik dan individu tertentu tampil memberi maklumat kepada SPR untuk membersihkan daftar pemilih.

Suhaizan dalam pada itu berkata, beliau yakin kes itu berlaku akibat kecuaian JPN itu sendiri yang telah mengeluarkan dua kad pengenalan baru daripada satu kad pengenalan lama.

Akibat dari itu katanya, SPR menerima data yang salah dari JPN sekaligus membenarkan seorang pemilih mempunyai hak mengundi lebih daripada sekali.

"Sebab itu saya kata pilihan raya di Malaysia ini ruang manipulasi terlalu banyak dan ianya mudah digunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk memenangi pilihan raya," katanya.

Biometrik tak atasi undi lebih sekali

Mengulas penggunaan sistem biometrik oleh SPR pada pilihan raya akan datang, Suhaizan dengan tegas berkata ianya tidak praktikal buat masa ini.

Ia kerana memerlukan SPR membersihkan pengkalan data terlebih dahulu agar tidak diragui sebelum dilaksanakan.

Ianya juga perlu kepada pengkalan data sepusat agar semua tempat mengundi boleh mengakses pengkalan data pusat untuk mengesan sebarang pertindihan.

Sekiranya tiada pengkalan data sepusat, ianya akan mendedahkan kepada manipulasi pihak tertentu.

"Macam Mariam Binti Su, dia ada dua kad pengenalan. Maknanya dia boleh mengundi di dua tempat, dan melalui biometrik, Mariam Binti Su ini boleh mengundi di kedua dua tempat itu kerana mempunyai kad pengenalan yang sah," katanya. -HD





Video PDRM Tak laku: Hanya RTM Setuju Tayang

PPolis: Hanya RTM setuju tayang video 9 Julai setakat ini

PORT DICKSON, 26 Julai — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan video perhimpunan 9 Julai lepas untuk ditayangkan lagi di mana-mana stesen televisyen di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata setakat ini hanya RTM bersetuju menerima tawaran ini dan telah menayangkannya.

“Jika ada stesen televisyen lain yang ingin menayangkan video tersebut, kita sedia menyerahkan video ini untuk ditayangkan. Sebenarnya, klip video ini juga kini boleh dilihat di laman web PDRM,” kata beliau dipetik Bernama Online.

“Kita berterima kasih kepada RTM kerana telah menyiarkan klip video sebenar apa yang berlaku pada perhimpunan haram 9 Julai lepas.

“Kita mengharapkan dengan ditayangkan klip video ini masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan sebenar apa yang berlaku pada hari tersebut,” katanya selepas menyaksikan raptai penuh perbarisan tamat latihan perdana perajurit muda dan konstabel polis siri 1/2011 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini.

Khalid berharap dengan penayangan klip video tersebut tidak ada lagi pihak-pihak yang membuat tuduhan, tomahan dan andaian bahawa polis berlaku ganas dan zalim kepada mereka yang berhimpun secara haram di ibu negara pada 9 Julai lepas. -TMI

Jika Polis Benar Profesyenal, Henti Ugut Rakyat

Polis siasat laporan palsu ketika perhimpunan 9 Julai

KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang membuat laporan palsu terhadap tindakan pegawai dan anggota polis semasa perhimpunan haram 9 Julai lepas akan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata jika disabit kesalahan, mereka akan dipenjara sehingga enam bulan dan didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya siasatan mendapati perkara yang diadukan dalam laporan polis adalah tidak benar, polis tidak akan teragak-agak mencadangkan tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya ketika ini, pihaknya telah menerima tujuh laporan berhubung tindakan pegawai dan anggota polis semasa perhimpunan.

Beliau berkata kesemua laporan akan disiasat secara profesional dan telus mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

Kertas siasatan

“Kita dalam proses melengkapkan siasatan dan akan mengemukakan kertas siasatan itu kepada pihak Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya.

Acryl Sani juga berkata pihaknya sedang menyiasat kesahihan dakwaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dilanggar Pajero polis namun penayangan video baru-baru ini menunjukkan tiada insiden seperti yang didakwa pengadu.

Rakaman itu menyaksikan motosikal yang dibonceng Mat Sabu terbabas ketika melakukan pusingan U dan terlanggar Pajero polis.

Acryl Sani berkata pihaknya turut menyiasat kesahihan dakwaan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kecederaan yang dialaminya ketika mengawal keselamatan Anwar semasa perhimpunan.

Beliau turut menjelaskan bahawa gas pemedih mata yang digunakan untuk menyuraikan perhimpunan haram itu adalah buatan Amerika.

“Terdapat dua jenis gas pemedih mata digunakan semasa perhimpunan iaitu Shell Tear Gas Smoke Model ALS 5727, buatan Amerika dan Grenade Tear Gas Smoke Model MP-2SB-CS, NON, Lethal Technology, buatan Amerika.

“Manakala cecair yang digunakan water canon kami semasa meleraikan perhimpunan adalah jenis SC Liquid jenama IDC System AG buatan Switzerland,” katanya. - Bernama

Ulasan GB

Jika benar polis profesyenal, maka sepatutnya polis tidak mengeluarkan kenyataan rakyat membuat laporan palsu sedangkan laporan belum selesai di siasat.

Bagaimana mungkin begitu cepat seorang pegawai kanan polis menyifat dan mengklasifikasi laporan yang dibuat sebagai "laporan palsu"? Itu jelas satu tindakan yang tidak profesyenal. Ia berbaur ugutan. Dan ugutan adalah sesuatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan juga. Ugutan bukan satu sikap yang profesyenal.

Rakyat tidak boleh diperbodohkan dan diugut sedemikian rupa.

Pegawai polis berkenaan sepatutnya diadukan kepada SUHAKAM lantaran salahgunakuasa mengugut rakyat yang membuat laporan.

WAHABI: Shahidan Turut Disenaraikan Dalam Lis WANTED

Isu Wahabi: Dialog dengan kami, Shahidan ajak menteri dan PDRM

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan buat selama-lamanya dan tidak terus dibangkitkan termasuk dilaporkan menjadi fokus Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Sehubungan itu beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mahu satu dialog diadakan bersama pihak-pihak yang dilabel sebagai pengamal dan pengikut fahaman Wahabi.

Shahidan sendiri pernah dikaitkan sebagai pengamal fahaman Wahabi.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai ‘dikehendaki’ dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.


Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan, bukan baru. Jadi, saya akan minta (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengadakan satu dialog, dialog antara mufti-mufti dengan mereka yang didakwa mengamalkan fahaman Wahabi.

“Saya juga minta polis mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak ini (didakwa mengamalkan Wahabi), kami pun hendak tahu di bahagian mana dalam badan kami ada amalan Wahabi, kami mengamalkan fahaman Wahabi... bincang dengan kami, dan selesaikan isu ini buat selama-lamanya,” kata beliau kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Malah perkara itu turut ditekankan oleh dalam laman sosial Facebooknya.

Shahidan antara lain berkata “kerajaan persekutuan dan negeri kena perjelaskan apakah dia fahaman Ahbash kerana dalam buku haram edaran puak-puak Syiah gambar Zamihan, seorang pengamal Ahbash dipamerkan sebagai hero... mungkin kerajaan pun tidak faham tentang bahaya Ahbash.. menteri agama (Jamil Khir) camna?” kata beliau dilihat merujuk kepada Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut Latihan Islam Malaysia.

Pegawai itu pernah didakwa menyenaraikan Shahidan, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada taklimat dengan Polis Diraja Malaysia dan para naib canselor pusat pengajian tingggi tempatan tahun lalu.

Justeru tegas Shahidan, beliau akan menghubungi Jamil Khir hari ini meminta agar diadakan satu dialog dan tidak mahu isu ini berpanjangan.

“Bagaimana mereka boleh menghina tokoh-tokoh agama ini, mufti ini kononnya mengamalkan Wahabi dan dikaitkan sebagai menjurus kepada keganasan... mengapa tidak panggil mereka dan diadakan dialog,” kata Shahidan sambil mengulangi bahawa pihaknya tidak mengamalkan fahaman Wahabi.

“Saya pun tidak tahu apa itu amalan Wahabi, beritahu kami apa itu amalan Wahabi, beri kami penjelasan... kalau dapat memberikan penjelasan, kami gembira,” kata Shahidan yang memainkan peranan penting dalam membawa 40 ulama muda menyertai Umno tahun lalu.

Kesemua 40 ulama muda itu turut didakwa disenaraikan sebagai pengamal fahaman Wahabi bersama Asri dan Juanda kali ini.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider pagi tadi, Asri berharap ulama-ulama muda itu, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Sehubungan itu, Asri berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi.

“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.

“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

Rumahtangga Jimmy Di Persimpangan, Iktibar Untuk Anak Muda

Cerai atau kekal

KESABARAN Nursuhaila Eliani Suhaimy, 25, terhadap sikap suami yang juga pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 31, sudah sampai ke penghujung.

Ia hilang apabila Jimmy menghebahkan dalam media kononnya majlis cukur jambul anak mereka dibatalkan sekali gus turut menimbulkan kemarahan bapa isterinya yang juga ahli perniagaan, Datuk Suhaimy Othman.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Oktober 2010, namun selepas 20 hari bernikah, mereka tinggal berasingan dan pelbagai berita timbul sehinggalah kes dibawa ke mahkamah apabila Jimmy memfailkan tuntutan kembali taat, pada 3 Januari lalu.

Ikuti luahan Nursuhaila menerusi video dan kenyataan balas Jimmy yang masih berkeras enggan melepaskan isterinya.

APA KATA NURSUHAILA

SAYA tidak akan kembali semula kepada Jimmy walaupun dia sudah berubah. Tetapi, saya maafkan kesalahan dia.

Saya tetap mahu menuntut cerai dan mendapatkan hak penjagaan anak berusia 32 hari walaupun sebelum ini Jimmy mendakwa akan menarik balik kes nusyuz terhadap saya.

Saya bercakap pada sidang media yang diadakan ini (semalam) untuk menjawab segala kontroversi hubungan kami, termasuk yang terbaru membabitkan majlis cukur jambul bayi kami.

Saya sudah tidak tahan dengan sikap Jimmy yang meraih simpati mengenai krisis rumah tangga kami di media.

Bagi saya, dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan baik. Dia hanya memberikan wang nafkah kepada saya ketika saya mengandung, itupun hanya RM300 sebulan dan tidak cukup untuk menampung ubat dan pemeriksaan lain.

Selain itu, antara faktor lain saya enggan kembali kepada Jimmy ialah kerana dia sering memukul dan menampar pipi saya hanya kerana pergaduhan kecil.

Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan.

Selain itu, saya turut dikasari ketika berbulan madu di Koh Samui, Thailand, hanya kerana pergaduhan kecil.

Tapi, saya mengakui saya seorang yang bersifat kasar dan sudah menjelaskan kepada Jimmy sebelum berkahwin tetapi dia sudi menerima saya seadanya.

Bagaimanapun, tindakan Jimmy mengasari saya menyebabkan saya tidak mampu bertahan, apalagi apabila saya dikongkong dan disuruh tidur jam 9 malam dan tidak boleh melayari laman sembang sosial.

APA KATA JIMMY

SAYA tidak akan sewenang-wenang menceraikan dia kerana apa yang saya lakukan selama ini adalah tanggung jawab sebagai suami dan talak terletak di tangan lelaki.

Sebagai isteri, Nursuhaila harus patuh pada perintah dan arahan saya dan jika ingkar, dia tidak akan mencium bau syurga.

Selepas berkahwin apa yang saya harapkan ialah selepas seharian penat bekerja, dapat meluangkan masa bersama isteri dan mahu diberikan layanan sebaiknya dari seorang wanita bergelar isteri.

Tanpa alasan munasabah, saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya dan sekiranya saya gagal dalam prosiding mahkamah pada kali ini, saya akan berusaha mendapatkan hak penjagaan anak.

Saya mengakui tidak membenarkan dia menemui rakan sebelum malam perkahwinan dan meminta Nursuhaila hanya berehat di rumah, namun dia tetap berdegil.

Tindakannya ingin bertemu rakan menyebabkan saya hilang kawalan dan menamparnya.

Begitu juga sewaktu di Koh Samui tetapi selepas itu saya tidak melakukannya lagi. Saya juga berjanji untuk menjaganya selepas kahwin dan dia juga pernah berjanji kepada saya untuk berubah.

Selain itu, saya berpendapat, ibu bapa seharusnya tidak campur tangan dalam masalah rumah tangga anak-anak kerana campur tangan itu akan menyebabkan keadaan semakin tegang.

Saya cuba berkomunikasi secara baik dengan Nursuhaila, malangnya dia hanya berdiam diri dan tidak mahu menjawab SMS atau panggilan telefon.

Saya cuba bertanya kepada ibu keadaannya dan memberitahu ibunya bahawa saya cuba berbincang mengenai masalah yang dihadapi, itu saja. -hm

Ulasan GB

GB paparkan kisah ini untuk anak muda yang baru mendirikan rumahtangga belajar dan ambil pelajaran dari kisah di atas.

Menjadi kewajipan si suami mendidik. Tetapi apabila didikan itu sudah tidak berjaya hendak dilaksanakan tanpa melihat salah di pihak mana, maka di situ terpercik bibit perselisihan yang membawa perpisahan.

Anehnya, malam sebelum pernikahan pun masih nak jumpa kawan?

Malah, sebelum malam perkahwinan pun saya ditampar apabila meminta izin untuk keluar berjumpa rakan.

Alasan Najib Terlalu Lemah Halang Himpunan BERS✔H

Najib: Tugas k'jaan lindungi nyawa, harta benda rakyat

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan bagi melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam blognya, www.1Malaysia.com.

Beliau berkata perhimpunan BERSIH 2.0 di ibu negara baru-baru ini telah menunjukkan rakyat menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Insiden terbaru di Kuala Lumpur baru-baru ini telah menyagikan kita dengan ujian penting.

"Keputusan kita sebagai kerajaan adalah untuk melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum yang bergantung mata pencarian mereka di Kuala Lumpur," katanya.

Najib berkata dengan membenarkan satu kumpulan mengadakan demonstrasi, maka ia akan memberi peluang kepada pihak lain menggunakan kaedah sama untuk menimbulkan peristiwa menggemparkan atau isu kontroversi yang mendapat perhatian awam.

"Tanpa menghiraukan janji-janji untuk demonstrasi aman, ia hanya mengambil sebilangan kecil kumpulan yang terlampu ghairah untuk mencetuskan keadaan bertambah buruk dengan menyerang penonton tidak berdosa atau merosakkan harta benda.

"Adakah berbaloi untuk kita mengambil risiko? Oleh itu, sebagai Perdana Menteri, ia menjadi tanggungjawab saya untuk melindungi segera kepentingan masyarakat umum berbanding kepentingan sekumpulan kecil penentang," katanya.

Najib berkata baru-baru ini Malaysia menduduki ranking ke-19 negara paling selamat dalam dunia dan pertama di Asia Tenggara.

"Selama beberapa dekad kita telah membina sebuah negara berbagai budaya dan etnik atas dasar toleransi bersama dan saling menghormati," katanya.

Katanya pengalaman peribadinya semasa insiden 13 Mei, 1969 telah membentuk pemahanannya mengenai kepimpinan apabila beliau melihat ayahnya, Allahyarham Tun Abdul Razak, ketika itu menjadi Perdana Menteri, menangani krisis tersebut.

"Sebagai pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Allahyarham mempunyai kuasa Kabinet dan Parlimen dalam tangannya.

"Ayah saya takut dengan kuasa mutlak dan tidak boleh menunggu untuk hari yang beliau boleh menyerahkan kuasa kepada rakyat menerusi Parlimen dan memulihkan demokrasi berparlimen," katanya.

Ketika Malaysia melalui transformasi secara besar-besaran, Najib mengesa rakyat supaya tidak tunduk kepada gesaan bagi tindakan yang hanya memenuhi kepentingan segelintir untuk memecahbelahkan negara.

"Biar kita tidak tunduk kepada cita rasa mereka yang menuntut balasan yang hanya akan mengakibatkan semangat muhibah dan kerja keras yang dibina sejak sekian lama lenyap begitu sahaja.

"Biar kita semua bersama-sama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni," katanya. - Bernama

Ulasan GB

Rakyat ingin menyuarakan kepda Najib, PM Malaysia bahawa usah berdalih dan menggunakan alasan keselamatan kerana rata-rata peserta perhimpunan yang hadir tidak berhajat untuk merosakkan apa saja harta benda, atau menyerang sesiapa saja atau menimbulkan sebarang kekacauan.

Yang NYATA, yang merosakkan harta benda, yang menyerang orang awam dan yang menimbulkan kekacauan ialah pihak polis sendiri sehingga ramai yang tercedera dan ada yang mati lantarannya.

Tembakan gas pemedih mata secara rambang merupakan bukti kukoh bahawa merekalah yang melakukan kesemua yang dimaksudkan itu.

Apa yang dilakukan oleh pihak polis hanyalah untuk "menyelamatkan" kerajaan UMNO BN bukan untuk menyelamatkan rakyat atau harta benda.

BUKTIKAN jika ada peserta-peserta BERSIH yang datang membuat kekacauan atau ada apa-apa harta benda orang awam atau harta negara yang rosak disebabkan oleh perlakuan peserta-peserta BERSIH. Hampir tidak ada.

Loceng telah berbunyi bebberapa kali, bahawa rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan alasan-alasan superficial sedemikian rupa dan masa telah tiba untuk BN bergerak pergi.

BERS✔H 2.0: Peguam Keluarga Baharuddin Minta Polis Henti Beri Kenyataan Berbaur Politik

Keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad hari ini menggesa polis supaya berhenti memberi kenyataan berbaur politik bersabit kematian beliau semasa menyertai perhimpunan Bersih 2.0 awal bulan ini.

Peguam keluarga, Ahmad Zuflis Faiza mempersoalkan dakwaan polis kononnya kecederaan Allahyarham seperti gigi dan tulang rusuk yang patah mungkin dialami semasa bantuan kecemasan diberikan kepada beliau, dan bukan akibat asakan polis.

Jumaat lalu, Polis Bukit Aman turut menayangkan rakaman video detik- detik Allahyarham rebah di Avenue K, bagi menguatkan dakwaan kononnya beliau bukan mangsa asakan polis.

Ahmad Zuflis menyifatkan dakwaan-dakwaan polis itu sebagai tidak lebih untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Polis tak patut buat kenyataan berbau politik. Kedua benda ni masih dalam siasatan, kita sudah tulis surat untuk membuat inkues di mahkamah, jadi polis tak perlu tergesa- gesa buat kenyataan politik untuk respon kepada orang- orang politik. kata beliau kepada TV Selangor.

Ahmad Zuflis turut mempersoalkan penggunaan video untuk menyokong dakwaan polis kononnya Allahyarham Baharuddin tidak menjadi mangsa asakan polis.

Beliau berkata kesahihan video itu sendiri dipertikaikan manakala rakaman pendek itu tidak mempaparkan punca Baharuddin dan peserta Bersih lain mencari perlindungan di pusat membeli belah Avenue K.

Merujuk kepada rakaman itu, kita tak tahu betul atau tak betul, maknanya mungkin orang lain dan kalau betul itu si mati ketika berlari, persoalan kita ialah sebelum dia berlari itu pasal apa ? Anda ambil gambar sebahagian sahaja. Jadi sebab itu kita kata, kita minta mereka jalankan siasatan mengikut undang- undang, tambah beliau.

Katanya, pihaknya dan keluarga mangsa akan mengadakan sidang akhbar Rabu ini bagi memberikan penjelasan lanjut dan tindakan susulan yang akan dambil.

Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis.

Puluhan ribu orang menyertai perhimpuan itu untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.

Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen, Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera. -tvsnews


Bahana Undi BN: Kontraktor Galas Teraniaya, Tuntutan Projek PRK Belum Dibayar

Kontraktor belum dibayar tuntutan projek PRK Galas

GUA MUSANG, 25 Julai: Selepas sembilan bulan pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas berlalu, namun belum pun kelihatan janji projek perumahan rakyat seperti terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN).

Projek perumahan berharga RM180 juta itu telah diletak batu asas oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya berlangsung.

Jauh sekali untuk melihat projek mega lain dilaksanakan, antaranya Golf Club dan Country Resort bernilai RM856 juta, Agro Tourism (RM256 juta) dan kampus Universiti Malaysia Kelantan cawangan Gua Musang (RM316 juta).

Lebih memalukan lagi usahkan projek bertaraf mega, projek segera yang dilaksanakan bernilai di bawah RM50,000 pun didakwa belum dibayar kerajaan pusat sehingga sekarang.

Lebih malang lagi masalah itu dialami sendiri anggota jawatankuasa Umno Gua Musang, Abdul Wahab Yunus yang juga seorang kontraktor.

Beliau mendakwa projek kecil di bawah Kementerian Pelajaran dilaksanakan semasa kempen pilihan raya Galas lalu belum dibayar sehingga sekarang.

Abdul Wahab merupakan kontraktor kelas F diberi tanggungjawab melaksanakan projek-projek kecil di bawah kendalian Kementerian Pelajaran semasa kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

“Saya telah mengemukakan tuntutan terhadap projek yang dilaksanakan semasa pilihan raya kecil Galas sejak Disember lalu.

“Malah pada 10 Julai lalu saya datang menemui pihak terbabit bagi menyelesaikan bayaran tuntutan nilai projek yang telah saya laksanakan.

“Namun segala usaha saya bagi mendapat bayaran projek yang dilaksanakan gagal,” katanya ketika datang mengadu masalah itu kepada penyelia parlimen Gua Musang, Abdullah Hussin di sini baru-baru ini.

Beliau begitu kesal kerana kos yang terpaksa ditanggung bagi menyiapkan projek pilihan raya kecil Galas tidak dibayar kerajaan BN sehingga sekarang. -HD

Rais Terkedu, Media Arus Perdana Bantah Keras Penubuhan Majlis Perundingan Media

Mesyuarat sulung majlis media 'gagal'

Wakil media arus perdana menyuarakan bantahan keras ke atas cadangan kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundingan Media (MPM) dalam mesyuarat rundingan pertama yang diadakan hari ini.

Seorang daripadanya, Datuk Nuraina Samad berkata beliau serta beberapa orang pengarang lain membantah cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai satu lagi bentuk kawalan ke atas akhbar.

"Mereka kata ianya majlis perundingan tapi sebenarnya majlis ini hanyalah satu lagi bentuk kawalan," kata editor pengurusan dan penulis blog itu.

Sedangkan media hari ini sudah bergelut dengan dengan soal kredibiliti dan undang-undang sedia ada seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas mesyuarat tersebut.

Beliau turut mempertikaikan mengapa pegawai kanan perdana menteri perlu hadir di majlis berkenaan sedangkan wakil media dalam talian tidak hadir.

Turut disuarakan dalam mesyuarat berkenaan ialah kegelisahan pengarang akhbar yang bimbang sekiranya cadangan penubuhan majlis berkenaan akan terus menjejaskan persepsi pembaca, katanya.

"Bagaimana majlis ini akan dapat membantu jualan akhbar?" soalnya.

Mesyuarat sulung itu dihadiri antara lainnya pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Meor Kamarul Shahid serta wakil pengarang dari akhbar berbahasa Cina - Kumpulan Sin Chew.

Lapor balik pada kerajaan

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf itu sepatutnya membariskan sekurang-kurangnya 80 orang pengarang kanan daripada organisasi media cetak dan elektronik, mengikut kertas cadangan yang dikemukakan kepada wakil media sebelum ini.

Kamaruddin juga mengakui, pertemuan yang diadakan hari ini merupakan satu "kegagalan" namun beliau gembira kerana pengarang berkenaan tetap menyuarakan pendapat mereka.

Jelasnya, kerajaan bercadang untuk menjalankan perbincangan secara berperingkat-peringkat dan mesyuarat hari ini melibatkan sebahagian besar pengamal media cetak.

"Selepas ini baru kita panggil media baru, tapi dengan media cetak pun sudah gagal... Saya lapor balik kepada kerajaanlah.

"Ini hanya untuk dapatkan maklum balas tapi saya mahu yakinkan bahawa majlis ini bukan untuk mengawal tapi hanya majlis rundingan. Ia tiada kuasa eksekutif," katanya lagi ketika ditemui Malaysiakini di majlis sama.

Jelasnya, idea untuk menubuhkan majlis media telah dibincangkan sejak tahun 1970-an namun sehingga kini tidak berhasil.

"Sebab itulah kita berharap dengan adanya mesyuarat ini, ia akan membuka jalan kepada penubuhan satu majlis media. Kita cuma mahu menolong, lain tak ada.

"Apa yang kita mahu, supaya (media) ada badan pengawal sendiri... Tapi buat masa ini ianya agak sukar. Tiada orang yang mengambil langkah pemula, jadi kita mahu ada perbincangan dahulu," katanya lagi. -mk

Saintis Desak Pantau Kajian Wujudkan 'Manusia Separuh Beruk'

London: Para saintis di Britain mendesak peraturan ketat dikenakan terhadap usaha segelintir penyelidik yang mahu mewujudkan makhluk separuh beruk dan separuh manusia seperti dalam filem Hollywood, Planet of The Apes.

Dalam satu laporan, para saintis itu memberi amaran bahawa penyelidikan yang kini sedang dilakukan hampir melanggar etika dalam percubaan menyatukan ciri manusia dengan haiwan.

Profesor Martin Bobrow, seorang pakar genetik perubatan di Universiti Cambridge dan penulis bersama laporan itu, berkata masyarakat perlu sedar bahawa penyelidikan yang mencampuradukkan gen manusia dengan haiwan harus dikawal selia dengan ketat.

'Kami mahu masyarakat menyedari implikasi penyelidikan seumpama itu sebelum ia benarbenar melahirkan sesuatu yang tidak diingini,' beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar Daily Mail.

Akademi Saintis Perubatan Britain telah menubuhkan pasukan penyemak yang akan meneliti penyelidikan yang mencampuradukkan gen manusia dalam tisu haiwan.

Tahun lalu, lebih sejuta penyelidikan dilakukan membabitkan haiwan diubah secara genetik, kebanyakannya membabitkan tikus dan ikan yang dilahirkan dengan DNA manusia.

Haiwan makmal itu digunakan untuk mewujudkan ubat baru bagi penyakit seperti barah dan Alzheimer atau untuk mengkaji fungsi gen tertentu.

Para penyelidik juga didapati mewujudkan haiwan berciri manusia dengan memasukkan sel tunjang manusia ke dalam embrio haiwan.

Haiwan digelar chimeras ini adalah untuk mengkaji penyakit seperti strok, hepatitis dan barah.

Laporan para saintis tersebut tidak mempersoalkan penyelidikan seumpama itu, namun mereka berkata jika tidak dikawal, lambat laun kegiatan berkenaan akan mewujudkan haiwan yang memiliki ciri manusia yang tidak boleh diterima masyarakat.

Laporan itu mendesak Kementerian Dalam Negeri memantau penyelidikan berkenaan dan melarang uji kaji yang membabitkan suntikan sel tunjang manusia ke dalam otak beruk bagi mendapatkan haiwan yang mempunyai tabiat seperti manusia.

Larangan penyelidikan sedemikian dapat menghalang usaha mewujudkan beruk yang mempunyai daya ingatan dan pertuturan seperti manusia.

Seorang lagi penulis bersama laporan itu, Profesor Thomas Baldwin, berkata:

'Kami bimbang jika sejumlah besar sel otak manusia disuntik dalam otak beruk, ia boleh memberi haiwan itu keupayaan yang selama ini hanya dimiliki manusia seperti pertuturan atau kebolehan untuk memanipulasi.' - Agensi